| Penduduk tidak puas hati cara pemberian rumah tsunami dibuat |
|
Mohd Sabri Said
Mon | May 26, 08 | 3:24:01 pm MYT |
|||||||
|
KEPALA BATAS, 26 Mei (Hrkh) - 60 orang penduduk Kuala Muda, Kepala Batas Seberang Perai menyerbu Pejabat Daerah Seberang Perai Utara (SPU) pagi tadi kerana tidak puas hati terhadap pemberian rumah tsunami oleh Menteri Kewangan ke 2, Tan Sri Nor Mohamad Yaacob semalam.
Mereka berkumpul jam 9.00 pagi lagi untuk bertemu Pegawai Daerah SPU untuk bertanyakan bagaimana cara yang digunakan oleh Pejabat Daerah memilih individu menduduki kediaman berharga RM45 ribu itu. Mereka mendakwa pemilihan yang dibuat tidak profesional sebaliknya lebih kepada 'serahan berbentuk mengejut' kepada penduduk kerana hanya pada hari Sabtu penduduk mengetahui majlis serahan kunci rumah tsunami akan diadakan iaitu pada keesokannya (hari Ahad) jam 11.00 pagi. Harakahdaily dimaklumkan terdapat empat buah keluarga mangsa tsunami yang tidak tersenarai sebagai penerima rumah berkenaan sedangkan jiran mereka yang lain termasuk yang tinggal berjauhan daripada pantai memperolehi kediaman itu. Menurut penduduk asal, Mohamad Che Man 59 sepatutnya mereka mendahulukan penduduk persisiran pantai daripada penduduk yang tinggal di kawasan tengah yang agak jauh dari pantai. Penghulu pun katanya, tidak berfungsi dengan baik kerana tidak tinggal di situ sepenuh masa kecuali hari Jumaat sahaja. "Segala masalah sukar nak sampaikan kepada Penghulu Kuala Muda kerana beliau tidak tinggal di situ, cuma pada hari Jumaat sahaja," ujarnya. Johari Hashim pula menyifatkan, terdapat nama yang tersenarai sebagai penerima rumah baru merupakan penyewa yang baru tinggal di situ sementara penduduk asal diketepikan. Beliau hairan kenapa Pejabat Daerah SPU termasuk Syarikat Perumahan Negera Berhad (SPNB) tidak memberitahu penduduk lebih awal atau menampalkan senarai nama mereka yang memperolehi rumah tersebut untuk bantahan sekiranya ada penipuan. "Ini tidak, depa bagi tau hari Sabtu nak buat program hari Ahad. Macam mana kami nak berbincang dulu berpandukan senarai penerima," jelas beliau. Yusuf Ismail juga kecewa kerana tidak tersenarai sedangkan rumahnya juga turut terlibat dengan kejadian tsunami pada pengujung tahun 2004 lalu. Harakahdaily cuba mendapatkan penjelasan daripada Pegawai Daerah SPU, Mokthar Jait namun beliau tiada di pejabat. - mns_ |
|||||||