SEMPENA hari peringatan tragedi pembunuhan warga Deir Yassin pada 9 April 1948  dan Hari Tanah Air Palestin pada 30 Mac 1979  ("Youm Al Ardh" - Land Day), kami mendesak PBB mengambil tindakan muktamad untuk mengheret Israel ke Mahkamah Antarabangsa kerana jenayah ke atas kemanusiaan.

Penerbitan Laporan terbaru berjudul "Amalan Israel Terhadap Warga Palestin dan Persoalan Dasar Aparteid" (Israeli Practices Towards the Palestinian People and the Question of Apartheid) oleh Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial PBB untuk Asia Barat (ESCWA) telah mengesahkan tanpa ragu lagi bahawa Israel telah melakukan jenayah aparteid.

Aparteid adalah jenayah kedua selepas genocide dalam urutan jenayah ke atas kemanusiaan.

Sejak negara Zionis diujudkan diatas ideologi Zionis rasis, operasi mengusir warga Palestin dari tanah air mereka untuk menubuhkan negara Israel berterusan sehingga hari ini. Pemusnahan etnik (ethnic cleansing) menjadi senjata Israel untuk mencapai objektif kriminal ini.

Pada 20 Disember 1940, Yosef Oweitz, Pengarah Tanah dan Tabung Nasional Yahudi menulis:

"dalam kalangan kita, perlu jelas, bahawa tidak ada ruang hidup bersama antara Yahudi dan Arab.... apabila kaum Arab dapat dikeluarkan, tanah ini akan terbuka untuk kita.... tidak ada ruang kompromi.... membeli tanah tidak akan berjaya mengujudkan sebuah negara.... hanya satu cara sahaja iaitu memindahkan orang Arab ke negara jiran... jangan ada seorang suku kaum dan penduduk Arab yang terbaki... hanya dengan itu sahaja berjuta Yahudi dapat dimasukkan ke bumi Palestin.... tidak ada cara lain"

Pada 15 Mei 2017 adalah hari peringatan ke-61 tahun peristiwa Nakbah (Hari Malapetaka), apabila pada hari itu, tahun 1948,  Yahudi mengisytiharkan tertubuhnya negara Israel. Pada hari itu Yahudi Zionis melancarkan serangan ke atas bandar dan kampung, membunuh, memperkosa dan memaksa warga Palestin melarikan diri dari tempat tinggal mereka.

Sebelum itu, pada 9 April 1948, peristiwa Deir Yassin tercetus. Seramai 264 lelaki, wanita dan kanak-kanak disembelih oleh tentera Zionis.

Antara 1947 dan 1948, lebih 750,000 warga Palestin menjadi pelarian. Kini pelarian Palestin mencecah lebih 4 juta orang. Mereka dalam keadaan sengsara di kem-kem pelarian; tiada makanan, tiada air bersih, tiada perubatan dan tiada tempat tinggal. Mereka dinafikan hak untuk pulang walaupun hak itu disahkan oleh Persidangan Umum PBB yang menghasilkan Resolusi 194. Sementara itu pula, ratusan ribu Yahudi dari luar dibawa masuk ke bumi Palestin.

Sekitar 50 tahun yang lalu, pada 6 Jun 1967, Israel berperang dengan negara negara Arab dan berjaya menguasai Tebing Barat, Gaza dan Jurusalem Timur. Seramai 320,000 warga Palestine diusir dari bumi Palestin dan 300,000 Yahudi ditempatkan dalam kawasan Palestin.

Jurusalem Timur sebagai ibu negara Palestin, sedikit demi sedikit diambilalih oleh penduduk Yahudi. Pemindahan Yahudi, pembinaan dinding pemisah, pemusnahan rumah warga Palestin, menutup dan menyekat sebarang kewujudan Institusi Palestin, mengenakan diskriminasi yang menyekat sebarang pembangunan kota. Semua ini adalah agenda besar Zionis untuk meyahudikan seluruh Jurusalem Timur.

Lebih parah lagi ialah warga Palestin disekat daripada memasukki Masjid al Aqsa. Walhal masjid itu sedang diancam oleh projek Yahudi yang mengorek terowong dengan objektif meruntuhkannya bagi membina kuil Sulaiman. Jika agenda ini berjaya ia akan memberi kesan sangat berat kepada 1.5 bilion Muslimin seluruh dunia.

Sementara itu Gaza sedang dikenakan sekatan kejam oleh Israel, sejak lebih 10 tahun. Penduduk Gaza sengsara akibat sekatan ini, tanpa apa-apa usaha antarabangsa untuk menamatkan kezaliman Israel.

Inilah hiprokrasi Amerika dan Kesatuan Eropah. Sebarang usul dari Majlis Keselamatan PBB akan dihalang atau diveto oleh kuasa besar bagi melindungi Israel. Manakala pemimpin- pemimpin Arab pula bersekongkol dan menjadi boneka kepada kuasa Barat. Menamatkan dasar aparteid Israel ke atas Warga Palestin tergantung kepada keupayaan rakyat Palestin berdepan dengan diktator Arab.

Pada tahun 2005, gerakan sivil Palestin melancarkan kempen BDS iaitu Boycott, Diversement and Sanction. Ia adalah gerakan yang berkesan yang melibatkan pelbagai pihak dan warga Palestin. Kesannya telah menjejaskan Israel dan suatu undang-undang anti BDS untuk mengharamkan BDS cuba diujudkan oleh regim Israel.

Dengan itu kami menuntut agar seluruh warga dunia dan rakyat bangkit menyatakan sikap dan berdiri bersama dalam solidariti menyokong perjuangan pembebasan Palestin.

Kami mengesa:

1.Agensi agensi PBB, kerajaan negara-negara dan masyarakat sivil termasuk organisasi agama memperakui secara formal segala penemuan dalam laporan Aparteid Israel ini, bahawa apa yang dilakukan oleh Israel ke atas warga Palestin selama ini adalah jenayah aparteid.

2. Semua faktor yang disenaraikan diatas mengambil langkah yang perlu, sesuai dengan obligasi legal seperti yang diperuntukan dalam Konvensyen Aparteid. Jenayah Aparteid adalah termasuk dilarang dalam undang-undang customary antarabangsa. Oleh itu semua negara walaupun tidak menandatangan Konvensyen tersebut boleh mengambil langkah undang-undang terhadap Israel.

3. Kerajaan Malaysia perlu mengistiharkan sokongan dan perakuan khas terhadap laporan ESCWA ini dan mengesyorkan supaya semua negara anggota OIC melakukan tindakan yang sama.

4. Kerajaan Malaysia mengecam dasar aparteid Israel dan mengambil inisiatif untuk menjadikan ia suatu usul khas di Parlimen bagi melahirkan pernyataan yang jelas ke atas dasar aparteid Israel.

5. Menyeru seluruh masyarakat sivil di Malaysia bersatu melancarkan kempen BDS terhadap Israel secara berterusan. – HARAKAHDAILY 13/4/2017

PASRelief terus mengatur langkah menyuburkan kemanusiaan, lanjutan daripada misi-misi sebelumnya, menyalakan obor Islam di mana sahaja diperlukan. Menyelamatkan Muslim Rohingya kini teratas dalam senarai  misi kemanusiaan PASRelief, yang telahpun bermula sejak puluhan tahun lalu.

Misi kali ini rurut disertai oleh Ustazah Nuridah Mohd Salleh (Ketua DMPM), Syarifah Rasyidah Syed Idrus (Ketua DMP Titiwangsa), Shahril Rizal Saidon (Pemuda PAS Selangor)  dan Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman (Naib Presiden MAPIM).

Kami tiba di Dhaka jam 11:00 malam waktu Bangladesh (jam 1:00 pagi waktu Malaysia). Polisi kerajaan Bangladesh yang tidak mengalu-alukan misi kemanusiaan kepada Muslim Rohingya menjadi asas bagi urusan mendapatkan visa dan menyusun taktik perjalanan sejak awal.

Mereka ada alasan mereka sendiri atas halangan ini. Kita perlu bersedia, sentiasa diekori dan dipantau pasukan intelligen mereka setiap masa. Ramai yang diarahkan pulang sebaik mendarat di Dhaka, ramai lagi yang gagal memperolehi visa untuk memasuki negara ini.

Sebaik tiba, kami menginap di Dhaka, diuruskan NGO tempatan (rakan MAPIM) dengan rangkaian tempatan mereka sendiri. BDT9,000 hanya untuk 2 bilik (lebih kurang RM496) hotel tanpa bintang, pagar utama hanya dibuka jika ada tetamu sampai - atas faktor keselamatan.

Pasukan polis sibuk ke sana ke mari, memeriksa semua bangunan dan pergerakan. Kata penyambut tetamu hotel apabila ditanyakan sebab begitu ramai polis di sana-sini: "Security matter. Dont worry sir,  our country is very-very safe". Saya senyum saja.

Pagi 4 April, kami ambil penerbangan ke Cox's Bazar, bandar pelancongan yang mendapat nama sempena nama Kepten Hiram Cox, pegawai tentera British yang berkhidmat dalam tentera British India. Dia meninggal pada 1798 sebelum sempat menyelesaikan tugasnya menghentikan pertelagahan berpanjangan antara penduduk Islam dan Buddha di Palongki itu (nama asal Cox's Bazar).

Penduduk Islam diberikan kawasan kampung, penganut buddha ditempatkan di kawasan bukit bukau di pedalaman. Sehingga 1948 (kemerdekaan Burma daripada Inggeris), pentadbiran British India meliputi seluruh India hingga ke Arakan (dimasukkan ke dalam wilayah Burma). Negara Bangladesh hanya wujud selepas pemisahan dengan Pakistan pada 1971.

Pelarian Rohingya bertebaran di seluruh pelusuk desa

Lokasi pertama kami selepas makan tengah hari di kediaman Ustaz Mohamed Aayaz ialah Kampung Gualiya Selatan meninjau kerja pembinaan telaga tiub sumbangan NGO Cakna Palestin untuk kegunaan 20 keluarga di situ. Terletak jauh ke dalam kampung dikelilingi sawah padi, ladang pinang dan sireh.

Terdapat beberapa buah khemah (rumah) pelarian Muslim Rohingya yang baru dibina di sini. Bahannya plastik hitam, buluh, ranting kayu dan tanah liat. Sekali pandang sudah cukup untuk menghidupkan kemanusiaan kita.

Kampung Pembagan di Ramu menjadi lokasi kedua. Kami agak lewat tiba ke lokasi, kerana jarak yang jauh,  namun mereka setia menanti.

Reaksi dan paparan wajah 50 orang penerima sumbangan pakej makanan itu menyerlahkan derita luka yang dalam, dibaluti kain, selendang dan burqa yang lusuh dan koyak.

Suara mereka perlahan, senyum yang tawar, mata mereka berkaca  memandang kami, senyap dan sunyi. Demikianlah mereka berterima kasih kepada kewajipan kita yang telah lama tertangguh. Maafkanlah kami wahai ibu ayah dan sanak saudara yang lama dijamah sengsara, kami terleka dibuai dunia kami sendiri.

Mereka semua baru dua bulan tiba dan menumpang di tanah penduduk kampung itu. Rasa bersalah segera menerpa kerana telah membuatkan mereka menanti begitu lama. Majlis sumbangan itu terpaksa dibuat di kawasan yang agak terpencil di atas kawasan berbukit, jauh daripada ramai lagi pelarian yang tidak terpilih sebagai penerima. Apakan daya, itu sahaja yang PASRelief mampu sediakan dalam misi kali ini di kampung itu. Nanti kami pasti kembali lagi.

Salah seorang penerima pada lewat petang itu ialah seorang hafiz al-Quran yang menceritakan pengalaman berjalan kaki selama tiga hari tiga malam dari Mangdaw di Arakan, merentasi bukit bukau dan sungai bersama keluarganya, akhirnya tiba di kampung itu. Beliau tidak lagi mampu menghadapi ancaman kematian dari kekejaman puak rakhine dan tentera kerajaan Myanmar. Rumah dan segala yang dimiliki di kampungnya hangus dibakar.

Insya-Allah, kami akan datang lagi, membawa secebis  kelegaan dari rakyat Malaysia. Kami sampai ke penginapan menjelang waktu Isyak.

Hari Kedua di Cox's Bazar

Pagi 5 April, kami menyusuri jalan-jalan kecil menuju perkampungan di pedalaman,  meninjau pembinaan telaga tiub kedua. Alhamdulillah, ia sudah memuntahkan air untuk kegunaan warganya, Muslim Rohingya.

Perjalanan diteruskan ke Madrasah Khalid Al-Walid, di Kurnia Palong, sebuah madrasah dan rumah anak yatim Rohingya. Ia diusahakan oleh Ustaz Mohamed Aayaz bersama jawatankuasa dari kalangan penduduk tempatan dan muhajirin Muslim Rohingya.

Madrasah Khalid al-WalidSelesai bertemu pelajar dan tenaga pengajar madrasah,  PASRelief menyampaikan bantuan makanan kepada 150 keluarga Muslim Rohingya yang tinggal di sekitar madrasah. 25 kilogram beras, 2 kilogram minyak masak, kacang dan bahan-bahan lain dibungkus dengan guni. Majlis terpaksa dicepatkan kerana dihidu oleh penduduk sekitar yang tidak terpilih sebagai penerima. Bimbang diserbu, kami pun beredar.  

Demikianlah realiti penyampaian bantuan makanan kepada pelarian Muslim Rohingya di mana-mana pun. Memilih penerima sentiasa membelah koyak hati penyusunnya.

Mereka semua sangat terdesak, semuanya setara, sama daif, sama-sama sedang menderita dan layak dibantu. Penghalang utama adalah bekalan yang sedikit berbanding keperluan sebenar. Harapan kami, teruskanlah menderma untuk menyantuni mereka pula.

Selain bekalan makanan, beberapa telaga tiub yang disumbangkan oleh PASRelief dan MAPIM sedang giat dibina di sekitar Kurnia Palong.

Perjalanan dilanjutkan lagi ke kampung yang tidak dapat dimasuki van, sebuah CNG (tut tut) digunakan untuk menyusuri jalan di batas sawah untuk melihat sebuah telaga tiub yang telah siap di sana.

Menuju Ke Teknaf,  pintu masuk muhajirin

Kerana waktu masih jauh menjelang malam,  kami memutuskan untuk ke Teknaf. Beberapa telaga tiub juga sedang dibina dalam kem pelarian Muslim Rohingya di sana.

Teknaf adalah lokasi paling hujung di 'tanjung' wilayah Bangladesh, lokasi utama kemasukan pelarian dari Arakan.

Hanya Sungai Naf memisahkan Bangladesh dengan Myanmar. Mangdaw adalah wilayah di Arakan, terletak di seberang sungai Naf. Sungai itu menjadi pelabuhan perikanan utama bagi Daerah Cox's Bazar. Terdapat bahagian daratan yang menyambung kedua-dua negara, di Teknaf dan Nila, di situlah pintu masuk pelarian dari Arakan.

Walaupun laluan itu dikawal sepanjang masa,  namun ada waktunya pengawal tidur dan alpa dengan helaian Taka,  lima atau enam keluarga akan menyeberang ke kem pelarian setiap hari.

Jumlah mereka yang terpaksa berhijrah semakin ramai. Sejak Oktober 2016, terdapat kemasukan lebih 70,000 pendatang dari Arakan ke Bangladesh yang dicatatkan, menjadikan jumlah mereka kepada 500,000 orang (setengah juta). Tidak menghairankan, dari Puthupalong ke Teknaf, kami terpaksa melepasi empat sekatan tentera dan polis Bangladesh.

Dari Puthupalong, melewati Balukhali di Ukhiya, di sebelah kanan sepanjang jalan, kelihatan ribuan khemah pelarian baru dibina berhimpit-himpit di lereng bukit dan tebing.  Bahannya sama, plastik hitam dan ranting-ranting buluh.  Penempatan pelarian yang berdaftar dan tidak berdaftar semakin bertambah setiap hari.

Pemandangan kami tersorot kepada 'tetamu tidak diundang' mengendong anak kecil dan menjinjing bungkusan di tangan. Dua tiga orang anak mengekori rapat di sisi dan di belakang, bergegas- gegas. Ia boleh dilihat sepanjang laluan. Tidak pasti ke mana arah tuju mereka itu. Berteduh dan bermalam di manakah mereka itu? Tiada siapa boleh menjawabnya. Semoga Allah menganugerahkan mereka kesabaran.

Terdapat juga kelompok-kelompok wanita tua, dengan bungkusan di sisi, bersimpuh di bawah pokok dan di dipinggir jalan, meninjau-ninjau arah untuk pergi. Ada yang terbaring di tanah, dibawah terik matahari. Makanan apa yang mereka jamah hari ini? Berapa lama sudah mereka terperosok dan berlapar di situ? Entahlah... Mereka itu Muslim Rohingya!

Selepas dua jam perjalanan, kami tidak dapat melepasi sekatan keempat (terakhir). Hanya 200 meter jaraknya dengan kem pelarian Teknaf. Tentera yang menyapa kami memaklumkan keadaan agak tegang di kem-kem pada waktu ini, dan kami dinasihatkan berpatah balik. Saya pula cemas terlupa passport.

Kami singgah menyaksikan Sungai Naf, pemisah dan laluan dagang dua negara.  Arakan nampak jelas di seberang sana.

Di sanalah kekejaman - genocide- pembunuhan, pemerkosaan, penyiksaan dan pembakaran ke atas Muslim Rohingya sedang bermaharajalela. Mereka diusir secara terancang, untuk membolot tanah dan wilayah.

Di seberang Sungai Naf ini, mereka tetap dijamah derita juga, bezanya adalah mereka bebas dari ancaman kematian yang menghambat, yang semakin dekat setiap saat, jika terus berada di kampung halaman sendiri. Hijrah mereka hanya untuk menyelamatkan nyawa, bukanlah untuk mencari kesenangan!

Zohor di Jadimura

Kehampaan tidak melepasi sekatan terakhir ke Teknaf terlerai di Kampung Jadimura. Sapaan saya kepada seorang jemaah tertua menjadi perbualan panjang. Semua jemaah zohor tengahari itu adalah pendatang dari Arakan.  

Warga emas berusia 83 tahun itu baru dua bulan tiba dari Arakan, menumpang di tanah penduduk tempatan.  Kampungnya di Arakan musnah sama sekali. Anak-anak kecil dicampak ke dalam api yang sedang marak, membaham rumah-rumah usang menjadi abu. Ibu-ibu diperkosa, dibunuh dan hangus bersama rumah yang dinyalakan.

Orang dewasa diikat, didera akhirnya tewas di hujung senjata tajam pengganas Rakhine. Warga emas seperti beliau melintasi sempadan berjalan kaki selama berhari-hari, menyelamatkan sisa umur di tanah seberang,  menumpang di tanah saudara seaqidah, sekadar apa yang ada.

Sewaktu meminta diri beredar, air mata membuak dari seorang warga emas berusia 78 tahun, benar-benar meruntun meluluhkan jiwa.

Setelah berbincang dengan imam dengan bantuan seorang penterjemah yang mampu berbahasa Melayu, kami menyerahkan USD500 (RM2,250 wang bekalan kecemasan kami) untuk mereka beli dan agihkan beras kepada 50 keluarga yang baru tiba di situ.

Jadimura nama kampung itu. Mereka semuanya adalah bapa-bapa kita, yang merenung wajah kita seperti anak-anak mereka yang baru pulang dari perantauan berpuluh tahun. Tiba-tiba ingin pergi semula. Dengan renungan itu, hati mana yang tega berpaling pergi begitu saja. Rezeki mereka rupanya datang dari Malaysia. Rasa lega di Jadimura mengubati rasa berdosa.

Bendang garam

Perjalanan pulang ke Cox's Bazar melintasi sawah-sawah (bendang) garam di kiri kanan jalan. Plastik-plastik hitam dihampar dipetak-petak sawah. Air masin dipam ke hamparan itu dan dijemur menjadi garam. Garam yang dikumpulkan berlori-lori banyaknya. Selain padi, pinang dan sireh dalam sektor tani, garam dan batu bata merah adalah industri mereka.

Rupa-rupanya, plastik hitam hamparan bendang garam itulah menjadi dinding dan atap khemah-khemah pelarian. Plastik-plastik yang telah koyak dijual di tepi jalan untuk dikitar semula menjadi 'istana' pelarian.

Kem Puthupalong menyimpan sejuta luka

Lokasi: Kem Puthupalong, Ukhiya Cox's Bazar.
Populasi: Lebih 80,000 orang
Jumlah keluarga: Lebih 16,000
Status tanah: Persendirian

Menyantuni anak-anak Rohinhya dalam surau yang dijadikan kelas belajar di Puthupalong
6 April 2017 adalah hari 'bertuah' bagi misi PASRelief. Kem-kem pelarian adalah kawasan larangan, sukar sekali menembusi pintu masuknya. Ia dikawal polis tanpa seragam, dipantau cawangan khas (SB) setiap masa. Alasan mereka ialah jika bantuan subur di situ, pandatang baru akan tumbuh membiak.

Alhamdulillah, kami berjaya masuk dan 'menikmati' sengsara penghuninya. Kem Puthupalong didiami lebih 80,000 pelarian di ladang mempelam dan sawah seluas-luas pandangan mata. Penghuninya kini mencecah lebih 16,000 keluarga sejak ia wujud. Sebelum wujud kem, mereka menumpang berselerak di kampung warga tempatan. Apabila krisis di Arakan memuncak,  Puthupong menjadi kem pelarian swasta.

Tanah ladang yang dilingkari laluan sepanjang 5 kilometer itu milik Encik Bakhtiar, warga tempatan yang bersimpati, merelakan ladangnya didiami pelarian. Di celah-celah pokok mempelam dibuat teres sebagai tapak khemah, berhimpit-himpit 16,000 keluarga tanpa sebarang kemudahan asas. Beliau sendiri yang mengendalikan kawasan berpenghuni padat serba kekurangan itu.  

Surau tempat solat dan kanak-kanak belajar terlalu sempit, padat sendat dibina dari sumbangan orang ramai. Sudah lama beliau berharap ia dapat diperbesarkan. Apabila ditanya berapa keperluan telaga tiub yang mencukupi sebagai sumber air minuman kepada warga kem. Spontan saja jawapannya, "Kami perlukan minimum 100 unit lagi telaga tiub".

Sebagai ganti kehilangan tanahnya, Bakhtiar mengenakan sewa tapak BDT200 (RM11) sebulan untuk sebuah kediaman, sebagai wang komitmen penghuni. Tidak ramai yang mampu membayarnya. Dia menanggung risiko 'kehilangan' tanah itu selama mereka tidak dapat pulang ke Arakan.

Dalam kepadatan itu yang semakin meningkat setiap hari itu, penghuni kem tidak dapat bekerja, ramai yang sedang sakit tanpa rawatan, ibu-ibu melahirkan bayi dalam khemah berlantai tanah.

Balu-balu bersama anak-anak kecil, anak-anak yatim yang menumpang keluarga lain, yang cacat, yang tercedera, warga tua - siang berpanas, malam bergelap - segelap pekat masa depan mereka. Makan minum hanya dari sumbangan pihak luar yang diuruskan oleh Bakhtiar. Berat mata memandang,  berat lagi bahu memikul.  

Pemilik hati tisu bisa lemas dalam air mata sendiri. Hanya yang melegakan mereka di kem ini adalah kebebasan daripada ancaman kehilangan nyawa di tangan pelampau rakhine dan tentera Myanmar. Derita selainnya adalah sama saja. Kemiskinan dan kelaparan seperti sudah tiada makna.  Wajah-wajah mereka hambar dan tawar, kering tandus daripada ceria dan gembira memendam sejuta luka.

PASRelief membina tiga telaga tiub dan bilik mandi wanita di sini selain menyampaikan 50 guni beras untuk 50 keluarga yang dipilih oleh Bakhtiar.  

Penghuni yang beratur di pintu masuk kem, menunggu di pintu setor IOM (International Organization For Migration), berdiri di sepanjang laluan bersama anak-anak, tepi di tepi jalan, mundar mandir tanpa tujuan-tidak mampu kami santuni.

Kami segera beredar sebaik selesai menyampaikan sumbangan, mengelak diserbu ribuan penghuni lain yang sedang kesempitan.

Hati yang luluh hanya mampu memanjatkan doa supaya gambaran ini sampai ke pintu hati para dermawan untuk menyumbang sebagai penawar derita mereka.

Kem Balukhali menanti kita bermurah hati

Penghuni: Lebih 22,000
Keluarga: 3,200 keluarga
Status tanah: Milik kerajaan

Kem Balukhali yang berbumbung plastik bekas garam

Kem Balukhali terletak beberapa kilometer sahaja daripada kem Puthupalong.  Semua penghuninya adalah muhajirin baru, memasuki Bangladesh selepas operasi genocide Myanmar pada Oktober 2016. Tidak ada sebarang kemudahan asas, hanya sebuah telaga tiub sedang dibina di lereng bukit. Bekalan air diambil dari telaga tiub lama di sebuah surau di kampung warga tempatan di hadapan kem.  

Sewaktu kami memasukinya,  terdapat agensi UNICEF sedang mengadakan klinik rawatan kepada ibu dan kanak-kanak di sebuah khemah. Sebuah khemah lagi seperti sedang membuat bancian.

Tiada surau atau khemah sebagai tempat belajar untuk kanak-kanak seperti di Puthupong.  Mereka berkeliaran sesama sendiri, mengangkut air, membantu keluarga membina khemah, berkubang dalam debu dan 'berkelahi'.

Rentapan tangan-tangan kecil untuk sebiji gula-gula.

Bekalan gula-gula dan buah yang kami beli semalam untuk menceriakan kanak-kanak diagihkan. Agihan gula-gula ini tiba-tiba bertukar menjadi pesta rebut merebut olak menolak, sambar menyambar, sehingga pijak memijak. Ia sangat mencemaskan! Anak-anak kita di rumah juga berebut,  tapi bukan seperti ini. Tidak pernah sampai ke tahap ini.

Saya berlari dan rebah di parit, mereka tetap mengejar dan menerkam. Saya memanjat tebing, supaya senang mengagihkan mereka di bawah,  mereka tetap memanjat mengekori, merentap kaki, tangan, pakaian, dan terus menyambar. Saya mendaki tebing yang lebih tinggi, mereka muncul pula di depan. Akhirnya tewas dengan serbuan itu, saya leparkan bungkusan gula-gula kepada seorang warga kem yang sedang berdiri di luar khemah bersama isterinya.  Dia pula diserbu.

'Ragutan di tangkai hati'

Ragutan gula-gula oleh tangan-tangan kecil yang keras dalam hela tangisan dan rengekan,  menusuk tepat kelubuk hati. Rentapan mereka bisa memutuskan tangkai nurani. Ia meremukkan jiwa, meruntun keinsanan. Tanpa segan silu, tanpa takut dan bimbang,  mereka menerkam.

Kanak-kanak yang lebih kecil dan rendah tenggelam lenyap dalam himpitan, tangan mereka terkapai-kapai ditepis tangan yang lebih tinggi. Belum sempat gula-gula di tangan kita sampai ke tangan kecil itu,  ia disambar hilang. Ia hanya sebiji gula-gula berperisa mangga.

Gambaran saya untuk pembaca: Senarionya lebih dahsyat daripada menyaksikan sekelompok ikan dalam takungan, melonjak melepasi permukaan air,  bernafas di daratan untuk merebut secebis roti.

Allahu Rabbi! Mungkin ini manisan pertama mereka dalam tempoh bertahun-tahun. Entahlah. Ragutan Balukhali akan diingati sampai mati.

Kem Balukhali menerima 100 pakej makanan untuk 100 keluarga daripada PASRelief. Dua buah telaga tiub PASRelief juga akan dibina di sini,  terlalu jauh daripada keperluan.

Kami mengidamkan sebuah bangunan sementara dibina untuk dijadikan tempat kanak-kanak belajar membaca, mengira dan mengaji al-Quran. Mereka jugak meminta surau untuk berjemaah di beberapa lokasi sekitar kem itu. Telaga tiub untuk sumber air minuman dan makanan adalah keperluan paling mendesak untuk terus hidup. Kami memohon diberi kekuatan oleh Allah SWT untuk kembali lagi ke sini,  merungkai derita 22 ribu penghuni Kem Balukhali.

Kami beredar dari Cox's Bazar menuju ke Cittagong menjelang tengahari, menempuh tujuh jam perjalanan dengan van. Selamat tinggal lembah penuh luka, medan yang telahpun padat dengan manusia,  ditambah pula kebanjiran muhajirin Rohingya.

Suasananya menjadi kelat dan pekat, murung dan mendung seperti tiada lagi perasaan untuk mendorong tangis mahupun katawa. Berkat kesabaran dan ketabahan mereka yang datang dan yang menerima seadanya, semoga Allah SWT menganugerahkan mereka syurga. – HARAKAHDAILY 9/4/2017

Catatan Misi Kemanusiaan PASRelief Ke Bangladesh 3-8 April 2017oleh Muhammad Sanusi Md Nor.

Telaga tiub

Agihan di Kampung Pembagan

Serahan sumbangan di Kg Jadimura unutk 50 pakej makanan keluarga

Ketua DMPP menyantuni warga emas Rohingya yang buta dan tidak mampu berjalan.

AMERIKA Syarikat (AS) memang selalu menggunakan alasan masalah dalaman sesebuah negara untuk mereka menyerang dan campur tangan dalam urusan negara lain.

Perangai sama saja sama ada Bush, Clinton, Obama atau Trump.

Adakah Trump boleh jamin 100% bahawa semua Missile Tomahawk yang dia hantar ke Syria jatuh di pangkalan tentera dan tak kena orang awam?

Pengalaman saya di Iraq menceritakan sebaliknya. Tomahawk yang Clinton kirim ke sebuah pangkalan tentera berhampiran Saddam Medical City kena di bangunan Hospital University Baghdad yang terletak dalam kawasan Saddam Medical City. Saya adalah saksi mata yang masih hidup. Hospital University Baghdad adalah tempat kami melakukan latihan praktikal.

AS adalah negara bapak pengganas. Keganasan tak boleh dibasmi dengan campur tangan pengganas. Saya sangat yakin bahawa campur tangan AS akan mengundang lebih banyak masalah dan tragedi kemanusiaan. Mereka kata Bashar guna senjata kimia. Mereka terlupa bagaimana bom berangkai yang mereka pernah jatuhkan ke Iraq memakan begitu ramai korban orang awam yang tak bersalah.

Lihatlah apa yang telah berlaku di Iraq. Orang Iraq yang berada di sekitar Kelantan dan selalu berkunjung ke klinik mula menyesali apa yang berlaku. "Kalaulah Saddam masih ada, bukan begini nasib kami..."

Dulu mereka ingat AS akan membebaskan mereka dari regim Saddam. Mereka ingat AS mari sebagai tentera pembebas dan pembela. Mereka ingat AS adalah polis dunia yang berperanan menjaga keamanan sejagat. Rupanya yang mari adalah pembunuh, perogol, perompak dan penjahat yang tiada bandingannya.

Hanya jalan penyelesaian sesama negara Islam adalah cahaya keluar yang terbaik bagi krisis Syria. Orang kafir terutamanya kafir harbi seumpama AS dan Russia tak pernah berniat baik kepada Islam dan ummat Islam. Kita jangan tertipu dan ditipu berulang kali. - HARAKAHDAILY 9/4/2017

KEPUTUSAN Amerika Syarikat (AS) memasukkan tokoh pejuang Palestin dalam senarai 'pengganas' dianggap sebagai permusuhan terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Keterangan ini disampaikan oleh jurucakap Hamas Fawzi Barhum memberi respons kepada kemasukan Ahmad Al-Ghandur "Abu Anas" dalam senarai 'pengganas' oleh AS.

Barhum menambah, penentangan Palestin bukanlah 'pengganas' namun hak legal menghadapi kejahatan Israel. Ini kerana Israel kerap membunuh, menangkap, mengusir, penyisihan, menistakan dan merosakkan rumah penduduk serta merosakkan habis tanah pertanian Palestin.
 
Hamas mengecam sikap AS itu namun mereka tidak akan gentar dalam meneruskan perjuangan menghadapi penjajah Israel, lapor portal Islampos.

Barhum menambah keputusan AS itu, justeru makin mendorong dan menyokong Israel menjadi semakin ganas terhadap warga Palestin.

Ahmad Al-Gandur Abu Anas adalah komander Al-Qassam untuk Jalur Gaza utara dan diburu Israel dengan dakwaan bertanggungjawab dalam penyanderaan Gilad Shalit dan sejumlah aksi serangan berani mati.
 
Dua kali Abu Anas menjadi sasaran usaha pembunuhan pada 2002 dan 2012. Beliau pernah ditahan Israel selama enam tahun.

PUSAT data statistik Kementerian Dalam Negeri di Gaza menyatakan bahawa sepanjang bulan Mac lalu sebanyak 3,850 bayi lahir di Semenanjung Gaza atau purata 124 bayi lahir di wilayah yang kini menghadapi sekatan Zionis Israel.

Daripada 3,850 bayi yang lahir itu, 51 peratus adalah laki-laki dan 49 peratus perempuan sedangkan jumlah yang meninggal dunia adalah 278 orang atau kira-kira 9 orang setiap hari.

Khan Yunis menjadi wilayah dengan jumlah kelahiran bayi paling banyak di Semenanjung Gaza iaitu 1,445 bayi sementara di pejabat pencatatan awam Gaza Utara (645), Gaza Tengah (514) dan Rafah (465).

Sedangkan data warga yang meninggal pada Mac adalah 47 peratus atau kira-kira 130 orang lelaki dan 53 peratus atau 148 wanita.

Jumlah ini jauh berkurangan jika dibandingkan dengan angka kelahiran pada Februari yang mencapai 4,140 bayi dan 393 meninggal dunia di Semenanjung Gaza. (Eramuslim)

INSTITUT Gatestone England telah mengeluarkan laporan yang cukup mengejutkan tentang penutupan gereja di ibu kota negara tersebut. Namun di sebalik penutupan gereja, pembangunan masjid terus berkembang dan seolah menggantikan gereja-gereja yang ditutup.

"London lebih Islamik berbanding Muslim di negara lain," kata Maulana Syed Raza Rizvi, salah seorang tokoh Islam yang kini memimpin apa yang disebut wartawan Melanie Phillips sebagai "Londonistan", lapor Beitbart, semalam.

"Pengganas tidak akan tahan dengan kepelbagaian budaya yang ada di London," ujar Datuk Bandar London Sadiq Khan yang juga seorang seorang Muslim semasa mengulas serangan 'keganasan' baru-baru ini di Westminster.

Fakta yang ada di lapangan membenarkan Islam terus berkembang di London, tepat ketika gereja-gereja mula ditinggalkan. Menurut laporan, "Londonistan" kini telah mempunyai 423 masjid baru, menggantikan 500 gereja yang telah ditutup.

Sebagai contoh, Gereja Hyatt United telah dibeli oleh masyarakat Mesir dan akan diubah menjadi masjid. Gereja St Peter telah diubah menjadi Masjid Madina. Masjid Brick Lane dibina di atas bekas Gereja Methodist.

Tak hanya bangunannya yang berubah, tetapi juga orangnya. Bilangan orang memeluk Islam di London dikhabarkan telah meningkat dua kali ganda.

The Daily Mail pernah menerbitkan foto-foto dari gereja dan sebuah masjid yang terletak hanya beberapa meter di tengah-tengah kota London. Di gereja San Giorgio, yang direka untuk menampung 1,230 jamaah, ternyata hanya diisi 12 orang yang berkumpul untuk merayakan Misa. Di gereja Santa Maria, juga hanya diisi oleh 20 orang.

Sedangkan Masjid Brune di Jalan Estate mempunyai masalah yang berbeza yakni 'kepadatan jamaah'. Masjid dengan bilik kecil dan hanya boleh mengandungi 100 orang, justeru jamaah sampai 'melimpah' dan tidak putus-putus hingga ke jalan-jalan untuk solat Jumaat.

Melihat trend yang terjadi ketika ini, Kristian di England tidak lama lagi hanya akan menjadi peninggalan, sementara Islam akan menjadi agama masa depan. Subhanallah. (Eramuslim)

PERDANA Menteri Turki, Binali Yildirim berkata, negara-negara Eropah merasa dengki dan tidak menginginkan perkembangan Turki. Pernyataan ini diungkapkan Yildirim dalam ucapannya di bandar Kars, Turki pada Jumaat lalu.

"Sesungguhnya Eropah tidak menginginkan perkembangan Turki. Bahkan mereka mahukan Turki terus disibukkan dengan permasalahan dalam negaranya, dan kehilangan kekuatannya. Hingga dengan begitu, mereka dapat melakukan apa-apa yang mereka suka," kata Yilldirim seperti dilansir dari trt net.

Berkaitan berbagai laporan negatif beberapa media Eropah mengenai Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, Yildirim menyebutnya sebagai bentuk kedengkian Eropah terhadap perkembangan dan kemajuan pembangunan di Turki.

"Di Eropah ada surat khabar dengan headlinenya berjudul 'kediktatoran Recep Tayyip Erdogan', kenapa? Kerana Presiden Erdogan tidak membiarkan kekayaan negara dirompak bangsa lain.

"Presiden Erdogan juga membina lapangan terbang terbesar di dunia, meningkatkan pendapatan negara, dan dalam perdagangan global, Turki menjadi negara dengan keuntungan paling besar," kata Yildirim.

Selain itu, Yildirim juga menuding negara-negara yang selama ini mengancam Presiden Turki.

"Setiap kita tahu, bahawa negara-negara yang mengancam Presiden Erdogan, bermakna mengancam Turki," katanya. [Islampos]

RIBUAN pelarian dipindahkan selepas pertempuran dahsyat antara puak pemberontak dan tentera kerajaan meletus sepanjang minggu lalu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, hampir 40,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak terjejas dan menjadi pelarian sejak minggu lalu.

Menurut Pegawai Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB, kebanyakan pelarian melarikan diri ke selatan dan barat bandar Hama sejak serangan pemberontak bermula.

Selain itu, daerah Homs, Latakia dan Tartous, turut dijadikan sasaran mereka melarikan diri.

Pemberontak yang diketuai Tahrir al-Sham ditubuhkan oleh sekumpulan yang pernah berjuang sebagai sekutu al-Qaeda di Syria dan melancarkan serangan pada 21 Mac.

Serangan tersebut adalah bertujuan untuk merampas kawasan yang telah diambil semula tentera kerajaan pada 2016.

Sekurang-kurangnya 10 kumpulan pemberontak terlibat dalam pertempuran sengit di utara Hama.

Selasa lalu, kumpulan pemberontak Ahrar al-Sham, yang dikatakan kumpulan paling kuat utara Syria, mengumumkan bahawa mereka juga telah memulakan serangan ke atas Hama.

Jurucakap tentera Ahrar al-Sham, Omar Khittab melalui video yang dimuatnaik ke media Youtube mengumumkan peringkat awal pertempuran menentang rejim jenayah kini sedang dilancarkan. (ulamasedunia)

PEMERINTAH Myanmar menolak keputusan PBB untuk menyiasat dakwaan pelanggaran hak asasi manusia (HAM) di negara itu bahagian Rakhine. Demikian menurut laporan media rasmi, kelmarin.

Dewan HAM PBB, Jumaat minggu lalu telah memutuskan untuk menghantar misi carian fakta antarabangsa ke negara Asia Tenggara itu. Para pencari fakta ini bertujuan untuk mengumpulkan "fakta-fakta dan keadaan" atas dugaan pelanggaran yang dilakukan oleh tentera dan pasukan keselamatan Myanmar, khususnya pelanggaran terhadap Muslim Rohingya.

Kementerian Luar Negeri Myanmar menyatakan bahawa pembentukan misi ini hanya akan membuat masalah lebih besar, bukan menyelesaikan masalah yang sudah ada pada masa ini. Demikian menurut laporan Anadolu Agency.

"Myanmar telah dipisahkan diri dari resolusi secara keseluruhan," kata kenyataan itu. Kenyataan itu juga menyatakan bahawa keputusan untuk menghantar misi carian fakta tidak sesuai dengan situasi yang kompleks dan mencabar di lapangan serta keadaan negara Myanmar.

Kerajaan Myanmar juga mengatakan akan menetapkan pelan tindakan yang jelas untuk pelaksanaan cadangan interim yang dibuat oleh Suruhanjaya Penasihat pimpinan Koffi Annan bekas Setiausaha Agung PBB di negara bahagian Rakhine minggu lalu. [Islampos]

PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan kira-kira 1.8 juta penduduk Nigeria terjejas ekoran krisis kebuluran terburuk yang melanda negara itu.

Selain itu, Yaman juga turut terjejas dengan jumlah keseluruhannya seramai lima juta orang, termasuk Somalia dan Timur Laut Nigeria, serta kawasan Selatan Sudan.

Demikian menurut agensi berita Al-Jazeera semasa melaporkan keadaan krisis tersebut.

Selain itu, badan sukarelawan “Red Cross” dalam masa sama memaklumkan bahawa hanya tiga bulan sahaja diperuntukkan untuk menyelamatkan kesemua mangsa terjejas.

Badan amal perubatan itu juga menyatakan pihaknya memerlukan kira-kira $300m untuk menyediakan bantuan kecemasan.

Tambah Al-Jazeera, Pengarah Operasi Red Cross, Dominik Stillhart memaklumkan dana tersebut adalah untuk memastikan bahawa lima daripada 20 juta orang berisiko kebuluran menerima bantuan segera.

“Makanan, air, tempat tinggal, dan penjagaan kesihatan diperlukan dengan segera. Kami menghulurkan bantuan ke semua empat buah negara.

“Kami menyaksikan penderitaan besar-besaran dihadapi mereka. Berjuta-juta penduduk telah dinafikan bantuan asas untuk terus hidup,” ujar Dominik Stillhart kepada Al-Jazeera.

Al-Jazeera menambah, awal Mac lalu, PBB telah mengumumkan lebih daripada 20 juta penduduk menghadapi kebuluran di empat negara tersebut dan mereka perlu meningkatkan sejumlah $4.4b dana menjelang Julai.

Memetik sumber sama, Al-Jazeera melaporkan kira-kira 300,000 orang mengalami kebuluran teruk di timur laut Nigeria.

PBB dan organisasi bantuan makanan menyatakan kebuluran tersebut melibatkan lebih daripada 30 peratus kanak-kanak di bawah umur lima tahun mengalami kekurangan zat makanan.

Manakala, kadar kematian adalah dua orang atau lebih bagi setiap 10,000 orang setiap hari.

Stillhart dalam masa sama menyeru masyarakat antarabangsa untuk sama-sama menangani krisis tersebut. (ulamasedunia)

TANGGAL 22 Mac 2004 ialah tarikh yang diingati oleh semua penyokong perjuangan pembebasan bumi Palestine. Jasad insan yang telah renta dibunuh dengan dasyat oleh regim zionist. Sosok pemberani yang inspiratif ini berkerusi roda, seolah mencium bau kesyahidannya, keluar daripada masjid yang berhampiran rumahnya pagi itu, bergegar dengan tembakan roket daripada helikopter musuh sehingga tercabik jasadnya. Wajahnya tersenyum dalam kubangan darah yang mewangi. Beliau ialah pendiri HAMAS dan seorang tokoh pejuang yang lama terpenjara dalam jeriji besi Israel.

Penentangan berdarah terhadap negara haram Israel tidak pernah berhenti kerana regim ini sentiasa dahagakan darah orang beriman seperti kes pembunuhan di Shabra dan Shatila, pembunuhan di Masjid Ibrahimi Hebron dan ratusan lagi kes pembunuhan kejam yang mewarnakan bumi ini dengan warna merah darah penindasan.

Dalam tahun-tahun 60-an dan 70-an perjuangan Israel lebih terarah kepada kelompok Sosialis dan Kebangsaan Arab yang sempit. Ternyata ideologi Barat ini tidak mampu untuk menggerunkan Israel yang hanya mampu memahami bahasa bom dan senapang. Kini sudah tiba masanya mereka kembali kepada perjuangan Islam seiring dengan kebangkitan Islam yang sedang bergelora di seluruh dunia.

Kembali kepada nuansa perjuangan yang berteraskan kepada Islam, berpandukan al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW, maka pada bulan Disember tahun 1987 Sheikh Ahmad Yasin bersama beberapa orang tokoh masyarakat (pendokong Ikhwanul Muslimin di Gaza) mengasaskan Pergerakan Kebangkitan Islam (HAMAS) atau dalam Bahasa Arab disebut Harakatul Muqawwamatil Islamiyyah.

Pertubuhan ini secara langsung membawa fikrah Ikhwanul Muslimin dan menyeru rakyat Palestin berjuang atas dasar Islam dan menentang penjajahan Yahudi di Palestin. Sheikh Ahmad Yasin sendiri dipilih sebagai pemimpin tertinggi dan beliau merupakan ideologue gerakan ini yang terkenal dengan sifat warak, berani, lantang berpidato, sedia berkorban dan mempunyai aura kepimpinan.

Ideologi perjuangan HAMAS dinyatakan di dalam perlembagaannya yang diisytiharkan pada 18 Ogos 1988. Antaranya ialah:
1.Dasar dan manhaj HAMAS ialah Islam yang lengkap.
2.HAMAS adalah gerakan kemanusiaan yang mengambil kira toleransi Islam yang membenarkan penganut agama lain tinggal bersama masyarakat Islam.
3.Palestin adalah tanah Islam sejak turun temurun hinggalah hari kiamat. Ia tidak boleh dibelah bahagi atau diserahkan kepada pihak lain. Ia bukan milik mana-mana individu, pertubuhan ataupun raja dan presiden Negara-negara Arab. Ia adalah milik Islam yang mesti dipertahankan.
4.Jihad menentang kezaliman Yahudi adalah fardhu ain ke atas setiap umat Islam lelaki dan perempuan. Dalam hal ini, wanita yang keluar berjihad tanpa izin suaminya adalah tidak berdosa.
5.HAMAS menolak usaha melengah-lengahkan kemenangan seperti perjanjian damai, persidangan-persidangan dan sebagainya. Hanya jihad sahaja jalan penyelesaian bagi isu Palestin.
6.Kelompok wanita memainkan peranan besar dalam perjuangan membebaskan bumi Palestin.
Mereka perlu berperanan melatih, mentarbiah dan mendidik serta melahirkan generasi yang faham Islam dan berakhlak mulia serta bersemangat tinggi untuk membebaskan tanahair mereka.
7.HAMAS menghormati pandangan gerakan-gerakan Islam yang lain selagi mana ia tidak bercanggah dengan Islam. Ia juga turut menganggap Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) pimpinan Yasir Arafat sebagai ‘sahabat’, tetapi menolak fahaman sekular gerakan itu.

HAMAS mempunyai sikap yang tegas terhadap penubuhan pemerintahan Islam, tanpa kompromi maka gerakan ini menolak perjanjian damai sementara antara Israel dan Palestin pada tahun 1993-1994. Mulai tahun 1994 HAMAS telah memulakan serangan berani mati terhadap Israel, fenomena ini menjadi igauan paling buruk bagi orang Yahudi. Dalam tahun 1996 sahaja empat serangan bom dalam musim bunga telah diadakan menyebabkan 60 orang penduduk Israel telah terbunuh.

Kebangkitan kedua Palestin selama empat tahun setengah telah menyaksikan seramai 3500 rakyat Palestin terbunuh dan 1000 penduduk Israel terkorban.

Dengan menubuhkan HAMAS, rakyat Palestin yang selama ini tanpa arah yang jelas mencari jalan perjuangan, kini bergabung tenaga melakukan satu kebangkitan menyeluruh atau lebih dikenali sebagai INTIFADHAH. (Ibnu Ismail: 2004).

Peristiwa yang menyebabkan tercetusnya kebangkitan (intifadhah) ini ialah tindakan sebuah lori besar milik Yahudi yang sengaja melanggar dua buah lori kecil milik umat Islam menyebabkan 4 orang terbunuh dan yang lain cedera. Peristiwa ini adalah faktor sementara bukan faktor mutlak, kerana terdapat faktor-faktor lain yang meransang fenomena ini.

Bermulalah intifadhah dan penentangan terbuka rakyat Palestin dengan melontar batu, membakar tayar di jalanan bagi menghalang kenderaan tentera Israel dan melempar Molotov Cocktail ke arah musuh. Rakyat Palestin gagal mendapatkan senjata api kerana sempadan negara ditutup dan dikawal ketat oleh pihak Israel dan Negara-negara Arab yang bersempadan namun gerakan HAMAS berjaya mendapatkannya secara sulit dan menyimpannya dalam gudang khas mereka seperti stor bawah tanah.

Bagi penduduk awam Palestin walaupun tidak memiliki senjata api, mereka keluar ke jalan-jalan raya melontar batu dan melastik pasukan tentera Yahudi. Bagi tentera Yahudi (dalam sejarah Yahudi adalah penakut, suka melakukan secara sembunyi: lihat kisah Rasulullah SAW dalam peristiwa Bani An-Nadhir pada bulan Rabiul Awwal tahun keempat hijrah), walaupun mereka tidak berhadapan dengan senjata api, namun batu-batu itu begitu menggerunkan mereka.

Kebangkitan rakyat Palestin sangat membimbangkan regim Israel. Pada bulan Ogos 1988, tentera Israel menceroboh rumah Sheikh Ahmad Yasin dan melakukan pemeriksaan serta mengugutnya untuk dibuang negeri ke Lubnan bagi mengganggu kebangkitan umat Islam. Namun ugutan itu tidak diendahkan Sheikh Ahmad Yasin dan penyokongnya yang mendambakan mati syahid sebagai citra perjuangan. HAMAS telah meningkatkan operasi membunuh tentera pengganas Israel dengan laungan takbir yang semakin meriah sahut-menyahut di bumi Palestin. Mata-mata Israel dari kalangan bangsa Arab Palestin turut dibunuh oleh pejuang HAMAS yang menganggap mereka sebagai musuh paling merbahaya bagi rakyat Palestin.

HAMAS terus gagah berdada dengan kezaliman regim zionis serta mendapat dokongan kuat ummah.
Pimpinan mereka ramai yang telah menjadi syuhada seperti Sheikh Ahmad Yasin, Solah Syahadah, Dr Abdul Aziz Rantisi, Dr Nizar Abdul Kader Rayyan dan yang lain-lain. Harakah Islam yang berkubu di Gaza ini kini mencapai usia 28 tahun dan mempunyai hubungan akrab dengan seluruh gerakan Islam termasuk PAS. Nuansa perjuangannya jelas, akidah Islam mestilah menunjangi perjuangan dan tiada noktah henti sehinggalah dimerdekakan setiap inci tanah Palestin yang dijarah Zionis semenjak tahun 1948. – HARAKAHDAILY 22/3/2017

PADA Hari Perhutanan Sedunia 21 Mac ini, 200 pertubuhan mengingatkan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Sedunia (Food and Agriculture Organisation - FAO) bahawa definisi hutannya sejak 1948 mengelirukan dan mestilah ditukar. Definisinya membolehkan industri perladangan menyembunyikan kesan buruk ekologi dan sosial daripada perladangan pokok monokultur berskala besar di sebalik imej hutan yang positif.  
 
Definisi hutan FAO membolehkan industri perladangan memanggil ladang monokultur yang menggunakan spesies cepat membesar seperti eucalyptus, pain, getah atau akasia sebagai “hutan” kerana definisi hutannya hanya dengan bilangan, ketinggian dan sudur yang melindungi pokok di sesuatu kawasan. Definisi hutan FAO digunakan sebagai rangka tindakan bagi lebih 200 definisi hutan di peringkat antarabangsa dan kebangsaan sejak 1948.
 
Atas nama definisi hutan FAO ini, pihak industri mampu untuk berkembang dengan pantas terutama sekali di dunia Selatan, di mana ladang pokok monokultur kini meliputi beberapa puluh juta hektar tanah. Pengembangan ini membawa bencana kepada komuniti luar bandar, petani  dan Orang Asal. Mereka kehilangan tanah dan kehidupan di mana ladang pokok monokultur telah mengambil tanah mereka, memusnahkan cara hidup mereka, mengeringkan sungai dan mata air mereka dan meracuni makanan mereka dengan racun pertanian.
 
“Hampir 70 tahun, definisi hutan FAO yang mengelirukan ini memberikan kelebihan kepada industri perladangan. Mereka menyembunyikan kemusnahan yang disebabkan apabila kepelbagaian hutan, padang rumput dan tanah gambut yang kaya dengan kehidupan ditukar menjadi ‘gurun hijau’ yang terdiri daripada pokok monoklonal dalam barisan yang lurus di sebalik imej hutan positif yang disediakan oleh FAO,” kata Winfridus Overbeek, Penyelaras Antarabangsa World Rainforest Movement.
 
Perbahasan pemulihan hutan sebagai perlindungan iklim menambahkan lagi pentingnya definisi hutan diperbetulkan
 
“Dengan menerima pakai Perjanjian Paris PBB mengenai perubahan iklim, menyemak semula definisi hutan FAO semakin penting,” kata Guadalupe Rodriguez dari Salva la Selva/Rettet den Regenwald, “ia merupakan satu tragedi jika definisi FAO yang mengelirukan ini membolehkan pengembangan monokultur pokok yang memusnahkan ini untuk dana iklim yang diperuntukkan bagi “perhutanan semula” dan “pemulihan hutan”.

Ini bukan hanya menjejaskan lebih banyak komuniti di mana perladangan pokok mengambil alih tanah yang digunakan oleh penduduk tetapi juga menjejaskan perlindungan iklim: Hutan yang kaya dengan karbon akan musnah dan digantikan dengan ladang pokok monokultur dengan negara mendakwa menurut definisi hutan FAO, tiada kawasan hutan yang hilang walaupun berlaku kehilangan karbon yang besar,kemusnahan biodiversiti, sumber air dan kehidupan tempatan apabila hutan digantikan dengan perladangan monokultur.
 
Satu contoh di mana perladangan dikelirukan sebagai hutan yang membolehkan industri perladangan membuka jalan untuk mendapatkan dana iklim ialah ‘African Forests Restoration Initiative” (AFR100). Dilancarkan di mesyuarat iklim PBB 2015, ia mensasarkan untuk meliputi 100 juta hektar yang dianggap oleh kerajaan Afrika yang turut serta dalam mesyuarat itu sebagai tanah “merosot”. Bank Dunia akan memperuntukkan AS$1 billion untuk rancangan ini dan bergantung kepada definisi hutan FAO untuk kelayakan mendapatkan pembiayaan itu.
 
Memeranjatkan, satu daripada syarikat perladangan pokok paling kontroversi yang beroperasi di Afrika, Green Resources yang berpangkalan di Norway (2), antara pembicara utama di persidangan 2016 di Ghana, di mana pelaksanaan inisiatif AFR100 adalah paling menonjol kepada agenda itu.
 
Tema Hari Perhutanan Sedunia FAO 2017 ‘Hutan & Tenaga’ menunjukkan tindakan segera perlu untuk menukar definisi hutan
 
“Permintaan tenaga tidak lestari negara perindustrian ditambah dengan keperluan tenaga baharu ‘boleh diperbaharui’ mereka telah pun menukar hutan dunia Selatan kepada industri ladang ‘biomass’. Perkataan ‘ladang’ tidak muncul sekali pun dalam “mesej utama” laman sesawang FAO untuk Hari Perhutanan Sedunia 2017,” kata Wally Menne dari Timberwatch Coalition, Afrika Selatan. Contohnya, untuk menyediakan semua keperluan tenaga United Kingdom melaluibiomass berasaskan eucalyptus memerlukan kira-kira 55 juta hektar ladang di Brazil – keluasan kawasannya dua kali ganda saiz United Kingdom.     
          
200 kumpulan hari ini turut serta lebih daripada 130 ribu kumpulan dan individu yang menggesa FAO pada 2015 supaya mengubah definisi hutan FAO kerana perladangan pokok bukan hutan.
 
“Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM), turut menandatangani surat terbuka ini kepada FAO.” kata S.M. Mohamed Idris, Presiden CAP dan SAM. – HARAKAHDAILY 21/3/2017