Hanya sijahil bersumpah dengan al-Quran
Fri | Jul 18, 08 | 12:40:15 pm MYT

Buletin TV3 bertarikh 4 Julai lalu menyiarkan berita bahawa Mufti Perlis meminta Anwar Ibrahim dan Saiful Bahari Azlan melakukan mubahalah.

Iklan
 
 
   

Apa yang saya faham mubahalah adalah satu kaedah di dalam Islam (yang ada disebut di dalam al-Quran) bagi menentukan kebenaran. Kedua-dua pihak yang bertikai dipertemukan dan masing-masing bersumpah sekiranya mereka tidak bercakap benar mereka akan dilaknat oleh Allah.

Ketika mengulas saranan Mufti Perlis itu, Pengerusi Biro Putera Umno, Abdul Azeez Abdul Rahim menyatakan bahawa Anwar hendaklah bersumpah dengan al-Quran daripada menggunakan media bagi membuktikan beliau tidak bersalah. (lihat Malaysiakini - Swear on the Quran, Anwar told)

Saya kurang pasti sama ada Pengerusi Biro Putera Umno itu faham dengan istilah mubahalah. Mubahalah bukan satu sumpah dengan al-Quran seperti yang didakwa. Saya rasa tidak perlulah Abdul Azeez yang cetek ilmu syariah dan undang-undang serta dipertikaikan tahap moralnya untuk menjuarai isu tuduhan liwat ini. Makin dia bercakap makin nampak beliau merapu.

Ada beberapa perkara yang saya rasa perlu diperbetulkan kerana daripada kenyataan-kenyataan yang dibuat menunjukkan bahawa terdapat kekeliruan di dalam kes tuduhan liwat ke atas Anwar Ibrahim.

Pertama, ingin saya nyatakan di sini baik dari sisi Islam mahupun undang-undang negara ini, Anwar adalah seorang individu yang dianggap tidak bersalah dan beliau juga tidak perlu sama sekali membuktikan apa-apa jauh sekali membuktikan beliau tidak bersalah.

Di dalam undang-undang yang dipakai di negara ini, bagi mana-mana pertuduhan jenayah prinsip yang terpakai adalah "seseorang itu dianggap tidak bersalah melainkan dibuktikan bersalah". Prinsip ini dikenali sebagai “presumption of innocence". Prinsip ini sebenarnya diambil dari syariat Islam iaitu berasaskan kaedah "al-aslu al-‘adam" atau pun kaedah "al-aslu baraatun zimmah" yang juga bermaksud "seseorang itu dianggap tidak bersalah melainkan dibuktikan bersalah".

Apa yang berlaku di dalam isu dakwaan liwat ini adalah Anwar belum lagi dituduh di Mahkamah. Jadi tidak timbul beliau harus membuktikan bahawa beliau tidak bersalah. Jika pun beliau dituduh di Mahkamah dengan kesalahan liwat, beliau masih dianggap tidak bersalah kecuali setelah disabitkan bersalah oleh Mahkamah.

Yang demikian mana-mana saranan yang meminta Anwar bersumpah dengan al-Quran supaya membuktikan beliau tidak bersalah adalah saranan yang menggambarkan seorang yang jahil dengan syariat Islam dan juga undang-undang negara ini.

Kedua, jika benar terdapat tuduhan liwat ke atas Anwar sekalipun, mana-mana pihak yang bersungguh meminta Anwar bersumpah dengan al-Quran sepatutnya perlu menuntut bahawa Anwar dihukum dengan hukum al-Quran. Ulama Islam mengklasifikasikan kesalahan liwat adalah sama dengan kesalahan zina. Maka mana-mana pihak yang menuduh seseorang melakukan liwat adalah sama seperti orang yang menuduh seseorang itu melakukan zina.

Imam Malik, Syafie dan Imam Ahmad berpandangan bahawa liwat wajib dikenakan hukuman hadd seperti hadd ke atas pesalah zina disebabkan “li wujudin ma’na al-zina fihi” (kerana kewujudan makna zina padanya). [lihat m/s 66 Al Fiqh Islami Wa Adillatuhu oleh Dr Wahbah Zuhaily]

Menuduh seseorang berzina (termasuk liwat) tanpa mendatangkan empat orang saksi boleh didakwa melakukan kesalahan qazaf. Qazaf adalah hukum al-Quran yang diklasifikasikan sebagai salah satu kesalahan di dalam jenayah hudud.

Memandangkan Anwar dituduh kononnya melakukan kesalahan liwat ke atas Saiful maka mereka yang meminta Anwar bersumpah dengan al-Quran sepatutnya dari segi Islam meminta supaya Saiful mendatangkan empat saksi yang melihat Anwar melakukan liwat tersebut. Kalau Saiful tidak dapat mendatangkan empat saksi tersebut mereka yang meminta Anwar bersumpah dengan al-Quran hendaklah meminta Kerajaan mendakwa Saiful dengan kesalahan qazaf di Mahkamah Syariah di negara ini.

Berkemungkinan besar pihak yang meminta Anwar bersumpah dengan al-Quran berhujah balas di negara ini hukum qazaf tidak dijalankan, jadi bagaimanakah Saiful boleh didakwa dengan kesalahan qazaf? Jika ini hujahnya maka jawapan saya adalah kenapakah kamu sibuk bercakap tentang al-Quran jika hukum qazaf yang terdapat di dalam al-Quran kamu pendamkan dan tidak dilaksanakan selama puluhan tahun sejak negara ini mencapai kemerdekaan. Kenapakah kamu tidak menuntut hukum qazaf tersebut dilaksanakan di negara ini agar Anwar mahupun Saiful boleh diadili oleh hukum Islam.

Mungkin juga yang bertanya mana mungkin Saiful boleh datangkan empat orang saksi. Jika susah, jangan cepat sangat membuat tuduhan. Bagi kesalahan yang berunsur seks,adalah senang melemparkan tuduhan tetapi amat susah untuk orang yang dituduh membuktikan dia tidak bersalah kecuali menafikan tuduhan.

Atas dasar itu baik di dalam undang-undang manusia mahupun undang–undang Islam keterangan sokongan (corroboration) diperlukan. Di dalam Islam keterangan sokongan adalah melalui empat orang saksi yang melihat kejadian zina atau liwat.

Tidakkah sikap kamu yang meminta Anwar bersumpah dengan al-Quran (yang tidak ada pun nasnya di dalam al-Quran) tapi tidak mahu menuntut hukum al-Quran menjadi hukum yang dipakai bagi menyelesaikan tuduhan liwat ke atas Anwar adalah satu sikap yang dilihat berpura-pura.

Saya ingin bertanya dengan Pengerusi Biro Putera Umno - betulkah kamu bersungguh dengan al-Quran ini? Ingatlah Al-Quran boleh jadi “hujjatun lana” (hujah untuk kita) atau “hujjatun ‘alaina” (hujah ke atas kita).

Kesimpulannya tidak perlu Anwar bersumpah dengan Al-Quran. Mubahalah juga saya berpendapat tidak perlu kerana Anwar telah dikaitkan dengan kesalahan jenayah maka kaedah yang betul adalah Anwar sepatutnya diadili oleh hukum Islam yang terkandung di dalam Al-Quran. Di situlah keadilan yang sebenar.- tajdid _

Iklan Premium B Iklan Premium C
Iklan Teks Iklan Di sini. Hanya RM150 seminggu

Iklan Di sini. Hanya RM150 seminggu