KUALA LUMPUR: Penambahan 26 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) bakal direalisasikan Kerajaan PH adalah semangat Malaysia Baharu yang perlu dibimbangi dalam konteks pembentukan perpaduan pelbagai kaum di negara ini.

Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Sabri Azit berkata, keadaan ketika ini sudah sedia ada jurang dalam membudayakan bahasa kebangsaan sebagai pertuturan rasmi di mana akan semakin melebar selepas ini.

"Atas asas ini antaranya kita mencadangkan agar kesepaduan pendidikan berasaskan sistem persekolahan sedia ada perlu diperkasakan," kemuka beliau.

Rata-rata pihak memberi reaksi pelbagai terhadap perkara itu yang telah diulang umum oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching hingga dilihat sebagai usaha membangunkan hegemoni pendidikan kaum.

Malah disangsikan banyak pihak terhadap pertambahan itu sama ada ianya keperluan atau bermotif tertentu untuk mengubah kecenderungan kaum ke arah pilihan yang khusus di mana menajamkan lagi sikap perkauman.

Ustaz Sabri dengan pengalaman lamanya selaku pendidik juga mengajak warga pendidikan untuk merenungi isu keciciran pelajar terutama di sekolah kebangsaan yang berjumlah hingga ratusan ribu di seluruh negara.

Seru beliau, sistem pendidikan perlu diperkasakan dalam aspek kemenjadian murid, di mana sekolah selaku pelaksana sistem memastikan penguasaan sistem amali terhadap penghayatan agama yang digerakkan daripada guru kepada murid. - HARAKAHDAILY 20/1/2019

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Terengganu di bawah kepimpinan PAS tidak pernah meminggir atau mengenepikan mana-mana kaum termasuk bukan Melayu, bahkan dilibatkan sama dalam memimpin.

Exco Kerajaan Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, pihak kerajaan negeri memberi peluang dan ruang kepada mereka untuk terlibat sama dan berganding bahu bagi membangunkan negeri itu.

"Di peringkat Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), daripada keseluruhan 1,044 anggota MPKK seluruh negeri, 18 daripadanya dipimpin oleh saudara kita dari kaum Cina.

"Dun Bandar mendahului seramai 14 anggota MPKK kaum Cina, diikuti Dun Sura ada dua orang, sementara Dun Chukai dan Tepoh masing-masing seorang sebagai Pengerusi," ujarnya.

Katanya, negeri itu adalah milik dan tanggungjawab bersama yang menuntut ianya dipelihara dan dilaksanakan amanah kepimpinan sebaiknya dengan Islam menjadi dasar perjuangan PAS pasti terjamin hak dan keadilan semua kaum. - HARAKAHDAILY 19/1/2019

KUALA LUMPUR: PAS ditubuhkan oleh para ulamak menjadi kumpulan dengan membawa agenda dakwah dan politik sebagai menyambung mata rantai perjuangan Islam yang telah dilangsungkan oleh para Nabi dan Rasul.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, bahkan PAS tidak berjuang hanya untuk orang Islam sahaja, sebaliknya juga untuk masyarakat majmuk apabila ia didaftarkan menjadi parti politik untuk menyertai pilihan raya.

Ceritanya, pendaftaran tersebut dilakukan oleh Yang DiPertua PAS, Almarhum Dr Abbas Alias di mana ia diluluskan oleh Timbalan Pendaftar Pertubuhan seorang India beragama Hindu yang pernah ditolongnya dari hukuman mati di zaman Jepun.

Sejarah itu dikisahkan kembali beliau ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Seminar Sejarah PAS yang dilangsungkan di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar, Gombak, hari ini.

Kupas Tuan Guru, penubuhan PAS yang tercetus hasil muzakarah para ulamak itu adalah sebagai menunaikan tuntutan kewajipan sebagaimana terdapat pada ayat 104 surah Ali-Imran dengan mengambil Islam secara menyeluruh.

Beliau menghurai bahawa tuntutan itu berkait dengan peranan khalifah sepertimana tugas kerasulan yang mendakwahkan manusia kepada siyasah pemerintahan atau perjuangan menghadapi pemerintahan.

Menjadi parti politik

"Tak jadi salah kalangan yang nak berdakwah sahaja, itu kemampuannya. Tak jadi salah kalangan yang nak bergiat dalam ekonomi sahaja, itu kebolehannya sahaja. Tetapi salah dan sesat kalau mengatakan politik tak ada dalam Islam.

"Ulamak-ulamak yang menubuhkan PAS membawa agenda dakwah dan politik, dua-dua sekali. Kerana Islam yang datang ke Nusantara ini bukan sahaja Islam yang meng-Islamkam manusia, termasuk meng-Islamkan kerajaan memerintah.

"Penjajah yang datang mengacau, menghancurkan pemerintahan Islam. Walaupun pemerintahannya dijatuhkan, cahaya Islam tak padam. Akan ada jamaah yang melangsungkan perjuangan Islam," kemukanya.

Menurut beliau, PAS menjadi mata rantai perjuangan menentang penjajah yang telah dimulakan oleh umat Islam Nusantara di mana bangkit berjihad apabila Portugis menakluk Melaka pada tahun 1511.

Katanya, mereka menubuhkan Syarikat Islam sebagai menentang penjajah yang menubuhkan Syarikat Hindia British dan Belanda ketika itu, namun kemudiannya diharamkan dan berdepan pelbagai cabaran menakutkan.

"Takut cerita lain. Kalau kamu takut nak berpolitik, jangan kata dalam Islam tak ada politik. Ini satu kesesatan yang dibawa penjajah. PAS terpaksa menanggung kesusahan menghadapi kesesatan ini.

"PAS memilih demokrasi, mengapa? Asal demokrasi daripada Barat, tak dinafikan. Tetapi mengislahkan demokrasi oleh Barat dipengaruhi oleh Fekah Politik Islam. Islam mengajar memilih pemimpin selepas kewafatan Nabi S.A.W

"Orang Eropah tak tahu pilihan raya. Bila tak puas hati dengan kerajaan, berlaku Revolusi England, Perancis, revolusi di negara-negara Barat, berperang ubah kerajaan," bentang beliau.

Sebaliknya Islam perinci beliau, memilih secara syura melibatkan pemimpin rakyat dalam kalangan Mujahirin dan Ansar, Ahlul Halli wal 'Aqdi yakni mereka yang punya ilmu dan pengaruh dalam masyarakat.

Perkara tersebut terangnya, ditulis para ulamak dalam banyak kitab fekah secara berselerak dan khusus termasuk ada yang menulis dalam kitab akidah kerana terdapat orang Islam menyeleweng akidahnya kerana menolak politik.

"Kerana ada orang Islam yang sudah melampau. Tak dinafikan, membersihkan diri daripada najis sebahagian daripada Islam. Walaupun (politik) tak ada dalam rukun Islam, dalam dua kalimah syahadah, menjadi sebahagian ajaran yang wajib dihayati dan diimani.

"Perkara syariat tak berpisah dengan akidah. Para ulamak memilih demokrasi setelah diharamkan Syarikat Islam, diharamkan Hizbul Muslimin, ditubuhkan Persatuan Islam Se-Malaya sebagai satu NGO.

"Apabila British mengura-urakan untuk mengadakan pilihan raya tahun 1955, pemimpin PAS membuat keputusan mendaftarkan PAS menjadi satu parti politik untuk bertanding pilihan raya," ceritanya.

Perkembangan semasa

Menurut beliau, sejarah panjang perjuangan PAS turut mengalami pasang surut, menang kalah namun tetap memilih demokrasi pilihan raya sebagai pendekatan damai paling baik, bukan keras dan perang.

Sedangkan menurutnya, pendekatan keras dan perang dalam satu bangsa dan umat hanya mengundang campur tangan asing yang menghancurkan negara, namun PAS bukan penakut kerana orang PAS biasa menghadapi ISA.

"Yang penting ialah punya ketahanan beristiqamah melangsungkan perjuangan, menghadapi fitnah dan mehnah. Kita mencapai ke tahap yang ada hari ini, jumlah ahli yang mencecah satu juta. Kawasan 190 lebih seluruh negara.

"Parti lain tak ada kawasan sebanyak itu. Kita ada jentera, ada akar umbi. Kita tegak dengan Islam yang kita perjuangkan. Kita boleh bertahaluf, bekerjasama dengan sesiapa sahaja untuk membuat perubahan dalam politik negara.

"Tapi jangan kacau ganggu Islam yang kita perjuangkan ini. Bila Islam disentuh, kerjasama tak ada dengan sesiapa sahaja. Sama ada pendekatan 'tahaluf' atau 'ta'awun', Islam adalah tonggaknya," tegas Tuan Guru.

Beliau berharap para peserta juga merenungi kegagalan idealogi-idealogi dan perundangan ciptaan manusia yang menunjukkan kegagalan hari ini sebagai 'tanda baik' dalam menambahkan keyakinan kepada Islam yang diperjuangkan.

Malah katanya, ia bukan sahaja menjadi wawasan Akhirat dan janji Allah yang diyakini, tetapi juga wawasan dunia dari janji Allah untuk turut sama diyakini. - HARAKAHDAILY 19/1/2019

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, dunia hari ini dapat menyaksikan kegagalan ideologi dan undang-undang ciptaan manusia di seluruh dunia.

Beliau berkata, tidak salah jika ingin bergiat dalam ekonomi sahaja tetapi sesat jika mengatakan politik tiada dalam Islam.

“Ulama yang menubuhkan parti PAS adalah membawa agenda dakwah dan politik,” katanya.

Tambah beliau, PAS adalah mata rantai jamaah Islam yang tidak putus melangsungkan perjuangan Islam tanpa pemisahan antara agama dan politik.

“Kita ada jentera dan akar umbi, kita tegak dengan Islam yang kita perjuangkan. Kita boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang sanggup bekerjasama demi membuat perubahan politik negara,” ujarnya.

Namun tegas beliau, jangan ganggu Islam yang diperjuangkan.

“Bila Islam disentuh, kerjasama tiada dengan siapa sahaja,” ujarnya ketika merasmikan Seminar Sejarah PAS di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM).

Sementara itu, Pengerusi Sidang Assabiqun PAS Pusat, Subky Abdul Latif berkata, tujuan seminar itu adalah untuk memahami sejarah PAS dan mengekalkan orang PAS agar tidak meninggalkan PAS serta sekali gus untuk mendorong mereka kembali kepada PAS. - HARAKAHDAILY 19/1/2019

KUALA LUMPUR: Pemimpin PH diingatkan supaya memberi tumpuan terlebih dahulu kepada negeri-negeri diperintah mereka tanpa perlu bersikap memburukkan negeri lain yang bukan di bawah teraju pakatan itu.

Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar berkata, disebalik kempen pembangunan yang dicanang dan digula-gulakan di PRK P.078 Cameron Highland, perkara tersebut tidak direalisasi di negeri PH.

"PH juga menerajui Kerajaan Persekutuan, tetapi hingga tempoh ini, tidak kelihatan pun lagi pembangunan ataupun rancangan pembangunan di negeri-negeri yang PH memerintah.

"Malah, di negeri-negeri yang PH menerajui Kerajaan Negeri juga terdapat Orang Asal dan banyak pos kediaman Orang Asal seperti di Perak dan Negeri Sembilan," ujarnya yang juga Adun Tanjung Lumpur.

Beliau juga membidas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mendakwa kewangan Kerajaan Negeri Pahang tenat kerana berhutang RM3.1 bilion dan tidak akan mampu membantu penduduk.

Tempelaknya, Guan Eng cuba menakutkan Orang Asal supaya tidak mengundi BN, sedangkan sehingga kini Kerajaan Negeri membayar semua elaun Tok Batin, kos sara hidup, pendidikan dan lain-lain mengikut jadual.

Tegas Ustaz Rosli, selaku Menteri Kewangan tidak sepatutnya memperlekehkan Kerajaan Negeri sebaliknya membantu untuk menguruskan hal berkaitan jika benar mahu mengaitkan perkara itu dengan kepentingan rakyat.

"Saya juga menyelar sikap (Ahli Dewan Negara), Bob Manolan (Mohamad) yang mengugut Orang Asal. Dan Lim Guan Eng tidak perlu menafikan perkara itu kerana rakyat Malaysia sendiri telah dengar rakaman berkenaan.

"Ini adalah sikap buruk pemimpin PH yang dahulunya menuduh pihak lain seperti itu, tetapi perangai mereka jauh lebih buruk dari itu walaupun memerintah tidak sampai setahun lagi," kesalinya.

Beliau juga melihat slogan "Pembangunan Bersama Harapan" yang dibawa PH pada kempen PRK itu sebagai retorik kerana tidak pernah menunjukkan janji bahkan manifesto pakatan itu ditunaikan.

PH katanya, gagal menunjukkan bukti pelaksanaan janji pembangunan yang dislogankan hatta di negeri diperintah mereka di mana ia kekal menjadi gula-gula pada kempen pakatan itu pada PRK di Cameron Highland juga.

"Sedangkan manifesto yang mereka janjikan masih banyak belum ditunaikan. Tiba-tiba datang ke Cameron Highland menabur janji baru pula?

"Saya seru supaya rakyat negeri Pahang terutama penduduk di Cameron Highland jangan beri peluang pada PH untuk menang.

"Sekarang ini Malaysia perlukan pasukan pembangkang yang kuat terutama di Dewan Rakyat," ujarnya. - HARAKAHDAILY 19/1/2019

KUALA LUMPUR: Tindakan Kerajaan Persekutuan yang diterajui PH memfailkan saman terhadap Kerajaan Negeri Kelantan diterajui PAS berkaitan Orang Asal tidak lebih dari gimik politik PRK P.078 Cameron Highland.

Setiausaha PAS Kelantan, Dato' Che Abdullah Mat Nawi berkata, PH sedang melakukan segalanya untuk menunjukkan keprihatinan mereka kepada Orang Asal bagi memancing undi sempena PRK tersebut.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tumpat turut menyifatkan tindakan tersebut sebagai politik ugutan sebagaimana pernah dilakukan Umno dahulu, tetapi kini menjadi pendekatan politik lebih teruk dilakukan PH.

Semalam, Kerajaan Persekutuan menerusi Peguam Negara, Tommy Thomas memfailkan saman itu kononnya sebagai menuntut hak mendapatkan pengiktirafan tanah adat Orang Asal Temiar di Pos Simpor, Gua Musang.

Kata Tommy, ianya juga sebagai komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap Orang Asal untuk menghalang tindakan yang didakwanya sebagai pencerobohan dan pemusnahan demi keuntungan komersial pihak swasta. - HARAKAHDAILY 19/1/2019

KUALA LUMPUR: Kaum bukan Islam menunjukkan campur tangan yang berleluasa secara tidak sepatutnya terhadap hal ehwal Islam sejak pemerintahan negara ini diterajui oleh Kerajaan PH.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, perkara sama berlaku dalam Parlimen yang disifatkan beliau sebagai hal 'menyayatkan' hati dan merungsing fikiran umat Islam.

Malah katanya, tindakan Ahli-ahli Parlimen bukan Islam menyentuh perkara-perkara berkenaan juga dilihat seakan menjadi satu agenda untuk mewujudkan persepsi dan menempel imej tidak baik serta memalukan Islam.

Senario itu dinyatakannya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perpaduan Ummah Johor yang turut menghimpunkan pimpinan PAS dan Umno serta NGO di Masjid Jamek Bandar Baru Uda, Johor Bahru kelmarin.

Antara dikemukakannya ialah pertikaian Ahli Parlimen bukan Islam untuk membenarkan ajaran Syiah diamalkan di negara ini, selain menyentuh institusi-institusi Islam dengan mendatangkan kerugian tertentu.

Perkara seumpama katanya, berlaku juga ke atas Tabung Haji untuk mewujudkan rasa tidak percaya dalam kalangan orang Islam sendiri, sedangkan ia institusi terbaik di Asia Tenggara dan dunia dalam pengurusan haji.

Tegasnya, PAS berpendirian walaupun terdapat ketidaksempurnaan dan kesilapan, tanggungjawab amar makruf adalah membetulkannya dan bukan meruntuhkan sebagaimana sedang dilakukan PH hari ini.

Bagaimanapun menurutnya, kepincangan yang didakwa dan dikemukakan laporannya ke Parlimen itu tidak dibentangkan untuk perbahasan di mana disifatkan beliau PH tidak berani berhadapan untuk hal itu.

Bidasnya, PH tidak 'gentleman' kerana membawa isu tersebut ke sidang media di luar perbahasan Parlimen dan tindakan itu adalah tidak betul, malah jauh daripada kebenaran yang sebenarnya.

"Tujuannya lain. Akhir sekali menjadi alasan mereka mewajarkan aset-aset yang paling proaktif di dalam Tabung Haji dipindahkan ke SPV yang diletak di bawah Bank Negara. Menterinya adalah Menteri Kewangan yang namanya Lim Guan Eng.

"Ada banyak lagi agenda (mereka). Kerajaan yang ada sekarang, setakat ini dalam Parlimen apapun rancangan mereka bentang belum mengemukakan jalan keluar yang konkrit untuk selesai masalah rakyat.

"Mereka belum sedar bahawa mereka kini kerajaan, mereka masih berperangai seperti pembangkang. Masalah rakyat bawahan tidak berkesudahan," tempelaknya.

Untuk itu, beliau mengajak kesatuan umat antara solusinya sebagaimana pernah dinyatakan Presiden PAS sebelum PRU14 bahawa negara ini mesti dipimpin oleh orang Islam-Melayu demi kestabilan dan konteksnya. - HARAKAHDAILY 18/1/2019

Muslimat PAS bersama Makcik Rahana/

CAMERON HIGHLANDS: Dewan Muslimat PAS menyifatkan seorang peniaga di Felda Sungai Koyan Rahana Hasan, 76 sebagai pejuang tulen yang berani berhujah bagi menegakkan kebenaran.

Ketua Muslimat PAS kawasan berkenaan Dalmah Ismail berkata, kejujuran berhujah dengan calon Pakatan Harapan (PH) M Manogaran yang datang mahu menabur janji harus dipuji.

Katanya makcik terbabit meminta bukti ‘surat lawyer’ daripada calon terbabit terhadap janji yang disebutnya.

“Surat peguam disebut makcik terbabit sebagai bukti akan ditunaikan terhadap janji yang diuar-uarkan kepada pengundi semasa kempen PRK Cameron Highlands sekarang,” katanya di sini.

Beliau berkata, pengundi terbabit bercakap benar mengenai nasib orang Melayu yang bagaikan menumpang di tanah air sendiri sekarang. - HARAKAHDAILY 18/1/2019

KUALA LUMPUR: Resepi kejayaan umat Islam adalah apabila meletakkan dan mengikut syariat Allah S.W.T sebagaimana golongan yang dipuji-Nya dengan panggilan 'Muflihun' di dalam al-Quran.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, namun walaupun umat Islam diseru lima kali sehari kepada kejayaan, tetapi masih menjadi umat yang ditertawakan oleh pihak lain.

Sedangkan katanya, umat Islam di negara adalah teramai dengan 63 peratus dari populasi rakyat Malaysia berbanding penganut lain yang terbahagi dengan lebih banyak agama dan kepercayaan.

Puncanya jelas beliau, kerana umat Islam tidak berpegang kepada tuntutan Islam dengan sebenarnya, bahkan bertoleransi pula dengan kesalahan yang berlaku dalam kalangan sendiri.

"Yang berkembang daripada kecil menjadi besar dan akhirnya menjadi liabiliti kepada parti sendiri. Mungkin ini adalah pengajaran yang perlu PAS ambil juga terhadap apa yang berlaku kepada Umno hari ini, minta maaf.

"PAS sekalipun, walaupun kita parti Islam, kalau kita tidak mengamalkan Islam, apa yang berlaku pada Umno boleh berlaku pada PAS. Prinsipnya, mana-mana parti sekalipun, kena berpegang kepada Islam.

"Menegak perkara yang betul, mengajak dan menyuruh kepada kebaikan. Nampak perkara tidak baik di kalangan kita, perbetulkan," ucapnya mengajak muhasabah yang menginsafkan seluruh hadirin.

Seruan itu diutarakannya pada Ceramah Perpaduan Ummah Johor dengan turut melibatkan pimpinan PAS, Umno dan NGO yang dilangsungkan di Masjid Jamek Bandar Baru Uda, Johor Bahru, kelmarin.

Kerana itulah jelas beliau, PAS menerusi Presidennya telah menggagaskan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) sebagai pendekatan terbuka untuk merentas sempadan bekerjasama dalam kebaikan.

Semua itu terangnya, demi kebaikan ummah tanpa ada halangan-halangan buruk hingga sebenarnya memberi kesan tidak baik kepada Islam, di mana antaranya bertegas dengan prinsip pada perkara benar atau salah baik dilakukan rakan mahupun lawan.

"Ini yang digariskan oleh kepimpinan dalam PAS bahawa apa yang memberi kebaikan kepada ummah, melalui konsep yang memberi kebaikan, maka kita tidak ragu-ragu. Kita boleh bekerjasama atas konsep 'ta'awun' dalam kebaikan," ujarnya. - HARAKAHDAILY 18/1/2019

PUTRAJAYA: Pilihan Raya Kecil (PRK) N24 Dewan Undangan Negeri (Dun) Semenyih akan diadakan pada 2 Mac depan sementara penamaan calon pada 16 Februari.

Demikian dinyatakan Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya, tarikh mengundi awal pada 26 Februari.

Menurutnya, seramai 54,503 pemilih layak mengundi pada PRK itu mengikut daftar pemilih sehingga suku ketiga 2018 yang dikemaskini sehingga 11 Januari lalu.

PRK itu diadakan ekoran kematian Adun Semenyih, Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung. – HARAKAHDAILY 18/1/2019

BUKIT MERTAJAM: PAS Pulau Pinang telah mengadakan lawatan ke rumah perlindungan Community AIDS Service Penang (CASP) Zon Utara, di sini semalam.

Lawatan bersama Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah yang juga Adun Penaga itu turut disertai Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Pulau Pinang, Amir Hamzah.

Penyelia CASP, B Kuganeshwari berkata, NGO tersebut telah ditubuhkan sejak tahun 1989 dengan memberi kaunseling kepada mereka-mereka yang dijangkiti virus HIV.

Hinggalah pada tahun 2006 maklumnya, CASP membuka rumah perlindungan tersebut terutama untuk penghidap HIV yang tidak mempunyai keluarga di mana ia memberikan perlindungan percuma.

CASP yang juga berdaftar dengan Majlis AIDS Malaysia itu beroperasi dengan geran dari Kementerian Kesihatan Malaysia dan sumbangan orang ramai di mana ia terbuka kepada pesakit HIV tanpa mengira agama, bangsa dan jantina.

Bagaimanapun menurut Kuganeshwari, CASP memerlukan sokongan dan dana untuk terus berkhidmat selain keperluan bagi penggajian kakitangan berkaitan di mana kini sedang merawat 14 penghidap HIV.

Jelas beliau, mereka akan dirawat sehingga sihat dan kembali bekerja serta bebas hidup dalam masyarakat, selain terus memberi sesi sokong bantu di Hospital Pulau Pinang menerusi khidmat Rakan Sokong Kepatuhan Rawatan.

Seru beliau, pihaknya juga memerlukan lebih ramai sukarelawan untuk berganding bahu membanteras HIV di mana kini semakin ramai golongan belia terjebak akibat seks sejenis. - HARAKAHDAILY 18/1/2019   

IMG 20190118 WA0000

IMG 20190118 WA0001

IMG 20190118 WA0002

Ustaz Azhar Salleh menunjukkan keputusan STAM pelajar sekolah Yik.

KOTA BHARU: Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) sekolah Yayasan Islam Kelantan (Yik) tahun lepas meningkat sebanyak 4.19 peratus berbanding 2017.

Seramai 20 pelajar memperolehi pencapaian terbaik dengan 10 mumtaz semua mata pelajaran. Empat pelajar terbabit dari Maahad Muhammadi Lelaki.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Teknologi Maklumat Ustaz Azhar Salleh berkata, seramai 147 pelajar mendapat pangkat mumtaz.

Manakala jayyid jiddan 407 pelajar berbanding berbanding 343 calon tahun 2017.

"Peringkat jayyid pula seramai 656 calon berbanding 587 orang pada 2017.

Manakala maqbul (lulus) pula seramai 164 calon berbanding 148 pelajar sebelumnya," ujar beliau pada sidng media di pejabat Yik di Nilam Puri hari ini.

Hadir sama Pengarah Yik Tengku Ab Rahman Tuan Yunus dan pegawai kanan Yik. - HARAKAHDAILY 17/1/2019