LARUT: Semua Jentera parti diarahkan untuk mempersiapkan diri dengan pelbagai kemungkinan memandangkan situasi politik Perak khususnya dan negara amnya berada dalam keadaan tidak stabil sejak PRU14.

Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria menyampaikan amanat tersebut dalam Majlis Pelantikan dan Penyerahan Watikah kepada Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Larut di Darul Ta'lim, di sini kelmarin.

Kata beliau, jentera parti tidak seharusnya menunggu sehingga PRU akan datang kerana konflik dalaman PH kian memuncak dan tidak dapat dibendung lagi.

"Terkini kita lihat di Selangor yang dikhabarkan MB berada dalam keadaan tidak stabil angkara perebutan sesama mereka, inilah antara petanda-petanda yang perlu dijadikan panduan oleh jentera parti,"ujar beliau.

PAS Perak jelas Razman, akan meneruskan kerjasama atau ta'awundengan Umno kerana kerjasama ini amat menggerunkan PH, oleh itu katanya, hubungan tersebut akan diperkuatkan lagi.

Sementara itu, Yang DiPertua PAS Larut, Ustaz Akmal Kamarudin pula menjelaskan semua ahli PAS perlu menjadikan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan anaknya Nabi Ismail.

Terangnya, keluarga tersebut perlu diambil sebagai panduan dalam perjuangan antaranya Nabi Ibrahim meninggalkan Hajar dan Ismail, ketika itu berkorban demi Allah mengatasi pengorbanan perasaan.

"Nabi Ibrahim diminta berkorban perasaan tinggalkan isterinya, isterinya berkorban perasaan ditinggalkan suami di tanah kering kontang, dan anak mereka berkorban perasaan untuk disembelih oleh bapanya. Semua ini dilakukan demi pengorbanan kepada Allah," sambung beliau.

Majlis Pelantikan dan Penyerahan Watikah ini diisi dengan amanat Pesuruhjaya, disusuli dengan penyerahan watikah serta bacaan ikrar atau bai'ah dihadapan Pesuruhjaya dan diakhiri dengan sesi bergambar beramai-ramai. - HARAKAHDAILY 8/8/2019

KENAPA Pemuda PAS Selangor mencabar DAP untuk bersendirian?
 
Matlamat DAP untuk mencapai kemenangan hanya akan berjaya dengan mempergunakan imej melayu menerusi parti-parti Melayu yang bekerjasama atau bergabung dengannya. Tanpa imej melayu, DAP akan mengalami kesukaran nak mencapai kemenangan. Sebab itu tidak pelik, DAP bersungguh-sungguh nak membuktikan partinya tidak rasis dan menyantuni kaum Melayu. 
 
Sedangkan ideologi perjuangan mereka adalah sebaliknya. Sikap dan pendirian DAP menunjukkan mereka sentiasa mencabar hak-hak dan kepentingan orang Melayu yang termaktub malah membelakangi Perlembagaan dengan slogan Malaysian Malaysia. 
 
Secara halus mereka mahu mengubah sejarah Malaysia dengan membatalkan Kontrak Sosial yang dimeterai dalam penerimaan kaum selain Melayu di negara ini dengan mewujudkan keharmonian sejagat. 
 
Langkah pemimpin DAP menunjukkan sikap mereka dalam berpolitik adalah dengan politik cauvinis. DAP tahu tanpa kuasa matlamat perancangan mereka tidak akan berjaya. Kuasa yang dicapai hanya menguntungkan perjuangan politik cauvinis walau perlu mengorbankan hak ummah dan mengancam institusi agama, beraja dan kestabilan politik yang berasaskan majoriti kaum teras Melayu. 
 
Jika mereka tetap dengan politik sedemikian, sewajarnya bertanding dalam PRU secara bersendirian agar rakyat menilai sendirian sikap mereka tanpa bertopengkan imej Melayu menerusi kerjasama dengan parti politik Melayu yang lain. 
 
Kita akui strategi DAP untuk menang dalam PRU adalah mesti mendapat sokongan dari kaum Melayu. Ini realiti dan DAP tahu hal ini. 
 
Pemuda PAS Selangor ingin menyeru kepada semua pengundi Melayu untuk bangkit kembali menyedari perkara ini. Sebagai kaum majoriti di negara ini dengan peratus 68 peratus dari komposisi kaum yang ada menunjukkan kaum melayu ada kekuatan sebagai penjaga kestabilan politik negara. 
 
Namun yang menyedihkan apabila kita sesama kaum Melayu khususnya masih bertelagah sehinggakan ada yang bertikam di dalam gelanggang orang melayu sendiri. Kita lihat senario sebegini hanya menguntung DAP sahaja. DAP berani 'berjudi' namun orang Melayu yang menjadi 'mangsa berlumuran darah sesama ummah'. 
 
Persoalan mengenai kenapa PAS bersama dengan Umno, perlu dilihat kepada prinsip perjuangan dan dasarnya. 
 
Strategi dalam taawun siyasi ini jelas, kesatuan dan perpaduan yang dibina atas dasar rukun agama dan kesepakatan kepentingan agama. 
 
Lantaran itu, PAS secara dasarnya bertanggungjawab dengan menyeru dan membawa bersama-sama semua parti politik melayu dan muslim untuk bersama-sama dalam agenda mempertahankan kedaulatan Islam dan negara. 
 
Itulah asasnya dalam apa jua strategi yang dirangka. Apa sahaja yang membawa kepada kepentingan Islam maka itulah kepentingan bagi PAS dalam memperjuangkannya.
 
Siapa sahaja yang mahu dan telah bekerjasama dengan PAS akan memahami pendirian PAS yang dinyatakan secara jelas tanpa berselindung. Pendirian ini menjadi kayu ukur siapa yang mahu bersama PAS demi kepentingan Islam dan siapa yang meninggalkan PAS demi kepentingan selain Islam. 
 
Persoalannya, PAN dan PKR adakah bersama DAP mendokong perjuangan Cauvinis? Ataupun sehingga tahap menjadi balaci DAP? 
 
Di antara persoalan dalam mencabar DAP untuk bersendirian dalam PRU15 dan juga persepakatan PAS bersama parti politik lain dalam menentang DAP, maka inilah jawapan saya!
 
"Demi Islam"
"Bangkit: Pemuda Perintis Kebangkitan Ummah"
 
USTAZ HANAFI ZULKAPLI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Selangor
6 ZulHijjah 1440H / 7 Ogos 2019 - HARAKAHDAILY 8/8/2019

SECARA mudahnya Kolonialisasi bermaksud penjajahan. Pelbagai definisi yang dikemukakan oleh sarjana menghuraikan lagi maksudnya selari dengan era hidup sarjana tersebut. Perkataan yang hampir maksud dengannya ialah Imperialisme. Ini juga panjang huraiannya di sisi sarjana Barat.

a) Contohnya Moritz Julius Bonn yang menghuraikan imperialism dari sudut politik. Beliau mengatakan bahawa imperialisme adalah suatu dasar yang bercita-cinta untuk membentuk, menyusun dan memelihara sebuah empayar.

b) Manakala V.I.Lenin yang merupakan seorang pemimpin tertinggi Komunis Rusia menyatakan bahawa, imperialisme adalah satu fenomena ekonomi semata-mata, iaitu peringkat akhir kapitalisme.

c) Manakala Norman Daniel pula mendefinisikan imperialisme lebih kepada mencari dan membina sebuah empayar kekuasaan.

Walaupun di sana ada sedikit perbezaan di antara dua istilah ini, namun ia tetap membawa ke arah perbincangan yang sealiran. Iaitu Colonialization lebih kepada idea, kemudian imperialism merupakan hasil kepada colonize itu tadi.

Penjajahan Di Lakaran Sejarah

Jika dilihat dari segi sejarah, kita boleh lihat bagaimana generasi terdahulu, sama ada ketika zaman kenabian atau selepasnya, lebih merujuk kepada penjajahan fizikal, peluasan empayar, kekuasaan, penguasaan politik, kepentingan hasil bumi, kekayaan dan sebagainya.

Namun pada hari ini, atau lebih khusus selepas Perang Hittin di era 1190, Kerajaan Rom Byzantine telah membincangkan tentang kekuatan luar biasa tentera Islam yang dipimpin oleh Solehuddin al Ayyubi. Mereka mengkaji kekuatan tentera Islam yang luar biasa itu hinggalah mereka menemui punca kekuatan itu, iaitu al Quran dan Sunnah.

Para orientalis mula dikaderkan untuk mengkaji dan mendalami tentang 'rahsia' kekuatan Islam ini. Selepas kajian dan penelitian yang panjang mereka memikirkan strategi baru untuk menguasai Ummat Islam, iaitu dengan kaedah serangan pemikiran غزو الفكر

Maka kumpulan kolonialisasi yang pada mulanya berbentuk fizikal, bertukar kepada penjajahan pemikiran (Colonization of thought) yang lebih seni dan halus. Maka para Orientalisme bertugas sepenuh masa memerah keringat untuk mengkaji tentang Ilmu Islam untuk menghasilkan senjata senjata padu untuk menjahanamkan pemikiran ummat Islam.

'Nilai' Kejatuhan Abbasiah

Method colonization of thought yang dilakukan dalam banyak aspek dan banyak skop yang dituju. Antara skop yang paling berharga dan bernilai dalam menjajah sesebuah negara ialah penghapusan sejarah dan ilmu warisan setempat.

Kita perlu pelajari daripada kisah kejatuhan Khilafah Abbasiah di Damsyiq pada 1256M. Antara barang paling berharga dihapuskan ialah jutaan jilid kitab dan turath para Ulamak silam tenggelam di dasar sungai Euphrates dan Tigris dijadikan bahan tambakan.

Sebelum gelombang Mongol itu, para orientalis yang berselerak secara senyap di bumi Damsyiq melarikan diri bersama kitab dan turath yang dirembat daripada perpustakaan dan sebagainya, kemudian dikaji dan diteliti di Barat satu persatu sehingga mereka muncul sebagai sebuah tamadun selepas keruntuhan Abbasiah.

Kita perlu belajar dari lakaran sejarah yang terpahat di batu-batu warisan. Iaitu perkara yang paling bernilai untuk dijahanamkan di sesebuah negara ialah sejarah dan warisan ilmu mereka. Hilangnya dua perkara ini boleh membawa kepada kelumpuhan sesebuah Tamadun.

Tanah Melayu Dan Tulisan Jawi

Apa yang berlaku di Malaysia sejak penjajahan Tanah Melayu? Kenapa begitu mudah 'Mat Saleh' meninggalkan Tanah Melayu dan berlakunya kemerdekaan di Tanah Melayu? Sejarah ini ada yang cuba seleweng, dan ada yang cuba padamkannya.

Perjanjian Kontrak Sosial yang semakin tak dibincangkan. Asal usul Bangsa Melayu dan tulisan Jawinya tidak diketengahkan. Penjajah sebelum itu lagi sudah memperkenal dan menyuburkan tulisan rumi menggantikan tulisan jawi

Dalam buku "Sejarah Perkembangan Tulisan Jawi" karangan Hashim Hj Musa menceritakan bahawa perkataan 'Jawi' (جاوي) berasal daripada bahasa Arab 'Jawah' (جاوة). Kemudian, orang Melayu menyelaraskan perkataan-perkataan Arab tersebut agar sesuai digunakan dalam Bahasa Melayu.

Dalam masa yang sama, tidak dinafikan bahawa Bahasa Melayu Kuno sebelum itu, pernah menggunakan tulisan Pallava yang dikatakan datang dari Benua India. Kemudian, digantikan dengan kemunculan tulisan Jawi membuka lembaran baru dalam sejarah Bahasa Melayu.

Iaitu sebuah penemuan Batu Bersurat yang  bertarikh Jumaat, 4 Rejab 702 Hijrah bersamaan dengan 22 Februari 1303 M. Batu bersurat itu dipahat dengan huruf Arab-Melayu yang boleh dikatakan sebagai tulisan jawi tertua di Asia Tenggara yang melakarkan perisytiharan supaya semua raja dan orang besar yakin dan berpegang teguh pada agama Islam dan ajaran Rasulullah SAW.

Kemunculan Tulisan Rumi (Latin)

Pada awal 1900-an, tulisan rumi diperkenalkan dan digunakan secara rasmi oleh para penjajah antara pelopornya ialah R.J. Wilkinson. Saya melihat bahawa tulisan rumi secara tiba tiba diperkenalkan sudah pasti mempunyai satu rancangan sulit untuk 'mengganggu' perkembangan Islam di Tanah Melayu yang menggunakan tulisan Bahasa Arab (Jawi).

Tambahan pula tulisan Jawi merupakan tulisan yang digunakan untuk menyebarkan dakwah Islam. Apatah lagi akhbar akhbar era tersebut menggunakan tulisan Jawi, antaranya:

a) 1876-1895 Akhbar Jawi Peranakan terbitan Munsyi Abdullah di Singapura

b) 1888 Akhbar Sekolah Melayu terbitan Mohd Ali

c) 1906 Majalah al Imam yang dikarang antaranya Syeikh Tahir Jalaluddin, Syeikh Ahmad al Hadi, Hj Abbas Taha dan ramai lagi.

Bermula dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1967 tulisan Jawi semakin dikuburkan. Walaupun di dalam akta tersebut tidak menghalang tulisan Jawi. Namun, apa yang terjadi hari ini, sudahlah tulisan tradisi ini sudah semakin terkubur, ia ditentang pula oleh pihak-pihak tertentu tanpa sebab yang munasabah.

Kesan Colonization Of Culture

Saya melihat bahawa penghapusan tulisan Jawi khususnya pada hari ini hanyalah semata mata untuk melaksanalan methodologi colonization of thought yang dilakukan oleh musuh Islam untuk mewujudkan jurang antara Melayu dan Islam, dan seni Islam yang terbumi di dalam jiwa orang Melayu ialah tulisan Jawi.

Tulisan-tulisan Cina diperagakan di dalam iklan-iklan dan surat surat rasmi kerajaan sejak pemerintahan Kerajaan PH. Seperti biasa, segelintir Bangsa Melayu diperkudakan untuk merealisasikan impian mereka itu.

Penghapusan jatidiri Melayu Islam disuntik sedikit demi sedikit, melalui serangan penghapusan tulisan Jawi ini. Selain daripada penjajahan pemikiran, boleh kita klasifikasikan penghapusan tulisan Jawi ini bertujuan Penjajahan Budaya (Colonization Of Culture).

a) Dari aspek penjajah pemikiran ialah mengorek jurang antara  Melayu dan Islam. Islam dilihat 'maintain' di Malaysia disebabkan penggunaan tulisan Jawi.

b) Dari aspek Penjajahan Budaya ialah menghapuskan tulisan tradisi yang mengimbau sejarah Melayu terdahulu.

Sebab itulah kita boleh lihat negara-negara yang pernah dijajah, kebanyakannya masih mengekalkan 'style' penjajah. Dari sudut budaya kuningnya, bahasa pertuturannya, cara hidupnya dan lain lain. Apatah lagi generasi ayah kita lahir di era penjajahan, manakala kita pula lahir di era karat penjajah yang dikenali dengan ideologi sekularisme.

Sampai bilakah kita mahu berdiam diri di dalam kepompong penjajahan ini? Di zaman PH ini penjajahan bentuk baru pula yang diperkenalkan dan bagaimanakah generasi masa hadapan? Pertahankanlah tulisan Jawi kerana kita perlu bimbangkan generasi masa depan.

 MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL - HARAKAHDAILY 8/8/2019

IMG 20190808 WA0015

SUDAH bulan kedua Suku Ketiga 2019, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah gagal melunaskan janji untuk melaksanakan sistem subsidi petrol bersasar kepada golongan berpendapatan rendah B40. Janji ini telah termaktub dalam Belanjawan 2019 untuk dilaksanakan pada Suku Kedua 2019, namun sehingga ke hari ini, YB Menteri KPDNHEP masih berdiam diri. 
 
Setakat ini, YB Menteri masih gagal memberikan gambaran tepat apakah mekanisme terbaik untuk menyalurkan subsidi petrol kepada golongan B40. Berdasarkan kepada maklumat awam, amaun subsidi tersebut mungkin akan terus dimasukkan ke dalam akaun penerima. Jika benar, pihak KPDNHEP tidak sukar untuk menentukan sasaran penerima kerana mereka hanya bergantung kepada data yang terdapat dalam senarai Bantuan Sara Hidup (BSH) sahaja. 
 
Namun begitu, pihak KPDNHEP juga perlu menjelaskan apakah terma kontrak dan output yang telah dihasilkan oleh pihak GHL Transact Sdn Bhd setelah berjaya memenangi tender dari Kementerian Kewangan untuk membangunkan perisian dan perkakasan sistem subsidi petrol bernilai RM25.03 juta pada bulan Mac yang lalu. Adakah pihak KPDNHEP menggunakan sepenuhnya sistem yang dibangunkan oleh syarikat tersebut?   
 
Saya ingin tekankan sekali lagi agar YB Menteri KPDNHEP segera memuktamadkan mekanisme terbaik sistem subsidi bersasar kepada golongan berpendapatan rendah B40. Mereka sedang dibelenggu dengan tekanan kos sara hidup yang masih tinggi meskipun GST telah dihapuskan oleh PH. 
 
Sekian, terima kasih.     
 
TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS 
Ahli Parlimen Malaysia (Kubang Kerian) 
6 Zulhijjah 1440 | 7 Ogos 2019 - HARAKAHDAILY 8/8/2019

KUALA LUMPUR: PAS mengingatkan parti MCA supaya tidak terikut budaya politik provokasi DAP yang tidak sesuai dengan kepelbagaian kaum di negara ini.

Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad berkata, MCA perlu menjadi parti yang memahami konsep integrasi nasional terutama dalam isu khat.

Malahan katanya, ia tidak perlu untuk dipolitikkan seolah-olah berlakunya penindasan terhadap kaum bukan Melayu Islam di negara ini.

“MCA sepatutnya menjadi sebuah parti pertengahan tidak terikut dengan gelagat DAP yang cuba membuat provokasi yang sudah tentu tidak baik dalam masyarakat majmuk.

“Sekiranya MCA terikut budaya politik DAP, sudah tentu akan ketinggalan dari segi politik. Jangan sampai parti lain dalam komponen BN akan menolak MCA,” katanya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai kenyataan Timbalan Presiden MCA, Dr Mah Hang Soon yang meminta DAP memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menarik balik rancangan kerajaan memperkenalkan tulisan Jawi di sekolah jenis kebangsaan.

Tegas mantan Ahli Parlimen Bukit Gantang itu, PAS akan lawan dengan siapa sahaja yang menunjukkan sikap provokasi yang tidak sepatutnya.

“Kita akan lawan, tidak kisah dengan siapa pun kita akan lawan sekiranya gelagat yang ditunjuk itu menimbulkan provokasi yang tidak sepatutnya termasuklah MCA sekiranya bersikap sepertimana DAP kita akan lawan,” jelasnya.

Idris berkata, MCA sepatutnya menjadi duta penyelamat untuk keharmonian dan kedamaian dalam negara kerana parti itu mempunyai banyak pengalaman sekian lama berada dalam komponen BN. – HARAKAHDAILY 8/8/2019

JERANTUT: Unit Hal Ehwal Wanita (HALWA) Dun Damak telah menziarahi warga emas, Rafiah Asha'ari, 83, yang disahkan mengalami jangkitan kuman di paru-paru dan sedang dirawat di Hospital Jerantut, di sini.

Rafiah yang tinggal bersama anak tunggalnya, Abdul Hamid Darham, 56, dikejarkan ke hospital minggu lalu menerima kunjungan oleh Ketua HALWA Dun Damak, Juraidah Othman bersama ahli jawatankuasanya, kelmarin.

Juraidah turut menyampaikan sumbangan untuk Rafiah bagi meringankan beban keluarga ini di mana Abdul Hamid pula masih baharu pulih dari kecederaan patah kedua kaki akibat kemalangan jalan raya dialaminya.

Tambahan pula ibunya itu memerlukan susu formula khas sebagai pemakanan yang diberikan melalui bantuan tiub, selain keadaan tidak stabil Rafiah memerlukan pemantauan sentiasa dari pihak hospital.

Pihak HALWA dimaklumkan kos bagi susu formula khas untuk ibunya itu dan juga lampin pakai buang yang digunakan mencecah perbelanjaan RM100 seminggu.

"Saya berharap ada pihak dan individu yang dapat bersama-sama menghulurkan bantuan kepada keluarga ini. Kami telah melihat sendiri kesukaran mereka dengan keadaan rumah sewa kayu yang didiami juga amat daif dan kekurangan keperluan dapur," ujar Juraidah.

Orang ramai yang simpati dan mahu beramal jariah membantu boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Maybank 5562 0811 7197 Tabung Kebajikan Dun Demak atau hubungi 016-923 9402 (Syarifah). - HARAKAHDAILY 7/8/2019

IMG 20190807 WA0059

KOTA BHARU: Dewan Konvensyen Kelantan Trade Centre penuh sesak dibanjiri pelajar sejak selepas Maghrib lagi.

Malam ini berlangsung ceramah pendakwah terkenal dunia Dr Zahir Naik, membuka tirai jelajahnya ke Kelantan bermula semalam.

Orang ramai sebahagian anak anak muda setia memenuhi segenap ruang  dewan Konvensyen KTC.

Malah ramai terpaksa berpuas hati dengan mengikuti program malam ini di luar dewan.

Malah ada yang datang agak lewat sedikit  terpaksa berdiri di bahagian belakang dewan.

Anggota pasukan keselamatan termasuk Jabatan Amal berkawal di jalan utama di hadapan KTC memastikan program berjalan lancar.

Ruang parkir di pekarangan Stadium Sultan Muhammad Ke IV juga penuh sejak petang lagi. Terdapat juga rombongan pelajar dari universiti dari Thailand.

Menurut penganjur program malam ini disiar secara langsung ke 23 negara melalui tv internet milik pasukan Dr Zakir.

Turut hadir anggota Exco Mumtaz Md Nawi, Wan Roslan Wan Hamat, ahli parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusoff. – HARAKAHDAILY 7/8/2019

GEORGE TOWN: Pulau Pinang sebagai sebuah negeri kepulauan tidak memerlukan pulau lain yang dibina secara tambakan di perairannya, demikian tegas Pemangku Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader.
 
Katanya, amat tidak rasional untuk dibangunkan pulau buatan menerusi projek mega Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR), sedangkan tanah negeri itu di daratan utama iaitu Seberang Perai masih luas di mana penggunaannya baru sekitar 50 peratus sahaja.
 
Pendirian tersebut dinyatakannya ketika menerima kunjungan muhibah Pengerusi Lajnah Pekerja dan Pengguna PAS Pusat, Ustazah Siti Zailah Mohd Yusoff bersama delegasinya dan saf pimpinan PAS Pulau Pinang di Pejabat CAP, Jalan Masjid Negeri, di sini kelmarin.
 
Hakikatnya kata beliau, negeri ini memerlukan pengangkutan awam yang komprehensif, malah Mohideen menyifatkan lingkaran jalan dan lebuh raya hendak dibangunkan dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) juga bukan penyelesaian.
 
Jelasnya yang juga Pemangku Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM) itu, rangkaian jalan dan lebuh raya baharu tetap akan menambahkan jumlah kenderaan selaku punca masalah utama negeri itu, sedangkan kesesakan trafik telah lama diusaha untuk diatasi.
 
Sebaliknya kemuka beliau, penyediaan pengangkutan awam darat perlu dipertingkatkan ke tahap lebih tinggi kerana kini penggunaannya baharu mencapai 9 peratus sahaja, bahkan Transit Aliran Ringan (LRT) langsung tidak praktikal diadakan di negeri itu.
 
Hujah Mohideen, dengan kos yang tinggi, kerajaan akan rugi kerana tidak ramai penduduk tempatan akan memerlukan penggunaannya di mana berjajaran terhad dengan setiap stesen terlalu hampir, selain ianya projek akan menguntungkan pihak pemaju berkepentingan semata.
 
Sepatutnya ujar beliau, pelan pengangkutan negeri ini perlu disediakan oleh pihak bebas yang tidak terkait oleh sebarang kepentingan, di mana Mohideen berpendirian tegas menolak PSR, PTMP dan LRT dengan harapan rakyat juga bersolidariti bersama.
 
Katanya, CAP dan SAM telah membawa semua isu tersebut sejak tahun 2014 di mana ia juga bakal memusnahkan lautan khususnya kawasan yang kaya dengan pembiakan ikan, selain pasir juga akan merosakkan lautan perairan Tanjung Piandang ke Manjung Perak. - HARAKAHDAILY 7/8/2019
IMG 20190807 WA0047

GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menjadi entiti sulung dan utama bagi Lajnah Pekerja dan Pengguna (LPP) PAS Pusat mengukuhkan hubungan telah sedia terjalin dan atas kebersamaan yang diperjuangkan selama ini.
 
Diketuai Pengerusi Lajnah Pekerja dan Pengguna PAS Pusat, Ustazah Siti Zailah Mohd Yusoff, pertemuan telah dilangsungkan bersama Pemangku Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader dengan disertai delegasi kedua pihak.
 
Turut serta dalam lawatan itu adalah saf pimpinan PAS Pulau Pinang antaranya Timbalan Pesuruhjaya, Norazman Ishak dan Setiausaha, Iszuree Ibrahim berkunjung ke Pejabat CAP di Jalan Masjid Negeri, di sini kelmarin.
 
Siti Zailah dalam penghargaannya kepada CAP berharap agar hubungan kedua pihak dapat terus berganding bahu untuk memastikan pembelaan ke atas hak rakyat selaku pengguna terus disuara dan diperjuangkan.
 
Malah, beliau turut menyatakan pengiktirafan mewakili PAS terhadap komitmen CAP selama 5 dekad penubuhannya memugar kesedaran awam dan mengangkat pelbagai isu melibatkan kepentingan sesuatu untuk diletak dikedudukan sewajarnya.
 
Sementara itu, Mohideen dalam aluannya mengimbau keseangkatan CAP di bawah Almarhum SM Mohamed Idris bersama PAS dari zaman Almarhum Dato' Ustaz Fadzil Mohd Noor lagi dalam mempersada agenda ummah.
 
Beliau turut mengakui perlunya sesuatu isu dengan penglibatan baik dari entiti politik untuk menyelesaikannya dan melihat PAS sangat penting dalam mengimbangi dan memperjuangkan kepentingan berkaitan Islam dan umatnya.
 
Perbincangan yang banyak berkisar mengenai isu-isu khususnya di Pulau Pinang dan persetujuan untuk mengembleng peranan berterusan ini turut disertai Ahli Jawatankuasa Sahabat Alam Malaysia, Zulkifli Yusuf.
 
Delegasi Lajnah Pekerja dan Pengguna PAS Pusat juga telah disambut Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff dibawa meninjau sekitar lokasi bakal projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) di Balik Pulau.
 
Sebelum mengikuti sesi penerangan isu-isu projek mega di negeri ini oleh Pengerusi Pertubuhan Warisan Tanah dan Teroka Bandar (TEROKA), Zikrullah Ismail yang turut disertai Timbalan Pengerusi Lajnah Pekerja dan Pengguna PAS Pusat, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman.
 
Siti Zailah dan Ahmad Tarmizi yang juga Ahli Parlimen Malaysia pada sesi itu telah menyatakan kesediaan dan keperluan untuk isu-isu tersebut segera diangkat ke peringkat nasional terutamanya menerusi Sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
 
Lawatan kerja sehari itu berlarutan hingga ke malam menerusi sesi pertemuan dan dialog bersama kesatuan sekerja dan pekerja-pekerja kilang dengan kelolaan Pengerusi Lajnah Pekerja dan Pengguna PAS Pulau Pinang, Noor Zamri Latiff di Nibong Tebal. - HARAKAHDAILY 7/8/2019
IMG 20190807 WA0041
 
IMG 20190807 WA0039
 
IMG 20190807 WA0035
 
IMG 20190807 WA0034
 
20190807 202607

ALOR SETAR: Ketua Pembangkang Dun Kedah, Muhamad Sanusi Mohd Nor menggesa kerajaan agar menjelaskan apakah interprestasi politik di masjid yang menjadi persoalan hangat sama ada dalam sidang Dun lalu dan kali ini.

"Andai orang politik tidak boleh bercakap di dalam masjid, kenapa pemimpin kerajaan boleh bercakap. Mereka juga orang politik.

"Sedangkan banyak masjid dikuasai oleh pemimpin atau Adun-Adun PAS sebagai pengkuliah, penyampai tazkirah atau membaca khutbah kerana masyarakat pun sedia maklum PAS mempunyai ramai golongan yang berilmu dan kehadapan," ujar beliau ketika sidang media di Wisma Darul Iman, tengah hari tadi.

Katanya, tindakan kerajaan agar permohonan dibuat dua minggu sebelum program kuliah atau khutbah amatlah tidak munasabah.

Adun Jeneri itu mempertikaikan kenapa peraturan untuk menyampaikan kuliah dan berkaitan dengannya menjadi ketat sedemikian sedangkan tidak pernah wujud larangan politik di rumah ibadat penganut agama lain.

"Adakah ini sikap double standard golongan tertentu terhadap institusi masjid atau adakah terselit agenda agar orang Islam ketinggalan," soal beliau.

Sementara itu, beliau berkata Kerajaan Pulau Pinang perlu membayar kepada Kedah RM30 juta atau paling kurang RM20 juta setahun sebagai pembayaran pembekalan air.

Beliau menyatakan demikian semasa mencelah ucapan Mohd Isa Shafie (PAS-Belantik) yang menyuarakan agar kerajaan negeri mengambil tindakan menangani masalah air di daerah Sik terutama di Guber.

Dalam perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Tuanku Sultan sempena sidang Dun kali ini, Adun Belantik mengharapkan agar penebangan hutan di kawasan bukit yang aktif sebelum ini di daerah itu dapat dikurangkan memandangkan ia memberi kesan yang serius terhadap pengairan terbabit. – HARAKAHDAILY 7/8/2019

KANGAR: Nampaknya setiap perkara baharu yang cuba diperkenalkan Kerajaan PH mendapat bantahan rakyat.

Terbaharu Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim mengumumkan tidak melaksanakan lagi skim bantuan penanaman semula kepada pekebun kecil alasan mahu bersikap adil kepada semua pihak.

Pesuruhjaya PAS Perlis Mohd Shukri Ramli pula berkata, polisi baru yang diperkenalkan kerjaaan PH seolah-olah memaksa pekebun kecil membuat pinjaman untuk menanam semula.

“Sudahlah pekebun kecil berdepan dengan kesukaran kerana harga komoditi begitu rendah sekarang, skim bantuan untuk menanam semula yang sudah lama dilaksanakan mahu dihapuskan.

“Hasil jualan kebun tidak menentukan sekarang, hendak menanam semula kena mohon pinjaman semula,” katanya yang juga Adun Sanglang.

Kerajaan BN sebelum ini melaksanakan Skim Tanaman Semula Sawit Pekebun Kecil bagi membantu mereka menanam semula bagi meningkatkan hasil.

Pengerusi Majlis Belia Felda Perlis Izan Asmawi Habidan berkata, dalam keadaan getah dan sawit merudum sekarang pekebun kecil pula dipaksa buat pinjaman bagi melaksanakan menanam semula.

“Sudah tentu mereka berdepan kesukaran biarpun kebun getah atau sawit mereka sudah berusia dan hasil berkurangan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 7/8/2019

ALOR SETAR: Isu Gunung Pulai, Baling akan dibawa ke peringkat nasional andai projek kuari batu kapur di kawasan berkenaan diteruskan.

Bercakap pada sidang media Adun-Adun pembangkang di Wisma Darul Aman tengah hari tadi, Mohd Nasir Idris (PAS-Bayu) mengharapkan agar projek yang diluluskan oleh kerajaan negeri itu dibatalkan.

"Adalah lebih baik kawasan terbabit dijadikan kawasan pelancongan berbanding projek kuari yang berpotensi mengakibatkan pencemaran alam sekitar serta merosakkan ekosistem alam semula jadi yang wajar dipelihara sebagai warisan," tegas beliau.

Katanya lagi, beliau bersama penduduk terlibat dan orang ramai akan berusaha sedaya upaya sama ada melalui demontrasi, memorandum atau lain-lain kaedah memohon agar kerajaan menilai semula sama ada projek berkenaan lebih mendatangkan keuntungan atau kemudaratan sekiranya diteruskan.

"EIA juga mengeluarkan laporan  dari maklumat awam berkenaan 178 laporan bertulis bantahan rakyat agar Gunung Pulai diselamatkan," jelasnya lagi. – HARAKAHDAILY 7/8/2019