Mendekati bukan Islam melalui Kelab Penyokong PAS
Fri | Mar 31, 06 | 10:38:11 am MYT

Kelab Penyokong PAS yang ditubuhkan menjelang pilihan raya umum 2004, kini dilihat semakin penting bagi membolehkan PAS dan sekutunya mengikis salah faham mengenai parti itu di kalangan bukan Islam seterusnya melakar kemenangan pada pilihan raya berikutnya pada 2007/08. Wartawan Harakah, KUSYI HIRDAN   mendekati pemimpinnya di samping mendapatkan pandangan beberapa tokoh PAS.

Iklan
 
 
   

HU PANG CHAW
Usia: 51
Asal: Alor Star, Kedah
Pendidikan: Sekolah Menengah Keat Hwa, Alor Star, Maktab Perguruan Raja Melewar, Seremban
Kerjaya dulu: Guru (1977 - 1994), wartawan Nanyang Siang Pau hingga 2000, pernah sertai MCA, Ahli Majlis MPKB (5 tahun) dan sejak Januari 2005 berniaga hartanah.

Image
“Ahli keluarga tidak pernah sekat saya bersama PAS. Saya pun tidak bimbang terhadap sebarang tekanan atau halangan kerana saya anggap kerja dan sumbangan saya adalah untuk rakyat dan bukan untuk peribadi,” jelasnya sambil menambah masyarakat umum Kelantan juga tidak pernah memulaunya. Dia masih punya ramai kawan dalam MCA, Gerakan dan Umno, selain PAS, KeADILan dan DAP.

“Bagi saya, saya lebih tahu dan memahami PAS berbanding orang lain  dalam masyarakat Cina di Malaysia. Saya anggap kenalan saya dalam semua parti adalah satu aset yang penting dan berfaedah.”

Hu masih ingat kenangan pada tahun 2004. Peristiwa bersejarah menjelang pilihan raya umum Mac tahun itu. Ia berlangsung di Markas Taman Melewar, Gombak. Hatinya berbunga gembira setelah Presiden PAS, Tuan Guru Haji Hadi Awang merasmikan Kelab Penyokong PAS. Bagai baru berlaku semalam, Hu begitu bersemangat bercerita sejarah dan onak sepanjang laluannya bersama Kelab Penyokong PAS.

 “Kelab ini diwujudkan kerana ramai pengundi Cina yang tidak sokong BN, termasuk daripada MCA dan Gerakan dan juga tidak berapa yakin kepada parti lain. Mereka perlukan cara untuk menyuarakan hasrat serta suatu kekuatan politik untuk “semak dan imbang.” 

“PAS mempunyai rangkaian yang berkesan di seluruh negara, maka PAS menjadi pilihan mereka, tetapi oleh kerana mereka tidak boleh menjadi ahli berdasarkan perlembagaan parti, maka timbulnya idea untuk menubuhkan Kelab Penyokong PAS.”

Menurut Hu, sejak ditubuhkan, kelab telah memainkan peranannya dalam pilihan raya umum dan kecil seperti Dun Anak Bukit dan Parlimen Pendang. Namun seperti kelab baru yang lain, kelab ini juga menghadapi masalah. 

“Kami berdepan masalah dengan Pendaftar Pertubuhan. Beberapa cadangan timbul seperti daftar saja atas nama persatuan kebajikan dan sukarelawan, tetapi bimbang nanti akan hilang identiti sebagai kelab penyokong PAS dan statusnya dalam parti tidak jelas, adakah ia satu badan tersendiri atau di bawah Lajnah Hubungan Antara Kaum PAS Pusat?”

Maka selepas Muktamar 2005, Lajnah Hubungan Antara Kaum ditukar kepada Lajnah Perpaduan Nasional diketuai Ustaz Mujahid Yusuf Rawa yang memilih semula jawatankuasa kelab.

Hu menerangkan Kelab Penyokong PAS Nasional telah mengadakan beberapa inisiatif mendekati masyarakat bukan Melayu seperti mengadakan dialog dengan kumpulan intelektual masyarakat Cina di Dewan Perhimpunan Cina Selangor, Kuala Lumpur, mengedarkan kad raya Cina dan baru-baru ini menganjurkan majlis Tahun Baru Cina di Hotel City Villa.

 “Kami juga merancang untuk menubuhkan kelab di setiap negeri, mengadakan majlis perjumpaan dengan NGO Cina, menterjemah perlembagaan parti dalam bahasa Cina untuk memudahkan masyarakat Cina memahami perjuangan parti serta mengadakan majlis kebudayaan dan majlis makan malam.” Cukup bersemangat Hu bercerita tentang agenda dan perancangan Kelab.

Hu menerima PAS kerana ia mempunyai organisasi dan rangkaian yang baik dan sempurna serta perjuangannya jelas. Dia menerima konsep Islam yang adil pada semua kaum dan buktinya dapat dilihat di Kelantan dan Terengganu.

“Masyarakat Cina memang takut kepada PAS kerana mesej PAS tidak sampai kepada mereka. Ini memberi peluang parti lawan meracun mereka dengan pelbagai tohmahan. Tetapi Kelantan membuktikan dasar pemerintahannya yang terbuka serta adil, dan masyarakat Cina dapat menerima PAS. Sebab itu di Dun Kota Lama yang majoriti pengundi Cina lebih kurang 40 peratus, PAS menang dua penggal,  pada 1999 dan 2004.

 “Melalui pengalaman saya, PAS perlu menggiatkan lagi usaha mendekati masyarakat Cina. Tan sokongan mereka, tidak ada satu parti mampu memerintah sendirian.
“Bagi saya masih banyak ruang yang PAS boleh majukan. PAS jangan hanya tumpu sokongan orang Melayu tetapi harus bergerak serentak dalam masyarakat bukan Melayu. Di sinilah Kelab Penyokong PAS memainkan peranan penting.

PAS juga perlu menjelaskan matlamat parti, dalam bahasa yang boleh difahami  semua kaum Malaysia. Elok juga adakan buletin dan berita web dalam bahasa selain Melayu.


Bermula dengan risau, kini gembira

TAN WEE KIAN
Usia: 29 tahun
Asal: Rantau, Negeri Sembilan
Pendidikan: Lulusan kolej bidang komputer
Jawatan: Setiausaha Organisasi, Kelab Penyokong PAS Negeri Sembilan

“Pada awalnya saya risau juga menyertai kelab ini, takut masyarakat Cina menjauhi saya. Kini tiada lagi kerana nampaknya mereka sudah mendapat gambaran peranan kelab ini. Saya gembira kerana keluarga menyokong dan memberi galakan.”

Tan bertuah kerana dia boleh aktif dan bersama PAS tanpa sekatan. Usianya yang muda membuatkan dia bersemangat tinggi dan berkobar-kobar mahu menyampai misi PAS pada kaumnya. Langkah Tan umpama baru bermula.

Dia memahami dan menerima misi kelab yang antara agenda utamanya membantu masyarakat bukan Islam, menjadi jambatan antara komuniti Islam dengan bukan Islam di samping memberi gambaran yang betul tentang perjuangan PAS. Tan sendiri berminat menyertai dan aktif pula kerana mahu terus memperjuang hak rakyat khusus yang miskin dan tidak berupaya.

“Saya memang bersemangat dan berkobar-kobar kerana banyak kes yang tidak adil menimpa masyarakat kita seperti rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa, kronisme dan banyak lagi.”

Rupanya Tan yakin hanya bersama PAS segala-galanya itu dapat diubah dan diperbaiki.
Tan tidak menafikan secara umumnya orang Cina takut kepada PAS kerana fikiran mereka diracuni BN khasnya MCA yang mengatakan PAS parti pelampau dan mahu menubuhkan negara Islam dan nanti memaksa semua orang masuk Islam!

“Sebab itu PAS dengan kerjasama kelab perlu mendekati orang Cina dan terus-menerus memberi penerangan yang kita mahu membela hak rakyat. Jangan anggap kerana berlainan agama atau bahasa, orang Cina sukar menerima PAS.

“Mereka begitu kerana ditakutkan MCA, Gerakan dan Umno. Kita perlu berusaha membuat penjelasan bersungguh-sungguh. PAS memperjuangkan nasib semua kaum dan bukan sebaliknya!”


PANDANGAN PEMIMPIN PAS

Usah ulangi kesilapan lama – Mujahid

Di samping pendapat dua ahli kelab yang berbeza generasi tetapi  cukup aktif dan bersemangat, bagaimana pula pandangan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional, Ustaz Mujahid Yusuf Rawa (gambar) terhadap Kelab Penyokong PAS?

Sejauh mana kelab ini dapat bertahan dan mengembangkan fungsinya. Bukankah sebelum ini PAS pernah membuat percubaan mendekati golongan bukan Islam, tetapi gagal di pertengahan jalan.

Kelab Penyokong PAS terbuka untuk semua, kata Mujahid. Islam dan bukan Islam atau orang Islam yang mahu terlibat secara kelab dan bukan seperti sebuah parti politik. Mujahid mahu mengumpul ahli sebanyak mungkin!

Padanya, kelab ini amat penting dan tidak harus dipandang ringan memandangkan selama ini PAS dituduh parti Melayu Islam dan tidak mungkin menyampai mesej politiknya kepada bukan Islam.

“Usaha untuk mendapat sokongan bukan Melayu sebenarnya melalui liku sejarahnya tersendiri. Sejak 80-an lagi pendekatan kepada bukan Melayu telah diusahakan seperti menubuhkan CCC iaitu ‘Chinese Consultative Council’ (Majlis Perundingan Cina), malah mereka sebagai barisan depan  politik PAS telah masuk pilihan raya atas nama PAS!

“Namun perkembangannya terbantut kerana kepimpinan waktu itu kurang menyuburkannya. Kini ia tumbuh kembali dengan penubuhan Kelab Penyokong PAS yang akan menjadi pemangkin kepada hubungan politik dengan masyarakat bukan Melayu.”

 Ternyata kelab ini menghidupkan kembali usaha yang telah dibuat bapa Mujahid sendiri, Almarhum  Yusof Rawa, bekas Presiden PAS.  Itu realiti perjalanan politik PAS yang sepatutnya dijadikan pengalaman berharga dan generasi muda tidak melakukan kesilapan yang sama.

“Kelab Penyokong PAS sebenarnya tercetus apabila sebelum ini saya secara khusus banyak berhubung dengan bukan Islam khususnya Cina yang dahaga maklumat dan perlu khidmat dari pemimpin-pemimpin PAS, antaranya insinerator di Broga, isu sekolah wawasan dan SRJKC.

“Kami telah membantu masyarakat Cina dan mereka benar-benar menghargai kami. Dari situ saya memikirkan bagaimana jika mereka diberi platform dan merasa diri sebahagian daripada PAS, maka Kelab Penyokong PAS adalah pilihan terbaik untuk mereka.

“Ada di kalangan ahli kelab aktivis parti yang gigih menyampaikan politik PAS kepada masyarakat Cina. Dalam pilihan raya Pengkalan Pasir baru-baru ini kita  menubuhkan markas di tengah bandar atas nama Kelab Penyokong PAS.

“Kelab ini memberi ruang kepada bukan Melayu menyampaikan mesej. Penubuhannya mendapat sambutan baik dan mereka sedang menunggu beberapa negeri lagi yang akan menubuhkan Kelab Penyokong PAS.

“Kita agak terkejut kerana sejak kelab ini ditubuhkan, ramai bukan Islam khususnya masyarakat Tionghua berminat menyertainya dan menyatakan sokongan mereka terhadap PAS dan mengajak masyarakat mereka menyokong PAS.

“Kami amat berbangga melihat semangat ahli terutama Pengerusi Hu Pang Chaw. Ahli PAS sendiri sepatutnya merasa malu kerana walaupun sebagai ahli kelab sahaja pergerakan Hu menerangkan PAS kepada masyarakat bukan Islam susah nak kejar!

“Ideanya banyak membantu Lajnah Perpaduan Nasional yang saya pimpin. Ahli kelab lain dari Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu juga tidak kurang hebatnya. Mereka cukup komited pada cita-cita kelab. Saya harap usaha kami dapat membuatkan kaum Tiongha dan bukan Islam lain lebih dekat dengan PAS tanpa prejudis. Banyak lagi kerja yang perlu dibuat.”

Subky Latif: Sejarah panjang PAS dan Cina

“PAS pernah mendekati Cina secara besar-besaran pada 1986 menjelang pilihan raya.  Saya ingat lagi, kami adakan seminar, ceramah, perbincangan dan perjumpaan. Memang berlaku soal jawab kerana mereka hendak tahu dan dapatkan kepastian tetapi kesannya cukup positif. Kami menekankan keadilan Islam. Saya masih ingat lagi kenangan itu. Kami dan kaum Cina bersatu dan jumlah mereka waktu itu begitu ramai dan meliputi seluruh Malaysia.
 
“Mereka bersama kami menjelajah negara memberi penerangan dan perjumpaan. Ada yang melihat kami makan dalam talam beramai dan mereka mahu turut serta. Cukup akrab.

“Tetapi kalau membanding CCC dengan Kelab Penyokong PAS sekarang, ternyata pada 1986 kami sudah merasa kesan kesepaduan dan kekuatannya apabila kita bersatu tenaga. Kami pernah membuat penerangan di tokong-tokong Cina yang mana kemudiannya isu itu menjadi permainan politik BN di dada akhbar.

“Namun usaha PAS waktu itu cepat dipatahkan. Kerana salah faham dan permainan licik politik BN, kaum Cina mula menjauhkan diri. Cukup lama mereka renggang dengan kita sehinggalah dua tahun kebelakangan ini dan penubuhan Kelab Penyokong PAS. 

Kelab ini satu cara kita mendekati orang bukan Islam. Dengan terus berbuat baik dan jangan putus asa saya pasti mereka akan nampak kelebihan kita.”


Dr Hatta: Cina tidak lagi takut kepada PAS

“Secara umum, kaum Cina tidak lagi takut kepada PAS kerana kita telah membuktikan sepanjang lebih 50 tahun ini, kita tidak langsung mengamalkan perkauman. Rasa saya jika mereka masih takut juga, mungkin kerana tidak faham atau tidak berminat.

“Kami amat tersentuh melihat kesungguhan dan keikhlasan ahli kelab memperjuang misi. Nampaknya mereka yakin, PAS gerakan Islam sebenar dan mereka sebut sendiri penerimaan itu kepada kita.

“Kita pasti ramai lagi yang berminat, bersemangat dan mahu aktif seperti Hu tetapi mereka tidak berani menonjolkan diri. Keadaan ini bukan berlaku pada orang Cina atau bukan Islam saja tetapi juga orang Melayu.

“Saya pernah bertanya sendiri kepada Hu, adakah dia menerima tekanan atau diboikot masyarakatnya kerana aktif bersama PAS. Jawabnya, tidak. Bermakna orang Cina tidak menghalang kaumnya mendekati PAS kerana mereka mengamalkan demokrasi. Kita gembira melihat keterbukaan begini.

Apabila pimpinan Muslimat PAS berbusana merah terang

Saya pergi juga memenuhi jemputan Dr Halimah Ali untuk menghadiri Hi-Tea Perpaduan Nasional Sempena Tahun Baru Cina, 18 Februari 2006, anjuran Lujnah Perpaduan Nasional, Dewan Muslimat PAS Pusat. Walau sebelum itu terikat dengan aktiviti lain yang sudah diatur lebih awal.

Image
Ini majlis pertama saya di KL setelah berada di bawah bumbung Harakah. Dapat saya katakan terdapat unsur-unsur grand dan kelainan yang begitu ketara pada majlis ini. Mungkin kerana terlalu biasa menghadiri majlis di markas Taman Melewar, suasana di hotel City Villa menyuntik kelainan tersendiri.

Bilik majlis hotel tampil merah, (merah warna “ong” kaum Cina), dengan kain rentang, hiasan dinding, mercun dan angpau hiasan. Cukup terperinci muslimat menghias. Atas meja makan pun buah-buah oren di susun cantik.

Memang terasa suasana Tahun Baru Cina di samping tarian naga dan gendang berkumandang meriah di luar bilik majlis. Saya melihat orang-orang kuat muslimat dan PAS di dalam mood ceria, meraikan tetamu istimewa rakan berbangsa Tionghua  kita.

Paling tidak disangka, warga petugas muslimat termasuk orang-orang kuatnya Dr Halimah Ali, Dr Lo’ Lo’ Ghazali, tanpa terkecuali ketuanya, Ustazah Azizah Khatib bergaya dengan busana merah terang benderang. Lengkap ber’shawl’ selendang panjang merah melilit bahu. Lebih merah dan menyerlah daripada Teresa Kok. Ini bagi saya cukup menggambarkan sikap sporting dan pendekatan terkini Muslimat.

Pendekatan baru dalam usaha mengeratkan perhubungan sungguh dialu-alukan memandangkan Dr Halimah dalam ucapannya menegaskan prinsip “PAS yang sayang semua.” Kini kasih sayang itu semakin nampak nyatanya. Keperluan bersosial ini memang banyak manfaatnya. Masing-masing akan merasa dihargai dan disayangi.

Ingat saya pada suatu e-mel dari rakan muslimat, yang mengharapkan saya dapat membuat liputan kegiatan muslimat dari pelbagai sudut. Dia juga memberi saranan supaya saya sentiasa membuat homework dan jangan lupa selalu menghubungi Dewan Muslimat untuk keep track program supaya dapat membuat liputan di mana yang perlu.

Di zaman serba canggih ini, emel, telefon bimbit dan SMS menjadi penghubung utama yang penting dan muslimat tidak boleh ketinggalan. Dr Mariah Mahmud harus dipuji, yang pada suatu ketika kerana talian internet di rumahnya rosak, dia tidak teragak-agak mengunjungi kafe siber, atas dasar komitmen kerana telah berjanji dengan kami untuk menghantar informasi yang kami perlukan. Jika Dr Mariah boleh, kenapa muslimat yang lain tidak!

Namun dalam hati gundah gulana dan tertekan dengan tanggungjawab kerja dan persekitaran, hati terubat juga apabila menerima panggilan dari Mastura Muhammad yang mengalu-alukan kedatangan saya ke Harakah.


_
Iklan Premium B Iklan Premium C
Iklan Teks Iklan Di sini. Hanya RM150 seminggu

Iklan Di sini. Hanya RM150 seminggu