| Anak kesal isu perumahan generasi kedua dijadikan isu politik |
|
Basiron Abdul Wahab
Wed | May 28, 08 | 4:18:01 pm MYT |
|||||||
|
TEMERLOH, 28 Mei (Hrkh) - Pengerusi Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Se Malaysia (Anak), Mazlan Aliman dukacita isu perumahan membabitkan generasi kedua Felda dijadi isu politik dalam beberapa pilihan raya.
Katanya, isu berkenaan telah dipolitikkan dengan menjanjikan generasi kedua dengan projek termasuklah perumahan tetapi janji itu akan lenyap selepas BN memenangi pilihan raya. Dalam pilihan raya umum ke-12, BN sekali lagi menggunakan isu sama untuk menarik perhatian generasi kedua Felda menyokong parti itu malah borang permohonan bagi projek berkenaan turut diedarkan kepada ribuan anak peneroka di seluruh negara. Difahamkan sebanyak 935 buah rumah untuk generasi kedua telah siap dibina di Felda Bukit Goh, Felda Lepar Hilir, daerah Kuantan dan Felda Mempaga (Bentong). 422 unit lagi Keratong (Rompin) untuk diduduki generasi kedua peneroka pada tahun ini. Tiga lagi projek telah diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Razak iaitu di Felda Melati, Jengka 11 (240 unit), Felda Siantan (300) dan Felda Triang 3 (300 unit). Menurut Mazlan, isu perumahan untuk generasi kedua ini telah berbangkit begitu lama dan telah dijadikan modal kempen dalam tiga kali pilihan raya sedangkan projek di Felda Melati, Siantan dan Triang 3 itu jangka hanya akan siap pada tahun 2010. Ini bermakna isu berkenaan akan sekali lagi menjadi bahan kempen kepada BN dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang. "Saya dukacita isu penting sebegini dijadikan bahan kempen pilihan raya," ujarnya. Beliau berkata, jumlah pemohonan untuk projek perumahan generasi kedua itu jauh lebih tinggi berbanding bilangan rumah yang disediakan Felda. Ini sudah tentu akan menyukarkan pihak Felda membuat pemilihan, katanya. "Saya bimbang wujudnya tangan ghaib dalam memilih pemohon iaitu campur tangan Umno sebagaimana berlaku di Johor apabila pemohon yang rapat dengan ahli politik memperolehi rumah di bawah skim berkenaan. "Manakala pemohon yang disyaki bukan Umno akan disisih," katanya. Menurutnya, dalam kes di Johor itu, Anak telah diminta campur tangan apabila ada pemohon tidak berpuas hati dan berlaku ketidak telusan dalam pemilihan pemohon yang berjaya. Anak telah membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) bagi menjaga kepentingan semua pihak. Mazlan mencadangkan dalam pemilihan projek akan datang, kuasa hendaklah diberi sepenuhnya kepada Pejabat Tanah dan Daerah tanpa campur tangan mana-mana pihak. Nama yang telah disenarai pendek hendaklah dipilih melalui undi terbuka. "Saya kira cara ini lebih adil kepada semua pemohon," ujarnya. - mns_ |
|||||||