| Istilah 'Erdogan' propaganda jahat untuk pecah-belah PAS |
|
WFAUZDIN NS
Thu | Jan 08, 09 | 1:58:21 pm MYT |
|||||||
|
Istilah Kumpulan Erdogan sememangnya disedari oleh kita iaitu satu istilah yang dicipta oleh musuh-musuh PAS dan juga Pakatan Rakyat bertujuan untuk memecah-belahkan perpaduan di dalam PAS terutamanya. Istilah ini muncul sebaik sahaja PAS mendapat manafaat besar hasil dari kerjasama erat dengan KeADILan dan DAP sebagaimana yang terbukti selepas Pilihanraya Umum ke 12 yang lalu.
Jika dahulu, PAS sering dikaitkan dengan dua kumpulan iaitu kumpulan berfahaman Syiah dan kumpulan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Label yang digunakan oleh musuh-musuh PAS ketika itu ternyata tidak berkesan dan kini mereka cipta istilah baru iaitu Kumpulan 'Erdogan'. Apabila beberapa negeri telah dapat ditawan oleh Pakatan Rakyat, dan mereka melihat di antara faktor kekuatan Pakatan Rakyat adalah persefahaman di antara PAS, KeADILan dan DAP yang begitu mantap meskipun mempunyai dasar parti yang berlainan. Faktor kepimpinan Dato' Seri Anwar Ibrahim yang amat memahami dasar PAS dan juga dasar DAP telah melaksanakan pendekatan bijak dan berhemah tanpa menimbulkan kecurigaan di antara satu sama lain. Tambahan pula, kepimpinan di dalam PAS yang tidak jumud tetapi tegas di dalam prinsip Islamnya menjadikan PAS amat dicemburui oleh musuh-musuh mereka. Maka, timbullah istilah Kumpulan Erdogan yang dikatakan sentiasa membelakangi kepimpinan Ulamak di dalam PAS dan kumpulan ini dikatakan lebih condong kepada Anwar. Isu ini dimainkan kali terakhir ketika PAS akan berhadapan dengan Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu. Mereka beranggapan PAS akan menghadapi masalah untuk menentukan calon kerana terdapatnya Kumpulan Erdogan yang mendesak agar calon PAS mestilah dari golongan atau puak mereka. Pimpinan PAS yang bijaksana dan lebih arif tentang taktik bodoh musuh-musuh PAS ini tegas membuat keputusan memilih calon yang terbaik bagi mewakili rakyat di Kuala Terengganu. Setelah nama calon diumumkan, musuh-musuh PAS masih bergantung harap agar terjadinya perpecahan maha hebat di kalangan penyokong-penyokong PAS terutamanya dari kumpulan yang dikatakan Erdogan tersebut. Malang sekali, mereka merasa amat kecewa kerana harapan mereka jauh tersasar. Pengumuman calon PAS, Abdul Wahid Endut disambut begitu meriah bukan sahaja oleh rakyat di Kuala Terengganu bahkan juga oleh semua pimpinan Pakatan Rakyat yang lain. Talkinkan Umno Pemimpin-pemimpin PAS di semua peringkat dan bahagian termasuk yang dikatakan kononnya dari Kumpulan Erdogan itu sedikit pun tidak bersuara bahkan memberi keyakinan penuh bahawa calon yang dipilih oleh PAS tersebut adalah calon yang paling layak untuk 'mentalkinkan' Umno di Kuala Terengganu. Pada hari penamaan calon, anggapan yang mengatakan PAS mempunyai Kumpulan Erdogan terbukti satu propaganda jahat. Sebaliknya suara PAS bersatu dengan kalimah 'Allah Maha Besar' diselangselikan dengan laungan 'hidup rakyat' dan 'hidup Pakatan'. Kalimah Allah berkumandang pada hari tersebut memasuki lubang-lubang telinga semua penyokong PAS termasuk penyokong-penyokong Non Muslim. Bagi mereka yang Non Muslim, mereka kini mengerti dan faham apa sebenarnya yang diperjuangkan oleh PAS. Cuma barangkali, telinga-telinga pemimpin-pemimpin Umno dan penyokong-penyokong parti tersebut belum bersedia untuk mendengar kalimah Tauhid tersebut. Mudah-mudahan di penghujung nyawa nanti, kalimah ini tetap menusuk ke lubang telinga mereka. Kehadiran puluhan ribu penyokong Pakatan Rakyat jauh mengatasi penyokong-penyokong Umno/BN semasa hari penamaan calon membuatkan Umno lebih bersedia untuk mengorbankan seorang lagi calonnya setelah seorang calonnya terkorban di Permatang Pauh baru-baru ini. Najib yang dikatakan bakal menjadi PM tidak berapa bulan lagi ternyata diwajahnya saling tidak tumpah seperti wajah beliau semasa hari penamaan calon di Permatang Pauh sebelum ini. Komen-komen serta keyakinan dari beliau kelihatan seperti untuk 'menyedapkan' hati penyokong-penyokongnya. Isu Erdogan tidak terpakai lagi, isu hudud ternyata memakan tuan dan Umno terpaksa kembali kepada modal basinya iaitu menabur sebanyak mana wang atas nama peruntukan. Awal mula pertama mula, kelihatan berebut-rebutlah penyokong-penyokong Umno/BN mendapatkan payung dan T-Shirt percuma bergambar dacing seperti 'ayam yang diberi makan sebelum disembelih oleh tuannya'. - azm _ |
|||||||