undipas

TIMBALAN Presiden PAS, Datuk Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man mengajak dan menyeru masyarakat untuk mendaftar sebagai pemilih dalam usaha untuk menukar kerajaan yang sedia ada supaya negara akan ditadbir dengan lebih baik dan kebajikan golongan miskin terbela.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Semarak Kasih Ramadhan yang merupakan program tahunan Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat.

Turut hadir Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat, Dr Rosni Adam,  Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohd Noor Mohamad dan Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Selangor, Dr Rani Osman.

Acara tahunan itu diadakan bertujuan untuk meraikan golongan miskin, gelandangan dan orang ramai di sekitar Lorong Haji Taib berhampiran Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, petang semalam.

Walaupun telah memasuki tahun yang kesembilan diadakan, Semarak Kasih Ramadhan terus mendapat sambutan dan perhatian daripada orang ramai di sekitar Kuala Lumpur khususnya sekitar Jalan Raja Laut.

Sekitar 300 orang pengunjung pelbagai kaum dan agama hadir di majlis itu dan menerima sumbangan daripada Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat.

“Yang kaya terus kaya, manakala yang miskin dipinggirkan sedangkan terlalu ramai golongan yang miskin. Sebaiknya kekayaan itu dikongsi bersama agar semua orang medapat manfaat daripadanya,” ujar Tuan Ibrahim.

Beliau juga mengajak masyarakat yang hadir untuk sama-sama mendoakan PAS agar dapat memerintah Malaysia dengan jaya pada suatu hari nanti. - HARAKAHDAILY 19/6/2017

 

PASCA muktamar PAS kali ke-63 menyaksikan keseronokan dan kerisauan ahli berbicara tentang kepimpinan PAS, pelbagai ulasan telah dibuat dan dibicarakan secara terbuka tentang kepimpinan, termasuk AJK lantikan. Begitu juga dengan kepimpinan di peringkat Perhubungan PAS negeri-negeri dan Wilayah Persekutuan, semuanya diartikulasi, dibedah serta diberi markah oleh ahli-ahli jamaah mahupun pencandu politik. Di zaman siber dengan maklumat di hujung jari ini seperti menyembunyikan anak gajah dalam tudung saji mengkuang, segalanya terdedah dengan hanya beberapa hitungan detik. Dalam PAS, jauh berbeda budaya memilih pemimpin dengan parti-parti politik konvensional yang lain, ingin menonjolkan diri sebagai pemimpin maka sebelum langkah sembah akan terguling disepak ahli dan perwakilan. Ahli-ahli benci dengan budaya melobi dan berkempen serta dilihat bernafsu untuk memegang kuasa. Menjadi pemimpin jamaah Islam ini bermakna menggalang amanah yang cukup berat. Amanah kepimpinan yang akan dipertanggungjawabkan di hadapan sang Pencipta, maka pimpinan PAS di semua peringkat wajib bercermin dan menilai diri.

Menurut Mustafa Masyhur dalam bukunya ‘Jalan Dakwah Antara Qiyadah dan Jundiyyah’, kepimpinan dalam jama’ah Islam, natijahnya besar dan amanahnya berat oleh kerana beberapa sebab yang akan kita sebut setengahnya darinya. Menjadi kemestian kepada setiap individu dan pemimpin untuk sama-sama merasakan natijah yang besar serta amanahnya yang berat itu untuk menghasilkan kerjasama dalam memikul bebanan tersebut secara bersama.

Natijah yang besar disebabkan luasnya bidang kerja berserta berbagai cabangnya, kerana Islam adalah agama yang menyeluruh serta sempurna. Islam menyusun semua urusan hidup bagi individu, masyarakat dan negara serta dituntut supaya kita melaksanakannya dalam seluruh bidang hidup kita.

Tanggungjawab pemimpin besar dan berat disebabkan beratnya matlamat dan tujuan yang kita berusaha ke arahnya. Allah adalah sebagai matlamat, agama Allah di muka bumi adalah tujuan (dengan mendirikan kerajaan Islam yang sejagat yang diketuai oleh Khalifah). Amanah kepimpinan berat kerana luasnya medan kerja yang terus bertambah sehingga hampir merangkumi seluruh keluasan dunia.    

Tanggungjawab pemimpin besar kerana besarnya jumlah bilangan orang yang termasuk ke dalam tanggungjawabnya. Apatah lagi dengan kemasukan mereka yang terus bertambah dalam berbagai peringkat. Begitu juga dengan mereka yang telah sampai kepadanya dakwah dan berhajat kepada penyediaan, serta merta yang tidak sampai kepadanya dakwah hendaklah dilaksanakan supaya dakwah mesti disampaikan kepada mereka.

Amanah kepimpinan berat kerana tanggungjawab pemimpin mengarahkan setiap anggota jama’ah dan memudahkan punca-punca kerja dan hasilnya dalam bidang dakwah untuk mereka. Pemimpin bertanggungjawab mengenai cara pengambilan faedah yang baik dari semua keupayaan tersebut untuk amal Islami.

Amanah kepimpinan berat kerana besarnya natijah yang akan menyusul hasil pencapaian tujuan yang diusahakan oleh jama’ah. Kebaikan yang akan dicapai oleh kerana penetapan agama Allah tersangatlah besar di mana (dengan izin Allah) jangkauan ufuknya akan merangkumi sejagat dan jangkauan masanya akan meliputi genarasi manusia yang akan datang.

Amanah kepimpinan dalam jama’ah begitu berat dan besar oleh kerana banyaknya permasalahan dunia Islam yang mendesak dan saling berkaitan serta setiap permasalahan memerlukan kepada usaha dan jihad, memerlukan sumbangan dan pengorbanan. Tidak mungkin boleh diabaikan mana-mana masalah. Apa sahaja bantuan yang boleh mestilah diberikan iaitu dalam suasana keupayaan kita yang terbatas – kerana kita masih lagi menyeru ke arah kewujudan sebuah negara Islam – dan dalam keadaan harakah terdedah kepada tekanan, pemulauan serta tipu daya.

Amanah kepimpinan dalam jama’ah kita berat kerana orang Islam di medan sedang memerhatikan jama’ah kita sebagai tempat diletakkan cita-cita yang diharapkan untuk menyelamatkan mereka terhadap apa yang dialami dari suasana yang amat buruk, serta apa yang dialami, seperti pencabulan dan pembunuhan. Menjadi kewajipan ke atas jama’ah Islam dalam menyumbangkan segala daya usaha untuk menjadikannya berada di tahap kepercayaan yang diserahkan kepadanya dan dapat menghasilkan cita-cita yang diharapkan itu.

Amanah kepimpinan berat dan besar kerana panjangnya jalan dakwah di samping banyak halangan, banyak tempat kegelinciran serta liku-liku. Keadaan ini menuntut kebijaksanaan pemimpi untuk mengawal barisan dan menyebarkan semangat kesabaran serta membentuk jiwa yang tahan, pemimpin harus mampu membangkit semangat dan keazaman pengikut untuk melepasi halangan-halangan dan mengawal diri dari bahaya-bahaya yang menghalangi, serta juga perkara yang diperlukan untuk tujuan ini, seperti tarbiyyah, penyedaran yang berterusan, kesejahteraan barisan, dan istiqamah dalam fikiran.

Berdasarkan huraian yang dipetik daripada maestro gerakan Ikhwanul Muslimin ini maka semua peringkat pimpinan wajar untuk membetulkan jurus serta tapak langkah sembah. Ini penting agar gerakan Islam ini terpelihara daripada fitnah, berdaya saing untuk melangkah di medan operasi. PAS dengan nuansa politik dakwah,memerlukan pimpinan yang mendekatkan diri dengan Allah, menyintai masjid, tidak membina jarak dengan pengikut serta mengerah seluruh kudrat untuk perjuangan. Ahli-ahli jamaah diorientasikan oleh kepimpinan, maka kepimpinan yang bertaqwa akan melahirkan denai perjuangan yang menepati manhaj Rabbani. Jom kita bercermin! - HARAKAHDAILY 18/5/2017

Penulis ialah AJK Lujnah Tarbiah dan Perkaderan PAS Pusat.

DALAM kalangan masyarakat hari ini menganggap dakwah sebagai tanggungjawap yang digalas oleh seseorang yang bergelar ustaz. Dakwah dilihat sebagai “lambang Islam” yang hanya layak bagi golongan berjubah dan berkopiah, manakala bagi mereka yang bukan bergelar ustaz dikecualikan daripada kerja-kerja dakwah.
       
Namun begitu, tanggapan itu meleset daripada erti sebenar dakwah. Konsep dakwah boleh ditafsirkan sebagai sebuah program lengkap yang merangkumi semua ilmu pengetahuan yang diperlukan oleh manusia bagi menjelaskan tujuan dan matlamat hidup supaya mendapat hidayah dan panduan daripada Allah. Seseorang pendakwah perlu memiliki beberapa kriteria dan ciri-ciri yang boleh menarik sasaran pendakwah.
       
Pertama, menyampaikan dengan hikmah (kebijaksanaan). Firman Allah SWT maksudnya: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik.” (surah An-Nahl, 16: 125).

Perkara asas yang perlu dimiliki bagi seorang pendakwah adalah dengan menyiapkan diri dengan ilmu pengetahuan. Apabila kita menyeru manusia, menegur atau menasihati mereka, kita perlu ada persediaan dan persiapan ilmu. Jangan menegur manusia tanpa persiapan dan terus menghukum “Perbuatan kamu ini salah, cara berwuduk kamu salah”. Manusia akan bertanya mengapa salah. Jika kita memberi jawapan ustaz kita mengatakan salah, orang yang ditegur juga mempunyai ustaz, ustaznya mengajar begitu. Sebab itu perlu adanya persediaan ilmu, setidak-tidaknya perlu memiliki beberapa fakta dan dalil yang difahami, dan dapat berhujah menggunakan alasan-alasan tersebut. Janganlah pula berhujah secara semberono.

Kedua, mempunyai kemahiran. Kemahiran ialah kecekapan dan kebijaksanaan dalam melakukan sesuatu. Kemahiran perlu disandarkan dengan ilmu pengetahuan supaya dapat mengawal dan menyusun strategi untuk menyebarkan dakwah. Kadangkala seseorang yang memiliki ilmu yang tinggi tetapi tidak mampu menyampaikan mesej dengan cara yang berkesan, seterusnya akan menyebabkan sasaran dakwah tidak sampai pada target yang sepatutnya. Antara kemahiran yang diperlukan bagi seorang pendakwah adalah kemahiran berhujah, pengucapan awam, menulis, bersosial, psikologi, interaksi dan komunikasi.

Ketiga, menggunakan pemikiran kontemporari. Seorang pendakwah mesti melihat kepada situasi sekeliling dan keadaan semasa. Dia harus mengambil kira kepelbagaian sikap, perangai dan jiwa sasaran dakwah. Maka sudah pasti cara pendekatan yang berbeza mengikut target sasaran. Selain itu, hindari cara berfikir yang mudah menghukum orang lain. Permulaan dakwah seharusnya dengan tindakan yang bijak. Satu persatu masalah perlu dianalisis dan ditafsir dengan pemikiran yang segar. Tidak bersifat menghukum tetapi mencari penyelesaian.

Terakhir, menasihati sebagai seorang kawan rapat. Sisi pandangan sindir atau serong kepada sasaran dakwah adalah satu “langkah sumbang” yang perlu dielakkan bagi setiap pendakwah. Cara melihat sebegini akan mempengaruhi cara pendekatan pendakwah dalam menyampaikan mesej kepada kumpulan sasaran. Akhirnya mereka lari dan menimbulkan ketengangan antara kedua-dua pihak. Oleh itu, seorang pendakwah perlu menggunakan pendekatan yang boleh memberi ruang yang selesa kepada mereka untuk meluahkan tanpa malu dan segan. Kesannya, mereka akan menjadikan pendakwah tersebut sebagai teman rapat yang boleh dipercayai dan senang diajak berbincang.
       
Tuntasnya, tugas pendakwah bukan dilihat dari pemakaiannya sahaja tetapi dilihat melalui kriteria dan personaliti yang disebutkan di atas. Usaha ini bukanlah tertumpu kepada golongan ustaz dan ustazah sahaja, akan tetapi masyarakat sekeliling juga turut mengambil bahagian dalam melaksanakannya. Kemenangan dalam peperangan bergantung kepada strategi yang diatur, begitu juga dengan berdakwah. Sekiranya tindakan lebih pantas daripada berfikir, maka usaha itu bagaikan mencurah air ke daun keladi. – HARAKAHDAILY 6/4/2017

Penulis ialah pelajar Universiti Sains Islam Malaysia

DUNGUN: Semua fitnah yang dilemparkan oleh parti komponen PH adalah bagi memadamkan cahaya perjuangan PAS yang berprinsipkan Islam.

Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, usaha yang dilakukan musuh itu dicetuskan supaya orang luar akan menjauhi PAS, serta yang sudah menjadi ahli akan meninggalkannya.

"Matlamat mereka perjuangan yang membawa syiar Islam akan menjadi malap.

"Itu matlamat mereka, tetapi apa yang berlaku sebaliknya di peringkat PAS Pusat telah berlaku pertambahan ahli.

"Dan semangat ahli-ahli pun sangat tinggi, sebagaimana di Negeri Terengganu ini, begitu bersemangat bagi mengisi kemenangan di peringkat negeri," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, selepas Program Masih Ada Yang Sayang, agihan bantuan kepada ibu tunggal, di Balai raya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Taman Setia, Al-Muktafi Billal Shah, Bukit Besi semalam.

Jelasnya, melalui pertambahan ahli PAS secara tidak langsung di atas rasa kesedaran dan diiringi keyakinan akan menjuruskan mereka untuk menjadi tenaga pengerak.

"Dan pengerak inilah yang akan dapat memajukan PAS, boleh bergerak lebih maju untuk masa yang akan datang," tegasnya

PAS relevan di Dungun

Katanya, PAS akan kekal relevan di Dungun bagi memenangi hati rakyat untuk mempertahankan Parlimen Dungun.

Beliau berkata, di antara bagi memastikan PAS terus menguasai Parlimen ini, beberapa langkah akan diambil dan dikenalpasti agar sentiasa menjuarai hati rakyat Dungun.

"Kita tentulah melihat didalam analisis kita apa kekuatan yang kita ada di setiap Dun di Parlimen Dungun berbanding dengan lawan kita dan seterusnya melihat apa dia peluang-peluang yang ada untuk kita terokai.

"Dan perlunya bagi melihat ancaman-ancaman yang ada, itu akan dilihat di dalam konteks kepimpinan di peringkat Parlimen Dungun," ujarnya.

Menurutnya, setakat ini masih belum lagi mendengar perkara-perkara negatif yang boleh mengugatkan kedudukan PAS di Kawasan Dungun.

Tambahnya, rakyat akan melihat perbezaan di antara parti yang memerintah kerajaan dengan yang belum menerajui kerajaan untuk diberikan mandat secara lebih besar lagi pada masa akan datang, untuk menjadi peneraju negara.

"Seterusnya di kalangan ahli perlu sentiasa mempromosikan PAS kepada masyarakat sendiri, agar mereka yang masih tidak bersama PAS akan memilih untuk bersama perjuangan ini," ujarnya. – HARAKAHDAILY 21/2/2019

HULU LANGAT: Calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Semenyih, Kuan Chee Heng menyifatkan sandiwara politik Pakatan Harapan (PH) menyusahkan rakyat.

Ujarnya, fokus kerajaan PH seharusnya memberi tumpuan ke arah agenda membangunkan dan membaik pulih keadaan ekonomi negara.

"Macam pepatah Melayu, mereka boleh tidur satu kelambu tapi tetap mimpi lain-lain.

"Hari ini mereka boleh jadi kawan, esok mereka boleh jadi musuh, itulah sikap orang politik," katanya kepada Harakahdaily ketika diminta mengulas mengenai timbul desas-desus gerakan menjatuhkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau menyokong sepenuhnya kepimpinan Tun Mahathir turut menyatakan rasa kesalnya apabila kabinet di bawah Tun Mahathir masih lemah memainkan peranan membantu Perdana Nenteri untuk mentadbir negara.

Aktivis masyarakat yang lebih mesra dikenali Uncle Kentang itu tetap optimis memperjuangkan nasib rakyat dan beliau berani berjuang bersendirian tanpa melibatkan diri dalam mana-mana parti politik di Malaysia ini.

Katanya lagi beliau tidak berminat untuk berpolitik seperti orang politik tetapi ikhlas dan ingin bekerja untuk rakyat sepertimana dilakukan sebelum ini.

"Orang politik mereka hanya mementingkan politik mereka sahaja, mereka bukan nak jaga rakyat, bukan nak jaga kebajikan rakyat," katanya ketika ditemui hari ini.

Justeru itu, Chee Heng memilih masuk bertanding pada PRK kali ini sebagai cara ‘menjentik’ kepimpinan kerajaan hari ini.

Kerusi Dun Semenyih kosong selepas kematian wakil rakyatnya Bakhtiar Mohd Nor, 57, akibat serangan jantung pada 11 Januari lalu di Hospital Kajang.

Hari mengundi bagi PRK Semenyih diadakan pada 2 Mac ini dengan hari pengundian awal ditetapkan pada 26 Februari ini.

Turut bertanding dalam PRK ini calon mewakili parti PSM, Nik Aziz Afiq Abdul, Zakaria Hanafi (BN) dan Muhammad Aiman Zainali (PH). – HARAKAHDAILY 21/2/2019

Dr Izani Hussin melakukan gimik perasmian Projek Taman Jepun.

KOTA BHARU: Pada penggal ke-13 sebanyak 5,000 unit rumah mampu milik dibina di seluruh Kelantan bagi memenuhi keperluan rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Dr Izani Husin berkata, rumah terbabit sebahagian besar sudah siap dan dalam pembinaan.

Projek tersebut dibina agensi kerajaan negeri termasuk Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) serta syarikat swasta.

“Bagaimanapun kerajaan negeri berdepan pula masalah di mana kebanyakan pembeli tidak mempunyai dokumen yang lengkap seperti penyata bank atau penyata gaji.

“Ini menyebabkan institusi kewangan terlibat sukar memberi pinjaman. Jadi Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri akan mengenal pasti pembeli yang ada dokumen,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis pecah tanah Projek Taman Jepun di Pengkalan Chepa hari ini.

Turut hadir anggota Exco Mejar (B) Dato' Md Anizam Abd Rahman; Konsul General Jepun Shinichiro Kanoya, Pengerusi Rohm Wako Dato' Yosuke Yoshioka dan Ketua Whip Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) Shaari Mat Yaman. - HARAKAHDAILY 21/2/2019

PAS pernah membantah perlombongan bauksit.

KUANTAN: Pelbagai pihak bimbang isu lama akan berulang kembali apabila kerajaan menarik balik moratorium bauksit akhir Mac hadapan.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang Andansura Rabu berkata, banyak persoalan yang belum terjawab masih menjadi misteri kepada penduduk tempatan.

Antaranya kata beliau Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu yang akan digunapakai apabila operasi bauksit dimulakan nanti.

“SOP itu masih belum diberi penjelasan kepada masyarakat setempat,” katanya di sini.

Baru-baru ini Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar dilapor berkata, tempoh moratorium bagi menghalang kegiatan melombong dan mengeksport mineral bauksit di Pahang akan ditamatkan pada 31 Mac.

Menurutnya kegiatan melombong dan mengeksport bauksit boleh dijalankan semula bermula April, namun perlu mematuhi segala SOP yang ditetapkan kerajaan.

Andansura yang juga Adun Beserah berkata, pihak kementerian terbabit juga difahamkan tidak berbincang perkara tersebut dengan Ahli Parlimen Kuantan Fauziah Salleh. - HARAKAHDAILY 21/2/2019

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menunggu dan melihat sokongan PAS terhadap kepimpinannya sekiranya terdapat usul undi tidak percaya dikenakan terhadapnya.

"Saya tunggulah kalau ada undi tidak percaya, nak tengok PAS sokong saya ataupun tidak," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas selesai lawatan rasmi ibu pejabat Kementerian Pertahanan, Jalan Padang Tembak, hari ini.

Sebelum ini, terdapat dakwaan bahawa dua parti komponen Pakatan Harapan (PH) mungkin merancang untuk menyingkirkan Tun Mahathir melalui undi tidak percaya di parlimen. – HARAKAHDAILY 21/2/2019

SETIU: Rakyat Negeri Terengganu walau di mana juga berada layak untuk memohon tanah bagi menjamin keselesaan hidup mereka selagi mana memenuhi syarat yang ditetapkan.

Exco kerajaan negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pemohon mestilah berusia 21 tahun ke atas dan anak kelahiran Terengganu serta tidak pernah menerima pemberian tanah daripada kerajaan.

“Semua yang menepati syarat layak membuat permohonan tanpa mengira latar belakang pekerjaan.

“Permohonan tanah bukan untuk orang miskin, tapi untuk orang yang belum pernah terima tanah. Silap kalau beranggapan kakitangan kerajaan tak layak mohon tanah sebab sudah kerja makan gaji,” ujarnya yang juga Adun Jabi.

Beliau berkata demikian ketika sesi dialog bersama warga Kampung Cabang 3 Oh, Kampung Jabi, Kampung Gong Dasar dan Kampung Bakap di Dewan Sivik Jabi, kelmarin.

Katanya, sekiranya pemohon pernah mendapat tanah RTB sama ada RTB pertanian atau RTB tanah kediaman, atau tanah haram yang diberikan kelulusan bayar jelas, ia dikira sudah pernah dapat tanah pemberian kerajaan dan tidak layak lagi membuat permohonan.

“Bagi mereka yang bukan kelahiran Terengganu dengan makna kod IC bukan 11, layak memohon kerakyatan Terengganu sekiranya sudah menetap di Terengganu melebihi 10 tahun.

“Dengan itu, ia akan melayakkan memohon tanah di negeri bertuah ini sekiranya permohonan kerakyatan diluluskan,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 20/2/2019

KOTA BHARU: Biarpun sebagai kaum minoriti di Kelantan namun masyarakat Tionghua sentiasa mendapat perhatian kerajaan negeri.

Malah kerajaan negeri juga membina pintu gerbang khas di Dataran Cheng Ho

di Jalan Kebun Sultan Kota Bharu sebagai menggambarkan kewujudan komuniti tersebut di Kelantan.

Selain itu seramai 59 penghulu mewakili masyarakat Cina, India dan Siam juga dilantik kerajaan negeri.

Menteri Besar Ustaz Dato’ Ahmad Yakob berkata, masyarakat bukan Islam di Kelantan merupakan golongan minoriti.

“Tetapi sumbangan mereka terhadap perkembangan ekonomi negeri adalah sangat besar.

"Dalam menjaga keharmonian sosial, kemajuan ekonomi dan kestabilan politik inilah kita memerlukan kerjasama segenap lapisan masyarakat," katanya pada perasmian Sambutan Tahun Baru Cina di Dewan Perniagaan Cina Kelantan di sini malam tadi.

Teks ucapannya dibaca Timbalan Menteri Besar Dato' Mohd Amar Abdullah.

Hadir sama Yang Dipertua Gabungan Pertubuhan Tiong Hwa Kelantan, Dato' Oie Poh Choon, ketua-ketua pertubuhan serta wakil Persatuan Tiong Hwa. - HARAKAHDAILY 20/2/2019

Tuan Guru Hashim Jasin berdoa pada majlis memacak cerucuk Kompleks Ibnu Aqil.

ARAU: PAS sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang boleh membantu bagi mendaulatkan Islam di negara ini.

Mursyidul AM PAS Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin berkata, kerjasama dengan Umno sekarang memandangkan parti itu boleh membantu ke arah memartabatkan Islam.

“Itulah bezanya setiap tindakan yang diambil PAS, kita akan memikirkan masalah berkaitan ummah.

“Sebaliknya ada pihak yang mengatakan PAS makan keliling, tetapi hakikatnya kita dengan Barisan Nasional sekarang hanyalah taawun,” katanya pada majlis memacak cerucuk Kompleks Ibnu Aqil, Kampung Sena Guar Sanji Arau semalam.

Turut hadir Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli, Ketua Dewan Ulama PAS Perlis, Ustaz Idris Yaakob dan Adun Guar Sanji Ustaz Mohd Ridzuan Hashim. - HARAKAHDAILY 20/2/2019

HULU LANGAT: Biarpun Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa PAS tidak akan menyokong Umno dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Semenyih yang sedang berlangsung ketika ini, namun ia langsung tidak menjejaskan kerjasama pembangkang.

Sambutan semakin hangat dalam kalangan masyarakat bukan Islam dengan kehadiran calon Barisan Nasional (BN) Zakaria Hanafi, 58.

Menurut Zakaria, beliau cukup bersyukur dan gembira selepas jentera Umno bersama PAS bekerjasama bersungguh-sungguh membantu beliau berkempen.

Beliau kini seolah menjadi calon pilihan rakyat Semenyih apabila walau ke mana sahaja beliau pergi pelbagai lapisan masyarakat meraikan beliau.

Walau bagaimanapun, hari ini ketika beliau turun bersama jentera kempennya, beliau telah dihalang oleh penyokong Pakatan Harapan supaya tidak berkempen di sekitar kawasan sekolah.

Akur dengan permintaan tersebut Zakaria beransur meninggalkan lokasi kempennya Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Rinching.

Beliau sempat beramah mesra sebentar dengan ibu bapa yang sedang menunggu anak-anak pulang dari sekolah.

Kerusi Dun Semenyih kosong selepas kematian wakil rakyatnya Bakhtiar Mohd Nor, 57, akibat serangan jantung pada 11 Januari lalu di Hospital Kajang.

Hari mengundi bagi PRK Semenyih diadakan pada 2 Mac ini dengan hari pengundian awal ditetapkan pada 26 Februari ini.

Turut bertanding dalam PRK ini calon mewakili parti PSM, Nik Aziz Afiq Abdul serta aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai ‘Uncle Kentang’. – HARAKAHDAILY 20/2/2019