SEMALAM, 13 April 2018, jam 3.14 petang, saya telah membuat laporan polis terhadap Bishop of Melaka Johor Diocese, Rt. Rev. Bernard Paul, di Balai Polis Changlun, Kedah ekoran Bishop’s Circular No: BP/2018/015 yang beliau edarkan pada 11 April 2018.

Laporan polis serupa terhadap Rt. Rev. Bernard Paul juga telah dibuat oleh seorang pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) bernama Prof Madya Dr Shafaai Musa di Balai Polis Simpang Ampat, Melaka, ekoran pengedaran Bishop’s Circular itu.

Asas laporan polis ini adalah bahawa hebahan rasmi Rt. Rev. Bernard Paul ini memenuhi kriteria menghasut yang terangkum dalam Seksyen 3(1) Akta Hasutan 1948 kerana ia cenderung mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja atau kerajaan. Membangkitkan rakyat supaya cuba mendapatkan perubahan, dengan apa-apa cara selain cara yang sah. Mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap pentadbiran keadilan dan menimbulkan perasaan tidak puas hati atau tidak setia di kalangan rakyat.

Ini terkandung di dalam hebahan rasmi Rt. Rev. Bernard Paul yang berbunyi seperti berikut:

“Dahulu kita telah membebaskan diri kita dari pemerintahan penjajah; sekarang kita sedang bertungkus-lumus untuk membebaskan diri kita dari “kayu-kayu mati” yang menindas, melemahkan semangat, yang berbohong dengan diri mereka, bahawa mereka “mendahulukan rakyat””.

“Tidak ada kerajaan dan pemerintahan yang bersih; tidak ada pilihan raya yang bersih; tidak ada institusi yang bersih; tidak ada penguatkuasa undang-undang yang bersih; tidak ada pengurusan kewangan dan sumber yang bersih; tidak ada pemimpin bersih yang boleh dipercayai.”

“Perhatikan peningkatan rasuah dan skandal; Institusi-institusi yang gagal seperti kehakiman, SPRM, sistem pendidikan; pertambahan hutang-hutang asing; ahli-ahli politik pemecah-belah; dan lain-lain.”

Hebahan rasmi Rt. Rev. Bernard Paul ini merbahaya kerana kedudukan tinggi beliau di dalam Institusi agama Kristian di mana hebahan rasmi ini disebarkan secara meluas kepada rakyat, khususnya penganut agama Kristian. 

Pada pandangan kami, walaupun tujuan tersurat hebahan rasmi ini, dan satu lagi hebahan rasmi beliau, iaitu Bishop’s Circular No: BP/2018/014 yang mengarahkan semua “Parishes and religious houses” untuk berdoa supaya tuhan campur tangan dan supaya berlaku perubahan dalam PRU 14, adalah bagi menggesa penganut agama Kristian supaya menukar kerajaan dalam PRU 14.

Tetapi retorik-retorik terlalu keras yang beliau gunakan dengan mengibaratkan perjuangan membebaskan diri dari kerajaan sekarang sama seperti perjuangan membebaskan diri dari pemerintahan penjajah. Serta dengan menyifatkan semua institusi yang ada dalam negara, termasuk pilihan raya, sebagai tidak bersih dan gagal boleh membakar semangat penganut agama Kristian untuk membenci, tidak puas hati dan tidak setia terhadap kerajaan dan semua Institusi yang ada dalam negara seterusnya boleh mendorong mereka supaya turut cuba mendapatkan perubahan dengan apa-apa cara selain cara yang sah.

Begitu juga dengan gesaan yang terkandung di dalam hebahan rasmi ini supaya penganut agama Kristian bersama-sama membina Kerajaan Tuhan yang selari dengan gesaan sama yang terkandung di dalam tulisan-tulisan pemimpin DAP seperti Hannah Yeoh dan pemimpin PKR seperti Baru Bian serta oleh penceramah evangelis dalam dan luar negara lain yang dilihat bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan serta boleh mendatangkan keresahan di kalangan penganut agama Islam.

Perkara ini sangat perlu dipandang serius sebelum merebak menjadi lebih besar lagi kerana nada sama juga turut terdapat di dalam hebahan gereja lain di Malaysia ini.

Sebagai contohnya, The Diocese of West Malaysia, Anglican Church, juga telah menggesa penganut agama Kristian supaya berdoa bahawa tahun 2018, yang merupakan tahun berlangsungnya PRU, akan menjadi tahun perubahan dan tahun di mana penganut agama Kristian akan meletakkan tuhan mereka di tempat yang betul. Begitu juga dengan doa supaya The Diocese of West Malaysia, Diocese of Singapore, The Diocese of Sarawak dan Diocese of Sabah bekerja bersama-sama untuk mengembangkan Kerajaan Tuhan.

Sudah tentulah bahasa yang digunakan di dalam hebahan ini adalah bahasa yang berlapik. Tetapi apakah kita mahu supaya hebahan ini sama dengan hebahan di dalam satu laman web luar negara, iaitu Prayercast, yang menyeru penganut agama Kristian supaya berdoa agar “Orang-orang Melayu akan diKristiankan di negara mereka dan di luar negara” (“For the Malay people to be evangelized both at home and abroad”), baru tindakan hendak diambil? - HARAKAHDAILY 14/4/2018

PADA Dialog Rakyat anjuran Kongres Rakyat Terengganu, himpunan 60 NGO berpengaruh dari seluruh Terengganu sebulan yang lalu, ada seorang wakil dari kalangan persatuan penggerak seni bertanya adakah sebaik menang PAS akan menghapuskan kegiatan seni di bumi Terengganu?

Ia dijawab dengan baik oleh pemimpin PAS bahawa bukan sifat kepimpinan PAS untuk bertindak gopoh dalam hal-hal melibatkan kepentingan rakyat sementelah lagi bila melibatkan nasib kehidupan rakyat.

Saya mempunyai pandangan peribadi yang insya Allah selari jalur pemikiran kepimpinan yang lain. Pendidikan dan pentarbiyahan adalah dalam cabang utama pembentukan modal insan yang akan menjadi pasak, tiang seri negeri dan negara yang kuat.

Sebarang proses perubahan akan dengan perundingan, penglibatan semua aktivis seni, Jabatan Mufti yang memberi panduan dan fokus utama bagaimana kegiatan seni dan budaya boleh dipacu dan dikembangkan lagi supaya ia menjadi nilai tambah yang besar dalam menonjolkan Terengganu Darul Iman yang mempunyai karakter budaya yang unik, menarik.

Fokus sangat perlu kepada bagaimana penggiat seni boleh merasa terbela dalam perjuangan dan minat mereka, profesion yang punya karier masa depan berkembang maju, jadi sumber rezeki.

Negara-negara Islam dalam lipatan sejarah ketamadunannya adalah penyumbang besar kepada kekayaan seni budaya di peringkat dunia. Tak kiralah Turki, atau Iran, mereka punya perancangan berstrategik melalui penglibatan karyawan dan seniman mereka. Memenangi pelbagai anugerah penerbitan-penerbitan dan karya-karya ulung yang terbaik di pentas dunia melalui aplikasi teknologi dan inovasi pemasaran strategik yang memberi nilai tambah.

Saya rasa rakyat tidak perlu khuatir soal seperti panggung wayang, karaoke, pusat snooker, bowling, sukan permotoran, busker , seniman jalanan.

Ini masa kita memikirkan bagaimana rakyat boleh menikmati itu semua dalam masa yang sama tanggungjawab kerajaan memimpin rakyat menjadi insan yang mempunyai akhlak dan perilaku yang baik. Bagi yang beragama Islam, mempunyai garis panduan agar tidak tergelincir hingga terjadi perkara yang merugi dan merosakkan rakyat itu sendiri hingga akhirnya negeri juga yang rugi.

Misalnya kerajaan boleh memikirkan insentif cukai dan dorongan tertentu bagi pusat-pusat hiburan seperti karaoke agar memperkembang konsep rekreasi sekeluarga, family bonding, Islamik, boleh anak nyanyi lagu yang diajar di sekolah sambil diapresiasi oleh adik-beradiknya dan ibu bapa, suasana yang lebih terbuka dan tidak gelap ala "kelab malam" seperti kebanyakan yang ada sekarang.

Saya fikir kita kena mulakan pemahaman asas bahawa asal semua perkara hukumnya 'harus', iaitulah dibolehkan dalam Islam. Tidak ada salahnya. Ia menjadi 'haram' dengan sebab adanya unsur-unsur yang melanggar larangan Allah S.W.T.

Maka itu tumpuan kita, bagaimana kita memperbaiki ini. Ada yang mudah dibetulkan. Ada yang ambil masa yang lama melibatkan formulasi pilihan-pilihan yang lain yang perlukan perlu tenaga profesional dan pakar yang membantu.

Saya ingin rakyat negeri ini baik Islamnya dalam masa yang sama punya karakter yang positif, ceria, kreatif, periang, punya personaliti yang bervariasi dan ciri peribadi yang kaya nilai budi, luas pergaulan, pengalaman, pengetahuan tentang dunia kelilingnya.

Masa hadapan tiada salahnya kita ada taman tema air, pusat bermain roller blade dan macam-macam. Tetapi dengan rakyat kita, Islamnya grade A1!

HJ AHMAD AMZAD HASHIM
14 April 2018 - HARAKAHDAILY 14/4/2018

PAS buat sekian kalinya membawa tawaran buat seluruh rakyat Malaysia. Jauh sebelum pilihan raya lagi, PAS komited membawa perubahan kepada Malaysia yang sejahtera melalui:

●      Budaya Politik Matang dan Sejahtera - merubah fahaman lampau kepada fahaman bahawa politik adalah sebahagian dari agama. Berpolitik dengan hujah dan penyelesaian.

●     Dokumen Hijau - pelan cadangan kepada permasalahan ekonomi negara seperti GST, hutang negara, kadar inflasi.

●     Wawasan Induk Negara Sejahtera - WINS, rangka pembentukan negara sehingga 2051.

Ini adalah tawaran PAS jauh sebelum pilihan raya dan PAS komited dalam membentuk negara Malaysia yang sejahtera mengikut acuan Islam.

PAS yakin penyelesaian sebenar dalam menyelesaikan masalah negara adalah melalui acuan Islam. Islam maknanya selamat

MUHAMMAD AFIQ MHD KHAZAR 
Ketua Penerangan PAS Sarawak - HARAKAHDAILY 13/4/2018

PENDAHULUAN

Sejurus setelah Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli bin Mohamad al-Bakri, mengeluarkan fatwa berkenaan hukum asal mengundi calon bukan Islam di dalam pilihan raya adalah harus, cybertrooper Muslim daripada PAN dan PKR mula menudingkan jari dan menghalakan fatwa itu ditujukan kepada PAS.

PAS dilabelkan sebagai gagal memahami nas dalam kerangka Maqasid Syariah, berfikiran cetek, jumud dan tidak selari dengan fatwa mendalam yang dikeluarkan oleh SS Mufti Wilayah.

Semuanya kerana PAS telah memutuskan sebarang kerjasama dengan Parti DAP atau parti-parti yang ada hubungan kerjasama dengan DAP.

Sebenarnya fatwa itu bukan menyatakan wajib mengundi calon bukan Islam. Ia adalah harus dengan beberapa syarat yang perlu dipenuhi.

Menghuraikan salah faham

Salah faham ini berlaku kerana cybertrooper Muslim daripada PAN dan PKR beranggapan bahawa semua non-Muslim di negara kita adalah penyokong DAP.

DAP adalah non-Muslim. Dan non-Muslim adalah DAP. Inilah titik tolak kepada segala salah faham ini.

Sebenarnya, masyarakat bukan Islam di negara kita memilih pelbagai wadah politik bagi menyuarakan hak dan kehendak mereka. Bukan memilih DAP sahaja. Dan ada juga yang masuk PKR. Ramai juga yang lebih senang bergiat dalam NGO berbanding terlibat langsung dalam parti-parti politik. Ada juga yang bersikap tidak memihak.

Jika kita dapat memahami hakikat ini, mudahlah untuk kita faham bahawa PAS hanya memutuskan hubungannya dengan DAP. Bukan dengan keseluruhan masyarakat non-Muslim.

PAS menyatakan ia sedia bekerjasama dengan parti politik, NGO atau tokoh non-Muslim yang tidak bersama DAP dan tidak memusuhi agenda PAS memartabatkan perundangan syariat di negara kita.

Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP)

Lebih daripada itu, PAS mempunyai sayap bukan Islamnya sendiri iaitu DHPP. Ahli-ahli Dewan ini adalah bukan Islam daripada pelbagai agama dan anutan. Tetapi mereka melihat penyelesaian secara Islam yang diterajui oleh PAS adalah amat tepat, bersesuaian dengan masyarakat majmuk dan sangat terbuka. Justeru memberi faedah dan manfaat kepada semua warganegara, sama ada Islam atau bukan Islam.

DHPP memberi penerangan kepada bukan Islam bahawa PAS tidak seperti Umno yang berteraskan ideologi berteraskan bangsa semata-mata, bahkan teras PAS adalah Islam. Islam pula adalah bersifat universal, tidak menzalimi dan adil untuk semua.

DHPP menerangkan aspek kebaikan pelaksanaan Hukum Hudud di Kelantan dan Terengganu. Betapa Hukum Hudud hanya terhad untuk orang Islam sahaja. Golongan bukan Islam pula tidak terlibat dengan pelaksanaan Hukum Hudud itu. Mereka bebas mengikut Undang-undang Jenayah sedia ada.

Dengan itu, bolehlah dikatakan bahawa anggota DHPP memenuhi semua syarat yang digariskan oleh SS Mufti Wilayah bagi mengharuskan mereka diundi di dalam sesebuah pilihan raya.

Oleh kerana itulah, Presiden PAS telah membayangkan kemungkinan meletakkan calon DHPP mewakili PAS di kawasan-kawasan yang sesuai.

Kenapa dulu PAS pernah bekerjasama dengan DAP? 

Ya, dulu PAS pernah bekerjasama dengan DAP. Sebabnya PAS dan DAP sama-sama bersetuju menjatuhkan kerajaan BN yang penuh dengan skandal, penyelewengan dan salah guna kuasa. PAS dan DAP juga bersolidariti dengan DS Anwar Ibrahim yang dizalimi dan diaibkan dengan dahsyatnya oleh rejim Tun Mahathir.

Bahkan DAP juga bersetuju agar Hudud dilaksanakan di Kelantan dengan syarat ia tidak melibatkan bukan Islam. Dasar DAP ketika itu sehingga memberi peluang kepada pimpinan PAS untuk berdialog dengan golongan bukan Islam di dalam majlis-majlis anjuran mereka mengenai Qisas, Hudud dan Takzir.

Hubungan baik itu sehingga ada pimpinan DAP memetik ayat al-Quran dalam ceramah-ceramah umum mereka dan juga dalam ucapan mereka di Parlimen.

Apa masalah dengan DAP sekarang? 

DAP pada hari ini sudah berubah. Mereka memusuhi PAS daripada segenap segi. Bahkan mereka memusuhi hak umat Islam untuk beramal dengan Syariat Islam sepenuhnya.

DAP beberapa kali memutuskan hubungan dengan PAS gara-gara dasar mereka yang berubah tentang Hukum Hudud. DAP Sarawak memutuskan hubungan dengan PAS ketika Pilihan Raya Negeri Sarawak. Walaupun ketika itu PAS dan DAP masih sebagai komponen Pakatan Rakyat.

Ini disebabkan oleh kerana DAP bimbang kerjasama dengan PAS menyebabkan DAP bakal kehilangan undi di dalam pilihan raya itu, kerana musuh politiknya di Sarawak akan mengaitkan DAP dengan menyokong Hudud.

Agenda hukuman jenayah berkaitan Hudud, Qisas dan Takzir ditolak dengan bersungguh-sungguh oleh DAP. Sekejap kerana kerana mahu mengekalkan Malaysia yang 'Sekular' mengikut kefahaman mereka. Sekejap kerana 'kononnya' memperjuangkan hak golongan bukan Islam.

DAP juga bermati-matian tidak bersetuju dengan agenda PAS untuk memperkasakan Undang-undang dan Mahkamah Syariah melalui usul persendirian RUU355. Usul yang turut disokong oleh SS Mufti Wilayah Persekutuan.

Beberapa perubahan dasar DAP yang lain terhadap PAS 

Selain Hudud, YAB Lim Guan Eng selaku Setiausaha Agung DAP secara terang-terang dalam ucapannya menunjukkan sokongan terbuka kepada pimpinan PAS tertentu yang sanggup berkompromi dengan dasar baru DAP itu. Dia juga sehingga mengisytiharkan putus hubungan dengan Presiden PAS, tetapi tidak putus hubungan dengan PAS. Ini sangat melampau dan tidak beretika.

DAP juga pernah cuba menguasai Pakatan Rakyat suatu ketika dahulu dan kini sedang menguasai PH. DAP tegas untuk memandulkan sebarang usaha membina semula negara dengan mengikut acuan Islam yang syumul. Usaha DAP ini turut disokong kuat oleh beberapa pimpinan PKR, PAN, Umno, MCA dan Gerakan.

DAP akhir-akhir ini seperti Umno juga, menyerang Kerajaan Kelantan bertubi-tubi dengan pelbagai fitnah dan persepsi yang sangat buruk dan negatif. Walhal Kerajaan Kelantan adalah sifar rasuah dan mendapat pelbagai anugerah 'Good governance' oleh pelbagai badan profesional yang diiktiraf. Dengan itu dasar PAS terhadap DAP pun berubah. Tidak susah untuk memahaminya.

Penutup

PAS mengalu-alukan fatwa seperti fatwa SS Mufti Wilayah yang cermat, mendalam, mudah difahami dan diselitkan dengan perbahasan dalil secara ringkas dan tuntas.

Menariknya, PAS sudah lama mengamalkan sikap yang bertepatan dengan hukum yang disuarakan oleh Sahibus Samahah dalam fatwa terbarunya ini Bayan Lin Nas Siri ke-129.

Sepatutnya semua parti politik menjadikan fatwa itu sebagai panduan dalam berurusan dengan golongan bukan Islam dalam politik negara kita. Golongan bukan Islam pula wajar sekali memerhatikan fatwa itu sebagai panduan berurusan dengan masyarakat Islam secara harmoni di negara kita.

Sedikit tambahan, PAS turut juga mengambil kira faktor majoriti penduduk kawasan yang ditandingi, sama ada Muslim atau non-Muslim lebih ramai. Turut diambil kira ialah faktor tradisi pertandingan melibatkan Muslim atau bukan Muslim di kawasan 50-50. Dan beberapa pertimbangan terhadap faktor-faktor lain.

ZAKARIA ISMAIL
AJK PAS Kawasan Marang
13 April 2018 - HARAKAHDAILY 13/4/2018

KUALA LUMPUR: PAS mensasarkan untuk memerintah Malaysia dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kali ini.

“Sasaran kita adalah kita nak memerintah Malaysia.

“Berapa kerusi, tunggu dan lihat kerana kita bertanding pada PRU kali ini kalau dulu kita isytiharkan 130, tunggulah pada 19 April ini kita akan isytiharkan berapa kerusi kita akan bertanding bukan hanya oleh PAS tapi oleh rakan-rakan dalam gabungan Gagasan Sejahtera,” tegas Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Dato’ Dr Khairuddin Aman Razali At-Takiri dalam temuramah beliau bersama Hijau.fm, semalam.

Menurutnya, kerusi-kerusi yang ingin ditandingi oleh PAS adalah kerusi-kerusi majoriti Melayu Islam yang mana pertembungannya adalah antara PAS dengan Umno.

“Siapa yang dapat menguasai undi Melayu Islam maka dia boleh jadi raja. Kalau Umno menang sebelum ini 80 kerusi boleh jadi raja, maka tidak pelik PAS boleh menjadi raja menggantikan Umno jika menang sekurang-kurangnya 88 kerusi seperti Umno sekarang,” ujar beliau menerangkan peluang PAS dalam PRU14.

Beliau sebelum itu menyatakan bahawa PAS mensasarkan sekurang-kurangnya 40 kerusi Parlimen untuk dimenangi pada PRU14.

“Kita meletakkan sasaran 40 kerusi paling minima maknanya minima itu kalau tak ada satu parti boleh bentuk kerajaan,” kata beliau lagi.

"Tentu dia akan mengalami satu keadaan akan datang dipanggil ‘hung parliament’, parlimen yang tergantung memerlukan kerjasama semua pihak dan kerjasama semua pihak untuk bentuk negara adalah sesuatu yang baik, dia akan meredakan pertembungan dan dia akan bawa kebaikan kepada rakyat,” ujar beliau menerangkan kemungkinan keadaan kerusi parlimen selepas PRU14. – HARAKAHDAILY 13/4/2018

SEJURUS Dato’ Seri Tuan Guru Presiden PAS mengisytiharkan calon PAS bagi P.082 Parlimen Indera Mahkota dan saya dinamakan sebagai calon tersebut, maka seperti biasa pro dan kontra mula berkumandang.

Saya positif. Justeru saya bukanlah makhluk yang sempurna. Apa yang ada pada saya hanyalah kesungguhan dan kemahuan berjuang untuk mencari kesempurnaan hidup bersama penghayatan Islam.

Paling popular, serangan peribadi yang dihala kepada saya ialah Tantawi lari dari Temerloh. Mencari tempat selamat!

Sebelum ini telah berlegar khabar angin mengatakan saya akan lari ke Kelantan untuk mencari tempat selamat setelah Temerloh dikatakan tergugat.

Terdapat beberapa perkara yang perlu saya jelaskan supaya insan yang punya pengamatan yang teliti serta sanubari yang tenang dapat memahami dengan baik dan tidak melemparkan tohmahan yang bukan-bukan.

i) keputusan bertanding dalam PAS, bukan dibuat oleh calon. Sebaliknya proses mencadangkan calon ditentukan oleh kawasan, kemudian diangkat ke pihak Badan Perhubungan PAS Negeri dan seterusnya dimuktamadkan oleh PAS Pusat setelah kelayakannya diluluskan oleh Majlis Syura Ulamak. Ertinya, saya tidak berautoriti untuk menentukan tempat saya bertanding.

ii) isu mahu lari ke Kelantan tidak berbangkit. Pertama kerana faktor - (i) dan kedua, ia langsung tidak berbangkit di peringkat PAS Kelantan dan Pusat justeru Kelantan telah memiliki set kepimpinan layak dan wibawa mereka yang telah dipersetujui.

iii) mahu cari tempat selamat? PRU ke-14 pada pengamatan kami, setelah melihat senario pertandingan 3 penjuru atau lebih adalah memberi peluang terbuka kepada semua parti bertanding untuk menang. Lantaran itu, dalam misi memburu kemenangan, kami sasarkan lebih 130 kerusi dan semuanya untuk dimenangi. Maka pandangan kami, tiada istilah kerusi selamat atau kerusi bahaya.

iv) meskipun saya diposisikan oleh parti untuk bertanding di Indera Mahkota, maka hikmahnya ialah saya kembali ke kawasan saya sendiri. Sementara Temerloh, insya Allah ada pengganti yang saya percaya lebih wibawa berbanding saya. Juga dari tokoh yang menetap dalam kawasan Temerloh itu sendiri. (Bakal diumumkan 19 April 2018 ini)

Saya tidak menjangkakan Indera Mahkota lebih ‘selamat; berbanding Temerloh untuk saya meninggalkannya atas faktor ‘kerusi selamat’. Tambahan pula PAS bakal berdepan dengan tokoh-tokoh hebat dari parti saingan di Indera Mahkota.

Bahkan ada yang mengkategorikan saya sebagai calon underdog di Indera Mahkota. Segalanya saya serah kepada Allah swt dalam menentukan natijah (keputusan) dari segala tindakan yang diambil.

Temerloh diserahkan kepada calon yang lebih baik. Insya Allah beliau mampu menggalas tugas dan tanggungjawab dengan lebih berkesan apabila PAS menampilkan calon pemastautin di bumi Temerloh sendiri.

Segala kelemahan dan kekurangan akan diperbaiki. Sementara apa yang baik tentu sahaja akan diteruskan apabila PAS mengambil langkah positif dan tegas dengan meletak calon yang berwibawa, bukan sahaja di Temerloh tetapi juga di seluruh negara.

Jika kamu berjuang menegakkan kebenaran bagai yang diajar oleh Allah swt. Nescaya Allah swt akan memberi pertolongan dan kemenangan kepada kamu dan menetapkan pendirian kamu di atas kebenaran yang diperjuangkan. - HARAKAHDAILY 13/4/2018

UNDI PAS dapat apa?

Tanya balik undi Umno dapat apa?

Mungkin mereka jawab dapat BR1M, jalan raya, elektrik, air, hospital.

Kena jawab balik ini bukan duit Umno, ini duit kerajaan. Kena beza kerajaan dengan Umno. Umno itu parti bukan kerajaan.

Kalau PAS perintah pun, rakyat akan dapat juga. Wang ini daripada duit kerajaan, bukan duit PAS.

Jangan perasan bantuan yang diberi kepada rakyat itu duit Umno, itu duit rakyat yang dipungut oleh kerajaan melalui cukai, antaranya GST.

Kalau duit Umno, bantuan akan dikeluarkan oleh bendahari Umno,

Sebab itu semua bantuan melalui Pejabat Daerah, Majlis Kerajaan Tempatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Baitul Mal dan lain-lain lagi bukan kena pergi ambil di pejabat Umno.

Kalau PAS memerintah pun, pejabat daerah, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pegawai yang sama juga bertugas. Pegawai tidak dibuang, kerana mereka bukan pegawai Umno, mereka pegawai kerajaan Malaysia.

Gaji mereka bukan dibayar oleh pejabat Umno, tetapi oleh kerajaan Malaysia.

Sama juga kerajaan PAS di Kelantan, segala bantuan dan projek pembangunan datang daripada kerajaan, bukan daripada parti PAS.

Contohnya skim Kifalah di Kelantan sebanyak RM1,500 diberi kepada waris yang meninggal, bukan duit PAS tetapi wang Kerajaan Kelantan.

Walaupun Kelantan dituduh miskin, tetapi Kerajaan Kelantan memperuntukkan sebanyak RM8 juta setahun untuk skim Kifalah. Inilah kerajaan yang dituduh miskin tetapi hendak pastikan rakyat senang.

Jom Sejahtera Bersama Islam, Undi PAS dan Gagasan Sejahtera

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS
12 April 2018 – HARAKAHDAILY 12/4/2018

JIKALAU kekanda mengangkat peti, pastikan benar muatnya barang; Jikalau Pemuda bersatu hati, kerja yang sukar menjadi senang.”

Sebelum ini kita sibuk berteka-teki, “Parlimen dijangka bubar esok hari”.

Kini setelah Parlimen dibubarkan, sibuk pula kita berteka-teki, “Adakah PAS boleh menang esok hari”.

Dalam tempoh kritikal ini, Pemuda PAS sangat memerlukan watak yang mahu dan tahu untuk bekerja. Rebutlah peluang untuk menjadi ‘pekerja’, dan janganlah kita sibuk menjadi ‘peramal’ nasib di kemudian hari. Tugasan di peringkat JPRU, JPRD, dan JPRK terlalu banyak, masa yang ada sangat singkat, namun semuanya dapat diselesaikan jika wujud kerjasama yang erat.

Di samping itu, dianggarkan lebih 51 peratus anak muda masih belum membuat keputusan untuk menyokong kerajaan ataupun pembangkang. Selain faktor parti, pengundi bawah 40 tahun cenderung untuk melihat kualiti calon dan menilai manifesto yang dijanji.

Dalam aspek ini, Pemuda PAS perlu menjadi ‘pendakwah’ yang mendekatkan, bukannya ‘penghukum’ yang menjauhkan. Setiap anak muda yang kita temui, adalah potensi yang perlu didekati. Santuni mereka dengan senyuman dan salam, dan rancakkan program sentuh pengundi di hotspot anak muda. Kuasai media sosial dan interaksi di lapangan, kerana tugas kita adalah untuk menarik sokongan, khususnya pengundi muda yang belum ada keputusan.

Selain itu, letakkan diri kita di posisi ‘pendukung’ perjuangan, sebagaimana yang diungkapkan di dalam Surah As-Soff, dan elakkan menjadi watak ‘pengkritik’ yang tidak berkesudahan. Pastinya di sana banyak persiapan awal yang terlepas pandang, namun jangan menuding jari mencari kesalahan, tetapi jadilah watak yang menyelesaikan bagi menampung kekurangan.

Di sinilah pentingnya seluruh Pemuda PAS untuk mengambil posisi pekerja, pendakwah dan pendukung dalam tempoh kritikal ini. Biarlah pihak lain yang mengambil watak Pak Belalang, penghukum dan pengkritik ketika kita mara ke hadapan.

Kemuncaknya pada 9 Mei 2018, pastikan kita memimpin seluruh anak muda untuk keluar mengundi. Kita tidak mahu situasi yang sama berulang di mana, ‘pemimpin yang tidak baik’ terus berkuasa apabila ‘rakyat yang baik’ tidak keluar mengundi.

PRU14 adalah masa yang dinanti, untuk meletakkan impian dan strategi dalam bentuk realiti.

#MalaysiaSejahtera
#UP

Muhammad Khalil Abdul Hadi
Ketua Pemuda PAS Malaysia
12 April 2018 – HARAAHDAILY 12/4/2018

PARTI-parti lain selain PAS adalah penganut ideologi-ideologi tertentu. Kerana itu mereka boleh berubah-ubah dengan mudah. Walaupun perkara yang berkaitan dasar parti masing-masing.

Demi mencapai cita-cita kemenangan mereka boleh sahaja berubah 24 kali dalam masa sehari semalam. Namun PAS bukan seperti mereka. PAS adalah sebuah parti yang berdiri di atas akidah yang sudah ditetapkan Allah.

Kalaupun berubah hanya dalam soal-soal pendekatan dan uslub dakwah. Itu pun tidak dibolehkan secara bebas tanpa diselaraskan dengan kehendak-kehendak syarak. Jika menyentuh soal-soal akidah, PAS tidak akan bertolak ansur:

"Kamu agama kamu dan aku agama aku"

(al-Kafirun: 6)

Kalimat akidah inilah yang diibaratkan oleh Allah di dalam al-Quran sebagai sepohon pokok yang kukuh. Akarnya tertanam jauh ke dasar bumi dan pucuknya merendang menyentuh awan. Sungguh puas hati berada dalam jamaah yang teguh dan kukuh ini.

Ideologi adalah suatu yang sangat rapuh. Kerana ianya bukan suatu yang fitrah. Hanya sebuah idealisma yang digarap oleh akal manusia untuk satu-satu keperluan dan kepentingan. Adakalanya untuk kepentingan peribadi atau kumpulan.

Lenin, penganut tegar Komunisme yang menafikan kewujudan tuhan pernah berkata di saat terlalu sakit:

"Jika tuhan benar-benar tidak ada, manusia perlu mencipta tuhan agar hati mereka tenang dan lapang"

Akhirnya Komunisme yang dikawal rapi oleh kuasa politik negara tabir besi itu runtuh dalam usia 70-an.

PAS mengajak manusia seluruhnya kembali kepada akidah fitrah. PAS bukan hanya mahu rakyat Malaysia ini mengundi PAS, tetapi lebih jauh dari itu ialah kembali kepada iman yang hakiki. Bernaung di bawah teduhan iman dan memetik lazatnya hidup di halaman syariat yang adil.

PAS bukan hanya menawarkan manifesto, tetapi lebih jauh dari itu PAS menawarkan wahyu Allah iaitu al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W.

Bekerjalah wahai abnau'l harakah. Setiap langkah kita adalah ibadah dan jihad. Setiap titisan peluh adalah ibadah dan setiap apa yang kita belanjakan di jalan ini demi menyeru manusia seluruhnya kepada Allah adalah jihad. Kita akan memetik ganjarannya di sana.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja 
PAS Pusat - HARAKAHDAILY 12/4/2018

HENDAKLAH kita sedar bahawa slogan:

●     Umno: Islam wasathiyyah

●     PAN: Islam progresif dan rahmatan lil 'alamin

Semua itu menepati kata Saidina Ali:

كلمة حق أريد بها الباطل

"Kata-kata yang benar dengan tujuan mencapai kebatilan"

Selagi namanya sekular, maka selama itulah mereka tidak akan membantu memartabatkan Islam. PAS sedang berdepan dengan parti-parti sekular yang kelihatan banyak wajah tetapi hatinya sama. Iaitu berhasrat membunuh Syariat Islam.

Ayuh kita turun berkempen sepenuhnya. Selamatkan umat daripada kezaliman Umno dan kebatilan PH. Kalau mereka sanggup tidak tidur malam hanya kerana mencari sedikit upah bagi tuan-tuan yang bercita-cita menyekat kemaraan Islam. Maka kita juga akan berjaga malam, mengorbankan harta dan masa serta tenaga untuk memastikan kemenangan Islam dan meraih keredhaan Allah.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat - HARAKAHDAILY 12/4/2018

DR WONG CHIN HUAT adalah strategis terkemuka DAP yang mengetuai Program Kajian Politik di Penang Institute, sebuah badan pemikir besar yang didanai oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang dan yang dipengerusikan sendiri oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Kepakaran Dr Wong Chin Huat adalah dalam bidang pilihan raya di mana tesis PhD beliau yang diserahkan kepada University of Essex pada Ogos 2011 adalah bertajuk “The Implications of the Electoral System for Party Competition in West Malaysia, 1982-2004”.

Di dalam tesis PhD beliau ini, Dr Wong Chin Huat di antara lainnya menyatakan bahawa kemungkinan untuk pembangkang berkuasa di peringkat Pusat adalah hampir tiada (next to zero) kerana faktor “excessive gerrymandering and mal-apportionment of constituencies”.

Semalam Dr Wong Chin Huat mengakui bahawa beliau meragui adanya Tsunami Melayu (doubtful of a Malay Tsunami) dan menyebut tidak ada apa-apa bukti meyakinkan mengenai adanya Tsunami Melayu (there hasn’t been any conclusive evidence of a Malay Tsunami).

Kata Dr Wong Chin Huat, dengan persempadanan semula yang meningkatkan bilangan kerusi majoriti Melayu dan bilangan pengundi Melayu dalam kawasan campuran, hanya pengundi bukan Melayu sahaja yang boleh mengekalkan kedudukan Pakatan Harapan (PH).

Kata Dr Wong Chin Huat lagi, berdasarkan hasil persempadanan semula dan ketidakpastian Tsunami Melayu ini, jangkaan selamat boleh dibuat bahawa PH tidak mempunyai peluang langsung untuk menang tanpa 85 peratus pengundi keluar mengundi.

Lebih menarik lagi ialah jangkaan Dr Wong Chin Huat bahawa, selepas kalah, parti-parti di dalam PH akan menyalahkan satu sama lain atas kehilangan PAS dengan PKR, PPBM dan PAN akan menjadi lebih pro-Melayu dan lebih menyokong agenda PAS.

Paling menarik sekali ialah jangkaan Dr Wong Chin Huat bahawa tindakan DAP meninggalkan Gagasan Rakyat pada tahun 1995, meninggalkan Barisan Alternatif pada tahun 2001 dan meninggalkan Pakatan Rakyat pada tahun 2015 akan berulang lagi selepas ini.

Kata Dr Wong Chin Huat, sama seperti alasan yang ia gunakan sewaktu meninggalkan Gagasan Rakyat, Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat, “DAP mungkin akan terpaksa meninggalkan pakatan pembangkang bagi menjaga tapak sekular dan bukan Islamnya”.

Sesatunya perkara yang menggembirakan Dr Wong Chin Huat ialah kerana tindakan SPR memilih hari pengundian pada hari bekerja, iaitu hari Rabu, yang kononnya merupakan pengakuan tersirat Datuk Seri Najib Abdul Razak mengenai adanya Tsunami Melayu.

Sungguh melucukan bila saintis politik seperti Dr Wong Chin Huat boleh menyatakan beliau menolak dapatan kaji selidik yang dibuat oleh semua pusat kaji selidik mengenai tiadanya Tsunami Melayu semata-mata kerana pemilihan hari Rabu sebagai hari pengundian.

Logik yang Dr Wong Chin Huat gunakan ialah bila hari Rabu dipilih sebagai hari pengundian maka Datuk Seri Najib Abdul Razak mahu menghalang pengundi Melayu dari keluar mengundi menyebabkan kebimbangan mengenai Tsunami Melayu akan hilang.

Logik ini, bagi saya, adalah logik yang cukup bodoh sekali, apatah lagi bila selepas tulisan Dr Wong Chin Huat ini dikeluarkan kerajaan telah mengumumkan hari pengundian adalah hari cuti bagi memudahkan semua pengundi, termasuk pengundi Melayu, keluar mengundi.

Inilah rahmat dari pemilihan hari Rabu sebagai hari pengundian, ia secara tiba-tiba membuatkan strategis terkemuka DAP sendiri mengakui Tun Dr Mahathir gagal bawa Tsunami Melayu, PH akan kalah dan DAP akan tinggalkan PH. - HARAKAHDAILY 12/4/2018

KEMPEN PRU14 yang menjadikan media baru atau alam maya sebagai medan tempur bukan lesen bebas para 'Keyboard Warrior' menyebar berita palsu dan menabur fitnah. Matlamat kemenangan tetap tidak menghalalkan semua kaedah dan cara dilakukan sewenangnya.

Amalan 'real politic' Machievelli perlu dihindari ke arah usaha memastikan perjalanan PRU jauh dari perkara tidak diingini. Bahkan kini warganegara juga diikat oleh undang-undang yakni Akta Antiberita Tidak Benar yang baru diluluskan Parlimen tempoh hari.

Ia bukan sahaja panduan untuk bijak menerima maklumat, tetapi setiap isu dan informasi perlu dikaji selidik kebenarannya untuk dipercayai dan disebarkan. Ianya petunjuk kepada jati diri, maruah, estetika, tamadun serta kematangan dan kesejahteraan berpolitik.

Sehubungan itu, kempen masing-masing parti politik haruslah membudayakan usaha mengangkat komitmen, tawaran dan pemahaman kepada awam secara menerang dan bukannya menyerang. Parti politik harus mendidik rakyat dengan politik kebenaran, bukan kepalsuan.

"Sejahtera Bersama Islam"
"Mara Menuju Cita"
"Sedia Memerintah"

ABD QAHAR SYAMS
Pemangku Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak - HARAKAHDAILY 11/4/2018