KOTA BHARU: Dianggarkan satu perlima daripada jumlah belanjawan Kelantan setiap tahun diperuntukkan untuk sektor pendidikan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Mumtaz Md Nawi berkata, sebanyak RM120 juta diperuntuk kerajaan negeri untuk tujuan itu.

Menurutnya, Kerajaan Kelantan mengutamakan pendidikan kepada rakyat dalam usaha melahirkan insan berilmu, beriman dan bertakwa.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Muslimah International Summit Kelantan (MISK). Program berkenaan diadakan sempena Hari Sayyidatina Khadijah di sebuah hotel di sini, hari ini yang dihadiri 600 peserta. Turut hadir Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia, Dato’ Sheikh Abdul Halim Abd Kadir dan Pengarah Urusetia Kebajikan, Keluarga dan Wanita (U-Kekwa), Ilvira Mohd Dasuki.

Mumtaz berkata, kerajaan negeri berusaha melahirkan ibubapa yang bijak mendidik anak-anak mereka sehingga layak digelar ibu mithali.

“Disebabkan jumlah begitu ramai, akhirnya pada tahun 2010 anugerah itu ditiadakan sebaliknya diganti dengan Keluarga Mawaddah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 25/6/2019

HEBAT juga Naib Pengerusi DAP Perak merangkap Ahli EXCO Kerajaan Negeri Perak, Dr Abdul Aziz Bari, membantai PAS sekali gus membela boss beliau dalam DAP, Nga Kor Ming, dalam isu desakan supaya sekolah-sekolah Cina dan Tamil dihapuskan.
 
Kata Dr Abdul Aziz Bari, desakan Salamiah Mohd Nor menunjukkan PAS ekstrem, rasis, jahil dan tidak tahu sejarah kerana kononnya cadangan tersebut bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan penubuhan sekolah-sekolah tersebut.
 
Pelik juga kenyataan Dr Abdul Aziz Bari kerana, kalau mengikut logik akal, pihak yang memperjuangkan pengekalan sekolah-sekolah Cina dan Tamil inilah yang sepatutnya digelar sebagai ekstrem dan rasis kerana memikirkan kepentingan kaum semata-mata.
 
Dari sudut lain pula, bagaimanakah Dr Abdul Aziz Bari yang dilahirkan pada 22 Ogos 1959 boleh mendakwa PAS jahil dan tidak tahu sejarah sedangkan Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilahirkan pada 10 Julai 1925 pun berpandangan sama dengan PAS?
 
Dalam tulisan beliau pada 17 November 2014, Tun Dr Mahathir menceritakan bila Aziz Ishak mahu menukarkan semua sekolah kepada sekolah kebangsaan, kaum Cina membuat bising menyebabkan Kabinet membenarkan sekolah-sekolah Cina dan Tamil.         
Dalam bahasa yang jelas, Tun Dr Mahathir menyebut bahawa keputusan itu adalah keputusan politik dan tiada apa-apa di dalam Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkannya (“The decision was political. Nothing in the Constitution provided for this.)”
 
Dalam konteks ini, Dr Abdul Aziz Bari yang berusia 60 tahun atau Tun Dr Mahathir yang berusia 94 tahunkah yang jahil dan tidak tahu sejarah? 
 
Lupa pula, Dr Abdul Aziz Barilah yang menggesa Tun Dr Mahathir ditahan dan didakwa di bawah Akta Hasutan pada 15 Mac 2011 kerana mempersoalkan status sekolah-sekolah ini.
 
Sama juga, Dr Abdul Aziz Bari atau tokoh sejarah ternama mendiang Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kimkah yang jahil dan tidak tahu sejarah?
 
Kalau Tan Sri Khoo Kay Kim jahil dan tidak tahu sejarah, mengapakah mendiang boleh turut mendesak supaya sekolah-sekolah Cina dan Tamil dihapuskan pada 22 Oktober 2009? - HARAKAHDAILY 24/6/2019

BUKIT  GANTANG: Lajnah Pendidikan bersama Lajnah ICT PAS Kawasan Bukit Gantang telah menganjurkan seminar motivasi di Markaz PAS Bukit Cempedak, di sini pagi semalam. 
 
Seminar Motivasi bertajuk "You  Can  Do  It" ini adalah khusus untuk anak-anak ahli PAS sahaja yang berusia dari umur 10 tahun sehingga 17 tahun, lelaki dan perempuan.
 
Program seminar motivasi ini disampaikan oleh Motivator Akademi Mahligai Ilmu, Muhammad Saifullah Jalaluddin dari Kuantan yang merupakan anak jati kelahiran Bukit Gantang.
 
Objektif program adalah untuk memberi kesedaran kepada peserta berkaitan tanggungjawab sebagai anak kepada ibu bapa, selain peranan selaku pelajar dan ahli masyarakat.
 
Seminar ini telah disempurnakan perasmiannya oleh Ketua Penerangan PAS Kawasan Bukit Gantang, Ustaz Hassan Abdul Halim yang turut memberikan kata-kata semangat kepada peserta.
 
Semua peserta terdiri daripada anak-anak ahli PAS yang berasal dari Dun Kuala Sepetang, Dun Changkat Jering dan Dun Trong dalam kawasan Bukit Gantang ini. - HARAKAHDAILY 24/6/2019
IMG 20190624 WA0035
 
IMG 20190624 WA0034

SANDAKAN: Muslimat PAS Negeri Sabah dengan kerjasama Muslimat PAS Kawasan Libaran telah menganjurkan program Seindah Syawal bersama orang-orang buta di Kompleks Penyayang Taman Cahaya, Pusat Latihan Orang Buta di Batu 12, di sini kelmarin.
 
Program yang dianjurkan ini bertujuan bagi menyantuni golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) dengan lebih dekat dan secara tidak langsung dapat meluaskan hubungan dengan mereka.
 
Ketibaan Muslimat PAS telah disambut meriah dengan pelbagai persembahan daripada golongan OKU dan mereka diraikan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan menganyam ketupat dan pakai kain pelikat.
 
Menurut Ketua Penguasa Kompleks Taman Penyayang Taman Cahaya, Ibrahim Abdul Hamid, pusat latihan ini telah ditubuhkan sejak tahun 1969  dan bangunan kompleks secara rasminya digunakan pada tahun 2010.  
 
Beliau turut memaklumkan bahawa dana Kompleks ini diperolehi daripada dana sendiri, orang awam serta kerajaan negeri yang memberikan dana setahun sekali bagi menampung perbelanjaan sepenuhnya setiap golongan OKU ini di sini.
 
Turut hadir dalam program ini adalah Ketua Muslimat PAS Negeri Sabah, Norsah Bongsu, Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Muslimat PAS Sabah, Nur Izzati Yusuf.
 
Norsah Bongsu dalam ucapannya berharap dapat bekerjasama dalam pelbagai program akan datang seperti kelas mengaji di Pusat Latihan Orang Buta tersebut. - HARAKAHDAILY 24/6/2019
IMG 20190624 WA0030
 
IMG 20190624 WA0029
 
IMG 20190624 WA0028

KUANTAN: Presiden PAS menjelaskan kerjasama politik dengan Umno masih kekal konsep taawun dan bukannya tahaluf atau persefahaman politik.

Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kerjasama sekarang bertaawun dahulu memandangkan tahaluf ada syarat-syarat yang dipersetujui bersama.

“Tahaluf maksudnya persefahaman. Tahaluf kita akan lakukan kemudian yang bergantung kepada keadaan politik selepas ini kerana usul pada muktamar kali ini mengizinkan sama ada taawun dan tahaluf,” katanya pada sidang media di akhir Muktamar Tahunan PAS Ke-65 yang bertema ‘Islam Memimpin Perpaduan’ di Stadium Tertutup SUKPA Kuantan, di sini petang semalam.

Sebelum itu usul taawun siyasi diluluskan Dewan Ulamak PAS Pusat pada muktamar yang diadakan pada Khamis lepas.

Malah usul serupa turut dibawa PAS Kawasan Pandan, Kota Raja, Serdang, Kuala Pilah, Sungai Besar dan Temerloh dengan mengambil kira Rasulullah SAW menerima konsep taawun dan tahaluf bersama pihak lain bagi menentang kezaliman tanpa meninggalkan prinsip akidah Islam.

Tuan Guru Abdul Hadi juga berkata, PAS menyokong perubahan yang memberi manfaat kepada Islam walaupun tidak menyertai kerajaan. - HARAKAHDAILY 24/6/2019

IPOH: Tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mahu mengadakan kajian secara terbuka berkaitan silibus Pendidikan Islam (PI) adalah tidak wajar dan mengundang kegusaran banyak pihak.
 
Ketua Pemuda PAS Negeri Perak, Ustaz Ahmad Faisal Mohd Puait menegaskan bahawa perkara tersebut menimbulkan kegusaran di mana ia sewajarnya hanya melibatkan ahli berkelayakan.
 
Beliau juga mempersoalkan kajian tersebut hanya kepada silibus Pendidikan Islam dan tidaknya pada semua mata pelajaran lain menyebabkan timbul isu sensitiviti berkait hal ehwal agama Islam.
 
"Agama adalah hal kepercayaan, memanggil sebarang orang boleh heret salah faham dan ganggu gugat hak beragama khususnya Islam yang dijamin Perlembagaan," ulas beliau.
 
Sehubungan itu katanya, pihak beliau menyokong penuh Mufti Perak, Tan Sri Dato' Seri Harussani Zakaria yang menyuarakan sebaliknya supaya mata pelajaran tersebut ditambahbaik lagi. - HARAKAHDAILY 24/6/2019

BAGAN  SERAI: Majlis Sambutan Hari Guru dan Hari Raya PASTI Negeri Perak telah dilangsungkan penuh ceria dan gilang-gemilang di Dewan Kaloi, Bukit Merah Lake Resort, di sini kelmarin.
 
Perbagai pertandingan diadakan sempena sambutan tersebut melibatkan guru-guru PASTI Kawasan antaranya gubahan udang goreng kunyit dan juga hiasan gubahan gula-gula.
 
Paling penting turut dipertandingkan adalah mencipta bahan bantu mengajar yang telah diinovasikan di mana sangat menyerlahkan kesungguhan selaku pendidik.
 
Pada majlis tersebut juga seramai 24 guru menerima Anugerah Guru Cemerlang, selain turut disampaikan Anugerah Tokoh Guru PASTI dan Anugerah Guru PASTI Paling Lama Berkhidmat.
 
Majlis turut diserikan dengan persembahan deklamasi sajak oleh Pengarah PASTI Perak, Mohd Azhari Yahya bertajuk "Amanat Terakhir: Bahagia", serta cabutan bertuah juga diadakan.
 
Majlis jamuan turut dihadiri Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Hafez Sabri dan Pengerusi Majlis Guru PASTI Perak, Faridah Dawam. - HARAKAHDAILY 24/6/2019

Mohd Amar Abdullah bersama anggota Exco dan peserta International Young Muslimah Forum.

KOTA BHARU: Taawun PAS dan Umno ternyata mampu menggugatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Ini memandangkan 20 kerusi parlimen yang dimenangi PH pada PRU lepas kesan pertandingan tiga penjuru antara PAS, Umno dan PH.

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, pertembungan yang berlaku itu membolehkan PH membentuk kerajaan di Putrajaya.

“Sekiranya Umno dan PAS bertanding satu lawan satu dengan PH, kemungkinan besar kerusi tersebut tidak mampu dimenangi PH.

“Jadi peluang PH untuk memerintah Malaysia selepas PRU 15 akan menjadi lebih kecil,” katanya kepada media selepas menyampaikan ucaptama pada International Young Muslimah Forum (Al-Youm) di sebuah hotel di sini, hari ini.

Program anjuran kerajaan negeri tersebut diadakan sempena Hari Sayyidatina Khadijah (HSK) 2019.

Hadir sama anggota-anggota Exco kerajaan negeri dan peserta dari luar negara. Program itu berlangsung sehingga Rabu ini.

Muktamar PAS di Kuantan yang berakhir semalam meluluskan usul taawun dengan Umno sebagai strategik dalam usaha meluaskan dakwah, menegakkan tuntutan syarak dan menyatupadukan ummah. – HARAKAHDAILY 24/6/2019

DILIHAT dari sudut mana sekalipun, tindakan Nga Kor Ming menggesa supaya laporan polis di bawah Akta Hasutan dibuat ke atas Salamiah Mohd Nor lantaran ucapan beliau yang dikatakan mendesak supaya sekolah-sekolah Cina dan Tamil dihapuskan dan tindakan pemimpin DAP Perak membuatnya semalam hanyalah memperlihatkan kekurangcerdikan mereka sahaja.
 
Mahkamah Persekutuan dalam kes Mark Koding telah dengan jelas memutuskan bahawa desakan supaya sekolah-sekolah Cina dan Tamil dihapuskan bukanlah satu kesalahan di bawah Akta Hasutan dan Mark Koding didapati bersalah bukan kerana membuat desakan ini tetapi kerana menuntut pindaan ke atas Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan.
 
Begitupun, pemimpin DAP ini berkeras dengan mengatakan dalam laporan polis mereka bahawa desakan supaya sekolah-sekolah Cina dan Tamil dihapuskan tetap bercanggah dengan Perkara 152 (1) yang menyebut “tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan atau daripada mengajarkan atau belajar apa-apa bahasa lain”.
 
Sangat teruk sekali jika pemimpin-pemimpin DAP, khususnya yang mempunyai sedikit sebanyak latar belakang perundangan termasuk peguam-peguamnya yang ramai, tidak tahu bahawa soal sama ada sekolah-sekolah Cina dan Tamil dilindungi oleh Perkara 152 (1) atau tidak telah turut diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Mark Koding ini.
 
Mahkamah Persekutuan dalam kes Mark Koding ini telah memutuskan bahawa peruntukan mengenai “larangan atau halangan ke atas pengajaran atau pembelajaran apa-apa bahasa lain” yang terkandung dalam Perkara 152 (1) ini berbeza daripada peruntukan mengenai “larangan atau halangan ke atas pengajaran atau pembelajaran dalam apa-apa bahasa lain”.
 
Tegas Mahkamah Persekutuan, tiada apa-apa dalam peruntukan ini yang membolehkan perlindungan sama diberikan kepada operasi sekolah yang bahasa pengantarnya adalah Cina, Tamil, Arab atau Inggeris (“to justify the extension of the protection to the operation of schools where the medium of instruction is Chinese, Tamil, Arabic or English”).
 
Oleh itu, usaha pemimpin-pemimpin DAP untuk tetap cuba memangsakan Salamiah di bawah Akta Hasutan dengan menggunakan Perkara 152 (1) ini, walaupun Salamiah sendiri tidak menyentuh Perkara 152 (1) dalam ucapan beliau, sudah pastilah tidak akan membuahkan hasil malah hanya menunjukkan kekurangcerdikan mereka sahaja.
 
Pemimpin-pemimpin DAP ini juga kurang cerdik bila tetap menggunakan Akta Hasutan walaupun pemimpin-pemimpin tertinggi DAP telah berkali-kali mendesak dan menegaskan komitmen DAP kepada penunaian janji dalam Manifesto Pakatan Harapan supaya Akta Hasutan dihapuskan yang hanya menunjukkan sikap tidak konsisten mereka.
 
Tindakan pemimpin-pemimpin DAP tetap menggunakan Akta Hasutan ini tentulah boleh digunakan untuk menunjukkan kerelevanan Akta Hasutan, malah atas hujah inilah Ramkarpal Singh terpaksa mengaku silap menggesa Tun Hanif Omar disiasat di bawah Akta Hasutan setelah ditegur oleh abang beliau sendiri, Gobind Singh, pada 10 September 2018. - HARAKAHDAILY 24/6/2019

KOTA BHARU: Seramai 33 orang delegasi luar negara yang bakal menyertai Hari Sayyidatina Khadijah (HSK) 2019 telah tiba di Kelantan.

Mereka tiba di negeri Kelantan sejak kelmarin bermula dengan peserta dari Cameroon.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi Media, Korporat dan Penerbitan HSK 2019, Khairiah Mohamed, berkata jumlahnya semakin bertambah sejak semalam.

Beliau memberitahu antaranya peserta dari Uganda, Togo, Nigeria, Somalia, Indonesia, Pakistan.

“Turut serta peserta dari Thailand, Malawi, Sudan, Ivory Coast, Iraq dan Palestin,” ujarnya ketika ditemui, semalam.

Beliau memberitahu, program itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah .

Selain pelancaran Gagasan Wanita Kelantan katanya, wakil delegasi luar negara juga akan membentang kertas-kertas kerja pada persidangan tersebut.

“Program itu akan diadakan di Hotel Grand River View, Kota Bharu di bawah kendalian Urusetia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita,” katanya.

Manakala dalam perkembangan berkaitan pihak menganjur mengadakan pencarian tokoh dan ikon wanita Kelantan 2019. – HARAKAHDAILY 24/6/2019

KUANTAN: Pemimpin dan ahli PAS tidak boleh terlibat merasmikan mesyuarat agung parti lain kerana ia dibimbangi boleh mengelirukan ahli dan penyokong di bawah.

Timbalan Presiden PAS Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, misalnya jemputan merasmikan mesyuarat agung Umno tidak boleh dilakukan pemimpin PAS.

“Kita juga tidak boleh bekerja untuk pihak lain takut ia boleh mengelirukan ahli dan penyokong di bawah,” katanya ketika menggulung ucapan dasar presiden pada akhir Muktamar Tahunan PAS Ke-65 yang bertema ‘Islam Memimpin Perpaduan’ di Stadium Tertutup SUKPA Kuantan, di sini hari ini.

Menurutnya juga dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Induk Taawun PAS-Umno diadakan persefahaman satu lawan satu pada Pilihan Raya Kecil (PRK).

Selain itu parti yang bertanding pada PRK berasaskan parti yang bertanding pada PRU sebelum ini.

Kata beliau juga Jawatankuasa Teknikal PAS yang merangka kerjasama dengan Umno bagi pihak PAS diketuai Ustaz Idris Ahmad dan dianggotai empat lagi ahli.

“Kita dalam PAS tidak bimbang kerana dasar parti dipandukan oleh Majlis Syura Ulama. Malah garis panduan sempadan antara satu sama sudah dibincang majlis syura berasaskan kepada 4 perkara tersebut,” ujarnya.

Boleh anjur program bersama Umno

Empat garis panduan digariskan kepimpinan PAS yang perlu dipatuhi setiap ahli dalam menjalinkan permuafakatan antara PAS dan Umno.

Katanya, perkara pertama segala polisi kerjasama antara PAS dan Umno hanya dapat dibuat setelah mendapat persetujuan dari ahli jawatan kuasa (AJK) PAS Pusat dan Majlis Syura Ulamak.

Keduanya, setiap negeri, kawasan dan cawangan dibenarkan untuk mengadakan program bersama dengan Umno dengan fokus utama untuk penyatuan ummah atas dasar untuk memperkasakan Islam.

“Seterusnya setiap ahli parti mestilah saling hormat menghormati setiap dasar parti masing-masing dan tidak terlibat dengan program dalam parti lain.

“Dan yang terakhir, pimpinan dan ahli dibenarkan membuat pengisian ataupun tazkirah kepada ahli parti kerjasama yang lain bila mana diminta mereka,” katanya.

Selain itu, beliau turut memaklumkan mengenai dua lapis carta organisasi dalam muafakat politik bersama Umno. – HARAKAHDAILY 23/6/2019

KUANTAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa supaya tidak menenggelamkan siasatan berhubung skandal projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Gesaan itu dibuat Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man semasa menggulung perbahasan ucapan dasar presiden pada hari terakhir Muktamar Tahunan PAS Ke-65 yang bertema ‘Islam Memimpin Perpaduan’ di Stadium Tertutup SUKPA Indera Mahkota, di sini hari ini.

Tegasnya, PAS mendesak SPRM supaya bertindak segera bagi menyiasatskandal projek itu.

Ini, ujarnya kerana timbul polemik dalam bekenaan dan PAS menggesa SPRM supaya tidak menenggelam isu berkenaan.

Beliau bekata, PAS mengharapkan SPRM bertindak segera dan tidak melakukan apa yang dibuat sebelum ini iaitu pendakwaan terpilih.

“Jangan buat apa yang mereka buat sebelum ini kepada pihak tertentu,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian. – HARAKAHDAILY 23/6/2019