PERKEMBANGAN terbaru saman Presiden PAS terhadap Editor Sarawak Report (SR) semakin menunjukkan kedudukan yang sangat positif. Walaupun kes tersebut telah berlangsung hampir dua tahun, tetapi kebenaran tetap tidak boleh disekat.

Strategi melengahkan masa merugikan pihak lawan 

Antara faktor kes saman ini berlanjutan begitu lama adalah kerana taktik yang digunakan pihak SR, Clare Rewcastle Brown. Sejak awal surat tuntutan guaman dihantar kepada beliau, dalih melambatkan prosedur telah digunakan. Beliau mendakwa surat tidak sampai, menyebabkan firma guaman Presiden PAS, Carter Ruck terpaksa mengulang beberapa prosedur sama.

Mahkamah yang sepatutnya mendengar keterangan pembelaan dari Clare pada Jun 2017, terpaksa ditangguh apabila beliau membuat permohonan jaminan kos. Akhirnya Mahkamah memutuskan Ogos 2017 pula sebagai tarikh perdengaran permohonan tersebut.

Ogos 2017, permohonan tersebut ditolak dan Mahkamah mengumumkan kemenangan Tuan Guru Haji Hadi (TGHH) pada pusingan tersebut. Clare diperintah menanggung 2 per 3 kos guaman semasa TGHH.

Berang dengan kekalahan tersebut, Clare bertindak memecat peguamnya dan menggantikan dengan yang lebih 'mahal'. Beliau dengan itu memohon penangguhan lagi supaya peguam baharu diberi masa untuk meneliti fakta kes.

Beberapa kali selepas itu, Clare membuat beberapa pindaan terhadap keterangan pembelaan yang membuatkan Mahkamah terpaksa menangguhkan lagi kes. Selain itu, mereka turut menghantar orang tengah memujuk PAS menarik balik saman dan diselesaikan di luar Mahkamah. Ini semua faktor yang membawa mahkamah terheret ke tarikh 30 April.

6-0, Presiden PAS selesa di 'tempat lawan' 

Sebelum ini, PAS telah menang dalam tuntutan jaminan kos oleh Clare. Pada prosiding 30 April pula, PAS menang terhadap 5 lagi permohonan beliau. Menjadikan keputusan setakat ini enam berbalas kosong.

Enam perkara tersebut adalah:

●     Tuntutan jaminan kos.

●     Permohonan mengenepikan saman.

●     Permohonan perbicaraan berasingan bagi menjelaskan maksud laporan SR.

●     Permohonan penangguhan atas alasan PAS mengganggu Ambiga.

●     Permohonan meminda keterangan pembelaan.

●     Penolakan Mahkamah terhadap pembelaan kebenaran. (Ini paling penting)

Secara mudahnya, semua hujah SR bagi membuktikan kenyataan beliau adalah benar telah ditolak oleh Mahkamah. Peluang yang tinggal untuk beliau cuma untuk membuktikan laporan tersebut dilindungi di bawah peruntukan Public Interest dan Fair Comment sahaja. Kalau nak kata SR pemfitnah pun sudah tidak ada salahnya berdasarkan keputusan semasa.

Ibrah Roma-Liverpool 

Ada yang mempertikaikan sorakan kegembiraan penyokong PAS dengan enam jaringan tersebut. Bagi mereka, kes belum tamat. Tetapi sebenarnya penyokong SR yang patut malu. 6-0 masih berangan mahu bangkit lagikah? Kalau digambarkan situasi ini seperti sebuah perlawanan bola sepak, sudah lebih separuh penyokong SR meninggalkan stadium.

Semua peminat bola sepak mengakui sukarnya Roma untuk bangkit ke atas Liverpool. Padahal mereka tewas cuma 2-5, bukan lagi 6-0. Dengan kedudukan tersebut rata-rata pengulas sudah membayangkan pertembungan akhir adalah antara Liverpool dan Real Madrid. Kalau Liverpool kalah 0-2 sekali pun tetap akan mara. Maka kenapa perlu sentap bila penyokong TGHH bersorak gembira bila keputusan semasa mendahului Clare 6-0?

Sekurang-kurang Roma punya kelebihan dua jaringan di tempat lawan. Mereka juga punya rekod cemerlang menewaskan Barca selepas ketinggalan 1-4 di suku akhir. Apa pula rekod Clare? Kalau Presiden PAS dan tetuan Carter Ruck adalah juga rekod menang ke atas Daily Mirror 2008 dahulu.

Bukan nak cakap besar, tapi bak kata pepatah Arab,

التكبر على المتكبر صدقة

"Takabbur di hadapan orang takabbur adalah satu sedekah!"

16 Syaaban 1439
2 Mei 2018

(ALANG IBN SHUKRIMUN) - HARAKAHDAILY 2/5/2018 

 

SUNGGUH menyedihkan sekali melihat poster Ceramah Kebangkitan Rakyat Pakatan Harapan (PH) Parlimen Putrajaya yang dirancang untuk diadakan di Tapak Letak Kereta Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Presint 3, Putrajaya, pada jam 8.30 malam Khamis, 3 Mei ini, yang mula tersebar hari ini.

Mengikut poster tersebut, tiga orang penceramah dijadualkan akan berceramah pada malam itu, iaitu calon PH di P.125 Putrajaya, Datuk Dr Samsu Adabi Mamat, Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan ahli baru PAN, Nik Omar Datuk Nik Abdul Aziz.

Bila melihat poster ini terus sahaja saya teringat kepada ceramah Tun Dr Mahathir di Padang Futsal Presint 9, Putrajaya, pada 27 April 2013. Dalam mana beliau berkempen untuk memastikan kemenangan calon Barisan Nasional di P.125 Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Di dalam ceramah beliau itu, Tun Dr Mahathir bukan setakat menyelar hebat Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz malah menghina Almarhum dengan menyebut Almarhum "Tak tau ajar Islam, nama saja Tok Guru, bila bercakap, bohong, bila Tafsir Quran pun bohong, bila buat fatwa pun bohong".

Malah, Tun Dr Mahathir juga sampai ke tahap menyebut Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz "Dah nyanyuk", "Dah umur 82, nak berdiri pun dah tak boleh, masih nak bertanding lagi, sampai bila-bila. Apa jenis manusia ini", yang ditambah dengan bahasa kasar "Suruh kita tukar, tukar la diri engkau dulu".

Tidak dapat dibayangkan betapa tidak berhati perutnya pihak yang mengatur ceramah bersama antara anak Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz dengan insan yang telah menghina Almarhum di tempat di mana hinaan itu dibuat. Apatah lagi bila tiada secubit kemaafan pun pernah diminta atas hinaan itu.

Beberapa orang rakan pernah bertanya apakah pihak tertentu ini sebenarnya mempunyai dendam peribadi tertentu terhadap Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz di atas apa sahaja yang mungkin telah Almarhum lakukan atau tidak lakukan dan mempergunakan Nik Omar untuk melunaskan dendam ini. Jawab saya, hanya Allah yang mengetahui hati manusia. - HARAKAHDAILY 2/5/2018

FIRMAN Allah SWT:

قَالَ اجْعَلْنِي عَلَىٰ خَزَائِنِ الْأَرْضِ ۖ إِنِّي حَفِيظٌ عَلِيمٌ

"(Yang bermaksud:) Yusuf berkata; Jadikanlah aku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya".

[Yusuf: 55]

Tindakan Nabi Yusof A.S memohon berada ditampuk kepimpinan adalah untuk menyelamatkan perbendaharaan negara dengan panduan Ilahi berdasarkan wahyu yang diturunkan ke atas Baginda A.S. Ibnu al-Arabi menyatakan bahawa tindakan Baginda A.S tersebut adalah bagi memastikan hak-hak golongan fakir miskin dapat disalurkan kepada mereka dan supaya tiada orang yang dapat memakan harta perbendaharaan dengan sewenang-wenangnya.

Implikasi positif dengan menyelamatkan wang negara ialah lebihan sumber dapat digunakan untuk kebaikan rakyat secara umum. Sebab itu, dalam manifesto PAS ada tawaran melupuskan hutang peminjam PTPTN, bantuan bulanan makanan kepada fakir miskin dan sebagainya yang melibatkan kos yang besar mampu direalisasikan apabila wang negara dapat diselamatkan.

Pelbagai skandal dalam pentadbiran BN pada hari ini, jika di urus dengan cara Islam, akan mampu memberikan manfaat kebajikan yang besar kepada rakyat. Begitu juga ketirisan dalam perbelanjaan kerajaan yang saban tahun menunjukkan pemborosan melibatkan billion ringgit dapat diatasi.

Masalah korupsi ini tidak mampu diubati melainkan dengan kembali kepada dasar pemerintahan Islam. Rakyat perlu membuka minda agar memilih kerajaan yang bebas dari korupsi kerana ia dilarang oleh Allah S.W.T dan juga demi menyelamatkan wang negara bagi kemaslahatan serta kebajikan umum rakyat.

PAS menerusi kerajaan Kelantan telah berjaya menunjukkan model pentadbiran ekonomi Islam yang boleh dibanggakan dan patut diangkat ke tahap pelaksanaan pentadbiran peringkat Persekutuan dengan memberikan PAS mandat untuk memerintah pada PRU14 ini.

USTAZ MOHD ASRI MAT DAUD
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 2/5/2018

KUALA LUMPUR: Pengarah Strategi Pemuda PAS Malaysia, Syahir Sulaiman berkata strategi PAS adalah dengan membangunkan bakat tempatan.

Katanya, berkaitan situasi middle-income trap yang menyebabkan Malaysia yang dahulunya terkehadapan daripada kalangan negara Asia bersaing dengan Korea dan Taiwan, sekarang hanya setakat bersaing dengan Vietnam dan Indonesia

“Kerana apa, kerana tidak berlakunya pertukaran ilmu pengetahuan, tidak berlaku pertukaran teknologi dan kita punya industry masih lagi bergantung pada buruh murah yang datang daripada Bangladesh, daripada Vietnam, daripada Myanmar, Indonesia dan sebagainya,” jelas beliau dalam Program e-TownHall yang bersiaran secara langsung daripada facebook Jabatan Profesional Muda (JPRO).

Menurutnya, disebabkan inilah perlunya kepada pembangunan bakat tempatan yang akan mengisi ruang-ruang pekerjaan

Beliau juga mengulas bahawa sekiranya masih diperlukan lagi maka terdapat ‘dirty jobs’ yang kurang disukai oleh anak muda tempatan

Jelasnya, PAS akan bangunkan sektor hiliran dengan keutamaan pada teknologi, pengambilan buruh dan pengambilan profesional pada bakat-bakat tempatan

Katanya lagi, peluang anak-anak muda semakin tertutup disebabkan oleh buruh asing yang telah naik pangkat daripada sekadar buruh kasar sehingga menjadi penyelia kepada pekerja yang lain dalam bidang perladangan, pembinaan dan sebagainya

“Jadi perkara ini bagi saya sangat membimbangkan dan snagat tidak baik,” ujarnya.

Beliau memberikan cadangan bahawa pekerja asing sepatutnya diletakkan syarat supaya permit bekerja hanya untuk sektor bawahan sahaja

“Bayangkan jika perkara ini tidak dibendung, 10 tahun lagi yang supervisor mungkin akan jadi manager,” jelasnya lagi. – HARAKAHDAILY 2/5/2018

 

1. PAS ialah parti paling awal kemukakan manifesto yang sangat menarik untuk rakyat, termasuk Dokumen Hijau dan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS).

2. PAS janji hapus GST, hantu duit yang menjadi igauan rakyat tanpa mengira parti, kaum dan agama, serta memberi alternatif mendapat kan sumber kewangan negara.

3. PAS kemukakan calon ada pelbagai kelebihan, sama ada akademik, ketokohan dan pengalaman.

4. PAS ada rekod bersih urus tadbir negeri yang dikuasainya iaitu Kelantan, tanpa rasuah dan siasatan rasuah oleh SPRM yang menunjukkan PAS mampu memerintah negeri dan negara. Tidak seperti BN dan PH yang disiasat oleh SPRM dan rekod pemimpinnya yang tidak boleh disembunyikan oleh sejarah.

5. Dasar dan matlamat PAS jelas, berprinsip tentang agama yang sepatutnya orang yang mengucap syahadah tiada pilihan melainkan PAS. Dasar BN dan PH tidak lari dari sekular, nasionalis, pragmatis, liberal.

6. Kalau anda bukan Islam, jangan takut undi PAS. Kelantan di bawah pemerintahan PAS tidak pernah mendiskriminasi Tionghua, Siam, Orang Asal dan yang beragama lain dari Islam. Begitu juga jika PAS perintah Malaysia. PAS For All.

7. Pemimpin PAS seperti Tok Guru Haji Hadi, Tuan Guru Hashim Jasin, Dato' Ahmad Yaakob, Dato' Tuan Ibrahim dan lain-lain hidup sederhana yang menjadi contoh kepada yang lain. Tidak seperti pemimpin BN dan PH yang boleh dibaca tentang kekayaan melampau masing-masing. Dari mana kekayaan melampau itu diperolehi?

1. SECARA  mudahnya, permohonan interlokutori adalah suatu permohonan sebelum perbicaraan penuh.

Permohonan tersebut boleh wujud dalam banyak jenis, yang mana tujuannya adalah sama ada untuk melemahkan kes pihak lawan, memberi lebih merit kepada kes, membatalkan tindakan pihak lawan ataupun memanjangkan masa tindakan.

2. Dalam perkembangan terkini kes saman Tuan Guru Haji Hadi (TGHH) terhadap Clare Rewcastle Brown (CRB)/ (pemilik Sarawak Report), terdapat pendengaran terhadap 5 permohonan interlokutori, di mana 1 permohonan daripada pihak TGHH dan 4 lagi daripada CRB. Keputusan pendengaran permohonan tersebut kesemuanya berpihak kepada TGHH.

3. Permohonan yang telah dibuat itu adalah;

a. TGHH memohon supaya lebih daripada separuh pembelaan CRB dibatalkan - Mahkamah benarkan dengan memutuskan bahawa pembelaan mereka tidak mempunyai asas.

b. CRB memohon kepada mahkamah untuk meminda pembelaan dengan memasukkan isu rakaman audio - CRB sendiri secara rasmi meninggal-biarkan permohonan untuk meminda pembelaan beliau

c. CRB memohon kepada mahkamah untuk membatalkan tuntutan TGHH berkaitan dengan locus standi - Mahkamah menolak permohonan CRB

d. CRB memohon untuk diadakan perbicaraan berasingan bagi menentukan persoalan 'reference' berkaitan 'top echelon'/ siapakah yang dimaksudkan dengan kepimpinan tertinggi parti - Mahkamah menolak permohonan CRB

e. CRB memohon kepada mahkamah untuk 'Stay of Proceeding' kerana wujudnya gangguan kepada saksi - Permohonan ditangguhkan sehingga CRB failkan permohonan lain untuk meminda pembelaan

4. Berdasarkan kepada keputusan pendengaran interlokutori ini, banyak cakap-cakap daripada musuh politik PAS yang mengatakan bahawa ini bukanlah kemenangan untuk PAS kerana perbicaraan penuh hanya akan dilakukan pada April 2019.

5. Sebenarnya, keputusan mahkamah yang menyebelahi PAS dalam pendengaran interlokutori ini sangat bermakna kerana ianya akan mempengaruhi hampir keseluruhan perbicaraan penuh nanti untuk berpihak kepada PAS.

Kenapa saya katakan begitu?

a. Menang kalah kes sangat bergantung kepada bukti. Dalam Mahkamah, Hakim tidak akan terus menerima pernyataan tuntutan plaintif mahupun pernyataan pembelaan Defendan jika tiada bukti.

Namun begitu, bukti ini mestilah relevan kepada kes. Apa yang terjadi dalam kes Sarawak Report adalah, CRB hanya menyumbat apa sahaja maklumat terutamanya yang berkaitan dengan korupsi Umno/BN tanpa mengira sama ada ianya boleh menjadi bukti untuk menunjukkan TGHH menerima rasuah.

Apabila mahkamah menolak hampir 42 muka surat 'bukti' yang dibawa CRB, apa lagi yang tinggal untuk CRB membela dirinya untuk mengatakan bahawa TGHH menerima 90 juta itu bukanlah satu fitnah?

b. CRB sendiri meninggal- biarkan permohonannya untuk meminda pembelaan dengan memasukkan isu rakaman audio menunjukkan bahawa CRB sendiri masih tidak pasti dan tidak yakin dengan kebenaran rakaman audio tersebut seperti mana yang diwar-warkan oleh sesetengah pihak sebagai diyakini benar.

c. Kemenangan paling besar kepada TGHH adalah apabila CRB gagal untuk membatalkan isu locus standi dalam kes ni daripada TGHH/individu kepada PAS/parti politik.

Sudahlah pernyataan tanpa buktinya dibatalkan lebih daripada separuh oleh mahkamah, bukti apa lagi yang tinggal atas CRB untuk menunjukkan bahawa TGHH menerima rasuah melainkan melalut menyenaraikan pimpinan PAS yang difitnahkan sebagai bermewah-mewah dalam pelbagai bentuk kekayaan. Apa sahaja yang dilihat seperti mungkin semuanya dimasukkan seperti Ustaz Khalil yang dituduh memiliki motor besar hanya kerana sekeping foto walaupun beliau sendiri tidak memiliki lesen motor.

Dalam hal ini, CRB mempunyai beban bukti yang berat untuk menunjukkan kekayaan TGHH yang mana rakyat Malaysia sendiri sudah maklum dengan kehidupan Tuan Guru PAS yang serba sederhana itu.

d. Permohonan untuk perbicaraan berasingan terhadap persoalan sama ada pembaca memahami terma 'top echelon' sebagai Presiden parti atau termasuk semua jawatan kepimpinan dalam parti yang lain yang turut ditolak juga menunjukkan kecenderungan Mahkamah untuk tidak membahaskan isu 'top echelon' ini dengan panjang lebar. Ini merupakan suatu signal yang positif atas sebab yang sama seperti yang dinyatakan dalam isu locus standi. CRB sudah pasti mengalami kesukaran untuk membuktikan transaksi rasuah itu wujud dan juga kemewahan hidup TGHH hasil penerimaan rasuah.

e. CRB gagal mengelirukan mahkamah dengan kesalahan fakta yang banyak disumbatkan dalam pembelaan, bertujuan untuk memburukkan-burukkan TGHH dan PAS dengan mereka-reka penipuan yang lain pula. Sebagai contoh, perenggan 18 berkaitan dengan kes kalimah Allah ke mahkamah adalah dibawa oleh Pastor bukannya PAS seperti yang didakwa oleh CRB dalam pembelaan serta banyak lagi fakta yang salah jika diteliti.

Justeru, keputusan permohonan ini hanyalah menyerlahkan lagi reputasi CRB sebagai seorang yang biasa memusing dan memutar belitkan kenyataan walaupun tiada bukti atau dengan menggunakan fakta yang salah.

6. Oleh itu, tidak benar jika ada pihak yang mengatakan bahawa PAS tidak perlu gelojoh meraikan kemenangan kerana ianya baru keputusan untuk permohonan.

7. Selaku ahli PAS, berita ini adalah suatu kemenangan moral dalam membuktikan betapa CRB tiada bukti dalam menuduh TGHH menerima duit 90 juta dan akan terus mengalami kesukaran mencari bukti menuju perbicaraan.

8. Oleh yang demikian, marilah kita meraikan kemenangan awal ini dengan sama-sama terus menyumbang untuk kos guaman Sarawak Report dengan lebih banyak lagi.

Muna 'Adila Che Rime
Ketua Unit Peguam Muda,
Jabatan Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (JUHAM) – HARAKAHDAILY 2/5/2018

PADA tengah hari ini, PAS secara rasminya mengeluarkan kenyataan media yang melaporkan perkembangan terkini kes saman Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang terhadap Clare Rewcastle Brown, pemilik web Sarawak Report. 

Sesi pendengaran kes telah berlangsung selama 4 jam di hadapan Mr Justice Dingermans di Mahkamah Tinggi London pada 30 April 2018.

2. Antara intipati kenyataan media yang dikeluarkan oleh Dr Ahmad Samsuri, Setiausaha Politik kepada Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ialah seperti berikut;

a) Mahkamah menolak kenyataan pembelaan "truth defence" Sarawak Report dan permohonan Clare untuk meminda pembelaan.

b) Mahkamah memerintahkan Clare untuk membayar kos guaman sebanyak £41,400 (RM 227,700.00) kepada Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

c) Mahkamah dengan rasminya menolak keseluruhan pengakuan kebenaran Clare (dengan erti kata lain, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi mempunyai asas yang kuat untuk terus mengemukakan saman terhadap defenden).

d) Clare juga telah secara rasmi meninggal-biarkan (abandoned) permohonannya untuk meminda pembelaan "kebenaran" beliau bagi menggunakan rakaman audio satu kenyataan yang didakwa dibuat oleh Ustaz Nik Abduh, iaitu Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan juga bekas Ahli Parlimen kawasan Pasir Mas. Defendan memberi gambaran bahawa beliau akan cuba dan berhasrat untuk mengemukakan lagi draf pembelaan berkenaan rakaman audio – di mana ini adalah cubaan ketiga bagi pembelaan "kebenaran" nya.

e) Hakim juga menolak cubaan memperlewatkan oleh defendan bagi memohon perintah Mahkamah supaya diadakan perbicaraan berasingan terhadap persoalan sama ada pembaca Sarawak Report memahami artikel berkaitan adalah merujuk pada Dato Seri Tuan Guru.

f) Pasukan Peguam Tuan Guru menolak cadangan ini, yang dilihat hanyalah sebagai cubaan Defendan untuk lari dari membawa isu sebenar kes dalam perbicaraan.
Defendan juga diarahkan untuk membatalkan cubaannya untuk menolak tuntutan Tuan Guru berkaitan persoalan rujukan.

h) Perkembangan positif ini menggambarkan bibit-bibit kekalahan bagi Defendan. Hal ini juga ditunjukkan melalui perintah Hakim untuk Defendan membayar £41,400 (RM227,700.00) sebagai kos bayaran guaman Tuan Guru yang perlu dijelaskan dalam tempoh 14 hari.

i) Walaupun berdepan dengan kelewatan perkembangan kes ini, Dato’ Seri Tuan Guru berpuashati, bahawa semalam Hakim telah mengambil langkah tegas pengurusan kes dan menentukan tarikh yang tetap, iaitu perbicaraan yang akan diadakan pada awal April 2019.

3) Berpandukan kenyataan rasmi PAS ini, maka secara terang lagi nyata cereka fitnah jahat Sarawak Report telah hancur musnah.
Hampir keseluruhan hujjah pembelaan yang dikemukakan oleh Clare telah ditolak oleh mahkamah semalam.

Manakan tidak, sesiapa sahaja pasti geli hati apabila membaca hujjah pembelaan "truth defence" yang dikemukakan oleh Clare itu kerana ia hanyalah cerita omongan tahyul.

Apa kaitan sejarah penubuhan 1MDB dengan Tuan Guru Presiden PAS?
Apa kaitan kes liwat Anwar dengan Tuan Guru Presiden PAS?
Apa kaitan kes pembunuhan Altantuya dengan Tuan Guru Presiden PAS?
Apa kaitan kes pembelian kapal selam Scorpene dengan Tuan Guru Presiden PAS?
Daripada 55 mukasurat hujjah defence Clare, 50 mukasurat telah ditolak oleh mahkamah.

4) Selain itu, hujjah pembelaan Clare yang menyenaraikan kononnya bukti kemewahan pemimpin PAS turut ditolak oleh mahkamah.
Ustaz Khalil Abdul Hadi yang bergambar dengan motosikal besar BMW milik orang lain pun dijadikan bukti oleh Clare.
Lawak betul kan?

Clare turut menuduh Ustaz Hashim Jasin, Ustaz Mohd Amar, Ustaz Nasrudin, Ustaz Dato' Dr Khairuddin, Ustaz Nik Zawawi, Ustaz Nik Abduh, Dr Samsuri, Dato' Takiyuddin memiliki kemewahan luar biasa.
Malang sungguh si Clare ini, kesemua tuduhan jahat ini turut ditolak oleh mahkamah.

5) Khusus kepada pencinta FB Page Ana Tahu pula, Clare sendiri secara sukarela telah menarik kembali permohonan untuk mengemukakan audio palsu suara Ustaz Nik Abduh sebagai bahan bukti pembelaan Clare.
Oh, baru ini galak sungguh kononnya audio itu sedang dianalisis di makmal forensik untuk dijadikan bukti. Rupa-rupanya kecundang di tengah jalan. Sungguh memalukan.

6) Selain itu, permohonan "counter-claim" Sarawak Report terhadap Tuan Guru Presiden PAS pula ditolak oleh mahkamah.
Clare menuduh PAS telah membuat gangguan terhadap Ambiga yang merupakan sumber info kepada Clare.
Permohonan Clare ini dtolak oleh mahkamah.
Ambiga sepatutnya malu muka kerana dialah antara individu yang menyalurkan informasi palsu dan fitnah terhadap PAS.
Ambiga ini sedang giat berkempen bagi pihak Pakatan Harapan.

7) Perbicaraan penuh kes saman ini akan diadakan pada awal April 2019. Percubaan Clare untuk membatalkan saman ini sudah ditolak oleh mahkamah.
Dia juga cuba untuk melengahkan perbicaraan ini dengan memohon perbicaraan berasingan bagi menentukan "reference" iaitu apakah maksud "top echelon" yang ditulis di dalam artikel asal yang diterbitkan dalam web Sarawak Report pada tahun 2015 dahulu?
Dia mahu menafikan tuduhan fitnah itu ditujukan khusus kepada Tuan Guru Presiden PAS tetapi bermaksud kepada seluruh kepimpinan PAS daripada PAS Pusat sehinggalah ke PAS negeri, kawasan dan cawangan.
Clare ini menyangka kita orang Melayu tak faham kot maksud perkataan "top"?

8) Kepada sekalian pendukung dan penyokong PH, berapa lama lagi kamu mahu berpaut kepada modal fitnah jahat sebegini?
Dahulu, PH juga yang cabar Tuan Guru Abdul Hadi kemukakan saman.
Kini, Tuan Guru Abdul Hadi sudah pun kemukakan saman.
Demi mempertahan maruah dan imej parti, PAS sanggup ke London bagi menyaman si Claire yang pengecut ini.
PH dan Sarawak Report memfitnah lagi, katanya saman ini konspirasi dengan Najib dan ditaja dananya oleh Umno.

9) Sungguh jahat. Menipu dan terus menipu. Memfitnah dan terus memfitnah. PAS bukannya parti kaya yang ditaja oleh tauke besar di belakang tabir.
Duit PAS ini datangnya daripada sekalian ahli dan penyokong PAS yang sukarela menderma bagi sama-sama menampung kos guaman.
Firma guaman Carter Ruck, peguam yang mewakili Tuan Guru di London itu bukannya calang-calang.
Bahkan, mantan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas turut menganggotai panel guaman PAS di Malaysia ini.

10) Jelas, bagaikan "crystal clear" ini bukti keseriusan PAS dalam menentang fitnah dan menjaga nama baik parti yang memperjuangkan Islam.
Pada akhirnya, dalam sidang media yang turut dihadiri oleh Timbalan Presiden PAS, Ustaz Dato' Tuan Ibrahim menyeru kepada semua pihak agar berhentilah mengamalkan politik fitnah dan jahat sebegini. Kita tidak tahu betapa peritnya menjadi mangsa fitnah yang tidak henti-henti sepertimana yang sedang ditanggung oleh Tuan Guru Presiden PAS.
Kepada Pakatan Harapan sekiranya masih tidak serik dan berdegil mahu terus menjaja modal ini, sebaiknya ditukarlah nama itu kepada Pakatan Fitnah.

Catatan oleh;
Syed Ahmad Fadhli
Pegawai Pusat Penyelidikan PAS
01 Mei 2018 – HARAKAHDAILY 1/5/2018

SATU mesej masuk ke telefon baru-baru ini "Assalamualaikum, mu baca dah survey terbaru Merdeka Center? Dia sebut yang BN akan menang di Kelantan. PAS juga tidak berupaya beri tentangan di Johor? Banyak yang dia sebut, PRU ini antara BN dan PH. PAS hanya akan duk tepi".

Saya membalas "Sikit itu. Survey Invoke lagi best, PAS kosong di seluruh negara", sengaja saya nak menguji dia. Dia balas lagi "Dah kalau kalah? Kita nak buat macam mana?". Saya balas "Buat bodoh sajalah". Dia tanya lagi "Serius ini. Aku bimbang kalau survey dia tepat". Saya hanya membalas ikon senyuman untuk soalan itu.

Begitulah perasaan ahli yang sayangkan PAS ketika ini, waktu yang semakin hampir dengan PRU, pertarungan yang sebenar setelah bertahun-tahun mempersiapkan jentera masing-masing. Berdebar-debar, resah, gelisah dan tak keruan. Apatah lagi sebelum ini, hanya ada dua pihak yang bertembung. Tetapi kali ini agak meriah dengan satu lagi pihak yang baru menubuhkan pakatan, dengan kesemua parti yang bergabung di dalamnya adalah parti yang lebih muda daripada PAS.

Sebenarnya saya juga merasakan kebimbangan sebagai seorang manusia biasa, untuk menghadapi kekalahan. Tetapi bagi berlaku adil, PAS sebenarnya tidaklah mensasarkan kerusi yang banyak, hanya 40 kerusi untuk menjadi King Maker. Ianya sangat realistik dengan andaian, tiada pihak yang memenangi dua pertiga atau majoriti mudah bagi menjadi kerajaan.

Jika lebih daripada itu kita mendapat bonus. Angka 160 kerusi pula, adalah dibuat berdasarkan kekuatan setempat yang diyakini paling kurang boleh memberikan tentangan. Memandangkan tiga penjuru ini, mungkin akan ada pecahan undi.

Hanya mencuba nasib, untung batu tenggelam, tetapi mana tahu jika untung sabut? Jika menang dan menjadi kerajaan, PAS akan melaksanakannya. Dan sememangnya itu yang diinginkan. Harus juga kita mengetahui bahawa perletakan 160 buah kerusi itu juga adalah langkah awal mengambil semula kerusi-kerusi yang hilang dahulu ketika duduk di dalam PR. Jika selepas ini PAS kembali bergabung kerana banyak parti lawan PAS sanggup memartabatkan Islam, maka PAS boleh memilih kerusi-kerusi itu. Berfikiran jauh.

Tetapi, jika ada pihak yang menang majoriti mudah atau dua pertiga, maka PAS tetap kekal menjadi pembangkang. Tetapi jika tiada yang mempunyai majoriti, PAS ada penyelesaiannya. Siapa terima Islam, maka PAS akan sokong mereka untuk menjadikan mereka majoriti, dan tidak semestinya bergabung, hanya menyatakan sokongan. Tanpa menerima Islam, PAS tidak akan menyokong mereka untuk membentuk kerajaan. Semudah itu. Islam PAS letakkan syarat mesti ditempat utama.

Walaupun begitu, kebimbangan akan kalah di banyak tempat, tidak seharusnya dijadikan alasan bagi memberhentikan kerja jamaah. Sebaliknya, ia sepatutnya menjadikannya sebagai perangsang semangat ahli-ahli PAS.  

Kita bukan berkerja seperti parti lain. Kita berkerja hanya kerana kita meyakini kita menjulang Islam. Tanpa upah, tetap bersemangat melakukan semua kerja. Ia sudah diajar sejak dahulu. Kalah dan menang hanyalah hiasan sementara. Apalah maknanya kemenangan jika akhirnya kita gagal menjadikan kemenangan itu sebagai alat bagi kita lebih mendekatkan lagi diri kepada Allah. Lebih baik kita kalah jika itu lebih merapatkan hubungan kita dengan Allah.

Sepanjang pengalaman saya berkerja dengan parti, waktu kalahlah lebih meriah dan gembira berkerja untuk menang. Bila menang ramai pula yang datang menumpang, kemudiannya cuba mengubah itu dan ini, akhirnya kita yang tertolak ke tepi.

Lihat contoh Presiden PAS, PAS tidak pernah menang kerusi mencukupi peringkat Pusat bagi membentuk kerajaan. Tetapi usaha beliau tidak pernah putus. Teringat saya ketika tahun 1990, ketika itu PAS Terengganu melancarkan kempen "Tahun Tawan Terengganu". Tetapi PAS gagal dalam usaha itu dan BN mengekalkan kemenangan mereka.

Apabila tiba hari persidangan Dun, wakil BN ‘menganjing’ kepadanya dengan memberikan sambutan olok-olok, "MB Terengganu dah datang", kata mereka. Tidak lama selepas itu, 1999 PAS menang sekali di Terengganu dan kemudiannya dikalahkan dengan cara kotor. Dia tetap berdiri mengemudi bahtera jamaah menempuh badai.

13 PRU atau 63 tahun bukan masa yang sekejap. Perjuangan ini jika dihampar dengan permaidani merah, mungkin tiada tempat bagi kita untuk mencurahkan tenaga kerana terlalu ramai.

Pernah Almarhum Tok Guru Nik Aziz keseorangan di Parlimen. PAS pernah tinggal nisan di Dun Kelantan dan Terengganu, ada dua kerusi sahaja. Tetapi kisah Almarhum Datuk Dr Haron Din, perlu diambil iktibar. Beliau tidak pernah menang bertanding. Di suatu PRU, beliau dinasihatkan mengambil Parlimen Arau, tetapi memilih untuk ke Dun Tambun Tulang, bertembung dengan Shahidan Kassim. Beliau kalah. Kemudian ke Arau, pun sama, kalah.

Sehingga ke akhir hayatnya beliau tidak berpeluang berhujah sama ada di Parlimen mahupun Dun. Beliau tetap datang ke mesyuarat sehingga sebulan sebelum kematiannya, walaupun berbekalkan tabung oksigen. Saya dimaklumkan wang yang beliau dermakan kepada PAS Perlis ketika itu melebihi RM 1 juta.

Contoh ini kita mesti ambil untuk menjadi sumber kekuatan kita. Kita bertarung, dan memang menjadi sifat kita manusia mahu kemenangan. Tetapi kita mesti bersedia bila-bila masa untuk kalah dan tidak kecewa. Dan kebiasaannya PAS kalah. Namun kita tetap bangkit untuk perlawanan seterusnya sehinggalah detik kematian kita. - HARAKAHDAILY 1/5/2018

JIKA kita teliti keputusan undi di ketiga-tiga kerusi Parlimen di Perlis sejak PRU 1999, maka akan didapati bahawa kerusi P.003 Arau adalah yang paling berkemungkinan untuk jatuh ke tangan pembangkang berbanding kerusi-kerusi P.001 Padang Besar dan P.002 Kangar.

Ini kerana dalam PRU 2013, Datuk Seri Shahidan Kassim hanya menang dengan majoriti 1,371 undi sahaja ke atas Datuk Dr Haron Din. Begitu juga Datuk Ismail Kasim yang menang dengan majoriti 300 undi sahaja ke atas Datuk Dr Haron Din dalam PRU 2008.

Menariknya, sejak PRU 1999, pertandingan di P.003 Arau hanya membabitkan pertembungan dua penjuru antara calon BN dan calon PAS sahaja. Tetapi kini berlaku pertembungan tiga penjuru antara calon BN, calon PAS dan calon PPBM menjadikan persaingan lebih terbuka.

Datuk Seri Shahidan Kassim selaku penyandang kerusi P.003 Arau merangkap Pengerusi Umno Perlis dan Menteri Kabinet mempunyai banyak kelebihan kerana mempunyai sumber yang banyak dan pengaruh yang kuat dengan kedudukan dan pengalaman beliau tersebut.

Ditambah pula bila antara lima kerusi Dun di bawah P.003 Arau, calon PAS, iaitu Mohd Shukri Ramli, menang dengan majoriti 121 undi di N.15 Sanglang. Manakala Rus'sele Eizan hanya kalah dengan majoriti 85 undi sahaja di N.14 Simpang Empat dalam PRU 2013.

Begitu pun, kemunculan semula Ustaz Hashim Jasin selaku Mursyidul Am PAS di kerusi itu dalam PRU 2018 ini pastilah akan lebih melonjakkan semangat penyokong PAS untuk mengusahakan kemenangan beliau kerana beliau pernah menang di sini dalam PRK 1998.

Apatah lagi kerana kali ini turut bertanding adalah seorang calon berwibawa dari PPBM, iaitu Prof Madya Datuk Dr Abdul Rahman Daud, bekas pensyarah UPSI. Di mana jika beliau dapat mencuri banyak undi dari Umno kepadanya maka Ustaz Hashim Jasin berpeluang menang.

Walaupun PAS berpecah kepada PAN, tetapi kewujudan PAN tidak banyak menjejaskan kedudukan PAS di Perlis kerana PAN Perlis, khususnya di Arau, tidak kuat. Sebab itulah calon Pakatan Harapan (PH) di Arau adalah dari PPBM bukan dari PAN.

Terdapat juga desas-desus kuat mengenai pertikaian dalaman yang berlaku dalam Umno Perlis, termasuk membabitkan soal pemilihan calon, sehingga menyebabkan pengumuman calon BN Perlis terpaksa ditangguhkan dan menjadi antara negeri terlewat berbuat demikian.

Kemelut pemilihan calon-calon Dun dalam Umno Perlis ini dikhabarkan agak serius kerana ada jentera dan akar umbi Umno yang tidak berpuas hati dengan sesetengah calon yang dipilih menyebabkan ada antara mereka yang menghentikan gerak kerja pilihan raya.

Dari lima kerusi Dun di bawah P.003 Arau, paling diperbualkan adalah tindakan menukarkan Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man, dari N.11 Pauh menjadi calon N.06 Bintong di bawah P.002 Kangar di mana mengambil tempat beliau di N.11 Pauh ialah Rozieana Ahmad.

Begitu juga dengan N.15 Sanglang yang menyaksikan calon BN yang tewas tipis dengan majoriti 121 undi dalam PRU 2013, iaitu Datuk Fathul Bari Mat Jahya, digugurkan terus dari menjadi calon di mana mengambil tempat beliau di sini ialah Che Zaidi Saidin.

Begitu juga dengan tindakan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, yang kerap-kali memberikan bayangan seolah-olah Kerajaan BN perlu ditukar yang boleh mendatangkan mudarat kepada kedudukan Datuk Seri Shahidan Kassim walaupun mereka agak rapat. - HARAKAHDAILY 1/5/2018

NEGARA yang sejahtera ialah negara yang melaksanakan segala dasar dan tuntutan agama. Negara yang sejahtera ini akan menjadikan dasar tuntutan Islam sebagai teras serta menjadi tapak pelaksanaan Islam lebih meluas sebagaimana yang telah ditunjukkan menerusi sirah Nabi Muhammad SAW ketika di Madinah.

Mereka yang diberikan kuasa pemerintahan pada dasarnya adalah untuk melaksanakan kewajipan agama serta tanggungjawab berkaitan amar makruf dan nahi mungkar. Berdasarkan firman Allah SWT:

الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ

"Iaitu mereka yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan." [al-Hajj: 41]

Ayat di atas menerangkan mengenai kemenangan Islam di dalam peperangan Badar al-Kubra yang menjadi motivasi kepada umat Islam untuk terus memperjuangkan agama Allah. Kemenangan tersebut merupakan bantuan Allah di saat tentera Islam dalam serba kekurangan dan bilangan yang lebih sedikit berbanding musuh apatah lagi dalam keadaan berpuasa.

Inilah tanggungjawab kekuasan dan pemerintahan dalam Islam. Ia berdasarkan panduan wahyu Ilahi membawa manusia untuk mengabdikan diri kepada Allah dan mendatangkan kesejahteraan dalam kehidupan bermasyarakat.

Jelaslah bahawa asas perjuangan Islam yang dibawakan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat adalah bagi memastikan keadilan dan kesejahteraan akan terus tertegak dengan menyelamatkan manusia daripada pengabdian sesama makhluk kepada Allah SWT yang Maha Esa.

Ungkapan yang masyhur oleh Ruba'i bin Amir kepada panglima Farsi, Rustum dengan penegasannya:

اللهُ ابْتَعَثَنَا لِنُخْرِج مَنْ شآءَ مِنْ عِبادَةِ العِبادِ إِلٰى عِبادَةِ اللهِ وَحْدَه، وَمِنْ جَورِ الْأَدْيانِ إِلى عَدْلِ الإسْلامِ، وَمِنْ ضِيْقِ الدُّنْيَا إِلى سِعَةِ الآخِرَة

"Allah telah membangkitkan kami untuk mengeluarkan sesiapa sahaja kalangan manusia daripada penyembahan makhluk kepada pengabdian hanya kepada Allah Maha Esa, daripada penyelewengan agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan akhirat."

Inilah perbezaan kuasa politik Islam dengan politik barat. Kuasa politik Islam memimpin manusia tidak hanya untuk kesejahteraan di dunia malah sehingga ke akhirat.

Al-Imam al-Ghazali turut menjelaskan betapa penting kuasa politik dalam Islam bagi memastikan tuntutan Islam terus dapat dipertahankan. Beliau menyebutkan:

الإِسْلامُ وَالسُّلْطَانُ أَخَوَانِ تَوْأَمٌ ، لا يَصْلُحُ وَاحِدٌ مِنْهُمَا إِلا بِصَاحِبِهِ ، فَالإِسْلامُ أُسُّ وَالسُّلْطَانِ حَارِسٌ ، وَمَا لا أُسَّ لَهُ مُنْهَدِمٌ ، وَمَا لا حَارِسَ لَهُ ضَائِعٌ

"Islam dan pemerintahan umpama dua saudara yang kembar. Tidaklah satu itu menjadi elok melainkan bersama yang satu lagi. Maka Islam itu asas dan pemerintahan itu penjaga. Apa yang tiada asas maka ia akan runtuh dan apa yang tiada penjaga maka ia akan lenyap."

Maka, seluruh pengundi mesti berfikir dengan kacamata iman dan demi kesejahteraan generasi kita untuk masa akan datang. Pastikan undi kita diberikan kepada calon-calon yang dapat membangunkan sebuah negeri dan negara yang sejahtera sebagaimana contoh pentadbiran Kerajaan Islam Kelantan di bawah PAS. – HARAKAHDAILY 1/5/2018

Penulis ialah Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat.

TINGGI sekali nampaknya lambungan beberapa penganalisis politik terhadap Nik Omar Datuk Nik Abdul Aziz yang menjadi calon PAN di N.06 Chempaka dalam PRU14 ini.

Paling terkedepan dalam membuat lambungan terhadap Nik Omar ini adalah Pensyarah Kanan Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mazlan Ali, yang membuat pengkisahan itu melalui dua portal berita, Malaysia Date Line dan Malaysia Kini.

Dalam laporan portal berita Malaysia Date Line, Dr Mazlan menyebut:

●     “Penyertaan Nik Omar menjadi calon Pakatan Harapan (PH) di Chempaka seolah-olah meletakkan logo ‘halal’ kepada PH dan PAN khasnya”.

●     “Penyertaan beliau telah berjaya memecahkan doktrin bahawa hanya PAS parti Islam dan mereka mula fikir undi PH ini tidak ada masalah”.

●     “Kalau Dr Mahathir Mohamad hasilkan gelombang di kalangan Melayu luar bandar yang menyokong Umno selama ini, Nik Omar telah melahirkan gelombang baru kepada pengundi yang menyokong PAS selama ini.”

●     “Bagi saya ini satu kejayaan besar Husam Musa dalam karier politiknya khasnya di Kelantan.”

Dalam laporan portal berita Malaysia Kini pula, Dr Mazlan menyebut:

     “Apabila Nik Omar, seorang anak yang rapat dengan arwah Tok Guru memilih PH, bermakna doktrin kononnya hanya PAS membawa Islam, sudah pecah.”

“Nik Omar telah menghapuskan keraguan yang lama bersarang, yang menakutkan mereka memilih parti selain PAS. Jika orang sealim Nik Omar boleh masuk PAN, maka siapa yang lain-lain?”

“Gelombang Nik Omar itulah akan bergabung dengan gelombang dibawa Tun Dr Mahathir Mohamad yang memecahkan tembok Melayu luar bandar selama ini menghalang pakatan pembangkang.”

“Saya percaya tindakan Nik Omar ini memberi impak besar seluruh negara terhadap orang yang pro-Islam tetapi was-was sama ada boleh atau tidak mengundi PAN selain PAS atau tidak.”

Bagaimanapun, tiada bukti saintifik seperti dapatan mana-mana kaji selidik diberikan oleh Dr Mazlan bagi menyokong kenyataan beliau bahawa “Nik Omar telah melahirkan gelombang baru” atau bahawa “tindakan Nik Omar ini memberi impak besar seluruh negara”.

Dr Khairudin Damanhoeri dalam laporan portal berita Malaysia Date Line juga menyebut kononnya Nik Omar telah berjaya menarik sokongan pengundi wanita dengan ketara sekali di mana, kata beliau, “60 peratus undi wanita Kelantan kini bersama PH”.

Bagaimanapun, tiada bukti saintifik seperti dapatan mana-mana kaji selidik diberikan oleh Dr Khairudin selain pandangan beliau bahawa “Endorsement artis-artis wanita seperti Abby dan Wardina akan semarakkan lagi sokongan di kalangan pengundi wanita muda”.

Ajaib sekali nampaknya kuasa yang digambarkan sebagai dimiliki oleh Nik Omar mengikut penceritaan Dr Mazlan ini hinggakan dalam tempoh sesingkat dua tiga hari sahaja terus berjaya “melahirkan gelombang baru” dan “memberi impak besar seluruh negara”.

Ajaib sekali nampaknya kuasa yang digambarkan sebagai dimiliki oleh Nik Omar mengikut penceritaan Dr Khairudin ini hinggakan dalam tempoh sesingkat dua tiga hari sahaja terus berjaya menarik sokongan 60 peratus undi wanita Kelantan kepada PH.

Saya tiada masalah dengan komentar yang dibuat oleh mana-mana penganalisis politik terhadap sesiapa atau terhadap mana-mana parti politik pun kerana mereka, seperti juga saya, mempunyai kebebasan akademik yang perlu dihormati oleh semua pihak di negara ini.

Hanya sanya, pesan saya adalah bila memberikan komentar terhadap Nik Omar ini perlulah kita lebih beringat-ingat kerana dibimbangi lambungan yang terlalu tinggi ini akan membahayakan bukan sahaja Nik Omar sendiri tetapi membahayakan PAN juga.

Bayangkanlah apa yang boleh berlaku pada Nik Omar bila dilambung sebegitu tinggi begini, apatah lagi bila adinda beliau, Nik Muhammad Abduh, telah memaklumkan bonda mereka akan turut berkempen di N.06 Chempaka bagi memenangkan calon lawan Nik Omar.

Bayangkanlah juga perasaan golongan berpendidikan agama lain di dalam PAN, khususnya Ahmad Awang dan Abdul Ghani Samsudin, bila mereka dianggap tidak sealim dan tidak sehebat Nik Omar, malah gagal meletakkan logo ‘halal’ kepada PAN.

Begitulah juga dengan lambungan bahawa Nik Omar adalah calon Menteri Besar yang bercanggah dengan kenyataan “rakan rapat Nik Omar” yang “pernah tinggal bersama selama lima tahun ketika sama-sama belajar di Universiti Al Azhar”, Datuk Dr Mujahid Yusof.

Kata Datuk Dr Mujahid pada 13 Mac lalu: “Nik Omar ini orangnya lembut. Beliau tidak suka suasana tegang dan seumpamanya yang menjadi kebiasaan dalam politik. Jadi saya tidak fikir beliau sesuai untuk menjadi Menteri Besar kerana ia perlukan orang yang keras hati.”

Pemerhatian saya masih sama, iaitu tindakan ini boleh memakan diri PAN sendiri dengan memberikan persepsi PAN pemecah-belah keluarga, PAN tidak mempunyai kekuatan sendiri dan PAN amat ketandusan pemimpin yang berwibawa.

Tidak dinafikan bahawa kedudukan Nik Omar selaku anak Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz boleh mendatangkan sedikit 'Excitement' tetapi dengan ketidakaktifan dan ketiadaan jawatan dalam parti sebelum ini adalah terlalu sukar untuk “gelombang Nik Omar” terhasil. - HARAKAHDAILY 30/4/2018

INSYA Allah, bonda kami Datin Hajjah Tuan Sabariah binti Tuan Ishak akan turut berkempen di DUN N06 Chempaka dan Parlimen P020 Pengkalan Chepa bagi memenangkan calon PAS, al Fadhil al Ustaz Ahmad Fathan bin Mahmood dan al Fadhil al Ustaz Ahmad Marzuk bin Shaari.

Bonda asalnya akan hanya menumpukan kempennya di P025 Bachok atas faktor kesihatannya yang sedikit membataskan pergerakannya, selain mengukuhkan lagi pengenalannya bersama jentera PAS dan rakyat di Bachok, tetapi disebabkan ada sedikit gangguan daripada dalam keluarga kami terhadap PAS di DUN Chempaka khususnya, maka bonda memutuskan untuk turut bersama jentera muslimat PAS di sana.

Saya bagi pihak seluruh keluarga al Aziziyah dengan ini, dengan penuh rasa dukacita yang amat sangat ingin memohon banyak-banyak kemaafan kepada jentera PAS di seluruh negara dan juga seluruh rakyat Malaysia amnya di atas kemalangan yang berlaku pada 2 hari lepas. Ia sesuatu yang amat sukar.

Bonda kini memilih untuk berehat beberapa hari bagi merawat luka hatinya yang dalam akibat tembakan yang dilepaskan semenjak lebih 30 tahun lepas oleh seorang lelaki bernama Ikram. Dua hari lepas, tembakan itu tepat singgah ke jantung bonda.

Ini adalah tembakan kedua yang terpaksa ditanggung oleh bonda selepas tembakan pertama yang meranapkan jiwanya oleh Tun Dr Mahathir lebih 15 tahun lepas apabila salah seorang anaknya di-ISA-kan. Tun dan Ikram itu hari ini bersama-sama bersatu bekerja keras meruntuhkan kerajaan Islam negeri Kelantan di bawah pemerintahan PAS.

Oleh kerana kekanda saya al fadhil al ustaz Nik Omar bin Nik Abdul Aziz belum balik ke rumah bonda, suka saya menasihati dan menyarankan beliau untuk merujuk kepada kisah agung seorang khalifah Islam yang sah dibai'ah oleh umat Islam selepas kematian Yazid bin Muawiyah iaitu al sahabiy al 'Aa'iz bil Bait Abdullah Ibn al Zubair radhiaLlahu anhuma.

Hayati bait-bait penuh air mata antara beliau dan bondanya Asma' binti Abu Bakar (kakak kepada Ummul Mukminin 'Aisyah binti Abu Bakar) radhiaLlahu anhum saat beliau memohon pandangan dan restu bondanya itu bagi menempuh kemuncak kesukaran di dalam membuat keputusan di sepanjang hidupnya. Ia samada menyerah diri kepada panglima perang Bani Umayyah yang telah berbulan-bulan mengepung ka'abah dan kota Makkah atau terus memerangi bala tentera kejam itu sehinggalah rebah syahid.

Ibu adalah menara kehidupan. Jangan bicara pasal ayahanda jika bonda tiada disisi. Siapa ayahanda tanpa seorang bonda yang paling memahami pahit getir kehidupan seorang suami bergelar pejuang. Siapa kita tanpa bonda? Sekadar air mani terbuang hina. - HARAKAHDAILY 30/4/2018