| Pakatan rakyat akan lantik Ketua Pembangkang di Dewan Negara |
|
Intan Abdullah
Thu | Apr 24, 08 | 4:58:49 pm MYT |
|||||||
|
KUALA LUMPUR, 24 April (Hrkh) - Pakatan Rakyat yang menerajui lima buah kerajaan negeri akan melantik Ketua Pembangkang di dalam Dewan Negara pada sidang parlimen yang akan berlangsung pada Mei akan datang.
Ahli Dewan Negara PAS, Senator Mumtaz Mat Nawi dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily berkata, hal tersebut telah dibincangkan di peringkat ketiga-tiga parti. "Namun kesemua ini masih tertakluk kepada tempoh perkhidmatan seseorang senator tersebut kerana mereka tidak terpengaruh dengan perubahan tampuk pemerintahan sesebuah kerajaan negeri," katanya. Bagaimanapun ujarnya, perjalanan Dewan Negara pada kali ini tetap akan memperlihatkan perbezaan selepas beberapa negeri yang dikuasai BN telah dirampas Pakatan Rakyat. "Kita juga akan mengadakan pre-council sebelum sidang parlimen dimulakan bagi memantapkan lagi perbahasan ahli-ahli dewan untuk menambah keberkesanan peranan para senator," ujarnya. Ketika ditanya mengenai perancangan pihak ahli-ahli dewan negara pada sesi akan datang, Mumtaz berkata ianya akan diperhalusi bersama senator pakatan rakyat yang lain dalam jangka masa terdekat. "Selama ini kita telah menjalankan tugas yang diberikan dengan baik meskipun tidak mendapat liputan tentang keberkesanannya. "Namun, kita akan meneruskannya berdasarkan pertambahan tugas untuk menyuarakan hasrat rakyat untuk diambil perhatian oleh kerajaan," demikian ujarnya. Mumtaz merupakan satu-satunya wakil PAS yang masih berkhidmat di Dewan Negara selepas seorang lagi senator yang dilantik kerajaan PAS Kelantan, Wan Ubaidah Wan Omar dilantik sebagai exco Kerajaan negeri itu. - mr _ |
|||||||