Alumni pondok pertahan kepimpinan ulama

Berita
Typography

LEBIH 3,000 alumni Pondok Pasir Tumboh berikrar mempertahankan kerajaan negeri di bawah kepimpinan ulama di Kelantan yang diasas sejak tahun 1990.

Perkara itu diputus pada Ijtimak Pondok SeMalaysia kelmarin yang dibaca Mudir Madrasah Manabi' al Ulum Diniah, Tuan Guru Mohd Rejab Mad Akhir.

Katanya, kerajaan negeri yang diketuai Menteri Besar, Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob wajib dipertahan serta sebarang kelemahan perlu diperbaiki dengan sebaik mungkin.

"Perhimpunan pondok menegaskan semua pondok di negara ini akan berdiri teguh di belakang gerakan Islam PAS dalam mempertahankan kedaulatan Islam dan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Ijtimak kali kedua ini juga menegaskan kerajaan Islam Kelantan wajib dipertahankan dan kelemahan yang ada perlu diperbaiki," katanya yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Kedah pada program dua hari itu.

Turut hadir Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; anggota Exco, Datuk Nassuruddin Daud; Ahli Parlimen Temerloh, Ustaz Nasrudin Hassan dan Mudir Pondok Pasir Tumbuh, Tuan Guru Wan Muhammad Wan Othman.

Mohd Rejab juga menegaskan seluruh pondok mempertahankan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari aliran Manhaj Iman Asyaari dan Imam Abu Mansor al Maturidi serta menolak segala aliran bertentang.

Ijtimak dan Sambutan 63 tahun Pondok Pasir Tumboh turut mempertahankan sistem pengajian thurath sebagai asas utama dalam kurikulum Pondok SeMalaysia.

Lebih 100 alumni Pondok Pasir Tumboh menghadiri ijtimak tersebut. Program itu dirasmikan Menteri Besar Kelantan. - HARAKAHDAILY 16/10/2017