MP Dungun bawa suara rakyat Terengganu

Nasional
Typography

APABILA disebut nama YB Ustaz Wan Hassan Bin Mohd Ramli mungkin beliau tidaklah sepopular YB lain yang sering terpapar dalam berita arus perdana mahupun alternatif.
Namun demikian, pada hakikatnya nama YB Ustaz Wan Hassan begitu dekat di hati rakyat Dungun kerana beliau seorang YB yang low profile dan begitu bermurah hati membantu rakyat.

Pada usia yang sudah mencecah 60 tahun, YB Ustaz Wan Hassan begitu gigih menunaikan amanah sebagai Ahli Parlimen Dungun, kerap juga beliau memandu bersendirian pada lewat malam dari Dungun ke KL bagi menghadiri sidang Parlimen. Adakalanya kalau terlalu mengantuk, beliau tidur sahaja di dalam kereta ketika singgah di RnR.
Sebelum bergelar Ahli Parlimen, beliau merupakan ADUN Sura bagi penggal 2008-2013 dan pernah bergelar Exco Kerajaan Negeri Terengganu bagi portfolio Belia, Sukan, Kebudayaan dan Pelancongan ketika pemerintahan PAS pada tahun 1999-2004.

 Hari ini merupakan hari terakhir perbahasan Bajet 2018 peringkat dasar. Tempoh masa perbahasan dihadkan 15 minit sahaja bagi setiap yang berbahas.
YB Ustaz Wan Hassan berpeluang untuk berbahas pada waktu Maghrib tadi.

Antara intipati utama perbahasan beliau ialah;

a) Bajet 2018 dikatakan ibu segala bajet, ia  juga memberi makna kasih sayang seperti sifat seorang ibu. Adakah bajet kasih sayang ini sampai ke sasaran?
Struktur pentadbiran negara ini seperti sebuah piramid, teratas sekali ialah Kerajaan Persekutuan, di bawahnya Kerajaan Negeri, di bawahnya Kerajaan Tempatan (PBT), dan di bawah sekali ialah rakyat.

b) Mengapa dalam Bajet 2018 tidak ada peruntukan khusus yang diumumkan untuk Negeri Terengganu sedangkan negeri dan wilayah lain ada disebut?

c) Negeri Terengganu bukanlah negeri maju, sebahagian besar rakyat menetap di pesisir pantai yang menjadi nelayan dan ramai juga yang menetap di kawasan pedalaman.

d) Terengganu mempunyai 8 Parlimen, dulunya pentadbiran daerah hanya ada 7. Baru-baru ini, Kuala Nerus diisytiharkan sebagai daerah yang baru kerana adanya Parlimen Kuala Nerus.

e) Kewangan yang banyak diperlukan untuk membangunkan negeri Terengganu namun, hak royalti telah dinafikan sejak tahun 2000, yang ditukar kepada wang ehsan kemudian menjadi dana khas. Mengikut Akta Pembangunan Petroleum 1974, 5% hasil perlu dibayar oleh Petronas setiap tahun kepada Kerajaan Negeri.
Beliau mendesak Kementerian Kewangan mengembalikan semula royalti kerana ia merupakan hak rakyat Terengganu yang telah dinafikan oleh Kerajaan Pusat.

f) Beliau memetik pepatah Arab yang bermaksud, "apabila kamu ingin melihat orang yang mulia dalam sesuatu kaum, lihatlah kepada bagaimana pemerintah berurusan dengan orang miskin".
Terengganu masih dikategorikan sebagai negeri miskin maka, royalti perlu dikembalikan.
Beliau meminta Kerajaan menyenaraikan senarai projek pembangunan yang dilaksanakan menggunakan Dana Khas yang menggantikan Royalti dan Wang Ehsan bagi tempoh tahun 2000 sehingga 2017.

g) Seterusnya, YB Ustaz Wan Hassan menyuarakan isu tol Lebuh Raya Pantai Timur (LPT 2) daripada Jabor sehingga Gemuruh yang jaraknya 184KM. Perbelanjaan projek ini ialah RM 4.25 billion yang mana RM 1.8 billion diambil daripada sumber Dana Khas. Berapakah hasil pulangan ini dikembalikan kepada rakyat?
Sepatutnya, rakyat Terengganu diberikan keistimewaan kerana projek LPT itu turut ditanggung daripada duit royalti yang merupakan hak rakyat.  
Beliau meminta Kementerian Pengangkutan menyatakan apakah keistimewaan yang diberikan hasil perbincangan dengan Kerajaan Negeri Terengganu kerana kutipan tol kini dikutip oleh pihak lain?

h) Beliau juga menyentuh isu pembangunan belia yang tidak dinyatakan secara khusus dalam Bajet 2018.
Hal ini amat penting kerana belia mudah terjebak kepada gejala sosial seperti  dadah, rempit, gengsterisme, pengangguran, buang bayi dan lain-lain.
Generasi belia merupakan penentu hala tuju kepimpinan negara pada masa depan seperti dalam ayat 59 Surah Maryam.
Kita merupakan masyarakat Asia, Timur, yang beragama maka kepentingan pembangunan belia daripada sudut kerohanian iaitu keagamaan patut diberi keutamaan.

Selain YB Dungun, antara Ahli Parlimen PAS yang berbahas pada hari ini ialah YB Temerloh, YB Pengkalan Chepa, YB Kubang Kerian dan YB Pasir Puteh.
Dewan tamat bersidang menjelang jam 10.10 malam.

Catatan Parlimen oleh:
Syed Ahmad Fadhli
Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen PAS
07 November 2017