KOTA BHARU: Perletakan jawatan Nurul Izzah Anwar sebagai Naib Presiden PKR dianggap sebagai protes pemimpin PKR terhadap Pakatan Harapan (PH).

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, kekusutan yang berlaku dalam PH sekarang mungkin memberi kesan sehingga Nurul Izzah berbuat demikian.

Katanya, PH sebelum ini memberi gambaran tidak akan memberi laluan pada ahli Umno menyertai mana-mana parti dalam gabungan itu.

“Namun apa yang berlaku sekarang sebaliknya pula,” ujarnya di sini.

Rabu lepas Umno Sabah hampir lumpuh apabila 13 wakil rakyat dan 21 ketua bahagian mengisytiharkan menjadi wakil rakyat Bebas setelah keluar daripada parti itu.

Kemudian sehari selepas itu enam lagi ahli Parlimen Umno keluar parti iaitu ahli Parlimen Hulu Terengganu Dato’ Rosol Wahid, Dato’ Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Dato’ Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor).

Selain itu Dato’ Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), Dato’ Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) dan Dato’ Seri Hamzah Zainudin (Larut).

Bagaimanapun sehingga sekarang empat bekas wakil rakyat Umno menyertai Bersatu termasuk ahli parlimen Jeli Dato’ Seri Mustapa Mohamed dan ahli parlimen Bagan Serai Dato’ Dr Noor Azmi Ghazali.

Keadaan itu menjadikan jumlah ahli parlimen Bersatu meningkat kepada 16 orang berbanding 12 pada 9 Mei lepas. - HARAKAHDAILY 19/12/2018

KOTA BHARU: Ketika parti lain menghadapi masalah khususnya Umno dan Pakatan Harapan (PH) sebaliknya PAS berada dalam keadaan baik.

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, apa yang berlaku itu menggambarkan kelebihan memperjuangkan Islam.

“Alhamdulillah kita bersyukur kerana PAS dalam keadaan baik dan harmoni sekarang,” katanya kepada media ketika ditemui selepas mesyuarat Exco di Kota Darulnaim hari ini.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, beliau pernah menyarankan Umno dibubarkan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 14 dan menyertai PAS.

“Umno sekarang pada pandangan kita sudah tidak ada masa depan khususnya aspek politik. Tempohnya sudah berakhir, kerana itu kita berkawan dengan supaya mereka boleh bersama untuk kepentingan Islam,” ujarnya.

Menurutnya suasana sekarang masa yang sesuai untuk ahli dan penyokong Umno bersama PAS. - HARAKAHDAILY 19/12/2018

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) akan menganjurkan Solidariti Himpunan Suara Ummah "Justice For Adib" di hadapan Masjid Putra, Putrajaya, Jumaat, 21 Disember lusa.

Himpunan tersebut dianjurkan atas perasaan duka ummah atas kembalinya ke rahmatullah Wira Negara Pegawai Bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, malam kelmarin.

Solidariti UMMAH mengadakan himpunan tersebut berobjektif utama untuk menuntut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Waytha Moorty Punusamy meletakkan jawatan.

Sehubungan itu, UMMAH bersama NGO-NGO lain yang bersamanya menyeru rakyat untuk beramai-ramai menyertai himpunan tersebut sebagai kebersamaan mengemukakan tuntutan. - HARAKAHDAILY 19/12/2018

IMG 20181221 WA0003

KOTA BHARU: Kerajaan negeri berharap Majlis Sukan Negeri (MSN) menetapkan peraturan dan garis panduan bersukan yang selaras dengan tuntutan agama.

Menteri Besar Ustaz Dato' Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, terutamanya pakaian atlet wanita ketika riadah dan sukan hendaklah dijaga tatatertib dan batasan mengikut tatacara agama.

Katanya langkah itu dibuat bertujuan menjaga kehormatan golongan wanita.

“Ini kerana Islam sama sekali tidak menghalang sebarang aktiviti kesukanan, namun bagi atlet Kelantan hendaklah menjaga syariat, etika dan agama ketika bersukan,” katanya pada majlis penyampaian insentif kepada atlet di Dewan Teratai Kota Darulnaim semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, Ustaz Wan Roslan Wan Hamat, anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan negeri. – HARAKAHDAILY 19/12/2018

KUALA LUMPUR: Seruan kerajaan untuk para graduan melibatkan diri dalam bidang keusahawanan perlu diselaraskan dengan melakukan perubahan pada dasar dan polisi sedia ada.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin berpandangan, tidak memadai kerajaan hanya mengadakan pelaburan dalam bentuk latihan dan bantuan kewangan semata-mata.

Tetapi menurutnya, perlu juga disusun atur usaha tersebut daripada peringkat bawah termasuk menerusi sektor pendidikan kerana bidang keusahawanan sangat berkait dengan daya berdikari.

"Pada saya, menggalakkan anak muda 'involve' dalam bidang 'entrepreneurship' ini adalah amat baik, bagus. Sebab dalam sirah juga begitu, Rasulullah terlibat dalam pertanian, penternakan dan keusahawanan.

"Di sana Baginda bermuamalah dengan masyarakat Makkah, ada yang jahat, tapi Rasulullah orang yang baik. Orang baik 'Al-Amin' akan menyinari orang jahat.

"Jadi kalau Allah Taala aturkan Rasulullah begitu, kita juga boleh aturkan anak-anak muda kita begitu dengan syarat kerajaan menunjukkan kejujuran selesaikan masalah anak muda ini," ujarnya.

Galakan tersebut tegasnya, memerlukan kerajaan melakukan penyelarasan termasuk menangguhkan pembayaran pinjaman PTPTN dan mengurangkan pengambilan pekerja asing.

Selain itu katanya, amat penting juga kerajaan membuka peluang pekerjaan kepada anak muda graduan secara sepatutnya iaitu menurut kemahiran dan juga kepakaran yang mereka miliki.

Jelas jurutera muda itu, penyusunan sedemikian bukan sahaja akan membantu hasrat kerajaan mencapai belanjawan berimbang di masa depan, tetapi juga mengurangkan ketidakseimbangan yang menjurang. - HARAKAHDAILY 19/12/2018

KUALA LUMPUR: Tindakan beberapa pemimpin dan Ahli Parlimen Umno melompat parti menyertai PH adalah langkah menyelamatkan diri dari salah laku atau tuduhan yang terkait.

Ahli Parlimen Tumpat, Dato' Che Abdullah Mat Nawi berkata, menyertai PH merupakan jalan mudah membersihkan diri untuk menjadi sesuci Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Menteri Kewangan itu katanya, telah dilepas bebas daripada kes rasuah dihadapinya semasa menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang berkait pembelian banglo di negeri tersebut sebelum ini.

"Saya dapat memahami masalah dan tekanan yang mereka (pimpinan dan MP Umno) dihadapi. Tapi bila masuk PH 'jadi' bersih ini bermakna tak ada beza Malaysia Baharu atau lama. Sama saja dengan zaman Umno-BN dulu.

"Mereka mungkin ada kesilapan kecil atau salah laku besar atau skandal tuduhan tertentu selaku Menteri-menteri sebelum ini. Dengan sebab itu mereka 'diugut dan diburu'.

"Untuk selamatkan diri dan menghindari kesusahan itu, mereka terpaksa melompat," ujar beliau yang juga Setiausaha PAS Negeri Kelantan.

Menurutnya, PH sendiri kini membuka pintu kepada bekas Umno tersebut dan dengan penyertaan tersebut mereka itu dianggap bersih dari palitan yang ada.

Berdasarkan senario mutakhir, beliau percaya bekas Umno tersebut walaupun ada yang mengisytiharkan diri sebagai Bebas, tetapi akan menyertai salah satu parti komponen PH.

Bagaimanapun, beliau melihat pada ketika ini Bersatu adalah parti yang menjadi pilihan mereka di mana keadaan tersebut menimbulkan pula rasa kurang senang pimpinan PH lain.

Dato' Che Abdullah turut menyatakan keyakinannya bahawa Ahli Parlimen PAS tidak akan melompat parti kerana jelas mereka itu bersih dari palitan dan tuduhan seumpama.

"Alhamdulillah MP kita bersih, tiada tekanan untuk menyelamatkan diri. Cita-cita perjuangan kita ni bukan nak jadi Menteri, bukan nak jawatan, tapi memperjuangkan prinsip.

"Jadi, sesiapa yang nak memperjuangkan prinsip, dia akan tetap bersama dalam PAS," ujarnya melihat pembawaan PH kini sebenarnya masih mewarisi sifat dan tabiat Umno-BN dahulu. - HARAKAHDAILY 18/12/2018

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (Ummah) bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Melayu menuntut Menteri Perpaduan, Waytha Moorthy, Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran dan Ahli Exco Negeri Selangor V. Ganabatirau meletak jawatan segera serta didakwa.

Ini berikutan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim semalam selepas mengalami kecederaan parah akibat dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman pada 27 November lalu.

Pengerusi Ummah, Aminuddin Yahya berkata mereka perlu didakwa dan meletakkan jawatan segera kerana gagal menangani kes rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman sehingga timbulnya ketegangan.

Katanya, satu memorandum akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat ini bagi menuntut keadilan di atas kematian Muhammad Adib.

Menurutnya, terdapat lima tuntutan yang dikemukakan antaranya menggesa pihak polis membuat siasatan segera mungkin terhadap pesalah dan perlu dikenakan hukuman mati di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan jika disabit kesalahan.

Aminuddin berkata, semua moratarium terhadap hukuman mati yang sedang berlangsung mesti dibatalkan dan semua unndang-undang yang memperuntukkan hukuman mati mesti dilaksanakan sepenuhnya.

Dalam masa yang sama, beliau turut menuntut pihak yang berbohong mengatakan Adib dilanggar kenderaan bomba bukan dipukul mesti memohon maaf dan minta pihak berkuasa menyiasat dakwaan mereka yang memberi fitnah kepada pihak luar tentang rusuhan tersebut.

"Kami akan berkumpul di Masjid Putra, Putrajaya pada Jumaat ini selepas solat bagi menyerahkan memorandum kepada Tun Dr Mahathir Mohamad atas semua tuntutan telah dikemukakan.

"Ini bukan rusuhan kaum atau agama tetapi menuntut keadilan untuk Allahyarham Adib," katanya dalam sidang media, hari ini.

Aminuddin meluahkan rasa kecewa kerana mereka yang bertanggungjawab di atas kematian Adib masih lagi bebas dan tiada pendakwaan dikenakan.

"Di mana keadilan dan pertimbangan kemanusiaan oleh pemerintah sekarang?" soalnya. – HARAKAHDAILY 18/12/2018

 

KUALA KEDAH: Lebih 1,000 sanak saudara dan penduduk mengiringi jenazah Alllahyarham Mohammad Adib Mohd Kassim yang diterbangkan dari pangkalan TUDM Subang.

Jenazahnya tiba di Tebengau menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mendarat di padang Sekolah Rendah Kebangsaan Tebengau kira-kira jam 10.30 pagi.

Kemudian jenazah dibawa ke Masjid Tebengau disolatkan sebelum dibawa ke rumahnya di Kampung Tepi Laut, Tebengau.

Turut mengiringi wira tersebut Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakrurazi dan pimpinan PAS Kedah serta kerajaan negeri.

Lebih mengharukan lagi arwah dijangka akan melangsungkan perkahwinan pada 22 Disember ini.

Beliau menghembuskan nafasnya terakhir pada kira-kira jam 9.41 malam tadi. Muhammad Adib mengalami kecederaan parah ketika bertugas dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman 27 November lalu. - HARAKAHDAILY 18/12/2018

Orang ramai sambut jenazah

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang melahirkan rasa sedih menerima berita pemergian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim malam ini.

Beliau menyatakan demikian menerusi laman Facebook, mala mini, sebagaimana di bawah.

Rasa sedih menerima berita malam ini, pemergian Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang menjadi mangsa dalam tragedi rusuhan di hadapan kuil Sri Maha Mariamman.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atasnya, diampunkan segala dosa-dosanya dan ditempatkan di kalangan para syuhada dan orang yang soleh.

Kita menjadi saksi pengakhiran hidupnya yang baik sehingga terkorban nyawa demi menyelamatkan dan menjaga keharmonian negara. Namun Allah lebih menyayangi dirinya dan lebih mengetahui hikmah di sebaliknya.

Kepada kaum keluarga dan sahabat sepasukan, banyakkan bersabar dan tabah dalam menghadapi ujian yang perit ini. Ingatlah, dari Allah kita datang, kepada Allah jua kita kembali.

Al-Fatihah.

Tuan Guru Abdul Hadi berkesempatan melawat Muhammad Adib di Institut Jantung Negara (IJN) pada 5 Disember lalu (foto bawah).

Muhammad Adib, 24, disahkan meninggal dunia di IJN pada jam 9.41 malam ini, - HARAKAHDAILY 17/12/2018

lawat

 

KUALA LUMPUR: Anggota bomba yang cedera dalam insiden rusuhan di kuil, Muhammad Adib Mohd Kassim disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 9.41 malam ini, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Memetik laporan Bernama, jenazah Muhammad Adib akan dibawa ke Balai Bomba Hang Tuah di ibu negara esok untuk penghormatan terakhir.

Menurut Zuraida, jenazah Muhammad Adib akan dibawa ke Kedah esok dan dijangka dikebumikan selepas solat Zohor.

Muhammad Adib cedera parah akibat diserang kumpulan perusuh di sekitar Kuil Maha Mariamman, USJ 25 pada awal pagi 27 November lalu.– HARAKAHDAILY 17/12/2018

KUALA LUMPUR: DAP tidak perlu marah ahli parlimen (MP) Umno hendak masuk Bersatu, kata Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad.

Katanya, sewaktu MP PAS keluar parti sebelum PRU14, bukankah DAP begitu gembira.

UIABeliau berkata, kalau tidak ada untung pihak DAP, maka melalutlah pemimpin DAP.

“Samalah ketika dua Adun PKR dan satu Adun DAP lompat selepas PRU 2008 sehingga jatuh kerajaan PR Perak.

“Apa yang DAP tidak kutuk tiga Adun tersebut. Tetapi apabila dua Adun Umno Perak sokong PH selepas PRU 14, maka bermoral pula senyap sunyi.

“Ertinya kalau untung DAP, maka bermoral,” katanya.

Justeru, ujar beliau pemimpin DAP tidak layak bercakap soal moral dan integriti.

“Semakin hari semakin terserlah,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 17/12/2018

KUALA LUMPUR: PAS akan terus istiqamah dengan prinsip dan dasarnya dengan tidak akan sekali-kali masuk ke gelombang politik yang sedang berpusing ketika ini.

Timbalan Presiden PAS, Dato' Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan ahli dan pimpinan PAS supaya teguh dan tenang menghadapi senario politik semasa agar tidak tenggelam akibatnya.

"Tapi jangan tak ambil kisah langsung dengan apa yang sedang berlaku, nanti perubahan berlaku dengan cepat, drastik. Di waktu mana pimpinan Umno yang lompat, ahli dia mula marah dan pening, di waktu ini kita dekati ahli-ahli Umno.

"Ada yang pening kerana bimbang masalah peribadi kena dakwa di mahkamah dan sebagainya. Ada yang lihat bahawa 'kepala' dia dah hilang ke mana, dia pening kepala. Dia nampak PAS stabil dan dia mari ke kita.

"Di waktu suasana begini, kita perlu dekati ahli-ahli Umno untuk tarik kepada kita bersama dengan kita," serunya pada Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden di Dewan PUTIK, Pengkalan Chepa, kelmarin dahulu.

Terdahulu, beliau menyingkap landskap politik negara di mana wujud kemelut dalam Kerajaan PH apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menghadapi penentangan terbuka.

Terangnya, perkara tersebut sangat serius di mana pendirian dan arahan Tun tidak dipatuhi dan disanggah oleh Menteri Kabinet sendiri yang menunjukkan perkara tersebut secara terang-terangan.

"Contoh ICERD, PM beritahu dia tak hadir Himpunan SUHAKAM sebab SUHAKAM sokong ICERD dan dia tak setuju ICERD. Ya ke dia tak setuju? Yang jelas, dalam ucapan PBB dia setuju.

"Tapi bila tengok 'mood' rakyat, juta lebih hadir, pilihan ada dua, lawan arus atau ikut arus? Tun buat keputusan ikut arus orang Melayu menolak ICERD," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kubang Krian.

Menurutnya, dalam isu Pilihan Raya Kerajaan Tempatan yang merupakan Manifesto DAP, Tun telah buat kenyataan menolak perkara tersebut di hadapan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Namun katanya, Menteri tersebut menjawab di depan wartawan bahawa dia akan tetap usahakan dalam tiga tahun akan datang untuk mengadakan juga Pilihan Raya Kerajaan Tempatan.

Begitu juga ujarnya, prestasi Menteri-menteri yang dipertikaikan serta jawapan merapu dilontarkan seperti menyuruh penoreh menoreh getah di musim tengkujuh dan tanam sawit 15 tan sehektar.

"Ada Menteri cadangkan nelayan tanam sayur belakang rumah. Prestasi Kabinet memang sangat teruk, yang menyebabkan ada tekanan dalaman. Walau bagaimanapun, (Tun) nak buat perubahan baru sangat.

"Sekarang proses sedang membesar untuk parti Bersatu menguasai Kabinet. Dalam situasi kemelut begini, dia perlukan bilangan yang besar dan 'pesta lompat' kepada Bersatu sedang berlaku untuk besarkan sayap dia.

"Dalam waktu sama, dia ada persaingan untuk mengangkat Anwar (Ibrahim) yang dia tak nak angkat. Tapi apa pilihan? Nak ubah Kabinet, baru tujuh bulan, tak mungkin sebab baru," kemukanya.

Terang beliau, perkara dihadapi Tun adalah situasi tidak pernah dialaminya sebelum ini, apatah lagi dia juga tidak punya kekuatan bertindak ketika ini terhadap para Menteri Kabinetnya.

Selain kata Dato' Tuan Ibrahim, Tun M turut hadapi desakan rakyat untuk menggugurkan Menteri Kabinetnya atau memaksa mereka meletak jawatan sebagaimana isu Waytha Moorthy. - HARAKAHDAILY 17/12/2018