| Pengesahan duti setem: SPR patut umum lebih awal - Mafrel |
|
Salmiyah Harun
Sat | Feb 23, 08 | 5:51:25 pm MYT |
|||||||
|
KUALA LUMPUR, 23 Feb (Hrkh) - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepatutnya mengeluarkan arahan kepada semua calon bertanding mendapatkan pengesahan duti setem ketika mengumumkan hari penamaan calon, demikian tegas Timbalan Pengerusi Mafrel, Syed Ibrahim Syed Noh.
Beliau ketika dihubungi berkata, semasa mengumumkan hari penamaan calon selepas sehari parlimen dibubarkan, tidak salah bagi SPR untuk mengumumkan mengenai pengesahan duti setem kepada semua calon. "Bagi menimbulkan suasana yang baik dan selesa sepatutnya arahan itu dikeluarkan lebih awal, yang penting ia dapat memberi tempoh masa kepada parti yang bertanding supaya mereka boleh membuat persiapan rapi," katanya. Beliau berkata demikian mengulas tindakan SPR mengarahkan calon yang bertanding mendapatkan pengesahan duti setem, arahan itu dikeluarkan pada jam 3 petang hari Khamis (21 Februari 2008). Bagaimanapun beliau tidak mengetahui tujuan sebenar arahan SPR itu memandangkan sebelum ini calon yang bertanding tidak perlu mendapatkan pengesahan duti setem. Jelasnya, peraturan itu memang sedia ada tetapi tidak diamalkan bahkan menjadi kebiasaan calon-calon yang bertanding tidak perlu mendapatkan pengesahan duti setem. Syed Ibrahim berharap tindakan SPR itu tidak akan menjejaskan perjalanan penamaan calon yang akan berlangsung esok kepada mana-mana parti yang bertanding. Mafrel adalah badan bukan kerajaan yang diberi kepercayaan oleh SPR untuk memantau proses pilihan raya kali ini. - mns _ |
|||||||