Khairy menang tanpa bertanding Timbalan Presiden FAM
Harakahdaily
Sun | Sep 09, 07 | 6:29:50 pm MYT

KUALA LUMPUR, 9 Sept - Presiden kelab bola sepak UPB-MyTeam Khairy Jamaluddin adalah antara lima muka baru yang dipilih pada pemilihan Kongres Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kali ke-44 bagi menerajui persatuan itu untuk tempoh tiga tahun iaitu dari 2007 hingga 2010. <

Iklan
 
 
   

Menurut laporan Bernama, Khairy, pelopor program realiti TV bola sepak MyTeam dan Naib Ketua Pemuda Umno, dipilih tanpa bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden.

Beliau mengisi kerusi yang dikosongkan Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang meletakkan jawatan pada Julai lepas.

Khairy, Naib Ketua Pemuda Umno, yang juga menantu Perdana Menteri, akan bergandingan dengan Dato' Redzuan Sheikh Ahmad, yang mengekalkan kedudukan beliau tanpa bertanding untuk satu lagi jawatan Timbalan Presiden.

Sementara itu, kesemua empat jawatan Naib Presiden diisi muka baru iaitu Dato' Che Mat Jusoh (Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT)), Affandi Hamzah (Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA)), Ahmad Mohamad (Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ)) dan Dato' Gulzar Mohamad (Ahli Majlis Persatuan Bolasepak Sarawak).

Seramai lima orang dicalonkan untuk jawatan naib presiden dengan seorang lagi ialah salah seorang penyandangnya iaitu Dato' Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar.

Keputusan pengundian ialah Che Mat mendapat 45 undi, Affandi (30), Ahmad (28), Gulzar (26) dan Raja Ahmad (24).

Seorang penyandang jawatan Naib Presiden, Dato' Anifah Aman melepaskan jawatan itu atas arahan Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang melarang pembabitan menteri, timbalan menteri dan setiausaha parlimen dalam persatuan sukan baru-baru ini.

Presiden FAM Sultan Ahmad Shah pula kekal tanpa bertanding jawatan yang disandangnya itu sejak 1984. _

Iklan Premium B Iklan Premium C
Iklan Teks Iklan Di sini. Hanya RM150 seminggu

Iklan Di sini. Hanya RM150 seminggu