KUALA LUMPUR: Harakat al-Muqawama al-Islamiyyah (Hamas) mengucapkan takziah kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo susulan tragedi pesawat Lion Air yang terhempas di perairan Kerawang, Jawa Barat, kelmarin yang mengorbankan 188 penumpang dan kakitangan.

“Kami di Hamas sangat bersedih, namun redha dan menerima ketentuan Allah ini, susulan berita jatuhnya pesawat penumpang Indonesia di perairan Jawa pada Isnin yang mengorbankan 189 orang,” ujar Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh dalam surat kepada Jokowi.

Beliau berharap semoga Allah senantiasa memberikan curahan rahmat-Nya kepada keluarga mangsa yang ditinggalkan serta dikurniakan kesabaran dan ketabahan.

Memetik laporan Pusat Informasi Palestin, semalam, Haniyeh juga menyatakan solidarita kepada Indonesia dan rakyatnya, semoga Allah senantiasa menjaga dan menjauhkan dari segala mara bahaya. – HARAKAHDAILY 31/10/2018

KOTA BHARU: Kerajaan persekutuan masih mempunyai tunggakan bayaran premium tanah sebanyak RM275 juta yang belum ditunaikan sehingga sekarang.

Menteri Besar, Ustaz Dato' Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri mempunyai asasnya sendiri untuk memohon wang pendahuluan daripada kerajaan persekutuan.

Katanya, RM275 juta merupakan jumlah tunggakan iaitu RM113 juta premium tanah Institut Pendidikan Guru di Pengkalan Chepa, RM144 juta premium tanah Felda dan RM18 juta hasil tanah kerajaan persekutuan.

"Ini merupakan sandaran kita, kita mohon advance yang boleh dibayar kerana kerajaan persekutuan masih belum bayar kepada kita premium sebanyak RM275 juta.

"Jika perkara ini dibayar mengikut jadual, tunggakan ini tidak akan berlaku. Kita minta pendahuluan ini kerana duit kita ada yang tidak dibayar lagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ustaz Abdul Rahman Yunus (PAS-Pasir Tumboh) dan Dato’ Mohd Adhan Kechik (BN-Bukit Bunga) pada persidangan Dun hari ini.

Tambah Ustaz Ahmad permohonan 'advance' kepada kerajaan pusat merupakan amalan yang biasa dilakukan kerana belanjawan defisit kerajaan-kerajaan negeri.

Kata beliau atas dasar itulah kerajaan negeri memohon pendahuluan dari kerajaan persekutuan.

Beliau turut menafikan kegagalan kerajaan negeri bermasalah membayar gaji kepada kakitangan, bahkan tidak pernah lewat membuat bayaran setiap bulan.

Baru-baru ini Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyebut Kelantan menerima pemberian (geran) Kerajaan Persekutuan sebanyak RM398 juta termasuk RM59.9 pemberian defisit.

Menurutnya geran itu diberi memandangkan kerajaan Kelantan tidak mempunyai hasil mencukupi untuk perbelanjaan termasuk gaji kakitangan awam. - HARAKAHDAILY 30/10/2018

KOTA BHARU: Timbalan Menteri Besar, Dato' Mohd Amar Abdullah mempertikaikan peranan Senator Dato’ Husam Musa berhubung pelantikan ahli Majlis Pembangunan Komuniti Kampung (MPKK).

Sedangkan kata beliau, keputusan mesyuarat bersama Kementerian Pembangunan Luar Bandar menyerah pelantikan serta pemilihan itu kepada kerajaan negeri.

Menurutnya, pada peringkat pusat badan itu dikenali MPKK, manakala di Kelantan dinamakan sebagai Majlis Pembangunan Mukim (MPM) yang mempunyai 11 ahli termasuk penghulu.

"Mengenai penambahan empat ahli, saya tidak tahu sebab kita berpegang kepada keputusan mesyuarat bersama kementerian sendiri.

“Selagi keputusan itu tidak berubah, itulah pendirian kita. Dato’ Husam atas kapasiti apa beliau memberi cadangan. Beliau mungkin boleh memberi cadangan kepada pusat," katanya ketika ditemui pemberita ketika persidangan Dun berhenti rehat, hari ini.

Baru-baru ini Husam yang juga Pengerusi PH Kelantan dilapor memberitahu seramai 12,672 orang akan dilantik menganggotai MPKK Kelantan yang bakal berkuatkuasa 1 Januari depan.

Daripada jumlah tersebut, seramai 3,960 orang merupakan lantikan kerajaan persekutuan dan selebihnya kerajaan negeri. - HARAKAHDAILY 30/10/2018

KUALA LUMPUR: Biarpun berlaku perubahan pada tema RMK11, setiap perancangan dan tindakan kerajaan mestilah berpaksikan kepada rakyat, yakni memberi manfaat yang maksimum secara menyeluruh.

Iaitu dalam maksud lain, tidak mementingkan golongan atau kroni tertentu sahaja, demikian penegasan oleh Dato' Che Abdullah Mat Nawi (PAS - Tumpat) pada perbahasan Usul Kajian Separuh Penggal RMK11, di Parlimen semalam.

Menurutnya, negara tidak akan menjadi maju seandainya terdapat negeri-negeri dimundurkan, seperti tidak mempunyai sistem pengangkutan yang baik atau infrastruktur-infrastruktur lain.

Kelantan ujar beliau sebagai contoh, telah dianak tirikan sejak lebih 28 tahun lalu bermula 1990 di bawah Perdana Menteri (PM) keempat yang juga PM pada hari ini di mana dinafikan hak untuk mendapatkan lebuh raya dan pelabuhan.

"Kita (juga) dinafikan hak untuk mendapat lapangan terbang antarabangsa walaupun Kota Bharu itu adalah di antara lapangan terbang yang tersibuk dalam negara.

"Kita diabaikan dalam pembangunan untuk mendapatkan bekalan air bersih untuk satu jangka masa yang lama. Kita diabaikan dalam banyak projek-projek pembangunan yang boleh membangunkan negeri.

"Paling besar kita dinafikan hak untuk mendapatkan pendapatan bagi membangunkan sendiri negeri ini iaitu royalti petroleum yang terhak kepada Kerajaan Kelantan melalui Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan perjanjian antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat serta Petronas.

"Kalau wakil daripada Sabah dan Sarawak menyatakan ketidakpuashati mereka terhadap sumbangan ataupun bayaran royalti kepada mereka dengan kadar 5 peratus, Kerajaan Negeri Kelantan hanya dibayar dengan kosong peratus," luahnya.

Beliau turut memetik pandangan Peguam Negara yang pernah mewakili Kerajaan Kelantan dalam tuntutan royalti telah menyatakan bahawa tidak ada sebab tidak boleh menang dalam kes tuntutan itu melainkan hanya kerana tekanan politik.

Semalam kata Che Abdullah, mereka yang dulunya menuntut royalti itu telah berada dalam pihak kerajaan di mana sepatutnya menjadi peluang terbaik untuk melakukan keadilan kepada Kerajaan Kelantan dengan terus membayar royalti tanpa sebarang dalih lagi.

"Cuba bayangkan kesan daripada pengabaian ini yang bukan sahaja memberi kesan semasa kepada rakyat, tetapi ia memberi kesan jangka panjang yang membantutkan pembangunan ekonomi kini dan akan datang.

"Ia juga memberi kesan berganda yang cukup besar terhadap pembangunan ekonomi negeri ini yang akhirnya membantut usaha menjadikan Malaysia negara maju. Amat menghairankan kita, apabila ada pihak yang merasa gembira di atas kemunduran negeri-negeri yang dianaktirikan ini.

"Kita boleh terima kiranya perasaan gembira ini disuarakan oleh pimpinan politik kampung. Namun amat malang kepada rakyat Malaysia apabila perasaan bangga dan gembira ini dilahirkan ataupun terlahir daripada pimpinan utama negara yang sepatutnya bertanggungjawab membangunkan semua wilayah dalam negara ini," kesalinya.

Beliau turut memuji prinsip-prinsip ditegaskan PM di Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu khususnya berkaitan masyarakat dunia yang teraniaya dan jaminan diungkapkan beliau.

Sehubungan itu, beliau merayu atas semangat kasih sayang, keprihatinan dan demokrasi yang tinggi agar janganlah didera rakyat Kelantan, sebaliknya kembalikan hak dinafikan sebelum ini.

"Gunakanlah peluang kedua yang diberikan oleh Allah S.W.T kepada PM hari ini untuk membetulkan kesilapan beliau masa lalu. Jangan biarkan Negeri Kelantan yang bersempadan dengan negara jiran, Thailand dilihat lebih mundur daripada kawasan sempadan negara jiran itu.

"Sepatutnya menjadi prioriti kepada Kerajaan Malaysia untuk memajukan kawasan sempadan negara. Kerana ia membawa imej yang besar kepada negara di mata dunia. Hari ini, Thailand telah lama membina tebatan banjir di sungai sempadan yang menyebabkan air dari sungai yang sama hanya membanjiri sebelah Negeri Kelantan sahaja.

"Rakyat Kelantan juga menumpang tuah lebuh raya negara Thailand yang memilih untuk pergi ke Utara Tanah Air seperti Kedah dan Perlis melalui Thailand. Kerana di sempadan negara jiran yang penduduknya 80 peratus beragama Islam di Negara Thailand itu, mereka mempunyai lebuh raya.

"Tetapi di negara kita di sempadan Negara Thailand itu di Negara Malaysia yang penduduknya lebih 90 peratus beragama Islam di Negara Malaysia ini, mereka dinafikan hak untuk mendapat lebuh raya," kemuka beliau.

Beliau yang juga Setiausaha PAS Kelantan berkata, banyak wang negara yang dibelanjakan di negara jiran itu sekali gus turut memberikan kesan ekonomi kepada negara.

Dato' Che Abdullah juga menggesa jangan didera rakyat Kelantan hanya kerana pilihan politik, sedangkan rakan-rakan di sebelah kerajaan dulunya adalah pejuang kepada kebebasan berpolitik.

"Apakah setelah diberi kuasa, tiba-tiba pendirian berubah 180 darjah? Saya menyeru kepada PM, jangan akur kepada suara-suara nakal pemimpin-pemimpin politik murahan yang hanya mementingkan diri dan bertindak atas dasar dendam kesumat dan kebencian.

"Pandangan sentiasa berubah mengikut kedudukan dan kepentingan diri. Semasa mereka bersama dengan Kerajaan Kelantan, mereka menyatakan royalti mesti disalurkan kepada kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

"Tetapi apabila mereka tidak lagi dipilih oleh rakyat Kelantan sebagai pimpinan Kerajaan Negeri, mereka memberikan pelbagai alasan untuk menafikan hak Kerajaan Negeri.

"Semasa mereka menjadi pembangkang dalam negara ini, mereka menyerang kerajaan yang dipimpin oleh Umno-BN masa itu. Tetapi setelah menjadi kerajaan, mereka bertindak seperti kerajaan yang terdahulu," ujarnya. - HARAKAHDAILY 30/10/2018

KOTA BHARU: Kerajaan negeri disaran memperkasakan pembinaan Rumah Mampu Milik Kelantan (RMMK) bagi memenuhi impian rakyat memiliki kediaman sendiri.

Rozi Muhamad (PAS-Tendong) berkata, kerajaan negeri perlu mempertingkat usaha tersebut bagi mencapai usaha yang dibuat sejak 2013.

Begitu juga katanya, cadangan pembinaan RMMK yang dirancang di Dun Tendong di Daerah Bunut Susu sudah dilulus tiga tahun lepas namun pembinaannya belum dilaksanakan.

“Kelulusan cadangan pembinaan ini sudah lebih tiga tahun, tapi masih belum ada perkembangan yang memberangsangkan,” ujarnya ketika mengambil bahagian perbahasan Belanjawan Kelantan 2019 di persidangan Dun petang semalam.

Pada Belanjawan Kelantan 2019 sebanyak RM9.5 juta disediakan kerajaan negeri bagi program rumah mampu milik dan sebanyak RM6.4 juta program bantuan rumah dhu’afa. - HARAKAHDAILY 30/10/2018

KUALA LUMPUR: Che Alias Abd. Hamid (PAS-Kemaman) mendesak kerajaan meneruskan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berdasarkan tonggak ketiga dalam Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) iaitu menuju ke arah pembangunan wilayah yang seimbang.

Menurut beliau, usaha menangani ketidakseimbangan wilayah perlu dipergiatkan dengan cara memperkasakan sumber yang ada di setiap negeri.

"Kerajaan perlu memandang ke hadapan dalam memajukan negara tanpa menafikan hak kerajaan negeri dan juga tanpa menangguhkan pembangunan dan infrastuktur yang sepatutnya diberikan kepada kerajaan negeri," katanya.

Tambah beliau, pembangunan yang adil dan saksama seharusnya dibahagikan sama rata memandangkan rakyat Pantai Timur juga membayar cukai seperti rakyat di negeri lain.

"Ini bukti semangat federalisma yang diberikan kerajaan neegri kepada Kerajaan Persekutuan," ujarnya ketika berbahas mengenai Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas di Dewan Rakyat.

Sementara itu, beliau turut memohon agar kerajaan membuat keputusan muktamad berkenaan Projek ECRL supaya perancangan pihak lain yang membabitkan jajaran ECRL dapat dilaksanakan secepat mungkin.

Mengambil kesempatan itu, beliau mengucapkan terima kasih diatas inisiatif kerajaan dalam meluluskan Pembangunan Hospital Kemaman dan berharap agar utiliti tersebut bakal siap mengikut jadual yang ditetapkan iaitu pada 19 Disember 2021. – HARAKAHDAILY 29/10/2018

KUALA LUMPUR: Ratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dilihat bercanggah dengan Perlembagaan Negara dan beberapa peruntukan dalam Perlembgaan Persekutuan, kata Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menyatakan kebimbangannya bahawa melihat kenyataan daripada sesetengah menteri seolah-olah bersetuju dengan ratifikasi tersebut.

"Kenyataan-kenyataan ini telah pun membentuk satu pemikiran dan saya ingin mendapat penjelasan daripada menteri-menteri.

"Apakah pihak pembangkang juga turut dilibatkan dalam perbincangan di dalam jawatankuasa yang akan diwujudkan nanti?" ujarnya dalam soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.

Menjawab persoalan itu, Timbalan Menteri Luar Negeri, Marzuki Yahya menjelaskan bahawa Perdana Menteri semasa di Persidangan Agung Persatuan Bangsa-bangsa bersatu (UNGA) berkata, akan memberi ruang dan masa kepada semua pihak untuk membahaskan ratifikasi tersebut serta bakal memutuskannya berdasarkan sistem demokrasi kerajaan dan akan menjalankan proses tersebut dengan menghormati Perlembagaan Persekutuan. - HARAKAHDAILY 29/10/2018

KOTA BHARU: Selama 28 tahun penguasaan mutlak Umno terhadap Majlis Sukan Negeri (MSN) berakhir selepas selepas parti itu gagal mempertahankan kerajaan persekutuan pada 9 Mei lepas.

Kemunculan Malaysia Baharu di bawah Pakatan Harapan mengembalikan semula kuasa yang dipiinggirkan sejak Oktober 1990.

Hari ini kerajaan negeri mengumum memperuntukkan sebanyak RM1 juta kepada MSN dalam Belanjawan Kelantan 2019.

Ia sebagai menyambut baik langkah kerajaan persekutuan menyerahkan agensi itu kepada kerajaan negeri.

Menteri Besar, Ustaz Dato Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, urusan pengambilalihan itu dijangka akan disempurnakan menjelang tahun 2019.

"Kerajaan Persekutuan kini dalam proses akhir untuk menyerahkan MSN untuk diuruskan di bawah kerajaan negeri.

"Bagi tujuan itu sebanyak RM1 juta diperuntukan kepada MSN dan kita harap agar MSN di bawah pentadbiran baru dapat mengangkat martabat sukan dan atlet Kelantan," katanya ketika membentang Belanjawan Kelantan 2019 pada persidangan Dun hari ini. - HARAKAHDAILY 29/10/2018

KOTA BHARU: Sehingga sekarang tiada cawangan atau bahagian Umno yang dibubarkan selepas lima bulan parti itu kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas.

Ketua Pembangkang Dun Kelantan, Dato' Md Alwi Che Ahmad sebaliknya berkata, apa yang berlaku sekarang wakil rakyat BN bukan sahaja diugut, malah dicincang hidup-hidup oleh Bersatu.

“Kemudian meminta kita ramai-ramai masuk Bersatu. Bersatu sudah terdesak untuk mendapatkan sokongan Umno ketika kekuatannya dalam kerajaan Pakatan Harapan sekarang semakin lemah.

“Bersatu mempunyai 13 ahli Dewan Rakyat dalam kerajaan gabungan PKR, DAP dan PAN selepas mendapat mandat rakyat pada PRU 14 lalu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau yang juga Adun Barisan Nasional Kok Lanas berkata, tidak munasabah Umno yang mempunyai tiga juta ahli menerima tawaran Bersatu yang disifatkan tiada sokongan akar umbi. - HARAKAHDAILY 29/10/2018

KOTA BHARU: Belanjawan Kelantan 2019 akan ditambah sekiranya kerajaan pusat menunaikan janji untuk membayar royalti minyak dan gas kepada negeri tersebut.

Menteri Besar, Ustaz Dato' Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri menaruh keyakinan tinggi agar komitmen Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed itu direalisasikan.

Menurut beliau, bayaran hasil royalti Kelantan yang dimasukkan dalam Belanjawan Kelantan 2019 itu akan dibuat dalam bentuk token terlebih dahulu.

"Apabila masuk wang royalti minyak itu, kita akan masuk dalam bajet negeri semula, itu bergantung kepada banyak mana yang dapat diberikan kepada kita.

"Kita masukkan dalam bentuk token royalti tetapi tidak angka sebanyak yang sepatutnya supaya ada bekas untuk kita letak, kalau tiada token tiada bekas," katanya selepas membentangkan Belanjawan Kelantan 2019 sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) di Kota Darulnaim di sini pagi tadi.

Belanjawan 2019 Kelantan yang bertema Kemakmuran Negeri Kesejahteraan Rakyat memperuntukkan sebanyak RM1.09 bilion sebagai perancangan perbelanjaan berhemat.

Manakala anggaran hasil dijangka sebanyak RM743.7 juta yang meliputi hasil cukai RM207 juta, hasil bukan cukai (RM392.6 juta) dan terimaan bukan hasil (RM144 juta). - HARAKAHDAILY 29/10/2018

KOTA BHARU: Sehingga Oktober tahun ini Kelantan berjaya menarik pelaburan bernilai RM2.4 bilion, kata anggota Exco kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri, Dato’ Hanifa Ahmad berkata, pelaburan tersebut termasuk projek penanaman sayur di Gua Musang melibatkan kos RM40 juta, projek hidro elektrik di Gua Musang (RM106 juta), projek hidro di Kuala Krai (RM70 juta).

Selain itu projek pembangunan bandar di kawasan lebih 100 ekar di Mukim Panchor, Panchor melibatkan pelaburan RM1.74 bilion.

Manakala misi pelaburan ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Jepun tahun lepas juga mempunyai perkembangan positif apabila ada pelabur dari negara terbabit datang meninjau peluang pelaburan di Kelantan.

Katanya, misi pelaburan terbabit diketuai Pemangku Raja Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Ibni Sultan Ismail Petra.

“Syarikat dari negara terbabit datang meninjau potensi pelaburan di Kelantan. Dua syarikat berminat projek penanaman bunga iklim sejuk di Tanah Tinggi Lojing.

“Ada juga syarikat berminat untuk mengusahakan tanaman cendawan putih di Pasir Mas,” katanya ketika menjawab soalan Adenan Hasan (PAS-Kelaboran) pada persidangan Dun hari ini.

Menjawab soalan tambahan Mohd Shahbuddin Hashim (BN-Galas) katanya kerajaan negeri merangka pelbagai insentif bagi menarik pelabur ke Kelantan. - HARAKAHDAILY 29/10/2018

KOTA BHARU: Penguatkuasa agama di Kelantan tetap meneruskan tanggungjawab menangani kegiatan tidak bermoral dengan mengadakan pemeriksaan secara tidak berkala.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Dato’ Mohd Nassurudin Daud berkata, pemeriksaan itu dilakukan sama ada terdapat laporan atau tidak berkaitan kegiatan tersebut.

“Kita tidak akan biarkan kegiatan tidak bermoral itu terus berlaku bimbang datangnya bala kerana angkara tangan-tangan manusia itu sendiri.

“Sebelum ini ada kenyataan yang menyebut kerajaan tidak boleh bertindak ke atas premis peribadi bagi membendung kegiatan tidak bermoral, itu tidak betul,” katanya pada persidangan Dun Kelantan di sini, hari ini.

Soalan mengenai perkara itu dibangkit Dato’ Mohamad Awang (PAS-Gual Periuk).

Mohd Nassurudin juga berkata, kerajaan perlu bertindak bagi menutup lorong yang boleh menbawa kepada kerosakan.

Kata beliau seseorang tidak cakap itu hak peribadi dan hanya dosa individu dengan Allah.

Baru-baru ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa dilapor berkata, apa yang dilakukan seseorang di sebalik pintu tertutup bukan urusan kerajaan. - HARAKAHDAILY 29/10/2018