Menang Tanpa Bertanding: Petanda baik untuk BN atau PAS?
Mat Zain Mat Isa
Tue | Feb 26, 08 | 1:25:15 pm MYT

Pilihan Raya Umum ke-12 menyaksikan 10 calon diisytiharkan menang tanpa bertanding. Daripada jumlah itu, tujuh membabitkan kerusi Parlimen, 3 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun). Kecuali satu kerusi Dun di Kelantan yang dimenangi calon PAS, kesemua yang lain dimiliki calon-calon Barisan Nasional.

Iklan
 
 
   

PAS mendapat kemenangan percuma di Dun Kijang dalam Parlimen Pengkalan Cepa. Calon BN, Mustofa Ahmad dikatakan gagal membuktikan beliau telah bebas daripada perintah kebankrapan. Bekas Senator, Wan Ubaidah Wan Omar yang mewakili PAS diisytiharkan menang tanpa bertanding sebaik selesai proses penamaan calon, Ahad (24 Mac) lalu.

BN pula menang tanpa dicabar di empat kerusi Parlimen di Sarawak, dua di Sabah dan satu di Johor. Calon-calon terbabit ialah Dato' Azalina Othman (Pengerang), Dato' Abdul Ghapur Salleh (Kalabakan), Alexander Nanta Linggi (Kapit), Joseph Kurup (Pensiangan), Joseph Entulu Belaun (Selangau), Aaron Ago Dagang (Kanowit) dan Norah Abdul Rahman (Tanjong Manis).

Bagi kerusi Dun pula, kemenangan BN masing-masing satu di Selangor dan Sabah. Calon-calonnya ialah Abdul Rahman Palil (Sementa, Selangor) dan Ramlee Marhaban (Bugaya, Sabah).

Dalam reaksi, Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan kemenangan awal BN itu sebagai petanda baik yang menunjukkan keyakinan rakyat terhadap BN.

“Ini berita baik dan sudah tentu ia satu petanda baik yang menunjukkan keyakinan rakyat terhadap parti kita,” katanya, sebagaimana dipetik kebanyakan akhbar, 25 Februari.

Sehubungan itu, Abdullah yakin partinya dapat mengulangi kejayaan lalu dengan memperolehi majoriti besar pada 8 Mac nanti.

Timbalannya, Dato' Seri Najib Razak pula pergi selangkah ke hadapan dan mengaitkan kemenangan percuma BN itu dengan kelemahan pembangkang.

“Kita sudah nampak pembangkang tidak kuat sebenarnya kerana ada tempat tertentu, mereka sukar untuk dapatkan calon yang sanggup bertanding,” katanya, sebagaimana dipetik Berita Harian, 25 Februari.

Sebaliknya BN, kata Najib, mampu menampilkan calon di semua kawasan di seluruh negara.

Ada pihak menganggap kemenangan tanpa bertanding itu memberikan petanda awal BN akan mencatat kemenangan besar dalam pilihan raya kali ini. Kita tidak berhasrat menghalang optimisme mereka. Cuma wajar dipersoalkan sejauh manakah rasionalnya tanggapan itu?

Mungkin beberapa pemerhatian berikut boleh membantu kita menilai perkembangan ini secara lebih munasabah.

Pertama, kemenangan tanpa bertanding mana-mana calon pilihan raya bukan fenomena baru. Ia didapati berlaku di setiap pilihan raya umum sepanjang sejarah politik negara ini.

Bagi Pilihan Raya Umum 1959, tiga kerusi Parlimen dan empat kerusi DUN dimenangi tanpa bertanding. Pada 1964, jumlah itu adalah dua bagi Parlimen dan empat bagi Dun.

Dalam Pilihan Raya Umum 1969, jumlah kerusi dimenangi tanpa bertanding ialah 20 bagi Parlimen, dan 11 Dun.

Kemunculan kali pertama BN menggantikan Perikatan pada pilihan raya 1974 benar-benar melumpuhkan pembangkang. Akibatnya 47 kerusi Parlimen dan 43 Dun dimenangi BN tanpa bertanding.

Jumlah itu merosot pada 1978 kepada 9 Parlimen dan 17 Dun. Bagi pilihan raya-pilihan raya seterusnya, ada 12 kerusi Parlimen dan 18 Dun dimenangi tanpa bertanding (1982); enam Parlimen, lapan Dun (1986); dua Parlimen (1990); 11 Parlimen dan 9 Dun (1995); satu Parlimen, satu Dun (1999) dan 17 Parlimen, 12 Dun (2004).

Dalam setiap pilihan raya itu, jumlah kerusi dimenangi tanpa bertanding kebanyakannya memihak kepada Perikatan/BN. Bagaimanapun kemenangan percuma itu tidak semestinya menjadi petanda kemenangan parti pemerintah itu dalam pilihan raya sebenar.

Contohnya, pada 1969, Perikatan menang sembilan kerusi Parlimen dan kesemua 11 kerusi Dun tanpa bertanding. Pilihan raya itu bagaimana pun menyaksikan kebangkitan pembangkang dan kekalahan calon-calon Perikatan. Kerajaan Perikatan tumbang di Pulau Pinang dan nyaris tumbang di Terengganu.

Fakta kedua, jumlah kerusi dimenangi BN tanpa bertanding kali ini merosot jauh berbanding pilihan raya lalu. Daripada 17 Parlimen pada 2004, kini hanya tujuh. Daripada 11 Dun, kini hanya dua.

Secara sinis orang boleh juga menganggap itu petanda bahawa majoriti kemenangan BN dalam pengundian sebenar nanti juga bakal merosot sejenuh itu.

Ketiga, kemenangan percuma diperolehi BN sebahagian besarnya menerusi kerusi-kerusi di Sarawak dan Sabah. Dalam konteks pertarungan politik Malaysia, percaturan politik di kedua-dua negeri Malaysia Timur itu tidak boleh dijadikan ukuran sebenar kekuatan mana-mana parti, termasuk BN.

Cara dan tahap berfikir masyarakat di sana tidak serupa dengan segmen terbesar rakyat negara ini. ‘Politik lompat’ bukan suatu yang ditolak. Pertandingan pelbagai penjuru juga adalah lumrah di sana.

Kekuatan calon adalah pada tarikan dan kemampuan kebendaan mereka. Faktor keperibadian calon mampu menewaskan faktor parti kerajaan, menyebabkan ruang calon Bebas menang agak baik. Tidak pelik jika kes kemenangan tanpa bertanding di dua negeri itu sentiasa banyak.

Contohnya, dua kerusi Parlimen dimenangi tanpa bertanding pada 1990 adalah masing-masing satu di Sarawak (Lubuk Antu) dan Sabah (Keningau). Pada 1995 pula, BN menang tanpa bertanding di 11 kerusi Parlimen. Sembilan daripadanya adalah di Sarawak.

Satu-satunya kerusi Parlimen dimenangi tanpa bertanding pada 1999 juga di Sarawak (Betong).

Kemenangan percuma BN di 17 Parlimen dan 11 Dun juga dibayangi hakikat sama. Sembilan daripada kerusi Parlimen dan lapan kerusi Dun itu adalah di Sabah. Manakala enam kerusi Parlimen lagi di Sarawak.

Hanya dua kerusi Parlimen dan tiga Dun dimenangi BN itu melibatkan negeri-negeri di Semenanjung.

Keempat, jika hendak dikatakan kemenangan awal secara percuma sebagai petanda kemenangan besar bakal menyusul, maka petanda sebenar ialah apa yang dicatatkan di Kelantan.

Sejarah kemenangan percuma di Kelantan tercatat pada 1982. PAS memenangi dua kerusi Dun tanpa bertanding. Dun Kemumin menerusi Che Hassan Ishak dan Selising melalui Abd Rahman Ahmad.

Dalam keadaan BN begitu beriya-iya merampas Kelantan daripada PAS kali ini, kemenangan Wan Ubaidah tanpa bertanding di Kijang Ahad lalu sudah tentu menjadi suatu tamparan buat BN. Ia sekali gus menjadi ‘moral booster’ buat para penyokong PAS.

Jika Abdullah, Najib dan anak-anak buahnya berpendapat kemenangan tanpa bertanding diperolehi BN sebagai petanda kejayaan besar parti mereka, maka mengapa PAS tidak boleh mendakwa petanda itu juga relevan baginya, sekurang-kurangnya dalam konteks Kelantan?_

 
  Iklan Teks
 

Iklan Di sini. Hanya RM150 seminggu