PETALING JAYA: Calon PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Seri Setia, Dr Halimah Ali berkongsi rahsia kejayaan akademik anak-anaknya lebih daripada aspek-aspek yang lain.

Dalam membesarkan anak-anak, kata ibu kepada enam cahaya mata yang kini kesemuanya bergelar doktor perubatan berkata, beliau bersama suami sering memastikan anak-anak diberikan perhatian dan tumpuan dalam aspek agama, sahsiah, pelajaran dan kemahiran.

"Dua perkara sering saya tekankan kepada anak-anak saya, ketika makan iaitu ketika ahli keluarga berkumpul. sering saya ingatkan kalian adalah anak-anak pejuang.

"Kalian perlu berdisipiln dan sistematik dalam mengurus urusan akademik dan tuntutan harian," katanya.

Beliau yang juga mantan Exco Kerajaan Negeri Selangor pada penggal lalu turut menekankan pentingnnya doa seorang ibu demi kejayaan hidup di dunia dan di akhirat untuk anak-anak.

"Sesibuk mana pun seorang ibu itu, khususnya doakan setiap anak dengan menyebut nama mereka dalam di setiap doa seorang ibu," ujarnya lagi.

Dr Halimah Ali yang berdepan dengan calon Pakatan Harapan, Halimey Abu Bakar pada PRK ini merupakan pengamal perubatan di hospital swasta selama 25 tahun dan telah menubuhkan dua buah klinik sendiri di Klang.

Sepanjang bergelar doktor perubatan beliau telah menabur khidmat kepada masyarakat hampir 30 tahun sebelum menjejakkan langkah ke arena politik.

Pencapaian semasa menjadi barisan pimpinan Kerajaan Negeri Selangor, beliau telah banyak menyumbang kepada sektor pendidikan untuk anak-anak Selangor.

Dr Halimah merupakan pengasas Kolej Integrasi Tahfiz Tunas Ilmuwan Selangor (KITIS), pengasas Kelas Agama Menengah Arab (KAMA), pengasas Quranic Botanical Garden di SRA dan SRI Farabi Kampung Delek dan pengasas Majlis Permuafakatan Pendidikan Islam Selangor (MAPPIS).

Menjadi keutamaan kepada Dr Halimah mengutamakan aspek pendidikan anak-anak bangsa, beliau antara yang berjuang hak pendidikan anak bangsa telah mengasaskan program tuisyen Rakyat Selangor dan merupakan pengasas Yayasan Pendidikan Islam Selangor (YAPIS). – HARAKAHDAILY 27/8/2018

KUALA LUMPUR: Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief) akan menggerakkan misi lanjutan bagi membantu umat Islam mangsa gempa bumi di Lombok, Indonesia, hujung September depan.
 
Pengarah PASRelief, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, misi berikutnya akan memfokuskan sumbangan peralatan dan projek pembinaan 'Rumah Sementara Untuk Kemanusiaan' (RUSUK).
 
Terang beliau, kos anggaran bagi RUSUK yang dibina daripada buluh dan kanvas itu adalah dalam Rp2 juta (anggaran RM600) untuk didiami bagi satu keluarga.
 
Menurutnya, RUSUK akan dibina di tapak yang ditentukan sendiri mangsa sementara mereka dapat memunggah keluar sisa runtuhan sebelum dapat membina kembali rumah kekal.
 
"PASRelief merayu sumbangan seluruh rakyat Malaysia terutama kewangan bagi membantu usaha ini menjadi kediaman puluhan ribu keluarga saudara kita di seluruh pulau Nusa Tenggara Barat (NTB) ini.
 
"Sumbangan juga diperlukan untuk membeli beras dan makanan harian yang akan disumbangkan pula ke ratusan dapur umum mengikut Pusat Komando (POSKO) atau Bilik Gerakan di setiap desa dan dusun.
 
"PASRelief juga merancang membangunkan sekolah sementara untuk anak-anak mangsa gempa bumi yang memerlukan peralatan dan alat tulis," ujar beliau.
 
PASRelief sebelum ini telah melaksanakan misi awal tinjauan dan bantuan kemanusiaan berupa sumbangan beras, pek makanan dan RUSUK bernilai Rp110 juta pada 17 hingga 21 Ogos lalu.
 
Segala sumbangan kewangan boleh terus dilakukan ke akaun Maybank 5640 7061 1352 (Tabung Kemanusiaan Antarabangsa) atau 5640 7061 2333 (PASRelief).
 
Sebarang maklumat lanjut dan pertanyaan boleh hubungi 012-596 9220 (Sanusi), 013-384 5555 (Adram Musa), 012-239 6867 (Yunus), 019-571 0933 (Ustaz Norazli) dan 019-264 4740 (Dr Rosni). -HARAKAHDAILY 26/8/2018
 
 

KUALA LIPIS: Penemuan semula Renjer Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Tarmizi Ahmad Japli, 30 turut dikongsi kegembiraan tersebut oleh Jabatan Amal Malaysia (JAM) Negeri Pahang .
 
Tarmizi akhirnya ditemui dalam keadaan selamat sekitar jam 4 petang semalam, setelah dilaporkan hilang di dalam hutan Taman Negara, di sini sejak 14 hari yang lalu.
 
Menurut Pegawai Tadbir JAM Pahang, Firdauz Mohd Nasir, seluruh aset, perubatan dan komunikasi Amal Pahang Response, Search & Rescue (APRSAR) digerakkan untuk tujuan itu.
 
Maklum beliau APRSAR seramai 8 anggota telah memulakan misi bersama itu setelah mendapat maklumat dari Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Kechau 11, di sini kelmarin.
 
Terang beliau, anggota APRSAR telah dibawa ke 'Base Camp' oleh anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan PERHILITAN sebelum memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
 
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak terlibat atas kepercayaan untuk melibatkan JAM dalam misi tersebut yang bukan sahaja menjadi pengalaman, tetapi untuk membaiki kekurangan. -HARAKAHDAILY 26/8/2018
 

PETALING JAYA: Penghuni flat PPR 2 Lembah Subang kini mampu menarik nafas lega apabila masalah bau busuk yang dialami mereka sejak awal bulan ini sudah diselesaikan.

Ini berikutan tindakan pantas Unit Amal PAS dari Jabatan Amal PAS Selangor hari ini bertindak turun padang melakukan kerja pembersihan sampah terbiar di kawasan perumahan tersebut.

Penduduk dikatakan menderita bau busuk berkenaan berpunca daripada longgokan sampah di tepi jalan utama kawasan flat tersebut.

Unit Amal yang juga dikenali tentera merah dan terkenal dengan kerja-kerja sukarela serta ringan melakukan kerja kebajikan ini bagaimanapun bertindak pantas turun seawal petang tadi di kawasan perumahan tersebut bagi melakukan kerja-kerja pembersihan.

Sebelum ini tular di media sosial sekeping gambar kenderaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) N.32 Dun Seri Setia dari Pakatan Harapan, Halimey Abu Bakar yang datang berkunjung ke kawasan perumahan terbabit dan melalui kawasan longgokan sampah tersebut.

Meskipun Halimey yang juga bekas Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah berkunjung ke kawasan tersebut masalah longgokan sampah dan bau busuk itu tetap berlarutan dan tiada sebarang tindakan diambil sehinggalah calon PAS, Dr Halimah Ali turun meninjau kawasan tersebut dan menerima aduan daripada penduduk.

Prihatin dengan masalah itu anggota Unit Amal dengan pantas menggalas tanggungjawab membantu membersihkan longgokan sampah tersebut. – HARAKAHDAILY 25/8/2018

am1

am2

am3

am4

am5

am6

TAWAU: PAS Kawasan Tawau telah mengadakan Majlis Korban Perdana bersempena Aidil Adha yang dilaksanakan di ketiga-tiga Dun dalam Parlimen tersebut pada hari raya pertama dan kedua, kelmarin.

Terdahulu diadakan solat sunat Aidil Adha diimamkan oleh Ustaz Arifullah Arifin al-Banjari daripada Banjarmasin yang seterusnya merasmikan majlis tersebut di Madrasah Darul Hidayah, Kampung Sungai Imam, di sini.

Kemeriahan majlis tersebut juga diserikan dengan sambutan menerusi hidangan juadah tradiso masyarakat Sabah antaranya kelupis, buras, ayam masak palekko dan banyak lagi.

Yang DiPertua PAS Tawau, Mohamad Husain yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah meluangkan kesempatan memberi ucapan pada majlis tersebut.

Antara dilontarkannya adalah ingatan supaya setiap peserta ibadah korban memastikan agar membeli haiwan korban yang memenuhi syarat dan sempurna menurut syarak untuk dikorbankan.

Sebanyak 17 lembu dikorbankan di ketiga-tiga Dun tersebut dan penyertaan masyarakat menyaksikan kesatuan umat Islam yang terus utuh khususnya di daerah tersebut. - HARAKAHDAILY 25/8/2018

IMG 20180825 WA0015

KUALA LUMPUR: Orang Islam yang mengadakan undang-undang atau peraturan berlainan dari syariat ditetapkan Allah sebenarnya telah menyamai tindakan sama dilakukan oleh orang Yahudi dan Kristian.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, orang Yahudi dan Kristian walaupun percaya kepada tuhan tapi membuat undang-undang sendiri dalam perkara yang tidak diizinkan Allah.

Sedangkan menurutnya, orang Islam mengimani dengan pujian bahawa Allah adalah tuhan sekalian alam dengan makna menjadikan, mencipta, mengada dan menguruskan peraturan-peraturan bagi makhluk-Nya.

"Kami beribadat kepada Allah Taala, ikhlas kerana Allah Taala. Memperhamba diri kepada Allah Taala, tidak beribadat kepada yang lain daripada Allah. Tidak menyembah yang lain daripada Allah. Tak mengadakan hukum syariat dalam perkara yang tidak diizinkan Allah. Ini beza.

"Kami buat ibadat kerana Allah Taala. Tak ada riak, tunjuk-tunjuk ke orang. Tak ada ujub, kagum dengan diri sendiri. Tak ada sum'ah, nak memasyhurkan diri, tidak! Ikhlas kerana Allah Taala," kupasnya dalam Kuliah Dhuha Jumaat di Masjid Rusila, Marang, semalam.

Jelasnya, memang tidak dapat dinafikan ketika melaksanakan ibadah sedemikian akan diganggu oleh Syaitan, di mana hal tersebut memerlukan tazkiyah bagi membersihkan dan menghindarinya dari menjadi sifat dalam diri.

Kerana tegasnya, tujuan orang Islam adalah menghambakan diri kepada Allah dan tidak syirik dengan melaksanakan ibadah mengikut syariat dan bukan dengan cara sendiri.

Lanjut beliau, Yahudi dan Kristian juga agama-agama lain ada mereka yang belajar kitab suci di mana menerangkan mengenai kelahiran Nabi akhir zaman, Muhammad S.A.W, tetapi mereka zalim apabila menyembunyikannya.

Jelas beliau, para paderi, pendeta dan sami-sami menyembunyikan kebenaran itu dari pengikut mereka yang tidak mengerti maksud sebenar di dalam kitab suci dan menyesatkan manusia dengan pelbagai cara.

"Sudahlah mereka tahu Islam ini betul, mereka rosakkan, punahkan orang Islam. Terdapat kalangan mereka yang berusaha supaya orang Islam meninggalkan agama Islam, jadi murtad.

"Setelah orang Islam gagal dimurtadkan, mereka bawa pula ajaran-ajaran supaya orang Islam ini gelincir, gelincut. Tak apalah sembahyang puasa ikut Islam. Dalam bab politik, ekonomi dan bab lain, ikut teori-teori ciptaan manusia.

"Tak apalah, kalau sebahagian pun, (asalkan) ikut mereka. Ini masalah yang kita alami. Ataupun Islam juga, (tapi) ubah nama. Islam Liberal, Islam Sosialis, Islam Komunis, Islam Demokrasi, Islam Siyasi, Islam Hadhari.

"Bubuh nama untuk selewengkan orang daripada ajaran Islam yang sebenar. Ini cara mereka buat," terangnya di mana mereka itu juga sering mengaku sebagai anak cucu cicit Nabi-nabi terdahulu mengupas tafsir ayat 135 hingga 141 surah al-Baqarah.

Beliau juga mengingatkan agar tidak menyamai perbuatan golongan tersebut yang berbangga dengan keturunan, sedangkan manusia akan dihisab dengan amalannya sendiri dan bukannya dari amalan orang lain. - HARAKAHDAILY 25/8/2018

SIK: Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor membidas Kerajaan PH Kedah yang bercadang menggugurkan status lot Bumiputera untuk kediaman dan komersil di negeri ini.

Menurut beliau, Kerajaan PAS Kedah pada tahun 2008-2013 sangat sedar bahawa ada banyak unit bangunan kediaman dan komersil di lot Bumiputera yang dibangunkan di Kedah, tidak mampu dibeli oleh orang Melayu.

Ini kerana jelas beliau, harganya terlalu mahal ataupun lokasi lot-lot tersebut kurang sesuai seperti contoh lot yang dikhususkan sebagai kuota Bumiputera terperosok di lorong belakang, mengadap tebing, tepi lereng dan seumpamanya.

"Pun begitu, kerajaan tetap memperkenalkan polisi 50-50 berbeza daripada 30-70 kuota Bumiputera bagi kediaman dan lot komersil yang dibangunkan di atas Tanah Rizab Melayu (TRM) yang ditukar dengan TRM di tempat lain.

"Alasan utama kerajaan ialah memastikan pemilikan hartanah yang seimbang antara kaum di sesuatu kawasan kerana ianya penting untuk integrasi nasional. Alasan lain ialah sesuatu TRM yang ditukar tidak boleh kehilangan milikan Melayu sehingga 70 peratus.

"Kerana tanah ganti dalam proses pertukaran tidak lagi berada di lokasi strategik dan nilainya jauh lebih rendah dan ini membuatkan kerajaan mesti mengelak daripada membenarkan pola kependudukan dan pemilikan hartanah memisahkan rakyat negeri ini berasaskan kaum," jelasnya yang juga Adun Jeneri.

Lanjut beliau, pemaju dan pejuang kaum sering memberi alasan orang Melayu Bumiputera sudah memiliki tanah di kampung yang luas, berstatus TRM, maka bukan bumiputera mesti diberi hak dan peluang lebih banyak untuk membeli lot kediaman dan komersil di bandar.

"Tetapi mereka lupa tanah TRM di kampung berstatus pertanian, kawasan penghasilan makanan dan komoditi pertanian, serta terikat kepada syarat kegunaan tanah berdasarkan Kanun Tanah Negara (KTN) dan hanya satu perlima sahaja tanah bersyarat pertanian dibenarkan untuk dibina bangunan.

"Jumlah penduduk berasaskan kaum juga perlu diambil kira kerana kaum Melayu mewakili 75 peratus penduduk Kedah, tidak termasuk orang Siam yang menerima status Bumiputera. Maka polisi 50-50 jelas mewakili komposisi populasi rakyat Kedah.

"Pemaju mesti mematuhi polisi kerajaan, bukan kerajaan menjadi alat kepada pemaju kerana polisi 50-50 adalah pendorong proses pembangunan sesuatu kawasan baru, dan ianya mesti mengambil kira keupayaan kuasa beli penduduk negeri Kedah.

"Jangan hanya fikirkan keuntungan semata-mata, tetapi dalam masa yang sama membentuk senario yang mengekang dan menghalang dasar perpaduan dan intergrasi nasional.

Terang beliau lagi, polisi 50-50 dibantah Persatuan Pemaju Hartanah Dan Perumahan Malaysia (REHDA), DAP, MCA, komponen BN dan pertubuhan-pertubuhan yang mewakili kaum Cina yang lain.

Namun PKR pula katanya, hanya berdiam diri, walaupun secara tidak terbuka turut menggesa Almarhun Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak mengkaji semula polisi tersebut.

"Untuk rekod, selepas PRU13, Kerajaan BN pimpinan Dato' Seri Mukhriz Mahathir menghapuskan polisi 50-50 dan mengembalikan semula polisi lama, termasuk membenarkan pembangunan di atas tanah sawah padi.

"Kini kerajaan PH pula cuba membuka satu lagi 'pintu kekuasaan dan kekayaan' kepada pemaju dan bukan bumiputera di negeri ini, hanya akan menyebabkan mereka berseronok memalu gendang raya dan tarian naga.

"Gemok montellah mereka berbanding Melayu yang masih rendah kuasa beli akan kekal terperosok di kampung dan pinggir hutan dan akan menyebabkan jurang pemisah antara kaum makin melebar serta penguasaan lokasi strategik berasaskan kaum pun hampir sempurna," sinis beliau.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Kedah, Tan Kok Yew berkata Kerajaan PH negeri Kedah bercadang untuk menggugurkan status lot bumiputera di negeri ini.

Katanya, sebuah jawatankuasa khas bagi mempertimbangkan cadangan menggugurkan status lot bumiputera bagi lebih 1,000 unit kediaman dan komersil yang gagal dijual dalam tempoh sejak 10 tahun lalu akan ditubuhkan.

Sanusi yang juga merupakan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Kedah menambah, jika tindakan mempersoalkan langkah terbaru Kerajaan PH ini akan menyebabkan beliau dituduh anti perniagaan dan rasis, maka beliau bersiap sedia untuk menerimanya. - HARAKAHDAILY 24/8/2018

PHAN RANG, Vietnam: Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS Pusat (PASRelief) dengan kerjasama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) telah melaksanakan ibadah korban untuk umat Islam di wilayah ini semalam.

Delegasi PASRelief itu diketuai, Ahli Parlimen Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Rosni Adam bersama enam anggota lain, termasuk dari kumpulan Facebook Titian Kasih.

Menurut Ustaz Tarmizi, misi ini dilakukan kerana umat Islam yang merupakan minoriti di Vietnam hidup dalam keramaian rakyat beragama Buddha di mana mereka jarang diziarahi masyarakat Islam dari negara lain.

Tambah beliau, ini dirumitkan lagi dengan wujudnya dua kumpulan Islam di sana iaitu Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Cham Bani yang masing-masing menguasai empat dan tujuh masjid.

Jelas beliau, program ini juga merupakan antara inisiatif kumpulan Ahli Sunnah Wal Jamaah untuk mendekatkan diri dengan kumpulan Cham Bani dan seterusnya menarik mereka kembali kepada fitrah Islam yang sebenar.

Sebanyak 10 lembu dan 50 kambing telah disumbangkan untuk dikorbankan dan dagingnya diagihkan kepada penduduk Islam di sini yang kebanyakan mereka adalah petani dan penternak miskin.

Beliau juga dalam pada itu, menyeru orang ramai untuk terus memberi sumbangan kepada PASRelief demi menjalankan misi membantu saudara se-Islam di serata tempat di dunia ini.

Sumbangan boleh dilakukan untuk Tabung Kemanusiaan PASRelief di akaun Maybank 5640 7061 2333 atau menghubungi Pengarahnya, Muhammad Sanusi Md Nor di talian 012-596 9220. - HARAKAHDAILY 24/8/2018

KOTA BHARU: Tindakan Kerajaan Persekutuan membatalkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dianggap satu lagi langkah tergesa-gesa.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, sekiranya dakwaan itu benar kerajaan terpaksa membayar pampasan lebih besar daripada kos asal projek tersebut.

Katanya walau pun berlaku perubahan pentadbiran kerajaan persekutuan, namun sebarang pembangunan yang melibatkan kepentingan rakyat tidak boleh dihentikan begitu sahaja.

“Jangan buat keputusan yang tergesa-gesa dalam isu ECRL, kalau boleh kerajaan kena buat semakan dahulu kerana ia akan memberi kesan kepada ekonomi negara kerana terpaksa membayar pampasan.

“Walaupun ada kesan positif dan negatif dalam isu ini, tetapi pada pandangan kita aspek positif lebih banyak sebab itu kita dari awal lagi menyokong projek ECRL,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Ibadah Qurban Jama’ie Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) di Padang Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra di sini semalam.

Baru-baru ini Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan projek ECRL dibatalkan ketika lawatan kerja ke Beijing, China. - HARAKAHDAILY 24/8/2018

KUALA LUMPUR: Perlu ada individu wakil rakyat pembangkang sebagai 'check and balance' dalam kerajaan bagi menyampaikan suara keseluruhan rakyat bertujuan mewujudkan pentadbiran kerajaan negeri khususnya di Selangor ke arah lebih berwibawa dan penuh integriti agar keyakinan rakyat tidak berbelah bahagi kepada kerajaan yang dipilih.

Menurut calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) N.32 Seri Setia, Dr Halimah Ali, daripada suara-suara wakil rakyat pembangkang yang sering membawa isu rakyat akan berperanan sebagai pendesak dan suara tekanan kepada kerajaan supaya sentiasa beri perhatian terhadap keselesaan dan kebajikan rakyat di Selangor.

"Pengalaman saya yang lalu yang telah saya buat, saya wujudkan 'task force' untuk saya tangani gejala sosial, saya wujudkan 'task force' denggi, saya wujudkan 'task force' untuk infrastruktur inilah isu-isu yang agak lebih kurang sama dan sebagainya.

"Jadi, segala jabatan dan agensi yang berkenaan selain daripada pimpinan masyarakat, di sini ahli masjlis perbandaran, persatuan penduduk dan sebagainya, NGO-NGO juga perlu digembelengkan supaya rakyat terbela dan menikmati hak sama rata," katanya kepada Harakah sewaktu turun berkempen di Flat Desa Mentari di sini, semalam.

Ujarnya lagi, lawannya Halimey Abu Bakar daripada Pakatan Harapan sekurang-kurangnya tidak perlu terus berjanji kerana parti kerajaan itu telah memegang tampuk pemerintahan di peringkat pusat secara keseluruhan termasuk di Negeri Selangor.

"Mereka (kerajaan Pakatan Harapan) dah pegang tampuk pemerintahan dan telah memiliki kuasa sepenuhnya dalam kerajaan, jadi apa perlu tunggu lagi. Mereka boleh laksanakan pelbagai kemudahan kepada rakyat namun mengapa keadaan rakyat khususnya di Dun Seri Setia masih sama.

"OKlah, bila dia cakap nak perjuangkan rakyat pada saya, dia (Halimey) tak ada pun kalau tak menang (PRK N32) pun sekurang-kurangnya menteri besarnya dari parti yang sama boleh buat apa yang Halimey nak perjuangkan, tetapi kenapa sekarang tak boleh buat? Dia dah ada kuasa, menteri KPT pun dari parti yang sama, boleh buat, tidak perlu tunggu dia (Halimey) menang.

"Pada saya berbeza dengan pendirian kami sebagai pembangkang yang menjadi semak dan imbang di kerajaan Selangor, saya boleh bangkitkan sehingga diorang (kerajaan) boleh buat. Itu bezanya dan kelainan saya semasa menjadi suara pembangkang dalam kerajaan Selangor pada penggal lalu," katanya.

Jelasnya, itulah tujuan kenapa perlu ada 'check and balance' dari pihak pembangkang dalam kerajaan Selangor yang berperanan menegur kerajaan khasnya apabila melibatkan isu rakyat. – HARAKAHDAILY 23/8/2018

KUALA NERUS: Program Korban Perdana dan Kenduri Perdana anjuran Pusat Khidmat Parlimen Kuala Nerus yang diadakan di Padang Batu Enam ternyata memberikan peluang kepada masyarakat tempatan saling berkerjasama membantu segalanya berjalan lancar.

Tiga ekor lembu yang disembelih telah diagihkan dan diproses untuk majlis Kenduri Perdana pada sebelah petang manakala sembelihan diadakan sekitar jam 10 pagi di kediaman Dato' Dr Mohfd Khairuddin selaku Ahli Parlimen Kuala Nerus di Kampung Baru, Seberang Takir.

Beliau turut sama menyembelih binatang korban dan gotong royong menyediakan masakan untuk kenduri perdana.

Acara tahunan sejak 2013 itu ternyata mendapat sambutan baik dari rakyat tempatan dan sekali gus membuktikan kebersamaan untuk menghayati erti pengorbanan sebenar.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program tersebut dan mengharapkan aktiviti itu boleh dianjurlan pada masa akan datang. – HARAKAHDAILY 23/8/2018

TITIWANGSA: PAS Kawasan Titiwangsa telah melaksanakan ibadah korban sempena Aidil Adha dengan menyembelih lima lembu pada majlis yang diadakan di Markaz PAS Darul Ummah, di sini semalam.

Majlis diadakan secara gotong-royong itu telah dibantu sekitar 100 petugas dan agihan daging korban sebanyak 170 bungkus telah disampaikan Yang DiPertua PAS Titiwangsa, Khairul Anuar Abdul Manap.

Sambutan diketuai Kamarul Arifin Zainuddin selaku pengarah program tersebut mencerminkan hubungan dan imarah ibadah tersebut masih tinggi dalam masyarakat Islam di kota metropolitan itu.

Terdahulu di lokasi sama diadakan solat sunat dan khutbah Aidil Adha yang disampaikan oleh Ustaz Ahmad Syamil Al-Hafiz dari Maahad Turath Al-Islami.

Dalam khutbah tersebut, khatib mengingatkan jamaah mengenai ketinggian pengorbanan Nabi Ibrahim A.S dan anaknya Nabi Ismail A.S, serta keyakinan mereka terhadap pertolongan Allah. - HARAKAHDAILY 23/8/2018

IMG 20180823 WA0005

IMG 20180823 WA0004