KEBELAKANGAN ini, sejak kempen untuk memperkasakan Undang-undang dan Mahkamah Syariah digiatkan, terdapat parti politik Muslim, NGO Islam dan tokoh ilmuwan yang bersikap sinis, malah menentang usaha yang dijalankan. Argumen yang mereka kemukakan hampir sama, antaranya perkara itu bukanlah keutamaan pada masa kini. Mereka mengemukakan pelbagai isu khilaf dan teknikal termasuklah awlawiyyat, maqasid dan seumpamanya. Terdapat juga yang melaungkan slogan 'Rahmat Kepada Sekelian Alam', 'Negara Rahmah' dan lain-lain untuk membelakangkan kempen ini. Sedikit sebanyak tindakan mereka menjadi perisai bagi golongan penentang.

Sebenarnya sesuatu yang amat menarik, golongan yang menggunakan argumen dan jargon ini boleh jadi tidak menyedari, pemikiran mereka tentang Syariah adalah begitu sempit malah begitu menebal pengaruh sekularnya. Mereka hanya melihat Undang-undang Syariah ini dari kacamata individu pesalah tidak dari skop yang lebih luas iaitu kepentingan sebuah masyarakat dan negara. Lebih dari itu, mereka memisah-misahkan aspek Undang-undang Syariah ini dengan aspek lain seperti pendidikan, ekonomi dan industri, sedang kesemuanya amat berkait rapat. Mereke kemudian mendabik dada, merekalah yang faham Falsafah Tasyri, Keadilan Syariah, Rahmat Islam dan lain-lain.

Artikel ringkas ini, cuba membuka kotak pemikiran golongan ini untuk melihat usaha memperkasakan Undang-undang dan Mahkamah Syariah dari kacamata yang lebih luas, sekaligus menjawab beberapa argumen dan jargon yang mereka kemukakan. Dalam konteks ini, penulis ingin membawa perhatian pembaca kepada isu Industri Dosa atau Sin Industries, dan bagaimana Pindaan Akta 355 ini boleh berperanan besar. Dengan melihat satu aspek ini sahaja, kita boleh melihat bahawa Pindaan Akta 355 ini sebenarnya menjadi keutamaan sekarang, boleh mencapai maksud pensyariatan, menuju keadilan dan lain-lain lagi. Secara langsung ia adalah rahmat atau rahmah kepada semua.

Kemusnahan Disebabkan Industri Dosa

Dalam dunia perindustrian hari ini, pemain-pemain industri akan memanipulasikan segala aspek yang berkaitan keperluan dan kehendak manusia, demi keuntungan mereka. Satu perkara yang sedang dimanipulasikan oleh mereka dan banyak mendapat tentangan terutama dari golongan sosialis ialah aspek kebajikan. Bagaimanapun, ramai yang tidak memyedari ada satu aspek lain yang juga sedang dimanipulasikan oleh pemain-pemain industri ini, iaitu aspek keseronokan yang di dalam Islam ia berkait rapat dengan nafsu syahwat. Aspek ini telah dijadikan satu komoditi untuk diperdagangkan sehingga pemain-pemain industri ini untung berlipat ganda, dan ia dikenali sebagai Industri Dosa.

Kemunculan kegiatan perniagaan dosa seperti ini bukan satu perkara baru, tetapi kewujudannya dalam bentuk perindustrian boleh dikatakan masih baru dan sedang berkembang. Industri Dosa ini meliputi industri tobacco (secara tidak langsung berkaitan dadah), alkohol, perjudian, seks dan lain-lain. Di kebanyakan negara sekarang, Industri Dosa ini sudah dilesenkan sehingga rakyat sesebuah negara boleh melanggani produk Industri ini dengan melakukan pembayaran. Kerajaan pula telah menjadikan industri ini sebagai satu sumber pendapatan bagi menjana kekayaan negara, sebagaimana sektor-sektor perindustrian yang lain.

Bagaimanapun kebelakangan ini sudah banyak kajian dijalankan oleh para ilmuwan, tentang kesan industri ini terhadap sesebuah masyarakat, malah yang lebih penting terhadap ekonomi sesebuah negara. Para ahli ekonomi mulai menyedari bahawa kesan keburukan yang ditimbulkan oleh industri ini seperti peningkatan kadar jenayah, kemusnahan struktur sosial, penyebaran wabak penyakit, korupsi dan lain-lain lagi, lebih buruk dan membebankan daripada manfaat ekonomi yang diperolehi. Disebabkan negara-negara itu telah terjerumus jauh dengan industri ini, usaha untuk berpusing balik sangat sukar. Apa yang boleh dibuat, hanyalah mengurangkan kesan negatifnya daripada menjadi kian teruk.

Jaringan Industri Dosa ini di peringkat global akan menimbulkan lebih kebimbangan bagi mereka yang menelaahnya. Kegiatan-kegiatan yang terlibat dalam Industri Dosa ini saling berkait rapat dan sokong menyokong antara satu sama lain. Dengan pengertian lain, tobacco, alkohol, seks dan dadah mempunyai perkaitan rapat antara satu sama lain, sehingga bila jaringan global industri ini terbentuk, ia menjadi satu ancaman keselamatan yang besar. Daripada Industri Dosa ini mempunyai lesen, ia boleh menyebabkan kepada berlakunya kegiatan buruk lebih besar seperti Pemerdagangan Manusia (Human Trafficking) dan Perdagangan Dadah (Drug Trafficking).

Kedua-dua Pemerdagangan Manusia dan Perdagangan Dadah akan membawa pula kepada Pasaran Gelap Senjata Api (Fire Arm Black Market) yang akan menyebabkan bukan sahaja meningkatkan kadar jenayah, malah di sesetengah negara seperti di Amerika Tengah, ia turut mengancam kedaulatan negara. Sejarah Perdagangan Candu semasa era penjajahan di beberapa Wilayah China menjadi petunjuk tentang kesan akhir industri ini yang boleh berulang semula. Oleh sebab itu, sebelum Industri Dosa ini berakar umbi sehingga menjadi lebih parah, langkah-langkah untuk mencegahnya perlu diambil, bukan menggalakkannya yang akhirnya akan membina jaringan sehingga ke peringkat global.

Industri Dosa Di Malaysia

Bagi mereka yang mengikuti perkembangan Industri Dosa di Malaysia, ia sebenarnya telah sampai ke tahap yang sangat membimbangkan. Terdapat kegiatan-kegiatan industri ini yang berlesen dan terdapat pula yang tidak berlesen. Disebabkan majoriti (sekitar 62%) rakyat negara ini adalah Muslim, sudah tentu mereka menjadi antara sasaran utama pemasaran. Malah tidak keterlaluan dikatakan, memang masyarakat Muslim lah antara yang ramai terlibat menjadi pelanggan industri ini. Beberapa kawasan di bandar-bandar utama telah menjadi terkenal dengan industri ini, sama ada berlesen atau tidak berlesen. Kawasan-kawasan gelap ini turut terkenal sebagai sarang penjenayah.

Tidak dapat dinafikan Industri Dosa di negara ini terutama yang tidak berlesen seperti kegiatan seks dan perjudian, telah membiakkan kegiatan gangsterisme yang sudah mula menular ke sekolah-sekolah untuk menjadi rekrut-rekrut pelapis. Kegiatan gangsterisme ini pula membiakkan perdagangan gelap senjata api di Malaysia. Kumpulan-kumpulan seperti ini diperlukan untuk melindungi kegiatan Industri Dosa termasuk yang melibatkan Pemerdagangan Manusia dan Perdagangan Dadah. Sebagaimana biasa, kewujudan kumpulan ini turut dikaitkan dengan penyeludupan, rasuah, duit perlindungan, dana politik haram dan lain-lain. Jika tidak dicegah ia boleh meruntuhkan negara.

Negara kita akan lebih cepat kemusnahannya jika Industri Dosa ini berjaya mempengaruhi golongan politik, sehinga mereka boleh mewujudkan dasar-dasar tertentu yang melindungi kegiatan industri ini, selain daripada sogokan kepada golongan politik tertentu. Dalam dunia akademik, sudah ada ilmuwan yang memperkenalkan istilah Politik Dosa (The Politics of Sin) untuk menunjukkan barah yang lebih kronik apabila pemain-pemain industri ini berjaya mendominasikan golongan politik. Situasi ini sudah berlaku di beberapa negara sehingga diwujudkan undang-undang untuk memberi lesen kepada kegiatan ini termasuklah penggunaan dadah.

Sekiranya perkembangan Industri Dosa ini tidak dicegah dan pemain-pemain utama industri ini dibiarkan untuk mempengaruhi golongan politik, tidak mustahil Malaysia turut terjebak dengan kemusnahan disebabkan industri ini. Malaysia sudah mula menjadi perhatian dunia apabila masalah Pemerdagangan Manusia telah dibangkitkan oleh pihak-pihak berkuasa negara lain. Masalah penyalahgunaan dadah di Malaysia masih belum 'menemui cahaya di hujung terowong'. Sekarang ini, kes-kes pembunuhan senjata api sudah semakin menjadi-jadi. Kesemua ini dibiakkan oleh kegiatan-kegiatan tidak bermoral di dalam Industri Dosa yang tidak disedari oleh banyak pihak.

Peranan Akta 355 Untuk Membasmi Industri Dosa

Perkembangan Industri Dosa di Malaysia sememangnya sukar dikawal disebabkan pelbagai faktor, antara yang utama ialah demografi penduduk Malaysia yang majmuk. Kemajmukan ini menyebabkan ada kegiatan-kegiatan tertentu dilesenkan seperti perjudian dan ada kegiatan-kegiatan tertentu 'dibiarkan bebas' meskipun tidak berlesen atau lesen disalahguna seperti pelacuran. Kegiatan-kegiatan ini telah mengayakan pemain-pemain industri, contohnya syarikat perjudian berlesen mengaut keuntungan bebilion Ringgit setiap tahun, sementara kaki-kaki judi terus merempat dan keluarga mereka tidak bercukupan dari segi makanan dan tempat tinggal.

Sekiranya tindakan tegas diambil untuk membekukan lesen-lesen Industri Dosa ini, akan timbul bantahan dari pimpinan-pimpinan bukan Islam termasuk ada yang berlatarbelakangkan agama. Jika industri ini dibiarkan pula, ia akan merosakkan ekonomi dan sosial masyarakat termasuk yang turut terkesan ialah kelompok masyarakat Islam sebagai golongan majoriti, sedangkan kegiatan-kegiatan ini haram bagi mereka. Masyarakat Islam digesa menghormati hak masyarakat bukan Islam meskipun kesan buruknya lebih banyak terkena kepada mereka. Oleh sebab itu, apakah penyelesaian kepada dilema ini? Apakah mahu dibiarkan sahaja kerosakan ini berpanjangan?

Salah satu penyelesaian yang sesuai ialah menggunakan kuasa pengguna yang ada pada umat Islam, iaitu umat Islam memboikot atau berhenti dari menggunakan produk-produk Industri Dosa ini. Bagaimanapun, ini tidak semudah yang disangka kerana ia berkaitan dengan nafsu syahwat yang amat sukar dibendung. Industri Dosa ini boleh dibendung antaranya dengan menguatkuasakan penyelesaian Syariah, kerana hampir keseluruhan kegiatan-kegiatan industri ini berkaitan rapat dengan kesalahan Jenayah Syariah. Hukuman Jenayah Syariah yang bersifat mendidik dan mengekang, merupakan satu khabar buruk kepada pemain-pemain Industri Dosa dan 'Tuan-tuan Politik' yang melindungi mereka.

Pemerkasaan Undang-undang dan Mahkamah Syariah melalui pindaan Akta 355 ini sememangnya membimbangkan pemain-pemain utama Industri Dosa. Mereka akan kehilangan kelompok pelanggan-pelanggan terbesar iaitu dari kalangan Masyarakat Islam. Sekiranya golongan kaki botol, tahi judi, pelaku maksiat, penzina dan seumpamanya dapat dipupuskan dalam kalangan umat Islam, Industri Dosa ini boleh dibasmi di Malaysia. Kesannya, keluarga umat Islam lebih kukuh, masyarakatnya lebih sihat dan ekonomi ummah lebih berkat. Oleh sebab itu, pindaan Akta 355 ini sememangnya satu keperluan mendesak jika dilihat dalam konteks Industri Dosa yang sedang berkembang biak.

Kesimpulan

Berdasarkan teropong khusus kepada isu Industri Dosa ini, penulis sebenarnya hairan mengapa parti politik Muslim, NGO Islam dan tokoh ilmuwan memandang sinis dan remeh terhadap usaha besar-besaran umat Islam untuk membasmi Industri Dosa ini? Parti politik Muslim itu perlu sedar, Islam ini adalah rahmat kepada sekelian alam, tetapi bukan rahmat kepada Industri Dosa. NGO Islam juga perlu sedar kita tidak boleh membina Malaysia yang rahmah dengan Industri Dosa. Manakala ilmuwan Islam yang bercakap tentang maqasid dinasihatkan jangan terjebak untuk memperjuangkan maqasid pemain-pemain utama Industri Dosa ini. Ayuh kita bersatu memperkasa dan memartabatkan Syariah.

Dr Mohd Zuhdi Marzuki
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS

وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُمْ مِنْ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا ۚ يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا ۚ وَمَنْ كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

MAKSUDNYA: "Allah menjanjikan orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang yang sebelum mereka: khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang yang derhaka." (Surah An-Nur 55)

Allah beri tiga nikmat kepada kita hari ini iaituIslam, berada dalam perjuangan, pikul amanah dalam perjuangan.

Ada orang yang dapat nikmat pertama sahaja tetapi tidak kedua dan ketiga. Ada juga yang dapat nikmat pertama dan kedua tetapi tidak  nikmat yang ketiga

Kita bersyukur kerana Allah berikan ketiga-tiga nikmat. Bukan semua orang sanggup pikul amanah ini. Kita tak kenal pencen kerana perjuangan tiada henti.

Kita syukur berada dalam PAS kerana ia gerakan Islam, gerakan massa melalui jalur dakwah, politik dan tarbiah.

PAS mampu bergerak walaupun diasak kuat. Ini kerana kita ada asas perjuangan kukuh iaitu Islam. PAS sentiasa hijau, evergreen ibarat pokok hijau disirami setiap pagi.

Teras politik di Malaysia ialah Melayu. Parti yang boleh lawan Umno ialah PAS. Sebab itu kami sebut kepada rakan pembangkang yang mahu lawan PAS: 'Kalau kamu lawan kami, kamu rugi.'

Pilihan Raya Umum ke-14 mungkin PAS  berhadapan dengan Umno dan PH. Mereka (PH) anggap kita bersama Umno, satu rakit dengan Umno sedangkan kita ikut politik matang dan sejahtera.

Ada perkara yang boleh kita setuju, ada yang kita tak setuju. Isu seperti 1MDB dan GST, kita tentang. Isu yang menguntungkan umat Islam dan rakyat, kita setuju.

Sebab itu apa yang mereka buat ini sebenarnya menguntungkan DAP dan Umno sahaja apabila serang PAS.

DAP tak boleh memerintah Malaysia secara sendirian  tetapi ia boleh menentukan arah tuju dan dasar negara apabila mereka bersama memerintah. Cuba tengok Selangor. Apa yang dibuat oleh DAP. Begitu juga di Pulau Pinang.

Umno punca menyebabkan Pulau Pinang dikuasai oleh bukan Melayu (Islam). Sewaktu ada kuasa mereka tidak jaga Islam dan Melayu.

Sebab itu apabila PAS dalam Pakatan Rakyat dahulu, ada perkara yang kita tak setuju. Contoh dalam Buku Jingga. PAS tidak setuju dengan pilihan raya perbandaran tempatan di dalam Buku Jingga. Ia boleh beri kesan negatif. Kita tidak akan buat perkara yang lebih teruk dari Umno.

Kita berkawan dengan orang lain tapi kita ada prinsip, kita tak larut dengan suasana dan orang lain.

Pilihanraya sudah hampir.

Terengganu agak agresif menggerakkan jentera parti untuk menghadapi pilihan raya.

Orang muda tidak bersama Umno. Namun, mereka akan pilih parti mana? PAS Terengganu sudah tawar manifesto yang agak baik seperti belanja percuma untuk perkahwinan pertama.

Peringkat cawangan, kawasan fokus kepada gerak kerja menambah penyokong dan pengundi. Dasar, kerjasama dan lain-lain melibatkan prinsip serahkan kepada PAS Pusat.

PAS mesti kuat, jadi semak dan imbang kepada Umno. Contohnya dalam isu pindaan RUU355. Umno terpaksa ambil pendirian dalam isu ini. Andainya parlimen tolak, tetapi 'parlimen rakyat' terima.

RUU 355 ialah kunci kuasa utk membolehkan Dun buat pindaan dan meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Nasihat kepada perwakilan:
1.Pentingkan tarbiah nafs, terutamanya secara peribadi
2.Usrah cawangan
3.Jaga ukhuwwah
4.Rajin cari ilmu
5.Dakwah fardiah (individu) terutama kepada orang atas pagar
6.Hadir mesyuarat
7.Bayar yuran
8.Beri masa kepada PAS dua jam sehari
9.Jaga nama baik sendiri
10.Beli Harakah, baca, agih
11.Adakan kelas pengajian
12.Tubuh cawangan
13.Hadir majlis ceramah pimpinan
14.Sekat ideologi lain masuk dalam rumah dengan didik anak, isteri, menantu sokong perjuangan PAS.
15.Belajar ilmu pengurusan
16.Kuasai isu politik semasa
17.Anak lelaki libatkan dalam unit Amal, perempuan Briged Muslimat dan Nisa.

Pastikan UPU, lokaliti sendiri, Dun bersedia hadapi pilihan raya. – HARAKAHDAILY 5/3/2017

Catatan ucapan Ustaz Idris Ahmad oleh Ustaz Nik Muhammad Nasri Nik Malek, Timbalan YDP PAS Kemaman Sempena Mesyuarat Agung PAS Kemaman Kali Ke-57 di Mujamma' As-Shafie, Pusat Pengajian Taman Islam, Kemaman pada 4 Mac 2017.

PAS kesal dengan 'lampu hijau' yang diberikan KPDNKK supaya menaikkan harga gula 11 sen daripada RM2.84 kepada RM2.95 sekilogram berkuatkuasa 1 Mac yang lalu. Perkara tersebut jelas memperlihatkan kerajaan tidak mempertimbangkan sesuatu polisi dengan melihat kepentingan rakyat sebagai keutamaan mereka.

Peningkatan harga gula mentah dunia ditambah lagi penyusutan nilai matawang ringgit sememangnya memberi impak kepada kos mengimport gula. Justeru, kesan rantaian ini turut memberi implikasi terhadap kos pengeluaran gula di pasaran domestik. Purata mengimport gula adalah RM4.40 berbanding RM4.10 pada tahun sebelumnya.

Amat dikesali apabila kerajaan lebih mengutamakan keuntungan pihak tertentu berbanding melihat kepada pengucupan kuasa beli di kalangan pengguna ketika ini. Malah, 'real income' rakyat juga semakin berkurang. Kuasa beli yang melemah juga sudah pasti akan memberi kesan tidak langsung kepada sektor peruncitan. Tidakkah kerajaan sedar kesan inflasi yang telah berkembang kepada 3.2 peratus pada Januari yang lalu hasil daripada polisi-polisi tempang pihak kerajaan?

Justeru, kerajaan sepatutnya memikirkan suatu langkah bagi menyerap kenaikan itu daripada bersikap bermudah-mudah melepaskan bebanan kepada rakyat. PAS sangat kesal dengan pendirian kerajaan dalam beberapa polisinya yang mengenepikan faktor orang ramai. Mereka hanya berfikir apabila sesuatu syarikat mengekalkan margin keuntungan yang tinggi, maka cukai yang diperoleh kerajaan juga tinggi. Akhirnya, peningkatan kos itu dilepaskan untuk ditanggung oleh rakyat.

Pada satu sisi yang lain pula, sifat 'self-interest' (penting diri) dan 'profit maximization' (keuntungan maksimum) dalam orientasi pemikiran kapitalisme telah mengenepikan keuntungan sosial. Apatah lagi barangan dan perkhidmatan yang disediakan berkait dengan keperluan asas rakyat. Rakyat akhirnya menjadi mangsa orientasi pemikiran ini. Inilah yang disebut dengan 'privatizing profit, socializing loss'.

Jika diteliti dengan lebih mendalam, kesan berantai daripada kenaikan harga gula kepada rakyat lebih meruncing. Kos sara hidup yang tinggi dan kenaikan inflasi yang mendadak adalah bahana yang sedang ditanggung rakyat dan semakin berganda dari sehari ke sehari. Selepas minyak masak, bahan api dan kini gula, apa lagi yang akan dinaikkan oleh pihak kerajaan? Berilah apapun alasan tetapi tunggulah hari pembalasan kelak!

Inilah Penyelesaian Kita

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat - HARAKAHDAILY 5/3/2017

KEZALIMAN terbesar manusia adalah syirik kepada Allah. Dengannya manusia menjadi kufur dan tiada lagi balasan selayaknya buat mereka selain neraka dan kelaknatan.

Kezaliman terbesar umat Islam pula adalah ragu-ragu terhadap syariat Allah. Walaupun umat Islam mendakwa beriman kepada Allah, lalu digelar muslim, tetapi tiadanya keyakinan terhadap wahyu dan arahan-Nya adalah sebahagian syirik kepada-Nya. Ragu-ragu terhadap arahan-Nya akan mendorong kepada keyakinan terhadap syariat dan peraturan sesama manusia. Itu juga syirik yang jelas.

Walaupun kekufuran golongan kuffar adalah lebih besar di sisi Allah dan balasan terhadap mereka di akhirat adalah paling dahsyat, tetapi pembalasan di dunia adalah sebaliknya. Mereka yang kufur dijamu dengan pelbagai kesenangan hidup mengikut kehendak dan kekuatan mereka mengeksploitasi kekayaan duniawi ini. Itulah syurga mereka yang palsu. Sebagaimana mereka beriman kepada kepalsuan, mereka juga dibalas dengan kepalsuan. Itulah keadilan Ilahi.

Adapun umat Islam yang ragu-ragu dengan ugama sendiri, mereka di dunia adalah terawang-awang di antara kemuliaan dan kehinaan. Kemuliaan adalah kerana mereka tetap menjaga Islam mereka dan tidak murtad. Kehinaan adalah pembalasan Allah kerana mempermainkan Allah dan orang-orang beriman yang lain.

Walaupun mereka berusaha menunjukkan kebijaksanaan mereka dengan campur aduk antara keyakinan dan keraguan terhadap-Nya, tetapi Allah tidak akan mengizinkan. Al Quran secara nyata menyebut bahawa balasan terhadap golongan ini adalah kehinaan di dunia dan azab yang teruk di akhirat.

Maka adalah nyata bahawa balasan orang-orang kafir adalah kemewahan di syurga dunia yang fana dan azab neraka di akhirat yang kekal. Manakala umat Islam yang ragu-ragu dengan ugama sendiri (munafikin), balasan terhadap mereka adalah hina di dunia dan hina juga di akhirat.

Kefahaman daripada hukuman Allah tadi begitu menjelaskan kepada kita bahawa yakin terhadap Allah dan syariat-Nya adalah tuntutan kewajiban terbesar umat Islam hari ini. Ini adalah kerana dunia Islam hari ini dilanda penyakit keraguan terhadap ugama sendiri yang agak kronik. Dunia Islam hari ini hidup tanpa pedoman ugama secara nyata. Fahaman dan undang-undang kehidupan telah dicampur-adukkan di antara syariat ugama dan undang-undang manusia yang bertentangan dengan wahyu dan arahan Allah.

Hukuman Allah ke atas umat Islam hari ini adalah nyata. Negara-negara Islam mundur dan terkebelakang. Umat Islam pula diperlekeh. Untuk bangkit semula, mereka dilanda ketakutan dan rasa rendah diri. Akhirnya mereka menjadi pak turut kepada tamadun barat. Apabila disuruh atau dicucuk supaya berperang sesama sendiri, mereka terus sanggup menumpahkan darah sesama sendiri walaupun jutaan nyawa umat melayang. Itulah kehinaan yang nyata.

Penyakit yang melanda negara kita Malaysia adalah sama. Ia sebuah negara yang masih ragu-ragu terhadap Islam. Pembangunan dan penyelesaian kepada masalah negara dibangunkan dengan undang-undang yang diimport daripada barat. Sistem dan jentera negara dipenuhi warna-warni sekularisme yang menolak ugama ke sudut paling tepi. Jika ada suara dan sentuhan Islami di mana-mana penjuru, maka ia adalah kerana wujudnya ruang-ruang kosong yang tidak menjadi buruan, rebutan dan keperluan kepada sekularisme untuk bertapak dan berkuasa. Maka di situ Islam bolehlah bernafas dan berperanan.

Penyakit paling besar negara yang paling utama ialah akidah yang goncang, bukan ekonomi yang goncang dan bukan juga para pemimpinnya yang angkuh. Ekonomi yang goncang akibat pemimpin yang angkuh hari ini adalah kesan dan manifestasi penyakit menolak Islam. Rasuah, boros, membazir, salah guna kuasa, monopoli, dadah dan segala penyakit negara adalah kesan ketidakyakinan terhadap Islam dan syariat-Nya.

Semua itu perlu diperangi. Semua itu merosakkan negara. Tetapi memeranginya dengan senjata sekularisme juga adalah berputar pada putaran yang sama. Ia kekal sebagai penyelesaian yang palsu. Balasan Allah adalah nyata. Umat Islam tanpa Islam adalah kehinaan di dunia dan di akhirat juga. Sunnah dan ketetapan Allah tidak akan berubah sedikit pun.

Penawar untuk kita adalah meyakinkan diri sendiri untuk kembali kepada Islam dengan penyelesaiannya yang padu dan menyeluruh. Ia jihad besar yang begitu nyata. Justeru semua pihak mestilah berganding bahu menyeru umat agar kembali kepada Islam yang sempurna dan lestari.

Bagaimana caranya? Ia adalah persoalan hikmat dan kebijaksanaan. Al Quran dan sunnah nabi adalah rujukan untuk menerapkan nilai-nilai hikmat di dalam proses mengubati umat ini. Hikmat barat mestilah diukur dan ditapis sehingga tidak melanggari prinsip-prinsip Islam.

Antara kecacatan kita yang nyata ialah kegagalan di dalam sistem pengajaran dan pendidikan kita untuk menerapkan nilai 'dengar dan patuh' kepada ketetapan Allah. 'Sami'na Wa Ata'na' adalah binaan ugama yang menjadi tempat berlindung dan bentengan yang akan menyelamatkan individu dan umat Islam di saat berdepan serangan bertali arus daripada musuh.

Selalu berbahas dan asyik mendahulukan pencarian hikmat daripada hukum-hukum agama telah merosakkan akal umat dengan kekaguman terhadap akal sesama manusia. Akhirnya, kita hanya tahu merangka tahap-tahap, tadrijiah, awlawiyat dan sebagainya di dalam pelaksanaan hukum Islam tetapi gagal pula menyusun akal kita dan keegoan sendiri di dalam berhadapan nas-nas Islami yang maha suci.

Adakah para sahabat nabi ridhwanuLlahi alaihim asyik bertanyakan hikmat hukum agama? Tidak. Mereka begitu bersungguh untuk melaksanakan hukum ugama ke atas diri dan masyarakat. Mereka begitu obses dengan kalimah 'Sami'na Wa Ata'na' yang merupakan manifestasi penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah dan syariat-Nya.

Ini bukan bermaksud menidakkan kecantikan usaha kita di dalam memperkasa syariah Islam dengan mengorek hikmat dan kebijakan hukum ugama, tetapi lihatlah betapa para sahabat nabi sudah begitu terbiasa menerima kebenaran atau al haq dengan melihat hikmat sesuatu hukum itu hanya selepas sesuatu hukum Allah itu dilaksanakan terlebih dahulu. Hasilnya, sifat 'kami dengar dan kami patuh' sudah begitu sebati di dalam kehidupan mereka.

Walau apapun kekurangan kita hari ini, setidak-tidaknya kita sudah boleh bergembira dengan tahap kesungguhan umat Islam untuk kembali kepada agama. Sudah banyak kegagalan, kepedihan dan kesakitan yang Allah tunjukkan untuk menjadi pengajaran dan iktibar yang berguna kepada kita untuk kembali kepada ugama kita sendiri.

Jadi usahlah kita terlalu terdorong untuk berbahas dan asyik mempertikaikan isu-isu agama sehingga boleh memecahkan kesatuan yang semakin diraikan dan diimpikan oleh setiap kita. Kesatuan dan persaudaraan umat masih rapuh. Tugas kita adalah memantaunya dan sentiasa meninjau di setiap penjuru, jangan-jangan musuh datang menyerang dalam kealpaan diri kita sendiri.

Musuh besar negara dan umat adalah keraguan terhadap agama. Keraguan meninggalkan sifat keengganan untuk dengar dan patuh kepada ajaran Allah. Keengganan mewariskan sifat takbur di dalam diri. Takbur dan angkuhlah yang akhirnya menghancurkan iblis walau sudah menghuni di dalam syurga! Selamat berjuang di jalan Allah.

* Artikel adalah untuk kolum 'Terang Rembulan' akhbar Harakah.

GEJALA rasuah kelihatan semakin menjadi barah dalam negara mutakhir ini. Pemimpin politik yang menjadi dalang utama gejala rasuah ini merupakan punca utama barah ini sentiasa merebak di dalam masyarakat khususnya dalam kalangan kakitangan awam. Penyakit ini tidak dapat tidak mesti dihentikan serta merta jika kita ingin melihat ekonomi negara pulih dan rakyat hidup dalam keadaan makmur. Namun ahli politik adalah kuncinya, bersih ahli politik, negara akan mencapai sifar rasuah.

Penahanan demi penahanan didedahkan namun kesan penahanan dilihat tidak begitu efektif dan gejala rasuah ini semakin berleluasa. Punca utamanya adalah campur tangan politik. Islam menentang keras perbuatan rasuah ini. Dalam Al-Quran, rasuah digolongkan dalam kata umum batil, iaitu meliputi juga perbuatan jenayah lain seperti merompak, memeras ugut dan menipu.

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ
 
"Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)." (Surah Al-Baqarah: 188)

Suasana politik wang ini semasa semakin rancak dengan penahanan anak Exco Kerajaan Negeri Johor bersama lima lelaki yang lain dikatakan telah terlibat dengan rasuah dan penyelewengan hartanah di Johor apabila terbabit dalam penukaran status rumah-rumah Bumiputera kepada bukan Bumiputera. Ironinya, seorang ayah kepada Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga terpalit dengan tuduhan skandal rasuah lantang mengkritik skandal rasuah ini.

Mengapa Kit Siang bersuara dalam isu ini dan berdiam diri dalam isu Guan Eng? Jika dilihat Umno juga amat lantang mengkritik DAP ketika penahanan skandal rasuah Guan Eng dan beberapa isu rasuah DAP yang lain satu ketika dahulu. Adakah Umno tidak sedar siapa 'bapa' kepada gejala rasuah ini sehingga menjadi barah yang sukar untuk diubati di negara ini?

Kes yang sama apabila DAP yang juga mempunyai beberapa kes rasuah tetapi seolah-olah melupakan kejadian rasuah yang pernah berlaku di dalam parti mereka,

http://www.themalaymailonline.com/projekmmo/berita/article/bapa-wakil-rakyat-dap-ditahan-sprm-kes-rasuah-untuk-rumah

http://www.straitstimes.com/asia/se-asia/lim-guan-eng-charged-with-corruption

Ianya lebih menarik apabila bekas Naib Presiden DAP, Tunku Aziz yang pernah mendakwa gejala rasuah yang berlaku di dalam DAP telah berleluasa dan sehingga hari ini ianya tidak dapat dinafikan oleh pimpinan DAP sendiri,

http://www.tranungkite.net/v12/modules.php?name=News&file=article&sid=32862.

PAS juga merupakan parti politik dan mempunyai pimpinan politik yang bertaraf Menteri Besar dan Exco Kerajaan Negeri. Namun PAS sentiasa membuka ruang seluas-luasnya kepada SPRM khususnya bagi memastikan gejala rasuah ini ditangani dengan serius. Sebagai contoh isu pembalakan haram di Kelantan yang sering digembar gemburkan, PAS telah membuka ruang kepada pihak SPRM untuk menyiasat kes tersebut dengan menubuhkan jawatankuasa dan meminta SPRM menangkap sesisapa sahaja yang terlibat,

http://www.sprm.gov.my/index.php/arkib-kenyataan-media/502-sprm-sambut-baik-langkah-kerajaan-negeri-kelantan-tubuh-jawatankuasa-tangani-kes-kecurian-balak?templateStyle=22

Tidak cukup dengan itu, Kerajaan Negeri Kelantan telah menandatangani perjanjian bersama SPRM bagi membanteras sehabis-habisnya gejala rasuah di negeri tersebut,

http://www.sprm.gov.my/index.php/arkib-kenyataan-media/1472-pmbk-tandatangan-cip-zahir-komitmen-perangi-rasuah-bersama-sprm
 
PAS berpegang kepada prinsip Islam, jika ada mana-mana ahli PAS yang terlibat dengan rasuah maka PAS akan memastikan individu tersebut dibicarakan dan dibawa ke muka pengadilan. Inilah yang diajar di dalam Islam. Setiap yang bersalah mesti dihukum walaupun orang tersebut mempunyai talian darah dan hubungan yang akrab dengan kita.

Pemuda PAS Wilayah Persekutuan ingin menasihati semua pihak agar benar benar memerangi rasuah dan bukan hanya menjadikan ia sebagai modal politik menyerang parti lawan. Lantang bersuara membanteras rasuah itu bagus, namun lebih bagus jika yang lantang itu juga membanteras rasuah khususnya yang berlaku di dalam parti sendiri. Jangan jadi seperti 'kuman di seberang lautan kelihatan, gajah di pelupuk mata tiada kelihatan'.

'Inilah Penyelesaian Kita'

Nurul Islam Mohamed Yusoff
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan - HARAKAHDAILY 4/3/2017

SISTEM Mudharabah sebagai satu kaedah perkongsian perniagaan perlu diperluaskan dalam masyarakat bagi menyelamatkan masyarakat peniaga berskala kecil khususnya terlibat dengan pinjaman Riba.

Mudharabah adalah perkongsian perniagaan antara pemodal dan peniaga yang menjalankan perniagaan. Asasnya adalah perkongsian pada untung dan juga rugi. Berbeza dengan sistem perbankan Islam yang sedia ada sekarang. Mereka hanya mampu menyediakan pembiayaan perniagaan menggunakan beberapa kaedah akad yang dibenarkan oleh Syarak yang hanya meletakkan bebanan risiko rugi hanya ke atas peniaga. Tetapi untung dan manfaat dinikmati bersama.

Masyarakat peniaga khususnya peniaga kecil-kecilan mengambil pinjaman cara riba menerusi along yang tidak berlesen mahupun institusi kewangan riba yang berlesen. Penglibatan dengan riba ini menghilangkan Barakah perniagaan mereka.

Malah sistem riba inilah yang merosakkan ekonomi negara kerana ia mencipta duit baru dan kekayaan tidak berasaskan nilai aset yang benar dalam pusingan ekonomi negara.

Kerajaan boleh memperkasakan pelbagai institusi ekonomi Islam dalam negara ini bagi bergerak ke arah mengembangkan sistem Mudharabah ini bagi membina kekuatan ekonomi bagi ummah.

Sesungguhnya perniagaan antara bidang yang diberi perhatian besar oleh Rasulullah saw ketika membina negara baru Madinah. Pasar baru untuk umat Islam dibina oleh baginda bagi mengukuhkan pasaran peniaga muslim.

Dr Khairuddin at-Takiri
Sabtu 4hb Mac 2017

PERTUBUHAN Pendukung dan Pencinta Ulamak (Geng Ustaz) dengan ini terkejut dengan sikap dan kenyataan SS Mufti Perlis Datuk Dr Mohammad Asri Zainal Abidin yang mencabar untuk berdebat dengan Datuk Seri Tuan Guru  Abdul Hadi Awang Presiden PAS dalam isu Akta 355.

Akta 355 yang dikemukakan cadangan melalui usul pindaan RUU355 adalah jelas bertujuan memperkasakan Mahkamah Syariah yang sedia ada dalam negara ini telah juga dipraktikkan sejak tahun 1965 lagi.

Usul pindaan RUU355 ini menjadi polemik yang tidak pernah berlaku dalam sejarah perundangan apabila ditentang hebat oleh pihak tertentu sama ada jahil atau sengaja buat-buat jahil atau anti Islam.

Seharusnya perihal Akta 355 ini disokong oleh pihak autoriti agama Islam dalam negara ini seperti Mufti. Malangnya SS Datuk Mufti Perlis membuka ruang perdebatan dan mengajak masyarakat  untuk terlibat isu pindaan ini tanpa ada sandaran pengetahuan dan juga hujah.

Method muzakarah dan perbincangan sihat bersifat ilmiah seharusnya menjadi ruang mendapat pencerahan dan bukannya perdebatan untuk mempertahankan hujah SS Datuk Mufti yang mampu menggagalkan usaha baik dan murni ini.

Kritikan SS Datuk Mufti Perlis secara terbuka terhadap usul pindaan Akta 355 ini diambil peluang dan batu loncatan oleh pihak tertentu mengapi-apikan isu ini dan hak umat Islam itu sendiri.

Geng Ustaz ingin menyatakan bahawa kami amat tidak bersetuju dengan cara SS Datuk Mufti Perlis dalam menangani isu polemik usul pindaan Akta 355 ini dan menyeru pihak SS Datuk Mufti Perlis agar memperlihatkan adab terhadap Presiden PAS dan jangan mendabik dada dengan kelebihan status sebagai seorang Mufti untuk bercakap apa sahaja.

Kami berharap SS Datuk Mufti Perlis bertindak dengan wajar menurut lunas akhlak seorang ilmuan.

Hadits Abu Umamah ra, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda:

مَا ضَلَّ قَوْمٌ بَعْدَ هُدًى كَانُوْا عَلَيْهِ إِلاَّ أُوْتُوْا الْجَدَلَ

“Tidaklah sebuah kaum menjadi sesat setelah mereka dulunya berada di atas hidayah kecuali yang suka berdebat." (Sunan At-Tirmidzy dan Ibnu Majah)

Ustaz Muhammad Najhan Halim
Timbalan Presiden Pertubuhan Pendukung dan Pencinta Ulamak @ Geng Ustaz

Zakir Naik dalam ceramahnya sentiasa mengemukakan hujah yang ilmiah dan rasional, tidak hanya berdasarkan sumber-Islam, beliau turut menghuraikan sesuatu perkara berdasarkan sumber agama lain bagi memahamkan pendengar terhadap keindahan Islam dan meyakinkan mereka bahawa Islam adalah agama yang sebenar. Intelek atau ekstrem?

Tidak sekadar itu, beliau tidak memaksa sesiapa untuk menerima setiap butir isi kandungan yang disampaikannya bahkan beliau memberikan peluang kepada semua sama ada bagi menanyakan soalan atau mengemukakan hujah balas terhadap perkara yang telah beliau sampaikan. Beliau bersedia menerima kebenaran yang disampaikan oleh pendengarnya dan membetulkan kesilapan sehingga sanggup menarik semula apa yang telah beliau sampaikan sekiranya dibuktikan bahawa ia salah. Intelek atau ekstrem?

Beliau tidak pernah pula memaksa sesiapa pun untuk hadir ke program ceramahnya. Beliau menjemput semua orang untuk hadir tanpa mengira Melayu, Cina atau India dan tanpa mengira agama Islam, Budhha, Hindu atau Kristian sementelah lagi untuk membezakan seseorang itu mengikut parti tertentu. Beliau hanya mengharapkan setiap peserta programnya hadir dengan kemahuan untuk mendapatkan kebenaran. Intelek atau ekstrem?

Menariknya (dengan izin Allah) selalu sahaja dalam programnya, ada kalangan bukan Islam memilih untuk memeluk Islam; bahkan bersyahadah di hadapan umum, ditonton oleh orang ramai dengan penuh rasa yakin dan aman. Zakir Naik tidak pernah memaksa atau mengugut individu pilihan Allah swt itu sehingga mereka berbuat demikian. Beliau hanya menyampaikan kebenaran yang dinyatakan di dalam al-Quran dan as-Sunnah. Intelek atau ekstrem?

Berbanding individu atau kumpulan tertentu itu yang mahu Zakir Naik diusir dan disekat masuk dari negara ini dengan dakwaan kononnya Zakir Naik telah mengancam ketenteraman awam, moral, ekonomi, keharmonian sosial dan pendidikan negara bahkan mereka meminta campur tangan AS bagi mengenakan tindakan ke atas Zakir Naik hanya semata-mata disebabkan oleh sikap-sikap Zakir Naik yang saya nyatakan di atas, intelek atau ekstrem?

Ke mana perginya hak asasi yang mereka laungkan selama ini? Ke mana hilangnya hak kebebasan bersuara yang mereka pertahankan selama ini? Ke mana hanyutnya semangat dialog intelektual yang diperjuangkan selama ini?

Anda berhak untuk menolak dan tidak bersetuju dengan pandangan Zakir Naik, tetapi tampil lah dengan hujah dan kebenaran.

Nasrudin Hassan
3 Mac 2017 | 4 Jamadil Akhir 1438 - HARAKAHDAILY 3/3/2017

LAJNAH Perpaduan Nasional dan Hubungan NGO Dewan Pemuda PAS Malaysia menyelar kenyataan tidak berasas yang dikemukakan peguam, Siti Kassim dan Hindraf berhubung kehadiran pendakwah terkemuka, Dr Zakir Naik ke negara ini yang diberi ruang oleh kerajaan Malaysia.

Pihak kami amat mengalu-alukan tindakan kerajaan memberikan ruang untuk Dr Zakir seorang pendakwah terkenal untuk berada di negara ini bagi meneruskan kerja dakwah beliau.

Kami meminta kepada semua pihak khasnya Hindraf dan Siti Kasim supaya tidak menambahkan isu yang boleh mencetus ketegangan kaum dan mengambil kesempatan di atas isu ini untuk tujuan politik sempit.

Seluruh rakyat memahami bahawa Malaysia merupakan sebagai sebuah negara Islam dan berdasarkan perlembagaan persekutuan yang menyatakan Islam sebagai agama rasmi maka tidak salah membenarkan pendakwah seperti Dr Zakir meneruskan kerja dakwah di negara ini.

Apa yang lebih baik adalah semua pihak duduk semeja berdialog dan bertukar fikiran melerai kekeliruan serta mencapai kata sepakat.

Malah pada kami sepatutnya pihak yang menentang kehadiran tokoh pendakwah itu  mengadakan pertemuan dengan Dr Zakir bagi mengadakan dialog dengan pendakwah terkenal itu.

Dialog perbandingan agama bukanlah perkara baharu dalam isu antara agama ini bahkan sudah acapkali diadakan seluruh dunia. Dialog yang harmoni adalah seruan para cendekiawan dunia bagi memastikan keamanan dunia dan mengelakkan ketegangan peradaban. Dr Zakir Naik didalam dialognya mengambil pendekatan ini dengan baik sekali.

Kami amat mengharapkan agar isu sebegini tidak dijadikan modal politik mahupun sentimen perkauman sempit oleh mereka-mereka yang bergerak kononnya atas nama hak asasi manusia yang pada akhirnya akan menzahirkan agenda yang tersirat iaitu menjadikan Islam sebagai sasaran untuk diburukkan imejnya.

Ayuh bertindak matanglah dalam segenap perkara agar keharmonian negara dapat dijaga dengan baik. Ayuh bersama melestarikan budaya berdialog sepertimana agenda yang dibawa PAS iaitu Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS). Lajnah Perpaduan Nasional dan Hubungan NGO DPPM bersedia menjadi penganjur sesi dialog antara Dr Zakir Naik dan Hindraf sekiranya semua pihak bersetuju duduk semeja.

USTAZ MOHAMAD IBRAHIM
Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional dan Hubungan NGO Dewan Pemuda PAS Malaysia.

PERJUANGAN menuntut kemerdekaan yang dipacu oleh PAS membawa konsep yang tersendiri kerana hasrat parti Islam ini mahukan sebuah negara yang melaksanakan syariat ditegakkan di atas runtuhan penjajah. Sebagai sebuah parti yang masih baru, pada 27 April 1953, PAS telah menyertai National Conference, sebuah persidangan yang menggabungkan parti-parti politik di Malaya anjuran 16 orang kenamaan termasuk tujuh orang Menteri Besar bagi menuntut pilihan raya segera ke arah berkerajaan sendiri. Kerana penglibatan PAS dalam badan ini, di mana Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa National Conference, PAS telah menggariskan satu konsep negara yang menjadi asas kepada semua perundingan PAS berkaitan isu-isu kenegaraan. Konsep dasar ini telah dinamakan sebagai "Perlembagaan Malaya."

Perlembagaan Malaya yang digubal oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 26 Mei 1953 ini telah merangka garis-garis besar tentang bentuk negara Tanah Melayu merdeka, yang sekali gus memperlihatkan komitmen PAS untuk mengambil pendekatan demokrasi sebagai pendekatan perjuangannya sebagaimana yang disebut dalam Program Politik PAS. Ia menjadi testament politik PAS ketika bersama National Conference, kemudiannya National Convention dan juga pakatan politik yang lain pra merdeka. Ia juga merupakan terjemahan sikap PAS yang disebut oleh Yang Dipertua Agungnya bahawa kerjasama politik ini tidak akan mengikat PAS, bahkan PAS boleh berkecuali jika pendirian mana-mana badan yang disertainya bercanggah dengan prinsip-prinsip asas yabg digariskan oleh PAS menerusi Perlembagaan Malaya.

Perlembagaan Malaya ini pada asasnya menggariskan lima prinsip utama yang pegang oleh PAS untuk semua perundingan dalam soal kenegaraan. Lima prinsip tersebut ialah:

I. Nama perlembagaan negara;
II. Agama negara;
III. Bahasa rasmi negara;
IV. Corak kerajaan; dan
V. Kerakyatan.

PAS memutuskan perlembagaan negara ini mestilah dinamakan sebagai "Perlembagaan Persekutuan Semenanjung Tanah Melayu" atau "The Constitution of the Federation of Malay Peninsula." PAS menolak perkataan Malaya kerana perkataan ini bukan sahaja berbau penjajah, tetapi tidak menggambarkan orang Melayu sebagai tuan punya negeri yang mempunyai hak ketuanan secara mutlak ke atas Tanah Melayu. Nama negara yang disebut sebagai Persekutuan Semenanjung Tanah Melayu menunjukkan bahawa hak ketuanan dan kebangsaan negara ini mestilah Melayu, dan orang asing boleh diberikan hak sebagai imigran secara terhad. Nama Tanah Melayu adalah nama asal yang sangat sesuai pada bunyi, makna dan isinya.

Kedua, PAS mempertegaskan Islam hendaklah dijadikan agama rasmi negara dan sekali gus menjadi dasar negara. Islam menjadi agama rasmi bagi semua sembilan buah negeri Melayu dan empat buah wilayah Negeri-negeri Selat iaitu Melaka, Pulau Pinang, Seberang Perai dan Singapura, di mana PAS mahu sebuah kementerian khas diwujudkan untuk memusatkan pentadbiran agama. Hal ini sesuai dengan tujuan PAS untuk memperjuangkan tertegaknya syariat Islam di negara ini, sekali gus menolak pendekatan sekular dalam soal kenegaraan. Ketiga, bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi bagi Persekutuan Semenanjung Tanah Melayu, sedangkan bahasa Inggeris menjadi bahasa kedua untuk suatu tempoh sementara dalam masa peralihan. Oleh kerana bahasa Melayu adalah bahasa anak negeri dan ia telah diterima sebagai bahasa pengantar oleh rakyat, maka ia perlu menjadi bahasa negara, iaitu bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan bagi Tanah Melayu.

Keempat, PAS memberikan fokus kepada corak atau bentuk kerajaan bagi Persekutuan Semenanjung Tanah Melayu. Beberapa aspek yang ditekankan oleh PAS iaitu negara ini mestilah berbentuk persekutuan (federal), iaitu gabungan negeri-negeri Melayu di Semenanjung Tanah Melayu. Persekutuan ini ditadbir secara demokrasi di mana sebuah dewan perwakilan rakyat (parlimen) dibentuk sebagai majlis tertinggi dengan ahli-ahlinya dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya. Pentadbiran awam dijalankan oleh kuasa eksekutif melalui penubuhan kementerian-kementerian di mana sebuah jemaah menteri (kabinet) yang bertanggungjawab kepada dewan perwakilan rakyat dibentuk untuk menjalankan pentadbiran awam negara. Dan kelima, soal kerakyatan. PAS berpegang bahawa dasar kerakyatan sedia ada mengikut Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948 (Pindaan 1952) adalah wajar dikekalkan, di mana imigran tidak diberikan kerakyatan secara mudah, sebaliknya melalui syarat-syarat yang ketat.

Pada asasnya, PAS telah mempunyai pandangan yang terkehadapan tentang realiti politik dan bentuk negara ini apabila berkerajaan sendiri. Selain mahu negara ini diberikan hak ketuanannya kepada pemilik asal iaitu orang Melayu, PAS juga mahukan kedudukan Islam sebagai dasar negara serta pelaksanaan syariat ditegaskan, selain kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Dalam menentukan corak kerajaan, PAS memilih bentuk negara persekutuan yang mengamalkan demokrasi berparlimen dengan kuasa rakyat untuk memilih kerajaan dan kewujudan pengasingan kuasa antara eksekutif (jemaah menteri) dan legislatif (dewan perwakilan). Setelah Perlembagaan Malaya ini dibentuk, ia telah menjadi asas kepada PAS dalam semua perundingan kenegaraan dalam National Conference dan National Convention antara 1953 hingga 1954.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
2 Mac 2017

HARGA diesel naik 5 sen begitu juga harga gula pasir dilaporkan telah naik sebanyak 11 sen bagi setiap kilogram berkuatkuasa serta merta, harga jualan bagi 1 kg gula pasir dari RM2.84 kini meningkat kepada RM2.95 secara senyap naik sebanyak 11 sen.
 
Kenaikan harga barang keperluan ini secara tidak langsung menjadi beban kepada pengguna terutama golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana. Mereka terpaksa berbelanja lebih untuk membeli barang keperluan harian mereka disebabkan kenaikan harga pengangkutan dan juga harga bahan yang memerlukan gula seperti kuih muih, minuman dan sebagainya.
 
Bantuan kebajikan sebanyak RM300 sebulan untuk bantuan orang tua sekarang ini sudah tentu tidak mencukupi dalam keadaan kenaikkan harga barang keperluan yang semakin naik mendadak. Masih ramai lagi mereka yang dikategori sebagai fakir miskin dan golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap terus hidup dalam keadaan daif terutama yang tinggal di pinggir bandar.

Mereka ini sukar untuk mendapatkan bantuan kebajikan disebabkan mereka ini tidak tahu cara untuk mendapatkan bantuan serta terlalu banyak birokrasi untuk mendapatkan bantuan. Begitu juga pihak Baitulmal perlu turun padang melihat sendiri keadaan mereka yang amat memerlukan bantuan sepatutnya mendapat bantuan dengan sewajarnya.
 
Kita mengesa pihak kerajaan perlu mengkaji semula cara-cara terbaik untuk mengatasi masalah kenaikan harga barang keperluan ini agar tidak menyusahkan rakyat. Kalau keadaan semakin gawat pihak kerajaan perlu memberi semula subsidi untuk barang keperluan ini agar ianya tidak membebankan rakyat. Kerajaan juga perlu ada harga kawalan dan harga siling untuk mengelak harga barang keperluan naik mendadak sehingga membebankan rakyat.
 
PAS mencadangkan agar pihak kerajaan menambahkan lagi bantuan kebajikan kepada semua golongan yang amat memerlukan bantuan kebajikan dan memberi tempat tinggal yang selesa kepada rakyat yang tidak memiliki tempat tinggal.
 
PAS harap kenaikkan harga barang keperluan ini dapat dikawal sepenuhnya oleh pihak kerajaan agar ianya tidak membeban pengguna dan seterusnya tidak menyusahkan rakyat.
 
JOFRI JARAIEE
Pesuruhjaya PAS, Sarawak – HARAKAHDAILY 3/3/2017

"DAN demikian Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang pertengahan (adil dan pilihan) agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu." (Al-Baqarah: 143)

Bayangkan politik Malaysia tidak lagi dikuasai oleh pemimpin Umno, yang sarat dengan rekod rasuah dan pecah amanah.

Bayangkan pula rakyat Malaysia tidak lagi dibayangi prejudis pemimpin DAP, yang sarat dengan agenda sekuralisma dan liberalisma.

Inilah yang digambarkan oleh YB Ustaz Nik Abduh di dalam penulisannya yang panjang lebar tentang ‘bahaya Umno yang dirasai’ dan ‘bahaya DAP yang dinanti’.

Persaingan Di Garis Tengah

Terdahulu, penulis pernah mengenengahkan sebuah teori di dalam bidang ekonomi dan strategi pemasaran, yang dikenali sebagai The Hotelling’s Law.

Teori ini dinisbahkan kepada seorang ahli ekonomi Amerika yang bernama Harold Hotelling (1895 – 1973), terkenal dengan pemerhatian beliau terhadap persaingan dua pihak yang bagi meluaskan pasaran masing-masing. Teori tersebut menyatakan, pesaing-pesaing akan memaksimakan saiz pasaran (market share) dengan meminimakan perbezaan dan merapatkan diri ke titik tengah pasaran (middle ground).

Teori ini juga terpakai dalam politik, kerana ahli politik adalah seperti peniaga, bersaing untuk memaksimakan pasaran (pengundi), di mana majoriti pengundi berada di titik tengah populasi yang biasanya terbahagi mengikut taburan berbentuk loceng (bell-shaped population).

Dalam konteks politik Malaysia, PAS perlu kekal sebagai watak pengimbang di antara persaingan ufuk kanan dan kiri politik tanahair (asobiyyah Umno vs liberalisma DAP). Manakala dalam konteks pemikiran Islam, PAS perlu kekal sebagai sebagai watak penghubung di antara pertembungan ufuk kanan dan kiri pemahaman Islam (tradisionalis vs modernis).

PAS Sentiasa Disenangi dan Disaingi

Asas pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) serta blok politik Gagasan Sejahtera yang diterokai oleh PAS, adalah langkah mengekalkan konsistensi PAS berada di garis tengah.

Dalam aspek politik, rakyat dan anak muda dilihat semakin menjauhkan diri daripada retorik perjuangan Melayu asobiyyah oleh Umno.

Manakala rekod skandal rasuah dan pecah amanah dalam isu 1MDB, Felda, dan NFC menambahkan lagi gelombang penolakan rakyat terhadap Umno, sehingga timbul desakan untuk Najib berundur sebelum PRU14 bagi memulihkan imej Umno yang sangat buruk di mata rakyat dan anak muda sekarang.

Pada masa yang sama, rakyat dan anak muda semakin menjauhkan diri daripada sebarang unsur pluralisma dan liberalisma oleh DAP dan sekutunya.

Manakala rekod kelantangan DAP mempersoalkan kesucian agama Islam, konsisten menghalang dan mengelirukan rakyat terhadap pindaan Akta 355, dan yang terbaru pendedahan Pemuda PAS Pulau Pinang dalam kes campurtangan pengurusan fatwa di Pulau Pinang, menambahkan lagi penolakan orang Melayu dan anak muda terhadap DAP dan sekutunya.

Menariknya di sebalik kecelaruan ini, rekod membuktikan bahawa PAS konsisten menentang rasuah, tidak pernah menghina kesucian Islam, dan tidak pernah menganggu kehidupan bukan Islam.

Justeru, keberadaan PAS di garis tengah pastinya memberi kelebihan untuk menguasai pasaran politik dan dakwah yang lebih besar, kerana majoriti rakyat dan anak muda lebih selesa mengambil jalan tengah.

Malah, sirah telah membuktikan bagaimana dakwah Islam yang bermula di Makkah berada di titik tengah pertembungan tamadun Rom dan Parsi, dan natijahnya pendekatan dakwah Islam yang penuh hikmah ini berjaya membina tamadun yang berkembang ke segenap pelusuk dunia.

Inilah yang menyebabkan PAS semakin disenangi, dan akan terus disaingi.

Syahir Sulaiman, Pengarah Strategi DPPM
3 Mac 2017 - HARAKAHDAILY 3/3/2017