AS-SALAM semua, Sejak beberapa hari ini, ada beberapa individu yang telah highlightkan isu security/keselamatan kepada pengguna SMARTPAS. Di sini saya mengambil kesempatan memberi sedikit pencerahan. Dalam sistem SMARTPAS ini ada beberapa istilah security/keselamatan.

1)    Security Maklumat Data Pelanggan
2)    Security Data Aplikasi
3)    Security Database PAS Pusat.

1.    Security Maklumat Data Pelanggan

Berkenaan maklumat data pelanggan, semua TELCO tertakluk kepada Personal Data Protection Act (PDPA) yang mana maklumat peribadi pelanggan tidak boleh didedahkan kepada mana-mana pihak tanpa kebenaran dari pelanggan. Jika berlaku kebocoran dan perlanggaran perjanjian kita sebagai pengguna boleh bawa ke pihak pengadilan (Mahkamah)

2.    Security Data Aplikasi

Kami mempunyai aplikasi team provider yang sangat concern/prihatin mengenai security. Sejak pembinaan apps SmartPAS, memang kami dimaklumi ada beberapa kali "security attacks" atau hackers terhadap aplikasi SMARTPAS. Tujuan hacker’s ini utk merosakkan dan sabotage apps/website SMARTPAS dan bukan ingin mengambil maklumat/data. Alhamdulillah team Kami telah dapat mengesan dan seterusnya mempertingkatkan security supaya lebih ketat dan sepanjang pengalaman mereka dalam membina aplikasi, tak pernah lagi mereka tingkatkan security aplikasi setinggi/seketat yang dibuat kepada aplikasi SMARTPAS ini. Setakat ini, alhamdulillah kami dapat atas segala security threats.

3.    Security database PAS Pusat

Apliksi ini dibina dengan kalobrasi antara Jabatan IT PAS Pusat dan SMARTPAS. Perbincangan awal telah dimulakan sebelum wujudnya aplikasi ini lagi. Setiap kali pengguna mendaftar untuk menggunakan apps, sistem akan check database PAS Pusat untuk mengesahkan keahlian PAS. Setakat ni, perhubungan antara database SMARTPAS dan PAS Pusat adalah secure/selamat. Jika apa-apa berlaku pada database SMARTPAS tidak akan ada apa-apa kesan kepada database PAS Pusat dan begitu juga sebaliknya. Jika JITP merasakan kita perlu tingkatkan security, mereka boleh hubungi terus kami dari masa kesemasa.

Walau bagaimanapun pihak kami tetap peka dan prihatin terhadap security dalam semua aspek. Pihak kami terbuka kepada mana-mana pihak atau entity yang mempunyai kepakaran untuk duduk berbincang demi memartabatkan SMARTPAS di kalangan ahli PAS dan rakyat Malaysia umumnya. Kami juga telah berjumpa dengan pihak yang highlight kan isu ini dan beberapa langkah sedang dan akan diambil demi kelangsungan projek Jemaah yang kita sayangi ini terus berjaya. Untuk akhirnya saya mohon agar semua pihak termasuk ejen-ejen dan semua pengguna SMARTPAS sentiasa berdoa agar Allah sentiasa melindungi projek ini dari sebarang kejahatan. Aamiin

Haji Khuzaini
Koordinator SMARTPAS
01138890808

KENYATAAN balas kepada kenyataan YBM Datuk Raja BahrIn MP Kuala Terengganu dalam Malaysiakini bertarikh 29/5/2017 di bawah tajuk “Hentikan sandiwara Umno-Pas, kata Amanah" adalah dirujuk.

Lujmah Undang-undang Dan Hak Asasi Manusia (Luham) PAS Terengganu melihat reaksi dan komen Ahli Parlimen (MP) Kuala Terengganu lebih bersifat persepsi dan publisiti politik kekampungan yang mana isu pelaksanaan perundangan Islam dalam negeri Terengganu adalah isu bersama yang perlu diperjuangkan oleh umat Islam tanpa sempadan ideologi politik.

Mengembalikan semula sistem perundangan Islam yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Terengganu melalui Itqan al-Muluk atau undang-undang tubuh negeri sebelum kedatangan kuasa Inggeris bukan sesuatu yang asing bahkan setelah kita mencapai kemerdekaan tiada sebab untuk pelaksanaan perundangan Islam tidak boleh direalisasikan dalam konteks perundangan semasa.

Seharusnya semua pihak mengambil bahagian masing-masing dengan perasaan kebersamaan dan ukhuwah islamiyah untuk menterjemahkan hasrat murni ini.

Luham percaya PAS adalah parti politik yang berfikiran jauh dan meletakkan kepentingan Islam mengatasi kepentingan individu dan kepuakan. Umno-BN adalah parti pemerintah di Terengganu pada masa material ini, adalah menjadi obligasi kerajaan semasa untuk penguatkuasakan warta Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2002 walaupun pewartaan tersebut telah dilakukan pada masa pemerintahan kerajaan PAS (1999-2004) yang lalu.

Sehingga sekarang tiada bukti enakmen tersebut dibatalkan atau tiada keputusan mahkamah yang membatalkan di atas apa jua alasan. Oleh itu kenapa perlu diadakan usul baru terhadap enakmen tersebut untuk dibahaskan semula di peringkat Dun.

Sebaliknya para legislator perlu menekankan aspek penguatkuasaan dan pelaksanaan pewartaan enakmen tersebut menurut procedure yang sedia ada. Persoalanya sama ada dan sejauh manakah Kerajaan Terengganu sekarang serius atau tidak dalam perkara ini.

Luham percaya RUU 355 adalah salah satu pendekatan yang digunakan untuk mengisi ruang yang dibenarkan dalam konteks Perlembagaan Malaysia tanpa memprejudis undang-undang yang sedia ada dan tanpa melibatkan pindaan perlembagaan yang memerlukan sokongan 2/3 majoriti ahli parlimen.

PAS mengambil langkah dan perdekatan ini melalui hubungan Kerajaan Kelantan dan Persekutuan dalam semangat federalisme bagi membolehkan peranan dan kedudukan mahkamah syariah dimartabatkan sebagai institusi keadilan yang memenuhi tuntutan syariah.

Haji Mohd Zabidi Yusof
Pengerusi LUHAM Negeri Terengganu.
30 Mei 2017 / 4 Ramadan 1438

HARI Tanpa Tembakau Sedunia yang akan disambut pada 31 Mei bertemakan Tembakau – Ancaman Kepada Pembangunanamat bertepatan sekali memandangkan penggunaan tembakau mendedahkan pelbagai masalah kepada pembangunan di negara ini. Malaysia tidak terkecuali memandangkan penggunaan tembakau menyebabkan kos kepada ekonomi dan pelbagai masalah sosial sejak berdekad yang lalu apabila banyak wang yang terpaksa dibelanjakan itu boleh digunakan untuk pembangunan.

Untuk memahami mitos dan salah anggapan bahawa kita telah disogok oleh industri tmbakau, kita perlu melihat kembali sejarah untuk memahami masa kini dan masa depan.

Bertentangan dengan apa yang dipercayai, penanaman tembakau memerlukan subsidi yang besar daripada industri. Kos penanaman yang meningkat menjadikan daun tembakau tempatan meningkat, contohnya pada 1982, harga tembakau domestik yang dihasilkan ialah RM68.25 sekilo berbanding dengan nilai RM18.25 sekilo bagi Kos, Insurans, Kargo (C.I.F.) bagi tembakau import.

Industri ini dikehendaki oleh kerajaan untuk menggunakan sekurang-kurangnya 70 peratus kandungan daun tempatan dalam produk tembakau mereka. Oleh itu, industri perlu mencampurkan daun tempatan dengan daun import. Walaupun terdapat peraturan ini, pengeluaran tembakau tempatan tidak pernah mencukupi.

Sejak 1990-an, kerajaan cuba untuk memastikan petani tempatan berubah kepada tanaman yang lebih berpotensi yang dikenal pasti oleh Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI). Sejak 2004, penanaman kenaf telah meningkat daripada kurang 1 hektar kepada 2,274 hektar pada 2015. Bilangan penanam kenaf juga meningkat daripada satu kepada 880 dalam tempoh yang sama.

Pada 2010, Lembaga Tembakau Negara dinamakan semula sebagai Lembaga Tembakau dan Kenaf Negara. Jika penanam tembakau mampu untuk menghasilkan 50,000 tan serat kenaf untuk eksport setiap tahun, ia bernilai kira-kira RM15 bilion.

Pendirian liberal Malaysia sejak awal lagi telah membawa begitu banyak kerugian ekonomi dan sosial. Langkah pertama kawalan tembakau di Malaysia bermula pada 1996 apabila syarikat penerbangan Malaysia mengenakan pengharaman merokok dalam penerbangan.

Sementara itu, bilangan perokok semakin meningkat. Pada 2015, adalah dianggarkan terdapat 4.99 juta perokok dewasa di negara ini, merokok 91 juta batang rokok sehari. Terdapat 2.67 juta belia berusia antara 13 dan 15 tahun yang merokok pada 2009. Jika mereka semua merokok sekotak 20 batang, rakyat Malaysia telah merokok 4.6 juta batang rokok sehari! Bayangkan kos untuk bajet keluarga mereka serta kepada negara.

Industri ini dilihat sebagai berperanan penting dalam “meningkatkan status sosio-ekonomi penduduk luar bandar terutama sekali di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis” oleh kerajaan. Oleh itu Lembaga Tembakau Negera ditubuhkan di bawah Kementerian Perusahaan Utama pada 1973.

Berdasarkan perangkaan 2015, adalah dianggarkan 20,000 rakyat Malaysia mati akibat penyakit berkaitan merokok setiap tahun dan jika kita mengandaikan bahawa setiap mangsa mempunyai tiga ahli dalam keluarga, 60,000 nyawa terjejas. Mereka kehilangan pencari nafkah. Purata perbelanjaan rokok bagi setiap perokok ialah RM178.8 sebulan yang mana wang ini lebih baik dibelanjakan untuk keluarga.

Bagaimanapun, kita mestilah memikirkan mengenai tempat kerja mangsa yang akan mengalami kerugian yang tidak terhingga dalam bentuk:

i.Kehilangan masa bekerja apabila mereka terpaksa berhenti untuk merokok dan cuti sakit yang akan menjejaskan jadual kerja.

ii.Kos perubatan. Menurut kajian pada 2003-2005,
dianggarkan kos merawat tiga penyakit biasa berkaitan tembakau (kanser paru-paru, penyakit jantung iskemik dan penyakit halangan pulmonari kronik (COPD) adalah RM2.92 bilion. Ia juga menunjukkan bahawa penyakit berkaitan tembakau menggunakan antara 6 dan 15% jumlah kos penjagaan kesihatan negara.

Bagi kerajaan, ia kehilangan tenaga manusia, subsidi perubatan (jika seseorang itu ke klinik awam atau hospital kerajaan untuk mendapatkan rawatan), dan sumbangan kepada ekonomi.

Dengan kawalan tembakau yang lebih ketat, syarikat cuba mengelak sekatan dengan memperkenalkan rokok elektronik (atau e-rokok) dan berpotensi mendapat pasaran yang besar.

Walaupun penyokong berhujah bahawa e-rokok membantu perokok berhenti merokok, ia juga menggalakkan mereka untuk merokok menggunakan peranti ini dengan kepercayaan bahawa ia kurang berbahaya.

British American Tobacco (BAT) memulakan pengeluaran peranti itu pada 2013, melabelkannya sebagai Produk Generasi Akan Datang (NGPs). Industri ini meyakinkan golongan belia bahawa NGPs “kurang berbahaya” dalam usaha untuk menggantikan perokok yang telah mati dan memulakan ketagihan nikotina sekali lagi tetapi dalam bentuk yang berbeza.

Bertentangan dengan apa yang didakwa bahawa propylene glycol, bahan utama dalam e-cecair (cecair yang akan mengewap oleh peranti untuk disedut), disenaraikan sebagai Dikenal pasti pada umumnya sebagai selamat (GRAS) tetapi keracunan kepada pulmonari akibat pendedahan jangka panjang tidak diketahui. Menurut Pusat bagi Kawalan Penyakit (CDC) di Amerika Syarikat, ia menyatakan: “Tiada kajian kesan kesihatan pada manusia ditemui”.

Kita juga seharusnya menyedari bahawa bahan kimia lain digunakan dalam e-cecair dan kajian menunjukkan bahawa aerosol e-rokok juga mengandungi karsinogen seperti formaldehid dan acetaldehid. Logam berat seperti kadmium, nikel dan juga terdapat di dalamnya. Seperti yang sering ditegaskan oleh CAP, kita seharusnya meminimumkan atau menghapuskan pendedahan kepada bahan kimia toksik.     

Bagi pihak kerajaan, ia seharusnya mengambil pendirian yang lebih tegas menentang penggunaan vape dengan mengharamkan sepenuhnya sebelum tabiat menagihkan dan kebimbangan kesihatan menjadi berakar umbi seperti penggunaan produk tembakau yang mengambil masa berdekad usaha bersepadu untuk mengurangkan penggunaannya.

Begitu juga dengan penggunaan tembakau lain seperti shisha dan tembakau tanpa asap perlu juga diharamkan kerana penggunaan tembakau terus menjadi penyebab penyakit utama terbesar dunia yang boleh dicegah dan membahayakan hampir setiap organ dalam tubuh.

Keluarga serta kerajaan yang akan memperoleh manfaat dengan wang yang dijimatkan daripada menahan diri daripada menggunakan tembakau. Memandangkan ramai perokok miskin, keluarga mereka mampu untuk berbelanja untuk makanan yang lebih baik dan keperluan lain dengan wang yang dijimatkan. Kos ekonomi dan sosial penyakit berkaitan tembakau semakin meningkat dan menelan kos berbilion ringgit setiap tahun yang mana ia boleh digunakan dengan lebih baik untuk pembinaan negara. – HARAKAHDAILY 30/5/2017

KERAJAAN Persekutuan perlu "gentlemen" dan tidak sepatutnya mengambil sikap seperti "lanun" di dalam usaha untuk mengambil alih PPR Taman Putra Permai, Lembah Subang dari Kerajaan Negeri.

Kerajaan Persekutuan mungkin boleh menggunakan kekerasan untuk mengambil alih PPR tersebut tetapi kita berada di dalam sebuah negara yang bertamadun. Maka Kerajaan Persekutuan tidak boleh menggunakan undang-undang rimba untuk mendapatkan apa yang mereka mahu.

Tuntutan Kerajaan Negeri sebanyak RM60 juta daripada Kerajaan Persesekutuan adalah munasabah. Terdapat bukti-bukti seperti tuntutan-tuntutan pembayaran.

Sekiranya Kerajaan Negeri telah mengambil sikap lepas tangan maka sudah tentu PPR itu tidak akan dapat didiami hari ini.

Kerajaan Persekutuan juga perlu membelanjakan kos yang tinggi untuk memulihkan PPR tersebut jika Kerajaan Negeri mengambil sikap lepas tangan.

Kerajaan Persekutuan mendakwa jumlah yang dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri adalah untuk penyelenggaraan berjadual. Walau bagaimanapun kebanyakan kerja-kerja baikpulih itu adalah akibat vandalisme dan perbuatan khianat yang lain. Ia tidak boleh dikategorikan sebagai penyelenggaraan biasa atau berjadual.

Kerajaan Persekutuan juga mendakwa Kerajaan Negeri telah dapat mengutip sewa daripada penduduk. Pada hakikatnya sewa yang dikutip adalah rendah. Amalan tidak membayar sewa ini telah berakar umbi sejak zaman Barisan Nasional. Pada zaman Barisan Nasional pungutan sewa juga adalah rendah.

Rakyat akan menjadi saksi jika Kerajaan Persekutuan meneruskan hasrat mereka untuk mengenepikan Kerajaan Negeri. Rakyat akan mengajar mereka pada pilihan raya umum yang akan datang.

Walau bagaimanapun saya menggesa Kerajaan Persekutuan agar sesuai dengan bulan Ramadan yang mulia ini menghormati tuntutan Kerajaan Negeri.

DATUK ISKANDAR A. SAMAD
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar
Negeri Selangor
30 Mei 2017 - HARAKAHDAILY 30/5/2017

SEJAJAR dengan budaya politik matang dan sejahtera, PAS mengingatkan ahli, terutamanya pimpinan agar mengawasi setiap tulisan dalam apa jua media sosial. Disiplin tulisan ini perlu dijaga sentiasa.

Tulisan mestilah selaras dengan pendekatan budaya politik matang dan sejahtera yang menjadi dasar parti. Tulisan yang tidak menepati dasar ini sudah tentunya bukan pendirian parti dan hanyalah pandangan peribadi.

PAS meraikan hubungan yang baik dengan masyarakat bukan Islam di negara ini.

Oleh itu, PAS sebagai sebuah gerakan dakwah mesti mampu mendekatkan masyarakat non-Muslim bagi memahami Islam, walau mereka tidak menerima Islam sebagai agama.

Aktiviti berbuka puasa tidak perlu dipolitikkan mahupun digunakan untuk tujuan politik. Sebaiknya aktiviti digunakan sebagai medan merapatkan hubungan antara kaum dan meningkatkan pemahaman antara agama.

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
30 Mei 2017 – HARAKAHDAILY 30/5/2017

SUNGGUH melucukan sekali melihat Penasihat DAP merangkap Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, bergelut untuk memisahkan DAP dari agenda Kristianisasi yang dibawa oleh Hannah Yeoh.
 
Dua kali, pada 18 Mei dan 27 Mei, Lim Kit Siang menekankan betapa beliau bukan seorang Kristian (“I am not a Christian”) seolah-olah Lim Kit Siang adalah DAP dan DAP adalah Lim Kit Siang.
 
Walhal dunia, termasuk Dr Zulqarnain Lukman dari KANUN AMANAH, tahu bahawa kuasa eksekutif di dalam DAP terletak di tangan Setiausaha Agung DAP, bukannya Penasihat atau Pengerusi DAP.
 
Ramai yang berspekulasi bahawa Setiausaha Agung DAP sejak 2004, Lim Guan Eng, adalah seorang Kristian, tetapi tidak ada yang benar-benar mampu memberikan bukti konkrit mengenainya.
 
Sebagai seorang pembaca tegar, saya berpeluang membaca pengakuan sensasi Lim Guan Eng mengenai bagaimana beliau memeluk agama Kristian sewaktu berada di dalam Penjara Kajang pada 1998.
 
Pengakuan Lim Guan Eng ini terdapat di dalam wawancara bertajuk “Lim Guan Eng: The Prison to Parliament Leader” di dalam buku “Heart to Heart with Asian Leaders: Exclusive Interviews on Crisis, Comebacks & Character”.
 
Di antara pengakuan Lim Guan Eng ini ialah:
 
1. “However, I had to take a leap of faith, which was not a forethought but an afterthought. That came when I converted to Christianity very late in my years, when I was searching for answers. I found them in the Bible.”
 
2. “I read the Bible cover to cover. Three times. I requested for the Bible when I was in prison in 1998... During my second imprisonment in Kajang Prison in 1998, being a family man, I had to worry about my wife and children. So it was much more painful. You realized suffering. Then I looked at the suffering that Christ endured... The suffering that he endured gave me strength. What was my suffering compared to His?”
 
3. “I kept telling my family to just look at the Bible, look at the characters in the Bible... That’s why you need to read the Bible... I kept telling myself that the people in the Bible suffered much more...”
 
Lebih menarik lagi, Lim Guan Eng turut menyebut nama dua pemimpin DAP yang beliau jadikan tempat pergantungan, iaitu Tony Pua Kiam Wee, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, dan Anthony Loke Siew Fook, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP. Mengikut Lim Guan Eng, dengan kedua-dua pemimpin DAP yang beragama Kristian inilah beliau duduk untuk berbincang dan berstrategi.
 
Dedah Lim Guan Eng: “Right now, I rely on a younger group of people, like Tony (Pua Kiam Wee) and Anthony (Loke Siew Fook), to get things done. We sit down to talk and strategize.”
 
Lim Kit Siang juga berkata, tidak terdapat agenda Kristian di dalam DAP atau di kalangan mana-mana Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri DAP (“There is no such “Christian agenda” in the DAP or among any DAP MP or State Assembly representative.”)
 
Bagaimanapun, sehingga kini beliau atau mana-mana pemimpin DAP belum mampu menafikan tiga pengakuan Hannah Yeoh ini, iaitu bahawa beliau menggunakan jawatan politik beliau untuk berdiayah di gereja-gereja, kepada pemimpin-pemimpin dunia dan kepada orang-orang muda; bahawa penganut Kristian perlu membina semula Malaysia kerana Tuhan mahu menuntut semula politik dan perkhidmatan awam di Malaysia; serta bahawa beliau bercita-cita untuk membawa kepercayaan dan perkhidmatan Kristian kepada dunia awam.
 
Ini adalah contoh agenda Kristian seorang Ahli Dewan Undangan Negeri DAP, iaitu Hannah Yeoh.
 
Saya juga boleh berikan contoh agenda Kristian seorang Ahli Parlimen DAP yang juga Strategis Pilihan Raya DAP, iaitu Dr Ong Kian Ming.
 
Di dalam satu kenyataan Facebook beliau pada 4 Februari 2014, Dr Ong Kian Ming jelas menulis, “Di gereja saya di SIBKL, kami telah berdoa semoga satu kebangkitan semula Kristian berlaku di dalam negara kita” (“In my Church at SIBKL, we have been praying for a Christian revival to take place in our country”.)
 
Di dalam satu tulisan beliau pada 19 Mac 2014, Penyelidik Parlimen Dr Ong Kian Ming bernama Sharon W H Ling menyebut: “To hope for a better tomorrow is only human; perhaps, to commit to realizing that dream is something more. For some, it is a calling, a conviction. For my boss, a Christian, it is a higher power; for myself, a secularist, it is humanity.”
 
Bagaimana mungkin Dr Ong Kian Ming boleh memperjuangkan agenda sekular bila Penyelidik Parlimen beliau sendiri menyifatkan beliau bukan sekularis?
 
Bagaimana mungkin Lim Kit Siang memisahkan agenda Kristianisasi yang dibawa oleh Hannah Yeoh dari DAP bila tokoh yang melancarkan buku Hannah Yeoh, Becoming Hannah, di Subang Jaya pada 10 Januari 2015 ialah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, sendiri?
 
Bagaimana mungkin Lim Kit Siang memisahkan agenda Kristianisasi yang dibawa oleh Hannah Yeoh dari DAP bila tokoh yang melancarkan buku Hannah Yeoh, Becoming Hannah, di Pulau Pinang pada 22 Mac 2015 ialah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, sendiri, dan bila pelancaran buku ini dan forum mengenainya dianjurkan oleh Wanita DAP Pulau Pinang?
 
Bagaimana mungkin Lim Kit Siang memisahkan agenda Kristianisasi yang dibawa oleh Hannah Yeoh dari DAP bila, terbaru, Lim Kit Siang sendiri yang mati-matian mempertahankannya, termasuk di dalam “Bicara Buku Becoming Hannah” di Kuala Kubu Bharu pada 27 Mei lalu?
 
Dan bagaimana mungkin Lim Kit Siang boleh mengatakan bahawa, sebab beliau bukan seorang Kristian, agenda Kristianisasi tidak terdapat di dalam DAP atau di kalangan mana-mana Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri DAP sedangkan yang benar-benar berkuasa di dalam DAP adalah Lim Guan Eng yang beragama Kristian?
 
Mengapa Lim Kit Siang hanya menonjolkan hakikat bahawa beliau, yang hanyalah merupakan Penasihat DAP, bukan seorang Kristian, tetapi tidak ditonjolkan hakikat bahawa Lim Guan Eng, yang merupakan Setiausaha Agung DAP, adalah seorang Kristian?
 
Silap mata apakah yang cuba kamu mainkan, wahai Lim Kit Siang? – HARAKAHDAILY 30/5/2017

KEAMANAN adalah suatu nikmat yang tidak ternilai dalam menyemarakkan dakwah Islamiah. Demikian pula ilmu adalah tunjang dan nadi pembinaan kefahaman Islam yang sebenar.
 
Begitu pula suasana permusuhan dan pertelingkahan antara masyarakat hanya meruntuhkan keteguhan Islam kerana terhalangnya sebaran ilmu dan malapnya aktiviti dakwah. Begitulah peringatan yang diberikan oleh seorang sahabat dari Filipina kepada saya.
 
Pertemuan dan perbincangan saya bersama beliau lewat solat tarawih malam tadi adalah semata-mata membincangkan keperluan golongan OKU penglihatan di Fililpina dalam mempelajari braille dan Al-Quran.
 
Pertelagahan dan perselisihan umat Islam di wilayah-wilayah tertentu di Filipina telah sama sekali melemahkan umat Islam bila mana mereka gagal memahami Islam yang sebenar. Sekadar tahu Islam dan semaraknya semangat jihad telah memusnahkan dan mematikan akhlak Islam sebenar yang sekaligus menidakkan suasana persaudaraan yang sepantasnya dibina.
 
Dalam suasana itulah sahabat ini mencari sisa-sisa ruang yang ada untuk menyuburkan dakwah dan menerapkan Islam dengan ilmu yang muktabar. Biarpun cabarannya merentangi usaha, ia tidak mudah untuk mematahkan semangat yang ada bagi menyerlahkan kehebatan Islam di dalam masyarakat.
 
Justeru, keprihatinan beliau kepada golongan OKU penglihatan membawa pertemuan dan perbincangan antara kami. Program pengajian braille dan Al-Quran ke Filipina adalah antara rangka usaha kami melalui Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia “Pertis”, dalam semarak program Quran braille serantau.
 
Selain menyediakan naskah-naskah Al-Quran braille, Pertis bertanggungjawab menyediakan tenaga-tenaga pengajar bagi membolehkan seberapa ramai komuniti OKU penglihatan termasuk sahabat serantau mampu membaca dan memahami AlQuran melalui tulisan braille.
 
Benarlah tauladan yang ditunjukkan oleh baginda Rasul Allah S.A.W betapa ilmu itu pelita kehidupan termasuklah mereka yang kurang upaya. Keyakinan itulah yang memberi perangsang kepada saya dan rakan-rakan untuk meluaskan sebaran kefahaman Islam termasuk penyebaran ilmu Al-Quran braille biarpun terpaksa menempuh pelbagai cabaran.
 
Cukup saya tersentuh pada suatu masa bila saya didatangi oleh seorang anak yang buta matanya menyatakan keinginannya untuk belajar dan menjadi pandai sambil memegang tangan saya. Saya yang tidak diuji dengan anak-anak OKU cukup rasa terharu dan hiba bila mengenangkan cabaran yang perlu ditempuh oleh ibu bapa yang anaknya seorang OKU.
 
Sesungguhnya keekuatan ibu bapa sedemikianlah yang akhirnya mampu membentuk jati diri anak-anak OKU termasuk saya hari ini dan kerana itulah memperkasa agenda pendidikan dan ilmu sangat meruntun hati saya dalam pembangunan orang kurang upaya.
 
Bagi memperkasa agenda ini kami sangat memerlukan dokongan dan sokongan seluruh masyarakat. Baginda Rasul Allah S.A.W telah menunjukkan model bagaimana sahabat-sahabat R.A dari kalangan OKU mampu digilap hanya dengan ilmu. Titian sirah itulah yang sedaya mampu kami jelmakan dalam zaman mutakhir yang penuh mehnah ini. - HARAKAHDAILY 29/5/2017

BERULANGKALI pernah diingatkan oleh pelbagai pihak bahawa dalam negara kita yang berbilang kaum dan agama semua pihak perlu sensitif menghormati adat dan kepercayaan pihak yang lain.

Tambah Islam sebagai agama Persekutuan dan anutan majoriti rakyat di Malaysia.

The Star dalam permohonan maaf muka depannya menyebut tiap-tiap tahun menjadi tradisi akhbarnya memang memaparkan gambar muka depan umat Islam menunaikan solat tarawih pada malam satu Ramadan.

Akan tetapi katanya kebetulan "lead story" pada hari berkenaan adalah mengenai seorang pemimpin pengganas dari Malaysia.

Langsung dipaparkan gambar dan tajuk berkenaan bersekali di muka utama tabloidnya.

Sebagaimana Nanyang akhbar The Star menyatakan kekesalan atas tindakannya yang telah melukai perasaan umat Islam itu.

Sesiapa yang memohon maaf khasnya dalam bulan Ramadan yang mulia ini kita boleh maafkan walau kecewa.

Namun sebagaimana amaran yang PAS keluarkan melalui Ketua Penerangan PAS Pusat Ustaz Nasrudin Hassan: "Semua pihak diseru berhenti dari melakukan sebarang percubaan untuk menguji kesabaran ummat Islam".

Semoga tiada lagi cubaan seumpama ini oleh mana-mana pihak sekalipun. – HARAKAHDAILY 29/5/2017

PAS Terengganu mengutuk sekeras-kerasnya akhbar The Star atas sikap biadab dan tidak tahu menghormati umat Islam, kumpulan terbesar di Malaysia ini kerana menyiarkan gambar sekumpulan orang Islam yang sedang bersolat jemaah dengan tajuk muka depan yang mengaitkan Islam dengan keganasan. Walaupun isi dan gambar berita yang berlainan, tapi jelas ia boleh mengelirukan pembaca.

Kegagalan The Star dalam menghormati sensitiviti umat Islam ini, bukanlah kali pertama berlaku. Pada tahun 2006, disiarkan gambar Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi bersebelahan dengan gambar iklan arak.

Pada tahun 2011 pula, The Star tanpa ada rasa hormat, telah menyiarkan iklan hidangan masakan berasaskan babi dan menawarkannya sebagai hidangan berbuka puasa oleh sebuah restoran yang tidak mempunyai sijil halal.

Tidak puas dengan itu, pada tahun 2015, The Star kembali menyemarakkan kemarahan umat Islam dengan menyiarkan iklan minuman keras di muka depan akhbar mereka.

Kini setelah beberapa jam menyiarkan gambar dan tajuk berita yang boleh mengelirukan pembaca bahawa Islam adalah agama keganasan, mereka memohon maaf, sama seperti mana yang mereka lakukan setelah beberapa kali meniupkan api keagamaan.

PAS Terengganu mendesak kerajaan Malaysia melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) agar mengenakan hukuman yang maksimum kepada The Star atas beberapa kesalahan yang hampir sama yang telah dilakukan. Amat malang bagi rakyat Malaysia jika pengurusan The Star dibebaskan lagi kerana rakyat Malaysia memerlukan kerajaan yang tegas dan tidak mahu kepada penghasut agama seperti The Star. Seseorang mesti dipertanggungjawabkan atas kejahatan ini apatah lagi sudah beberapa kali The Star memilih Ramadhan sebagai waktu pilihan mereka menyebarkan onar ini.

Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu

EDITOR akhbar The Star lahir di Malaysia, membesar di Malaysia dan memiliki warganegara Malaysia. Saya cukup yakin dia sedar bahawa gambar latar belakang di muka depan akhbar yang di bawah jagaannya dengan tajuk 'Malaysian Terrorist Leader' ialah gambar orang Islam sedang solat berjemaah. Adalah mustahil puluhan tahun dia hidup di Malaysia, dia tak tahu bahawa itu adalah gambar solat berjemaah.

Bila tahu hakikat sebenar tapi masih nak cari pasal juga, itu namanya sengaja nak cucuh api untuk membakar sentimen keagamaan. Kita duduk elok-elok, tiba-tiba dia mari tumbuk kita. Bila kita balas balik dengan penyepak, dia yang menangis nanti. Lepas tu kata kita jahat dan ganas.

Baru saja Nanyang Siang Pau buat hal dengan orang Islam dan akhirnya terpaksa merayu minta maaf, kini The Star pula. Jangan marah bila pandangan umum kata, dua-dua yang buat hal ini akhbar orang Cina!

Saya jumpa dengan seorang Cina di Kota Bharu yang pegang akhbar The Star. Dia sendiri pun marah. "Apa ini punya orang nak cari gaduh! Sorang dua orang Islam jadi pengganas, mana boleh letak gambar orang tengah sembahyang!" Marahnya yang mungkin ditujukan kepada editor akhbar.

Tak ada siapa pun yang waras sengaja nak mengapi-apikan dan memanaskan suhu sentimen perkauman serta keagamaan. Kalau orang tak waras, dia tak layak jadi editor akhbar. Api fitnah jangan dikobarkan. Kelak membakar diri sendiri.

Kita menuntut agar KDN bertindak segera mengikut lunas undamg-undang. Walau esok mungkin editor minta maaf, ia tak cukup. Kecuali kalau dia boleh kutip semula setiap naskhah akhbar yang telah terjual dan dia mampu padamkan semua yang telah disebar di alam maya. Fitnah yang telah merata tak mampu selesai dengan hanya permohonan maaf.

Dr Azman Ibrahim
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat

KEMELUT yang berlaku dalam negara kini memerlukan satu perubahan atau anjakan politik yang serius.

Kegawatan ekonomi, yang sebahagiann besarnya berpunca dari salah urus khazanah negara telah sampai kepada kemuncaknya bila semua penyelewengan yang selama ini ditutup, kini terbuka satu demi satu.

Kebobrokan dan salahguna kuasa kini semakin nyata sehingga munculnya pelbagai kenyataan dari dalaman Umno dan kabinet yang mempertikai secara terbuka apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri.

Kritikan-kritikan bekas pimpinan tertinggi BN seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Shafie Afdal, Tan Sri Ling Liong Sik di dalam isu 1MDB sehingga ada yang keluar dan dipecat dari parti sehingga wujudnya parti-parti baru adalah perkembangan politik yang semakin mendebarkan.

Di samping itu, terdapat pelbagai desakan agar PM meletak jawatan.

Keadaan ini adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

BN dijangka tidak lagi mampu bertahan.

Dalam keadaan seperti ini, teknik mengalihkan pandangan rakyat daripada isu-isu yang sedang melanda rakyat kepada isu-isu remeh-temeh dan sensasi sedang dilakukan giat.

Dengan teknik ini, BN berharap rakyat dapat melupakan isu seperti 1MDB dan kenaikan kos sara hidup dan memberi tumpuan kepada program-program seperti TN50, drama-drama politik yang tidak henti seperti insiden tampar dan juga tangkapan-tangkapan berprofil tinggi para penjawat awam seperti seorang bekas polis pegawai tinggi yang dituduh menerima komisyen RM1 juta tapi akhirnya dibebaskan.

BN akan mencuba apa sahaja, tapi realitinya, perubahan politik ini tidak dapat dielakkan lagi, hanya masa sahaja belum diketahui.

Kebangkitan golongan muda dan desakan ke arah perubahan total semakin hari semakin kuat.

Cuma, persoalan besarnya ialah ke manakah perubahan yang hendak dibawa?

Apakah kita hanya menukarkan kepimpinan negara bersama sistem sekular atau megubah tapak dan sistem negara ini secara total?

Bagi PAS, perubahan mesti mengembalikan manusia kepada sistem Islam yang syumul, selaras dengan gagasannya sebagai rahmat bagi seluruh alam.

Golongan menentang akan terus menolak idea dan gagasannya ini. Meskipun sejarah menunjukkan bahawa keagongan tamadun manusia berlaku di zaman Islam, namun sikap anti-Islam atau Islamphobia yang dicanang oleh Barat yang kini berjaya meresap masuk ke akal fikiran manusia, telah menjadikan mereka bertindak dan berhujah secara tidak rasional apabila terdengar sahaja perkataan "Islam".

Anehnya, mereka boleh menerima sistem komunisma, kapitalisma, sosialisma dan pelbagai lagi 'ma' asalkan ia bukan bernama "Islam".

Tanpa kembali kepada Islam yang sebenar, yakni kita hanya akan melakukan perubahan yang separuh masak.

Kita sekadar akan merubah dari satu kegagalan sistem ciptaan manusia kepada satu lagi sistem ciptaan manusia yang lain yang juga akan berhadapan dengan pelbagai kelemahan dan kepincangan.

Di dalam apa-apa perubahan, sepatutnya kita mengambil peluang untuk meruntuhkan sistem jahiliyah dan menegakkan sistem Islam di atas keruntuhan tersebut.

Islam menawarkan pakej lengkap dalam usaha melakukan perubahan. Gagasan Islam tidak bersifat ancaman, dan jauh lagi bersifat paksaan. Sebaliknya gagasan ini mengemukakan cadangan dan pilihan.

Islam menentang sikap menutup telinga dan mata kepada perubahan. Di dalam Islam, manusia diseru untuk membuka mata dan telinga, mengkaji dengan ikhlas hati serta membuat rumusan sendiri terhadap apa yang diperolehinya.

Golongan marhaen dijadikan mangsa kerakusan pemimpin yang tamakkan kuasa. Kegilaan pada kuasa menyebabkan mereka menjadikan rakyat batu loncatan dengan menjanjikan perubahan ke arah yang lebih baik.

Rakyat dijanjikan negara yang harmoni, tiadanya rasuah dan salahguna kuasa. Namun apa yang mendukacitakan ialah perubahan yang dibawa hanyalah tempelan kerana ia hanya menukarkan watak pelaku tanpa merubah sistem yang menjadikan landasan perubahan tersebut.

Keadilan hanya dapat dinikmati dari sistem yang adil. Tanpa perubahan sistem dan dasar kepada sistem yang benar-benar adil, rakyat tidak akan dapat mengecapi keadilan sebenar.

Kerana itulah, Allah menurunkan satu sistem yang syumul kepada manusia iaitu sistem Islam kerana tiada siapa yang dapat memahami ciptaan-Nya lebih baik daripada penciptanya itu sendiri.

Faktor utama yang membawa kepada perubahan ini ialah keinginan yang kuat. Keinginan mestilah disertai dengan gerak kerja yang tersusun dan mujahadah yang tinggi dan kesungguhan bekerja. Kepentingan peribadi perlu diketepikan sama sekali.

Dengan ramuan ini, barulah satu bentuk gerak kerja berjemaah yang tersusun rapi dapat dilahirkan sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah dalam Surah As-Saff: 4.

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفًّا كَأَنَّهُمْ بُنْيَانٌ مَرْصُوصٌ

"Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh."

Tuan Ibrahim Tuan Man
Makkah al Mukarramah

PAS Sarawak deka ngambi peluang meri ucap selamat ari gawai ngagai semua rakyat iban dayak Sarawak.

PAS Sarawak besampi ngajih ke gawai taun tu,ulih ngukuh,ulih neguh kaul diri sebilik,ulih mega ngerapat ngambi rat kaul kaban belayan engau penuh pengelantang.

Enggau tu kami ari PAS Sarawak ngambi kesempatan ngingat ke kitai iban dayak Sarawak ti di sambut enggau pengaga ati,jaga diri enggau manah,likun ke diri ba rantau jalai Maya pemisi gawai dayak ke taun tu.

Selamat Hari Gawai Dayak Gayu Guru Gerai Nyamai Nguan Menua Senang Lantang Bulih Rezeki Belimpah Ruah Bulih Padi Gayu Ko Antu Gerai Ko Sempandai...

Sejahtera Bersama Islam

JOFRI JARAIEE
Pesuruhjaya PAS Sarawak

TR CLEMENT BAYANG
Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Sarawak – HARAKAHDAILY 28/5/2017

Gawai