FEQAH Aulawiyyat bermaksud memilih keutamaan daripada beberapa pendekatan, apabila tidak ada pilihan yang lain melainkan memilih yang lebih membawa maslahah (yang terbaik dari segi kebaikan atau manfaat) dalam perkara agama dan dunia, di antara perkara-perkara yang disenaraikan semuanya baik.

Begitu juga dalam aspek menolak keburukan dengan memilih yang lebih ringan keburukan atau kurang mudaratnya, apabila tidak ada cara yang lain dalam perkara yang disenaraikan.

Mendahulukan sesuatu daripada dua aspek tersebut tanpa mengabai atau memandang remeh-temeh terhadap perkara yang dikemudiankan dengan berusaha melaksanakan semuanya dalam perkara yang mendatangkan kebaikan atau menolak semuanya dalam perkara yang buruk apabila keadaan dan kemampuannya berubah.

Contohnya dalam perkara yang disenaraikan dharuriyyat (keperluan) dalam kehidupan manusia, iaitu: menjaga agama, nyawa, akal, maruah, zuriat dan harta. Maka, hendaklah diutamakan mengikut tertib senarainya, sama ada dari aspek memilih yang terbaik atau yang paling kurang mudarat dan keburukannya.

Pendekatan ini membezakan Islam dengan ajaran yang lain, sama ada yang bersifat agama atau ideologi, kerana Islam meletakkan kewajipan menjaga agama dan mempertahankannya mendahului daripada yang lain.

Feqah Aulawiyyat berdalilkan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. Adapun daripada Al-Quran, firman Allah:

﴿أَجَعَلْتُمْ سِقَايَةَ الْحَاجِّ وَعِمَارَةَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ كَمَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَجَاهَدَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ لَا يَسْتَوُونَ عِنْدَ اللَّهِ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ١٩﴾ [التوبة: 19]

“Adakah kamu anggap hanya perbuatan (kebajikan) memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan haji dan memakmurkan Masjid Al-Haram (Makkah) itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Sebenarnya tidak sama di sisi Allah, dan Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim” (Surah At-Taubah: 19)

Sebab turunnya ayat ini bagi menjawab kebanggaan kalangan masyarakat jahiliah Makkah yang menentang Islam, kerana mereka juga melakukan amalan kebajikan tersebut pada zaman jahiliah yang dikira juga sebagai kerja amal kebajikan. Namun pada masa sama, mereka menentang Islam dan penganutnya.

Ayat ini menunjukkan keutamaan mereka yang menjaga iman terlebih dahulu dengan mempertahankan Islam, menegakkannya sehingga berhijrah meninggalkan Makkah adalah lebih besar fadhilatnya dan hendaklah diutamakan daripada menjaga Masjid Makkah dan melayan jamaah haji pada zaman jahiliah tanpa beriman.

Firman Allah:

﴿وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ كَذَلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَى رَبِّهِمْ مَرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُمْ بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ١٠٨﴾ [الأنعام: 108]

“Dan janganlah kamu cerca atau menghina benda-benda yang mereka sembah yang lain daripada Allah, kerana mereka kelak akan mencerca atau menghina Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat mereka kembali, lalu ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan” (Surah Al-An’am: 108)

Ayat ini pula menunjukkan bahawa akibat mencela Allah lebih besar keburukannya daripada akibat mencela tuhan-tuhan yang lain daripada Allah yang sangat sesat itu. Maka hendaklah diutamakan menolak tindak balas mereka yang mencela Allah dengan sebab mencela tuhan-tuhan mereka, walaupun syirik menyembah selain daripada Allah adalah dosa paling besar yang wajib dicegah.
Tindakan mencela Allah oleh mereka yang telah syirik menjadikan keadaan lebih buruk, apabila mereka bertindak balas terhadap celaan tuhan selain daripada Allah sehingga menyebabkan mereka mencela Allah dan menjadikannya lebih sesat.

Begitu juga Rasulullah S.A.W menghalang para sahabatnya bertindak lebih keras terhadap golongan munafiq yang berkeliaran di Madinah, walaupun mereka menjadi musuh dalam selimut yang sangat berbahaya. Al-Quran menegaskan:

﴿يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ جَاهِدِ الْكُفَّارَ وَالْمُنَافِقِينَ وَاغْلُظْ عَلَيْهِمْ وَمَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ وَبِئْسَ الْمَصِيرُ٩﴾ [التحريم: 9]

“Wahai Nabi! Berjihadlah (menentang) orang-orang kafir dan orang-orang munafik, serta bertindak keras terhadap mereka. Dan (sebenarnya) tempat mereka ialah Neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali” (Surah At-Tahrim: 9)

Namun, langkah menentang secara berhujah hendaklah didahulukan dan tindakan keras pula boleh menyebabkan fitnah yang lebih buruk terhadap Islam kerana pada zahirnya mereka mengaku Islam dan boleh dituduhnya bahawa orang Islam bertindak terhadap saudaranya sendiri. Maka memberi peluang mereka bergaul dalam masyarakat Islam lebih baik dari segi berdakwah dan peluang mereka bertaubat. Rasulullah S.A.W bersabda:

فَوَاللهِ لأَنْ يَهْدِيَ اللهُ بِكَ رَجُلًا وَاحِدًا خَيْرٌ لَكَ مِنْ أَنْ يَكُونَ لَكَ حُمْرُ النَّعَمِ. (متفقٌ عَلَيْهِ)

“Demi Allah! Kejayaanmu menjadikan seseorang itu mendapat hidayah (masuk Islam) lebih baik daripada kenderaan yang paling mahal harganya” (Muttafaqun ‘alaih)

Pesanan Rasulullah S.A.W kepada sahabatnya Muaz bin Jabal R.A yang diutuskan ke Negeri Yaman juga menjadi contoh Feqah Aulawiyyat:

فَعَنْ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمَّا أَرَادَ أَنْ يَبْعَثَ مُعَاذًا إِلَى الْيَمَنِ, قَالَ: كَيْفَ تَقْضِي إِذَا عَرَضَ لَكَ قَضَاءٌ, قَالَ: أَقْضِي بِكِتَابِ اللَّهِ, قَالَ: فَإِنْ لَمْ تَجِدْ فِي كِتَابِ اللَّهِ, قَالَ: فَبِسُنَّةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ, قَالَ: فَإِنْ لَمْ تَجِدْ فِي سُنَّةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلَا فِي كِتَابِ اللَّهِ, قَالَ: أَجْتَهِدُ رَأْيِي وَلَا آلُو فَضَرَبَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَدْرَهُ, وَقَالَ: الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي وَفَّقَ رَسُولَ رَسُولِ اللَّهِ لِمَا يُرْضِي رَسُولَ اللَّه . (أخرجه أبو داود في سننه)

“Daripada Muaz bin Jabal R.A. (menceritakan). Apabila Rasulullah S.A.W mahu menghantarnya bertugas ke Negeri Yaman, Baginda S.A.W bersabda kepadanya: “Bagaimana kamu melaksanakan hukum sekiranya dilantik menjadi hakim?”. Muaz menjawab: “Saya menghukum dengan Kitab Allah (Al-Quran)”. Baginda bertanya lagi: “Sekiranya kamu tidak dapat daripada Kitab Allah?”. Muaz menjawab: “Dengan Sunnah Rasulullah”. Baginda bertanya lagi: “Sekiranya tidak ada daripada Sunnah Rasulullah?”. Muaz menjawab: “Saya berijtihad dengan pendapat saya dan saya tidak sekali-kali menyimpang (daripada dasar umum dalam Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah)”. Rasulullah S.A.W. menepuk dadanya dan bersabda: “Alhamdulillah (Bersyukur kepada Allah) yang telah memberi petunjuk kepada utusan Rasul dengan apa yang diredai oleh Rasulullah” (Riwayat Abu Daud)

Dalil menunjukkan keutamaan diberi kepada Al-Quran terlebih dahulu daripada Sunnah (Hadis) dan ijtihad dalam perkara yang tidak ada nas atau apabila nas bersifat umum atau mengandungi makna yang banyak.

Rasulullah S.A.W juga mengajar Muaz bin Jabal R.A berdakwah di Yaman mengikut keutamaan dengan bersabda:

إنك ستأتي قومًا أهل كتاب، فإذا جئتَهم فادعهم إلى أن يشهدوا أن لا إله إلا الله وأن محمدًا رسول الله، فإن هم أطاعوا لك بذلك فأخبرهم أن الله قد فرض عليهم خمس صلوات في كل يوم وليلة، فإن هم أطاعوا لك بذلك فأخبرهم أن الله قد فرض عليهم صدقة تؤخذ من أغنيائهم فتُرَدُّ على فقرائهم، فإن هم أطاعوا لك بذلك فإياك وكرائمَ أموالهم، واتقِ دعوة المظلوم؛ فإنه ليس بينه وبين الله حجابٌ. متفق عليه

“Kamu akan datang (ke sana) menemui ahli Kitab (penganut agama samawi Yahudi dan Kristian). Apabila kamu datang kepada mereka (mulakan) kepada mengajak mereka mengaku dan percaya bahawa tidak ada Tuhan yang sebenar melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu Rasul Allah (masuk Islam). Jika mereka mentaatinya (masuk Islam), ceritakan bahawa Allah mewajibkan kepada mereka sembahyang lima waktu setiap hari dan malamnya. Setelah mereka mentaatinya, ceritakan kepada mereka bahawa Allah mewajibkan sedekah (zakat) diambil daripada orang-orang yang kaya di kalangan mereka supaya dibahagikan kepada mereka yang fakir (memerlukan bantuan). Jangan sekali-kali mengambil harta mereka sewenang-wenang (secara zalim), takutlah kepada doa orang yang dizalimi, kerana tidak ada halangan di antaranya dengan Allah (doanya diperkenankan).” (Muttafaqun ‘alaih)

Di sini menunjukkan supaya mendahulukan keutamaan menerima Islam sebelum dinyatakan perkara-perkara lain yang diwajibkan terhadap mereka daripada ibadat dan harta, serta jangan berlaku zalim walaupun terhadap penganut bukan Islam, kerana keutamaan menunjukkan Islam adil terhadap semua.

Rasulullah S.A.W melaksanakan Feqah Aulawiyyat dalam aspek politik melalui Perjanjian Hudaibiyyah, apabila menangguhkan umrah yang hukumnya wajib muwassa’ (pelaksanaannya diluaskan masa sehingga boleh ditangguh) dengan melaksanakan wajib mudhayyak (masanya yang terhad perlu diambil dengan segera), kerana perdamaian daripada Hudaibiyyah itu memberi peluang yang perlu tindakan segera, menyebabkan kepesatan perkembangan Islam di masa damai dan mengambil peluang menyusun kekuatan yang lebih baik.

Maka langkah membina kekuatan Islam hendaklah diutamakan tanpa menghabiskan masa dalam pertelingkahan perkara cabang dan kesalahan sampingan, atau diutamakan menolak mudarat yang lebih besar dengan bersedia menghadapi mudarat yang lebih ringan daripadanya.

Kepatuhan dan kesetiaan para sahabat yang tidak selesa dengan Perjanjian Hudaibiyyah, kerana melihat apa yang tersurat tanpa memahami hikmah yang tersirat. Menunjukkan betapa kematangan pemimpin yang memilih keputusan hendaklah dihormati, ditaati dan terus berwala’ (setia) dalam menghadapi apa sahaja cabaran yang mendatang. Perlunya ketegasan pemimpin membuat keputusan yang lebih baik, jangan kalah dengan kalangan pengikut yang tidak memahami bagaimana meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Rasulullah S.A.W pada awalnya bertahaluf dengan kabilah-kabilah Yahudi di Madinah, kemudian membatalkannya kerana mereka mencabuli perjanjian ketika kepungan tentera Ahzab. Tiba-tiba, Rasulullah S.A.W bertahaluf dan memberi naungan kepada kabilah Musyrikin seperti Khuzaah dan lain-lain di bawah Perjanjian Hudaibiyyah. Walaupun Yahudi adalah kalangan ahli Kitab, tetapi pencabulan mereka terhadap perjanjian lebih besar bahayanya. Menunjukkan betapa pelaksanaan Feqah Aulawiyyah dalam strategi politik dipraktikkan.

Firman Allah kepada Nabi Musa A.S dan Nabi Harun A.S ketika menghadap Firaun yang zalim dan menangani pengikutnya dalam kalangan Bani Israel yang jahil dan bebal:

﴿قَالَ قَدْ أُجِيبَتْ دَعْوَتُكُمَا فَاسْتَقِيمَا وَلَا تَتَّبِعَانِّ سَبِيلَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ٨٩﴾ [يونس: 89]

“Allah berfirman: "Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua (Wahai Musa dan Harun); oleh itu hendaklah kamu tetap (menjalankan perintah-Ku seterusnya) dengan beristiqamah, dan janganlah kamu menurut jalan orang-orang yang tidak mengetahui" (Surah Yunus: 89)

Firman Allah kepada umat Nabi Muhammad S.A.W:

﴿وَإِذَا جَاءَهُمْ أَمْرٌ مِنَ الْأَمْنِ أَوِ الْخَوْفِ أَذَاعُوا بِهِ وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَى الرَّسُولِ وَإِلَى أُولِي الْأَمْرِ مِنْهُمْ لَعَلِمَهُ الَّذِينَ يَسْتَنْبِطُونَهُ مِنْهُمْ وَلَوْ لَا فَضْلُ اللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ لَاتَّبَعْتُمُ الشَّيْطَانَ إِلَّا قَلِيلًا٨٣﴾ [النساء: 83]

“Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (para pemimpin dan para ulama yang mengendalikan urusan dan hukum ) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka; dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihan-Nya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu)” (Surah An-Nisa’: 83)

Menunjukkan bahawa keputusan memilih Aulawiyyat diserahkan kepada mereka yang berilmu dan berpengetahuan yang lebih faham perjalanannya, serta menangani perubahan dengan beristiqamah bersama Islam, petunjuk sepanjang zaman yang tidak boleh diseret sehingga sesat dan tidak jumud sehingga dihancurkan.

Keadaan politik dan masyarakat yang berubah mewajibkan PAS berijtihad berlandaskan hukum Islam dengan berhikmah berkonsepkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 16 Zulhijjah 1439 / 28 Ogos 2018 - HARAKAHDAILY 28/8/2018

PADA abad yang lalu dilaporkan cerita kerakusan serangan barat dan timur yang mengibarkan bendera salib dan sabit terhadap umat Islam dan tanah airnya dengan serangan bersenjata yang bertubi-tubi, membunuh manusia dan menghanguskan buminya.

Khilafah dijatuhkan sehingga dijajah keseluruhan tanah air Islam, ditakluk atau dipaksa berada di bawah naungannya. Umat Islam diperhamba dan dibuli jasad dan akalnya habis-habisan, hasil bumi dan karya ilmunya juga dirampas.

Tidak memadai sekadar tanah air umat Islam dipecah selepas dijajah, dibahagikan pula sesama mereka laksana membahagi pusaka peninggalan ibu bapa dan nenek moyang mereka.

Umat Islam yang terdiri daripada berbagai bangsa dibelasah jasadnya, diadu-dombakan mengikut mazhab dan kebangsaan, dipecah mengikut semangat bangsa tanpa Islam dan fanatik mazhab tanpa ilmu, diperintah dan dibuli pemikirannya sehingga cara hidup berkiblatkan ke arah negara penjajah masing-masing. Akar umbi politik dan ekonomi umat Islam dapat dipengaruhinya demi kepentingan mereka, sehingga budaya juga dikacau-bilaukan.

Namun, mereka gagal memadamkan cahaya Islam dan semangat menentang penjajah, sehinggalah tanah air umat Islam terpaksa diberikan kemerdekaan. Tetapi diaturnya supaya tidak boleh diberikan peluang kepada perubahan negara yang berjenama Islam untuk berdaulat sehingga Islam memerintah, kerana dibayangi ketakutan dan kebimbangan Islam bangkit kembali memimpin dengan baik, kerana Islam dipandang sebagai penghalang hawa nafsu jahat yang menjadi pegangan mereka.

Allah menunaikan janjinya bahawa cahaya Islam tidak mungkin dipadamkan. Firman-Nya:

﴿يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ٨ هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَى وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ٩﴾ [الصف: 8-9]

“Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (Islam) dengan mulut-mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir (yang bermusuh itu) tidak suka (akan yang demikian). (8) Dia lah (Tuhan) yang telah mengutus Rasul-Nya (Nabi Muhammad S.A.W) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (Islam), supaya ia menzahirkan (kebenarannya) dan meninggikannya mengatasi segala agama (dan ajaran) yang lain. Walaupun orang-orang musyrik (mengadakan yang lain daripada petunjuk Allah itu) tidak menyukainya). (9)” (Surah As-Saff: 8-9)

Islam gagal dihapuskan dan cahaya petunjuknya tidak berjaya dipadamkan, walaupun dikelirukan dengan berbagai cara dan pendekatan. Namun, kebenaran Islam terus ternyata dan kebatilan yang lain terus terdedah dalam segenap aspek dan lapangan kehidupan manusia.

Kedegilan tidak mahu menerima Islam secara semberono bukannya mencari kebenaran, menyebabkan mereka terus merancang dan bertindak terhadap Islam setiap masa dan peluang dengan berbagai cara ketenteraan, politik, ekonomi sehinggalah cara yang terkini.

Penguasaan teknologi maklumat meredah langit terbuka menjadikan dunia tanpa sempadan lagi. Kemajuan media dijadikan senjata baru untuk menyebarkan fitnah terhadap Islam dan pembawanya. Munculnya Islamofobia sebagai salah satu daripada perang salib baru, namun kesannya menjadikan ramai yang ingin tahu berkenaan Islam sebenar secara langsung, menyebabkan Islam akhirnya diminati ramai dan berlakunya kepesatan perkembangan Islam di negara musuh yang paling besar.

Seterusnya, Islam diambil untuk dikelirukan dengan menampalkan label yang dicipta oleh mereka untuk diselewengkan perjalanannya. Bermula dengan menjenamakan ideologi dan teori disandarkan kepada Islam.

Caranya mengambil titik persamaan konsep secara umum tanpa dilihat dasar dan objektifnya yang berbeza, seperti diperkenalkan konsep Islam baru dengan menyebut Islam Sekular, Sosialisma Islam, Islam Liberal, Islam Demokrasi, dibahagikan Islam Politik dan tidak politik, sehinggalah diadakan mazhab baru dalam Islam seperti Ortodoks, Konservatif, Modenisasi, Reformasi, Moderat sehinggalah Teroris dan ada lagi yang akan dimunculkan di atas nama ijtihad dalam perkara yang tidak diizinkan berijtihad.

Namun, Islam yang murni tetap tidak boleh dikelirukan dan cahayanya yang menyuluh dapat menembusi topeng yang dipasangnya pada wajah yang sesat dan zalim itu.

Terkini pula dilancarkan serangan ekonomi terhadap negara Islam yang dikira berpotensi menjadi kuasa besar dunia. Turki dan Iran kini dijadikan sasaran tanpa mengira Sunni dan Syiah kerana sejarah dan kemajuannya, walaupun diuar-uarkan kononnya untuk membantu Sunni menentang bahaya Syiah. Bahkan, dicadangkan pembentukan NATO Arab untuk menentang Iran yang dilabelkan bahaya Syiah. Turki bermazhab Sunni pula dilabelkan penjajah Uthmaniah.

Dolar yang menjadi cagaran mata wang antarabangsa dijadikannya senjata, selain dipermainkan cukai barangan negara yang menjadi sasaran itu. Tujuannya terkini untuk menjatuhkan Lira Turki dan Tuman Iran, dengan niat jahat bagi mencetuskan protes rakyat menentang kerajaan kerana masalah ekonomi seperti inflasi, kos sara hidup, pengangguran dan lain-lain. Namun banyak negara yang bergantung dengan cagaran dolar akan menerima akibatnya, menjadikannya senjata makan tuan, apabila banyak negara yang terkesan, lalu bersimpati kepada Turki dan Iran. Di samping Rusia, China dan negara lain yang tidak sama dengan Amerika juga terkesan.

Adapun negara umat Islam khususnya di kalangan negara Arab yang dicatur dahulunya ada yang terus dicatur politik, ekonomi dan media berkiblatkan ke arah ‘White House’. Berbeza dengan kiblat solat ke arah Kaabah dan Makkah, sehingga Israel dianggap kawan, tetapi negara Islam yang berjiran dijadikan lawan, walaupun nyata Israel sedang mengganas terhadap Palestin dan merampas Bait Al-Maqdis. Ada juga yang menjadi broker untuk membeli rakyat Palestin di atas nama perdamaian.

Ternyata OIC tidak berfungsi dan hanya bergusi tanpa gigi. Di sini sepatutnya umat Islam mengambil iktibar supaya mengisi kemerdekaan negara masing-masing dengan kembali kepada Islam yang sebenarnya dan mempertahankan jati diri mereka bersama Islam.

Sepatutnya umat Islam menyedari betapa Allah meletakkan mereka di bumi yang paling bertuah dalam peta dunia dari sudut kedudukan geografi, demografi, sumber kekayaan harta dan tenaga manusia penduduknya. Sepatutnya percayalah kepada firman Allah:

﴿وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ٧﴾ [إبراهيم: 7]

“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu. Dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur (ingkar) sesungguhnya azab-Ku amatlah keras” (Surah Ibrahim: 7)

Hendaklah mengambil petunjuk Islam dan mengambil manfaat daripada sumber manusia dan hasil bumi sendiri bagi membina kekuatan umat Islam yang banyak dikurniakan oleh Allah kepada mereka dari segi agama dan kehidupan dunia. Percayalah, kalau tidak pedulikan Islam boleh kufur aqidahnya dan tidak memanfaatkan hasil kurniaan Allah pula kufur nikmatnya. Kedua-dua kufur ini dimurkai Allah.

Al-Marhum Profesor Najmuddin Arbakan, mantan Perdana Menteri Turki pernah berusaha menubuhkan D8 (Gabungan Negara Umat Islam) yang terdiri daripada negara Turki, Malaysia, Mesir, Indonesia, Iran, Pakistan, Nigeria dan Bangaladesh, bagi merintis dan mewujudkan kerjasama politik, ekonomi dan lain-lain.

Di antaranya, mencadangkan Dinar Islam menggantikan Dolar dan Euro bagi mencapai erti kemerdekaan yang sebenarnya kepada negara Islam. Malangnya hasrat tidak kesampaian dan terhenti di tengah perjalanan kerana kecelaruan di kalangan umat Islam sendiri dan dijatuhkan ketua negaranya tanpa islah, sehingga membawa akibat lebih buruk dan kemungkaran lebih besar.

Malangnya terus wujud di kalangan umat Islam, mereka yang boleh dijadikan buah catur permainan musuh bagi mencetuskan masalah umat bukannya penyelesaian, menunjukkan perjuangan kemerdekaan kita belum selesai.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 15 Zulhijjah 1439 / 27 Ogos 2018 - HARAKAHDAILY 27/8/2018

HARI Raya Aidiladha disambut bersempena dengan ibadat haji dan ibadat korban yang telah diasaskan oleh Nabi Ibrahim A.S.

Ibadat Haji adalah himpunan terbesar umat Islam di kota suci yang diwajibkan kepada orang Islam yang berkemampuan sebagai menyahut seruan ilahi. Mereka yang berhimpun di Makkah datang dari seluruh pelusuk dunia, sebagai menyahut seruan Allah.

Hari raya ini kita menyembelih binatang ternakan, melakukan ibadat korban yang tidak sama dengan sembelihan memuja syaitan yang diamalkan oleh penganut agama lain. Kita menyembelih kerana Allah dan membuat kebajikan sesama kita dengan perintah Allah.

لَن يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَٰكِن يَنَالُهُ التَّقْوَىٰ مِنكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ ۗ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ (37(

“Daging dan darah binatang korban itu tidak akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadanya ialah ketaqwaan kamu. Demikianlah ia memudahkan binatang itu bagimu supaya kamu mengagungkan Allah atas petunjuk kepadamu. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang berusaha supaya baik amalannya” (Surah Al-Hajj: 37)

Allah memerintahkan kita umat Nabi Muhammad S.A.W mengambil contoh daripada Nabi Ibrahim A.S untuk menjadi seorang Islam yang sebenar-benarnya, bukan sahaja melakukan ibadat haji dan korban bagi mereka yang berkemampuan. Allah menegaskan Islam sahaja agama Allah, bukan agama dan ajaran yang lain termasuk yang diciptakan oleh akal manusia.

Jadikanlah hari raya ini untuk mendekatkan diri kepada Allah dan mengeratkan lagi kasih sayang dan semangat persaudaraan Islam yang membawa berkat kepada kehidupan di dunia dan keselamatan di Hari Akhirat.

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS - HARAKAHDAILY 21/8/2018

SEGALA puji bagi Allah Pencipta Alam, Tuhan Maha Esa, tiada sekutu baginya dan tiada bandingan sepertinya. Dizikirkan dengan nama-nama paling indah, bersifat paling terpuji, maha suci daripada kekurangan dan kelemahan. Pujiannya diulangi oleh penganut Islam di setiap solatnya yang wajib dan sunat pada bila-bila masa sahaja.

Allah bukan sahaja mencipta alam semesta, bahkan Allah juga menetapkan peraturan dan undang-undang berkonsepkan Islam yang teguh dan anjal (fleksibel) kepada semua makhluknya, kerana ada perkara yang tetap tidak berubah dan ada perkara yang berubah disebabkan undang-undang dan sistem mengikut perbezaan sifat makhluknya dalam aspek yang mengalami perubahan.

Perkara yang tetap tidak berubah mengikut fitrahnya (naluri). Adapun yang mengalami perubahan itu ditetapkan juga hukum syariat yang menjadi sempadan yang tidak merosakkannya. Sekiranya melampaui sempadan dan mengadakan undang-undang sendiri di luar kemampuan akalnya, nescaya terjerumus ke dalam kebinasaan. Firman Allah:

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ (41(

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia sendiri; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah Ar-Rum: 41)

Islam sahaja petunjuk yang sempurna, konsisten dan saksama, meliputi aspek kejadian manusia dalam perkara fitrah yang tidak berubah dan menetapkan sempadan yang tepat dalam aspek yang mengalami perubahan dalam setiap perkembangan kehidupan manusia.
Semua agama atau ideologi lain tidak sempurna secara menyeluruh atau tidak saksama untuk memenuhi hak jasad, roh, individu, keluarga, masyarakat dan alam sekeliling yang nyata dan ghaib dan tidak meliputi wawasannya daripada dunia sehingga akhirat.

Kejadian alam mempunyai dua keadaan;

1) Perkara fitrah (naluri) yang tidak berubah, disebut Thawabit,
2) Perkara yang mengalami perubahan, disebut Mutaghayyirat.

Kesempurnaan Islam khusus bagi makhluk manusia yang ditugaskan kewajipan ibadat, khilafah dan amanah serta diberi petunjuk dalam semua aspek tersebut. Ajaran Islam yang menjadi petunjuk itu hendaklah dikaji secara faham yang disebut Feqh atau Tafaqquh.

Al-Mawardi tokoh besar di kalangan ulama Mazhab Syafie menyebut salah satu syarat kepimpinan Islam yang mampu melaksanakan pemerintahan Islam yang adil hendaklah berilmu dalam hukum dan nawazil.

Maksud nawazil itu ialah waqie’ atau realiti atau fakta, yakni perkara yang benar-benar berlaku dalam masyarakat, khususnya yang berkait dengan perkara yang mengalami perubahan apabila berlainan zaman dan situasi, sama ada zaman yang berbeza atau daerah yang berbeza jarak jauhnya di antara satu sama lain, serta berlainan kefahaman manusia dan kemampuan.

Islam ciptaan Allah, Pencipta Alam (Rabb Al- ‘Aalamin) yang Maha Mengetahui Lagi Maha Bijaksana dan Adil, berfirman dengan petunjuk Al-Quran, serta Sunnah Rasulullah S.A.W atau hadisnya (Al-Hikmah) yang menafsirkan cara praktikalnya:

وَنَزَّلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ تِبْيَانًا لِّكُلِّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً وَبُشْرَىٰ لِلْمُسْلِمِينَ (89(

“Dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah (petunjuk), serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam”. (Surah An-Nahl: 89)

Rasulullah S.A.W bukan sahaja menyampaikan bacaan Al-Quran yang diwahyukan kepadanya, bahkan Baginda Nabi S.A.W juga menunjukkan bagaimana Al-Quran itu diamalkan dalam seluruh kehidupan manusia yang disebut Hadis atau Sunnah yang juga dipelihara ilmunya dengan benar, amanah dan bijaksana yang dikawal oleh wahyu. Apabila tidak ada wahyu berkenaannya, menandakan keizinan Allah dalam perkara dalam jangkauan kemampuan manusia.

Kesempurnaan Islam itu meliputi urusan dunia dan akhirat yang ditegaskan secara nas qati’e yang tidak berubah dalam perkara rukun Islam, Iman dan akhlak yang menjadi dasar, termasuk perkara wajib, halal, haram dan beberapa hukum yang ditegaskan dalam perkara yang tidak mampu dicapai oleh ilmu manusia yang tetap ada kelemahannya.

Disamping itu, ada ruang pelaksanaan yang mampu ditunaikan oleh manusia termasuk dalam keadaan darurat (terpaksa), sehingga dihalalkan perkara yang haram dengan kadar sempadannya, mengikut keperluan menjaga agama, nyawa, akal, keturunan, maruah dan harta yang nyata bersifat rahmat dan adil.

Firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَاشْكُرُوا لِلَّهِ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ (172) إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ بِهِ لِغَيْرِ اللَّهِ ۖ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ (173(

“Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya berabdikan diri kepada-Nya. (172) Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah, maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (173)” (Surah Al-Baqarah: 172-173)

Sains terkini menerima hakikat perkara yang wajib pasti membawa manfaat kepada jasad, roh dan masyarakat, manakala perkara yang diharamkan pula pasti membawa mudarat dalam semua perkara tersebut.

Di antara perkara yang menarik dalam pelaksanaan Islam ialah Feqah Waqie’ (realiti) dalam aspek yang berkait dengan perubahan zaman, masyarakat dan tempat, melalui kefahaman terhadap sebab-sebab turunnya ayat-ayat yang diwahyukan atau hadis yang diucap dan diamalkan, atau ada juga dengan ijtihad (kajian mereka yang berkeahlian ilmu dan terpelihara akhlaknya).

Contohnya dalam aspek sistem pemerintahan Khalifah Abu Bakar R.A melaksanakan konsep Islam mendahului demokrasi barat dengan memperkenalkan cara pemilihan pemimpin.

Ketika itu para sahabat dapat menangani mesyuarat pemilihan ketua negara selepas kewafatan Rasulullah S.A.W dengan menjelaskan Maqasid Syariah dan Siyasah Syar’iyyah dalam memilih pemimpin utama bukan sahaja syarat ilmu dan akhlak dan kemampuan menunaikan hak rakyat melalui pemilihan pemimpin tersebut, bahkan dimasukkan juga syarat Kabilah Quraisy yang bermaksud bangsa yang dominan dalam negara itu yang berubah mengikut bangsa penganut Islam yang paling berpengaruh.

Selain itu, Khalifah Umar bin Al-Khattab R.A menganjurkan Solat Sunat Tarawih berjamaah dua puluh rakaat berimamkan Ubai bin Kaab R.A (qari paling tersohor di zamannya).

Khalifah Umar juga mengambil contoh sistem Rom dan Parsi dalam pentadbiran dan sistem kewangan negara dalam memberi imbuhan (gaji) kepada jentera kerajaan mengikut sifat keistimewaan dan peranannya. Termasuk juga mengadakan percukaian dinamakan Kharaj kepada tanah terhadap bukan Islam, di samping zakat pertanian kepada penganut Islam. Begitu juga ‘Usyur (cukai perniagaan) kepada bukan Islam, di samping zakat perniagaan dan harta terhadap penganut Islam berkonsepkan nisab terhadap mereka yang berada (kaya) sahaja.

Dalam aspek yang berhubung dengan ibadat, Khalifah Uthman bin Affan R.A memerintahkan supaya diazankan dua kali pada Hari Jumaat, kerana menghadapi masyarakat Islam di zamannya yang lemah semangat keagamaannya yang seringkali lambat datang ke masjid bersembahyang Jumaat. Berbeza di zaman Rasulullah S.A.W, Khalifah Abu Bakar dan Umar R.A, azannya sekali sahaja.

Saidina Uthman R.A juga mengarahkan supaya dikumpulkan Al-Quran secara bertulis dalam satu kitab (mushaf) yang disusun rapi demi memeliharannya, bukan sahaja bergantung kepada hafazan. Beliau juga mengarahkan supaya mengambil sahaja unta yang sesat yang tidak diketahui tuannya, walaupun Hadis Rasulullah S.A.W hanya kepada kambing yang lemah dan melarang mengambil unta yang besar dan kuat, tetapi disebabkan manusia di zamannya mengalami kelemahan akhlak beragama.

Khalifah Umar bin Abdul Aziz R.A mengenakan cukai Khumus (satu perlima) daripada hasil laut, berpandukan Khumus Rikaz (penemuan barang lama yang tidak bertuan).

Khalifah Abdul Malik bin Marwan pula mengarahkan supaya diadakan mata wang kepada negara Islam dan membatalkan penggunaan mata wang Rom dan Parsi.

Amir Saif Al-Daulah Al-Hamadani di zaman Abbasiyah memperkenalkan muamalah menggunakan cek bagi bayaran tanpa menggunakan matawang bagi memudahkan urusan pembayaran.

Sejarah juga melaporkan ijtihad para ulama mazhab Syafie yang berdakwah di Nusantara, menerima penganut agama Hindu dan Buddha menjadi ahli zimmah (warganegara dalam negara Islam) dengan melaksanakan hukum mazhab Hanafi dan Maliki berdasarkan Maqasid Syariah dalam aspek Islam adalah dakwah kepada semua manusia dan adil terhadap semua.

Ulama dalam satu mazhab seperti Imam Al-Mawardi bermazhab Syafie berbeza pendapat dengan Imam Al-Haramain Al-Juwaini juga bermazhab Syafie dalam beberapa perkara yang berkait dalam aspek politik Islam kerana mereka berada dalam negeri dan daerah yang berbeza masyarakat dan zamannya.

Perubahan ini adalah pelaksanaan Feqah Waqie’ yang dihayati oleh para ulama yang mendalami ilmunya yang berbeza dengan istilah Ortodok dan Protestan dalam agama Kristian atau Konservatif dan Liberal dalam teori barat. Maka memasukkan istilah barat terhadap Islam adalah pendekatan yang salah atau sesat daripada Islam yang sebenar.

Kenyataan sejarah membuktikan para ulama generasi sahabat dan tabien selepasnya yang belajar dalam satu madrasah dan guru yang sama berkonsepkan tafaquh, sebagaimana disebut dalam firman Allah:

وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُوا كَافَّةً ۚ فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ (122(

“Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berdakwah dan berjihad); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu bertafaqquh (mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam Agama Islam), dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; Mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).” (Surah At-Taubah: 122)

Para ulama tersebut tegas beristiqamah bersepakat tidak berubah dalam perkara dasar, rukun dan nas yang ditetapkan, namun mereka berkhilaf (berbeza pendapat) dalam perkara furu’ (cabang) dan perkara yang mengalami perbezaan pendapat daripada nas yang bersifat umum atau mengikut waqie’ atau realiti semasa.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 4 Zulhijjah 1439 / 16 Ogos 2018 - HARAKAHDAILY 16/8/2018

TAJUK ini sebahagian daripada Feqah Politik Islam (Siyasah Syar’iyyah) yang penting bagi membuat keputusan yang berkait dengan hukum, pendekatan atau hubungan dengan kumpulan tertentu secara ijtihad. Pertimbangan sama ada mengambil maslahat yang lebih utama atau menolak mudarat yang lebih besar, dengan bersedia menerima mudarat yang lebih ringan daripadanya.

Tepat dengan makna perkataan muwazanah yang bererti membuat pertimbangan yang wajar dalam beberapa perkara untuk dipilih menjadi keputusan yang terbaik dari segi Maqasid As-Syariah (tujuan mencapai matlamat menegakkan Islam), bukannya meninggalkan syariat.

Contohnya, Allah mewahyukan permulaan Surah Ar-Rum, membetulkan sikap Rasulullah S.A.W dan para sahabatnya dalam politik antarabangsa pada zamannya terhadap peperangan di antara Rom dan Parsi. Umat Islam berpihak kepada Rom kerana mereka adalah penganut Kristian Ortodoks (ahli kitab). Sebaliknya Musyrikin Makkah berpihak kepada Parsi yang beragama Majusi (menyembah api). Walaupun kedua-duanya bermusuh terhadap Islam, di mana akhirnya kedua-dua kuasa besar itu dijatuhkan oleh Islam. 

Selain itu juga, penerimaan Rasulullah S.A.W terhadap perjanjian Hudaibiyyah yang nyata isi kandungannya sangat menyelebihi mengikut kemahuan musuh, sehingga para sahabat tidak berpuas hati atau tidak senang dengan syarat-syarat perjanjian itu. Namun, Rasulullah S.A.W menerima dan akur dengan perjanjian itu, apabila membiarkan syarat yang sangat tidak adil, kerana muwazanah (pertimbangan) dari segi politik umum, mengambil kira negara Islam diiktiraf oleh musuh menjadi negara yang sah dan mewujudkan suasana aman tanpa ketegangan serta memberi ruang yang lebih luas kepada dakwah Islam diterima tanpa tekanan yang menakutkan mereka dari kalangan yang lemah imannya. Kebenarannya berlaku selepas itu, apabila meningkatnya jumlah umat Islam berkali ganda dengan besar selepas perjanjian damai. Hudaibiyyah menjadi sebab kepada Fathu Makkah (dibebaskan daripada penguasaan jahiliyyah) apabila pihak musuh tidak menunaikan perjanjian.

Rasulullah S.A.W juga membatalkan tahaluf (persefahaman) dengan kaum Yahudi apabila mereka mengkhianati perjanjian walaupun mereka adalah ahli Kitab, sebaliknya mengukuhkan hubungan dengan kabilah Khuza’ah (musyrikin) yang lebih setia dan sederhana sikapnya.

Firman Allah menjadi asas bagi menentukan perbezaan sikap terhadap bukan Islam:

لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ (8) إِنَّمَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَأَخْرَجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ وَظَاهَرُوا عَلَىٰ إِخْرَاجِكُمْ أَن تَوَلَّوْهُمْ وَمَن يَتَوَلَّهُمْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ (9) ]الممتحنة: 8-9[

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (8); Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. (Ingatlah) sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. (9) (Surah Al-Mumtahanah: 8-9)

Contohnya juga, apabila para ulama’ membuat keputusan membiarkan kaum Tatar yang sangat ganas membunuh itu mencemarkan masjid dengan arak yang haram hukumnya dan membiarkan mereka mabuk adalah lebih baik daripada mereka ganas membunuh yang lebih besar mudaratnya.

Apa yang terpenting juga ialah ketaatan dan kesetiaan (wala’) generasi awal kepada pemimpin dan jamaah yang mengambil apa-apa keputusan walaupun hati mereka tidak bersetuju, tetapi kepercayaan dan wala’ (setia) kepada pemimpin yang lebih memahami keadaannya sangat penting, berpandukan firman Allah:

وَإِذَا جَاءَهُمْ أَمْرٌ مِّنَ الْأَمْنِ أَوِ الْخَوْفِ أَذَاعُوا بِهِ وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَى الرَّسُولِ وَإِلَىٰ أُولِي الْأَمْرِ مِنْهُمْ لَعَلِمَهُ الَّذِينَ يَسْتَنبِطُونَهُ مِنْهُمْ وَلَوْلَا فَضْلُ اللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ لَاتَّبَعْتُمُ الشَّيْطَانَ إِلَّا قَلِيلًا (83) ]النساء: 83[

“Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan menakutkan, mereka terus menghebahkannya. Padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada Ulil Amri (pemimpin dan para ulama’) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka. Dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihan-Nya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu”. (Surah An-Nisa’:83)

Cukup menjadi iktibar juga dalam sejarah Andalusia yang bertahan selama lapan abad apabila raja-raja dan pemimpin Islam melupai perselisihan atau perkelahian sesama mereka, seorang ulama’ menasihatkan:

“Bahawa menjadi gembala unta kepada pemimpin Islam yang zalim adalah lebih baik daripada menjadi gembala babi kepada bukan Islam.”

Apabila ucapan ini dilupakan, terdapat kalangan yang menjadikan musuhnya dari kalangan kawan yang dipercayainya, akibatnya hilang Andalusia daripada kekuasaan Islam yang berkat. Sebab yang sama juga jatuhnya kerajaan Islam di Rantau Nusantara dan negara-negara lain kepada penjajahan yang kesannya sangat parah beberapa abad sehingga kini.

Terkini bencana lebih besar boleh berlaku apabila kalangan generasi baru umat Islam yang jahil agamanya tidak meletakkan kepentingan Islam sebagai perkara pertama, kerana bencana kejahilan agama dan hilangnya jati diri beragama, sehingga kepentingan Islam diperkecilkan dan isi perut diutamakan. Akibatnya menimpa diri di alam dunia ini dan selepas kematiannya di Hari Akhirat. Bacalah firman Allah:

يَوْمَ نَدْعُو كُلَّ أُنَاسٍ بِإِمَامِهِمْ فَمَنْ أُوتِيَ كِتَابَهُ بِيَمِينِهِ فَأُولَٰئِكَ يَقْرَءُونَ كِتَابَهُمْ وَلَا يُظْلَمُونَ فَتِيلًا (71) وَمَن كَانَ فِي هَٰذِهِ أَعْمَىٰ فَهُوَ فِي الْآخِرَةِ أَعْمَىٰ وَأَضَلُّ سَبِيلًا (72) ]الإسراء: 71-72[

“(Ingatlah) hari (Hari Kiamat) Kami menyeru tiap-tiap kumpulan manusia dengan nama imamnya (Nabi dan pemimpin yang diikuti di dunia); kemudian sesiapa diberikan kitabnya (suratan amal) di tangan kanannya, maka mereka itu akan membacanya (dengan sukacita), dan mereka tidak dikurangkan (pahala amal-amalnya yang baik) sedikitpun. (71); Dan (sebaliknya) sesiapa yang berada di dunia ini (dalam keadaan) buta (mata hatinya), maka ia juga buta di Akhirat dan lebih sesat lagi jalan-Nya”. (72) (Surah Al-Isra’: 71-72)

Islam mengajar pengikutnya supaya bijak memilih kawan atau sahabat dalam perjalanan hidup sehingga bukan sahaja mengetahui batang tubuhnya sahaja, bahkan dilihat juga siapa kawannya yang akrab. Kata penyair Arab:

 عن المرء لا تسأل وسل عن قرينه فكل قرين بالمقارن يقتدي

“Berkenaan seseorang itu jangan kamu tanya dia sahaja. Tanyalah juga siapa kawannya, kerana seringkali seseorang itu terikut dengan kawannya”.

Alasannya kerana sering kali manusia terpengaruh dengan temberang bohong dan uslub putar alam kalau tidak berhemah. Maka hendaklah diteliti dengan mengetahui siapa dirinya dan siapa pula kawannya.

Begitulah tujuan Feqah Muwazanah sangat penting bagi membuat keputusan yang tepat khususnya keputusan politik, apabila menjadi ‘king maker’ dalam Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).

PAS meletakkan Islam adalah keutamaan dalam keputusannya yang tidak memisahkan politik daripada agama. Maka Feqah Muwazanah juga hendaklah digabungkan dengan Feqah Aulawiyyat dalam melaksanakan ilmu Maqasid As-Syariah yang berpacak mengikut tertib maslahat kebaikan dan mudarat keburukan.

Menjaga agama yang pertama, berikutnya menjaga nyawa, akal, keturunan, maruah dan harta. Maka tertib menjaga agama Islam hendaklah didahulukan daripada perkara-perkara yang lain, sama ada memilih maslahat yang lebih besar atau menolak mudarat yang lebih besar sehingga bersedia menanggung mudarat yang kecil.

PAS telah meletakkan kepimpinan tertinggi dalam pelbagai lapangan dengan pengawasan Majlis Syura Ulama’ sangat penting bagi menentukan ‘road map’ perjalanan PAS.  Maka sesiapa daripada kalangan PAS ini, sama ada kalangan pemimpin paling atas sehinggalah dewan-dewan, negeri, kawasan, cawangan, sehinggalah ahli biasa, jangan bertindak sendiri dalam perkara yang besar menyentuh dasar dan matlamat parti Islam ini tanpa Feqah Muwazanah yang tepat.

Allah menegaskan ciri-ciri penting bagi kumpulan Islam yang wajib beristiqamah, sehingga kita tidak dipancing oleh mana-mana pihak. Seterusnya menjaga perpaduan berkonsepkan Al-Bayyinat (keterangan) secara nas dan ijtihad oleh mereka yang ahli di lapangannya.

Perlu diketahui bahawa Feqah Muwazanat sangat penting dalam menentukan isu politik terkini, bagi menyatukan umat Islam yang berpecah, jahil dan lemah sikap politik, ekonomi dan ilmunya. Seterusnya menanamkan kesedaran betapa wajibnya mempertahankan kuasa politik umat Islam.

PAS wajib menolak kalangan yang hanya mengejar kedudukan tanpa mengira dasar, konsep dan akhlaknya serta tanpa perhitungan menegakkan Islam dan kuasa politiknya.

PAS menjadikan pengalamannya di sepanjang perjalanan perjuangannya menilai setiap langkah yang berlalu, bagi mengatur ke hadapan dengan istiqamah bersama Islam. Demi kemenangan dunia sementara waktu dan kemenangan Akhirat yang kekal abadi adalah penting untuk mengumpulkan seberapa banyak ahli teras yang disifatkan oleh firman Allah:

مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ فَمِنْهُم مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا (23) لِّيَجْزِيَ اللَّهُ الصَّادِقِينَ بِصِدْقِهِمْ وَيُعَذِّبَ الْمُنَافِقِينَ إِن شَاءَ أَوْ يَتُوبَ عَلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا (24) ]الأحزاب: 23-24[

“Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam). Maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran. Dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun. (23); (Berlakunya yang demikian) supaya Allah membalas orang-orang yang benar disebabkan kebenaran mereka, dan menyeksa orang-orang yang munafik jika ia kehendaki, atau ia menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (24) (Surah Al-Ahzab: 23-24)

Ya, hanya yang bersikap benar membuktikan kesetiaannya kepada bai’ah, bukannya mereka yang sering kali ditipu pembohong dan pengkhianat.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 29 Zulkaedah 1439 / 11 Ogos 2018 - HARAKAHDAILY 11/8/2018

SAYA tertarik kepada polemik berkenaan adakah kumpulan Komunis itu juga pejuang kemerdekaan yang perlu disenaraikan dalam perjuangan menentang penjajah dahulu?

Sebelum menghukum hendaklah dibaca dan dikaji sejarah dan kefahamannya. Kalangan ilmuan pengkaji sejarah bersepakat bahawa teori komunis adalah ijtihad manusia Yahudi German bernama Karl Marx. Dia bukan Melayu, bukan Cina, bukan India dan bukan juga dari kalangan penduduk asal di hutan rimba tanah air kita.

Teorinya yang ekstrem membela rakyat marhaen yang miskin sehingga menasionalisasikan (merampas dan memilik negarakan harta) sangat menarik pemikiran ramai rakyat Asia yang tertindas. Namun mereka terlepas pandang teorinya yang menolak adanya Tuhan yang dipercayai oleh semua agama, lebih-lebih lagi agama Islam yang lengkap pengajarannya melibatkan ekonomi, politik dan seluruh aspek kehidupan manusia sejagat. Maka Islam menjadi musuhnya paling ketat. Bahkan ramai daripada kalangan ilmuan dan pemimpin Barat menganggap Islam lebih bahaya daripada Komunis, walaupun mereka juga berperang menentang Komunis sehingga hari ini.

Walaupun komunis itu tidak membawa bala tenteranya seperti negara Barat yang menjajah kita, tetapi fahamannya menjajah pemikiran rakyat pelbagai kaum yang direkrut menjadi bala tenteranya. Memang mereka juga menentang penjajah Barat, tetapi mereka juga adalah bala tentera penjajah pemikiran Komunis, di mana bahayanya lebih besar dari bala tentera penjajah Barat yang berkulit putih itu. Ini kerana fahaman komunis itu membunuh akidah secara ekstrem. Adapun penjajah Barat secara lebih terang-terangan dapat dilihat wajahnya.

Di sinilah saya memahami mengapa pemimpin generasi awal daripada PAS seperti Almarhum Dr Burhanuddin al-Helmy dan lain-lain yang menentang penjajah British tidak bersama komunis ke dalam hutan. Bahkan mereka juga menyokong ISA kerana menentang komunis, bukannya menangkap ikut suka hati.

Kita juga membaca bagaimana tanah air umat Islam yang dijajah oleh komunis itu menerima akibat yang lebih dahsyat daripada penjajah Barat, di mana kesannya masih nyata pada hari ini. Walaupun ideologi komunis telah dikuburkan oleh penganutnya sendiri.

Saya dapati ijtihad pemimpin kita yang sama-sama menentang penjajah Barat, tiba-tiba menentang Komunis adalah tepat kerana menentang musuh yang lebih berbahaya hendaklah diutamakan. Inilah petunjuk Allah kepada Rasulullah S.A.W dalam menghadapi percaturan antarabangsa pada zamannya di antara Rom dan Parsi yang menjadi sebab turun Surah ar-Rum yang bermula dengan firman Allah:

غُلِبَتِ الرُّومُ (٢) فِي أَدْنَى الْأَرْضِ وَهُم مِّن بَعْدِ غَلَبِهِمْ سَيَغْلِبُونَ (٣) فِي بِضْعِ سِنِينَ لِلَّهِ الْأَمْرُ مِن قَبْلُ وَمِن بَعْدُ وَيَوْمَئِذٍ يَفْرَحُ الْمُؤْمِنُونَ (٤) بِنَصْرِ اللَّهِ يَنصُرُ مَن يَشَاءُ وَهُوَ الْعَزِيزُ الرَّحِيمُ (٥)

“Orang-orang Rom telah dikalahkan. (2); Di negeri yang dekat sekali dan mereka sesudah kekalahannya itu akan mengalahkan lawannya. (3); Dalam masa tidak sampai sepuluh tahun. Kepada pentadbiran Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya; dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira. (4); Dengan kemenangan yang diberi Allah. Ia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dialah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani. (5)”.  

(ar-Rum: 2-5)

Allah mewahyukan ayat-ayat ini apabila Rasulullah S.A.W dan para Sahabatnya berdukacita Rom dikalahkan oleh Parsi, walaupun kedua-dua kuasa besar itu bermusuh terhadap Islam, tetapi Parsi yang beragama Majusi lebih besar bahaya daripada Rom. Al-Quran adalah petunjuk kepada umat Islam dalam segala aspek.

Maka kita mengharapkan mereka yang menjadi mangsa kekejaman Komunis itu mendapat kelebihan para Syuhada’ kerana menentang musuh Islam yang lebih besar dan mereka yang berpihak kepada Komunis itu diampunkan dosa kerana kejahilannya. Inilah dia Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).

Sejahtera Bersama Islam

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 24 Zulkaedah 1439 / 6 Ogos 2018 - HARAKAHDAILY 6/8/2018

ISLAM meletakkan kepentingan beragama hendaklah diutamakan dalam kehidupan manusia, kerana agama adalah punca kebaikan dunia dan akhirat bagi penganut Islam. Maka agama yang dimaksudkan ialah daripada perkataan Al-Din yang berbeza dengan takrif agama dalam bahasa yang lain.

Adapun kebebasan beragama pula adalah hak yang diberi dan dijamin oleh Islam kepada penganut pelbagai agama mengikut konsep hubungan antara agama, kaum dan negara iaitu tiada paksaan dalam beragama dan Islam itu wajib dianut dengan rela hati tanpa paksaan.

Menjaga agama Islam adalah kewajipan terpenting bagi penganut Islam, kerana keyakinannya kepada penentuan Allah yang berfirman:

إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ وَمَا اخْتَلَفَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ إِلَّا مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْعِلْمُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ وَمَن يَكْفُرْ بِآيَاتِ اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ (19) ]سورة آل عمران: 19[

“Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai Agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisab-Nya)”. (Surah Ali Imran: 19)

Firman Allah:

وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ (85( ]سورة آل عمران: 85[

“Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada Hari Akhirat kelak dari kalangan orang-orang yang rugi”. (Surah Aali Imran: 85)

Kewajipan menjaga agama Islam bagi penganut Islam adalah perkara pertama dalam Maqasid As-Syariah mengikut sepakat (ijma’) para ulama’ Islam yang ditegaskan oleh nas Al-Quran yang tersebut di atas, hadis Rasulullah S.A.W dan ijma’ para sahabat terhadap peristiwa riddah yang berlaku selepas wafatnya Rasulullah S.A.W.

Menjaga agama Islam adalah turutan pertama dalam tertib Maqasid As-Syariah, mendahului kewajipan menjaga nyawa, akal, keturunan (zuriat), maruah dan harta. Membezakan Islam dengan ajaran yang lain, sama ada agama atau teori.

Imam Al-Syatibi yang menulis berkenaan pembaharuan dalam ilmu Maqasid As-Syariah membahagikan dua aspek dalam konsep menjaga agama Islam:

1. Mempertahankan kewujudannya (dalam aspek positif). Menjaga rukun Islam dan meneguhkan asas amalannya.

2. Menolak sebarang langkah menentang Islam dan usaha menghapuskan atau melemahkannya. Sama ada menghadapi perkara yang telah dilakukan oleh musuhnya atau menolak perkara negatif yang bakal dilakukan terhadap Islam.

Menjaga agama itu dengan melaksanakan ilmu, amalan, dakwah, hukum dan jihad. Ilmu yang dimaksudkan adalah ilmu Fardhu Ain yang wajib bagi setiap penganut Islam lelaki dan wanita mempelajarinya dalam perkara Iman, Islam dan Ihsan atau Aqidah, Syariat dan Akhlak (Tasawuf). Manakala ilmu Fardhu Kifayah adalah mendalami ilmu agama (Islam) dan ilmu duniawi bagi menunaikan kewajipan khilafah bersama Islam (memakmurkan bumi dalam urusan kehidupan) seperti dalam aspek kemasyarakatan, politik, ekonomi, sains teknologi dan lain-lain.

Adapun melaksanakan amalan itu adalah melibatkan amalan baik dalam hubungan dengan Allah, diri, keluarga, masyarakat dan alam sekeliling, melaksanakan perkara wajib, sunat dan harus, meninggalkan yang haram, dan sebolehnya meninggalkan yang makruh serta menyediakan kemudahan bagi semua amalan-amalan tersebut.

Dakwah pula ialah mengajak pihak lain menerima Islam dan menganutnya secara rela hati tanpa paksaan, dengan hujah ilmu dan amalan yang menjadi dalil kebenaran Islam. Disertakan tindakan menolak yang lain daripadanya dengan hujah ilmu, akal dan amalan secara hikmah.

Pelaksanaan hukum Islam yang adil dengan sempurna dan menyeluruh akan membawa rahmat yang wajib diusahakan dan dilaksanakan berdasarkan ilmu secara faham (tafaqquh) dan prosesnya yang betul. Termasuk dalam kewajipan menjaga kemurnian dan kebenaran agama Islam yang mengatasi agama yang lain.

Jihad bermaksud kesungguhan dalam menegakkan Islam dan mempertahankannya daripada musuh dengan mengorbankan segala nikmat diri, harta dan jiwa raga, mengikut tertib cabaran yang dihadapi daripada musuh, bermula dengan pendekatan perdamaian dan hujah yang lebih diutamakan dan didahulukan. Sehinggalah peperangan bersenjata apabila dipaksakan dengan sempadan dan adabnya supaya tidak melampau, walaupun terhadap musuh yang melampaui batas.

Menjaga agama Islam juga ialah menjaga dan mempertahankan penganut dan tanah airnya yang menjadi wadah kepada Islam bagi melaksanakan perkara-perkara yang tersebut di atas.

Langkah yang diambil oleh generasi awal yang memperjuangkan kemerdekaan dengan meletakkan Islam menjadi Agama Persekutuan dan hak istimewa majoriti penganutnya secara bersepakat, walaupun berbeza kefahaman politik dan cara pendekatannya adalah asas kukuh yang wajib dipertahankan.

Kewajipan umat Islam menjaga agama mereka adalah kewajipan yang tidak boleh dipertikaikan. Maka kewajipan menjaga agama yang lain, terserah kepada penganut masing-masing, yang menjadi hak asasi manusia mengikut sempadan konsep kebebasan beragama yang sangat dipelihara oleh agama Islam yang mewajibkan umat Islam yang memerintah negara dan rakyatnya yang menganut Islam.

Walaupun setiap penganut Islam itu tegas menyatakan hanya Islam sahaja yang benar, sehingga kebebasan beragama itu dikira terbabas ke dalam kemusnahan yang menjadi penentuan Allah. Namun dalam bermuamalah terhadap pihak lain dianggap menjadi hak mereka yang diberikan oleh Islam supaya menjadi ruang untuk berfikir dengan bebas.

Konsep kebebasan agama berasaskan tidak boleh dipaksa terhadap penganut agama lain dan tidak diganggu kebebasan menganut dan beramal dengan agama mereka mengikut sempadan menjaga keamanan dan keselamatan bersama serta menjaga kehidupan masyarakat madani (taaruf).

Konsep ini adalah arahan atau perintah Allah di dalam Al-Quran yang diamalkan secara istiqamah oleh Rasulullah S.A.W dan para sahabat yang memerintah negara, serta dihayati oleh umat Islam sehingga kini, walaupun ditempat tidak berkuasa memerintah negara. Antaranya firman Allah:

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ ]سورة البقرة: 256[

“Tidak ada paksaan dalam agama”. (Surah Al-Baqarah: 256)

Firman Allah:

وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ لَآمَنَ مَن فِي الْأَرْضِ كُلُّهُمْ جَمِيعًا أَفَأَنتَ تُكْرِهُ النَّاسَ حَتَّىٰ يَكُونُوا مُؤْمِنِينَ (99( ]سورة يونس: 99[

“Dan (bukanlah tanggungjawabmu wahai Muhammad menjadikan seluruh umat manusia beriman), jika Tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi. (Janganlah engkau bersedih hati tentang kedegilan orang-orang yang ingkar itu; kalau Tuhan tidak mengkehendaki) maka patutkah engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman?”. (Surah Yunus: 99)

Firman Allah:
فَإِنْ أَعْرَضُوا فَمَا أَرْسَلْنَاكَ عَلَيْهِمْ حَفِيظًا إِنْ عَلَيْكَ إِلَّا الْبَلَاغُ ]سورة الشورى: 48[

“Oleh itu, jika mereka berpaling ingkar, maka Kami tidak mengutusmu (wahai Muhammad) sebagai pengawas terhadap mereka; tugasmu tidak lain hanyalah menyampaikan (apa yang diperintahkan kepadamu)”. (Surah As-Syura: 48)

Walaupun Allah menyatakan dengan benar bahawa mereka yang beriman dan beramal soleh masuk syurga di akhirat nanti dan yang kufur tidak beriman dimasukkan ke neraka. Namun Allah berfirman:

وَقُلِ الْحَقُّ مِن رَّبِّكُمْ فَمَن شَاءَ فَلْيُؤْمِن وَمَن شَاءَ فَلْيَكْفُرْ ]سورة الكهف: 29[

“Dan katakanlah (wahai Muhammad): "Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur )ingkar(, biarlah dia mengingkarinya". (Surah Al-Kahfi: 29)

Konsep tiada paksaan dilaksanakan oleh Rasulullah S.A.W apabila berjaya mencapai kemenangan membebaskan Makkah, walaupun berada di puncak kuasa dan kekuatan, Baginda Nabi S.A.W berucap kepada penduduknya yang menyerah diri dengan bersabda:

اذهبوا فأنتم الطلقاء

“Pergilah! Kamu semua dibebaskan”.

Khalifah Umar bin Al Khattab R.A memberi kebenaran kepada penganut Kristian menganut agama dan menjaga serta beramal di gereja mereka apabila berjaya membebaskannya daripada penaklukan Rom.

Kini dapat disaksikan bagaimana kedudukan yang baik bagi golongan minoriti bukan Islam di tengah masyarakat Islam yang benar-benar beramal dengan ajaran Islam. Islam mewajibkan adil terhadap seluruh manusia adalah amanah terbesar. Firman Allah:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا (58) ]سورة النساء: 58[

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat”. (Surah An-Nisa’: 48)

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 20 Zulkaedah 1439 / 2 Ogos 2018 – HARAKAHDAILY 2/8/2018

ZIONIS merampas Tanah Suci Palestin, bumi para Anbia A.S yang wajib dipertahankan oleh umat Islam yang beriman kepada semuanya. Di sana terletaknya Bait Al-Maqdis, di atasnya juga Masjid Al-Aqsa, kiblat pertama umat Islam.

Tiba-tiba ditubuhnya negara haram Israel dengan cara merompak di siang hari, alasan sejarahnya yang sesat daripada ajaran para Rasul A.S, bahkan kaum Yahudi itu membunuh sebahagian para Rasul dan ulama yang soleh. Kini menunjukkan keangkuhannya, mengisytiharkan ke seluruh dunia, bahawa bumi Palestin hanya kepunyaan bangsa Yahudi, bangsa lain tidak berhak menjadi rakyat, dan diikuti menceroboh secara beramai-ramai ke dalam Masjid Al-Aqsa dengan kawalan pasukan keselamatannya yang bersenjata.

Cita-cita Zionis dicatat di Knesset (Parlimen Israel) bahawa inilah negara asal bangsa Yahudi. Sempadannya dari Sungai Nil di Mesir sehingga Sungai Furat (Uprate) di Iraq, dari pantai laut di utaranya sehingga Yanbu’ di Selatan Madinah Munawwarah (bermakna Madinah juga termasuk dalam jangkauan negaranya yang agung) yang diimpikan memimpin dunia, kononnya mengulangi sejarah kerajaan Nabi Daud dan Nabi Sulaiman A.S walaupun mereka tidak beramal dengan kitab suci Taurat seperti Rasul itu.

Media yang dikuasainya di seluruh pelosok dunia dengan kecanggihannya meredah langit terbuka tanpa sempadan, tidak dapat disembunyikannya, tersebarnya kefahaman fanatik Yahudi yang lebih kejam daripada amalan aparteid dan nazi, kerana menganggap bahawa semua bangsa bukan Yahudi adalah Goyem (manusia bertaraf rendah atau hina).

Penguasaan kaum Yahudi terhadap ekonomi dunia dengan rakus dan mempengaruhi negara-negara kuasa besar yang melindunginya, menjadikan Israel lebih ganas daripada Nazi yang dikutuknya. Kini menunjukkan kekuatannya dengan lebih angkuh, berlesenkan boleh memiliki senjata pemusnah yang diharamkan oleh undang-undang antarabangsa yang lemah laksana sarang labah-labah. Sehingga berjaya menyelamatkan dirinya daripada dikutuk, melalui hanya kenyataan oleh PBB dan Majlis Keselamatannya dengan kuasa veto yang dimiliki negara kuasa besar yang dipengaruhinya melalui para pemimpin yang dipilih di negara besar itu.

Negara Arab yang paling berjiran dengan Palestin dan bertanggungjawab mempertahankannya di atas nama agama dan bangsanya pula, paling mengecewakan, apabila lebih mementingkan harta dan takhtannya. Kini menunjukkan kesediaan membuka pintu hubungan dengan negara haram Israel itu. Ada yang telah dilakukan dan ada pula secara bersembunyi kerana takutkan rakyatnya, bukan kepada Allah dan umat Islam.

Terkini pula ada kalangan negara yang mendukung tawaran paling mahal di zaman ini, untuk menubuhkan negara baru bagi rakyat Palestin, di kawasan yang lain di luar Palestin, dengan tawaran harta peruntukan bantuan yang lumayan dan menyerah sepenuhnya bumi Palestin termasuk Bait Al-Maqdis dan Masjid Aqsanya kepada Zionis tanpa gangguan. Cadangan yang ditawarkan ini bagi menyambut keputusan Knesset Israel yang menegaskan, hanya bangsa Yahudi sahaja yang berhak diberi kerakyatan, bermakna bangsa Arab Palestin boleh dihalau bila-bila masa.

Kini umat Islam secara khusus dan masyarakat antarabangsa umumnya juga dicabar oleh Zionis yang berpengaruh itu, sehingga meninggalkan kewajipan hak asasi manusia dan moral kemanusiaan, bahkan kewajipan persaudaraan aqidah Islam bagi penganut Islam.

Sikap yang hina di hadapan bangsa Yahudi yang sangat kecil jumlahnya, disebabkan kehilangan jati diri kemanusiaan dan agama umat Islam, sehingga tidak mampu bertindak terhadap kezaliman dan keganasan Zionis itu, bahkan lebih malangnya apabila dapat dicaturkan oleh Israel dan sekutunya, diaturnya pengkalan tentera negara sahabat Israel di atas bumi Arab, bagi menyelamatkan Israel yang kecil itu.

Dahulunya dua sahaja negara umat Islam mengiktiraf dan mengadakan hubungan diplomatik dengan negara haram Israel secara rasmi, iaitu Turki di bawah kuasa Kamal Atarturk dan Iran di bawah kuasa raja Shah Reda Bahlawi, serta semua negara bukan Islam khususnya bertaraf kuasa besar. Kini sudah banyak negara Arab dan negara umat Islam mengadakan hubungan diplomatik dengan negara haram itu.

Kita sedang menyaksikan semua negara Arab dan Islam yang tidak ada hubungan dengan negara haram Israel itu atau tidak mengiktirafnya dikacau dan diganggu dengan berbagai cara.

Iran yang menjatuhkan Shah dan kerajaan ketika itu sangat mesra Israel selepas bertukar nama kepada Republik Islam Iran, membatalkan pengiktirafan terhadap negara Israel dan menutup kedutaannya di Tehran, terus diganggu dengan mencetuskan Perang Teluk yang pertama dan kesannya berlarutan sehingga kini.

Selepasnya Turki yang baru sahaja menunjukkan sikapnya yang tidak mesra Israel, walaupun belum lagi memutuskan hubungan diplomatiknya juga telah diganggu, melalui rampasan kuasa tetapi gagal.

Semua negara Arab tanpa mengira ideologi sekiranya menolak polisi ke arah mengiktiraf Israel seperti Yaman, Sudan, Syria, Libya, Algeria, Tunisia dan lain lain, sebaik sahaja sahaja menunjukkan sikap negatif terhadap Israel diganggu dan dihuru-harakan dengan alasan menentang keganasan dan kezaliman yang berlaku dijadikan peluangnya, dengan slogan mendukung demokrasi atau membela Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah dan lain-lain. Sehingga ada yang berjaya dicetuskan perang saudara dalam negeri masing-masing dengan bantuan negara-negara besar yang mengambil kesempatan mencuba senjata dan berniaga senjata itu dan menguasai kawasan untuk kepentingan masing-masing.

Semua kekacauan itu adalah meringankan bebanan negara haram Israel menjaga keselamatan dan keamanannya. Lebih baculnya apabila ada dalam kalangan negara Arab yang berjiran itu menganggap Israel adalah teman ekonomi dan politik yang terbaik dibandingkan Turki yang dilabelkan mengembalikan semula kerajaan Uthmaniyyah yang dianggap penjajah dan Iran pula dikatakan mahu mendirikan negara besar Syiah. Pada halnya di zaman Syah dahulu pun mazhabnya Syiah juga, bezanya Syiah yang mesra Israel. Alasannya kerana mempertahankan kebangsaan Arab dan Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Adapun negara Qatar yang kecil dikepung dan dibuli kerana mengubah pendekatan bersama Turki dan Iran, walaupun Mazhab Qatar itu Sunni dan Salafi Wahabi. Kini dikepung dan dipulau dengan alasan membantu pengganas.

Apa yang paling menarik pula sikap mereka mengikut kenyataan Amerika dan sekutunya yang terus menyokong dan melindungi negara haram Israel. Malangnya disokong pula oleh para ulama yang dilesenkan muktabarnya dengan fatwa yang menghalalkan hubungan dengan Israel. Semua yang mengkritik fatwa yang dirasmikan itu diambil tindakan dipenjara, ditahan di rumah, dan digam, tidak diizinkan berkhutbah, berkuliah dan menulis atau terpaksa berhijrah meninggalkan tanah air dan keluarga tercinta.

Semua kumpulan yang gagah berani menghalakan senjatanya ke arah negara haram Israel, walaupun hanya layang-layang berapi dan batu dianggap pengganas, lebih-lebih lagi yang mengisytiharkan jihad dan jenama Islamnya, terus dianggap paling pengganas atau pelampau.

Adapun negara haram Israel dianggap betul dan adil menggunakan apa sahaja senjatanya, tetap dihalalkan, walaupun senjata pemusnah dan beracun yang diharamkan oleh undang-undang antarabangsa, kerana dikatakan dalilnya menjaga keselamatan dan keamanan Israel.

Mangsanya tanpa mengira Sunni seperti Hamas dan Tanzim Jihad dan juga Syiah seperti Hizbullah dan Ansarullah, walaupun diketahui bahawa rakyat Palestin majoritinya Ahli Sunnah bermazhab Syafie, bukannya Syiah. Sikap fatwa mesra Israel ini kerana mentarjihkan mazhab yang berkiblat ke arah White House di Washington, kerana Kaabah di Makkah hanya layak menjadi kiblat bagi ibadat solat sahaja.

Terpulang kepada umat di bawah dan rakyat awam menilai, apakah jenisnya Ahlu Sunnah Wal Jamaah yang diperjuangkan itu dan apakah jenis kebangsaan Arabnya yang dipertahankan?

Adapun rakyat Palestin terus dikecewakan tanpa bantuan dan pertolongan yang cukup. Di kelilingnya kekayaan jirannya yang melimpah ruah, tetapi lebih banyak dilaburkan di Amerika Syarikat dan Eropah, termasuk pelaburan hanya berseronok tanpa sempadan halal dan haram, atau untuk membeli senjata bagi berperang saudara dalam negara sendiri, kerana berbeza mazhab, atau berlainan kebangsaan, kabilah dan ideologi politik sekularnya.

Apa yang berlaku adalah ujian Allah terhadap umat Islam. Walaupun Allah berjanji bahawa akan tiba ajal bagi negara haram Israel dan pejuangnya, di mana bumi Palestin pasti menjadi kubur kaum Zionis itu, namun rakyat Palestin tidak boleh dikalahkan walaupun dikecewakan. Umat Islam terus berkewajipan menjadi hamba Allah yang menunaikan janjinya, bukannya menunggu janji Allah tanpa amalan dan jihad, laksana pungguk merindukan bulan.

Sabda Rasulullah S.A.W:

لَا تزَال طَائِفَة من أمتِي ظَاهِرين على الْحق لَا يضرهم من خذلهم، قيل: وَأَيْنَ هم يَا رَسُول الله؟ قَالَ: بِبَيْت الْمُقَدّس، أَو أكناف بَيت الْمُقَدّس

“Masih ada di kalangan umatku kumpulan yang muncul menyatakan dan menegakkan kebenaran, yang tidak boleh dihapuskan oleh orang-orang yang mengecewakan mereka. Lalu para sahabat bertanya: Di manakah mereka, wahai Rasulullah? Sabdanya: Di Bait Al-Maqdis atau di pelosok Bait Al-Maqdis”

Percayalah bahawa perjuangan rakyat Palestin yang berteraskan iman tidak mungkin dipadamkan. Percayalah juga bahawa takhta dan harta yang mengecewakan rakyat Palestin akan tumbang dan ditelan zaman.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 15 Zulkaedah 1439 / 28 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 28/7/2018

ALHAMDULILLAH kita selesai melaksanakan PRU14 dalam suasana aman walaupun ada sedikit ketegangan. Keputusan yang unik, apabila adanya perubahan kerajaan Pusat dan kerajaan negeri yang berbagai parti, sama ada bersama kerajaan Pusat yang berkonsep campuran dan kerajaan negeri atau pembangkang yang memerintah beberapa kerajaan negeri.

Apa yang penting kita menghormati keputusan rakyat sama ada betul atau dengan salah perhitungan yang sudah berlalu. Mana yang betul perlu ditambah baik dan yang salah diperbetulkan.

Terpenting juga ialah melaksanakan konsep federalisme yang dinyatakan dalam Perlembagaan Negara. Kenyataan YAB PM mengembalikan semula Royalti Petroleum yang tidak diberi kepada kerajaan Kelantan dan Terengganu dahulu, diucapkan terima kasih dan sangat positif kepada pelaksanaan menghidupkan konsep Federalisma yang dilemahkan dahulu. Diharapkan banyak lagi ruang yang patut diberi kepada kerajaan negeri khususnya bagi menunjukkan model Islam yang kami janjikan dalam manifesto negeri, khususnya dalam aspek memperkenalkan Islam yang menjadi tujuan kami.

Walau bagaimanapun, perlu kepada keterbukaan sehingga meminda Perlembagaan dan akta-akta peninggalan zaman penjajahan dahulu kerana kita telah mencapai kemerdekaan lebih daripada setengah abad, dan kita telah melakukan banyak pindaan, ada juga yang tidak penting serta meninggalkan yang lebih penting seperti memperkasakan kedudukan Islam mengikut takrifnya yang sebenar. Dan hak Bumiputera dan bahasa kebangsaan yang masih ketinggalan.

Dalam aspek ekonomi yang sangat mencabar, khususnya dalam arena antarabangsa yang mencetuskan perang ekonomi di kalangan kuasa besar khusus China dan Amerika. Kita mempunyai kedudukan yang tersendiri, dari kedudukan geografi, sumber dan tenaga manusia. Namun perlu mengutamakan kepentingan rakyat kita, dalam keadaan kita berada di tempat yang kukuh dan mempunyai sumber bumi kita dan rakyat kita sendiri. Hasil bumi yang melimpah ruah dan tenaga manusia yang berkepakaran dan bertenaga. Sekiranya diolah dengan baik kita dapat memperkasakan diri dan negara kita di tengah-tengah percaturan antarabangsa.

Langkah pandang ke Timur yang pernah dilaksanakan dahulu perlu dilakukan pembaharuan terkini. Khususnya meletakkan keutamaan kerjasama serantau dari kalangan negara jiran dan negara sahabat, kerjasama negara Islam dan negara NAM dahulu. Memilih pendekatan kerjasama dengan negara setaraf dengan kita atau negara mundur adalah lebih baik daripada berlumba dengan negara besar yang rakus tidak bersimpati dengan kita. Namun, hubungan dengan semua negara tidak diputuskan, bersama kebijaksanaan kita, tidak terikat sangat rapat dengan negara tersebut dan sangat bergantung dengan agensi yang dimonopoli oleh mereka seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), dan mata wang tunggal seperti US Dollar yang sangat diragui kebenaran dan kekukuhannya.

Keadaan geografi dan sumber semula jadi yang berada kepada kita perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya, kerjasama negara serantau dan sahabat yang tersebut tanpa mendedahkan diri menjadi pengkalan yang digunakan oleh negara besar yang berkepentingan di pihaknya sahaja. Lebih malang sekiranya kita mendedahkan diri menjadi medan peperangan dalam kalangan negara besar seperti yang pernah berlaku pada abad yang lalu.

Penyelesaian kedudukan Bumiputera yang masih terkebelakang perlu ditingkatkan lagi tanpa berlaku zalim terhadap pihak yang lain, dengan menghidupkan semangat kerjasama dan bertolong menolong dalam masyarakat majmuk yang bersifat Madani, bukan semangat perlumbaan perkauman dan penindasan yang boleh mencetuskan ketegangan.

Kedudukan negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung dan juga Malaysia Timur Sarawak dan Sabah yang terpinggir mengikut cara yang diadakan pada zaman penjajah dahulu hendaklah diubah, kerana daerah ini hanya diperas hasil buminya yang kaya dalam keadaan rakyatnya yang majoriti Bumiputera masih terpinggir dengan kemudahan asas yang diabaikan seperti pelabuhan dan kawasan industri, bahkan lebuh raya yang lebih dipesatkan di Pantai Barat walaupun dalam keadaan ekonomi dunia yang juga menghala ke Timur bukan sahaja ke arah Barat.

Kos sara hidup rakyat yang tidak mampu menghadapi tekanan inflasi yang tidak terkawal, walaupun penyelesaiannya ditawarkan oleh semua manifesto parti kerajaan dan pembangkang, hendaklah ditangani bukan sekadar menukar GST kembali semula kepada SST, laksana mencubit dengan tangan kanan, kemudian dicubit pula dengan tangan kiri yang sakitnya sama atau lebih sakit. Tanpa menangani secara penyelesaian yang menyeluruh dengan menggunakan barangan kita dan tenaga kita sendiri secara lebih bijak dan insaf. Sama ada menangani disebabkan kuasa beli yang tidak kukuh atau mata wang yang tidak stabil atau barangan yang tidak seimbang dan saksama hendaklah ditangani dengan penuh tanggungjawab. Bukan sekadar hanya percukaian yang meringankan bebanan kerajaan, bukannya bebanan rakyat.

Konsep ekonomi Islam yang memberi penekanan halal dan haram, khususnya muamalah riba, menipu dan rasuah yang diisytiharkan perang oleh Allah, namun kini dianggap pula menjadi rukun dan syarat ekonomi moden.

Walaupun sudah ada langkah kepada muamalah Islam seperti perbankan dan sebagainya, tetapi masih teragak-agak ke arah menghapuskan riba yang dikira dosa besar itu. Mudah-mudahan kita dapat menghayati pesanan Allah:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ (96)

“Dan sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka keberkatan (pintu pengurniaan) Yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka telah membohonginya. Lalu Kami hukumkan mereka dengan bencana disebabkan apa yang telah mereka lakukan)” (Surah Al-A’raaf: 96)

Istilah berkat hanya dalam ekonomi Islam yang tiada dalam semua teori ekonomi yang lain.

Kita juga sedang mengalami gejala sosial yang menimpa seluruh dunia, menandakan kelemahan sistem pendidikan kerana tidak membangunkan insan mengikut acuan fitrahnya dan kelemahan undang-undang mencegah kemungkaran.

Allah mencipta manusia dengan fitrah yang berbeza dengan makhluk yang lain dan diletakkan di tempat yang berbeza dalam kalangan sesama manusia sendiri, berbagai bangsa, budaya dan hasil bumi serta kepakaran dan sumber masing-masing.

Petunjuk Allah melalui Al-Quran dan kebijaksanaan Rasul-Nya Muhammad S.A.W telah berjaya mendidik manusia awal Islam, daripada masyarakat Arab buta huruf dan liar sifat jahiliahnya bersama Islam, berjaya menegakkan negara masyarakat majmuk yang besar dan membetulkan tamadun jahiliah yang tidak bermoral walaupun maju dari segi kebendaannya dan kerajaannya bertaraf kuasa besar.

Menunjukkan cara pembangunan insan itu hendaklah melalui ilmu dan pendidikan memenuhi sifat fitrah, naluri atau semula jadi. Bercirikan jasad, roh, akal, berkonsep kedirian dan bermasyarakat madani. Insan yang dibentuk oleh Islam berjaya menundukkan kuasa besar pada zamannya dan mencipta semula tamadun (Hadharah Islamiyyah), tanpa meninggalkan warisan ilmu dunia yang bermanfaat daripada seluruh pelosok dunia Timur dan Barat; Parsi, Rom, China, India, Mesir dan lain-lain. Menterjemahkan ilmu ke dalam bahasa Arab yang dirasmikan pada masa itu, tanpa menghapuskan bahasa kaum masing-masing yang menjadi tanda kebesaran Allah:

وَمِنْ آيَاتِهِ خَلْقُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافُ أَلْسِنَتِكُمْ وَأَلْوَانِكُمْ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّلْعَالِمِينَ (22)

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan kebijaksanaan-Nya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan(”. (Surah Ar-Ruum: 22)

Umat Islam meneroka kemajuan sains dan teknologi dengan memajukan ilmu hasil daripada berbagai negara dan bangsa. Namun ketinggalan pada masa mutakhir dan kerajaannya jatuh. Barat yang mencetuskan Revolusi Industri hasil terjemahan tamadun Islam ke dalam bahasa-bahasa Barat, namun mereka meninggalkan aspek rohani dan akhlak yang mengawal akal dan jasadnya sehingga tanpa roh.

Kini kita sedang menyaksikan keruduman Tamadun Barat yang maju itu, menjadikan manusia tidak bermoral sehingga mencipta senjata pemusnah menjadikannya lebih ganas daripada binatang dan hilang moralnya menghilangkan akal yang mulia dengan gejala arak dahulunya, dan kini pelbagai jenis dadah.

Kita menyaksikan negara-negara maju seperti Jepun, Jerman, China dan lain-lain mengilmukan rakyat dengan bahasa kebangsaan masing-masing, dan pengetahuan bahasa asing sekadar keperluan menterjemahkannya, bukan mengilmukan rakyat sebanyak mungkin. Maka tanggungjawab kita menjadikan bahasa kebangsaan kita sendiri adalah cara paling betul dalam memperkasakan ilmu dan pendidikan kita. Cara meninggalkan bahasa kebangsaan sendiri dalam pendidikan dan mengurus rakyat telah menemui kegagalan yang berulang.

Tanggungjawab menangani gejala sosial yang hampir merebak di setiap lorong dan keluarga perlu ditangani dengan pendidikan dan pelajaran, serta media yang bermoral serta undang-undang yang berkesan dan undang-undang juga yang mendidik bukan sekadar menghukum.

Media tanpa sempadan menjadi wabak baru yang tidak terkawal lagi, menyerang seluruh pelosok dunia, kini menjadi ancaman terhadap negara dan antarabangsa. Sehingga pengetahuan bahasa asing bukan lagi untuk menimba ilmu yang positif, tetapi membuka ruang yang lebih besar dibanjiri aspek negatif. Maka perlu adanya kawalan yang berkesan demi menyelamatkan negara dan rakyat dengan peraturan kawalan dan undang-undang bertindak yang berkesan.

Kita menyaksikan hukuman mati mandatori terhadap pengedar dadah gagal mengatasi gejala pengedarannya, walaupun hukuman itu lebih keras daripada Hukum Qisas dan Hudud Islam yang dipertikai dan diragukan oleh banyak pihak. Begitu juga undang-undang mencegah gejala rasuah tidak mampu menghalang siapa sahaja yang berkuasa melakukannya dengan berbagai-bagai helah. Kini sudah tiba masanya diberi ruang untuk memperkenalkan undang-undang syariat Islam, dibincangkan secara ilmu dan dan diberi kuasa kepada negeri menjadi percubaan, menunaikan kewajipan kepada Allah dan rakyat.

Dalam arena antarabangsa terkini, kita mengharapkan kerajaan dapat memberi ruang yang adil menghadapi tuduhan terhadap Islam sehingga mencetuskan Islamofobia di negara Barat, khususnya Amerika dan Eropah. Betapa Islam dikaitkan dengan keganasan, walaupun kini ternyata betapa negara Barat itu terlibat dalam mewujudkan kumpulan ISIS yang dikaitkan terhadap Islam, merekalah menjadi pembekal utama senjata dan memberi tempat kepada kumpulan itu dan memberi lesen kepada negara haram Israel memiliki apa sahaja senjata pemusnah dan bertindak sewenang-wenangnya terhadap rakyat Palestin yang dihalau daripada rumah kediaman dan rompakan bukan sahaja harta bahkan tanah air mereka juga dirampas.

Fitnah terhadap Islam yang tidak menepati ajaran Islam yang mengharamkan tindakan melampau walaupun terhadap musuh agama, umat dan negaranya yang diceroboh dan dijajah, berpandukan petunjuk Allah:

وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ (190)

“Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) ugama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh”. (Surah Al-Baqarah: 190)

Islam mengharamkan pembunuhan terhadap rakyat awam, bukan sahaja orang tua, kaum wanita dan kanak-kanak, termasuklah paderi dan sami di rumah ibadat mereka. Kini ternyata betapa mereka yang terlibat dalam krisis yang berlaku di serata dunia di sebalik penjajahan semula dan kepentingan ekonomi termasuk perniagaan senjata secara gelap dan nyata.

Kehidupan masyarakat berbagai agama dalam masyarakat Islam boleh dibandingkan apa yang dilakukan terhadap kaum Islam di Rohingya dan lain-lain.

PAS terus beristiqamah dengan petunjuk Allah dalam hubungannya dengan semua pihak berpandukan firman Allah:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

“Bekerjasamalah dalam melaksanakan perkara kebaikan dan taqwa, dan janganlah kamu bekerjasama dalam perkara dosa dan bermusuhan”. (Surah Al-Maa’idah: 2)

Sekian, terima kasih Tuan Yang Dipertua.

Teks perbahasan Titah Diraja oleh YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Ahli Parlimen Marang di Dewan Rakyat pada 10 Zulkaedah 1439 / 23 Julai 2018.

MENDIANG Perdana Menteri British, William Ewart Gladstone (1809-1898), menegaskan: “As long as there is this book [the Quran], there will be no peace in the world.” (Selagi kitab ini (Al-Quran) wujud, tidak akan ada keamanan di-dunia.)

Kenyataan ini diucapkan sejak dua abad tahun yang lalu, ketika kemuncaknya penentangan umat Islam dalam menghadapi era kolonialisma atau imperialisma (penjajahan) yang meneruskan Perang Salib yang ganas terhadap Islam dan penganutnya, tanpa mengenang budi kepada Tamadun Islam yang berjasa menyelamatkan mereka keluar daripada zaman kegelapan.

Maka tercetusnya Revolusi Industri dan munculnya teori pemisahan urusan kehidupan daripada agama Kristian sehingga mencetuskan agenda sekularisma yang melahirkan pelbagai ideologi dan teori ciptaan manusia.

Bukan sahaja memisahkan politik daripada agama, bahkan juga memisahkan sains dan teknologi daripada agama kerana menggunakan akal tanpa hidayah apabila mereka mengikuti sifat keangkuhan iblis yang dilaknat oleh Allah Pencipta Alam yang berjaya mempengaruhi manusia yang cerdik dan mulia kejadiannya dengan adanya akal. Tiba-tiba mereka memuja makhluk yang hina seperti menyembah binatang dan batu tanpa akal, sehinggalah mencipta senjata pemusnah yang menjadikannya lebih ganas daripada binatang liar.

Mereka melakukan permusuhan terhadap Islam dan penganutnya walau apa sahaja tindakan, namun umat Islam bangkit menentangnya dan tidak mengalah walaupun dalam keadaan paling lemah dan miskin.

Di saat ini, umat Islam mengalami penyakit kerajaannya yang lemah apabila meninggalkan petunjuk Al-Quran kerana leka dan mabuk berkuasa sahaja, dan meninggalkan kemajuan ilmu duniawi yang berjaya diterokai sehingga tanah airnya dapat dijajah dan kerajaannya ditumbangkan di seluruh pelosok dunia sama ada melalui peperangan secara langsung atau polisi adu domba dalam kalangan umat Islam sendiri yang dibejati semangat fanatik kaum dan mazhab, di samping lemahnya ilmu pengetahuan agama dan ilmu duniawi yang telah diciptanya.

Umat Islam menjadi lemah sehingga dijajah tanah airnya, dibahagikan pula dalam kalangan penjajah Barat yang berebut mendapatkan habuan masing-masing, merampas hasil bumi dan memanfaatkannya dengan memperhambakan umat Islam yang lemah, maka berlakunya kebenaran terhadap amaran Rasulullah S.A.W:

"تداعى عليكم الأمم كما تداعى الأكلة على قصعتها وقال قائل: أو من قلة نحن يومئذ يا رسول الله؟ قال: لا، بل أنتم كثير ولكنكم غثاء كغثاء السيل. ولينزعن الله المهابة منكم في قلوب عدوكم، وليقذفن الله في قلوبكم الوهن. وقال قائل: ما الوهن يا رسول الله؟ قال: حب الدنيا وكراهية الموت" (رواه أحمد وأبو داؤد وغيرهما)

“Umat-umat yang lain melingkungi kamu, laksana orang-orang yang melingkungi makanan lazat yang dimakannya dengan rakus. Lalu seorang dari kalangan para sahabat bertanya: Adakah jumlah kita pada masa itu terlalu sedikit? Sabda Rasulullah S.A.W.: Sebenarnya jumlahnya ramai, tetapi (terlalu lemah) laksana buih atau sampah yang dihanyutkan air banjir. Allah menghilangkan kehebatan (umat Islam) yang dirasakan oleh musuh-musuhnya. Lalu dicampak ke dalam diri mereka penyakit Al-Wahnu. Lalu seorang dari kalangan para sahabat bertanya: Apakah Al-Wahnu itu wahai Rasulullah? Sabdanya: Terlalu kasihkan dunia (melulu atau melampau tanpa halal dan haram) dan terlalu takut mati”. (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan lain-lain)

Namun, kecintaan kepada Islam tidak boleh dihapuskan walaupun dalam keadaan yang sangat jahil. Kadang-kadang banyak dosa sehingga melakukan kekufuran (aqidah atau nikmat) kerana kejahilannya.

Al-Quran pula tetap dipelihara oleh Allah mengikut janji-Nya:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ (9) ]سورة الحجر: [9

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya”. (Surah Al-Hijr: 19)

Kita menyaksikan pengajian Al-Quran terus dipelihara pada zaman penjajah sehingga kini, walaupun tanpa mengetahui makna dan maksudnya. Di mana sahaja adanya umat Islam walaupun dalam keadaan miskin dan buta huruf, Al-Quran tetap dijaga sehingga ada yang memelihara secara hafalan, dan ada juga memeliharanya tanpa mengetahui makna dan maksudnya, kerana tetap beriman kepada fadilat dan keberkatannya.

Kehebatan mukjizat ilmu Al-Quran pula terserlah kepada sesiapa yang mengkajinya dalam segala bidang ilmu agama dan dunia, termasuk dalam kalangan bukan Islam ada yang mendapat hidayah sehingga menganut Islam. Ada yang tidak mendapat hidayah sehingga menjadi lebih hina daripada binatang yang mencari buah yang lazat dan baik, tetapi yang tidak mendapat hidayah itu ada yang hanya mencari keburukan yang tidak dijumpai, lalu mencipta keburukannya.

Allah mencabar kalangan anti Al-Quran sejak beberapa abad yang lalu ketika mula diwahyukan sehingga kini. Firman Allah:

وَإِن كُنتُمْ فِي رَيْبٍ مِّمَّا نَزَّلْنَا عَلَىٰ عَبْدِنَا فَأْتُوا بِسُورَةٍ مِّن مِّثْلِهِ وَادْعُوا شُهَدَاءَكُم مِّن دُونِ اللَّهِ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ (23) فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا وَلَن تَفْعَلُوا فَاتَّقُوا النَّارَ الَّتِي وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ أُعِدَّتْ لِلْكَافِرِينَ (24) ]سورة البقرة: 23-24 [

“Dan kalau kamu ada menaruh syak (keraguan) tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba Kami (Muhammad S.A.W.), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggillah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain daripada Allah (Tuhan yang kamu ciptakan atau pemimpin yang kamu sanjung atau ilmuwan yang kamu puja), jika betul kamu orang-orang yang benar” (23); “Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu kamu tidak dapat membuatnya, maka peliharalah diri kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang-orang kafir (yang ingkar tidak percaya atau melawan)”. (24) (Surah Al-Baqarah: 23-24)

Sejak zaman awal bersama Rasulullah S.A.W sehingga kini, cabaran ini tidak mampu dijawab, ternyata kebenaran dan kehebatan Al-Quran tidak dapat dicabar. Semua yang mencabar tersungkur, bahkan mendedahkan kebodohannya walaupun ada sedikit ilmu, namun tetap ada kelemahan sifat makhluknya sehinggalah terkini muncul daripada kalangan umat Islam sendiri yang disebut oleh Rasulullah S.A.W yang tarafnya seperti kanak-kanak sahaja mentafsirkan Al-Quran dengan akalnya sahaja tanpa syarat ilmu-ilmu yang mencukupi berkait dengan bahasa Al-Quran dan ilmu tafsirnya.

Kajian sehingga terkini secara saintifik tetap berpihak kepada kebenaran Al-Quran khususnya dalam perkara perbandingan agama, ideologi, halal dan haram, sejarah, sehinggalah sains angkasa dengan syarat benar-benar mencari kebenaran. Akhirnya mereka gagal menandingi kehebatan Al-Quran, lalu mencipta undang-undang zalim dan media yang fasik bagi menghukum terhadap Islam dan Al-Quran.

Kita tidak boleh menerima kalangan yang buta Al-Quran yang lebih bebal daripada buta huruf. Walaupun tidak buta huruf sehingga bijak menggunakan alat-alat kajian dan media terkini yang sangat canggih.

Kenyataan-kenyataan seperti mahukan tindakan terhadap Dr. Zakir Naik, pendakwah yang berilmu dalam perbandingan agama dan kitab agama, desakan menghapuskan sekolah-sekolah Tahfiz Al-Quran dan desakan menyamakan Islam dengan agama lain dan sebagainya adalah semuanya tidak berlaku adil secara hujah yang sebenar bagi mencari kebenaran kerana tidak mampu menandingi bahasa Al-Quran dan nilai ilmunya yang tinggi.

Terlalu banyak kajian-kajian para orientalis dan saintis yang telah berpihak kepada kebenaran Al-Quran yang boleh dibandingkan secara ilmu yang adil dan jujur bagi menambahkan keyakinan kita kepada mukjizat Al-Quran sebenarnya daripada Allah. Contohnya masih banyak istilah-istilah sains menggunakan perkataan bahasa Al-Quran, bahkan penggubal undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia menjadikan Al-Quran sebagai rujukannya. Maka terlalu kerdilnya suara di sini yang berlagak terlanjur bijak, tetapi mendedahkan kebebalannya sehingga memperkecilkan Al-Quran.

Bahasa Al-Quran dipilih oleh Allah, sehingga kini masih menjadi bahasa di persidangan antarabangsa termasuk PBB, di samping bahasa-bahasa penjajah. Maka jadilah kalangan yang merasa bijak itu, laksana katak di bawah tempurung yang melompat dalam lingkungannya. Ada yang masih terpengaruh dengan Bahasa Inggeris dan ada yang terpengaruh dengan Bahasa Perancis kerana pernah dijajah. Jerman, Jepun dan Cina bangkit dengan bahasa masing-masing.

Apa yang wajib ialah kuasa politik umat Islam memberi perlindungan kepada langkah dan tindakan mempertahankan Islam dan Al-Quran sebagai kitab suci. Kalangan umat Islam juga wajib mempertahankan secara Fardu Ain mengikut kemampuan masing-masing atau Fardu Kifayah melalui apa sahaja Kumpulan Islam, sama ada parti politik atau NGO yang masih ada cintanya kepada Islam dan Kitab Suci Al-Quran dalam diri masing-masing, walaupun adanya jaminan Allah melalui firman-Nya:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ (9) ]سورة الحجر: [9

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya”. (Surah Al-Hijr: 19)

Allah menyatakan kehebatan Al-Quran:

لَوْ أَنزَلْنَا هَٰذَا الْقُرْآنَ عَلَىٰ جَبَلٍ لَّرَأَيْتَهُ خَاشِعًا مُّتَصَدِّعًا مِّنْ خَشْيَةِ اللَّهِ وَتِلْكَ الْأَمْثَالُ نَضْرِبُهَا لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ (21) ]سورة الحشر: 21 [

“Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya Engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya”. (Surah Al-Hasyr: 21)

Biarkan mereka yang keras hati dan kepalanya, sepertimana dinyatakan dalam firman Allah:

ثُمَّ قَسَتْ قُلُوبُكُم مِّن بَعْدِ ذَٰلِكَ فَهِيَ كَالْحِجَارَةِ أَوْ أَشَدُّ قَسْوَةً وَإِنَّ مِنَ الْحِجَارَةِ لَمَا يَتَفَجَّرُ مِنْهُ الْأَنْهَارُ وَإِنَّ مِنْهَا لَمَا يَشَّقَّقُ فَيَخْرُجُ مِنْهُ الْمَاءُ وَإِنَّ مِنْهَا لَمَا يَهْبِطُ مِنْ خَشْيَةِ اللَّهِ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ (74( ]سورة البقرة: 74[

“Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya, dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah. Sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan)”. (Surah Al-Baqarah: 74)

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 5 Zulkaedah 1439 / 18 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 18/7/2018

FIRMAN Allah:

إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ وَمَا اخْتَلَفَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ إِلَّا مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْعِلْمُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ وَمَن يَكْفُرْ بِآيَاتِ اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ ]آل عمران: 19[

“Sesungguhnya Al-Din (agama, ajaran dan petunjuk cara hidup yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur (ingkar) akan ayat-ayat keterangan Allah (dalam Kitab suci dan keterangan Nabi-nabi terdahulu), maka Sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisab-Nya)”. (Surah Aali-Imran: 19)

Menunjukkan Islam sahaja yang diiktiraf di sisi Allah. Islam adalah petunjuk daripada Allah kepada seluruh makhluk sejak bermulanya kejadian alam. Hanya Islam menjadi anutan semua para Rasul dan Anbia’.

Kedatangan Islam di akhir zaman adalah kesinambungan daripada asalnya Islam sahaja mengikut ketetapan Allah. Sehingga disebut dengan tegas dalam Kitab-kitab suci yang diwahyukan kepada mereka semua, termasuk Kitab suci yang sudah menyimpang daripada wahyu.

Agama dan ajaran yang lain berlakunya penyelewengan daripada petunjuk Allah (Islam), semata-mata kerana fanatik kaum dan taasub kepada warisan lama yang menyeleweng itu, walaupun sesat dan jahil, sehingga terpesong daripada konsep mencari kebenaran. Lalu menolak Kitab Allah atau menyelewengkannya, dan mengkhianati para Rasul terdahulu yang dilantik mengikut pilihan Allah secara langsung bukannya pilihan manusia. Semua para Rasul itu sangat dikenali oleh kaum masing-masing akan sifat benar, amanah dan segala akhlak yang terpuji bagi mereka. Maka sikap menolak Islam dan menolak para Rasul itu sangat sesat dan besar kesalahannya.

Di sinilah mengapa penganut Islam diwajibkan beriman kepada semua para Rasul dan Nabi yang terdahulu dan Kitab-kitab yang diwahyukan, walaupun hukumnya sudah dinasakhkan kerana perubahan zaman, keadaan manusia dan alam sekelilingnya.

Firman Allah menegaskan wajib menerima Islam:

وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ ]آل عمران: 85[

“Dan sesiapa yang mencari pegangan (agama dan cara hidup atau ajaran atau petunjuk) selain Islam, maka tidak akan diterima daripadanya. Dan dia pada hari Akhirat kelak dari orang-orang yang rugi”. (Surah Ali-Imran: 85)

Menunjukkan bahawa lain daripada Islam tidak diterima Allah dan akan menerima akibatnya di Hari Akhirat kerana kepercayaan dan amalan tanpa Islam bermakna menolak petunjuk Allah Pencipta Alam Semesta Yang Maha Suci daripada sifat kekurangan. Di Hari Akhirat tidak ada yang berkuasa selain Allah, di kala itu semuanya di bawah kuasa dan keputusan Allah:

مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ (4) ]الفاتحة: 4[

“Hanya Allah Yang Menguasai Pemerintahan hari Al-Din (pemilik pembalasan mengikut hukumnya sahaja di hari Akhirat”. (Surah Al-Fatihah: 4)

Firman Allah:

قُلْ هَلْ نُنَبِّئُكُم بِالْأَخْسَرِينَ أَعْمَالًا (103) الَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا (104) أُولَٰئِكَ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِ رَبِّهِمْ وَلِقَائِهِ فَحَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فَلَا نُقِيمُ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَزْنًا (105) ذَٰلِكَ جَزَاؤُهُمْ جَهَنَّمُ بِمَا كَفَرُوا وَاتَّخَذُوا آيَاتِي وَرُسُلِي هُزُوًا (106) ]الكهف: 103-106[

“Katakanlah (wahai Muhammad): "Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya?” (103); “(Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan". (104); “Merekalah orang-orang yang kufur (ingkar) akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan dengannya (adanya Hari Akhirat). Oleh itu gugurlah amal-amal mereka, maka akibatnya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka pada Hari Kiamat kelak”. (105); “(Mereka yang bersifat) demikian, balasannya Neraka Jahannam disebabkan mereka kufur (ingkar), dan mereka pula menjadikan ayat-ayatKu dan Rasul-rasulKu sebagai ejek-ejekan”. (106) (Surah Al-Kahfi: 103-106)

Mafhum daripada petunjuk Al-Quran dan Sunnah, serta difahami oleh Ijma’ (sepakat) para ulama yang bermoral luhur mewarisi ilmu dan beriman bersama Islamnya serta memelihara ilmu dengan amanah dan ikhlas, adalah menjadi ajaran yang wajib diimani oleh penganut Islam bahawa Islam menjadi syarat sah kepada semua amalan agama dan juga amalan kehidupan dunia yang tidak terpisah daripadanya.

Ketegasan diterima amalan di sisi Allah bersyaratkan Islam ketika berlakunya hisab di Hari Akhirat nanti, yang menjadi kemuncak wawasan kepada setiap orang yang beriman. Bermakna menolak dengan tegas ungkapan secara mudah: “Asalkan dia baik, walaupun tanpa Islamnya”.

Tidak dinafikan betapa Islam menilai juga kebaikan seseorang walaupun dia bukan Islam kerana Rasulullah S.A.W menghargai tokoh jahiliah yang berakhlak dan memberi penghormatan kepada keluarganya. Tetapi dalam hubungan sekadar urusan dunia sahaja. Adapun perhitungan Allah berlangsung sehingga Hari Akhirat yang tidak ada lagi perhitungan manusia, mewajibkan Islam menjadi syarat diterima di sisi Allah. Maksudnya bahawa Islam itu wajib menjadi dasar dan matlamat serta kaifiatnya (caranya) juga menepati ajaran Islam.

Islam menegaskan bahawa perjalanan seseorang manusia itu tidak habis di Alam Dunia dan tidak tamat dengan kematian. Selepasnya Alam Barzakh (Alam Kubur) yang lebih panjang daripada kehidupan dunianya dan selepasnya pula Alam Akhirat yang kekal abadi. Firman Allah:

كَيْفَ تَكْفُرُونَ بِاللَّهِ وَكُنتُمْ أَمْوَاتًا فَأَحْيَاكُمْ ثُمَّ يُمِيتُكُمْ ثُمَّ يُحْيِيكُمْ ثُمَّ إِلَيْهِ تُرْجَعُونَ (28( ]البقرة: 28[

“Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah, padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Dia menghidupkan kamu; setelah itu Dia mematikan kamu, kemudian Dia menghidupkan kamu pula (pada Hari Akhirat). Akhirnya kamu dikembalikan kepada-Nya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)”. (Surah Al-Baqarah: 28)

Firman Allah:

أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ ]المؤمنون: 115[

“Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat atau tujuan pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) bahawa tidak akan dikembalikan kepada kami (untuk dibicarakan)?”. (Surah Al-Mu’minun: 115)

Peranan manusia yang diciptakan ialah supaya beribadah kepada Allah, khilafah memakmurkan bumi dengan petunjuk Allah (Islam) dan amanah (melaksanakan Syariat Allah). Maka Islam menjadi syarat sah dan cara betul kepada semua amalan yang boleh menjadi bekalan sepanjang perjalanan tersebut. Bukan sahaja amalan yang dinamakan urusan ibadat yang wajib dan sunat dalam hubungan secara langsung menghadap Allah seperti solat, puasa, zakat, dan haji yang menjadi rukun Islam, termasuk zikir, tasbih, tahmid, doa, sedekah, bantuan dan lain-lain. Termasuk juga amalan hubungan dengan sesama manusia dan lain-lain makhluk yang membawa kebajikan dan menolak kemungkaran.

Syarat ini adalah diwajibkan kepada semua, termasuk para Rasul A.S, manusia pilihan Allah:

قُلْ أَفَغَيْرَ اللَّهِ تَأْمُرُونِّي أَعْبُدُ أَيُّهَا الْجَاهِلُونَ (64) وَلَقَدْ أُوحِيَ إِلَيْكَ وَإِلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكَ لَئِنْ أَشْرَكْتَ لَيَحْبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ (65) ]الزمر: 64-65[

“Katakanlah (wahai Muhammad kepada orang-orang musyrik itu): “Sesudah jelas dalil-dalil keesaan Allah yang demikian), patutkah kamu menyuruhku menyembah atau memuja yang lain dari Allah, hai orang-orang yang jahil?”. (64) “Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu: “Demi sesungguhnya! Jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu, dan engkau akan tetap menjadi dari orang-orang yang rugi”. (65) (Surah Az-Zumar: 64-65)

Maka persamaan jenama beberapa konsep Islam dengan agama dan ideologi atau teori yang lain, hakikatnya tidak boleh disamakan Islam itu dengannya kerana keseluruhan aspek yang ada dalam Islam yang tidak berpisah di antara satu dan lain. Merangkumi segala sifat kejadian manusia mengikut fitrahnya dan perjalanannya daripada dunia sehingga Hari Akhirat. Inilah ketegasan firman Allah:

وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ وَذَٰلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ ]البينة: 5[

“(Padahal mereka) tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas Ad-Din Tauhid (Islam), dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah Al-Din (agama dan petunjuk ) yang benar”. (Surah Al-Bayyinah: 5)

Contohnya, konsep yang baik seperti adil, benar, amanah dan apa sahaja kerja kebajikan dan juga menentang kejahatan seperti rasuah dan apa-apa sahaja salah laku dalam amalan bermasyarakat oleh semua agama dan ideologi sehingga dikenakan hukuman yang sekeras-kerasnya terhadap pesalah. Namun hukum wajib dan sunat, halal dan haram yang ditegaskan oleh Islam berbeza dengan hukum salah mengikut agama dan undang-undang yang lain daripada Islam. Walaupun sehingga dinamakan kesalahan jenayah oleh ajaran dan undang-undang itu dan dikenakan hukuman yang keras secara mandatori yang lebih keras daripada hukum hudud dalam syariat Islam.
Islam tetap berbeza dengan yang lain kerana undang-undang ciptaan yang lain daripada Allah sekadar sempadan akal manusia yang terbatas dan banyak kelemahannya, dan hanya dikira salah dalam kehidupan dunia secara lahir sahaja tanpa aspek rohani di luar kemampuan akal dan pancaindera, seterusnya perjalanan selepas kematian dan Alam Akhirat.

Adapun Islam yang disebut Al-Din daripada ilmu Allah yang sempurna, menambahnya dengan bebanan dosa yang melibatkan seluruh fitrah manusia dan hubungannya juga dengan alam ghaib dan dikira pula selepas kematian. Semuanya tetap tidak terlepas kalau tidak dihukum di dunia atau tidak bertaubat dan menerima kemaafan atau keampunan daripada sesiapa yang berhak memberi pengampunan.

Seseorang yang terpelihara Islamnya tetap berpeluang diampunkan dosa, walaupun paling besar dan banyak dosanya, atau paling jahilnya berkenaan Islam itu. Namun janjinya tetap diterima Allah selagi bersama Islam, apabila bertaubat atau telah dihukum dengan undang-undang syarak dan undang-undang ciptaan manusia yang diizinkan Allah atau menerima bencananya di dunia atau bertaubat sebelum ditutup pintu taubat apabila nyawa di kerongkong atau matahari naik dari arah Barat yang menjadi tanda nyata akhir ajalnya atau ajal alam dunia. Diambil kira juga fadilat amal baiknya bersama Islam sehingga amal yang baik itu juga menghapuskan dosanya dengan izin Allah. Firman Allah:

إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ ذَٰلِكَ ذِكْرَىٰ لِلذَّاكِرِينَ ]هود: 114[

“Sesungguhnya amal-amal kebajikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat”. (Surah Hud: 114)

Adapun yang tidak ada Islamnya, segala amal kebajikannya habis sekadar alam dunia, walaupun banyaknya sepenuh bumi. Tegasnya sejahat-jahat yang ada Islamnya di hujung Akhiratnya tetap ke Syurga dan sebaik-baik yang tidak ada Islamnya, di hujung Akhiratnya tetap ke Neraka.

Kesimpulannya, ini menunjukkan betapa beristiqamah bersama Islam menjadi pegangan setiap muslim hendaklah dipertahankan berpandukan firman Allah juga:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ ]آل عمران: 102[

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam”. (Surah Aali-Imran: 102)

Pertahankan kedudukan Islam bersama taqwa dalam diri masing-masing dan keluarga. Pertahankan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Negara dan seterusnya Islam wajib memimpin urusan penting negara yang menyentuh dasar dan kedaulatan umat, walaupun masih banyak kelemahan dalam diri dan banyaknya dosa yang dilakukan. Namun adanya bersama Islam tetap memberi harapan daripada Allah pada akhirnya.

Rasulullah S.A.W diberitahu bahawa pada Hari Kiamat nanti ada orang yang dosanya dalam suratan yang panjangnya sayup mata memandang, boleh diselamatkan oleh hanya Kalimah Tauhid yang menandakan dirinya Islam. Maka setiap penganut Islam wajib mempertahankan Islam itu sehingga akhir hayatnya.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 29 Syawal 1439 / 13 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 13/7/2018

BULAN Syawal tahun kelima Hijrah bersamaan bulan Mac tahun 627 Masihi, berlakunya peristiwa yang dikenali dengan Ahzab, bermaksud pakatan yang menggabungkan kaum-kaum musuh Islam, daripada ahli Kitab Yahudi Bani Al-Nadir dan Bani Quraizah, bersama kabilah-kabilah Musyrikin Makkah dan lain-lain. Apabila dua puak Yahudi tersebut mengkhianati tahalluf (persefahaman) yang dimeteraikan dengan negara Islam Madinah. Para pemimpin dan ketua agama Yahudi itu mengajak kaum Musyrikin Quraisy di Makkah mengumpulkan kabilah-kabilah yang lain bergabung dalam pakatan yang dinamakan Ahzab bagi menghapuskan Islam dengan menyerang Madinah.

Jumlah mereka dianggarkan sepuluh ribu anggota tentera yang lengkap bersenjata dan kenderaan di zamannya, dibandingkan dengan jumlah seluruh penduduk Islam Madinah yang masih sedikit, walaupun dicampur semuanya termasuk orang tua, kaum wanita, kanak-kanak dan yang cacat tidak berupaya.

Para pemimpin Yahudi dan ketua agama mereka yang diperkenalkan oleh Al-Quran dengan gelaran المغضوب عليهم (kumpulan yang paling dimurkai Allah), kerana mereka adalah ahli Kitab yang paling mengetahui berkenaan kedatangan Nabi akhir zaman Muhammad S.A.W yang disebut di dalam kitab suci mereka dan diberitahu oleh para nabi dan para ulama di kalangan mereka yang mewarisi ilmu para anbia. Bahkan tujuan mereka bermukim di Madinah kerana menunggu kelahiran Nabi akhir zaman itu. Namun semangat perkauman Yahudi menolak petunjuk Allah S.W.T.

Para pemimpin Yahudi dan para ulama yang jahat itu mengapikan semangat menentang Islam kepada kaum musyrikin yang jahil. Firman Allah mendedahkan pakatan mereka:

أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ أُوتُوا نَصِيبًا مِّنَ الْكِتَابِ يُؤْمِنُونَ بِالْجِبْتِ وَالطَّاغُوتِ وَيَقُولُونَ لِلَّذِينَ كَفَرُوا هَٰؤُلَاءِ أَهْدَىٰ مِنَ الَّذِينَ آمَنُوا سَبِيلًا (51) أُولَٰئِكَ الَّذِينَ لَعَنَهُمُ اللَّهُ وَمَن يَلْعَنِ اللَّهُ فَلَن تَجِدَ لَهُ نَصِيرًا (52) [النساء: 51-52[

“Tidakkah Engkau perhatikan (dan merasa pelik Wahai Muhammad S.A.W.) kepada orang-orang yang telah diberikan sebahagian dari Kitab (Taurat)? Mereka percaya kepada benda-benda yang disembah yang lain dari Allah, dan kepada Taghut (pelampau), dan mereka pula berkata kepada orang-orang kafir (kaum musyrikin di Makkah): “Bahawa mereka (kaum musyrik itu) lebih betul jalan agamanya daripada orang-orang yang beriman (kepada Nabi Muhammad S.A.W.) (51). (Kaum Yahudi yang demikian sikapnya), mereka itulah orang-orang yang dilaknat oleh Allah; dan sesiapa yang dilaknat oleh Allah, maka Engkau tidak sekali-kali akan mendapati sesiapa pun yang boleh menolongnya).” (52). (Surah An-Nisa’: 51-52)

Peristiwa yang menguji keimanan penganut Islam kepada Allah dan Rasul-Nya, dengan janji kemenangan dunia dan akhirat kalau beristiqamah bersama Islam. Firman Allah:

إِذْ جَاءُوكُم مِّن فَوْقِكُمْ وَمِنْ أَسْفَلَ مِنكُمْ وَإِذْ زَاغَتِ الْأَبْصَارُ وَبَلَغَتِ الْقُلُوبُ الْحَنَاجِرَ وَتَظُنُّونَ بِاللَّهِ الظُّنُونَا (10) هُنَالِكَ ابْتُلِيَ الْمُؤْمِنُونَ وَزُلْزِلُوا زِلْزَالًا شَدِيدًا (11) وَإِذْ يَقُولُ الْمُنَافِقُونَ وَالَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٌ مَّا وَعَدَنَا اللَّهُ وَرَسُولُهُ إِلَّا غُرُورًا(12) [الأحزاب: 10-12[

“Masa itu, apabila tentera musuh (Ahzab) datang melanggar kamu dari sebelah atas dan dari sebelah bawah (hulu dan hilir kota Madinah) di tempat kamu berada; dan di masa itu pemandangan mata kamu terbeliak tidak berketentuan arah (kerana gempar dan terkejut dengan kedatangan musuh yang ramai jumlahnya) serta hati-hati kamu pun resah gelisah seolah-olah melonjak kerongkong (kerana cemas takut), dan ada kalangan kamu masing-masing pula menyangka terhadap Allah dengan berbagai-bagai sangkaan yang salah (10). Pada saat itulah diuji orang-orang yang beriman, dan digoncangkan perasaan dan pendiriannya dengan goncangan yang amat dahsyat (11). Dan lagi di masa itu orang-orang munafik dan orang-orang yang hati mereka berpenyakit (keraguan terhadap Islam) dan lemah iman dalam hatinya berkata: "Allah dan Rasul-Nya tidaklah menjanjikan (dengan kemenangan Islam) kepada kita melainkan bertujuan memperdayakan sahaja)" (12). (Surah Al-Ahzab: 10-12)

Namun masih tetap ada orang-orang yang teguh imannya yang dinyatakan oleh firman Allah:

وَلَمَّا رَأَى الْمُؤْمِنُونَ الْأَحْزَابَ قَالُوا هَٰذَا مَا وَعَدَنَا اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَصَدَقَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَمَا زَادَهُمْ إِلَّا إِيمَانًا وَتَسْلِيمًا (22) مِنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ فَمِنْهُم مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا (23( [الأحزاب: 22-23 [

“Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera Al-Ahzaab, berkatalah mereka:" Inilah yang telah dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada Kami dan benarlah (Apa Yang telah dijanjikan) Allah dan Rasul-Nya". dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat (dengan ikhlas) kepada Allah (22). Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang menegakkan Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran (bersedia untuk mati); dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikit pun) (23).” (Surah Al-Ahzab: 22-23)

Di saat yang mencemaskan ini, Rasulullah S.A.W membuktikan kebijaksanaannya yang luar biasa, bermesyuarat dengan para sahabat R.A bagi mengatur langkah dan strategi menghadapi musuh yang besarnya berlipat kali ganda itu. Akhirnya dilaksanakan cadangan sahabat yang berasal daripada Parsi, (Salman Al-Farisi R.A.) yang berpengalaman di negara Parsi yang pernah menghadapi peperangan yang besar dengan cara menggali parit dijadikan kubu pertahanan, cara yang belum diketahui oleh orang Arab. Cara yang dapat dilaksanakan dengan cepat secara bergotong royong dibahagikan mengikut pasukan penggali yang diatur, sehingga dapat disiapkan sebelum kedatangan musuh. Berakhir dengan kekalahan tentera Ahzab dan mereka gagal menghapuskan Islam dengan pertolongan Allah dan strategi yang berjaya.

Allah telah mengabadikan peristiwa ini di dalam Al-Quran yang diwahyukan dengan surah yang dinamakan Al-Ahzab. Menunjukkan pentingnya peristiwa ini menjadi pengajaran kepada umat Islam di sepanjang zaman. Tepat dengan peranan Al-Quran adalah hidayah bermukjizat yang kekal, bukan sekadar cerita dan laporan biasa.

Allah menyatakan bahawa musuh Islam sentiasa ada dan berterusan memusuhi Islam dan pendukungnya di sepanjang zaman di mana sahaja. Firman Allah:

وَلَا يَزَالُونَ يُقَاتِلُونَكُمْ حَتَّىٰ يَرُدُّوكُمْ عَن دِينِكُمْ إِنِ اسْتَطَاعُوا [البقرة: 217[

“Mereka (orang-orang kafir yang bermusuh itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (dapat) memurtadkan kamu dari agama kamu kalau mereka boleh (melakukan yang demikian)…(217).” (Surah Al-Baqarah: 217)

Selepas kewafatan Rasulullah S.A.W, negara Islam dikepung oleh orang-orang Arab yang murtad, pengikut nabi-nabi palsu dan bohong dan kalangan yang kembali semula kepada jahiliah. Disertakan dua kuasa besar dunia Parsi di Timur dan Rom di Barat. Namun semuanya dapat dikalahkan di zaman Khulafa’ Rasyidin dan Islam terus berkembang di seluruh pelusuk dunia.

Bala tentera Ahzab terus mengepung umat Islam di sepanjang zaman. Kita telah menyaksikan pula dengan nyata sejarah zaman penjajahan, apabila mereka yang datang daripada berbagai negara dan berbagai agama dan ideologi itu bersatu menyerang dan menjajah tanah air umat Islam di zaman penganut Islam mengalami kelemahan, sehingga dunia Islam dapat dipecah dan dibahagikan sesama mereka, mengikut peta yang dilakar oleh mereka dan perpecahan dengan semangat nasionalisme jahiliah di kalangan umat Islam yang lemah pegangan Islamnya.

Bukan sahaja musuh itu merampas tanah air dan hasil bumi Islam dan memperhambakan rakyatnya, mereka juga merancang berbagai-bagai cara, bukan sahaja peperangan bersenjata, ditambah dengan memerangi pemikiran, kefahaman dan budaya, supaya memurtadkan penganut Islam dengan berbagai-bagai cara, sehinggalah sekurang-kurangnya meninggalkan ajaran Islam sedikit demi sedikit, apabila dirancang terhadap umat Islam dengan agenda menyebarkan kejahilan terhadap agamanya sendiri dan dimasukkan kefahaman asing melalui pendidikan, media dan pentadbiran, disertakan serangan politik, ekonomi dan sosial.

Walaupun negeri-negeri umat Islam terpaksa diberi kemerdekaan pada akhirnya, namun kesan daripada serangan pemikiran terus berlaku supaya umat ini meninggalkan Islam atau melemahkan pegangan terhadap ajaran Islam. Sehingga terpengaruh dengan ideologi dan teori yang dibawa oleh penjajah itu. Menjadikan pengaruhnya tidak diputuskan, walaupun penjajah itu keluar pada zahirnya tetapi pengaruhnya terus bertapak. Pendekatannya supaya membolehkan mereka terus menjajah atau kembali menjajah semula bila-bila masa, melalui campur tangan secara langsung atau tidak langsung.

Kemerdekaan yang diatur penyerahannya di tangan kalangan umat Islam sendiri, daripada mereka yang dibentuk pemikirannya yang jahil Islam dan terpengaruh dengan kuasa penjajahan yang memberi tempat mewarisi pemerintahan mengikut acuannya. Seterusnya menjadi penghalang sebarang usaha kembali semula kepada ajaran Islam yang sebenar.

Ada negara umat Islam yang dikatakan merdeka itu, mengizinkan pangkalan tentera penjajah asing itu terus bertapak dengan kukuh, bagi melindungi kepentingan musuh Islam dengan berbagai-bagai alasan. Sehingga ada pula negara umat Islam yang mengiktiraf negara haram Israel yang merompak bumi Palestin. Sehinggalah ada negara umat Islam menjadi wakil untuk berperang bagi pihak musuh membunuh saudaranya sendiri.

Kita menyaksikan campur tangan secara langsung negara besar Timur dan Barat melalui tentera, politik dan ekonomi ke dalam tanah air Islam dan mengganggu umatnya dengan berbagai cara.

Walaupun begitu perancangannya, terbukti mereka gagal memadamkan cahaya Islam yang terus bersinar menembusi segala sekatan, sehingga Islam terus berkembang dengan pesat, termasuk ke dalam negara yang menjajahnya dahulu, laksana mengulangi sejarah Firaun yang menghalang kelahiran Nabi Musa A.S, tiba-tiba Musa dibesarkan di dalam mahligainya.

Kini, kesedaran dan kebangkitan Islam berlaku bukan sahaja kalangan mereka yang bertahan di masjid dan institusi pengajian Islam sahaja, bahkan marak di kalangan mereka yang diasuh atau ditarbiah oleh penjajah itu, apabila mereka menyaksikan kemusnahan manusia yang menganut berbagai agama dan ideologi yang lain daripada Islam, menjadikan mereka kembali ke pangkal jalannya yang sebenar, iaitu Islam. Benarlah firman Allah:

وَقَدْ مَكَرُوا مَكْرَهُمْ وَعِندَ اللَّهِ مَكْرُهُمْ وَإِن كَانَ مَكْرُهُمْ لِتَزُولَ مِنْهُ الْجِبَالُ (46) فَلَا تَحْسَبَنَّ اللَّهَ مُخْلِفَ وَعْدِهِ رُسُلَهُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ ذُو انتِقَامٍ (47) [إبراهيم: 46-47 [

“Dan sesungguhnya mereka telah menjalankan rancangan jahat (untuk menentang Islam), sedang di sisi Allah ada balasan bagi (mengalahkan) rancangan jahat mereka, walaupun rancangan jahat mereka itu, dapat meruntuhkan bukit bukau dan gunung-ganang sekalipun (46). Oleh itu, janganlah Engkau menyangka Allah memungkiri janjinya kepada Rasul-Nya; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi sedia membalas (orang-orang yang menderhaka kepadanya) (47).” (Surah Ibrahim: 46-47)

Kini pula, mereka berjaya mencipta apa yang dinamakan keganasan dengan bantuan mereka bagi mengacau kebangkitan Islam yang menyelamatkan manusia, diubah menjadi makhluk perosak dalam diri umat Islam dan mencalarkan imej Islam yang menjadi rahmat dan adil terhadap semua. Dilakukan melalui kemajuan teknologi ketenteraan dan media tanpa sempadan yang mereka kuasai. Terdapat kalangan umat Islam yang bersemangat tanpa ilmu secara tafaqquh fi Al-Din (kefahaman dalam agama) dipergunakan dengan mudah, bertujuan mencelarukan kebangkitan Islam yang sedang berlaku.

Umat Islam laksana diratah dan dimakan oleh peperangan yang dirancang begitu rupa, sehingga membunuh saudara sendiri dengan senjata yang dibekalkan oleh musuh dengan belanja umat Islam yang dibodohkan. Pemikirannya pula dicelarukan oleh media baru meredah sempadan sehingga sesat meninggalkan petunjuk Allah.

Percayalah bahawa bala tentera Ahzab terkini juga menerima nasib dimusnahkan seperti juga Ahzab terdahulu mengikut janji Allah.

يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ (8)

“Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).” (Surah Al-Soff: 8)

Terus beristiqamah bersama Islam.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 19 Syawal 1439 / 3 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 3/7/2018