Boikot Batu Talam pendirian bijak dan berani - Anwar
Mon | Jan 15, 07 | 4:40:26 am MYT

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Hrkh) - Keputusan PAS dan KeADILan memboikot pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Batu Talam adalah pendirian yang bijak dan berani, kata bekas Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Iklan
 
 
   

Menurut penasihat KeADILan itu, keputusan itu "dibuat secara muafakat antara PAS dan KeADILan".

"Alasan yang dikemukakan adalah kukuh. Sebelum itu Pengerusi (Suruhanjaya Pilihan Raya) SPR (Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman) sendiri telah membuat kenyataan terbuka mendedahkan kelemahan besar sistem pilihan raya di Malaysia," kata Anwar.

"Kita harus memberikan mesej jelas kepada rakyat dan masyarakat antarabangsa bahawa penipuan dalam pilihan raya dengan memperalatkan SPR, media, jentera kerajaan sudah sampai ka tahap melampau".

Penyertaan dalam sistem tempang dan penuh penipuan akan membantu mengesahkan pemerintahan Umno dan Barisan Nasional (BN) yang rasuah dan rakus, katanya.

"Saya dukung pendirian PAS dan KeADILan yang bijak dan berani. Tugas kita sekarang adalah untuk menjelaskan kapada rakyat," katanya lagi.

Kadir menyifatkan tindakan PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) memulaukan pilihan raya kecil Batu Talam memeranjatkan, tidak bertanggungjawab, luar biasa dan bacul.

"PAS memulaukan pilihan raya kecil Batu Talam? Memeranjatkan, luar biasa dan tidak bertanggungjawab. Parti Keadilan Rakyat (PKR) memboikot pilihan kecil Batu Talam? Bacul," kata beliau.

Tindakan pemboikotan itu, pada pandangan Kadir, bukan sahaja akan memberi laluan mudah kepada BN tetapi lebih daripada itu merampas hak asasi pemilih kawasan itu.

"Sekali gus mereka menghampakan 2,653 pengundi yang memihak kepada mereka pada pilihan raya umum 2004.

"Jika PAS, PKR dan parti-parti pembangkang lain terus dengan rancangan boikot mereka maka jelaslah mereka tidak menghormati hak asasi pemilih dan mereka keliru mengenai prinsip dan tanggungjawab," kata wartawan veteran itu yang begitu dikenali sebagai penyokong kuat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir sebelum ini membayangkan calon BN mungkin akan tewas jika pengundi amat tidak gembira dengan kerajaan BN sekarang.

Bekas Perdana Menteri juga memberi amaran bahawa BN mungkin cuba menggunakan politik wang untuk memenangi pilihanraya kecil Batu Talam itu.

Kadir seterusnya mengingatkan PAS dan PKR bahawa pengundi tidak bersalah dan mereka tidak ada masalah dengan PAS atau PKR.

"Masalah adalah antara PAS, PKR dan SPR. PAS dan PKR mendakwa mereka tidak percaya kepada SPR.

"Tetapi dengan memboikot pilihan raya kecil ini, mereka menghukum pengundi yang tidak bersalah. Samalah dengan orang mengantuk yang membakar kelambu kerana marahkan nyamuk," katanya lagi.

Menurut Kadir, tidak salah bagi PAS, PKR, DAP dan sesiapa pun mempertikaikan ketelusan, kerahsiaan dan kesaksamaan sistem pilihan raya.

Tetapi, katanya, menghampakan pengundi dengan memboikot pilihan raya bukanlah cara yang bijaksana apatah lagi kerana selama berpuluh-puluh tahun lamanya PAS menerima dan memanfaatkan sistem itu.

"Kalau PAS kini mempertikaikan sistem itu maka ia samalah dengan mempertikaikan kemenangannya sendiri di Kelantan dan di semua kerusi Parlimen dan DUN di seluruh negara kerana sistem itu jugalah yang memberikannya kemenangan tersebut.

"Atau adakah tindakan boikot ini sekadar sandiwara dan alasan dangkal PAS dan PKR kerana mereka takut kalah di tangan BN di saat-saat parti pemerintah itu dikatakan menghadapi tentangan hebat daripada rakyat jelata?," kata Kadir.

Lebih memalukan, katanya, jika tindakan bacul itu berpunca daripada ketidakmampuan parti-parti pembangkang, khasnya PAS dan PKR, untuk berpakat bagi mencabar BN.

Berbeza dengan pandangan Kadir, bekas Setiausaha Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Zaharin Mohd Yasin menyifatkan keputusan PAS memboikot pilihan raya kecil Batu Talam sama ertinya Pas menghantar peluru berpandu ke Putrajaya.

"Bagi mereka yang tidak ada asas atau belajar sains politik, terutama orang-orang Umno/BN tentulah keputusan itu sebagai menunjukan satu kekuatan Umno/BN dan berita gembira seperti itu adalah seakan selari dengan komen yang diberi oleh Pengerusi SPR "itu dia punya fasal".

"Tetapi bagi yang faham apa erti politik, tindakan memboikot itu sama ertinya PAS menghantar peluru berpandu ke Putrajaya, walau pun bomnya tidak nampak melutup tetapi kerosakannya amat terkesan," kata Zaharin yang juga penyokong kuat Dr Mahathir blognya, Sang Kelembai.

Beliau menyifatkan isyarat yang dihantar oleh PAS dihantar kepada SPR sebenarnya bertujuan untuk dihantar seluruh dunia.

"Sekarang nama Malaysia tercemar, sebagai pengamal demokrasi yang Perdana Menterinya seorang Pengerusi Pertubuhan Kedua terbesar selepas PBB termasuk Pertubuhan Negara Berkecuali telah dimalukan oleh PAS.

"Isyarat yang dihantar oleh PAS dihantar kepada SPR sebenarnya bertujuan untuk dihantar seluruh dunia walau pun tidak memakai satelit Measat 5," kata Zaharin yang dipecat dari Umno 29 September lalu kerana mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Seorang lagi blogger yang juga penyokong kuat Dr Mahathir, Amin Yatim menyifatkan percaturan PAS kali ini amat tepat dari segi taktikal.

"Saya ingin berbeza pendapat dengan Datuk A Kadir Jasin yang menganggap tindakan PAS dan Keadilan menarik diri sebagai bacul. Bagi saya percaturan PAS kali ini amat tepat dari segi taktikalnya," kata beliau dalam blognya, Cuit Sikit.

Menurut beliau, PAS dan PKR tidak mahu keputusan pilihan raya kecil itu akan mengejutkan Perdana Menteri yang masih dibuai puja dan puji mengenai populariti beliau.

"Bagi mereka Batu Talam bukan agenda perjuangan dan survival politik. Mereka tidak mahu Abdullah berubah kerana ini akan menjejaskan peluang mereka dalam pilihan raya akan datang.

"Dengan kata lain, PAS dan KeADILan tidak mahu Pak Lah sedar bahawa laporan-laporan daripada kumpulan cerdik pandai bawah Khairy adalah palsu belaka," kata beliau.

PAS, kata Amin, mengambil pengajaran daripada pilihan raya kecil di Kelantan lalu, bahawa kekuatan jentera BN amat sukar ditangani dalam pilihan raya kecil.

"Mereka ingin menunggu pilihan raya umum ketika jentera BN terpaksa berpecah ke serata tempat untuk memberi kejutan," katanya.

_

 
  Iklan Teks
 

Iklan Di sini. Hanya RM150 seminggu