KUANTAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa supaya tidak menenggelamkan siasatan berhubung skandal projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Gesaan itu dibuat Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man semasa menggulung perbahasan ucapan dasar presiden pada hari terakhir Muktamar Tahunan PAS Ke-65 yang bertema ‘Islam Memimpin Perpaduan’ di Stadium Tertutup SUKPA Indera Mahkota, di sini hari ini.

Tegasnya, PAS mendesak SPRM supaya bertindak segera bagi menyiasatskandal projek itu.

Ini, ujarnya kerana timbul polemik dalam bekenaan dan PAS menggesa SPRM supaya tidak menenggelam isu berkenaan.

Beliau bekata, PAS mengharapkan SPRM bertindak segera dan tidak melakukan apa yang dibuat sebelum ini iaitu pendakwaan terpilih.

“Jangan buat apa yang mereka buat sebelum ini kepada pihak tertentu,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian. – HARAKAHDAILY 23/6/2019

KUANTAN: Adalah lebih baik menjadi ‘walaun’ daripada bergelar ‘malaun’ yang membuat onar dalam jemaah kata Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad.

Beliau berkata, penerapan atas semangat wala’ dan taat berlaku dalam PAS kerana parti itu mengutamakan aspek tarbiah.

“Mereka tidak buat onar disebabkan perjalanan tarbiah yang mantap seperti digariskan Lajnah Tarbiah Pusat yang kini menjadi peringkat dasar pengurusan parti.

“Disebabkan kefahaman yang jelas aspek tarbiah membolehkan ahli PAS sering dilihat sebagai ahli yang mempunyai tahap ketaatan dan wala’ tinggi kepada setiap arahan dikeluarkan pimpinan,” katanya ketika menggulung ucapan dasar presiden pada Muktamar Tahunan PAS Ke-65 yang bertema ‘Islam Memimpin Perpaduan’ di Stadium Tertutup SUKPA Kuantan, di sini hari ini.

Kata beliau juga politik Islam yang PAS amalkan adalah sebagai bekalan untuk dibawa mati bukan sekadar untuk hidup di dunia.

Menurutnya juga sekiranya kepimpinan PAS memikirkan kehidupan dunia lebih baik kita bersama dengan Umno ketika mereka menang sebelum ini, tetapi sekarang mereka juga kita diraikan semasa mereka kalah.

“Insya-Allah kepimpinan PAS tidak akan mengkhianati amanah dan mandat yang diberikan oleh seluruh ahli PAS,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 23/6/2019

KUANTAN: Kejayaan PAS mengadakan kerjasama (taawun) politik dengan Umno sehingga membimbangkan musuh politik kerana mereka melihat potensi besar gabungan itu.

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, berdasar perkembangan yang berlaku sekarang terdapat pelbagai usaha mereka bagi menggagalkan kerjasama itu.

Sebab itu katanya pada masa akan datang PAS akan berdepan dengan cabaran lebih banyak lagi.

“Dalam kita menilai cabaran itu hendaklah kita buat dengan jiwa yang bersih. Perlu melihat suasana dengan menyeluruh dan tidak boleh melihat dalam konteks kenegerian sahaja.

“Misalnya Kelantan tidak boleh fikir dalam konteks Kelantan sahaja,” katanya ketika menggulung perbahasan ucapan dasar presiden pada Muktamar Tahunan PAS Ke-65 yang bertema ‘Islam Memimpin Perpaduan’ di Stadium Tertutup SUKPA Indera Mahkota, di sini hari ini.

Beliau juga berharap pemimpin dan ahli PAS lebih berhati hati dengan media massa kerana ada dalam kalangan mereka menjadi alat menimbulkan kebencian terutamanya Malaysiakini.

Katanya, laman berita itu sering memberi gambaran yang negatif terhadap PAS.

“Mereka sering memberi gambaran yang negatif. Berdasar kepada tajuk yang digunakan nampak lebih negatif. Itu usaha untuk melaga-lagakan antara kita.

“Kalau hendak banding laman berita Free Malaysia Today nampak lebih elok sedikit,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 23/6/2019

KUANTAN: Mengharapkan kemenangan mudah untuk disebut sebaliknya persediaan untuk menghadapi kemenangan adalah perkara yang perlu difikirkan secara serius.

Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh sebaliknya berkata, kemenangan yang diraih dalam pilihan raya perlu meletakkan Islam di hadapan.

“Lagi pun sudah lebih 60 tahun lebih Malaysia telah dipimpin di bawah kepemimpinan yang tidak mengutamakan Islam sebagai panduan,” katanya ketika sesi penggulungan di Muktamar Tahunan PAS kali Ke-65 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (SUKPA), Bandar Indera Mahkota di sini hari ini.

Beliau juga berharap muslimat di setiap peringkat diasuh mematuhi setiap arahan yang diberikan pemimpin.

Menurutnya juga Dewan Muslimat juga tidak dinafikan menjadi entiti penting dalam masyarakat hari ini. – HARAKAHDAILY 23/6/2019

KUANTAN: Tidak semestinya Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 diadakan dalam tempoh empat tahun lagi, kata Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Ahmad Samsuri Ahmad.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS yang baharu oleh itu berkata, PAS perlu memperkemaskan segala bentuk jentera bermula dari sekarang.

Ditambah pula kata beliau Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan diadakan dalam tempoh selewat-lewat penghujung 2020 atau suku pertama 2021.

“Maka mengambil kira keadan itu maka segala gerak kerja di seluruh negara perlu diperkukuhkan. PRN Sarawak perlu dibantu rakan-rakan dari seluruh negara.

“Sebab itulah Jabatan PIlihan Raya PAS Pusat sudah mengadakan bengkel disertai petugas Jabatan Pilihan Raya dari seluruh negara dengan objektifnya persiapan bagi mendepani PRU15.

“Hasil bengkel itu diputuskan supaya memantapkan lagi program tarbiah ahli yang menjadi benteng memperkukuh jati diri dalam perjuangan.

“Selain itu memperkasakan organisasi, melebarkan dakwah dan perancangan menguasai beberapa negeri serta memenangi sejumlah kerusi parlimen pada PRU akan datang,” katanya ketika menggulung perbahasan pada hari terakhir Muktamar Tahunan PAS Ke-65 yang bertema ‘Islam Memimpin Perpaduan’ di Stadium Tertutup SUKPA Kuantan, di sini hari ini. – HARAKAHDAILY 23/6/2019

KUANTAN: Ketenangan di dalam PAS dicemburui lawan, kata Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), N. Balasubramaniam.

Katanya, tiada insiden kerusi terbang, kepala berdarah, perbahasan berlangsung dengan tenang dan banyak lontaran idea yang bernas.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan ucapan dasar presiden sempena Muktamar Tahunan PAS Ke-65 yang bertema ‘Islam Memimpin Perpaduan’ di Stadium Tertutup SUKPA Kuantan, di sini hari ini.

Tambahnya, Ucapan Dasar Presiden PAS sangat jelas dijadikan panduan dan arahan memimpin perpaduan.

Beliau beharap agar PAS benar-benar memimpin perpaduan kaum yang pelbagai di Malaysia.

“DHPP tidak mahu lagi sekadar menjadi penyokong PAS tetapi mendukung perjuangan PAS menegakkan keadilan dan menumbangkan kezaliman.

"Islam memerintah dengan adil. Dan hanya PAS yang dipercayai mampu melaksanakannya," ujarnya lagi.

Berkenaan isu UEC, ujar beliau DHPP asasnya menyokong dasar pendidikan negara sedia ada dan menentang sebarang usaha mewujudkan aliran pendidikan yang memecah belahkan masyarakat. – HARAKAHDAILY 23/6/2019

KUANTAN: Pemuda PAS Malaysia mencadangkan PAS Pusat menyediakan manifesto lebih awal untuk ditawar kepada rakyat supaya dapat dinilaikan masyarakat.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, manifesto perlu disebarluaskan kepada rakyat bagi memberi peluang mereka memahami perancangan PAS.

“Melalui manifesto itu memboleh rakyat tahu apa yang ditawarkan PAS bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15,” katanya ketika menggulung perbahasan ucapan dasar presiden pada Muktamar Tahunan PAS Ke-65 yang bertema ‘Islam Memimpin Perpaduan’ di Stadium Tertutup SUKPA Indera Mahkota, di sini hari ini.

Beliau juga berkata, Pemuda PAS mencadangkan supaya diwajibkan pembelajaran tulisan jawi di sekolah-sekolah kebangsaan.

Selain itu, kata beliau turut diwajibkan pembelajaran bahasa Tionghua dan Tamil di sekolah kebangsaan sebagai formula bagi mengeratkan lagi perpaduan kaum di negara ini.

“Kita menghormati perpaduan kaum berasaskan kerangka perlembagaan,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 23/6/2019

KUANTAN: Kempen keahlian PAS Pilihanku 2.0 telah memberikan lonjakan pertambahan ahli lebih 1,000 orang sebulan, bahkan paling tinggi pernah mencapai hingga 7,000 permohonan.

Mantan Naib Presiden PAS, Dato' Ar Iskandar Abdul Samad berkata, negeri yang mencapai penambahan ramai adalah Kelantan iaitu 128,000 ahli diikuti Terengganu dengan 106,000 ahli.

"Jumlah paling tinggi adalah Kedah dengan lebih 164,000 ahli, Selangor 94,000 ahli dan Perak, 92,000 ahli," ujarnya pada sesi penggulungan Muktamar Tahunan PAS Ke-65, di sini hari ini.

Beliau berharap penjenamaan semula kempen PAS Pilihanku 3.0 nanti akan meningkatkan lagi penambahan permohonan bulanan terutama di negeri disasarkan PAS disebutnya itu.

Beliau turut 'menjawab' perlecehan pihak tertentu terhadap kesilapan pada perkataan dan angka 'mock cheque' yang berbeza diserahkan semalam, di mana tiada orang menunaikannya ke bank.

Turut disentuhnya adalah mengenai penyelarasan yang perlu wujud antara Lajnah ICT dan Lajnah Penerangan, selain mewujudkan badan swasta berkaitan sebagaimana PKR menubuhkan INVOKE.

Dato' Iskandar juga memaklumkan usaha membina Kompleks PAS di mana sedang diusahakan dengan membeli tanah seluas 5.5 ekar berharga RM4 juta terletak di Putrajaya.

Beliau mengakhiri penjelasannya dengan menyentuh perihal Khidmat Malaysia yang juga berada di bawah tanggungjawabnya sebelum ini. - HARAKAHDAILY 23/6/2019

KUANTAN: Pemimpin PAS di peringkat negeri dan kawasan diharap membuat kenyataan segera sekiranya ada isu berlaku sesuatu isu di kawasan mereka bagi menggelakkan orang ramai keliru.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan berkata, berdasar maklumat yang ada pada mereka setidak-tidaknya dapat memberi penjelasan awal melalui media sosial sebelum maklumat rasmi dikeluarkan pimpinan.

Katanya kelambatan maklumat daripada pimpinan PAS boleh menimbulkan tanda tanya masyarakat dan membuka ruang mengelirukan orang ramai tanpa ada penjelasan pimpinan.

“Sebab itulah kita beri tumpuan kepada media sosial sekarang. Maklumat disampaikan lebih besar capaiannya. Sekarang kita ada channel beritapas melalui lajnah penerangan.

“Facebook kenyataan media penerangan disalur melalui berita PAS viewer sekadar 200 viewer. Kita juga rasmi iaitu harakahdaily.net dan web penerangan PAS Pusat.

“Selain itu sebaran melalui group wasap juga lebih berkesan,” katanya ketika menggulung perbahasan ucapan dasar presiden pada Muktamar Tahunan PAS Ke-65 yang bertema ‘Islam Memimpin Perpaduan’ di Stadium Tertutup SUKPA Kuantan, di sini pagi ini. – HARAKAHDAILY 23/6/2019

KUANTAN: Debaran yang ditunggu sejak petang Jumaat lepas akhirnya terjawab hari ini apabila senarai anggota Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat diumumkan sebelum Muktamar Tahunan PAS kali ke-65 melabuh tirai.

Bagaimanapun Pengerusi Tetap, Husin Ismail berkata, debaran itu tidak terasa sangat apabila senarai calon AJK tidak banyak berubah berbanding sesi lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS muktamar kali ini Dr Mohd Fuad Mohd Salleh berkata, pihaknya terpaksa bersengkang mata sehingga jam 3 pagi bagi menyelesaikan pemilihan tersebut.

Katanya pada awal pagi sebelum pemilihan berlangsung jawatankuasa membuat persiapan bagi memastikan sistem komputer yang digunakan tidak bermasalah.

“Saya mengucap terima kasih di atas kerja keras jawatankuasa bagi memastikan pemilihan berjalan lancar,” katanya ketika mengumumkan senarai AJK PAS Pusat baharu sesi 2019-2021.

Berdasar kepada senarai 18 calon yang menang didapati sembilan orang daripadanya terdiri daripada kelompok profesional manakala sembilan lagi golongan ulama.

Penganalisis menyifatkan dakwaan profesional terpinggir daripada arus perdana PAS sekarang tidak berasas berdasar senarai AJK PAS Pusat yang menang hari ini.

Golongan professional termasuk Dr Halimah Ali, Dr Azman Ibrahim, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, Dato’ Ir Iskandar Abdul Samad, Dato’ Dr Khairuddin Aman Razali, Dr Zuhdi Marzuki, Dr Riduan Mohamad Noor, Dr. Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurrazi dan Dr Najihatulssolehah Ahmad. – HARAKAHDAILY 23/6/2019

KUANTAN: Gerak kerja kebajikan memerlukan anjakan paradigma di mana ahli dan pimpinan PAS tidak harus merasa terikat dengan pemberian sumbangan semata-mata dalam memenuhi tuntutan berkaitan.
 
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Rosni Adam berkata, kewangan tidak harus menjadi penghalang dalam melaksanakan gerak kerja berkaitan kebajikan yang sangat luas skopnya.
 
"Ia merentas usia, kaum, bangsa, lajnah, kementerian dan segalanya. Tidak semua isu kebajikan kita boleh urus sendiri, perlu kerjasama daripada pihak lain.
 
"Bila kita luaskan kerja kebajikan ini, adakala kita jadi perantara kepada pihak-pihak yang memerlukan dengan pihak bertanggungjawab menyediakan," terang beliau.
 
Perkara tersebut dinyatakannya ketika sesi penggulungan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-65 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (SUKPA), Bandar Indera Mahkota, di sini hari ini.
 
Beliau turut melontarkan inovasi dalam gerak kerja kebajikan dengan saranan antaranya menubuhkan pusat tuisyen, membantu ibu tunggal, selain mendapatkan sumber dan rakan strategik.
 
Beliau turut menyeru agar ahli membantu Tabung Murabitun yang sangat bermanfaat dalam membantu kebajikan para ahli tertimpa musibah dan sebagainya menerusi peranan dari dana itu.
 
Begitu juga mintanya, perkara sama terhadap Skim PAS yang merupakan program khusus kebajikan ahli dengan usaha untuk menggunakan perkhidmatan takaful masih diusahakan.
 
Dalam penerangan tersebut beliau juga membentangkan mengenai gerak kerja dan peranan Sekretariat Prihatin OKU yang lebih dikenali sebagai Unit Pengupayaan OKU (UPAYA). - HARAKAHDAILY 23/6/2019

KUANTAN: Isu PAS menerima wang RM90 juta daripada Umno dan Barisan Nasional (BN) dianggap diambil daripada sumber jin kerana gagal mendapatkan maklumat sahih.

Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad berkata, PAS sejak awal lagi menafikan dakwaan itu yang sering dilemparkan Parti Amanah Negara (PAN) ketika Pilihan Raya Umum (PRU) sehingga mengulangi fitnah tersebut.

Katanya, maklumat itu seolah-olah diambil daripada jin yang membawa berita tanpa kebenaran.

“Bagaimanapun kita mengucap tahniah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana membersihkan PAS daripada 41 senarai penerima wang 1MDB.

"Tuduhan kepada PAS terima RM90 juta bukan nilai yang kecil yang boleh disimpan di bawah bantal mahupun tabung buluh sudah tentu masuk dalam akaun di bank dan sebagainya.

"Tetapi benda itu tidak berlaku termasuk dakwaan yang dibawa oleh jin menyampaikan maklumat, mungkin jin itu tidak cukup makan tulang," katanya ketika ditemui di Muktamar Tahunan PAS ke-65 di Stadium Tertutup SUKPA Indera Mahkota, semalam.

Baru-baru ini Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya menyenaraikan seramai 41 responden kepada permohonan lucut hak berkaitan 1MDB. – HARAKAHDAILY 23/6/2019