DUNGUN: Wakaf sambil mendapat ganjaran di akhirat kelak, demikian konsep yang dianjurkan dalam memajukan Pasaraya Wakaf di bawah Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat.

Ia sebagai peluang kepada rakyat Terengganu, khususnya ahli PAS untuk sama-sama berperanan memberi kesedaran masyarakat mengukuhkan ekonomi umat Islam rantau ini.

Demikian ujar Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada sidang media selepas merasmikan program Pasaraya Wakaf PAS Pusat di sini, petang ini.

Tambah beliau, penubuhan pasaraya itu sekurang-kurangnya bagi memberi kesedaran untuk mengambil peranan ekonomi masyarakat setempat untuk sama-sama menyokong kepada kebaikan parti dan rakyat.

"Pasaraya Wakaf ini telah mendapat kutipan sebanyak sejuta sehingga kini. Dan kita mahu RM11 juta lagi untuk menyiapkan proses pembinaan pasaraya wakaf ini," katanya

Sementara itu, Pengerusi Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat, Dato' Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, menerusi perasmian pasaraya wakaf itu, PAS mendapat modal daripada ahlinya bagi membangunkan ekonomi.

Ujar beliau, kebanyakannya adalah daripada ahli PAS selebihnya daripada orang awam dan pelbagai pihak yang menyumbang.

Ini kerana katanya, parti tidak memberi dana kepada ahli, malah ahlilah yang mendanai parti.

"Sehubungan itu, hasil keuntungan projek pertama pasaraya wakaf ini akan memberi pulangan manfaat kepada penyumbang," katanya lagi.

Selain itu katanya, ia akan digunakan untuk program kebajikan dan tujuan dakwah. – HARAKAHDAILY 11/9/2018

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi menyifatkan Muktamar Tahunan PAS kali ini adalah himpunan bersejarah berikutan lanskap perubahan politik yang sedang berlaku dalam negara khususnya selepas peralihan kuasa berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Beliau menjangkakan pada Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS, usul daripada para perwakilan pemuda akan tertumpu kepada usul hala tuju PAS pasca PRU selain menyentuh isu-isu ancaman terhadap Melayu dan Islam yang semakin ketara.

"Itu antara isu yang akan difokuskan oleh perwakilan dalam muktamar kali ini, mungkin akan ada usul-usul yang menjurus ke arah itu kebersamaan dengan blok pembangkang yang lain ke arah 'survival' politik Melayu.

"Secara asasnya kita boleh nyatakan bahawa PAS bersetuju membuat sesuatu demi 'survival' politik Melayu dan kita bersedia melalui proses itu serta kita akan serahkan kepada Majlis Syura Ulamak untuk tentukan bagaimana kaedah dan caranya nanti," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau menjangkakan lebih seribu pemerhati dan perwakilan yang akan turut serta dalam Muktamar Dewan Pemuda PAS pada 13 September bertemakan "Terus Mara".

Ujarnya lagi, seperti kebiasaan muktamar PAS sentiasa mengalu-alukan dan menjemput semua pemerhati dari kalangan NGO, NGI dan parti-parti politik untuk turut serta mengambil bahagian dalam program himpunan tahunan PAS ini.

"Kita jemput semua parti-parti politik Melayu Islam bukan hanya terbuka kepada Umno sahaja tetapi kita jemput semua. Hingga setakat ini belum ada pengesahan lagi daripada para jemputan untuk hadir atau tidak dalam himpunan PAS nanti," katanya.

Ustaz Khalil meletakkan harapan agar himpunan tahunan PAS ini membuahkan hasil dan natijah yang baik demi kelangsungan perjuangan PAS dalam menghadapi cabaran semasa pada hari ini. – HARAKAHDAILY 11/9/2018

KOTA BHARU: Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan, Dato' Hassan Mohamood, 63 dianugerah sebagai Tokoh Hijratul Rasul peringkat negeri 1440.

Pemilihan Adun Tawang itu mengambil kira sumbangannya memartabatkan pelaksanaan syariat Islam di Kelantan.

Antara sumbangannya menyediakan kenderaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheik) di setiap jajahan ketika berkhidmat sebagai Exco. Beliau juga antara pencetus kewujudan Skuad Amru bagi membantu Bahagian Penguatkuasa Undang-undang Syariah dalam melaksanakan amar makruf nahi mungkar.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda bidang Usuluddin dari Universiti Islam Imam Muhammad Saud, Riyadh itu juga pernah dilantik Pegawai Agama Majlis Fatwa Kerajaan Arab Saudi.

Tokoh Saudara Baru pula dianugerah kepada Pandak Busu, 78 yang merupakan Orang Asli suku kaum Temiar dari Pos Tuel, Gua Musang. Beliau menganut Islam pada 17 Julai 1997.

Beliau merupakan antara individu pertama yang memeluk agama Islam, bahkan seluruh pos berkenaan kini 100 peratus menerima Islam di bawah kepimpinannya sebagai Tok Batin.

Manakala pemilik syarikat pemaju perumahan Md Rashid Mohamad, 64 dianugerah sebagai Tokoh Usahawan Daei 1440 Hijriah.

Beliau merupakan Pengarah Urusan Pingat Harmoni Sdn Bhd, dilahirkan pada 30 Disember 1954 di Kampung Pulau Raja Tumpat.

Beliau menginfakan sebahagian hartanya terhadap perkembangan Islam khususnya di Tumpat.

Antara jasanya membina Masjid Nurul Hidayah di Mukim Gerong serta mewakafkan tanah untuk pembinaan masjid serta tanah perkuburan Islam.

Mereka menerima anugerah disampaikan Pemangku Raja Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra sempena sambutan Hijratul Rasul 1440 Hijriah di Masjid Ismaili malam tadi.

Hadir sama Menteri Besar, Ustaz Dato Bentara Kanan Ahmad Yakob; anggota Exco kerajaan negeri, Dato' Mohd Nassuruddin Daud dan kepimpinan kerajaan negeri. - HARAKAHDAILY 11/9/2018

KUANTAN: Penduduk di Lombok hidup kedhaifan dalam sekelip mata akibat gempa bumi yang melanda wilayah itu.

Pengarah Yayasan Amal Malaysia Cawangan (YAMCP) Pahang, Johari Wahid berkata, mangsa gempa amat memerlukan bantuan untuk membina semula rumah, surau dan masjid yang musnah.

Katanya, pihaknya menziarahi beberapa kampung di tiga Kacamatan yang dilanda gempa iaitu Gunung Sari, Kayangan dan Pemenang, Lombok Utara.

Katanya, misi bantuan kemanusiaan ke Lombok diadakan pada 3 hingga 6 September lalu.

“Pada lawatan itu kami mengorbankan 20 ekor kambing dan empat ekor lembu dan dagingnya diagih-agih kepada lebih kurang 500 ketua keluarga mangsa.

“Kami mendapat kerjasama NGO Partai Keadilan Sejahtera (PKS) dan NGO-NGO lain. Hampir semua kampung yang dilawati ditemui bekas pekerja ladang di Malaysia,” katanya di sini.

Beliau juga berkata, lawatan ke kampung terbabit disambut penduduk tempatan di mana ramai dalam kalangan mereka pernah bekerja di Malaysia.

Turut bersama rombongan itu Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abd Jabar dan Adun Panching Ustaz Tarmizi Yahaya. - HARAKAHDAILY 11/9/2018

KUALA LUMPUR: Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) kali ke-58 dijadual akan dirasmikan pada 14 September oleh Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad.

Acara majlis bermula dengan ucaptama Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh yang akan menyentuh beberapa kandungan utama melibatkan isu semasa wanita yang berlaku pada masa kini.

Berkongsi sedikit isu kandungan isu semasa yang akan diketengahkan pada Muktamar DMPM nanti, Ustazah Nuridah berkata antara yang akan dicakna adalah kebimbangan isu-isu umat Islam khususnya wanita dan kanak-kanak.

"Banyak isu yang ingin kita ucapkan pada muktamar nanti, antaranya isu wanita dan kanak-kanak dalam kerajaan baharu pada hari ini dan isu-isu yang membimbangkang umat Islam khususnya jangan dipandang ringan. Bahkan dalam negara juga umpama keluar mulut harimau masuk mulut buaya.

“Selain itu muktamar kali ini juga kita akan membincangkan isu kebersamaan PAS bersama blok pembangkang lain untuk perlu ditangani dengan sebaiknya," katanya kepada Harakahdaily.

Muktamar DMPM akan berlangsung di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu yang akan dihadiri oleh para perwakilan dan pemerhati dari seluruh negara.

Dijangka lebih 10,000 orang akan menghadiri Muktamar Tahunan PAS ke-64 bermula 14 September ini di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus. – HARAKAHDAILY 11/9/2018

KOTA BHARU: Kerajaan negeri sentiasa berusaha membangunkan Kelantan berasas acuan Islam serta seimbang antara pembangunan duniawi dan ukhrawi.

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Ahmad Yakob berkata, pembangunan negeri itu dipacu berdasarkan ‘Merakyat Membangun Bersama Islam’.

“Alhamdulillah, masyarakat Kelantan sentiasa menyokong dan mendokong dasar yang dibawa tersebut. Semoga Allah memberkati segala usaha bagi memartabatkan Islam di muka bumi ini,” katanya pada perutusan Tahun Baru Hijriah 1440.

Sambutan Hijrahtul Rasul peringkat negeri diadakan di Masjid Ismaili Pasir Pekan malam tadi dirasmikan Pemangku Raja Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Dato’ Mohd Nassurudin Daud, anggota-anggota Exco dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Dato’ Che Mohd Rahim Jusoh.

Ustaz Ahmad juga berkata, sempena tahun baharu hendaklah kita berganding bahu, bersatu-padu, merapatkan saf dan mengeratkan kesatuan.

Katanya, kesatuan itu dapat membendung usaha pihak tertentu untuk menggugat akidah ummah, meruntuh moral, memecah keharmonian dan keamanan negara. – HARAKAHDAILY 11/9/2018

GUA MUSANG: Biar pun segelintir masyarakat Orang Asli masih berjuang menuntut tanah adat, namun sebahagian besar penduduk terbabit melahirkan rasa aman berada di bawah kerajaan negeri.

Semalam penduduk Orang Asli di Pos Pulat hadir pada progam Lindungan Kasih dianjurkan Lajnah Tanah PAS Pusat yang diketuai pengerusinya, Wan Rohimi Wan Daud.

Hadir sama pada program itu wakil kerajaan negeri Dato' Hassan Mohamood.

Turut hadir Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin, Ketua Penerangan Pemuda PAS Kelantan, Nazman Che Iberahim, Yang Dipertua PAS Gua Musang, Ustaz Azman Ahmad, Penyelia Dun Nenggiri, Mohd Saupi Abdul Razak dan pimpinan PAS Gua Musang.

Setiap tetamu yang hadir dipakai topi yang dipanggil 'jari lipan' ketika tiba di perkampungan itu yang terletak di pedalaman Gua Musang.

Penghulu Tanpa Mukim Dun Nenggiri, Jumat Abak berkata, sebahagian masyarakat Orang Asli muak dengan perjuangan segelintir kaum mereka yang mudah dipengaruhi pihak dari luar.

Katanya, mereka cuba memperjuangkan tanah adat dan wilayah yang tidak pernah wujud dalam Kanun Tanah Negeri Kelantan.

“Kehadiran ramai penduduk Orang Asli suku Temiar pada program ini membuktikan mereka tidak bersama dengan perjuangan Jaringan yang melakukan sekatan laluan balak di Pos Tohoi,” katanya di sini semalam. - HARAKAHDAILY 10/9/2018

SHAH ALAM: Calon PAS PRK Dun Seri Setia, Dr Halimah Ali menemui para pengundi yang datang awal ke pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan TTDI Jaya, jam 8.55 pagi.

Beliau turut menemui pegawai-pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bertugas bagi supaya proses PRK Dun Seri Setia berjalan lancar.

Dr Halimah tiba di pekarangan pusat mengundi itu jam 8.55 pagi diiringi Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor.

Turut bersama beliau ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Riduan Mohd Noor dan pimpinan wanita Umno bahagian di Selangor.

Suasana di pusat mengundi yang dibuka jam 8.00 pagi tadi berada dalam keadaan terkawal. Semua pusat pengundian ditutup jam 5.30 petang.

Dr Halimah juga dijadual melawat pusat mengundi di Politeknik Sultan Salahuddin Abd Aziz Shah, Shah Alam, Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Seaport, Sekolah Kafa Integrasi Al Islamiah, Kg Lindungan, Dewan Komuniti Jalan PJS 6, Kolej Tingkatan Enam, Sekolah Rendah Agama Kg Medan, Sek Keb Kg Lindungan, Dewan Serbaguna Taman Dato Hormat, Sek Keb Sg Way, Sek Men Kebangsaan Lembah Subang, Dewan D'kelana Kompleks Sukan, Kelana Jaya, Sek Keb Kelana Jaya 1 dan 2, Sek Agama Rakyat (Kafa) Integrasi Ehsaniah dan Sek Keb Sri Kelana. - HARAKAHDAILY 8/9/2018

h2

 

PETALING JAYA: Timbalan Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pertikaian dalam kalangan pimpinan Pakatan Harapan tentang hukuman sebat di khalayak ramai yang berlaku di Terengganu adalah untuk menutup kes penarikan balik tuduhan rasuah terhadap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang jauh lebih besar daripada isu sebat.

Katanya, Terengganu memperkenalkan peraturan dalam kerangka undang-undang yang dibenarkan di negara ini.

"Tidak sepatutnya ada Kabinet mengeluarkan kenyataan yang mengkritik undang-undang dan hukuman tersebut. Kita menganggap ini sebagai satu tindakan tidak menghormati keputusan Mahkamah Syariah di negeri Terengganu.

"Semua pihak mesti menghormati peraturan yang ada selagi ia berada dalam kerangka peraturan undang-undang yang dibenarkan di negara kita.

“Undang-undang yang berlaku di bawah pentadbiran negeri di bawah Mahkamah Syariah yang lulus melalui parlimen, mereka berjalan seperti yang dibenarkan oleh parlimen. Sepatutnya kita menghormati kerangka tersebut," katanya pada ceramah mega sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Seri Setia, malam tadi.

Beliau menjelaskan bahawa pesalah terbabit diberi tempoh 14 hari untuk membuat rayuan, tetapi mereka tidak membuat rayuan dan hadir sendiri yang memminta supaya dilaksanakan hukum tersebut agar Allah mengampun dosa mereka.

“Kita perlu menghormati undang-undang yang ada, kalau tidak hormat buat apa perlu adanya undang-undang kalau sentiasa dipertikaikan.

"Dalam kes takzir tidak sama dengan kes hudud dan qisas, kerana kes takzir berada di bawah undang-undang negeri, tapi ia perlu diselaraskan agar tidak timbul perbandingan yang dianggap negatif di bawah undang-undang Mahkamah Syariah.

"Mungkin apa yang berlaku di Terengganu akan membuka ruang supaya Mahkamah Syariah duduk bersama, menilai kembali dan menyelaraskan kes-kes takzir agar hukumannya dapat diselaraskan oleh semua negeri yang ada," tambahnya.

Turut hadir pada ceramah mega tersebut ialah Pesuruhjaya PAS Selangor, Ustaz Sallehen Mukhyi; Presiden Umno, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Presiden MIC, Tan Sri Vigneswaran Sanasee; calon PAS Dun Seri Setia, Dr Halimah Ali. – HARAKAHDAILY 7/9/2018

SHAH ALAM: Markas PAS Cawangan TTDI Jaya yang diletakkan di bawah Zon 3 untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia dibantu oleh muslimat PAS dalam dan luar negeri Selangor sebagai sebahagian jentera PRK.

Ketua Helwa Zon 3, PRK Seri Setia, Wan Sawiah Wan Nik menyatakan bahawa tenaga muslimat memang perlu digembleng untuk kemenangan PAS di Seri Setia.

Katanya, PAS benar-benar berusaha untuk menumbangkan Pakatan Harapan (PH) sebagai satu signal mengenai pelbagai kepincangan telah berlaku selepas 100 hari pemerintahan mereka.

Antara muslimat yang turut mencurah tenaga di Bilik Operasi Zon 3, TTDI Jaya ialah Dewan Muslimat PAS Negeri Sembilan, Melaka, Sabah, Sarawak serta muslimat PAS Kawasan Sepang, Tanjung Karang dan Sungai Besar.

Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Rembau, Masita Mohamed Ali berasa bangga menjadi sebahagian jentera PAS yang ditugaskan menghantar risalah serta meraih undi di TTDI Jaya.

Ketua Muslimat Dewan Muslimat PAS Tanjung Karang, Ustazah Marsunah Jemain juga tetap bertenaga membantu menyiapkan bahan-bahan kempen untuk diedarkan dalam program ‘kepung masjid’ selepas solat Jumaat hari ini.

Pemangku Ketua Muslimat PAS Selangor, Noriha Awang berkata, kehadiran muslimat-muslimat tersebut memang membantu menyemarakkan lagi gerak kerja yang disusun rapi sepanjang tempoh berkempen dan mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga atas sokongan yang diberikan. – HARAKAHDAILY 7/9/2018

KOTA BHARU: Sikap pemimpin tertentu kecoh terhadap pelaksanaan perundangan Islam dianggap mewarisi penentangan yang berlaku sejak zaman awal perkembangan Islam.

Bekas pensyarah Dato’ Dr Johari Mat berkata, sikap penentangan seperti itu bukan perkara pelik kerana ia berlaku ketika awal perkembangan Islam lagi.

Katanya mereka geger juga kerana tidak pernah mendengar mengenai hukuman dalam Islam sebelum ini.

“Sedangkan perundangan Islam sudah lama ada cuma kita yang tidak tahu,” katanya pada kuliah pagi Jumaat di Medan Ilmu, hari ini.

Semalam Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, hukuman sebat dijalankan Mahkamah Tinggi Syariah di Terengganu terhadap pesalah lesbian (musahaqah) tidak mencerminkan keadilan dalam Islam.

Baru-baru ini dua pasangan lesbian di Terengganu dijatuhi hukuman sebat berdasar Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir), di tempat terbuka di mahkamah.

Dr Johari yang juga Pengarah Institut Pemikiran Tok Guru berkata, manusia tidak boleh menggunakan akal sendiri terhadap perundangan syariah. – HARAKAHDAILY 7/9/2018

PETALING JAYA: Calon PAS pada PRK Dun Seri Setia, Dr Halimah Ali sentiasa bersedia untuk berdebat dengan calon Pakatan Harapan, Halimey Abu Bakar.

Menurutnya, beliau sanggup menerima jemputan daripada mana-mana pihak penganjur untuk acara debat, sekiranya ia membawa kebaikan kepada pengundi Seri Setia.

“Ini kali kedua saya mendapat jemputan debat yang pertama daripada Astro Awani dan malam ini adalah jemputan kedua.

“Saya dimaklumkan untuk debat malam ini, kedua-dua belah pihak mendapat jemputan. Saya mendapat jemputan hitam putih (surat jemputan) daripada pihak penganjur.

“Saya dapat surat jemputan itu selepas daripada Halimey (Pakatan Harapan) seperti mana pihak penganjur katakan kepada saya,” katanya kepada Harakahdaily semasa menghadiri program debat di sini.

Menurutnya, untuk menjadi wakil rakyat perlu berani bersuara dan berdebat kerana pada sidang Dewan Undangan Negeri, wakil rakyat perlu membawa suara rakyat.

“Dalam sidang Dewan Undangan Negeri, wakil rakyat perlu kuat untuk membawa suara rakyat supaya kerajaan negeri dapat mengambil peranan dan bertindak,” ujarnya.

Beliau yang hadir ke majlis debat tersebut tanpa kehadiran Halimey.

Debat antara Dr Halimah dan Halimey itu dianjurkan oleh sebuah badan NGO, Gabungan Muafakat Penduduk Seri Setia. – HARAKAHDAILY 6/9/2018