Ketua Pemuda garis tindakan segera untuk semua Jentera PAS

- Advertisement -

KUALA NERUS: Jentera PAS di semua peringkat diharap melaksanakan segera beberapa tindakan terutama dalam menuju persiapan menarik sokongan menjelang PRU15 yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari menyentuh mengenai perlunya penguasaan media massa secara komprehensif tidak sekadar media elektronik dan cetak, tetapi juga yang dikuasai anak muda seperti Twitter, Facebook, Instagram, Clubhouse dan sebagainya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan di Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali Ke-67 di Duyong Marina Resort, di sini sebentar tadi.

“Kedua pemantauan terhadap penculaan. Penculaan hendaklah dijalankan setiap masa, mengambil kira sejarah Kerajaan Kelantan yang telah sebut berulang kali bahawa berjaya dipertahankan pada tahun 2008 ialah kerana gerak kerja pilihan raya dan gerak kerja penculaan.

“Pada tahun 2004, kita hilang Terengganu dan Kelantan pada masa itu hampir jatuh dengan majoriti 3 kerusi kemudian menjadi satu kerusi dalam pilihan raya kecil yang berikutnya.

“Ketika PRU2008 pada ketika itu ia bukan gelombang penolakan pengundi Melayu terhadap Umno, tetapi ia penolakan non-Malay voters pengundi bukan-Melayu yang menyebabkan Selangor, Pulau Pinang, Perak jatuh kepada pembangkang.

“Tetapi kelantan berjaya dipertahankan dengan bergaya kerana apa? Kerana selain daripada pergantungan kepada Allah S.W.T, ialah keraana gerak kerja pilihan raya dan juga penculaan.

“Justeru kalau ingin menang pilihan raya, kita semua hendaklah pulang ke kawasan masing-masing jalankan gerak kerja penculaan, ini paling penting,” ujar beliau.

Ahli Parlimen Pasir Mas ini turut mengingatkan mengenai fenomena pertambahan 5.7 juta pengundi baharu yang mungkin semua pihak dalam kedaaan tidak dapat meneka kecenderungan mereka untuk membuat pilihan undi.

Juga diperkatakannya mengenai tawaran menarik PAS yang perlu dicadangkan dan digariskan tawaran-tawaran yang khususnya untuk anak-anak muda di dalam memikat mereka menyertai PAS dalam PRU15 akan datang.

“Anak muda mereka berfikir tentang isu bagaimana nak beli rumah, bagaimana nak mendirikan rumah tangga, bagaimana nak beli kenderaan, bagaimana nak melangsaikan hutang-hutang pengajian mereka. Bagaimana nak memulakan kehidupan, itu topik anak muda.

“Justeru tawaran yang menarik dariapda PAS perlu untuk digariskan bagi memsatikan kita berjaya menarik undi anak muda insya-Allah,” ujarnya.

Beliau turut menyentuh mengenai isu integriti melibatkan pemimpin politik melompat parti, namun bersyukur ia tidak berlaku dalam PAS dan yakin ia akan menjadi modal untuk PAS mempertahan kemenangan dan melangkah bergaya ke Putrajaya. – HARAKAHDAILY 7/11/2021

- Advertisement -
- Advertisement -