PASIR MAS: Tuduhan kononnya PAS bekerjasama dengan Umno sebenarnya sudah kedengaran sejak 2008.
 
Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad berkata, ketika itu PAN belum lagi diwujudkan.
 
Katanya, pemimpin parti terbabit masih lagi bersama PAS biarpun sudah kedengaran kononnya PAS mahu bekerjasama dengan Umno.
 
"Sehingga sekarang bermakna sudah 10 tahun isu itu berlalu namun tidak juga menjadi kenyataan sehingga sekarang," katanya ceramah Bangkit Pertahan di Kampung Jias malam tadi.
 
Hadir sama Yang DiPertua (YDP) PAS Pasir Mas, Datuk Hanifa Ahmad, Timbalannya, Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman, Naib YDP, Zuraidin Abdullah, Ketua Pemuda, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari dan Adun Tendong, Rozi Muhamad.
 
Program itu bermula dengan solat Maghrib kemudian diikuti kuliah Maghrib yang disampaikan Ustaz Su Azhar.
 
Idris juga berkata, beliau yakin Tun Dr Mahathir Mohamad akan kembali menyertai Umno selepas Datuk Seri Najib Razak tidak lagi menjadi Perdana Menteri. - HARAKAHDAILY 4/3/2018

PAYA  BESAR: PAS telah terbukti cemerlang menerajui negeri yang diperintah dan kini bersedia dalam memacu pentadbiran negara, demikian menurut Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin.

Katanya, kejayaan PAS dapat dilihat khususnya dalam pentadbiran negeri Kelantan dan negeri-negeri yang pernah diperintah oleh PAS seperti Kedah dan Terengganu di mana sudah terbukti turut tidak terkait rasuah.

"PAS mengambil pendekatan untuk melaksanakan Islam dalam kerangka demokrasi yang diberikan. Apa yang berlaku apabila kita memerintah Kelantan selama 27 tahun, pada tahun 1999, PAS memerintah Negeri Terengganu.

"Kemudian PAS memerintah Kedah, semua negeri-negeri ini ditadbir dengan sistem Islam iaitu Ubudiyyah, Mas'uliyyah dan Itqan yang menjadi dasar kepada negeri-negeri tersebut," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Paya Besar, semalam.

Katanya, melalui dasar Islam inilah keyakinan rakyat semakin meningkat kepada PAS, selain kadar kemiskinan di negeri-negeri yang pernah ditadbir oleh PAS juga mencatatkan penurunan.

Walaupun PAS memerintah Terengganu dengan ditarik wang royalti minyak kata beliau, PAS tetap dapat mengurangkan kadar kemiskinan di Terengganu.

"Perkara ini berlaku kerana apa, kerana good  governance yang dilaksanakan pada waktu itu antaranya pembalakan yang meningkat dua kali ganda dan cukai-cukai (yang dibayar) oleh syarikat-syarikat kerana keyakinan kepada kerajaan Islam (PAS).

"Hal ini juga, sama juga yang berlaku di negeri Kedah, kita ambil contoh antaranya Kulim Hi-Tech, semasa Umno memerintah, purata pendapatan Kulim Hi-Tech adalah RM1.613 bilion. Tetapi apabila PAS memerintah 4 hingga 5 tahun purata pendapatan Kulim Hi-Tech meningkat kepada RM3.056 bilion.

"Ini menunjukkan bahawa tidak ada sebarang kebocoran yang berlaku, hasil daripada itulah wujudnya Kolej Universiti Insaniah (KUIN). Inilah yang sepatutnya diperkenalkan kepada rakyat, tentang kemampuan PAS dan PAS mampu memberikan yang terbaik kepada rakyat (jika diberi mandat dalam PRU ke 14)," jelasnya.

Ir Khairil turut menyampaikan Anugerah Jawatankuasa Pemuda Cawangan (JPC) Terbaik DUN yang dianugerahkan kepada JPC Kampung Pandan 2 selaku Terbaik DUN Panching, sementara JPC Felda Bukit Sagu mendapat Terbaik Dun Sungai Lembing dan JPC Lepar Hilir 1 bagi Terbaik DUN Lepar.

Turut hadir dalam Mesyuarat Agung tahunan tersebut Yang DiPertua PAS Paya Besar, Ustaz Tarmizi Yahaya dan kepimpinan PAS Paya Besar. - HARAKAHDAILY 4/3/2018

KUALA LUMPUR: Rakyat perlu membuka mata bahawa Pakatan Harapan (PH) adalah parti yang tidak boleh diharapkan selepas blok pembangkang itu berhasrat memperkenalkan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matemaik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) jika PH memegang tampuk pemerintahan negara pada PRU ke 14 nanti.
 
Ketua Penerangan Dewan Himpunan Penyokong PAS Pusat, Dr Balachandran Gopal Krishnan berkata, PPSMI telah gagal sebelum ini dan menyebabkan kerugian kepada pendidikan negara.
 
"Rakyat kena faham secara jelas, kita tak mahu lagi pisang berbuah dua kali, kita sendiri dah tahu gagal tapi kita nak buat lagi. Saya cadangkan kepada PH ini untuk berusaha memikirkan idea dan keperluan lain untuk rakyat khususnya pendidikan di negara ini.
 
"Jika diambil 'orang lama' jadi ketua, memanglah dia akan kitar semula idea dia yang sebelum ini yang nyata telah gagal untuk digunakan semula padahal terlalu banyak kesannya kepada pendidikan murid-murid di sekolah.
 
"Mereka memang tak ada isu lain, cukuplah dan hentikan mengitar semula isu yang telah lapuk dan tidak berguna dan tolonglah bawa sesuatu yang baru kepada rakyat," katanya.
 
Tambah beliau lagi mengundi PH seperti mengundi Umno kerana PPSMI yang telah diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah memporak-perandakan kesatuan di dalam Umno-BN kerana tidak bersetuju dengan dasar pendidikan dibawa beliau pada masa itu.
 

KUALA TERENGGANU: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kini telah membuat tiga keputusan besar parti sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 ini.
 
Timbalan Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS telah menerima dan meluluskan keahlian parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) sebagai anggota komponen Gagasan Sejahtera (GS).
 
"Kita (PAS) telah pun menerima dan meluluskan keahlian parti Berjasa sebagai parti komponen kita dalam Gagasan Sejahtera melalui mesyuarat pada hari ini. 
 
"Kedua, kita juga menerima permohonan daripada Parti Ikatan untuk mereka menggunakan lambang PAS dalam pilihan raya (PRU14) kali ini. Mengikut taklimatnya, parti Ikatan tidak bertanding banyak kerusi dan dia (Ikatan) tubuh parti pun bukan hendak bertanding sangat tetapi untuk bantu kemenangan PAS dalam pilihan raya pada kali ini. 
 
"Ketiga, kita (PAS) juga membuat keputusan untuk buat satu program besar, Syarahan Perdana pada 11 Mac 2018 ini bersama Tuan Guru Presiden PAS (Dato Seri Abdul Hadi) bagi menjelaskan kepada golongan-golongan pertengahan, orang akademik, pakar-pakar dan sebagainya ke mana halatuju PAS bersama Gagasan Sejahtera. 
 
"Kita harap keputusan besar ini akan menjadi lonjakan besar kepada parti dan sekaligus kita akan lancarkan Manifesto PAS Pusat, InsyaAllah," jelasnya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Kemaman Kali Ke-43 di Markaz Tarbiyyah PAS Kawasan Kuala Terengganu, Kuala Ibai, di sini semalam.
 
Menurutnya, Gagasan Sejahtera diperkenalkan oleh PAS sebagai pandangan blok ketiga yang tidak bersama Umno-Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH). 
 
Katanya, blok ketiga adalah golongan rakyat yang tidak bersetuju dengan kepimpinan BN, Dato' Sri Najib Razak dan PH yang diterajui oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
 
Dato' Tuan Ibrahim turut mengingatkan ahli-ahli partinya bahawa PAS sebuah parti besar yang memerlukan pemimpin dan ahli berjiwa besar.
 
"Tapi, jiwa besar kita (PAS) sedia untuk lihat mana ruang untuk kita capai kemenangan bersama blok Gagasan Sejahtera ini. 
 
"Bila kita (PAS) perkenalkan Gagasan Sejahtera ianya tidak termasuk Barisan Nasional dan tidak ada Pakatan Harapan. Politik Malaysia adalah politik dua wajah sejak merdeka sampai sekarang iaitu wajah pembangkang dan wajah kerajaan. 
 
"Oleh kerana, PAS tidak bersama Pakatan Harapan (maka) dituduh PAS bersama kerajaan (BN). Kita tegaskan PAS tidak bersama Umno-BN dan tidak juga bersama Pakatan Harapan. 
 
"Kita ada pandangan (blok) ketiga. Kita (PAS) bawa gagasan blok ketiga dengan Gagasan Sejahtera. Blok ketiga yang rakyat tidak setuju dengan Umno-BN yang zalim kepada rakyat dan rakyat juga tidak setuju dengan Pakatan Harapan yang memanggil balik Tun Dr Mahathir," jelasnya.
 
Sehubungan itu, katanya PAS mengambil pendekatan tersendiri menghadapi pilihan raya dan tidak mahu menjadi alat kepada pihak lain.
 
Hadir sama pada majlis itu, Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah, pemimpin veteran PAS, Dato Mustafa Ali dan Dato Wan Abdul Mutalib Embong serta Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS Kuala Terengganu, Jefri Chua.
 
Beberapa acara sampingan diadakan iaitu pertandingan Semarak Hijau, pelancaran Kuala Terengganu Medical Team, anugerah As-Sabiqun setiap wakil Dewan Undangan Negeri (Dun) dan pelancaran buku Menjejaki Insan Pilihan karangan Dr Mohamad Hamdam Mohd. - HARAKAHDAILY 4/3/2018

BERSUNGGUH-sungguh benar nampaknya pemimpin PAN menjulang tulisan peguam mereka, Dr Zulqarnain Lukman, bertajuk “Isu SOP Keluar Islam Di Sarawak”, yang membela tindakan Pengerusi PAN Sarawak, Fidzuan Zaidi, menjadi juru cakap kepada Pakatan Harapan (PH) Sarawak di dalam isu penukaran agama dari Islam ke Kristian sehingga tulisan ini dimuatkan di laman Facebook rasmi dan laman Website rasmi PAN.
 
Paling ditonjolkan oleh para pemimpin PAN adalah perenggan tulisan Dr Zulqarnain berikut: “Sewaktu membuat kajian NHRAP, ada aduan diterima daripada masyarakat di sana mengenai isu ini yang mana mereka mengadu kepayahan untuk mendapatkan status agama mereka. Ini kerana mereka menyatakan bahawa hanya nama dalam kad pengenalan mereka yang mirip nama orang Islam tetapi mereka tidak pernah beramal dalam agama Islam.”
 
Malah, Dr Zulqarnain sendiri, sewaktu menjawab pertanyaan seorang pengomen bernama Jamal Ibrahim, mengenai “patutkah digubal suatu prosedur bagi membolehkan umat Islam keluar dari Islam apabila riddah itu dilarang keras dan hukumannya yang sebenar dalam syariat Islam adalah dibunuh”, menjawab begini: “SOP ini bukan SOP untuk riddah. SOP ini untuk tentukan status seseorang itu sama ada dia masih Islam atau sudah bukan Islam”.
 
Hakikatnya, kenyataan Dr Zulqarnain bahawa “SOP ini bukan SOP untuk riddah. SOP ini untuk tentukan status seseorang itu sama ada dia masih Islam atau sudah bukan Islam” ini jauh berbeza dari kandungan penuh kenyataan media PH Sarawak semalam yang mendesak Jabatan Agama Islam Sarawak supaya “membuat garis panduan dan kehendak yang sangat jelas bagi mereka yang ingin meninggalkan Islam secara sukarela”.
 
Disebutkan dengan jelas dan terang di dalam kenyataan media PH Sarawak semalam bahawa “Prosedur mestilah dinyatakan dengan jelas untuk kategori (1) Mereka yang mempunyai dokumen bukti untuk membuktikan mereka tidak lagi mengamalkan agama Islam; dan (2) Mereka yang berhasrat untuk meninggalkan agama Islam”.
 
Oleh itu terbuktilah Dr Zulqarnain dan pemimpin PAN tersasar atau sengaja cuba mengelabui mata umat Islam dengan menyebut “SOP ini bukan SOP untuk riddah” sedangkan “SOP ini memang SOP untuk riddah” kerana jelas disebutkan di dalam kenyataan media PH Sarawak itu bahawa selain SOP itu diperlukan untuk “mereka yang mempunyai dokumen bukti untuk membuktikan mereka tidak lagi mengamalkan agama Islam”, ia juga diperlukan untuk “mereka yang berhasrat untuk meninggalkan agama Islam”.
 
Nak cover  line dan buat damage  control pun telitilah betul-betul dulu, wahai Dr Zulqarnain dan pemimpin PAN.

KUALA  LUMPUR: PAS membantah keras cadangan yang dikemukakan oleh Pakatan Harapan (PH) Sarawak yang telah mendesak Kerajaan Negeri Sarawak meminda akta menyediakan suatu garis panduan atau SOP bagi kes-kes murtad.
 
Ini adalah susulan keputusan yang dikeluarkan Mahkamah Persekutuan di Kuching yang mengarahkan kes murtad hendaklah dibicarakan di Mahkamah Syariah.
 
Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan, kenyataan yang dikeluarkan secara bersama oleh tiga parti utama PH di Sarawak iaitu PAN, DAP dan PKR itu jelas suatu cadangan yang tidak masuk akal.
 
"Sepertimana yang saya pernah tegaskan beberapa hari lalu bahawa kes-kes murtad bukan isu kecil dan boleh dipermainkan," tegas beliau dalam satu kenyataan semalam.
 
Bahkan kata beliau sebarang pandangan dan rujukan mestilah melalui para agamawan dan mufti bagi memastikan autentikasi pendirian yang dikemukakan terhadap pandangan yang ada dalam Islam.
 
Namun jelasnya cadangan menyediakan garis panduan seperti yang dikemukakan oleh pemimpin PH Sarawak termasuk pemimpin PAN itu seolah-olah menggalakkan lagi pihak keluar daripada Islam. 
 
Tambahan pula, negara sudah mempunyai Mahkamah Syariah yang lebih kuat jurisdiksinya untuk mengadili kes-kes berkaitan umat Islam. 
 
Malah tegasnya PAS membawa usul RUU355 supaya fungsi dan kuasa Mahkamah Syariah diangkat dan dimartabatkan lebih tinggi lagi supaya dapat mengadili umat Islam. - HARAKAHDAILY 4/3/2018

LANJUTAN daripada keputusan Mahkamah Persekutuan ke atas permohonan Salina Jau Abdullah, Nur Mudzdhalifah Abdullah, Syarifah Nooraffyzza Wan Hosen dan Mohd Syafiq Abdullah menukar agama dari Islam ke Kristian, semalam, 2 Mac 2018, Pakatan Harapan (PH) Sarawak telah mengeluarkan satu kenyataan media yang ditandatangani oleh Pengerusi PH Sarawak merangkap Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian, dan Pengerusi PAN Sarawak, Fidzuan Zaidi.
 
Kenyataan media bertajuk “Undang-Undang Dan Garis Panduan Yang Jelas Diperlukan Untuk Menukar Agama” ini mendesak Jabatan Agama Islam Sarawak supaya “membuat garis panduan dan kehendak yang sangat jelas bagi mereka yang ingin meninggalkan Islam secara sukarela untuk mengikuti supaya surat pembebasan dapat dikeluarkan” selain mendesak kerajaan negeri Sarawak supaya “mempertimbangkan dengan serius meminda undang-undang negeri yang berkaitan untuk menyediakan keperluan untuk surat pelepasan”.
 
Disebutkan di dalam kenyataan media ini bahawa:
“Prosedur mestilah dinyatakan dengan jelas untuk kategori berikut:
1. Mereka yang mempunyai dokumen bukti untuk membuktikan mereka tidak lagi mengamalkan agama Islam;
2. Mereka yang berhasrat untuk meninggalkan agama Islam.”
 
Mereka yang paling aktif memperjuangkan kebebasan untuk umat Islam murtad ini adalah pemimpin parti politik seperti DAP dan PKR selain pertubuhan sivil seperti SIS, G25 dan IRF di mana di dalam buku G25 bertajuk “Breaking the Silence: Voices of Moderation - Islam in a Constitutional Democracy”yang diharamkan oleh kerajaan pada 27 Julai 2017 umpamanya, peguam Aston Paiva menggesa supaya diwujudkan prosedur pentadbiran mengenai kemurtadan. Begitu juga di dalam satu kertas kerja beliau dengan Penang Institute di mana Aston Paiva menggesa supaya Kerajaan Negeri Pulau Pinang memansuhkan dengan segera undang-undang anti-murtad dan menyediakan prosedur mengenai kemurtadan.
 
Bila individu seperti Aston Paiva yang menggesa supaya prosedur mengenai kemurtadan disediakan atau dijadikan lebih jelas bagi memudahkan proses pemurtadan, ia tidaklah terlalu pelik kerana Aston Paiva adalah seorang bukan Islam, tetapi apabila yang menyuarakan gesaan begini adalah seorang Islam seperti Pengerusi PAN Sarawak, Fidzuan Zaidi, sedangkan kenyataan media PH Sarawak ini sepatutnya dibaca oleh Pengerusi atau Ketua Penerangan PH Sarawak, maka persepsi yang timbul adalah Pengerusi PAN Sarawak dipergunakan oleh bukan Islam untuk kepentingan mereka.
 
Apatah lagi bila gesaan ini sendiri bercanggah dengan kenyataan Penasihat Umum PAN, Ahmad Awang, sehari sebelumnya di dalam portal berita Malaysia Date Line, malah di dalam lidah rasmi PAN, iaitu Amanah Daily, juga, ketika mengulas isu permohonan Salina Jau Abdullah, Nur Mudzdhalifah Abdullah, Syarifah Nooraffyzza Wan Hosen dan Mohd Syafiq Abdullah untuk menukar agama dari Islam ke Kristian ini, bahawa “semua NGO Islam, badan dakwah dan Jabatan Agama serta Pusat Zakat haruslah bersatu dalam memastikan umat Islam yang mahu murtad tidak meneruskan niat mereka”. Itu belum lagi diambil kira kenyataan Presiden PAN, Mohamad Sabu, di dalam sidang Dewan Rakyat pada 13 November 1996 serta kenyataan Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub, di dalam sidang Dewan Rakyat pada 18 Mac 2009 mengenai masalah murtad ini.
 
Disebabkan percanggahan antara kenyataan Pengerusi PAN Sarawak, Fidzuan Zaidi, dengan kenyataan Penasihat Umum PAN, Ahmad Awang, di dalam masalah murtad ini maka sangatlah penting untuk PAN mengeluarkan satu kenyataan rasmi mengenainya. Malah PH Malaysia juga sepatutnya segera mengeluarkan satu kenyataan rasmi bagi menjelaskan sama ada pendirian PH Sarawak di dalam masalah murtad ini adalah menyamai dengan pendirian dan dasar bersama PH Malaysia. - HARAKAHDAILY 3/3/2018

PADANG BESAR: Anggapan bahawa PAS akan berkubur selepas PRU14 nanti kerana enggan bersama Pakatan Harapan ternyata menunjukkan sebaliknya berdasarkan reaksi masyarakat kepada PAS.
 
Demikian ditegaskan Naib Presiden PAS, Dato' Ir Iskandar Samad ketika merasmikan Sambutan Jubli Perak PAS Kawasan Padang Besar di Kompleks Tarbiyah PAS Padang Besar, di sini semalam.
 
"Sejak PAS melaksanakan Budaya Politik Matang dan Sejahtera, rakyat mula melihat PAS sebagai parti masa hadapan.
 
"Jadi kita kena ceritakan kepada rakyat, apa yang PAS boleh buat untuk rakyat, kita berikan solusi, bukan sekadar membangkitkan kelemahan-kelemahan kerajaan," tegasnya.
 
Malah katanya, rakyat kini termasuk masyarakat bukan Islam sudah mula menerima pembawaan PAS iaitu agama dan politik tidak boleh dipisahkan.
 
Ini kerana menurutnya, rakyat mulai sedar dan mengakui bahawa perkara itu telah terbukti melahirkan ahli politik yang lebih bertanggungjawab dalam memimpin rakyat.
 
Sebaliknya kata beliau, ia berbeza dengan sistem politik sekular yang menyebabkan pelbagai masalah berlaku dalam negara kerana korupsi pemimpin hingga memberi kesan kepada rakyat.
 
"Berbeza dengan sekarang, orang politik boleh buat apa saja, nak makan rasuah boleh, nak salah guna kuasa pun boleh, nak buat apa pun boleh.
 
"Tapi bila politik itu tidak terpisah dengan agama, orang politik akan berjaga-jaga, akan lebih bertanggungjawab ke atas apa yang mereka lakukan.
 
"Jadi rakyat sudah nampak, konsep ini bukan hanya memberi manfaat kepada Islam sahaja, tetapi memberi manfaat kepada seluruh rakyat dan negara," katanya.
 
Demikian itu juga tegasnya, PAS akan tetap dan yakin bertanding dalam PRU akan datang walaupun bersendirian kerana sudah cukup berpengalaman menghadapi situasi seperti itu. - HARAKAHDAILY 3/3/2018

KUALA  LUMPUR: Pertimbangan Pakatan Harapan (PH) ingin memperkenalkan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) telah memperlihatkan blok pembangkang itu celaru dalam mencapai falsafah dan dasar pendidikan negara serta pelaksanaan yang jelas carca merba dan tidak konsisten. 
 
Ketua Eksekutif Majlis Kebajikan dan Pembangunan Pendidikan Malaysia (MAKPEN), Mohd Zai Mustafa berkata, ini kerana kajian Pemuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA) dan usahasama lapan IPTA mendapati bahawa PPSMI tidak mampu meningkatkan pencapaian Bahasa Inggeris. 
 
Ujarnya, kajian Mei 2009 dengan 15,000 sampel ke atas murid bandar dan luar bandar itu mendapati pencapaian diperolehi hanya 4 peratus sahaja, bahkan sebaliknya membantutkan tahap kecerdasan murid secara jangka panjang kerana menimbulkan ketidakfahaman berganda dan berterusan dalam subjek tersebut.
 
Tambah beliau kegagalan PPSMI meninggalkan kesan jangka panjang apabila keputusan Sijil Pelajaran Malaysia 2013 hingga 2017 menunjukkan kecemerlangan pelajar yang menduduki subjek Sains dan Matematik turun mendadak sebanyak 23 peratus daripada sebelum pelaksanaan PPSMI iaitu sebanyak 44 peratus.
 
"Ini menunjukkan dasar pelaksanaan PPSMI yang dilaksanakan tidak selari bahkan carca merba dan bercelaru. Prestasi pelajar semakin menurun berbanding sasaran yang hendak dicapai. 
 
"Dasar pelaksanaan PPSMI juga tidak mendukung bahkan bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang diperuntukkan dalam fasal 152 (1) Perlembagagan Persekutuan, di mana Bahasa Melayu adalah bahasa pengantar rasmi dan utama dalam pendidikan negara bagi mencapai falsafah pendidikan negara," kata beliau.
 
Ulasannya kepada Harakah itu kelmarin mengulas kenyataan Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung mengembalikan pelaksanaan PPSMI jika PH menerajui negara.
 
(Ikuti kupasan lanjut beliau yang akan disiarkan dalam Harakah cetak terbaharu Bil.2328 edisi Isnin ini nanti)

KOTA BHARU: Umno dan Barisan Nasional berdepan dengan cabaran sengit bagi mempertahan majoriti mudah pada pilihan raya umum lepas.
 
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, dua PRU lepas BN menguasai kerajaan dengan simple majority.
 
Bagaimanapun katanya, situasi itu agak sukar dipertahankan bagi menghadapi PRU ke 14 tidak lama lagi.
 
"Banyak kajian politik yang memperlihat fenomena itu dengan rumusan mungkin tiada parti yang menang majoriti.
 
"Sebab itulah banyak pihak mengandaikan PRU ke 14 paling sengit dalam sejarah pilihan raya di negara ini sejak merdeka," katanya pada ceramah Bangkit Pertahan di Flat Jalan Bayam malam tadi.
 
Hadir sama Naib Presiden Ikatan, Datuk Seri Badri Ab Rahman, Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim dan Timbalan Yang Dipertua PAS Kota Bharu, Datuk Dr Ramli Mamat.
 
Badri pula berkata, PAS tidak keseorangan bagi menghadapi PRU 14 kerana Ikatan bersama Gagasan Sejahtera akan membantu mempertahankan Kelantan. - HARAKAHDAILY 3/3/2018

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM. Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Tarikh pilihan raya umum terus menjadi teka teki.
 
Mungkin Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak masih belum menemui tarikh yang sesuai untuk membubarkan parlimen. Tak apalah, lambat mana pun akan terbubar juga Parlimen. Dalam penantian menunggu tarikh bubar parlimen, kita telah dikejutkan dengan kenyataan daripada Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad. 
 
Memetik kenyataan yang dilaporkan dalam akhbar katanya; "Jika majoriti rakyat mahukan PPSMI dikembalikan semula, kita akan laksanakan. Terpulang kepada rakyat dan kita akan pertimbangkan jika itu yang mereka mahu," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Tertutup dengan Pemimpin PH Pahang.
 
Inilah padahnya, jika Perdana Menteri kitar semula tidak mustahil gagasan untuk membangunkan negara hasil daripada idea kitar semula. Idea lapuk. Sudah tahu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) gagal untuk dilaksanakan, kenapa perlu dicadangkan semula? 
 
Apakah Pakatan Harapan (PH) tidak ada idea lain yang lebih bernas untuk membangunkan negara dan rakyat? Kenapa perlu mengembalikan semula pelaksanaan yang ternyata gagal. 
 
Semua pihak membantah pelaksanaan PPSMI kerana ia mendatangkan kesan negatif terhadap pelajar khususnya golongan Melayu. Jadi, apa rasionalnya cadangan untuk PPSMI dikembalikan jika PH menjadi kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 nanti? 
 
Kenapa makanan lama yang sudah basi dan boleh mendatangkan penyakit akan dihidangkan juga? Cukuplah percubaan PPSMI dijalankan terhadap pelajar-pelajar khususnya Melayu dalam tempoh enam tahun iaitu bermula 2003 hingga 2009. 
 
Masihkah kita ingat lagi, tarikh keramat 7 Mac 2009 sebilangan besar rakyat yang membantah PPSMI turun ke jalan rakyat dengan seragam merah. Kita sanggup berhimpun menghadapi semburan air kimia (FRU), tembakan gas, dikejar, ditendang semua itu kerana membantah PPSMI. Sekarang PH jika berjaya menjadi kerajaan hendak kembalikan PPSMI.
 
Apakah pimpinan yang dahulu bersama-sama dengan rakyat membantah PPSMI tidak terkenang semua itu? Mana suara Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said; Presiden PAN, Mohamad Sabu; Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub yang membantah pelaksanaan PPSMI suatu ketika dahulu?
 
Apakah mereka semua ini sudah terlupa sejarah untuk membantah PPSMI? Begitu juga mana suara Mahfuz Omar... apakah mereka ini semua sudah takut untuk menyatakan kebenaran hanya semata-mata mahu menjaga kepentingan masing-masing dalam PH. Rakyat penat bermandi semburan air gas mempertahankan bahasa Melayu. 
 
Dr Mahathir dengan mudah membuat kenyataan ada cadangan untuk kembalikan PPSMI. Sepatutnya PH jika menjadi kerajaan perlu memikirkan sesuatu yang jauh lebih baik untuk kebaikan rakyat. Bukan mencedok idea lama. 
 
Jika PPSMI tetap dilaksanakan ia bermakna, rakyat bukan jatuhkan Umno tetapi rakyat bangkitkan pimpinan lama dalam Umno. Realitinya, Umno juga yang berkuasa. Itu pun pimpinan PAN tidak boleh fikir. Kegagalan PPSMI telah kerugian sebanyak RM6 bilion. 
 
Jika cadangan melaksanakan PPSMI diterima berapa bilion lagi kerugian yang terpaksa ditanggung. PPSMI telah dimansuhkan pada tahun 2012. Ia dimansuhkan berdasarkan kajian terperinci yang membuktikan PPSMI gagal mencapai matlamatnya. Dasar yang sudah ternyata gagal sehingga mengorbankan ramai pelajar-pelajar Melayu kini mahu dilaksanakan semula. Inilah yang rakyat perlu faham. 
 
Kita tidak mahu fikiran rakyat dijajah sekali lagi. Kita juga tidak mahu hidup di tanah air sendiri tetapi setiap saat dalam ketakutan. Takut untuk bercakap perkara yang benar kerana silap cakap, pasti tindakan akan dikenakan. Kita juga tidak mahu anak cucu cicit kita ketinggalan dalam bidang pelajaran. Kita mahu anak cucu cicit kita berilmu dan menjadi manusia yang mahir dalam semua bidang. 
 
Mahir dalam pelajaran Sains dan Matematik tidak semestinya dalam bahasa Inggeris. Kita akan lebih berjaya jika dapat menyampaikan ilmu dalam bahasa ibunda tanpa meminggirkan bahasa asing. 
 
Justeru, amat bahaya jika memilik Perdana Menteri kitar semula. Dibimbangi semua rancangan yang dibatalkan dahulu akan dikitar semula. - HARAKAHDAILY 3/3/2018

SEHINGGA ke hari ini Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr MAZA) masih gagal mengulas hentaman keras bekas Mursyidul Am PAS, Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, di dalam kuliah Jumaat pada 9 Mei 2014 kepada beliau bahawa beliau adalah “pensyarah yang orang panggil nak perhidup Islam dok, nak ‘mapuh Islam” dan “pensyarah yang bodoh”.
 
Tulisan terbaru Dr MAZA di dalam Facebook beliau yang cuba menimbulkan keraguan ke atas “sebahagian orang politik” yang menyatakan mereka “berjuang dan berpolitik untuk menegakkan hukum Allah” tetapi kononnya “bukan ingin menegakkan hukum Allah” tetapi “sekadar untuk mendapatkan undi pilihan raya”, “memperdagangkan agama untuk undi pilihan raya” malah “telah melanggar banyak hukum Allah”, termasuk kononnya “maki hamun, menggelar orang lain dengan gelaran buruk, mengkafir sesama muslim, berbohong apatah lagi atas nama politik agama, memfitnah orang lain, memutarbelit nas-nas agama untuk kepentingan politik kepartian, rasuah, menentukan sah batal amalan agama berdasarkan sokongan kepada parti dan pelbagai lagi” serta “menentukan syurga neraka dengan lambang parti politik”, membuktikan kebenaran dakwaan Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz itu.
 
Dr MAZA sekarang adalah Mufti Kerajaan Negeri Perlis yang diberi tanggungjawab untuk “membantu dan menasihati Duli Yang Maha Mulia Raja Pemerintah (Negeri Perlis) berkenaan dengan semua perkara Hukum Syarak...” di mana di bawah Seksyen 51 (1) dan 51 (2) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Perlis 2006 jelas disebut bahawa kuasa Mufti Kerajaan Negeri Perlis hanyalah terhadap kepada ruang lingkup Perlis sahaja. Beliau juga adalah pemegang ijazah PhD dari Universiti Islam Antarabangsa dengan tesis bertajuk “Sabab Wurud al-Hadith: Dirasat Tahliliyyat Bi Tarkiz Khas ‘ala al-Dawabit wa al-Ma’ayir”.
 
Sangat pelik sekali apabila seorang Mufti dan seorang pemegang ijazah PhD boleh menimbulkan keributan malah mencetuskan fitnah di dalam masyarakat dengan mengeluarkan pelbagai tuduhan umum ke atas pihak tertentu tanpa menamakan secara spesifik pihak yang dituduh itu dan tanpa memberikan bukti secara spesifik ke atas tuduhan itu. Jika beliau benar-benar ikhlas, berani dan berilmu, beliau seharusnya menamakan secara spesifik pihak yang dituduh itu dan memberikan bukti secara spesifik ke atas tuduhan itu. Jika “perlanggaran hukum Allah” itu berlaku di Negeri Perlis yang berada di bawah bidang kuasa beliau sebagai seorang Mufti, maka adalah menjadi kewajipan beliau untuk “membantu dan menasihati Duli Yang Maha Mulia Raja Pemerintah (Negeri Perlis)” supaya bertindak ke atasnya, bukannya dengan mengeluarkan pelbagai tuduhan umum secara terbuka begini.
 
Bila ini tidak berlaku, maka tidak salahlah jika ada yang menyelar beliau sebagai mempunyai penyakit hati, bacul dan tidak menepati ciri-ciri seorang ilmuan seperti yang sepatutnya.
 
Apa yang jelas kepada banyak pihak ialah, berdasarkan banyak bukti, Dr MAZA-lah yang sebenarnya memperdagangkan jawatan Mufti Kerajaan Negeri Perlis untuk tujuan tersendiri, termasuk dengan mencampuri urusan politik kepartian, bukan sahaja dengan menyerang Presiden PAS, malah juga menyerang Presiden Umno yang merupakan Perdana Menteri.
 
Apa tujuan berulang-ulang kali dibangkitkan kembali isu kafir-mengkafir yang sudah pupus ditelan zaman ini, apatah lagi bila Dr MAZA sendiri sebelum ini pernah direkodkan menggesa semua pihak supaya “berhenti memainkan isu kafir-mengkafir” dan “kembali kepada politik yang dapat membina negara”, jika pembangkitnya tidak ada penyakit hati?
 
Begitu juga apa tujuan berulang-ulang kali diserang pihak yang “berjuang dan berpolitik untuk menegakkan hukum Allah” sedangkan pada masa yang sama pihak yang berjuang dan berpolitik untuk tidak melaksanakan, malah mempertikaikan dan memperlekehkan, hukum Allah tidak pernah pula diserang sebegitu rupa, jika penyerangnya tidak ada penyakit hati? 
 
Mengenai isu kafir-mengkafir ini, Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz selaku Pesuruhjaya PAS Negeri Kelantan telah mengeluarkan satu risalah pada 29 September 1983 yang di antara lainnya adalah berbunyi: “Sebenarnya tidak ada siapa yang mahu jadi kafir dan tidak ada siapa yang gatal mulut mengeluarkan fatwa kafir-mengkafir, tapi siapa sahaja yang melibatkan diri dengan sebab-musabab yang menjadikan dia kafir, maka kafirlah dia, walaupun tidak ada siapa yang mengeluarkan fatwa ke atasnya. Sepertimana penyakit, memang tidak ada siapa yang mahu sakit dan tidak ada doktor yang gatal mulut menuduh pesakit-pesakitnya terkena sakit itu, tapi siapa sahaja yang dihinggapi kuman-kuman tertentu, maka berpenyakitlah ia walaupun tidak ada doktor yang mengiktiraf dia sakit.”
 
Samalah juga dengan tulisan Dr MAZA sendiri sebelum ini bahawa “sesiapa yang dengan jelas tanpa sebarang andaian lagi menghina Allah dan Rasul-Nya, maka dia terkeluar dari Islam” dan bahawa “demikian juga jika dia menentang secara jelas tanpa sebarang andaian lagi apa yang ditetapkan oleh Allah dengan jelasnya seperti pengharaman arak, judi, zina dan seumpamanya”, maka apakah Dr MAZA tidak boleh dikatakan mengkafirkan? - HARAKAHDAILY 3/3/2018