BALING: Penduduk mendesak Kerajaan Negeri Kedah segera membatalkan projek kuari yang akan beroperasi di mana berisiko menjejaskan kehidupan mereka di Gunung Pulai, di sini.

Berikutan tidak puas hati dengan kesan bakal dialami mereka tanpa ditangani sewajarnya, penduduk dari Pulai, Singai Limau, Dalam Wang dan Teluk Teduri berhimpun di kaki gunung itu, kelmarin.

Menurut Pengerusi Majlis Bertindak Bantahan Kuari Gunung Pulai, Mohd Sabri Mahmud, penduduk mungkin menerima kesan sampingan seperti habuk dan sebu daripada projek itu.

Selain itu maklumnya, sebagaimana pernah terjadi, aktiviti kuari boleh menyebabkan rumah penduduk mengalami keretakan, penyakit serta sisa banjir, termasuk menjejaskan tanaman pertanian mereka.

"Kerajaan negeri belum memuktamadkan secara hitam putih untuk membatalkan projek yang telah diluluskan sejak zaman BN ini. Jika diteruskan, kami akan terima nasib sama seperti penduduk Bukit Puyuh.

"Kehidupan mereka juga terjejas akibat kuari batu di situ sejak dari tahun 1969 lagi. Malah, sumber minuman bagi 7,000 penduduk juga diancam bahaya," ujar beliau.

Tambahnya, penduduk bimbang air Sungai Ketil dan loji tapisan air yang beroperasi di situ akan dicemari serta meninggalkan kesan buruk kepada pengguna.

Sebaliknya seru beliau, kerajaan harus melihat potensi alam semulajadi di Gunung Pulai yang antaranya memiliki 12 gua untuk dibangunkan sebagai kawasan agro pelancongan serta habitat faura fauna. - HARAKAHDAILY 11/2/2019

IPOH: Naib Ketua Ulamak PAS Negeri Perak, Ustaz Salleh Said mengetuai rombongannya mengadakan kunjungan ke Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Al-Istiqamah, Bandar Meru Raya, di sini hari ini.

Beliau meluangkan masa melihat sendiri suasana pembelajaran 25 murid Tahun Satu yang memulakan pengajian selaku perintis di premis itu sejak pembukaan sesi pada 3 Januari lalu.

Kehadiran beliau dan anggota rombongan disambut sendiri Ketua Pemuda PAS Kawasan Tambun, Ustaz Hafez Sabri yang juga Penasihat SRITI Kawasan.

Ustaz Salleh menyifatkan usaha oleh Dewan Pemuda PAS menerusi bidang pendidikan itu merupakan sumbangan kepada masyarakat yang sekali gus melakar sejarah penting bagi PAS Tambun.

Beliau selaku juga Yang DiPertua PAS Tambun turut menyeru sokongan masyarakat bagi menggerakkan kelancaran persekolahan tersebut untuk diperluaskan lagi seterusnya mendukung cita-cita PAS.

Masyarakat yang prihatin untuk bersama usaha ini boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Rakyat 110441005292 atas nama SRITI Al-Istiqamah Resources. - HARAKAHDAILY 11/2/2019

IMG 20190211 WA0021

IMG 20190211 WA0022

BERUAS: NGO Pencetus Gerakan Rakyat (PENGGERAK) telah melaksanakan majlis silaturahim melibatkan masyarakat di Kampung Changkat Chermin, Ayer Tawar, di sini semalam.

Pengerusi PENGGERAK, Mohd Zaidi Zakaria berkata, pihaknya terpanggil untuk menjadi penggerak kepada penyatuan masyarakat Melayu-Islam yang merupakan penduduk terbesar negara ini.

Secara khusus jelasnya, masyarakat Melayu-Islam perlu disatukan di bawah wadah perjuangan umatnya di mana PENGGERAK melihat kerjasama PAS dan Umno adalah sangat mendesak ketika ini.

Sehubungan itu menurutnya, program tersebut dilibatkan kehadiran utama Adun Pengkalan Baharu, Dato' Abd Manap Hashim dan Yang DiPertua PAS Kawasan Beruas, Zakaria Hashim.

Dato' Manap sendiri dalam ucapannya mengakui pentingnya kerjasama tersebut dan membayangkan kuasa kembali ke tangan umat Islam yang berpotensi direalisasikan di negeri ini.

Zakaria pula dalam ucapannya menyatakan bahawa penyatuan tersebut atas dasar berpegang kepada 'tali' Allah dan pemerintahan PH yang dibayangi DAP mesti ditolak pada PRU akan datang.

Program tersebut dilihat menyuntik semangat baharu penyatuan umat dan pihak PENGGERAK sedang berusaha meluaskan agenda tersebut ke seluruh Parlimen itu. - HARAKAHDAILY 11/2/2019

IMG 20190211 WA0017 

IMG 20190211 WA0018

IMG 20190211 WA0019

IPOH: Lajnah Penerangan PAS Negeri Perak telah menganjurkan Bengkel Wartawan Rakyat yang dilangsungkan di Dewan Seminar Harakiah, Pejabat Perhubungan PAS Perak, di sini semalam.

Bengkel menghimpunkan 75 peserta dari 24 PAS Kawasan seluruh negeri itu menjadi persiapan awal jentera penerangan bergerak kerja menuju cabaran PRU15 akan datang.

Menurut Timbalan Ketua Penerangan PAS Perak, Abd Qahar Syams, bengkel tersebut telah mendedahkan anggota jentera kepada perancangan mengangkat aktiviti PAA ke persada politik.

"Mutakhir ini rakyat ternanti-nanti apa yang PAS akan buat. Bila PAS anjur sesuatu program rakyat akan beri respon yang positif. Buktinya kita lihat sahaja gerak geri politik Presiden PAS," ujarnya.

Pada bengkel sehari itu para peserta telah mengikuti pembentangan kertas kerja dan latihan tiga slot asas disampaikan Editor Harakahdaily, Ustaz Izwan Abd Halim. - HARAKAHDAILY 11/2/2019 

Screenshot 20190211 1030002

IMG 20190211 WA0012

KEMAMAN: Adun Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili hadir meraikan program sambutan Tahun Baharu Cina masyarakat Hainan di Kampung Air Jernih, Kemasik, di sini, kelmarin.

Dalam ucapannya beliau berkata, kerajaan negeri mengakui peranan serta sumbangan besar masyarakat Tionghoa terutama dalam sektor pelancongan dan ekonomi di Terengganu.

"Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sangat mengharapkan agar masyarakat Tionghoa di negeri ini sentiasa menjalin kerjasama dengan kerajaan negeri dalam melaksanakan program pembangunan untuk kesejahteraan seluruh rakyat Terengganu.

"Kerajaan PAS Terengganu tidak pernah meminggirkan masyarakat bukan Islam dalam pembangunan negeri ini. Kerajaan negeri sentiasa memberi peluang dan ruang kepada semua kaum.

"Beliau mahu kita semua untuk bersama-sama terlibat dalam memimpin dan membangunkan negeri selaras hasrat menjadikan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera menjelang 2030," ujar beliau.

Sementara itu, menurut Setiausaha Persatuan Hainan Kemasik, Wang Kwee Fong, 50, perkampungan Cina Hainan yang terletak 7 kilometer dari Pekan Kemasik ini telah wujud lebih 110 tahun lalu.

"Kebanyakan penduduk di kampung ini adalah generasi ketiga dan keempat dari Kepulauan Hainan, sebuah wilayah yang terletak di Selatan China setelah nenek moyang mereka datang belayar mencari penempatan baharu di Terengganu.

"Jumlah kami tidak ramai, hanya kira-kira 300 orang, walaupun hidup dikelilingi masyarakat Melayu, namun budaya dan tradisi kaum Cina Hainan tetap dikekalkan sehingga kini.

"Kami fasih berbahasa Melayu dalam dialek Terengganu," kata beliau yang masih bertugas sebagai seorang guru tadika di kampung tersebut.

Pengerusi Persatuan Hainan Kemasik, Po Say Wan, 88, pula memberitahu, ayahnya datang berhijrah ke Terengganu ketika berusia 16 tahun dan kegiatan ekonomi utama keluarga ayahnya ketika itu ialah melalui tanaman kelapa sawit dan getah.

“Tak lama selepas itu, ayah pulang ke Hainan untuk berkahwin dengan emak saya di sana dan kembali semula untuk menetap di Air Jernih. Memang kawasan ini meriah pada waktu itu dengan kepadatan penduduk Hainan hampir 6,000 orang.

“Seiring perubahan masa, orang Cina Hainan telah banyak berhijrah keluar Terengganu untuk mencari pekerjaan dan membina kehidupan yang lebih baik antaranya ke Klang, Selangor, Tangkak di Johor dan Port Dickson di Negeri Sembilan,” katanya yang masih mempunyai daya ingatan yang kuat.

Pengunjung yang datang ke perkampungan itu pasti kagum dengan persekitaran rumah kedai dua tingkat diperbuat daripada kayu, persis berada di sebuah pekan kecil di negara China. - HARAKAHDAILY 11/2/2019

IMG 20190211 WA0001  

IMG 20190211 WA0002 

IMG 20190211 WA0003

IMG 20190211 WA0004

IMG 20190211 WA0005

GERIK: PAS Perak berharap kerajaan negeri membuat kajian dan perancangan teliti sebelum meluluskan kawasan untuk pembalakan supaya tidak merosakkan ekosistem, flora dan fauna atau menjejaskan kepentingan penduduk setempat.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata, sebagai sebuah kerajaan baharu, sumber hasil negeri tentulah tidak hanya bergantung kepada pembalakan semata-mata.

Menurut beliau, sekiranya mahu juga mendapatkan hasil daripada sumber hutan, sebelum meluluskan satu-satu konsesi pembalakan itu, kerajaan perlu mengambil kira faktor seperti dinyatakan.

"Sebelum meluluskan satu-satu konsesi pembalakan itu, faktor-faktor membabitkan ekosistem, flora dan fauna, kepentingan penduduk setempat perlu diambil kira," katanya ketika membuat tinjauan di Kampung Tasik Cunex, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Dala, di sini semalam.

Tinjauan dibuat berikutan bantahan penduduk kampung itu terhadap syarikat pembalakan yang mereka anggap sebagai telah menceroboh tanah adat atau kawasan rayau lalu mereka membina sekatan laluan lori balak.

Akibat sekatan tersebut, kerja-kerja penebangan serta pengangkutan keluar kayu-kayu balak tidak dapat dijalankan sejak beberapa hari lalu.

Razman yang juga Adun Gunung Semanggol berkata, hasil temubual dengan Pengerusi Jawatan Kuasa Kampung Tasik Cunex, Pam Yet, pembalakan di kawasan berkenaan akan mengganggu ekosistem, merosakkan kawasan tadahan air dan menjejaskan kawasan sumber rezeki penduduk.

Berikutan itu ujarnya, penduduk telah memprotes dengan membina sekatan supaya lori-lori balak tidak dapat mengeluarkan kayu yang telah banyak ditebang.

"Hasil tinjauan mendapati seluruh penduduk kampung itu tidak mahu dilakukan pembalakan di tanah adat yang merupakan kawasan rayau sumber rezeki mereka dan mereka juga tidak mahu menerima, walaupun ditawarkan wang ringgit," katanya.

Pam ketika ditemubual menjelaskan, pihaknya telah membuat laporan polis pada 2 Februari baru-baru ini, manakala surat bantahan telah dihantar ke pejabat kerajaan termasuk Jabatan Perhutanan Daerah dan Jabatan Kemajuan Orang Asli. - HARAKAHDAILY 10/2/2019

IMG 20190210 WA0004   

IMG 20190210 WA0002

IMG 20190210 WA0001

IMG 20190210 WA0000

PULAU PINANG: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) untuk meningkatkan usaha pembersihan longkang di Pulau Pinang untuk mencegah merebaknya penyakit.

sm idrisPresidennya, SM Mohamed Idris berkata, tinjauan CAP baru-baru ini di pelbagai lokasi mendapati banyak longkang tersumbat yang tidak dibersihkan dan dipenuhi dengan minyak gris.

Katanya, sampah yang dibuang ke dalam longkang menyebabkan ia tersumbat dan mengeluarkan bau yang busuk dan keadaan musim yang kering memburukkan lagi keadaan.

Beliau berkata, bau longkang yang busuk memberikan imej yang buruk kepada negeri yang menjadi destinasi utama pelancongan dan ia juga mendedahkan bahaya kesihatan kepada penduduk memandangkan longkang yang kotor menarik tikus, lipas dan nyamuk.

Menruutnya, Jabatan Kesihatan Pulau Pinang baru-baru ini berkata terdapat peningkatan dalam kes denggi.

Katanya, antara kawasan yang terjejas dengan teruknya ialah Jalan Tun Sardon, Jalan Dato Kramat, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Utama, Jalan Macalister, Jalan Gurdwara, Jalan Jones, dan kebanyakan longkang di Ayer Itam dan Bayan Baru di kawasan Pulau Pinang manakala Jalan Kampung Gajah, Jalan Bagan Luar dan Jalan Kampung Bengali di Seberang Perai.

Tambahnya, MBPP dan MPSP perlu bertindak proaktif dan tidak menunggu sehingga aduan dibuat.

“Longkang di Pulau Pinang perlu juga ditambah baik bagi memenuhi kepadatan penduduk di banyak kawasan,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Katanya lagi, kerajaan negeri juga mestilah mengarahkan agensi yang berkenaan untuk menambah baik sistem longkang yang lama sebelum sebarang projek baharu dijalankan.

Ini, ujar beliau termasuklah melebar dan mendalamkan longkang yang sedia ada supaya air sisa mampu untuk mengalir dengan lancar tanpa sebarang halangan. – HARAKAHDAILY 9/2/2019

 

KOTA BHARU: "Terima kasih kepada yang melapor. Saya dapat ziarah bangunan ini. Lagi pun sudah lama tengok tapi tak pernah masuk," kata Ahli Parlimen Bachok.

Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, pihak yang membuat laporan terhadapnya berhubung dana RM90 juta daripada Umno itu dianggagp tersalah orang.

Katanya pada pertemuan dengan pegawai Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), beliau memberi keterangan beberapa perkara.

"Saya memberi keterangan setelah dipanggil kerana ada laporan pasal RM90 juta. Jadi saya fikir mereka yang buat laporan terhadap saya itu tersalah orang kot..

"Saya buat kenyataan tidak ada maklumat,” katanya selepas memberi keterangan kepada SPRM di Lundang dekat sini hari ini.

Nik Abduh keluar daripada pejabat SPRM Kelantan pada jam 12.30 tengah hari selepas tiba pada jam 10.20 pagi.

Pada 9 Februari 2017 Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN) Dato’ Husam Musa dilapor menuduh PAS menerima RM90 juta daripada Umno melalui akaun Affin Bank.

Malah pada 13 Mac 2017 seorang lagi pemimpin PAN, Hanipa Maidin juga membangkitkan isu tersebut di Parlimen.

Isu tersebut dihangatkan semula selepas Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyelesaikan saman terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brow di luar mahkamah. - HARAKAHDAILY 8/2/2019

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berlaku adil dengan turut menyiasat parti-parti politik lain berhubung sumber yang digunakan dalam perbelanjaan mereka semasa musim pilihan raya.

Beliau mendedahkan sumber yang diperolehi PAS selama ini adalah hasil sumbangan ahli-ahli PAS yang datangnya dari duit poket mereka sendiri.

"Kita terbuka untuk disiasat oleh SPRM dan beri kerjasama. Kita harap siasat juga parti-parti lain, daripada mana mereka dapat duit?

"Kita sumber kita dari ahli-ahli kita sendiri kerana di seluruh negara, kita punyai 190 lebih kawasan, sejuta lebih ahli dan kita mampu buka beribu PASTI termasuk beratus sekolah swasta.

"Jadi jangan peliklah daripada mana PAS dapat duit, cuma jelasnya ini duit poket kita sendiri," katanya dalam satu sidang media di Rusila, Marang, hari ini.

Tambahnya, parti lain seperti DAP dan PAN tidak mempunyai cawangan yang banyak tetapi mampu bertanding dalam pilihan raya.

"Parti lain dari mana sumbernya? Cawangannya banyak mana? Dia tidak ada cawangan, PAN mana ada cawangan. DAP mana ada cawangan, dia bertanding begitu je, daripada mana duit dia dapat, itu kena siasat, bukan siasat kita sahaja tapi siasat semua.

"PAS buka pintu kepada SPRM untuk siasat, kita mengalu-alukan mereka siasat kerana kita mahu buktikan parti kita bersih, bahkan sudah cukup kenyataan menteri di parlimen sebelum pilihan raya umum ke-14 ada soalan di parlimen, berapa orang ahli parlimen yang disiasat? BN dan Pakatan Harapan disiasat tapi PAS tak ada," katanya.

Ujarnya, fitnah yang menuduh PAS menerima RM90 juta sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 itu ternyata gagal memesongkan hati rakyat apabila fitnah tersebut tidak sedikitpun menjejaskan kepercayaan rakyat kepada PAS.

Jelasnya, ini dapat dibuktikan apabila PAS berjaya mempertahankan kerajaannya di Kelantan dan merampas Terengganu, hampir memenangi Kedah, peningkatan kerusi Dewan Undangan Negeri di Pahang selain pertambahan kerusi Dewan Undangan Negeri dan parlimen.

"Sebab itu kita merasakan tidak ada gunanya kita habiskan masa di mahkamah, apa lagi undang-undang British dengan undang-undang di sini lain (berbeza).

"Selain itu, kes ini kena bawa atas nama peribadi tak boleh siasat atas nama parti sedangkan tuduhan mereka (adalah) kepada parti. Nak bawa di England atas nama parti tak boleh, kena bawa nama peribadi itu dah berlaku kelainan dah," katanya. - HARAKAHDAILY 8/2/2019

 

 

MARANG:  PAS mengulangi pendirian tegas sedia membuka pintu seluas-luasnya kepada siasatan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam isu fitnah RM90 juta.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, ada kenyataan supaya SPRM siasat dan PAS terbuka untuk disiasat.

“PAS membuka pintu kepada SPRM untuk siasat. Kita memang suka jika siasat ini kerana kita mahu jadi parti yang bersih.

“Bahkan, cukup dengan kenyataan Menteri di Parlimen sebelum pilihan raya (PRU14) lalu. Ada soalan di parlimen, berapa orang ahli parlimen yang disiasat daripada semua-semua parti politik.

“BN ada disiasat dengan jumlahnya, Pakatan Harapan ada disiasat dengan jumlah dia. PAS tak ada dan itu sudah cukup,” tegasnya yang juga Ahli Parlimen Marang menjawab pertanyaan pemberita.

Beliau berkata demikian selepas Kuliah Dhuha Pagi Jumaat Masjid Rusila, di kediamannya, Kampung Rusila, hari ini.

Menurut beliau, terpulang kepada SPRM untuk menyiasatnya tetapi mestilah berlaku adil dengan menyiasat juga sumber parti-parti lain.

Menjawab persoalan penarikan saman beliau terhadap Sarawak Report Clare Rewcastle Brown, kata Presiden PAS itu sudah memadai dengan kenyataan dibuat oleh Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan dan Setiausaha Politiknya, Mohd Syahir Sulaiman.

“Kenyataan Setiausaha Agung PAS, Setiausaha Politik itu sudah cukup kenyataan itu. Kita bersetuju untuk pembatalan termasuklah Clare pun setuju membatalkan.

“Sebab, Setiausaha Agung ini dia peguam dan Setiausaha Politik saya juga sudah buat kenyataan. Dan kita terikat dengan perjanjian kedua-dua belah pihak. Dia ikat dengan perjanjian, kita pun ikat dengan perjanjian,” jelasnya.

Namun, katanya, ahli-ahli PAS juga bersetuju jika kes saman itu tidak diteruskan bagi memberi tumpuan parti dalam negara ini. - HARAKAHDAILY 8/2/2019

Adun Kuala Nerang berada di tempat kejadian.

PADANG TERAP: Ketua PAS Cawangan Kampung Tanjung, Ramli Ibrahim, 65, lemas ketika berusaha menyelamatkan dua cucunya dan seorang rakan mereka di sungai Rumah Pam Bukit Sena petang semalam.

Allahyarham lemas akibat dibawa arus deras ketika cuba menyelamatkannya mangsa. Mangsa kesemuanya perempuan berusia 14 dan 16 tahun.

Adun Pedu, Mohd Radzi Mohd Amin berkata, Allahyarham bersama keluarga berkelah di tepi sungai berkenaan sebelum kejadian.

Katanya, dua cucunya dan rakan mereka lemas akibat dibawa arus deras ketika sedang mandi.

"Arwah yang cuba menyelamatkan mereka juga terkorban sama. Semoga ahli keluarganya bersabar menerima ujian tersebut," kata beliau di sini.

Mayat mangsa dijumpai antara jam 4 hingga 6 petang di lokasi tidak jauh daripada tempat kejadian.

Jenazah Ramli dan cucunya dikebumikan pada jam 12 tengah malam di Tanah Perkuburan Masjid Jamil-Ul Khair, Tong Pelu.

“Saya merakam ucapan takziah kepada isteri serta ahli keluarga,” ujarnya.

Adun Kuala Nerang dan beberapa pemimpin PAS Padang Terap turut berada di lokasi kejadian. - HARAKAHDAILY 8/2/2019

SIK: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dianggap lebih teruk berbanding kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mentadbir Kedah sebelum ini.

Adun Jeneri Muhammad Sanusi Mohd Nor berkata, pemimpin Parti Amanah Negara (PAN) difahamkan mendesak Exco menghalang Timbalan Presiden PAS Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man menyampaikan kuliah di Masjid Pekan Sik.

Katanya, pemimpin PAN Dun Belantik dikatakan membuat aduan kepada Pejabat Exco supaya kuliah itu dibatalkan.

Berikutan itu Pejabat Agama Daerah Sik difahamkan tidak melulus kuliah tersebut.

"Pemimpin PH melampui norma dan nilai setempat. Ruang untuk berdakwah dan kuliah sepatutnya dibuka seluasnya dan bukan disekat,” katanya di sini.

Kuliah berkenaan pada jadual asal akan diadakan pada 9 Februari. - HARAKAHDAILY 8/2/2019