ISTANBUL: Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali telah dipilih selaku ahli majlis Pentadbiran Forum Antarabangsa Ahli Parlimen Islam (IFIP) yang bersidang di sini baru-baru ini.

Dr Khairuddin atau lebih dikenal mesra dengan panggilan Dr Takiri berasal dari Seberang Takir, adalah ahli Parlimen yang lantang menyuarakan isu-isu pembebasan Palestin sama ada di Dewan Rakyat mahupun dalam pentas antarabangsa.

Beliau juga mantan pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan kini salah seorang Ahli Majlis Syura Ulamak PAS Pusat selain Pengerusi Lajnah Pembangunan Usahawan dan Ekonomi PAS Pusat.

Muktamar kecam sikap Israel dan sekutu

Muktamar Kali Ke-3 bagi Forum Antarabangsa Ahli Parlimen Islam mengemukakan kecaman mereka terhadap usaha-usaha normalisasi oleh rejim zionis dan menuntut ia dihentikan serta merta sama ada secara rasmi mahupun tidak rasmi.

Muktamar yang berlangsung di Istanbul, Turki itu bertajuk 'Tanggungjawab Parlimen dan Cabarannya'.

Muktamar tersebut turut menolak kehendak beberapa buah negara yang mahu memindahkan kedutaan Amerika Syarikat ke Al-Quds sambil menegaskan bahawa bumi itu suci serta selamanya menjadi ibu negara Palestin.

Muktamar itu juga menzahirkan rasa simpati atas jenayah pembunuhan terhadap wartawan warganegara Arab Saudi, Jamal Khashoggi.

Dalam masa yang sama menuntut siasatan segera dan hukuman ke atas pelaku tanpa sebarang pengecualian selain mahu liputan penuh diadakan sepanjang perbicaraan kes berlangsung.

Sepanjang muktamar tersebut, beberapa ketetapan telah berjaya dicapai.

Antaranya pemilihan majlis pentadbiran baharu diketuai ahli parlimen dari Algeria, Abdelmajid Mensara; ahli parlimen dari Kuwait, Naser Al-Sana, sebagai timbalan; ahli parlimen dari Indonesia, Juzaili Juwaini, sebagai naib; dan setiausaha agungnya, Amin 'Alush yang juga seorang ahli parlimen.

Para hadirin turut memilih tiga orang wanita dari Maghribi, Sudan dan Jordan untuk menganggotai majlis pentadbiran.

Malah muktamar turut menzahirkan komitmen untuk meluaskan keahlian forum tersebut ke negara-negara Afrika dan Asia dan penyertaan semua ahli parlimen yang mempunyai objektif yang sama dari pelosok dunia.

Selain itu, muktamar juga menyeru pembebasan ahli-ahli parlimen Mesir yang dipenjarakan serta mahu mereka dibersihkan dari tuduhan salah yang dikenakan secara zalim dan atas sebab permusuhan.

Muktamar juga menuntut para ulamak, aktivis, pakar politik dan media diberikan kebebasan bersuara di seluruh Dunia Arab dan Dunia Islam.

Muktamar tersebut juga menyeru agar sebarang peperangan dan pembunuhan dihentikan.

Selain itu mereka juga menuntut usaha damai dengan cara politik, gencatan senjata dan menghalang keganasan serta ekstrimisme selain menyeru agar semua negara dan rakyatnya bersatu padu. – HARAKAHDAILY 13/11/2018

ALOR SETAR: Kesemua Adun pembangkang termasuk dua orang daripada Barisan Nasional bertindak keluar dewan petang ini ketika Adun Guar Chempedak, Dato’ Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail memulakan ucapan perbahasan.

Menurut Ketua Pembangkang, Muhammad Sanusi Md Nor, tindakan itu sebagai protes terhadap Adun yang keluar parti dan menyertai Bebas serta menyokong Kerajaan Pakatan Harapan.

"Walau pun parti berlainan PAS dan Umno tapi kita menentang budaya melompat parti serta sikap PH yang sentiasa berusaha memujuk Adun-Adun pembangkang untuk menyertai dan menguatkan pakatan mereka.

"Ini merupakan satu pengkhianatan terhadap pengundi di bawah yang tindakan 'walk out' tatkala dia mula berucap ini sebagai membuktikan semua Adun pembangkang membantah dan tidak bersetuju dengan tindakannya seumpama itu," ujarnya yang juga Adun Jeneri.

Walau bagaimanapun, katanya tindakan bersama Adun PAS dan Umno itu bukan bermakna berlakunya kerjasama atau gabungan politik tetapi lebih kepada memprotes tindakan yang dianggap khianat terhadap parti yang bertungkus lumus bekerja untuk kemenangannya pada PRU lalu.

Sementara itu, Dato' Suraya Yaacob (BN- Sungai Tiang) berkata, beliau dan sahabatnya Dato' Nor Sabrina Mohd Noor (BN-Bandar Baru) bersetuju dan bersama-sama dengan Ketua Pembangkang bertindak keluar dewan.

Beliau juga melahirkan rasa kecewa atas tindakan Adun Guar Chempedak yang mengisytihar keluar parti pada hari kedua persidangan Dun.

"Sepatutnya beliau mengisytiharnya sebelum sidang dewan tapi tindakan seperti ini bagi saya tidak profesional dan mengkhianati parti. Malah perkara ini langsung tidak diketahui sebelum ini dan tiada sebarang surat pemakluman kepada presiden parti," jelas beliau kesal.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi menyifatkan tindakan yang dibuat oleh Adun Guar Chempedak itu adalah pengecut kerana sanggup meninggalkan parti tatkala kalah dan susah. – HARAKAHDAILY 13/11/2018

KUALA NERUS: Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, memberi gambaran awal bajet berimbang bakal disediakan pada tahun 2019.

Katanya, oleh kerana tahun 2019 merupakan tahun pertama kerajaan baharu negeri Terengganu, belanjawan seimbang dapat disediakan.

“Bajet pada kali ini (2019) insya-Allah, ‘Bajet Berimbang’. Dia ada bajet defisit, surplus dan ini bajet berimbang.

“Ini adalah tahun yang pertama setelah pemerintahan baharu di negeri Terengganu. Ini tentulah bahawa, sedaya upaya untuk menunaikan janji dalam Manifesto PRU14,” ujarnya dalam satu sidang media selepas program Back to School 2019, anjuran Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) di Mydin Mall, Gong Badak, di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Noor Fadzil Mohamed Nor, Pengurus Besar Perancangan Korporat, Pembangunan, Komunikasi dan Projek Khas EPIC, Abdul Adzim Abd Hamid dan Pengurus Besar Sumber Manusia dan Pentadbiran EPIC, Rusdi Ngah.

Bahkan, Dr Samsuri turut memberi jaminan bahawa 70 peratus janji manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu, dapat dilaksanakan pada tahun 2019.

“Saya boleh beri jaminan dari 20 perkara yang dijanjikan itu, hanya tiga atau empat lagi yang kita tidak laksanakan dalam bajet 2019 ini.

“Jadi itu akan kita bawa semula pada tahun-tahun yang akan datang. Ini kerana, ianya melibatkan kajian dan melibatkan cara pelaksanaan.

“Kita cubalah tahun yang pertama (2019) ini. Tahun 2019 ini, mungkin kita telah berjaya melaksanakan 70 peratus apa yang kita (PAS) janjikan itu,” tegasnya.

Menurutnya, pembentangan Bajet 2019 itu akan dibawa dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu pada 25 hingga 29 November ini.

Justeru, kata Menteri Besar Terengganu, Bajet 2019 yang akan dikemukakan itu mengambil kira sumber hasil pendapatan royalti minyak dan gas. – HARAKAHDAILY 13/11/2018

 

KUALA LUMPUR: PAS meragui langkah Peguam Negara (AG) memberhentikan tindakan perundangan yang sedang berjalan terhadap pemimpin Pakatan Harapan.

“Kita sangat meragui langkah Peguam Negara (AG) memberhentikan tindakan perundangan yang sedang berjalan terhadap pemimpin Pakatan Harapan sewaktu proses kehakiman sedang berjalan sehingga dihentikan terus,” ujar Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang ketika membahaskan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat, petang ini.

Katanya, adapun terhadap pihak lawan politik dilakukan dengan rakus begitu rupa, sehingga dengan apa sahaja alasannya.

“Walaupun PAS tiada dalam kalangan kami yang dicekup, dan sentiasa membuka pintu kalau ada salah laku, namun kami ingin bertanya adakah melalui tangan-tangan ghaib yang merempuh batas pemisahan kuasa di antara legislatif, eksekutif dan kehakiman yang menjadi konsep demokrasi yang sebenar,” ujarnya.

Begitulah, katanya apabila sistem sekularisme yang tiada roh keimanan dan kepercayaan mengenai adanya konsep dosa dan pahala, dalam sistem pemerintahan dan pelaksanaan undang-undang.

“Bermula dari sinilah mengapa kami ingin memperkenalkan perbezaan di antara syariat dan undang-undang ciptaan manusia melalui RUU 355 yang tergantung, kerana sikap prejudis dalam kalangan bukan Islam dan yang Islam pula ada yang bersekongkol bersamanya,” ujarnya lagi.

Kini, tambah beliau ada pula dari kalangan yang menunjukkan sikap lebih bersimpati kepada penjenayah daripada yang sepatutnya bersimpati dan bersikap kasihan belas terhadap mangsa jenayah.

Ini, katanya kerana terpengaruh dengan negara Barat yang membatalkan hukuman mati secara mutlak, demi menyokong kalangan mafia dan gangster yang mendukung parti yang memerintah dari belakang sehingga hilangnya nilai kemanusiaan.

“Di mana Islam meletakkan betapa tingginya nyawa manusia, sehingga agama samawi sebelum Islam meletakkan kesalahan atau dosa membunuh satu nyawa sahaja,” jelasnya.

Hal ini, kata beliau menunjukkan semua agama Kitabi, Yahudi dan juga Kristian menetapkan hukuman mati terhadap kesalahan jenayah membunuh secara mandatori, dengan memberi hak pengampunan kepada mangsa jenayah, bukannya lembaga pengampun yang tiada kaitan dengan mangsa jenayah.

Beliau menambah, Islam juga menetapkan hukuman bunuh tidak mandatori terhadap beberapa kesalahan yang termasuk dalam kesalahan hudud dan takzir, contohnya terhadap jenayah rompakan atau lanun yang tidak sama keadaannya.

Sepatutnya, kata beliau dikaji perbezaan cara hukuman Islam yang beradab dengan cara hukuman ciptaan manusia yang tidak beradab seperti hukuman mati digantung dan hukuman sebatan yang kejam. – HARAKAHDAILY 13/11/2018

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mendedahkan rahsia kejayaan pentadbiran PAS di Kelantan sejak tahun 1990 hingga sekarang.

Katanya, komitmen yang diberikan oleh kerajaan dalam membasmi rasuah dan meningkatkan ketelusan dalam pentadbiran adalah perkara asasi yang perlu dibudayakan, bermula daripada kehendak politik (political will) yang ditunjukkan oleh pemimpin atasan.

“Inilah rahsia kejayaan pentadbiran PAS di Kelantan sejak tahun 1990 hingga sekarang, yang ditunjukkan dengan ketinggian integriti oleh Menteri Besar, barisan Exco dan Adun, serta jentera pentadbiran di peringkat pertengahan, walaupun berhadapan dengan pelbagai halangan dan cabaran, dinafikan royalti, tidak menghormati konsep federalisma.

“Kami tidak mahu lagi mendengar jawapan sekadar menuding jari ke arah kerajaan yang lalu yang telah memerintah selama lebih enam puluh tahun,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang ketika membahaskan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat, petang ini.

Tambahnya, apa yang penting dijawab dengan tindakan penyelesaian dan jangan sekadar mudah berjanji dapat menurunkan harga minyak dalam tempoh dua puluh empat jam, dapat menghapuskan tol dengan segera, dan banyak lagi janji yang diberikan.

Katanya, sekarang sudah berlalu enam bulan dengan hanya sekadar menukar GST kepada SST yang pernah diamalkan pada zaman dahulu kala dan pernah mengalami masalahnya maka ditukar kepada GST.

Beliau berkata, sudah tentu cara menukar kembali kepada SST hanya akan mengulangi pelbagai masalah yang pernah dialami dahulu.  

“Usaha membasmi rasuah dan meningkatkan integriti ini memerlukan komitmen dan kejujuran semua pihak. Ianya tidak cukup dengan ungkapan retorik dan nada sinis ketika pembentangan bajet di Parlimen, tetapi perlu diterjemahkan dalam aspek ketelusan oleh mereka yang kini berkuasa untuk meluluskan dan mengagihkan tender besar kerajaan.

“Sejauh mana menteri baharu tidak akan mengulangi budaya menteri lama, hanya waktu yang akan menentukan,” ujarnya lagi.

Tambahnya, tanda-tanda awal yang menunjukkan tindakan yang mengulangi kesilapan dahulu, iaitu dengan hanya lawan dan musuh politik sahaja disapu.

“Adapun dalam kalangan diri sendiri dibatalkan di pertengahan perjalanan siasatan SPRM dengan alasan yang diada-adakan sahaja. Menunjukkan konsep pemisahan kuasa di antara legislatif, eksekutif dan badan kehakiman tidak dilaksanakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/11/2018

KUALA LUMPUR: Kini kita menyaksikan Bajet 2019 yang julung kali dibentangkan oleh Pakatan Harapan merupakan bajet terbesar dalam sejarah, jauh melebihi ‘bajet pilihan raya’ oleh Barisan Nasional bagi tahun 2018.

Demikian kata Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang semasa membahaskan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat, petang ini.

Katanya, sejumlah RM314 bilion diperuntukkan untuk kerajaan berbelanja pada tahun hadapan, meningkat 12% berbanding anggaran RM280 bilion bagi tahun 2018.

Tam bahnya, untuk menampung perbelanjaan yang besar ini, kerajaan mengunjurkan kutipan hasil berjumlah RM261 bilion pada tahun 2018, disumbangkan oleh pungutan cukai langsung dan tidak langsung, serta dividen khas Petronas berjumlah RM30 bilion yang akan digunakan untuk melunaskan tunggakan bayaran balik cukai GST dan cukai pendapatan berjumlah RM37 bilion.

Natijahnya, kata beliau kerajaan dijangka akan menanggung defisit mencecah RM52 bilion pada tahun 2019, atau 3.4% kepada KDNK.

Sebenarnya, jelas beliau Allah memberi rezeki dengan kadar yang mencukupi kepada hamba-Nya, kalau diberikan berlebihan boleh menjadi melampau.

Beliau berkata, sejauh mana Bajet 2019 ini mampu memacu pertumbuhan ekonomi, menurunkan kadar inflasi dan mengurangkan kadar pengangguran, masih terlalu samar untuk dinilai kesudahannya.

“Adakah kebijaksanaan boleh diambil kira dengan menambahkan hutang negara, tanpa mengamalkan konsep jimat cermat dan meninggalkan amalan boros serta rasuah, tanpa mengutamakan kepentingan rakyat tetapi kepentingan kroni yang sangat banyak mengambil kesempatan di sebalik pembangunan.

“Sering kali tidak mengikut jumlah yang sebenar di peringkat permulaan, selepasnya pula akan berlaku bajet tambahan kerana sering kali katanya tidak mencukupi di pertengahan jalan,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 13/11/2018

KUALA LUMPUR: PAS memberi amaran keras kepada Kerajaan Pakatan Harapan bahawa parti itu akan mengerahkan jutaan rakyat di jalanan bagi membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Pernyataan itu ditegaskan Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam ucapan perbahasan Belanjawan 2019, petang ini.

"PAS memberi amaran sekeras-kerasnya jangan menyalahgunakan parlimen kerana kemenangan Pakatan Harapan.

"Ketahuilah bahawa mudah bagi PAS untuk mengerahkan berjuta rakyat di jalan raya sekiranya parlimen ini disalahgunakan, menentang ICERD yang tidak adil terhadap Islam dan rakyat bumiputera," katanya yang juga Presiden PAS dalam nada keras dan mendapat tepukan gemuruh daripada anggota Dewan Rakyat.

Beliau menegaskan pernyataan tersebut dengan mengulanginya sekali lagi amaran tersebut.

Tambah beliau, sepatutnya ICERD dihadapkan ke arah Israel dan Myanmar yang berlaku kejam terhadap rakyat yang berbeza agama dan bangsa di negara tersebut.

"Bukan diterima (ICERD) di Malaysia yang telah wujudnya penerimaan masyarakat majmuk jangan lagi diganggu sehingga melampaui batas.

"Yang ada terkini jangan dilanggar lampu merah yang sedang bernyala, jangan bersikap laksana diberi betis mahukan paha," tegasnya lagi.

Ulasnya lagi, dalam konteks hubungan antarabangsa yang kini berperang dalam ekonomi yang boleh mencetuskan perang senjata.

Beliau menyeru Kerajaan Malaysia supaya berhati-hati dalam mengadakan hubungan dengan semua pihak bersikap berkecuali sebaliknya menekankan kerajaan mengutamakan hubungan dengan negara-negara Islam yang berkonsep persaudaraan dan seakidah. – HARAKAHDAILY 13/12/2018

KUALA LUMPUR: Badan bukan kerajaan (NGO) Skuad Prihatin telah menerima penyerahan sijil badal haji allahyarham Nazirah Nasrun yang dikendalikan oleh syarikat haji dan umrah Al-Munawwarah Services.

Penyerahan tersebut dibuat oleh Pegawai Operasi Syarikat Al-Munawwarah Services, Ustaz Muhammad Aliff Shaffie kepada Pengerusi Skuad Prihatin, Abu Bakar Sedek di Syarikat Al-Munawwarah, Seksyen 10 Wangsa Maju, di sini pagi tadi.

(Foto atas: Dari kanan, Pegawai Operasi Syarikat Al-Munawwarah Services, Ustaz Mohd Aliff Shaffie menyerahkan sijil badal haji kepada Pengerusi Skuad Prihatin, Abu Bakar Sedek disaksikan oleh timbalannya, Cikgu Yusoop.)

Menurut Abu Bakar yang mewakili allahyarhamah Nazirah berkata, pihaknya bersama Lajnah Kebajikan PAS Wilayah Persekutuan telah bekerjasama membuat kutipan dana untuk bayaran upah badal haji Nazirah pada tahun ini.

"Sijil ini telah diserahkan oleh Syarikat Al-Munawwarah, kami merancang dalam masa terdekat ini untuk diserahkan sijil ini secara rasminya kepada ibu arwah yang tinggal di Alor Setar, Kedah.

"Alhamdulillah telah selesai, tarikh penyerahan kepada keluarga arwah akan dimaklumkan dalam masa terdekat ini yang mana penyerahan ini juga kita akan buat bersama Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Kedah," katanya kepada Harakahdaily.

Ujarnya, Skuad Prihatin di bawah Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS merasa terpanggil untuk menunaikan kewajiban allahyarhamah Nazirah yang juga merupakan bekas wartawan Harakah sebagai membalas sumbangan allahyarhamah yang aktif membuat liputan aktiviti-aktiviti kebajikan badan NGO tersebut.

Allahyarhamah Nazirah Nasrun merupakan bekas wartawan Harakah telah menghembuskan nafas terakhir pada 24 Julai di Hospital Serdang selepas disahkan menderita sakit kanser tahap empat.

"Kami menghargai jasa allahyarhamah, sebagai penghargaan kami kepadanya kami sudi menunaikan tanggungjawab allahyarhamah dalam rukun Islam kelima," katanya.

Skuad Prihatin adalah antara badan NGO yang aktif dalam aktiviti khidmat sosial, melakukan kerja-kerja khidmat masyarakat bagi membantu golongan yang tidak berkemampuan dan susah berbekalkan sumbangan wang ringgit dari orang ramai.

Sesiapa yang ingin menyumbang ke Skuad Prihatin boleh berbuat demikian di akaun Dana Kebajikan Kecemasan Wilayah Persekutuan Maybank 564548143374. – HARAKAHDAILY 13/11/2018

ALOR SETAR: Ketua Pembangkang, Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan keputusan Adun Guar Chempedak, Ku Abdul Rahman Ku Ismail, keluar Umno di saat parti tersebut mengalami kekalahan, merupakan tindakan pengecut dan tidak seharusnya berlaku kepada seorang yang digelar pejuang.

"Bagi saya dia pengecut kerana meninggalkan kawan-kawan tatkala susah sedangkan beliaulah antara yang ke hadapan sewaktu parti itu berada di zaman kegemilangan sebelum ini," katanya yang juga Adun Jeneri.

Tambahnya lagi, alasan kononnya tindakan itu untuk kebaikan rakyat namun sebenarnya mengikut rekod lalu, Adun Guar terbabit tidak mempergunakan peruntukan untuk projek-projek di kawasannya malah kurang dikenali oleh penduduk Jerai.

Katanya, walaupun PAS tidak mempunyai sebarang hubungan dengan Umno namun tindakan seumpama itu turut dikesali di mana ia tidak ubah seperti 'pejuang meninggalkan medan di kala mengalami kekalahan'.

"PAS tidak akan menerima orang seperti itu, pergilah menyertai mana-mana parti di dalam Pakatan Harapan kerana bagi saya itu lebih sesuai untuknya," ujarnya ketika ditanya wartawan adakah PAS bersedia menerimanya.

Pengumuman keputusan Adun Guar Chempedak itu, dibuat oleh Speaker Dun Kedah, Datuk Ahmad Kassim sebelum persidangan hari kedua bermula. – HARAKAHDAILY 12/11/2018

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Mukhriz Mahathir sewajarnya lebih meneliti isi kandungan pembentangan Bajet 2019 sebelum diumumkan untuk mengelak berlakunya kesilapan yang memperlihatkan kelemahan pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan beliau.

Bercakap kepada media petang tadi, Muhammad Sanusi Md Nor (PAS-Jeneri) berkata, peruntukan infrastruktur sebanyak RM66.9 juta melibatkan projek titi di Sungai Beruk dan Kuala Pegang menimbulkan persoalan memandangkan dua projek berkenaan telah pun siap sepenuhnya dan telah berfungsi sebelum PRU lalu.

"Titi Sungai Beruk itu berada di Dun saya iaitu Jeneri, titi itu telah siap di samping kelengkapan lampu dan round about besar telah boleh digunakan sebelum PRU ke-14 lalu, begitu juga dengan titi di Kuala Pegang, Baling.

"Kesilapan meletakkan bajet kepada projek yang telah siap merupakan satu kesilapan yang besar dan sewajarnya para exco dan pegawai harus bertanggungjawab dan tidak meletakkannya kepada Menteri Besar sahaja.

"Kemungkinan beliau (MB) sibuk dan tidak sempat untuk meneliti namun para pegawai dan lain-lainnya boleh berbuat demikian," ujarnya selau Ketua Pembangkang Dun Kedah. – HARAKAHDAILY 12/11/2018

GOMBAK: Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar akan mengadakan pengambilan pelajar bagi pengajian sesi Januari 2019.

Peluang tersebut terbuka kepada seluruh pelajar lepasan SPM, SMA, SMU, 4 Thanawi, lepasan tahfiz dan pondok untuk menyambung pengajian di peringkat Diploma.

Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) itu juga turut menawarkan Kursus Persediaan Ke IPT Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris bagi sesiapa yang berminat.

Antara program pengajian yang ditawarkan KUIZM adalah Diploma Muamalat dan Kewangan Islam, Diploma Dakwah dan Komunikasi serta kursus-kursus bahasa.

Pelajar-pelajar yang berminat boleh memohon secara atas talian atau mendapatkan borang permohonan di Pejabat Pendaftar KUIZM yang dibuka setiap hari bekerja.

Untuk sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian 'hotline' KUIZM di nombor 010-3565616 di mana tarikh tutup permohonan adalah pada 3 Januari 2019. - HARAKAHDAILY 12/11/2018 

IMG 20181112 WA0010

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kubang Kerian, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man berharap kerajaan PH menggantikan projek kereta Nasional ketiga kepada projek yang lebih relevan.

Katanya, ini kerana Malaysia sudah ketinggalan untuk memulakan pembinaan kereta nasional ketiga.

Beliau bercadang supaya industri semi konduktor automotif diberi perhatian kerajaan.

Menurutnya, kerajaan mempunyai ruang yang lebih besar dalam menyediakan alatan kemudahan dalam industri teknologi maklumat.

"Syarikat Silterra boleh menumpukan kepada industri automotif dalam semi konduktor bagi sudut pembinaan teknologi dan penghasilan cip-cip dan sensor automotif yang bakal digunakan dalam setiap kereta pada abad akan datang," katanya.

Tambah beliau, industri semi konduktor ini dianggap sebagai 'The Next Black Gold' di Barat.

Sehubungan itu beliau minta kerajaan menumpukan perhatian dalam bidang tersebut bagi menghadapi persaingan di masa akan datang.