| Hentikan kempen sentuh sensitiviti umat |
|
Nyza Ayob
Thu | Jun 01, 06 | 7:16:49 am MYT |
|||||||
|
HARAKAH: Boleh ceritakan kronologi peristiwa tersebut. AZMI: Kita dapat tahu "Kumpulan Artikel 11" dan Aliran akan menganjurkan forum, yang menumpukan isu murtad. Difahamkan ia lanjutan forum di Melaka dan Petaling Jaya iaitu satu kempen supaya kerajaan memberi hak kepada golongan murtad dan membincangkan Perkara 121 (1A). Masyarakat dapat merasai kumpulan ini mendatangkan bahaya. Apabila mereka mengetahui Artikel 11 ini akan mengadakan forum berkaitan, mereka berkumpul menggesan forum itu dibatalkan. Sebenarnya ada yang tersirat; mana mereka telah mencampuri urusan agama Islam. Dengan mengguna kes Moorthy dan Nyonya Tahir, kumpulan ini mendakwa hak orang bukan Islam di negara ini tidak dilindungi. Artikel 11 ini dianggotai 14 NGO, antaranya Awam, Suaram, Hakam, Sister in Islam dan WAO. Golongan ini juga yang menolak penggunaan undang-undang dalam menjaga moral individu. Mereka menganggap hak beragama tidak boleh dihalang termasuk jika seseorang Islam ingin menukar agama. Mereka mempertikai kenapa masalah murtad ini diletakkan di bawah undang-undang Syariah. Bantahan tersebut dibuat individu yang sedar betapa tindakan golongan ini cukup berbahaya kepada masyarakat. Mulanya, kita difahamkan forum itu terbuka kepada umum. Bagaimanapun sewaktu pendaftaran, sebilangan yang ingin menyertai forum tidak dibenarkan masuk kerana tiada nama dalam senarai pendaftaran. Kami mempersoalkan, jika itu forum terbuka, kenapa kami tidak dibenarkan masuk. Setelah berbincang, akhirnya dibenarkan masuk. Forum berjalan, dan dua ahli panel menyampaikan hujahnya. Bila tiba giliran panelis ketiga, Zaid Ibrahim, kekecohan mula berlaku. Beberapa peserta minta forum dihentikan kerana hujah ahli panel mula menyimpang. Dalam masa sama, orang ramai di luar hotel mula membuat bantahan supaya forum dihentikan segera. Pihak polis juga meminta supaya pihak penganjur menghentikan forum. Ekoran bantahan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz menyifatkan pembantah forum itu sebagai bodoh. Ini melambangkan kebodohan dan kebebalan Nazri sendiri. Dia sendiri tidak faham sentimen yang dibawanya. Nazri sebenarnya tahu Artikel 11 ini berkempen mengenai isu yang sensitif iaitu mengenai murtad. Nazri pernah mengeluarkan kenyataan: "Kami buat Islam kerana PAS pengaruhi undi Melayu." Seharusnya jika ada yang menganggap isu ini mengancam golongan minoriti, ia patut dibincangkan di Kabinet. Jangan membincangkan isu seperti Nyonya Tahir, Morthy dan Lina Joy ini di forum. Kumpulan ini menggunakan kelompok ajaran sesat untuk membantah perkara yang diputuskan Mahkamah Syariah. Niat kumpulan ini ialah berselindung di sebalik hak Perlembagaan dan mencabar undang-undang Syariah. Kumpulan ini menganggap sesiapa yang ingin murtad dengan cara mereka sendiri sama ada nak ikut Ayah Pin atau ajaran sesat lain, maka orang lain tidak boleh diganggu. Mereka menganggap itu hak mereka. Tindakan kumpulan ini seolah-olah menggambarkan mereka tidak menghormati undang-undang negara ini. Kita dalam Islam ada peraturan. Kalau tinggal di negara Islam, mereka mesti hormat peraturan kita. Mereka melancarkan kempen ini supaya hukum Syariah diketepikan dan jangan menjadi arus perdana. Mereka mahu undang-undang Syariah tunduk kepada undang-undang sivil. Mereka mencabar agensi Islam dan Majlis Agama Islam Negeri hinggakan agensi Islam ini tidak boleh menghalang kelompok ajaran sesat. Mereka tidak mahu Malaysia menjadi negara Islam sebenar. Mereka hendak menjadikan Malaysia negara sekular dan berbentuk peribadi. Tunjukkan mana dalam Perlembagaan yang boleh menjadikan negara kita sekular? Ini menunjukkan kumpulan ini hipokrit, mereka ingin menjadikan undang-undang Islam terpisah dari Perlembagaan. Jika mereka menjunjung undang-undang Inggeris, mereka juga kena hormat orang Islam yang mahukan undang-undang Islam. Kumpulan ini mengatakan hak minoriti orang bukan Islam ini dinafikan dan tertindas. Jika mereka mengatakan hak minoriti orang bukan Islam ini dinafikan dan tertindas, ini tidak betul. Kebebasan beragama di Malaysia sangat luas berbanding negara lain. Wat dan kuil banyak di Malaysia malah Malaysia mempunyai kuil Buddha yang terbesar di Asia Tenggara. Perayaan mereka juga dapat pengiktirafan di Malaysia. Kita juga ada sekolah berasas elit. Ini tidak terdapat di India, Denmark mahupun Thailand. Tidak betul mengatakan kita diskriminasi. Mereka mempunyai niat tidak jujur supaya syariat Islam ini jangan diketengah. Mereka sedang berkempen untuk membangkitkan sentimen benci dan tidak hormat pada undang-undang Syariah dan agensi Islam. Perdana Menteri dalam respons pada kenyataan Nazri itu menyatakan Nazri berhak menggunakan perkataan tersebut dan Nazri mungkin tahu apa yang berlaku sebagai tidak wajar. Kita juga pelik kenapa PM tidak melihat isu ini sensitif pada umat Islam. Beliau sepatutnya tegur dan salurkan tidak puas hati dengan hujahnya. Kita kecewa dengan PM kerana beliau tidak melihat dari sudut tersebut. PM lemah untuk menegur menterinya. Walhal seorang PM perlu menegur dan membetulkan menteri di bawahnya. Ini yang tidak kena dengan PM. Apakah kumpulan Artikel 11 ini mempunyai kaitan dengan IFC? Mereka yang mencadangkan penubuhan IFC. Apabila PM menyatakan IFC ditangguhkan mereka mencuba cara lain. IFC sebenarnya tidak mati. Sebab itu timbul Artikel 11. Masih ada lagi kempen seperti ini yang akan dilancarkannya. Mungkinkah jika aktiviti kumpulan ini tidak dihentikan, peristiwa seperti 13 Mei akan berlaku yang mengakibatkan rusuhan antara kaum? Kita nak elakkan kejadian tidak diingini seperti itu. Teras menasihatkan semua pihak termasuk kelompok bukan Islam supaya hormat serta memberi peluang umat Islam melaksanakan Islam kepada masyarakatnya. Kita risau perasaan marah umat Islam akhirnya nanti tidak dapat dibendung. Kita tidak mahu cabar mencabar ini berlaku. Hak orang Islam perlu dihormati. Nasihat Teras kepada kelompok yang membantah undang-undang Islam ini? Hentikan kempen ini kerana ia menyentuh sensitiviti umat Islam dan jangan buat road show. Kerajaan perlu mengawal dan memantau usaha untuk mencabar serta campur tangan urusan agama Islam. Ia sangat tidak sihat. Kita sudah ada pihak berkuasa untuk membincangkan tentang Islam ini. Teras akan melancarkan kempen selamatkan akidah dan laksanakan Syariah. Ini adalah urusan orang Islam dan kita berhak melaksanakannya. - mks. _ |
|||||||