Bersama doakan kemenangan perjuangan rakyat Palestin - Dr Syed Azman
Wan Nordin Wan Yaacob
Sat | Jan 10, 09 | 9:30:06 am MYT

KUALA TERENGGANU, 10 Jan (Hrkh) - Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi menyeru seluruh rakyat Malaysia mendoakan kemenangan perjuangan rakyat Palestin yang kini sedang dihimpit kekejaman rejim Zionis.

Iklan
 
 
   

Beliau yang berceramah di Kampung Kuala Bekah dekat sini malam tadi menegaskan, kegilaan rejim Zionis membedil rakyat Palestin di Gaza membungkam kebencian seluruh masyarakat dunia.

Namun, pihak-pihak berkuasa dunia termasuk PBB, OIC dan Liga Arab seolah-olah tidak bermaya untuk menentang kezaliman tentera Yahudi hingga menyebabkan ratusan nyawa rakyat Palestin terkorban, katanya.

Syed Azman menyatakan rasa kesal dengan sikap pertubuhan-pertubuhan dunia tersebut yang sebenarnya takut kepada Amerika Syarikat yang menyokong kuat Israel.

"Saya menyeru rakyat Malaysia agar bermunajat dan berdoa kepada Allah supaya memberikan pertolongan kepada saudara-saudara kita di Palestin," katanya.

Sementara itu, khutbah yang dibacakan khatib di beberapa buah masjid sekitar Parlimen Kuala Terengganu semalam banyak berkisarkan isu di Palestin.

Khatib-khatib turut mengingatkan sidang jemaah agar meneruskan solat hajat dan mengeluarkan bantuan kepada rakyat Palestin melalui tabung-tabung yang disediakan oleh pertubuhan-pertubuhan di negara ini.

Siri-siri solat hajat juga diteruskan di setiap masjid dan surau di sini sejurus selepas solat Jumaat.Poster-poster kempen calon PAS turut memuatkan isu-su kekejaman Israel di Palestin. - mks._

Iklan Premium B Iklan Premium C
Iklan Teks Iklan Di sini. Hanya RM150 seminggu

Iklan Di sini. Hanya RM150 seminggu