| Pertambahan pendatang dapat Mykad di Sabah beri kesan negatif |
|
Wan Nordin Wan Yaacob
Wed | Aug 23, 06 | 11:52:19 am MYT |
|||||||
|
Ketika mempengerusikan sidang meja bulat bersama akhbar tempatan di Pejabat Suhakam di sini hari ini SK Choo berkata, pada 31 Julai lalu Suhakam telah mengadakan satu sesi lawatan ke Sabah untuk menyiasat dakwaan tersebut. Turut serta dalam sidang itu ialah, tiga Pesuruhjaya Suhakam yang lain iaitu, Dato' Sivasubramaniam, Dato' Dr Michael Yeoh dan Dato' Dr Denison Jayasooria. Menurut Sk Choo, Suhakam telah mengadakan lawatan di tiga buah kampung yang dikatakan memiliki bilangan pendatang tanpa izin yang tinggi, antaranya ialah; Kampung Kinarut, Telipok dan Seri Tanjong. Kes lama yang membimbangkan "Apa yang kami tahu, ramai pendatang tanpa izin memiliki Mykad.Ada di antara mereka telah lama menetap di sini.Ini bukan satu masalah yang baru.Ia berlaku sejak beberapa tahun lamanya.Isu ini akan memberi kesan negatif kepada lanskap politik, ekonomi, budaya dan sosial negara," kata SK Choo. Kemasukan pendatang tanpa izin yang memiliki Mykad ini hanya akan mengakibatkan pertambahan kepada belanjawan negara dan mereka ini kini mula memberi masalah kepada penduduk tempatan, kata SK Choo. Antara masalah yang timbul ialah, pendatang tanpa izin ini sudah mula menguasai kegiatan ekonomi kecil di Sabah seperti pesaingan di pasar malam dan pasar tani yang sekaligus menidakkan peluang ekonomi penduduk asal (bumiputera), katanya. Selain itu golongan ini juga dibimbangi menjadi dalang kepada pertambahan kes seludup rokok dan barang terlarang di negara ini, katanya. Tuntut hak 'bumiputera' Selain itu kata SK Choo, suatu hari nanti (jangka masa panjang) pendatang yang memiliki Mykad ini dibimbangi akan menuntut hak sama rata seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai seorang 'bumiputera'. "Tidak mustahil mereka ini akan menuntut hak seperti bumiputera kerana mengikut dokumen mereka sah di sisi undang-undang, sedangkan mereka ini sebenarnya adalah golongan yang dieksploitasi pihak tertentu untuk mendapatkan keuntungan. "Sudah tentu mereka (pendatang tanpa izin yang memiliki Mykad) akan ada hak untuk mengundi, menentukan pemimpin yang akan dipilih, dan menuntut hak mereka,"katanya. Suhakam merasakan pendatang ini mudah memiliki Mykad berikutan adanya sindiket memberi kad pengenalan dengan niat tertentu, katanya. Sehubungan itu Suhakam menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyiasat pertambahan bilangan pendatang tanpa izin yang dilaporkan dan bertindak mengatasi masalah yang disifatkan bakal memberi kesan jangka masa panjang, katanya. - mks. _ |
|||||||