TERSEBAR tulisan yang popular dan menjanjikan harapan tinggi kepada penggemar telur.
"Sebiji telur sehari boleh mengurangkan kematian akibat stroke sebanyak 12% - Bukti kajian ke atas 300,000 orang." ~Epidstat Institute, Washington (2015)

Laporan kajian berkenaan adalah hasil dari analisa Meta yang mengumpulkan beberapa kajian yang tertentu berkaitan telur dan risiko strok / sakit jantung. Ianya salah satu teknik penulisan yang baik kerana membuat kesimpulan secara kolektif atas beberapa kajian yang telah dijalankan. Cuma kaedah pengambilan kajian kohort dalam analisa meta ini, agak terkongkong dengan penemuan satu jalur, tanpa melihat sisi jalur yang lain. Bagi pengkaji yang mahir statistik faham apa yang saya maksudkan ini.

drsuhazeli1Mari kita lihat kajian tersebut secara ulasan statistik. Pengumpulan data responden kajian yang mencecah kepada 300,000 ini, mencari hubung kait antara pesakit yang mengalami sama ada strok atau serangan jantung. Dari sejumlah kedua-dua lorong penyakit tersebut, mereka melihat berapa ramai yang memakan telur sebiji sehari dan dua biji seminggu. Hanya dua lorong cerapan sahaja. Mereka dapati pengambilan telur 1 biji/sehari berbanding 2 biji/seminggu boleh mengurangkan kematian strok (fatal stroke) sebanyak 12%. Manakala kajian yang dipetik itu tidak menunjukkan hubungkait antara pengambilan telur dengan kejadian sakit jantung, sama ada 1 biji/sehari atau 2 biji/seminggu.[1]

Kesimpulan pengkaji yang dibuat dalam kajian meta analisa tersebut adalah:

1) Pengkaji bersetuju dan menyokong bahawa telur adalah satu makanan yang berzat dan sihat. Walau bagaimanapun para pengkaji tidak melihat kepada keseluruhan menu makanan lain yang diambil oleh subjek kajian. Begitu juga kaedah sajian telur tidak disebutkan, goreng ke, rebus ke, masak lemak ke atau sebagainya. Mereka hanya mengkaji sama ada sebiji telur sehari atau 2 biji seminggu sahaja. Justeru tidak diketahui status responden yang memakan 2 biji sehari, atau lapan biji sehari, masak separuh atau masak penuh atau jumlah-jumlah yang lain. Sama ada mengurangkan risiko strok juga atau tidak.

2) Para pengkaji juga tidak dapat menemui bukti berapa jumlah yang sepatutnya telur dimakan oleh setiap individu bagi mengurangkan risiko kematian atau penyakit. Ini kerana kajian yang dijalankan itu tidak boleh membuktikan hubungkait sebenar berdasarkan faktor-faktor lain yang boleh menjadi risiko sampingan (confounding factors), seperti merokok, gemuk, jantina, umur dan aktiviti sukan setiap responden.

3) Telur adalah sumber yang bagus untuk protein, vitamin, garam galian. Mengambilnya dalam menu seharian anda boleh memberi kesan positif dalam kehidupan.

Jika diteliti lanjut, kajian yang dijalankan itu telah mendapat tajaan besar dari Pusat Nutrisi Telur Amerika. Berlaku konflik kepentingan antara kaedah kajian dan keputusan kajian yang ditulis. Sudah tentu ianya akan menyokong pusat berkenaan bagi melariskan jualan.

Akhirnya kajian tersebut seolah-olah tidak signifikan.

Untuk pengetahuan bersama, kaitan telur dengan kandungan kolesterol menjadi perdebatan hangat sejak sekian lama. Ini kerana tekstur kuningnya memberi persepsi bahawa ianya adalah kolesterol atau lemak. Pemikiran kita selama ini telur adalah makanan yang banyak kolesterol, sebenarnya tidak. Sedangkan kajian terkini mendapati kandungan kolesterol di dalam makanan tidak memberikan kesan negatif kepada tubuh kerana kebanyakan kolesterol terbentuk di hati (liver). Boleh baca tulisan lanjut oleh laman Root of Science.[2]

Boleh simpulkan di sini, jumlah telur semata-mata tidak menjamin anda berisko dihinggapi penyakit. Faktor-faktor lain boleh mempengaruhi. Makanlah dengan sederhana, jangan berlebihan. Kekalkan gaya hidup sihat senantiasa. Katakan tidak kepada rokok. Nyatakan kebencian anda kepada perangai peminum arak atau golongan yang menganjurkan arak berleluasa. Kerana ianya merosakkan diri anda sebagai aset berguna negara.

Sekian Semoga Bermanfaat

Suhazeli Abdullah
Fb.com/drsuhazeli
15.10.2017
Kuala Berang

Pautan
[1] Alexander DD, Miller PE, Vargas AJ, et al. Meta-analysis of Egg Consumption and Risk of Coronary Heart Disease and Stroke. Journal of the American College of Nutrition. Published online October 6 2016.
[2] Root of Science. Kolesterol dalam makanan tidak akan meningkatkan kolesterol dalam badan http://rootofscience.com/…/kolesterol-dalam-makanan-tidak-…/
[2] Review from NHS UK. https://www.nhs.uk/…/eating-one-egg-a-day-may-lower-risk-o…/

KISAH semalam masih lekat sampai hari ni. Satu keluarga yang dijemput datang klinik bagi laksanakan saringan hubung-kait (contact tracing) penyakit. Saringan ini wajib dilakukan jika salah seorang dari waris terdekat menghidapi penyakit berjangkit seperti tuberkulosis, difteria, denggi dan lain-lain penyakit berbahaya. Bertujuan mengenal pasti tanda-tanda ahli keluarga lain sama ada dijangkiti sama atau tidak. Jika positif, rawatan segera akan dijalankan.

Kefahaman, gaya hidup, sikap (health seeking behaviour) dan bagaimana mendapatkan akses kesihatan memainkan peranan penting dalam penjagaan kesihatan individu serta masyarakat. Jika health seeking behavior itu rendah, terlalu sukar para petugas kesihatan untuk memberi penerangan, kaunseling serta rawatan yang sepatutnya.

Keluarga Ahmad (bukan nama sebenar) ini bukannya dari golongan tidak berkemampuan atau tidak berpelajaran. Malah Ahmad dan isterinya sendiri bekerja sebagai jurutera syarikat besar negara. Tetapi dek kerana sikap mereka yang menolak seratus peratus perubatan moden dan segalanya mengharap penyembuhan alami, mereka agak keberatan untuk dijalankan contact tracing ini.

Anak bongsu mereka (10 tahun) disahkan pengidap TB kahak positif. Besar kemungkinan berjangkit dari atuk yang pernah dirawat penyakit TB setahun lepas. Rekod perubatan mendapati kesemua lima anak Ahmad tidak divaksinkan lengkap. Hatta BCG (vaksin cegah TB) pun tidak diberikan.

Bermula dari pendaftaran contact tracing, buka kad, jumpa doktor hingga ujian mantoux, kesemuanya merumitkan kami. Bahasa mudah agak fussy.

Setiap langkah ujian ‘disoal' walaupun penerangan panjang lebar telah diberikan. Bahagian paling tragis adalah ujian mantoux. Kami dituduh agen Yahudi kerana ingin cucuk tuberkulin (mantoux test). Katanya tuberkulin itu sejenis vaksin yang diagendakan oleh barat. Semuanya arahan zionis Yahudi.

Kami kaget dan terkedu.

Suhazeli Abdullah
Fb.com/drsuhazeli
13.10.2017
Foto Dr Suhazeli Abdullah

TERSEBAR video Mak Lang Batu Geliga yang merawat penyakit rabun mata. Sekali tengok terkesima saya kehebatan Mak Lang. Boleh kalahkan pakar mata dengan alatan canggih masa kini, hanya dengan sebiji batu geliga. [Gambar Kanan]

BG01Nasihat saya, jangan mudah teruja dengan sesuatu keajaiban kaedah berubat seperti ini. Pernah suatu ketika pesakit batu karang ginjal pergi merawat kaedah bedah batin. Batu karang keluar nyata satu persatu dengan penbedahan batin, tanpa pisau. Beliau bawa batu karang itu jumpa saya untuk pengesahan scan. Saya lihat batu itu bukan komponen batu karang pun sebab sama macam batu sungai.

Scan dibuat, ternyata batu karang beliau masih terlekat dalam ginjal. Seminggu lepas itu saya terima berita pesakit berkenaan meninggal dunia akibat kegagalan buah pinggang. Orang kita selalu teruja dengan perkara sembuh segera, murah, ajaib dan mistik. Tanpa melihat logika sains di sebaliknya. Saya tidak akan menuduh Mak Lang amalkan sihir atau mistik.

BG02Menurut ahli Optometris #MedTweetMY, Amira Nadia, rawatan batu geliga yang digunakan itu sama konsep dengan kaedah LASIK atau Orthokeratology [Gambar Kiri]. Ia satu kaedah perubatan untuk membentuk semula lapisan luar kornea mata supaya imbasan imej yang masuk ke dalam mata terbentuk dengan sempurna. Kaedah ini hanya dilakukan ke atas pesakit yang rabun dekat atau jauh sahaja. Bagi penyakit lain seperti katarak, rosak saraf retina dan seumpamanya, kaedah Lasik atau Ortho-K ini tidak digunakan.

Mekanisma yang boleh dijelaskan dengan menggunakan BATU GELIGA ini adalah; batu tersebut akan memberi tekanan kepada kornea mata dalam sela masa tertentu. Dengan itu kornea akan dibentuk semula (reshaping) mengikut lengkung acuan permukaan batu geliga [Gambar Kanan]. BG04Konsep yang hampir sama dengan lasik atau Ortho-K tadi. Cumanya kaedah batu geliga Mak Lang hanya bersifat sementara. Lama kelamaan kornea akan kembali ke bentuk cengkung asal, kerana batu itu tidak selama-lamanya di situ sebagaimana Ortho-K.

Nasihat saya selanjutnya adalah, jauhkan diri dari mengambil kaedah bahaya batu geliga ini. Kornea adalah lembut, nipis dan sensitif. Gosokan secara kasar atau memasukkan bendasing akan merosakkan permukaannya dengan mudah. Sudah berapa banyak kes kecemasan yang kami temui kerosakan ke atas permukaan kornea ini [lihat gambar bawah - kerosakan kepada kornea mata]. Jika ia tidak dirawat sebaiknya, boleh membawa buta mata anda.

Batu geliga itupun bukannya bersih. Digunakan terhadap beratus-ratus orang yang hadir mendapatkan rawatan. Tiada jaminan jangkitan kuman tidak berlaku. Peratusannya agak tinggi. Pelanggan yang hadir pun tidak disaring, perebakan bakteria, virus hepatitis malah HIV senang berlaku jika tidak menjaga kebersihan ini.

BG05Jika Mak Lang boleh mendakwa batu geliganya boleh mengubati katarak, rosak saraf mata atau lain-lain, baharulah saya boleh menuduh Mak Lang menggunakan unsur mistik dalam merawat.

Beringatlah sebelum parah. Doktor mata yang bertauliah masih ramai dan sudi membantu anda. Jangan ambil jalan mudah, segera, ajaib dan mistik! – HARAKAHDAILY 10/10/2017

SAYA membaca dengan teliti kecaman tuan terhadap Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkenaan kenyataan TGHH tentang Tabung Haji. Sebelum saya jawab berkenaan 3 point tuan berkenaan TH yang kebanyakannya diambil dari firma audit PWC, izinkan saya memahamkan tuan tentang maksud sebenar TGHH.

Daripada awal TGHH dan PAS sentiasa konsisten agar apa apa tuduhan terhadap institusi kewangan Islam ini diselesaikan melalui suruhanjaya bebas/diraja atau melalui medium mahkamah. Tidak ada sebarang usaha daripada mana mana pihak hatta dari Umno sekalipun agar skandal tersebut ditutup (jika ada). Malahan Umno sendiri mahukan Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat sebarang salah laku pengurusan lama.

Pendirian TGHH hanyalah mahu agar segala skandal ini (jika ada) dibicara dan diselesaikan di mahkamah dan bukannya di media bagi menjaga imej TH. Jadi di mana salahnya?

Dan saudara sebagai Naib Presiden PKR (lantikan) sebuah parti dalam kerajaan seharusnya mencerminkan langkah wajar dengan memulihkan keyakinan pendeposit terhadap institusi ini melalui sokongan terhadap apa-apa proses undang-undang dan siasatan. Sebarang usaha 'pendakwaan secara media' adalah perkara yang tidak wajar dibuat oleh saudara yang telahpun memiliki kuasa. Itu kerja pembangkang.

Pendakwaan secara media (media trial) hanya akan meruntuhkan keyakinan pendeposit dan pelabur.

Sekarang kita fokus kepada 3 point yang saudara sebut dalam tulisan saudara:

1. Saudara menyebut bahawa TH mengalami kerugian pelaburan RM549 juta yang mana sebahagian besarnya adalah daripada penyelewengan.

Jawapan: Saudara, penyelewengan apa? Pelaburan mana? Anak syarikat mana yang terlibat? See, inilah contoh "media trial" yang kami meluat dari dahulu hingga sekarang. Kalau ada penyelewengan, mana dakwaan dan keputusan mahkamahnya? Sejak bila saudara jadi hakim?

2. Saudara menyebut bahawa keuntungan penjualan Bank Islam (BIMB) oleh TH sebanyak RM533 juta adalah helah perakaunan sebab TH kemudiannya beli balik pegangan saham Bank Islam tersebut.

Jawapan: Saudara, faham ke tidak walaupun beli semula, pegangan saham TH ke atas BIMB meningkat kepada 53.4% (sebelum ini 51%). Benda ni semua recorded dan kita patut puji TH sebab berjaya naikkan pegangan mereka selepas buat pelaburan kali ke-2 dalam BIMB.

3. Dividen RM436 juta anak syarikat kepada TH belum dibayar setakat 30 Sept 2018. Bila dividen belum dibayar, maknanya pendapatan TH tiada.

Jawapan: Saya tak berapa faham dengan pendirian saudara dalam isu ini. Dividen itu, apa jadi pun perlu dibayar sebab TH ada pegangan. Soal belum dibayar itu bukannya penyelewengan dari TH. Yang pengurusan baru perlu lakukan adalah meminta anak-anak syarikat tersebut untuk bayar segera kepada TH.

Kenapa pendirian saudara ni pelik? Sebab apabila SPV mengambil alih aset dan ekuiti TH bernilai RM19.9 bilion baru-baru ini, TH pun tidak mendapat apa-apa secara zahir memandangkan sukuk RM10b itu hanya boleh ditunaikan selepas 7 tahun. Dengan kata lain, duit jual tu tak masuk akaun pun lagi. Dah tu macammana kita boleh kata akaun TH dah comel selepas jual pegangan dan aset mereka kepada SPV?

Saudara,

Saudara dan saya orang Kemaman. Kita sekampung saja. Tetapi saudara diberikan nikmat kuasa yang orang Kemaman lain tidak ada. Sepatutnya saudara perjuangkan hak pendeposit dan bukannya bermain kata di media.

Contohnya, pejuangkanlah agar saham-saham yang sudah dilepaskan kepada SPV tetapi berpotensi tinggi dan konsisten bagi dividen seperti Malakoff, Hap Seng dan Pintaras dapat dikembalikan semula kepada TH apabila nilaian saham mereka meningkat semula.

Perjuangkanlah agar asset-aset berharga macam tanah TRX tidak dilepaskan secara harga modal (sukuk) tetapi cadangkan agar tanah tersebut dibangunkan secara PFI (Private Fund Initiatives) dengan TH diberikan pegangan dalam hartanah tersebut agar pendapatan itu dapat dinikmati pendeposit secara berterusan. Apa nak hairan dengan pelabur. Khalid Samad kata Syeikh Qatari ada modal 400 bilion dolar kan?

Perjuangkanlah agar RCPS-i yang diberikan oleh SPV itu ada dividen. Bukannya kosong. Pintaras, Hap Seng dan Malakoff konsisten bagi dividen melebihi 4.5% setahun. Takkan munasabah diganti dengan RCPS-i yang zero dividen?

Perjuangkanlah agar sukuk RM10 bilion yang diberi oleh SPV kepada TH sebagai timbal balas pindah milik aset itu dijamin oleh kerajaan. On paper, sekiranya SPV tersebut bangkap dan jahanam dalam masa 7 tahun, TH takkan dapat apa-apa sebab tiada government guarantee.

Saudara ada banyak kerja. Pujuk Izzah, pastikan DSAI jadi PM sebagai contohnya. Banyak. Tapi berpolitik dalam media sosial bukan salah satu daripadanya.

Sekian

Abdul Rahim Hilmi Zakariya
Pendeposit TH sejak 1990 – HARAKAHDAILY 5/1/2019

PERKEMBANGAN yang melibatkan ahli-ahli parlimen Umno-BN dalam sehari dua ini agak menarik. Ada yang menganggap apa yang berlaku itu mengejutkan tetapi tidak kurang juga ia sudah diduga.

Tindakan keluar daripada Umno terutama membabitkan ahli-ahli parlimen sama ada dari Sabah mahupun Semenanjung semacam memberi satu isyarat bahawa parti itu bakal menemui jalan sukar untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.

Namun, apa yang menarik perhatian saya ialah tulisan veteran PAS, Haji Subky Latif dalam akhbar Harakah edisi Jumaat lalu yang bertajuk ‘Duit dan masa depan Umno’.

Pada saya, analisis tokoh wartawan PAS itu bertepatan dengan perkembangan mutakhir ini yang menyaksikan ramai ahli parlimen Umno keluar parti.

Saya cuma memetik beberapa para daripada tulisan beliau itu secara tidak tersusun untuk dikaitkan dengan tindakan ahli parlimen Umno terbabit.

“Ahli akar umbinya memberitahu saya, keadaan umumnya Umno akan habis. Mulai ada dalam kalangan ahli di kebanyakan tempat berminat menubuhkan Bersatu dan yang sedia menyambutnya pun ramai.

Saya tanya apa yang menyebabkan sikap itu?

Jawabnya, ‘duit!’

Orang Umno itu mengaku, kebanyakan orang Umno yang bersama-sama dengannya tidak nampak Umno boleh kembali pulih dan berkuasa. Maka mereka hendak tunggu apa?

Pada amatan penyokong sederhana Umno itu Umno sudah habis.

Tetapi sementara Umno itu belum pupus, Bersatu hilang tonggak utama, dan 50 orang MP Umnonya kekal hingga PRU15 nanti, harapannya tidak pada Pakatan Harapan saja, maka belum tentu ia habis.

Bagi menjamin ia tidak habis, ia mesti beranjak kepada Islam memimpin. Setia kepada Islam memimpin itu mesti jangan kurang daripada kesetiaan PAS kepada Islam memimpin.”

Kesimpulan yang dibuat oleh Haji Subky juga menarik supaya mereka yang berkenaan beranjak kepada Islam memimpin.

Para pembaca boleh mengikuti analisis penuh Haji Subky dalam akhbar Harakah itu. - HARAKAHDAILY 14/12/2018

ALHAMDULILLAH, segala pujian buat Tuhan yang telah menyatukan hati para pejuang bangsa itu atas satu platform yang paling kukuh dan kuat iaitu Islam.

Saya pergi semalam bukan atas tiket mana-mana parti tetapi sekadar bersama dalam perkara-perkara kebaikan dan menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Muslim serta menawarkan diri secara peribadi bagi kerja-kerja kebersihan dan mengutip sampah semalam.

Ya, bukankah menjaga kebersihan itu sebahagian daripada Iman?

Saya telah berada di sana seawal jam 11 pagi. Banyak benda yang saya lihat membuatkan hati saya kagum dan bangga dengan majoriti bangsa saya yang hadir di sana semalam.

OKU dan kanak-kanak

Saya sendiri tidak berapa setuju dengan tindakan membawa kanak-kanak ke tempat yang penuh sesak seperti itu. Ya, sebagai kakitangan kesihatan, kita begitu faham risiko-risikonya.

Namun, apa yang saya ingin bawakan di sini ialah sikap orang sekeliling apabila mereka melihat adanya kanak-kanak dan Orang Kelainan Upaya yang berkerusi roda.

Ketika ada ayah atau ibu yang bersesak membawa anak-anak, saya terdengar sang ayah berkata,

"Maaf, ada anak kecil di sini"

Laluan sesak terbuka seperti lorong air sungai yang dihalang oleh empangan sehingga mudah untuk ibu dan ayah lalu bersama anak-anak mereka. Sungguh menakjubkan!

Setelah hampir ke hadapan lori (tempat para penceramah dan wakil jemputan duduk), saya terlihat seorang OKU berkerusi roda sedang bergerak. Tiba-tiba ada orang menjerit,

"Saudara, ada OKU kat sini. Beri laluan, tolong"

Sekali lagi lorong yang luas dibukakan untuk OKU tersebut bergerak. Tidak pernah saya berbangga dilahirkan sebagai bangsa Melayu seperti hari ini. Bangsa yang sangat memuliakan dan membantu mereka yang memerlukan. Inilah hasil asuhan dan didikan Islam.

Solat berjemaah dan azan

Ini juga berjaya menarik perhatian saya. Apabila masuk waktu Zohor, saya lihat sekeliling saya ramai yang mula berwudhuk dan membentuk saf. Saya juga melihat beberapa para wanita menyediakan tempat untuk suami bersolat dan menuangkan air untuk berwudhuk di tepi jalan.

Orang terlalu ramai sehingga solat terpaksa dilakukan secara giliran dan berjemaah. Para wanita juga sangat faham sehingga mereka memberi laluan kepada para suami dan lelaki di sekeliling mereka untuk solat dahulu sambil menjaga barang-barang kepunyaan mereka.

Saya juga terpegun melihat corak dan alunan ombak para jemaah takbir, rukuk dan sujud bersama. Ritma gerakan solat yang beralun ini mampu memecahkan hati-hati yang berkarat dengan dosa ini. Hampir-hampir membuatkan air mata saya menitis.

Saya juga hampir menitiskan air mata ketika azan Asar dikumandangkan oleh Dr Wajdi di atas pentas. Semua orang diam sambil menjawab azan. Kesepian di kawasan Dataran Merdeka yang dihadiri puluhan ribu manusia itu membuatkan saya kagum betapa hati manusia mudah lembut apabila kalimah Tuhan dilaungkan.

Meremang bulu roma saya!

Bersedekah

Ramai yang berniaga. Baguslah, bukankah Islam juga mengajar kita berjuang melalui ekonomi. Namun, di sebalik itu ramai juga yang saya lihat mengambil peluang untuk bersedekah.

Di bawah jejantas menuju ke dataran umpamanya, saya dihulurkan sedekah walaupun kecil tetapi bermakna buat saya seperti ada yang memberi gula-gula, madu, minyak wangi malah ketika habis perhimpunan ada juga yang bersedekah memberi air mineral. Alhamdulillah, dapat juga menghilangkan dahaga sebelum pulang.

Inilah rahmat Allah A.Z.W.J yang telah menyerap masuk ke dalam hati setiap orang Islam.

Reunion berkasih sayang

Sebelum hadir ke sana, ramai rakan-rakan yang berkata,

"Tak payahlah Zam. Nanti ada rusuhan mana kau nak lari. Teruk kau nanti"

Ada juga rakan-rakan dari NGO menasihatkan,

"Zam, kami pun berjuang untuk Islam. Tapi kami tidak setuju dan tidak pergi ke sana pun."

Wallahu'alam. Yang pasti, niat saya jelas. Saya pergi bukan atas tiket mana-mana parti tetapi atas kapasiti peribadi saya sebagai orang Islam dan Sukarelawan Menjaga Kebersihan (mengutip sampah). Walaupun saya tahu ada Unit Amal yang bertugas, tapi saya tidak mahulah nanti ketika ada sampah yang tertinggal di sana dan mereka yang busuk hati berkata,

"Inikah Islam. Pengotor!"

Maka, atas niat membantu sesama Muslim dan menjaga maruah Islam. Saya datang dengan 60 helai plastik sampah dan habis sahaja perhimpunan saya mulakan tugas bersama ratusan orang Islam lain yang berlegar-legar mencari sampah.

Ketika memungut sampah, saya tidak nampak satu rusuhan pun. Abang-abang dan akak-akak polis dengan gembiranya berdiri di tepian jalan sambil membalas senyuman dengan kami. Polis trafik juga tidak terlalu susah mengawal lalu lintas sebab semua orang faham dan mematuhi arahan.

Saya tidak nampak kereta terbalik, kedai terbakar atau pergaduhan. Saya juga lihat ramai sahaja non-Muslim lalu lintas di sana tanpa diganggu, kerana apa?

Kerana Islam itu mendamaikan dan mengajar menghormati hak orang lain.

Satu perkara lagi yang berjaya menyentuh hati ini ialah perhimpunan semalam seperti menyatukan adik-beradik yang lama terpisah atau 'reunion' rakan-rakan yang lama tidak bersua muka. Anda boleh lihat merata orang bersalaman dan berpelukan mengucapkan Assalamualaikum membuatkan anda rasa bahagia seketika.

Inilah Ukhuwah Islamiyyah yang kita inginkan.

Marah dan maki hamun

Saya faham, apabila kita telah ramai dan bersemangat memang ada yang 'terkucil'. Saya sendiri mendengar ada yang menyebut "Bodoh, pergi mampos ICERD" semasa perarakan berlangsung.

Tiba-tiba ada seorang brother di hadapan saya kata,

"Woi sedara, Islam tak ajar macam itulah. Jaga perkataan tu"

Terus individu yang menggunakan perkataan kurang elok itu diam. Dia tidak membalas kembali, sebab apa? Sebab perkataan 'Islam' itu berjaya membuat dia berfikir kembali kesalahannya. Inilah Islam. Mengajar umatnya memprotes, berhimpun dan membantah dengan cara yang berhemah, aman dan mengamalkan akhlak mulia.

Gambar: Saya bersama rakan semasa di kolej dahulu, sudah hampir 11 tahun tidak berjumpa. Di Dataran Merdeka ini kami disatukan kembali atas nama Ukhuwwah Islamiyyah.

Allahuakbar! - HARAKAHDAILY 9/12/2018  

FB IMG 1544337195159 

FB IMG 1544337203249

FB IMG 1544337207419

“JOM teman aku ziarah Nabi sat,” kedengaran suara Ustaz Azizan di hujung telefon mengajak saya menziarahi Makam Nabi S.A.W.

“Insya-Allah, boleh, ustaz. Sekejap lagi saya pergi ke bilik untuk ambil ustaz,” balas saya.

Sebaik sampai di hadapan bilik beliau, saya mengetuk pintu sambil memberi salam. Dari dalam, kedengaran suara beliau menjawab salam sambil membuka pintu.

“Nak buat apa wheel chair ni? Awat, hang ingat aku tak larat ka?,” Ustaz Azizan memberi respon dengan nada yang agak tinggi. Seolah-olah terkejut dengan kehadiran saya bersama kerusi roda untuk menolak beliau.

“Biar saya tolak ustaz. Nanti ustaz tak letih sangat. Ustaz boleh simpan tenaga. Banyak lagi ibadah kita nak buat,” saya memujuk beliau.

“Kalau orang tengok, nanti apa orang kata kat aku? Menteri Besar tak larat, naik wheel chair,” Beliau membidas.

“Ustaz tutup muka. Orang tak kenallah,” balas saya dengan nada bergurau.

“Pandai hang no.”

Kami sama-sama ketawa memecah kesunyian laluan di bilik hotel berkenaan.

Akhirnya beliau bersetuju untuk menaiki kerusi roda yang ditolak oleh saya. Sengaja saya mahukan beliau untuk berkerusi roda bagi memberi kerehatan kepada beliau. Selain itu, inilah peluang buat saya berkhidmat kepada seorang ketua yang saya anggap seperti ayah saya sendiri.

Meski beliau dikenali sebagai seorang yang garang, layanan mesra beliau terhadap pegawai-pegawainya amat istimewa, ibarat seorang ayah terhadap anaknya. Dalam ketegasan, terselit kelembutan.

Setelah beliau mengambil tempat duduk di atas kerusi roda, saya mula menolak beliau ke muka pintu lif. Ustaz Azizan menutup kepala beliau dengan kain serban sehingga menutupi wajahnya. Sepanjang perjalanan dari hotel ke Makam Nabi S.A.W, kami disapa sebanyak dua kali.

Seorang yang menegur kami memperkenalkan dirinya berasal dari Negeri Perak. Beliau bertanya perihal kesihatan ustaz, dan bilakah ustaz sampai di Madinah.

“Ramai kawan hang di sini," Ustaz Azizan bersuara kepada saya.

Laaaa. Saya tak kenal, ustaz. Saya ingatkan kawan ustaz,” balas saya dengan nada penuh kehairanan.

Laa. Aku pun tak kenal. Aku ingat kawan hang,” balas Ustaz Azizan.

Kami kehairanan.

“Jauh lagi ka?,” tanya Ustaz Azizan kepada saya. Nada suaranya berubah. Saya merasakan suatu kelainan pada nada suara beliau.

“Nak sampai dah, ustaz,” balas saya.

Tiba-tiba, saya terdengar esakan tangis. Tersedu-sedu. Saya kaget. Tangisannya semakin kuat.

Saya terus menolak beliau tanpa mengeluarkan sebarang suara. Tetapi dalam hati, timbul seribu satu persoalan tentang sebab musabab beliau menangis.

Sebaik tiba di hadapan pintu Babus Salam, saya berhenti menolak kerusi roda tersebut. Saya bergerak ke hadapan sambil merendahkan badan.

Kelihatan air mata beliau mengalir laju. Saya sendiri mulai sebak.

“Ya Rabbi...,” hati kecil saya berbisik. Tiba-tiba sebak menerkam dada.

“Ustaz, ada apa-apa yang tak kenakah?,” tanya saya dengan nada sayu.

Beliau menggeleng.

“Kenapa, ustaz?,” Saya bertanya lagi. Saya sendiri menahan sebak melihat beliau menangis.

Gelengan beliau semakin kuat. Seperti budak-budak sedang menangis. Air mata beliau mengalir laju membasahi pipi.

Beliau enggan menyatakan kenapa beliau menangis. Saya terus mendesak.

“Kenapa ni, ustaz?,” tanya saya lagi.

“Aku nak mai jumpa Nabi ni. Nabi nak jumpa aku dak?,” Tangisan beliau semakin kuat.

“Ya Allah…,” saya tersentak. Perasaan syahdu tiba-tiba menusuk ke dalam diri.

Tidak pernah saya terfikir. Dalam keseronokan menziarahi Baginda Nabi S.A.W, adakah kedatangan kita ini ‘disambut’ baik oleh Baginda? Adakah kita akan dibangkitkan di Mahsyar nanti di belakang Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W? Adakah Baginda akan mengaku kita sebagai umatnya dan layak menerima syafaat daripada Baginda?

Saya tergamam buat seketika. Sepanjang tempoh datang ke Bumi Madinah, tidak pernah saya mendengar kata-kata sedemikian daripada mutawif yang membimbing jemaah umrah mahupun haji.

Dari jauh, gelagat kami diperhatikan oleh pengawal Pintu Babus Salam.

Hajji! Hajji!,” Pengawal pintu memanggil kami sambil memberi isyarat mengarahkan kami masuk menziarahi Makam Rasulullah S.A.W.

Saya terus menolak beliau dalam suasana syahdu. Saya membiarkan beliau terus melayani perasaan sedih sehinggalah kami selesai melawat Makam Nabi Muhammad S.A.W.

Di saat saya menziarah Makam Baginda kali ini, terbayang-bayang kelibat saya menolak beliau menuju ke Pintu Babus Salam. Tidak dapat saya lupakan tangisan beliau sambil berkata:

“Adakah Nabi mahu berjumpa aku? Apakah Nabi mahu mengaku aku sebagai umatnya?”

Saya terpana.

“Ya Allah, kau ampunilah dosa-dosa Allahyarham Ustaz Azizan Bin Abdul Razak. Kau bangkitkanlah beliau di akhirat kelak sebagai umat Baginda Nabi S.A.W. Kau kurniakanlah syafaat Baginda Nabi S.A.W kepada beliau. Ya Allah, Kau pertemukanlah aku dengan beliau di syurga-Mu nanti, ya Allah.”

ZAKARIA OTHMAN
Madinah Al-Munawwarah
Khamis
6 Disember 2018
28 Rabiul Awwal 1440 - HARAKAHDAILY 6/12/2018

Q:     ICERD sudah tidak diteruskan, buat apa demo lagi?

A:     Yang pertama sekali kita berterima kasih kepada PM berikutan kenyataan pada 23 November 2018 bahawa kerajaan tidak akan meratifikasi ICERD. Kita percaya ia juga berpunca dari desakan demi desakan yang kita lakukan sebelum ini yang berhasil memberi tekanan kepada kerajaan. Namun, keresahan rakyat masih belum reda selepas beberapa kenyataan Menteri dan Ahli Parlimen serta beberapa orang politik PH yang sangat kontra khususnya mahu menangguhkan ratifikasi, pasca kenyataan PM seolah masih membuka ruang untuk meratifikasi ICERD atau seperti ada udang di sebalik batu. Rakyat juga kurang yakin dengan pendirian kerajaan baru PH yang terbukti mempunyai rekod tidak menepati janji dan berbohong pasca PRU14. Oleh itu, demonstrasi tetap diteruskan bagi 1)    menzahirkan sokongan pada kenyataan rasmi PM, 2)    memberi amaran tegas kepada kerajaan mahupun mana-mana pihak yang masih berani mendesak dan menyatakan pendirian supaya kerajaan meratifikasi ICERD. Tidak cukupkah kamu (wahai Kerajaan PH) mahu berhelah dan berbohong kepada rakyat?

Q:     Mufti sudah nasihat supaya tidak teruskan? Kenapa lawan cakap mufti?

A:     Kita hormat dan berterima kasih pada semua pandangan mufti dan cendekiawan yang menasihati supaya himpunan tidak diteruskan. Kita juga turut berterima kasih pada mufti yang sudi menyatakan sokongan pada bantahan ICERD. Berdasarkan rekod kita, pandangan mufti yang memberi saranan supaya himpunan tidak diteruskan menyatakan kebimbangan setelah mengambil kira unsur ketegangan kaum dari insiden kuil baru-baru ini. Kita sedia maklum insiden kuil ini bukan berpunca dari isu perkauman, malah siasatan awal polis mendapati terdapat unsur sabotaj dan konflik antara pemaju tanah dan pihak pengurusan kuil. Kita menyatakan komitmen kita bahawa Himpunan ICERD bukan himpunan berunsur perkauman sempit, malah kita tidak menghalang mana-mana kaum tanpa mengira latar belakang turut sama hadir menyatakan sokongan pada menjunjung dan mempertahan Perlembagaan Negara dari pengkhianat-pengkhianat dalam kerajaan. Justeru, selagi mana pihak penganjur komited dengan objektif himpunan, himpunan ICERD tiada kaitan dengan apa-apa unsur yang dibimbangkan oleh mufti. Bahkan objektif himpunan ini juga secara tidak langsung menyatakan sokongan pada kenyataan mufti tersebut, iaitu menghentikan anasir-anasir buruk perkauman yang hakikatnya dimulakan oleh pengkhianat-pengkhianat dalam Kerajaan PH. Jadi ayuh, hadirlah dengan jiwa kecintaan pada negara.

Q:     Himpunan ditunggang oleh parti-parti politik. Rakyat dipermainkan untuk kepentingan politik sempit!

A:     Tidak dinafikan rancangan himpunan pada mulanya dicetuskan oleh 2 parti politik gergasi pembangkang. Perlu difahami hal ini berpunca pada awalnya setelah MP-MP pembangkang ini berhempas pulas bertikam lidah di Parlimen membantah cadangan ratifikasi ICERD oleh kerajaan. Namun, setelah itu mengambil kira kepentingan semua pihak yang mula tampil menyatakan sokongan dari pelbagai latar belakang pendidikan, sejarah, NGO kebajikan, persatuan professional dan tokoh-tokoh berjasa tanah air, maka penganjuran himpunan ini diserah urus sepenuhnya kepada wakil-wakil tersebut, dalam masa yang sama parti-parti politik yang senada dalam isu ini memberi sokongan dan dukungan penuh pada pihak penganjur. Mantan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan Tun Abdul Hamid yang bukan orang politik, turut juga menyatakan sokongan. Tidak timbul isu rakyat dipermainkan untuk kepentingan parti politik sempit. Apa yang pasti rakyat semua hari ini mula sedar telah dipermainkan oleh pengkhianat Kerajaan PH untuk laba politik mereka setelah berbohong pada rakyat dan berhasrat mencemar keluhuran Institusi Perlembagaan dan Raja-raja dengan tindakan meratifikasi ICERD. Siapa sebenarnya yang mempermain rakyat?

Q:     Himpunan boleh mengundang ketegangan atau rusuhan kaum?

A:     Pihak penganjur sudah mempromosi objektif dan panduan himpunan melalui semua saluran yang ada, tiada satu kenyataan pun yang membuktikan himpunan tersebut berbaur rasis, malah pihak penganjur juga tidak menghalang mana-mana kaum turut serta menyatakan sokongan dalam himpunan membantah ICERD. Selain itu, jaminan penganjur bahawa himpunan ini adalah himpunan aman, juga telah mendapat persetujuan pihak polis dan DBKL. Tidak dinafikan kaum Melayu antara yang paling terkesan dengan tindakan pengkhianat dalam kerajaan yang degil mahu meratifikasi ICERD, mengambil kira potensi ancaman pada hak-hak keistimewaan Melayu dan Raja-raja dalam Perlembagaan jika ratifikasi diteruskan. Namun, perlu diingat siapa sebenarnya yang berniat mahu mencetus ketegangan kaum, tidak lain tidak bukan kita yakini berpunca dari pengkhianat-pengkhianat dalam kerajaan ini yang menggugat keharmonian kaum sedia ada di Malaysia. Siapa yang mula-mula usulkan mahu ratifikasi ICERD? Siapa yang mula-mula menuduh kaum Melayu mendiskriminasi kaum lain? Siapa yang mahu menghapuskan keistimewaan orang Melayu yang sedia termaktub dalam Perlembagaan? Justeru, secara logiknya himpunan ini sebenarnya memberi isyarat tegas supaya pengkhianat negara menghentikan serta merta ketegangan kaum yang mula-mula dicetuskan oleh mereka ini, malah mengajak rakyat Malaysia berbilang kaum untuk menjunjung keluhuran Perlembagaan dan memelihara kedaulatan negara seperti sedia ada.

Q:     Isu ketegangan kaum berlaku akhir-akhir ini, sukar untuk mengawal perkara-perkara berlaku luar jangkaan seperti provokasi ketika himpunan.

A:     Di peringkat penganjur, telah menguar-uarkan panduan kepada peserta himpunan menerusi semua saluran yang ada, yang mengandungi antaranya larangan membawa bahan-bahan berbentuk provokasi di samping panduan menangani provokasi dari pihak luar sekiranya berlaku. Pihak penganjur juga komited menyiapkan pasukan kawalan himpunan terdiri dari sukarelawan dan unit keselamatan yang berpengalaman, dan menyatakan komitmen untuk memberi kerjasama kepada pihak polis untuk mengawal keadaan sepanjang himpunan berlangsung. Pihak penganjur juga bertegas untuk tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mahu mencetus provokasi baik datangnya dari peserta himpunan atau mana-mana pihak luar, serta tidak akan teragak-agak untuk bertindak mengikut lunas undang-undang sekiranya didapati berlaku unsur provokasi tidak kira sama ada ianya berunsur perkauman atau sebagainya.

Q:     Ahli politik Umno yang anjur bantah ICERD terpalit skandal 1MDB anda buat diam pula?

A:     Kita secara prinsip asasnya menentang segala bentuk pengkhianatan pada negara tanpa mengira latar belakang parti politik atau individu. Kita mahu tanya kepada penyoal, kepada siapa soalan ini mahu ditujukan sebenarnya, terlebih dahulu sila bawa bukti yang mengatakan bahawa kita diam dalam apa-apa isu melibatkan penyelewengan pada negara termasuk skandal 1MDB. Sudah rujuk kenyataan akhbar dan Hansard Parlimen dengan teliti? Ataupun hanya tuduhan semata-mata? Namun begitu, perlu jelas Himpunan ini meletakkan fokus untuk membantah pengkhianatan yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu dalam kerajaan dalam isu ratifikasi ICERD sahaja. Kita membuka ruang kepada semua pihak yang menyatakan solidariti yang sama dengan kita dalam isu ini, tanpa mengira latar belakang politik, hatta jika sokongan tersebut datang dari pihak Kerajaan PH sekalipun, kita tetap sambut dengan baik. Adapun isu skandal 1MDB, kita bersikap menyerahkan pada keputusan mahkamah yang masih dalam fasa perbicaraan dan kita letakkan mandat sepenuhnya kepada pihak kerajaan selaku pihak pendakwaan untuk menjalankan kes ini dengan penuh adil mengikut lunas undang-undang. Pendirian kita tegas, mana-mana pihak didapati bersalah menyeleweng dana kerajaan juga harus dihukum. Kita juga menyatakan kesediaan untuk memberi kerjasama sekiranya diperlukan.

Q:     Yang datang berhimpun pun bukan betul faham apa itu ICERD, yang ada cuma sentimen sahaja.

A:     Sebab itu kita sangat komited untuk anjurkan himpunan ini! Kalaupun benar masih ada rakyat yang hadir hanya kerana sentimen dan mentaliti pembangkang semata-mata tanpa memahami implikasi ICERD, melalui himpunan inilah mediumnya untuk dia diberi kefahaman sewajarnya oleh penganjur mengenai kesan jangka panjang hasil ratifikasi ICERD. Tapi kita tak anggap begitu. Malah kita sangat yakin rakyat akan turun dengan kefahaman yang sebenar, bukan ikut-ikutan. Rakyat yang turun himpunan ialah rakyat yang faham akan Perlembagaan, faham akan kedaulatan negara, dan kenal siapa yang mengkhianati mereka. Yang masih tak faham atau buat-buat tak faham mengenai ICERD ini hakikatnya bukan rakyat, tapi pengkhianat-pengkhianat yang ada dalam Kerajaan PH hari ini!

Q:     Tak boleh ke buat majlis kesyukuran sahaja? Doa selamat ke jamuan pisang sahaja ke? Bukankah ia boleh elak pembaziran?

A:     Orang yang mengemukakan persoalan sebegini hakikatnya dia masih tidak memahami objektif sesuatu himpunan aman diadakan, ataupun dia tidak pernah menyertai sebarang himpunan aman atau dia langsung tidak faham hak-haknya sebagai seorang rakyat dalam menegur kerajaan secara demokratik mengikut lunas undang-undang. Barangkali dia masih baru berjinak-jinak dengan politik. Umum mengetahui meskipun PM telah mengeluar kenyataan mewakili kerajaan untuk tidak meratifikasi ICERD, namun kenyataan kontradik daripada beberapa Menteri dan ahli Parlimen Kerajaan, di samping pembohongan dan sikap mungkir janji kerajaan baharu pasca PRU14 menimbulkan keresahan rakyat mengenai keseriusan kerajaan untuk tidak meratifikasi ICERD. Bagaimana kita boleh terus percaya?! Justeru, himpunan ini wajar diteruskan bagi memberi tekanan yang lebih tegas dan serius kepada kerajaan sebagai amaran dari rakyat agar kerajaan mendukung kenyataan yang telah rasmi dikeluarkan. Adapun mengenai pembaziran, terlalu awal untuk membuat kesimpulan. Jika dianjur jamuan pisang di masjid sekalipun, tiada jaminan bahawa tiada lebihan pisang yang akan terbazir. Tidak timbul isu pembaziran sekiranya kehadiran kita walau satu hari ke himpunan bakal memberi kesan jangka masa panjang kepada masa depan negara dan generasi yang lebih baik suatu hari nanti. Yang amat ketara pembaziran ialah apabila duit rakyat dibazirkan membayar gaji pengkhianat-pengkhianat negara yang memperjudikan nasib rakyat pada masa akan datang.

Q:     Kenapa tak buat majlis solat hajat besar-besaran sahaja? Kenapa mesti berarak berhimpun?

A:     Hak berhimpun sudah termaktub dalam undang-undang. Adapun hak peserta himpunan mempamerkan bantahan melalui apa-apa cara sama ada solat hajat atau berarak atau apa cara sekalipun selagi mana mengikut lunas undang-undang adalah tidak dihalang, asalkan turun hadir sama-sama menyatakan solidariti. Adapun di pihak penganjur, perarakan diadakan bertujuan mengawal pergerakan peserta himpunan dengan lebih sistematik, supaya tidak berlaku pertembungan, kesesakan atau kejadian tidak diingini. Pihak penganjur berharap kerjasama dari peserta himpunan mematuhi arahan yang telah dan akan diberikan. Walau bagaimanapun, terserah kepada peserta himpunan mempamerkan tunjuk rasa masing-masing asalkan tidak memudaratkan diri dan masih dalam lingkungan mematuhi undang-undang.

Q:     Kenapa tak suarakan bantahan melalui Parlimen sahaja? Apa fungsi ahli-ahli Parlimen dalam Dewan? Tak buat kerja ke?

A:     Siapa kata kita tidak suarakan bantahan di Parlimen? Rujuk Hansard Parlimen dari MP-MP Pembangkang khususnya yang begitu jelas, tegas dan konsisten menyatakan bantahan pada ICERD. Kita ucapkan terima kasih pada ahli Parlimen yang tegas menyatakan bantahan, dan sokongan pada bantahan. Adapun himpunan diadakan untuk mengumpul suara ketumbukan dari rakyat akar umbi yang membantah ICERD, di bawah ruang lingkup hak-hak kebebasan demokrasi yang dibenarkan. Dengan adanya bantahan secara besar-besaran, pihak kerajaan akan lebih berwaspada dalam mengeluarkan kenyataan dan memutuskan apa-apa perkara yang mengambil kira kepentingan dan hak-hak rakyat yang sedia ada termaktub dalam Perlembagaan. Melalui bantahan besar-besaran juga, negara akan mendapat liputan meluas dari seluruh dunia bagi menyatakan ketegasan kita terhadap sesuatu perkara sebagai signal bahawa rakyat mempunyai kuasa dalam menentukan apa-apa keputusan yang memberi kesan pada negara.

Kesimpulan:

Terpulang pada hak masing-masing menilai penjelasan yang kita cadangkan. Kita sebagai rakyat Malaysia boleh berbeza ideologi politik, latar belakang profesion atau taraf ekonomi. Namun, di tengah-tengah keadaan negara kita diperkotak-katikkan oleh pengkhianat-pengkhianat dalam kerajaan hari ini, apakah kita masih mahu berdalih dan mementingkan diri sendiri, tanpa memikirkan kesannya pada negara dan generasi muda akan datang? Tidakkah kita fikir kesan buruknya sekiranya negara kita diberi ruang campur tangan asing yang boleh mengganggu gugat keharmonian dan kedaulatan negara dalam jangka masa yang panjang? Tidakkah kita fikir mengapa tokoh-tokoh penting dalam negara seperti Bekas Ketua Hakim Negara juga boleh turut sama menyatakan solidariti dalam bantahan ini? Cukupkah kita sekadar berdiam diri dan berlepas diri dari bersama-sama mempertahan kedaulatan negara kita? Cukupkah kita sekadar menjadi keyboard warrior? Ayuhlah sama-sama kita muhasabah kembali. Bertindaklah hari ini demi masa depan kita bersama. pertahankan negara! Tolak ICERD selama-lamanya! Ayuh turun 8 Disember ini!

Oleh: SYAFIQ KAMIL, 4 Disember 2018 - HARAKAHDAILY 4/12/2018 

FB IMG 1543645451163

“NANTI pi bilik aku sat,” pesan Allahyarham Ustaz Azizan kepada saya sebaik kami selesai mengerjakan tawaf dan sa’ie umrah. Seingat saya, itu adalah umrah kali kedua pada tahun 2011 setelah beliau menjawat jawatan Menteri Besar.

Alhamdulillah, sepanjang bertugas di bawah beliau, saya pernah beberapa kali diberi peluang untuk mengiringi beliau dalam lawatan kerja ke luar negara. Dua kali ke Mesir, dua kali menunaikan umrah dan sekali ke Istanbul.

“Ada apa, ustaz yang boleh saya tolong?”

“Ada benda la, sebab tu aku suruh hang mai bilik aku. Nak Minta tolong la ni,” balas Ustaz Azizan bersahaja.

Apabila berbicara dengan beliau, jika tersilap cakap, ada sahaja buah kilas yang akan beliau berikan. Sememangnya beliau terkenal dengan ayat-ayat tajam. ‘Ayat kilas’ kata orang.

“Hang urut sat betis aku ni. Lenguh badan. Sakit semua ada.” Sambil menjatuhkan badan ke atas lantai berlapikkan sebiji bantal, beliau memberi arahan kepada saya untuk mengurut beliau.

Saya tersenyum.

Saya mula mengurut. Saya bukanlah tukang urut profesional, tetapi bolehlah sekadar untuk menghilangkan regangan pada badan teman-teman. Sambil mengurut, Ustaz Azizan mengaduh kesakitan sambil sesekali diselangi gelak tawa.

Sebenarnya inilah peluang yang istimewa buat saya sebagai seorang Pegawai Khas kepada seorang Menteri Besar. Berpeluang mendengar pelbagai kisah yang keluar dari mulut seseorang yang bergelar Menteri Besar, ustaz, bekas pensyarah, ayah, tok guru dan juga murabbi.

Suara mengaduh sakit dan suara gelak ketawa berselang seli memecahkan suasana.

“Hang mai umrah berapa kali dah?” tanya beliau.

“Alhamdulillah, banyak kali dah, ustaz,” jawabku.

“Aku nak habaq kat hang, ni umrah aku yang terakhir. Aku balik ni.... mati.”

Saya terkedu.

“Ustaz cakap apa macam tu?” balasku dengan nada terkejut.

“Aku yang rasa, ni umrah aku yang terakhir,” balas beliau.

Saya memandang bebola anak mata beliau. Perasaan sayu menusuk ke dalam hati.

Saat saya berteleku di Masjidil Haram ini, saya terbayangkan wajah beliau. Kami pernah beribadah, beriktikaf dan bergelak tawa bersama di bumi haram ini, tetapi hari ini beliau telah pergi terlebih dahulu.

Ya Allah, kau rahmatilah Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Bin Abdul Razak. Kau ampunilah dosa-dosanya. Kau masukkanlah beliau dalam kalangan orang-orang yang soleh. Kau pertemukanlah kami di akhirat nanti di syurga-Mu, ya Allah.

ZAKARIA OTHMAN
Jumaat
Makkah Al-Mukarramah - HARAKAHDAILY 1/12/2018

SETELAH rasmi dari Pejabat Perdana Menteri pada 23 November 2018 bahawa Kerajaan tidak akan meratifikasi ICERD, muncul pula tulisan oleh Menteri berpangkat Doktor (Falsafah) dari Jabatan Perdana Menteri (JAKIM) yang masih berdalih mempertahan pendiriannya dan memberi definisi janggal pada pihak-pihak yang konsisten menentang ICERD, tanpa beliau memetik nama.

Kita tidak pasti sama ada beliau ingin tujukan definisi bodoh atau liar ('absurd' dan 'berserk') itu kepada Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid; atau kepada Tokoh Pemartabat Bahasa Melayu, Prof Dato’ Dr Teo Kok Seong; atau kepada Penyelidik Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia, Puan Zaharah Sulaiman; ataupun kepada pelopor-pelopor dari NGO Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), atau kepada Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, ataupun kepada rakan partinya sendiri, Dato’ Mahfuz Omar dan lain-lain pemimpin dalam kerajaan.

Kesemua pihak ini mempunyai persamaan iaitu menolak ratifikasi ICERD berdasarkan hujah dan kapasiti masing-masing, tidak kiralah sama ada dari suku kerajaan, pembangkang, NGO mahupun institusi-institusi berlatar belakangkan pendidikan.

Jika benar ditujukan kepada mana-mana atau segelintir nama-nama tersebut, kelihatan agak berani pada zahirnya, namun nampak menikus hakikatnya.

Kita tidak pasti sama ada tulisan beliau itu kemudiannya akan dianggap sebagai ‘pendapat peribadi’ beliau sahaja (sekali lagi setelah beberapa kontroversi beliau menyentuh sensitiviti Islam), ataupun ia sebenarnya mewakili suara kecil dari segelintir pihak kerajaan yang masih mahu berdegil untuk teruskan ratifikasi ICERD dan beberapa konvensyen antarabangsa yang berupaya memberi kesan kurang baik pada keluhuran Perlembagaan Malaysia yang sedia ada diterima semua pihak sejak sekian lama.

Yang pastinya Doktor (Falsafah) ini sangat terkenal mengutarakan idea janggal mutakhir ini, malah rekod-rekod penglibatannya dalam arena politik dan akademik sebelum ini, cukup menjadi bukti bahawa beliau sangat terkenal sebagai figura yang kerap melontarkan idea dan gagasan yang bersifat ‘janggal’.

Terkenal dengan kelunakan beliau pada gerakan mengiktiraf transgender, kenyataan U-Turn mengenai hukuman sebatan syariah di Terengganu, gesaan menutup pusat tahfiz atas kesalahan penderaan seksual, halangan serbuan khalwat dan beberapa kenyataan lain yang mengundang kekeliruan awam, selain penulisan beliau yang mind-blowing seperti Rejuvenasi PAS dan Menuju PAS Baru suatu ketika dahulu, malah tesis PhD beliau yang bersahaja meng-akademik-kan dakwaan konflik dalaman PAS bertajuk “Konflik organisasi dalam parti Islam dan kesannya terhadap perubahan organisasi: Kajian Parti Islam Se-Malaysia di Melaka”; tidak keterlaluan sekiranya kita mendefinisikan beliau sebagai seorang yang gemar mengutarakan idea yang mahu dilihat seperti out of the box, hakikatnya sangat janggal!

Berbalik semula kepada persoalan pendirian beliau terhadap ICERD.

Kita ingin mempertikaikan kefahaman Doktor Falsafah (baca: Janggal) ini mengenai penyertaan Malaysia sebagai negara anggota dalam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), apakah beliau mengerti akan hak-hak demokratik yang memberi kebebasan premis kepada negara anggota dalam menyatakan pendirian masing-masing, atau beliau mempunyai pandangan ianya adalah menjadi suatu keterikatan secara shackling contract (kontrak yang membelenggu) pada negara anggota di persada antarabangsa untuk sentiasa menunjukkan kebersamaan dalam apa-apa persidangan yang menurut definisi sebahagian besar negara anggota PBB sebagai ‘melestari semangat humanitarian’ dalam satu-satu isu.

Dakwaan beliau mempertikaikan bahawa mengapa kita (baca: Umat Islam di Malaysia) menjadi liar seolah dunia akan kiamat jika kita menerimanya, dan mengapa kita hilang rasional sedangkan ini peluang menegaskan keunggulan Islam menentang penindasan kaum; sekali lagi beliau memberi gambaran janggal mengenai kefahaman dalam konteks meratifikasi sesuatu konvensyen antarabangsa seperti ICERD ini.

Kita mahu bertanya kepada beliau, sejak bilakah dianggap meratifikasi sesuatu konvensyen di peringkat PBB boleh menegaskan keunggulan Islam menentang penindasan kaum? Kalaupun begitu faktanya, semenjak 1965 ICERD diadaptasi hingga kini, celah manakah negara-negara Islam OIC seperti dakwaan beliau, yang telah meratifikasi ICERD ini telah menonjolkan pendirian Islam mereka dalam menentang penindasan kaum? Apakah keanggotaan Algeria dan Turki yang dipilih sebagai ahli dalam Jawatankuasa berkenaan Penghapusan terhadap Penindasan Kaum (CERD) yang terkini telah menonjolkan pendirian Islam mereka menentang penindasan kaum? Bagaimana pula dengan pelantikan negara kelahiran pengganas seperti Amerika yang menghantar tentera penghapusan di Palestin dan Iraq, atau Negara China yang terang-terang menindas kaum Uyghur di negara sehingga ke hari ini boleh pula kedua-duanya menjadi Naib Pengerusi Jawatankuasa CERD ini!

Yang kita tahu, merujuk rekod semenjak adaptasinya, ICERD di bawah Bab IV Hak Asasi Manusia PBB telah membuka ruang penafsiran ‘diskriminasi kaum’ oleh mana-mana negara luar untuk membuka kes bantahan terhadap sesuatu negara. Sebagai contoh, yang terbaru pada tahun 2017, Ukraine memfailkan kes kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa terhadap diskriminasi kaum Crimean Tatars yang dilakukan oleh Rusia berikutan penaklukan ketenteraan di Republik Autonomi Crimea. Pada tahun-tahun sebelumnya, beberapa buah negara telah meminda dan memansuh akta-akta dalaman bagi memenuhi tuntutan ICERD, sebagai contoh; Canadian Human Rights Act 1967 di Kanada, Racial Discrimination Act 1975 di Australia, atau Race Relations Acts 1971 di New Zealand.

Kita tidak nafikan akta-akta sedia ada di negara-negara tersebut yang pada awalnya mempunyai peruntukan berunsur diskriminasi pada kaum-kaum tertentu, namun isu yang perlu dilihat ialah sejauh mana kita mampu memastikan bahawa keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang sedia ada di negara kita akan sentiasa dijamin terpelihara daripada penafsiran ‘diskriminasi kaum’ menurut kefahaman negara luar atau mana-mana pihak dalam negara (baca: DAP) yang berkepentingan, sekiranya Malaysia meratifikasi ICERD dan konvensyen-konvensyen lain yang berkaitan. Mengapa mesti dibuka laluan ke arah itu?

Yang Berkhidmat Dr. (Janggal) dan sekutunya dalam isu ICERD ini perlu memahami bahawa perkara yang paling dibimbangi dalam kalangan rakyat dan tokoh-tokoh yang lantang dalam membantah isu ICERD ini bukan hanya sekadar kerisauan pada campur tangan asing terhadap kedaulatan negara ini semata-mata, namun pengiktirafan Malaysia pada ICERD (jika berlaku) malah akan membuka ruang sewenang-wenangnya kepada mana-mana pihak dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia untuk merencana polisi atau tindakan yang bersifat ‘anti-diskriminasi kaum’ (menurut pemahaman logikal mereka) yang berpotensi menatijahkan pula kepada peminggiran kaum Bumiputera pada sektor-sektor ekonomi, politik dan sosial, yang sudah pun sedia ada membarah walaupun tanpa ICERD. Perlu dijelaskan, penafsiran ‘diskriminasi’ dalam masyarakat tidak perlu pindaan undang-undang! Ia boleh berlaku dalam pelantikan jawatan-jawatan penting dalam Kabinet dan Parlimen misalnya, pengambilan pekerja dalam sektor swasta, pengambilan kemasukan pelajar di Institusi Pengajian Tinggi Swasta, peruntukan biasiswa oleh syarikat swasta kepada pelajar, pemberian kewarganegaraan kepada kaum lain secara longgar atau penempatan kaum bukan Bumiputera di kawasan-kawasan bandar. Kesan ratifikasi bahkan bakal memberi ruang kepada mana-mana pihak untuk sewenang-wenangnya mengatakan bahawa mengambil semangat ICERD lebih utama daripada menjunjung Perlembagaan, kerana ICERD lebih global, lebih professional, lebih demokratik!

Kita juga mahu mengingatkan Dr. (Janggal) dan sekutunya, persamaan kebetulan pada prinsip asas antara dua dasar yang jelas berbeza dalam satu-satu perkara tidak semestinya sama pada akar umbi, motif dan pelaksanaannya. Malah persamaan konsep antara dua anutan yang berbeza juga sedikitpun tidak bermaksud kita boleh meraikan persamaan tersebut untuk diadaptasi dalam konteks anutan masing-masing. Sebagai contoh, persamaan konsep keadilan ekonomi terhadap golongan miskin antara dasar Komunisme garapan Karl Marx dengan prinsip-prinsip ekonomi perundangan dalam Islam tidak langsung bermaksud Islam mengiktiraf Komunis dan Sosialis! Meskipun berbetulan semangat ICERD dan prinsip Islam dalam menentang penindasan kaum, hal ini tidak menjadikan kita sewenang-wenangnya boleh bersetuju secara accession, succession atau ratification dengan ICERD. Perlu diketahui ICERD ini melalui penubuhan jawatankuasa CERD sahaja boleh dipertikaikan, apatah lagi mekanisme kebebasan dalam pelaksanaannya yang sukar digarap.

Kita perlu jelas bahawa benar seperti yang diutarakan oleh Menteri Luar Negeri, Dato’ Saifuddin Abdullah menerusi Hansard Parlimen pada 21 November yang lalu bahawa Malaysia bertanggungjawab menghantar laporan rasmi kepada PBB menerusi Universal Periodic Review (UN-UPR) secara berkala dan perlu bersedia menerima komen dan desakan dari negara lain kesan dari tidak meratifikasi ICERD. Namun, hal ini tidak sesekali bermakna Malaysia bebas dari desakan luar sekiranya bersetuju meratifikasi ICERD. Boleh jadi akan datang pula desakan negara peserta ICERD supaya Malaysia memansuhkan Perlembagaan dan undang-undang sedia ada berkenaan ‘diskriminasi’ kaum, malah Malaysia perlu menghantar laporan secara berkala pula mengenai progress implementasinya, membuka ruang spesifik yang lebih luas untuk pihak luar mempertikaikan dasar sedia ada dalam Malaysia. Tidak mustahil boleh berlakunya pakatan dari dalam dan luar negara untuk mendesak Kerajaan Malaysia mengimplementasi dasar-dasar ICERD melalui program-program kerajaan, peruntukan Bajet mahupun pindaan Perlembagaan. Tidak mustahil kempen-kempen desakan akan dimainkan oleh media-media propaganda Barat mahupun tempatan, malah doktrinisasi berlanjutan separa sedar mengenai kesamarataan kaum ini telah pun berjalan meskipun Malaysia tidak meratifikasi ICERD!

Malaysia terkenal berdasarkan rekod sebagai sebuah negara yang kritis dalam menyuarakan mengenai hak asasi manusia di PBB melalui kepimpinan Tun Dr Mahathir, era beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-4. Malah individu yang sama juga lantang menyuarakan pendirian terhadap isu antarabangsa lewat September 2018 yang lalu, dalam Perhimpunan Agung PBB ke-73, khususnya dalam isu kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin, dan isu Rohingya. Kita berharap Dr. (Janggal) dan sekutunya faham, menjadi vokal dan lantang menyuarakan isu hak asasi manusia khususnya berkenaan diskriminasi kaum di persada antarabangsa tidak perlu dengan ratifikasi ICERD yang menuntut komitmen daripada negara-negara yang menyertainya, bahkan ICERD hanya berperanan kecil sahaja dalam organisasi PBB di bawah pantauan Majlis Hak Asasi Manusia (HCR) berbanding peranan penting yang dimainkan menerusi enam Principal Organs PBB yang lain. Peranan Malaysia di persada antarabangsa tidak dinafikan semenjak penyertaannya pada 1957, lebih-lebih lagi sumbangannya dalam Majlis Keselamatan PBB, bermula tahun 1965 hingga 2016, antara lainnya menghantar pasukan tentera pengaman dan perlindungan di negara konflik seperti Congo, Bosnia dan Herzegovina, Somalia dan Lubnan. Persoalannya, celah manakah dakwaan Dr. (Janggal) yang dikatakan peluang untuk Malaysia maju ke hadapan terbantut dengan semata-mata tidak meratifikasi ICERD?

Keahlian negara Malaysia dalam PBB bukanlah begitu signifikan seperti negara-negara berkeahlian tetap (permanent members) yang mempunyai kuasa veto dalam PBB untuk menentukan persetujuan pada apa-apa resolusi berbentuk substantif, sehingga mendesak kita perlu menonjol. Tidak dinafikan sumbangan Malaysia dalam PBB khususnya dalam isu melibatkan konflik negara asing selama ini amat signifikan dalam memberi kesan kepada kedaulatan negara-negara tersebut, namun Malaysia tidak perlu bergantung pada PBB untuk menentukan dasar dan hala tuju negara sendiri, sehingga perlu mengikat diri pada ICERD dan konvensyen-konvensyen lain yang berupaya memberi kesan negatif pada kedaulatan negara dalam jangka masa yang panjang. Keanggotaan dan peranan PBB itu sendiri banyak cacat celanya, sebagai contoh, antaranya meluluskan resolusi pemisahan Negara Palestin 1947 antara kaum Arab dan kaum Yahudi (Jews) sehingga tertubuhnya Israel. Bahkan ketegasan pendirian dasar luar Malaysia sendiri tanpa desakan dan pengaruh PBB sudah memadai apabila Malaysia sendiri tidak mengiktiraf negara haram Israel semenjak kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957. Hal ini sahaja cukup membuktikan keseriusan Malaysia dalam isu-isu melibatkan penindasan kaum dan hak asasi manusia tanpa perlunya ICERD!

Justeru, kita menyeru sekiranya ada sekelumit rasa kecintaan pada tanah air dalam sanubari Dr. dan sekian sekutunya yang masih berdolak-dalih, ayuhlah bersama-sama mempertahankan negara kita menurut Rukunnya yang telah sedia ada harmoni, di samping berhati-hati dalam mencetuskan idea-idea yang bersifat janggal demi kesejahteraan rakyat dan negara khususnya.

Tolak ICERD dan jalan terus!

Oleh yang ‘mengagumi’ idea beliau,
SYAFIQ KAMIL
Kuala Lumpur, - HARAKAHDAILY 29/11/2018 

FB IMG 1543504048357

PADA zaman ke-21 di mana dunia dilengkapi dengan teknologi yang serba canggih. penggunaan telefon pintar sangat berleluasa di dalam sektor pelancongan di Malaysia. Pelbagai aplikasi yang telah ditubuhkan untuk memudahkan para pelancong mencari tempat destinasi mereka dengan mudah dan pantas.

Kini, telah hadirnya aplikasi pelancongan seperti Traveloka, Hotel.com, Booking.com, SkyScanner dan lain-lain. Terdapat banyak kemudahan dalam sektor pelancongan dengan menggunakan aplikasi.

Dengan adanya aplikasi ini, para pelancong boleh mengakses aplikasi ini di mana mana sahaja. Kerana sekarang ini lebih mudah, pantas, dan jimat. Di mana kita tidak perlu dengan bantuan pembantu pelancong. Cuma kita hanya perlu sedikit masa untuk memuat turun aplikasi yang telah wujud di dalam setiap telefon pintar.

Seperti mana kita tahu bahawa ada applikasi yang percuma dan juga ada yang dikenakan bayaran untuk memuat turun aplikasi tersebut. Demi, kita tidak mahu ketinggalan dalam dunia yang serba pantas, kerajaan telah menubuhkan pelbagai aplikasi yang berkaitan dengan penembahan hotel, penempahan tiket penerbangan, dan lain-lain lagi.

Oleh itu, pihak pengkaji telah mencadangkan sesuatu aplikasi pelancongan yang tekandung maklumat-maklumat yang berkaitan dengan senarai tempat-tempat rekreasi yang menarik dan juga pusat perkhidmatan kesihatan yang dinamakan sebagai I-tourism.

I-tourism ini merupakan salah satu aplikasi pelancongan yang mampu untuk membantu semua pelancong agar mudah untuk mencari destinasi yang diingini oleh mereka. Sudah tentu, para pelancong ingin mencari tempat rekreasi yang menarik untuk melakukan aktiviti-aktiviti jasmani. Sebenarnya Malaysia banyak tempat-tempat rekreasi yang menarik dan dilengkapi dengan fasiliti-fasiliti yang mencukupi.

Selain itu, terdapat satu aplikasi yang terkandung dengan maklumat-maklumat hospital atau pusat kesihatan yang dilengkapi dengan fasiliti yang berlandaskan syariat Islam. Contohnya terdiri dari 5 komponen yang mengikut syariat. Pertamanya, Memahami prinsip asas dalam syariah semasa melakukan perkhidmatan kesihatan, menyediakan makanan yang halal, memahami prinsip dalam muamalat, melaksanakan konsep Islam yang diperintahkan dan akhir sekali, menubuhkan nilai-nilai Islam dalam bertoleransi dengan organisasi yang mengikut landasan syariat Islam.

Komponen ini telah diperkenalkan oleh Abdul rashid Abdul Rahman di dalam artikelnya yang bertajuk "Shari’ah Compliant Hospital; From Concept to Reality: A Malaysian Experience" yang telah diterbitkan di dalam "Journal of Medical Science".

Aplikasi ini merupakan satu paradigma sangat diamati oleh para pelancong agar mudah mendapat perkhidmatan-perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan bersih. Aplikasi ini sangat sejajar dengan meningkatkan imej negara dalam sektor pelancongan kesihatan.

Berdasarkan kepada laporan Malaysia Healthcare Travel Council mencatatkan pelancongan kesihatan sangat berkembang pesat di Malaysia dalam linkungan 15 peratus bagi setiap tahun.

Oleh itu, antara negara-negara yang telah melaksanakan Muslim-Friendly Hospital adalah Thailand, Singapura dan Malaysia. Namun, Perkhidmatan sudah dilaksanakan bagi setiap pusat kesihatan di Malaysia seperti KPJ Healthcare. Kebanyakan pelancong inginkan rawatan lebih berkualiti tinggi dan profesional, selain harga ditawarkan berpatutan. Dan juga kerajaan Malaysia perlu meningkatkan lagi dan sumbangan dalam sektor pelancongan kesihatan.

Lebih membanggakan, Ini adalah satu inisiatif untuk menaiktaraf imej negara dalam sektor pelancongan perubatan dan kesihatan. Diharapkan, I-tourism ini mampu menjadi satu keunikan dalam industri pelancongan agar dapat mengenalkan cara terbaru mengikut zaman teknologi ini dalam urusan pelancongan.

Oleh itu, dengan wujud aplikasi ini mampu untuk mempromosikan tempat-tempat rekreasi yang menarik seterusnya mampu meningkat usaha dalam membangunkan sektor pelancongan secara holistik. – HARAKAHDAILY 15/10/2018

Penulis ialah mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia.

MALAYSIA kekal di tangga pertama sebagai destinasi pelancongan Islam paling popular dalam pasaran pelancongan Muslim global dan ia merupakan kejayaan buat tahun kelapan berturut-turut buat Malaysia menurut hasil kajian selidik Indeks Pelancongan Muslim Global 2018 oleh Mastercard-Crescent Rating Global Muslim Travel Index (GMTI) 2018.

Kaji selidik tersebut dijalankan terhadap 130 destinasi dengan mengambil kira aspek dan kriteria yang merangkumi infrastruktur, komunikasi dan cara sesebuah destinasi memasarkan kedudukannya kepada khalayak sasaran seperti keadaan alam sekitar dan perkhidmatan.

Menurut kaji selidik tersebut, Malaysia mendapat jumlah skor sebanyak 380.4 berbanding Indonesia di tangga kedua dengan skor 367.4 manakala Arab Saudi di tangga ketiga dengan skor 367.1. Jumlah skor ini berdasarkan kriteria dalam kemudahan perkhidmatan mesra Islam yang mudah untuk didapati yang merangkumi restoran yang diiktiraf halal, kawasan dan ruang solat, serta lapangan terbang dan hotel yang mesra Islam.

Dalam usaha untuk membangunkan lagi produk dan perkhidmatan pelancongan Islam di Malaysia, Kerajaan Malaysia telah menubuhkan Pusat Pelancongan Islam (ITC) Malaysia pada tahun 2009 dan ia membantu dalam menyumbang kepada kejayaan Malaysia dalam mengekalkan kedudukan sebagai destinasi nombor satu pelancongan Islam global.

Malaysia begitu prihatin dalam menghasilkan produk pelancongan Islam negara yang baik dengan menerapkan nilai-nilai Islam dalam pengurusan pentadbiran negara, memacu pertumbuhan hub dan produk halal, serta pembinaan infrastruktur dan mercu tanda berkonsepkan seni bina Islam.

Usaha Banda Aceh menjadikan destinasi mereka ke arah destinasi pelancongan Islam selepas tsunami dan Jepun salah sebuah negara yang terkenal dengan negara mesra Islam juga sangat sesuai untuk dijadikan contoh oleh destinasi-destinasi pelancongan yang lain.

Untuk menjadikan sesebuah destinasi menjadi sebuah destinasi idaman dan tumpuan pelancong Islam, pihak berwajib sesebuah destinasi pelancongan hendaklah memahami keperluan dan kehendak pelancong Islam dan menyesuaikannya dengan keadaan dan kesesuaian destinasi, dalam masa yang sama meningkatkan kualiti perkhidmatan untuk memenuhi keperluan tersebut.

Dalam konteks pelancongan Islam, antara aspek yang paling utama untuk dititikberatkan ketika melancong adalah makanan halal, penginapan mesra Islam dan aktiviti yang tidak melanggar syarak.

Keperluan utama bagi pelancong Islam adalah makanan yang halal. Usaha untuk mendapatkan makanan yang halal merupakan salah satu perkara wajib yang dituntut dalam Islam dan perlu dilakukan oleh setiap Muslim tidak kira di mana jua mereka berada.

Islam menggesa umatnya untuk mendapatkan makanan halal dan baik selari dengan firman Allah S.W.T yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia! makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal dan baik, dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan. Sungguh, syaitan itu musuh yang nyata bagimu” (al-Baqarah, ayat 168).

Gesaan mengenai makanan halal ini juga ada disebut di dalam surah al-Maidah, ayat 88 yang bermaksud: “Dan makanlah dari apa yang telah diberikan Allah kepadamu sebagai rezeki yang halal dan baik, dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu beriman kepadaNya”.

Penginapan yang mesra Islam bukanlah bermaksud wajib ada musolla atau masjid di dalam kawasan penginapan, ia memadai dengan adanya tanda arah kiblat dan paip air untuk berwuduk dan beristinjak. Manakala kolam renang yang berasingan dan bilik persalinan tertutup serta tidak menjalankan aktiviti yang melanggar syarak seperti judi dan arak juga perlu diambil perhatian dalam memenuhi kehendak dan keperluan Islam.

Diharapkan, dengan berkembangnya pelancongan Islam bukan sahaja dapat menggalakkan umat Islam untuk bermusafir dan melihat kebesaran pencipta, secara tidak langsung dapat menyebarkan kecantikan dan keindahan agama Islam secara global. – HARAKAHDAILY 11/10/2018

Penulis ialah Mahasiswa Sarjana Bahasa Arab Komunikasi, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia.