Ketua Jurulatih T’ganu FC letak jawatan

Irfan Bakti. (Foto UPDI)

Sukan & Budaya
Typography

KUALA TERENGGANU: Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim meletakkan jawatan serta merta susulan kekalahan teruk pasukan itu kepada Petaling Jaya City FC (PJ City), kelmarin.

tg faroukPerkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Dato' Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil (foto) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, malam tadi.

“Susulan TFC diberi satu tamparan yang hebat dengan satu kekalahan yang teruk pada perlawanan menentang PJ City FC dalam suasana TFC telah memiliki kelebihan 3 gol di separuh masa pertama dan akhirnya menerima kekalahan 3-5.

“PBSNT telah mengadakan satu mesyuarat khas berkenaan prestasi TFC bagi menilai kelemahan yang sedang berlaku,” ujarnya.

Sebelum ini juga, katanya TFC telah ditundukan Pahang 4-0 di Stadium Darul Makmur bagi saingan Piala FA dan secara agregatnya 5-2, TFC tersingkir di pusingan suku akhir.

Tambahnya, pihak pengurusan secara drastik telah melakukan mesyuarat postmortem yang dihadiri oleh semua barisan kejurulatihan.

“Mengakui keadaan semasa pasukan TFC yang tidak menentu dan konsisiten, ketua jurulatih di dalam mesyuarat khas telah memanjangkan permohonan peletakan jawatan sebagai Ketua Jurulatih TFC serta merta,” jelasnya.

Tambahnya, pihak pengurusan pasukan juga telah mengambil kira semua aspek dan bersetuju serta menghormati keputusan nekad yang dibuat oleh Irfan Bakti di atas prestasi buruk pasukan.

“Hasrat peletakan jawatan tersebut telah diluahkan dengan kerelaan hati dan hal ini akan dimuktamadkan melalui cara dan prosedur yang betul,” katanya.

Menruutnya, bagi meneruskan bimbingan latihan pasukan, pihak pengurusan telah memberi mandat kepada penolong ketua jurulatih, Mohamad Nafuzi Zain untuk mengalas tugas-tugas ketua jurulatih sementara waktu yang kekosongan sehinggalah PBSNT menemui calon yang bersesuaian bagi meneruskan cabaran sembilan perlawanan Liga Super dan saingan Piala Malaysia.

PBSNT juga, tegasnya menafikan sebarang tohmahan yang dilemparkan menyatakan bahawa aksi yang tidak menentu dan kekalahan memalukan berpunca dari kegagalan pembayaran gaji kepada pemain tidak benar sama sekali.

Katanya lagi, sebagaimana yang dimaklumkan, PBSNT menaungi TFC 1, TFC 2, TFC 3, TFC 4 dan TFC 5 dan pembayaran gaji semuanya dalam tempoh 25 haribulan dan paling lewat 7 haribulan setiap bulan.

Selain itu, ujarnya bonus kemenangan yang dijanjikan bagi setiap perlawanan diuruskan dengan baik.

“PBSNT amat mengharapkan agar pasukan TFC kembali bangkit dan cepat memposisikan kedudukan untuk mengharungi cabaran yang berbaki.

“Dengan keputusan pemilihan Mohamad Nafuzi Zain sebagai 'caretaker' atau pengendali sementara, diharap beliau mampu menjalankan tugas seterusnya membantu pasukan sebaik yang mungkin,” ujarnya.

Beliau berkata, jasa Irfan Bakti akan sentiasa dikenang kerana telah menyumbang bakti kepada bolasepak Terengganu dengan kejayaan-kejayaan sebelum ini.

Jelasnya, pada tahun 2011 membawa Terengganu menjuarai Piala FA, Naib Juara Piala Malaysia dan Naib Juara Liga Super seterusnya layak ke saingan AFC 2012 buat pertama kalinya dalam sejarah.

“Kembalinya buat kali kedua pada tahun 2017 merangkul Naib Juara Liga Premier membawa pasukan ke Liga Super 2018 serta Naib Juara Piala Malaysia 2018. Seluruh keluarga besar bolasepak Terengganu tidak harus melupakanya,” katanya lagi.

Kepada seluruh peminat bolasepak Terengganu, ujar beliau sokongan amat diperlukan ketika ini untuk membawa pasukan kembali gah mengharungi saingan yang masih berbaki.

“Pemain ke-12 merupakan sebahagian nadi kejayaan sesebuah pasukan,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/5/2019