Ketua Bahagian keluar parti, provokasi murahan BN
Nuha Rahim
Mon | Aug 25, 08 | 3:40:30 pm MYT

PERMATANG PAUH, 25 Ogos (Hrkh) - Pengerusi Badan Perhubungan KeADILan Negeri Kedah, Zambri Yusuf menyanggah kenyataan yang dibuat oleh Zamin Ibrahim dan Ezam Mohd Noor tentang pimpinan-pimpinan KeADILan negeri itu keluar parti semalam.

Iklan
 
 
   

"Semua 15 bahagian di Kedah turun memberi sokongan tenaga bagi membantu jentera pilihan raya Permatang Pauh untuk memenangkan Dato' Seri Anwar Ibrahim,"tegasnya di Bangunan Yayasan Aman di sini.

Beliau menyifatkan bahawa kenyataan oleh bekas pimpinan utama KeADILan itu sebagai fitnah semata-mata.

"Ini adalah fitnah kerana ketua-ketua bahagian yang terlibat bukanlah ketua-ketua bahagian yang sebenarnya,"ujarnya.

Menurutnya, hakikat yang sebenar mereka itu adalah bekas ahli-ahli KeADILan dan ada di kalangan mereka itu telah meninggalkan KeADILan sejak dua tahun yang lalu bersama-sama Ezam.

"Mereka yang ada bersama dengan kita sekarang inilah sebenarnya pimpinan-pimpinan KeADILan bahagian di Kedah yang telah menyertai parti sejak tahun 1999," katanya.

Semalam, heboh dalam media perdana tentang ahli-ahli parti tersebut di negeri Kedah yang keluar parti serta memberi sokongan kepada Barisan Nasional dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh.

Antara ketua-ketua bahagian yang dikatakan keluar parti ialah bahagian Pokok Sena, Pendang, Sik, Baling dan Alor Setar.

Zambri menegaskan bahawa tindakan menghebahkan ahli keluar parti adalah tindakan provokasi murahan yang sentiasa digunakan oleh BN

"Namun, kami tetap memandang berat terhadap tindakan seperti ini supaya penduduk Permatang Pauh tidak tertipu dengan helah BN," tegasnya. - mks._

 
  Iklan Teks
 

Iklan Di sini. Hanya RM150 seminggu