Pendidikan negara perlu reformasi segera - PKPIM
Ali Bukhari
Fri | May 05, 06 | 5:34:07 pm MYT

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Hrkh) - Pendidikan negara memerlukan refomasi segera dalam menangani pelbagai isu berkaitan pelajar yang meliputi akhlak dan kecemerlangan mereka di samping mengesyorkan mata pelajaran agama Islam diperkasakan.

Iklan
 
 
   

Setiausaha Agung, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Mohd Hilmi Ramli berkata demikian dalam satu kenyataan medianya sebagai respons kepada lima cadangan ke atas sistem pendidikan negara yang digariskan oleh Kementerian Pelajaran semalam.

Menteri Pelajaran, Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata dalam kenyataannya semalam berhubung syor lima cadangan, iaitu salah satu daripadanya ialah mengurangkan subjek dalam UPSR, PMR dan SPM agar sistem pendidikan negara tidak berorientasikan peperiksaan.

"Usaha mengurangkan subjek peperiksaan besar seperti UPSR, PMR dan SPM adalah reformasi kecil dalam pendidikan negara yang ditunggu. Usaha ini adalah positif dan sepatutnya sudah lama diusahakan," kata Hilmi.

Sambil menyifatkan syor mengurangkan subjek itu sebagai reformasi kecil, Hilmi berkata sistem orientasi peperiksaan telah menjadi budaya masyarakat hari ini.

"Hakikatnya kejayaan cemerlang dalam peperiksaan semata-mata bukanlah ukuran kejayaan paling unggul. Ibu bapa menghantar anak-anak ke tuisyen kerana takut anak-anak ketinggalan dari segi pencapaian akademik dengan rakan sebaya mereka.

"Tuisyen tidak salah, akan tetapi menjadikan tuisyen segala-galanya menyebabkan anak tidak sempat bersukan, menghadiri kelas agama dan aktiviti lain yang menyihatkan," kata Hilmi.

Menurut Hilmi, fenomena kem kecemerlangan peperiksaan umum yang kini tumbuh bak cendawan, telah menjadi bahan komoditi, di mana pelajar disogokkan bahawa kem itu mampu membantu mereka menghadapi peperiksaan umum kelak.

"Ini beruntung bagi mereka yang mempunyai pendapatan keluarga yang baik, tetapi bagaimana keluarga yang miskin dan kurang dari segi akses ilmu yang menyebabkan berlaku jurang pendidikan yang jauh?" kata beliau.

Di samping itu, PKPIM menyeru Kementerian Pelajaran memperkasakan subjek Pendidikan Islam dan pendidikan kemanusiaan yang lain dalam sistem pendidikan negara.

"Dalam sudut lain, pendidikan kemanusiaan seperti Moral, Pendidikan Islam tidak menjadi keutamaan. Sebaliknya, subjek kritikal seperti Sains dan lain-lain diutamakan. Ketidakseimbangan ini melahirkan insan yang cekap dalam bidang profesional, tetapi miskin dalam nilai kemanusiaan," katanya.

_
 
  Iklan Teks
 

Iklan Di sini. Hanya RM150 seminggu