ALLAH SWT berfirman:

أَفَرَءَيۡتَ مَنِ ٱتَّخَذَ إِلَٰهَهُۥ هَوَىٰهُ وَأَضَلَّهُ ٱللَّهُ عَلَىٰ عِلۡمٖ وَخَتَمَ عَلَىٰ سَمۡعِهِۦ وَقَلۡبِهِۦ وَجَعَلَ عَلَىٰ بَصَرِهِۦ غِشَٰوَةٗ فَمَن يَهۡدِيهِ مِنۢ بَعۡدِ ٱللَّهِۚ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ ٢٣ الجاثية

“Bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad SAW) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: Tuhan yang dipatuhinya dan dia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahui-Nya (bahawa dia tetap kufur ingkar) dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah (Petunjuk) kepadanya sesudah Allah? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar itu) tidak ingat dan insaf?” (Surah Al-Jathiah: 23)

Allah Maha Mengetahui bahawa dalam dunia ini tetap ada kalangan orang yang sombong seperti makhluk bernama Iblis yang lebih mengenali Tuhan sehingga berdailog dengannya. Begitulah diceritakan dalam al-Quran, namun Iblis tidak layak mendapat hidayah (petunjuk) ke jalan yang benar, kerana sombongnya sehingga mengangkat diri sendiri. Biarkan dia terjun dengan labu-labu kesombongannya, merasa syok sendiri, merasa dia sangat bijak, sehingga dia mati dengan kesombongannya, disebabkan menjadi kufur menentang Allah.

Iblis dibiarkan bebas mencari pengikut dan bala tenteranya sehingga akhir hayatnya, khususnya mereka yang sombong hari ini seperti menafikan apa yang diceritakan selepas mati di alam ghaib yang tidak dapat dilihat dengan pancaindera akal, mata dan telinga. Berbeza dengan Iblis yang pernah menyaksikan pun kufur juga dengan sebab sombong.

Makhluk yang zahir nyata pun tidak diketahui semua, termasuk organ yang halus dalam jasad manusia itu sendiri, seperti urat dan saraf dalam biji matanya yang paling dekat.

Firman Allah SWT:
 وَفِيٓ أَنفُسِكُمۡۚ أَفَلَا تُبۡصِرُونَ ٢١ الذاريات

“Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti ketuhanan Allah)?” (Az-Dzariyat: 21)

Allah telah menyebut kalangan ini kepada orang yang beriman dan budiman. Firman-Nya:

وَلَقَدۡ ذَرَأۡنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِۖ لَهُمۡ قُلُوبٞ لَّا يَفۡقَهُونَ بِهَا وَلَهُمۡ أَعۡيُنٞ لَّا يُبۡصِرُونَ بِهَا وَلَهُمۡ ءَاذَانٞ لَّا يَسۡمَعُونَ بِهَآۚ أُوْلَٰٓئِكَ كَٱلۡأَنۡعَٰمِ بَلۡ هُمۡ أَضَلُّۚ أُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡغَٰفِلُونَ ١٧٩الأعراف

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka Jahannam banyak dari kalangan jin dan manusia yang mempunyai hati (akal) tetapi tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata tetapi tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga tetapi tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Surah Al-A’araf: 179)

Ada kalangan mereka yang menolak adanya Tuhan (Allah), kerana tidak dapat dilihat dengan mata dan didengar dengan telinganya. Padahal dalam dirinya sendiri ada aspek akal dan roh yang ghaib tidak dapat dilihat dan didengar. Kadang-kadang ditunjukkan adanya aspek roh dan akal itu melalui pergerakan anggota jasad dalam melakukan sesuatu mengikut pilihannya, kecuali orang berpenyakit gila tidak dapat mengawal dirinya atau kanak-kanak yang belum matang kejadiannya. Namun ada kalangan yang berakal dan bijak tetapi bersifat sombong dan degil menolak perkara-perkara ghaib, kerana berlagak dia tahu segala-galanya.
 
Ada perkara yang tidak mampu dilihat dan dirasa walaupun adanya. Contohnya, dia menyaksikan adanya tenaga eletrik dengan dalil lampu bernyala, kipas berpusing, suaranya kuat luar biasa dan jentera bergerak tanpa dapat melihat tenaga eletrik dengan matanya. Namun percayalah dia tidak berani dan takutkan mati juga kalau lebih menyiasat dengan membelah wayar pembalut untuk disentuh bagi mendapatkan bukti yang nyata. Percayalah dia tidak berani melihat cahaya yang sangat kuat kerana boleh membutakan matanya. Adapun Allah SWT tiada terbanding dengan makhluk ciptaannya.
 
Kalangan seperti ini pada zaman dahulu ada yang bergelar ahli falsafah yang menolak adanya Tuhan. Apabila dia terdesak menghadapi bahaya tiada penyelamat, lalu fitrahnya percaya adanya Tuhan dan berdoa. Namun setelah selamat dia kembali sombong lagi.

Kalangan mereka menolak para Rasul a.s. pilihan Allah yang bijak dan mulia akhlaknya. Kalangan ini juga menolak Kaabah sebagai tanda kiblat yang dibina oleh Nabi Ibrahim a.s. yang disanjung oleh penganut semua agama dengan kepercayaan dan sebutan masing-masing. Namun mereka bersedia menyembah binatang yang bodoh dan menyembah patung batu yang dipahat wajahnya sangat buruk, bahkan wajah dirinya sendiri lebih cantik daripada patung yang dipahat dan diukirnya. Patung itu tidak boleh bergerak sehingga diusung ke sana dan ke mari, jauh sama sekali memberi manfaat dan mudarat.

Kalangan ini menolak halal dan haram dalam makanan dan minuman berpandukan akal semata-mata, sehingga semuanya dimakan dan diminum mengikut akal sahaja. Tiba-tiba ternyata kajian saintifik hari ini menunjukkan yang haram itu menjadi punca berbagai penyakit.

Kalangan ini juga menolak hukum menutup aurat yang diwajibkan oleh Islam, tiba-tiba meletakkan solekan dan hiasan diwajahnya supaya berwarna seperti binatang yang dikira cantik seperti monyet dan burung-burung yang tidak berakal.

Ternyata juga bahawa hubungan tanpa perkahwinan yang diharamkan oleh Islam menjadi sebab berlakunya berbagai penyakit. Adapun yang berhubung melalui pernikahan yang sah mendatangkan berkat kalau mengikut adab dan akhlak.
 
Selain itu, kalangan ini menolak hukum jenayah Islam (Qisas, Hudud dan Takzir) yang syarat-syaratnya sangat ketat tetapi menakutkan bagi tujuan menentang keganasan secara mendidik dengan ilmu Allah. Mereka tidak sedar bahawa tindakan mereka menentang hukum Allah itu membela pengganas. Padahal mereka boleh menerima segala jenis pembedahan anggota jasad bagi menyelamatkan jasad seorang manusia yang sakit. Sedangkan hukuman jenayah Islam adalah pembedahan bagi menyelamatkan masyarakat yang ramai jumlahnya.

Kalangan ini juga menolak ayat-ayat al-Quran dan menolak Hadis Rasulullah SAW khususnya perkara yang hikmahnya tidak mampu dicapai oleh akal mereka yang tetap mempunyai kelemahan. Mereka menolak Isra’ Mikraj dan menolak cerita Nabi Ibrahim sedia mengorbankan putera kesayangannya, Nabi Ismail kerana mentaati perintah Allah sebagai satu ujian yang kemudian dibatalkan.  

Al-Quran mendedahkan banyak aspek yang lain dalam sejarah silam yang benar, seperti adanya negara yang membina tamadun di atas kezaliman memperhambakan rakyat yang tidak disentuh oleh pengkaji barat, tetapi tamadun yang dibina berkonsep kezaliman inilah yang dibangga dan dipuja. Kejadian alam angkasa lepas yang dibuktikan benarnya oleh para saintis terkini, sehingga ada saintis yang bertugas di NASA USA, Rusia dan Eropah menganut Islam setelah mengkaji terjemahan al-Quran berkenaan Isra’ Mikraj dan Lailatul Qadar.

Ada juga yang mengkaji al-Quran dan perbandingan dengan kitab-kitab agama lain, sehingga akhirnya mengisytiharkan menganut Islam. Para ahli undang-undang yang bersidang di Belanda selepas Perang Dunia Pertama menjadikan al-Quran rujukan penting bagi menggubal undang-undang antarabangsa dan beberapa Piagam sehingga menjadi contoh kemudiannya mengikut perkembangan dan perubahan.

Ada pun kalangan yang bercakap besar menghina Islam itu loyar buruk sahaja atau ilmuan syok sendiri. Sila siasat latar belakang pengajian dan akhlaknya walaupun berjela ijazahnya?

Apa sangat mereka yang kerdil di Malaysia ini yang mengaku Islam kerana takutkan masyarakat umum, tetapi mahukan Islam tunduk kepada kemahuan akalnya yang lemah dan ilmunya masih sedikit kalau dibandingkan dengan tokoh yang lebih besar telah menerima Islam seperti, Muhammad Asad dan Maryam Jamilah yang asalnya Yahudi, seniman Yusof Islam dan lain-lain yang mengkaji secara perbandingan dengan mendalam dan ikhlas.

Perlu diketahui bahawa banyak ayat-ayat al-Quran dan hadis dahulunya ditolak kerana tidak dicapai oleh akal manusia dan ternyata salahnya akal manusia dan kajiannya. Setelah adanya penemuan terkini, nyatalah benarnya al-Quran Kitab Allah daripada Ilmu dan Kalam-Nya yang sempurna setelah memakan masa dan generasi. Di sinilah arahan Allah kepada orang-orang yang beriman supaya menyerah diri secara mutlak kepada Allah yang Maha Suci daripada kelemahan dan kekurangan dan Rasulullah SAW pilihan Allah dan tidak mutlak kepada yang lain.

Firman Allah:

 إِنَّمَا كَانَ قَوۡلَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ إِذَا دُعُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ لِيَحۡكُمَ بَيۡنَهُمۡ أَن يَقُولُواْ سَمِعۡنَا وَأَطَعۡنَاۚ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ ٥١ النور.

“Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak kepada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: Kami dengar dan kami taat: dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan.” (Surah An-Nur: 51)

Firman Allah:

وَمَا كَانَ لِمُؤۡمِنٖ وَلَا مُؤۡمِنَةٍ إِذَا قَضَى ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ أَمۡرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ ٱلۡخِيَرَةُ مِنۡ أَمۡرِهِمۡۗ وَمَن يَعۡصِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ فَقَدۡ ضَلَّ ضَلَٰلٗا مُّبِينٗا ٣٦ الأحزاب

“Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.” (Surah Al-Ahzab: 36)

Allah mengajar hamba-Nya yang beriman dan budiman termasuk Rasul supaya berdoa memohon hidayah setiap rakaat solatnya.

اهدنا الصراط المستقيم (الفاتحة)

“Wahai Tuhan Kami! Tunjuklah kepada kami jalan yang betul”

Adapun mereka yang sombong itu jauh sekali daripada bersolat. Namun Allah memerintah konsep tidak ada paksaan dalam agama dengan firman-Nya:

لَآ إِكۡرَاهَ فِي ٱلدِّينِۖ قَد تَّبَيَّنَ ٱلرُّشۡدُ مِنَ ٱلۡغَيِّۚ فَمَن يَكۡفُرۡ بِٱلطَّٰغُوتِ وَيُؤۡمِنۢ بِٱللَّهِ فَقَدِ ٱسۡتَمۡسَكَ بِٱلۡعُرۡوَةِ ٱلۡوُثۡقَىٰ لَا ٱنفِصَامَ لَهَاۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ ٢٥٦ ٱللَّهُ وَلِيُّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ يُخۡرِجُهُم مِّنَ ٱلظُّلُمَٰتِ إِلَى ٱلنُّورِۖ وَٱلَّذِينَ كَفَرُوٓاْ أَوۡلِيَآؤُهُمُ ٱلطَّٰغُوتُ يُخۡرِجُونَهُم مِّنَ ٱلنُّورِ إِلَى ٱلظُّلُمَٰتِۗ أُوْلَٰٓئِكَ أَصۡحَٰبُ ٱلنَّارِۖ هُمۡ فِيهَا خَٰلِدُونَ ٢٥٧  البقرة

“Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat. Kerana itu barangsiapa yang ingkar kepada Thaghut (pelampau sempadan Allah) dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali (simpulan) yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (256) Allah Pelindung orang-orang yang beriman; Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kekafiran) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, pelindung-pelindungnya ialah syaitan, yang mengeluarkan mereka dari cahaya kepada kegelapan (kekafiran). Mereka itu adalah penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya. (257)” (Surah Al-Baqarah: 256-257)

Allah juga berfirman:

وَقُلِ ٱلۡحَقُّ مِن رَّبِّكُمۡۖ فَمَن شَآءَ فَلۡيُؤۡمِن وَمَن شَآءَ فَلۡيَكۡفُرۡۚ إِنَّآ أَعۡتَدۡنَا لِلظَّٰلِمِينَ نَارًا أَحَاطَ بِهِمۡ سُرَادِقُهَاۚ وَإِن يَسۡتَغِيثُواْ يُغَاثُواْ بِمَآءٖ كَٱلۡمُهۡلِ يَشۡوِي ٱلۡوُجُوهَۚ بِئۡسَ ٱلشَّرَابُ وَسَآءَتۡ مُرۡتَفَقًا ٢٩ الكهف

“Dan katakanlah (wahai Muhammad): Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya. Kerana Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu Api Neraka, yang meliputi mereka laksana khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruknya minuman itu dan amatlah buruknya Neraka sebagai tempat bersenang-senang.” (Surah Al-Kahfi: 29)

Namun Allah membuat keputusan yang Maha Adil pada Hari Kiamat melalui mahkamah-Nya yang dinyatakan:

ٱلۡيَوۡمَ نَخۡتِمُ عَلَىٰٓ أَفۡوَٰهِهِمۡ وَتُكَلِّمُنَآ أَيۡدِيهِمۡ وَتَشۡهَدُ أَرۡجُلُهُم بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ ٦٥ يس

“Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus) dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing) dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.” (Surah Yasin: 65)

Terkini kita menyaksikan dengan sedikit ilmu kurniaan Allah manusia dapat mencipta alat-alat rakaman suara dan filem bergerak (video). Maka Ilmu dan Kuasa Allah tiada bandingan.

Terpulang kepada mereka yang merasa dirinya sangat bijak supaya muhasabah diri sekarang atau mahu menunggu sehingga tibanya hari kematiannya dan perkara yang dijanjikan itu betul atau tidak.

Kepada orang-orang yang beriman dan budiman cukup dengan para Rasul yang wajib bersifat benar, amanah berakhlak mulia, berani menyampaikan dan sangat bijak yang disaksikan oleh kaum di zaman masing-masing.
 
Firman Allah:

۞قُلۡ إِنَّمَآ أَعِظُكُم بِوَٰحِدَةٍۖ أَن تَقُومُواْ لِلَّهِ مَثۡنَىٰ وَفُرَٰدَىٰ ثُمَّ تَتَفَكَّرُواْۚ مَا بِصَاحِبِكُم مِّن جِنَّةٍۚ إِنۡ هُوَ إِلَّا نَذِيرٞ لَّكُم بَيۡنَ يَدَيۡ عَذَابٖ شَدِيدٖ ٤٦ سبأ

“Katakanlah (wahai Muhammad S.A.W): Aku hanyalah mengajar dan menasihati kamu dengan satu perkara sahaja, iaitu: Hendaklah kamu bersungguh-sungguh berusaha mencari kebenaran kerana Allah semata-mata (dengan ikhlas), sama ada dengan cara berdua (dengan orang lain) atau seorang diri; kemudian hendaklah kamu berfikir sematang-matangnya (untuk mengetahui salah benarnya ajaran-Ku). Sebenarnya tidak ada pada (Muhammad S.A.W.) yang menjadi sahabat kamu sebarang penyakit gila (sebagaimana yang dituduh); dia hanyalah seorang Rasul pemberi amaran kepada kamu, sebelum kamu ditimpa azab yang berat (di akhirat).” (Surah Saba’: 46)

Seterusnya Allah mencabar dengan amaran:

وَإِن كُنتُمۡ فِي رَيۡبٖ مِّمَّا نَزَّلۡنَا عَلَىٰ عَبۡدِنَا فَأۡتُواْ بِسُورَةٖ مِّن مِّثۡلِهِۦ وَٱدۡعُواْ شُهَدَآءَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمۡ صَٰدِقِينَ ٢٣ فَإِن لَّمۡ تَفۡعَلُواْ وَلَن تَفۡعَلُواْ فَٱتَّقُواْ ٱلنَّارَ ٱلَّتِي وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُۖ أُعِدَّتۡ لِلۡكَٰفِرِينَ ٢٤ البقرة

“Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad SAW), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu dan panggilah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar. (23) Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya dan sudah tentu kamu tidak dapat membuatnya, maka peliharalah diri kamu dari api Neraka yang bahan-bahan bakarannya: Manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu Neraka) yang disediakan untuk orang-orang kafir. (24)” (Surah Al-Baqarah: 23-24)

Ayat ini menegaskan bahawa al-Quran adalah mukjizat ilmu bagi semua bidang, lapangan dan jurusannya yang tidak mampu dicipta sepertinya oleh manusia dan Nabi Muhammad SAW adalah pilihan dan pelantikan Allah. Hukuman yang keras kerana balasan tidak mengikut petunjuk Allah Pencipta Alam menyebabkan kemusnahan alam, termasuk manusia sendiri yang menjadi makhluk perosak alam semesta.

Firman Allah:

ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ ٤١ الروم

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia; (timbulnya yang demikian dialam dunia ini) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah Ar-Rum: 41)

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh:  22 Zulhijjah 1438 / 13 September 2017 – HARAKAHDAILY 13/9/2017

PATIK dan seluruh ahli PAS merafak sembah takziah kepada Kerabat Diraja Kedah di atas kemangkatan KDYMM Sultan Al-Mu'tassimu Billahi Muhibbuddin Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah Al-Haj Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah.

Sesungguhnya seluruh rakyat merasa sedih dan berdukacita di atas kemangkatan Baginda meninggalkan pemerintahan dengan adil dan disayangi oleh rakyat jelata.

Patik sepenuhnya mendoakan semoga Allah mencucuri rahmat dan keampunan ke atas roh Baginda dan semoga segala amalan diterima oleh Allah SWT serta ditempatkan bersama orang-orang yang soleh.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

KITA mendoakan Rahmat Allah kepada semua pejuang kemerdekaan kerana jasa mereka yang sangat besar meletakkan Islam di dalam Perlembagaan Negara tercinta ini.

Walaupun ada perbezaan pendapat selepasnya dari segi pendekatan meletakkan kedudukan Islam, tetapi kita sudah terlepas daripada penjajahan dan banyak ruang dan peluang masih ada untuk membebaskan belenggu yang sengaja ditinggalkan supaya Islam tidak diizinkan pelaksanaan sepenuhnya. Umat Islam sendiri dihalang daripada beramal dengan seluruh ajaran Islam, sedangkan penganut agama lain tidak dihalang untuk beramal dengan agama masing-masing.

Sepatutnya terpulang kepada umat Islam menafsirkan agamanya yang sebenar daripada perkataan Al-Din yang merangkumi segala aspek cara hidup bermasyarakat. Tafsiran yang berbeza dengan kehendak wakil penjajah dalam Suruhanjaya Reid yang sudah pergi, apabila mereka meletakkan Islam dalam ruang perkataan ‘religion’ yang jauh bezanya dengan ‘Al-Din’.

Para pemimpin bukan Islam yang terlibat bersama dalam PERIKATAN pula menerima kedudukan agama masing-masing yang dibebaskan mengikut Perlembagaan yang digubal oleh Suruhanjaya Reid itu. Adapun kalangan Islam teguh berkonsepkan tiada paksaan beragama dan Islam mewajibkan adil terhadap semua kaum dan penganut berbagai agama.

Islam dengan objektif mengikut takrifnya yang tepat, mempunyai pendekatan dari segi kedudukan Islam dengan maksud yang dipercayai umat Islam mengikut kitab suci Al-Quran. Bersama dengannya adalah konsep Raja Berperlembagaan yang diperkasakan oleh Islam mengikut kedaulatannya dalam proses pembinaan yang belum selesai sebelum kedatangan penjajah lagi.

Namun menjadi kewajipan untuk disempurnakan selepas kemerdekaan dengan meletakkan Islam yang mampu menangani perkembangan semasa yang berubah dan tetap mampu menyelesaikan semua masalah di sepanjang zaman. Beginilah apabila Islam yang sebenar ditegakkan pentadbirannya yang berasaskan akidah, berkonsepkan syariat dan akhlaknya.

Walaupun PAS hanya satu-satunya kerusi pembangkang, namun tetap bersepakat mempertahankan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Negara dan kaitannya dengan Raja Berperlembagaan dan terus mendesak perubahan mengikut konsep kerajaan Islam. Maka PAS tidak menyokong pindaan Perlembagaan yang dilakukan di zaman Tun Mahathir dahulu, kerana sebenarnya sekadar mengambil kuasa sahaja tanpa konsep Islam yang sebenar.

Kebebasan beragama bagi penganut agama lain telah dijamin oleh undang-undang yang dinaungi dalam Perlembagaan yang menjadi undang-undang dasar negara, sepatutnya tidak lagi membimbangkan mereka, setelah penerimaan pemimpin MCA dan MIC yang bergabung dalam PERIKATAN di masa itu.

Lebih sepatutnya mereka berterima kasih kepada umat Islam yang menerima mereka dari segi saudara kemanusiaan dan hidup bersama dalam masyarakat majmuk yang sama-sama ditindas pejajah. Mereka telah menyaksikan betapa satu kelompok kecil keluarga bukan Islam boleh hidup aman di tengah masyarakat Melayu yang majoriti penduduk Islam. Walaupun syariat Islam belum lagi diberi peluang sepenuhnya dilaksanakan, tetapi inilah bayangan syariat yang mencipta akhlak Islam dalam hubungan masyarakat majmuk.

PAS menerima kemerdekaan dengan satu kerusi dalam PRU Pra Kemerdekaan pada tahun 1955, tetap mengiktiraf konsep demokrasi dan terus menyertai PRU selepasnya bersama Islam yang dihayati oleh kepimpinan ulama’. Walaupun tidak memuaskan kerana masih ada kelemahan dalam sistem Demokrasi Barat yang tidak beriman dan budiman, namun tetap menerima konsep tersebut dengan positif yang masih ada bersamanya.

Maka PAS dengan sabar, rebah dan bangun, menang dan kalah, sehinggalah jatuh kerajaan negeri yang dikuasainya di Kelantan dan Terengganu, kembali semula memerintah di Kelantan dan kembali semula di Terengganu dan jatuh semula, namun tetap mengambil pendekatan demokrasi dan berundur daripada gerakan yang boleh merosakkan, contohnya tindakan di atas nama BERSIH yang tidak bersih lagi terhadap Islam dan kedaulatan negara secara umum, serta ada dalang dibelakangnya.

Kekuatan PAS tidak bergantung kepada ukuran kerusi seperti parti lain yang boleh mati kalau tidak ada kerusi. Namun pengaruh PAS terus berkembang dan makin kuat jati diri ahli dan pengikutnya makin bertambah dan berkualiti. Adapun yang bersifat sampah dalam PAS boleh merosakkan perjuangannya, sama ada terbuang atau dibuang. PAS juga tidak rebah kalau ada pemimpin yang rebah dalam perjalanan perjuangannya.

PAS terus tegak bersama Islam yang ditegaskan dalam Perlembagaan yang telah diterima oleh semua parti politik yang ada di masa awal kemerdekaan. Maka PAS memandang adanya parti yang baru lahir selepas kemerdekaan yang cuba untuk merungkai Perlembagaan yang berkonsep kontrak sosial di antara rakyat dan kerajaan, khususnya terhadap Islam dan kedaulatannya. Adapun kepada PAS ditambah kuat lagi dengan perjanjian di hadapan Allah bagi menegakkan Islam yang sempurna.

Kalangan yang cuba mengugut PAS berasaskan kerusi pilihan raya atau kedudukannya dalam kerajaan, sepatutnya mengenali siapa PAS dalam sejarahnya. Bahawa PAS tidak boleh dikuburkan dengan jatuh kerajaan atau hilang kerusinya, bahkan PAS bangkit semula setelah ditendang keluar daripada BN pada tahun 1978 yang dikatakan tinggal dua kerusi batu nisan di Kelantan dan kosong kerusi di Terengganu.

Tiba-tiba PAS bangkit semula, sehingga Pengerusi BN di masa itu terpaksa memanggil kalangan berjenama Islam bagi menyelamatkan diri kerana kebangkitan semula PAS. Rupanya bukan bangkitnya hantu kubur, tetapi bangkit bersama Islam yang mulia dan tidak boleh dipadamkan cahayanya. Sebaliknya pemimpin BN yang mengkhianati PAS pula yang terpelanting keluar daripada partinya sendiri.

Melukut ditepi gantang,

Buka sanggul mencari kutu,

Orang takut akalnya hilang,

Jumpa tunggul disangka hantu.

PAS tidak mengharapkan Pakatan Harapan kerana mengenali semua mereka yang terlibat dengan penubuhannya yang tidak boleh dipercayai harapannya, kerana hanya bergantung harapan dalam kabinet bayangan dan konsep matlamat menghalalkan cara yang lemah.

Harapan PAS bersama Islam berpandukan janji Allah SWT:

وَلَا تَهِنُواْ فِي ٱبۡتِغَآءِ ٱلۡقَوۡمِۖ إِن تَكُونُواْ تَأۡلَمُونَ فَإِنَّهُمۡ يَأۡلَمُونَ كَمَا تَأۡلَمُونَۖ وَتَرۡجُونَ مِنَ ٱللَّهِ مَا لَا يَرۡجُونَۗ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا (النساء: ١٠٤ (

“Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat) dalam menghadapi lawan (yang menentang kamu) itu; kerana kalau kamu menderita sakit atau susah, maka sesungguhnya mereka pun menderita sakitnya atau susah seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan dari Allah apa yang mereka tidak harapkan (iaitu balasan yang baik pada Hari Akhirat kelak) dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Surah An-Nisa’: 104)

Keyakinan PAS tetap bersama Islam yang berwawasan dunia sehingga Akhirat, bukan sahaja mempertahankan apa yang sudah dicatat dalam Perlembagaan itu, bahkan berusaha dan berjuang supaya disempurnakan mengikut Al-Quran dan kebijaksanaan Sunnah Rasulullah SAW, serta bekerjasama dengan sesiapa yang mahukan konsep kesempurnaan Islam ini ditegakkan.

Dalam masa yang sama, PAS mengajak umat Islam dan bukan Islam dalam masyarakat majmuk menolak kumpulan yang bersekongkol menghalang usaha yang mulia ini untuk kebaikan bersama.

Bagi umat Islam menjadi kewajipan aqidah, syariat dan akhlaknya menegakkan kepimpinan Islam dan mempertahankannya dalam negara ini supaya menjadi teras kedaulatannya.

PAS tidak mengira siapa sahaja yang mendukung cita-cita ini walaupun kehilangan kerusinya, kerana pergantungan PAS kepada Islam bukannya kerusi dan siapa orangnya. Kerusi hanya alat dan wadah melaksanakan kewajipan, apabila ada orang di atas kerusinya yang boleh menunaikan kewajipan, kita wajib menolongnya. Maka jangan dapat kerusi sahaja tanpa menunaikan amanah menegakkan Islam, tanpa menafikan betapa pentingnya kerusi yang dapat, dan PAS boleh berpijak bersama Islam kalau dinafikan kerusinya sekalipun. PAS tetap berusaha mendapatkan kerusi bagi memimpin atau menjadi pembangkang yang menasihat, bukan merosak.

Bagi yang bukan Islam pula sudah cukup bersama kegagalan ideologi ciptaan manusia timur dan barat yang hanya untuk kebahagiaan segelintir manusia sahaja. Cukuplah menjadi hamba kepada segelintir manusia yang berkuasa dengan ideologi masing-masing, silalah pula memberi peluang kepada Islam yang telah menjadi agama kepada negara ini dalam lingkungan mentadbir dan mengurus berkonsepkan Islam yang adil terhadap semua dengan jaminan kebebasan beragama kepada penganut agama lain daripada Islam yang sudah dicatat dalam Perlembagaan Negara.

Kalangan bukan Islam juga wajib menolak parti fanatik kaum dan kumpulan yang berkonsep sekularisma seperti DAP dan kumpulannya (PH) yang memisahkan urusan kehidupan daripada agamanya sendiri dan boleh menukar agamanya dengan apa sahaja dan menjadi alat kepada siapa sahaja, demi kepentingan politik sementara.

Mereka sudah menunjukkan sifat negatifnya dengan hanya mentadbir negeri, belum lagi negara dan telah pun menunjukkan perangai yang boleh menempah ketegangan dalam masyarakat majmuk ini, lebih-lebih lagi menunjukkan keberaniannya mahu merungkai perkara asas dalam Kontrak Sosial yang telah diikat dalam Perlembagaan Negara. Berbeza dengan PAS di Kelantan yang boleh meneruskan perjuangannya walaupun dicekik dan dijerut lehernya, namun tetap tidak dapat dicucuk hidungnya.

Ahli PAS tidak boleh terikut dengan mereka yang tidak senang dengan pendekatan Islam bersama Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang diperkenalkan dan konsep Ta’awun yang ditunjukkan oleh Al-Quran dan Sunnah yang tidak sama dengan pembangkang di negara lain yang semata-mata membangkang dan berebut kerusi untuk memerintah tanpa mengira benar atau salah dan jauh sekali halal dan haramnya.

PAS tidak perlu terikut dengan propaganda pihak lain yang kononnya bimbang PAS ditipu oleh Umno, atau Umno ditipu oleh PAS, kerana Islam mengajar penganutnya bahawa urusan ikhlas dan niat menipu tidak mengira PAS atau Umno dan sesiapa sahaja adalah perkara tersirat yang menjadi urusan ilmu Allah dan balasannya dari Allah, urusan kita apa yang zahir sahaja.

Namun Allah mewajibkan perdamaian didahulukan dengan sesiapa sahaja termasuk musuh yang menentang Islam yang sedang berperang apabila bersedia menerima Islam secara damai tanpa membelah hati sanubarinya. Inilah maksud firman Allah:

۞وَإِن جَنَحُواْ لِلسَّلۡمِ فَٱجۡنَحۡ لَهَا وَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ ٦١ وَإِن يُرِيدُوٓاْ أَن يَخۡدَعُوكَ فَإِنَّ حَسۡبَكَ ٱللَّهُۚ هُوَ ٱلَّذِيٓ أَيَّدَكَ بِنَصۡرِهِۦ وَبِٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٦٢ وَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡۚ لَوۡ أَنفَقۡتَ مَا فِي ٱلۡأَرۡضِ جَمِيعٗا مَّآ أَلَّفۡتَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ أَلَّفَ بَيۡنَهُمۡۚ إِنَّهُۥ عَزِيزٌ حَكِيمٞ ٦٣ الأنفال.

“Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (61) Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dialah yang menguatkanmu dengan pertolongan-Nya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman. (62) Dan (Dialah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (63)” (Surah Al-Anfal: 61-63)

Kalau berdepan dengan musuh, inilah konsepnya. Maka kita dalam satu negara Malaysia dan masyarakat majmuk bukannya musuh. Maka PAS tetap beristiqamah dengan konsep Islam didahulukan dan kerusi dibelakangnya, dengan mengenal siapa yang menentang Islam dan menghalang perjalanannya dan siapa yang boleh menerima Islam, bukan sekadar siapa yang menjanjikan kerusinya sahaja. PAS tetap beristiqamah bersama Islam, PAS bukan parti mengampu dan menumpang.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

Bertarikh: 19 Zulhijjah 1438 / 10 September 2017 – HARAKAHDAILY 10/9/2017

PATIK dan seluruh ahli PAS merafak sembah dan setinggi-tinggi ucapan tahniah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda.

AGONGPATIK dan seluruh ahli PAS merafak sembah dan setinggi-tinggi ucapan tahniah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda.
 
Sesungguhnya patik dan ahli-ahli PAS menjunjung tinggi konsep Raja Berperlembagaan demi menjaga kedaulatan Islam dan keharmonian rakyat jelata dengan memperkasakan Institusi Raja-raja dengan Islam.

Patik sepenuhnya mendoakan semoga Allah lanjutkan usia Tuanku di bawah naungan Ilahi dan berdoa agar Tuanku dikurniakan kesihatan untuk memerintah negara dan menjaga sekalian rakyat jelata.

ALLAHU AKBAR!

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

APA yang dilakukan terhadap umat Islam Rohingya di luar batas perikemanusiaan. Seluruh dunia sudah mengetahui kekejaman yang mengorbankan manusia di sana sehingga ramai yang sudah terpaksa menjadi pelarian dan mangsa korban di darat dan lautan.

Masyarakat antarabangsa tidak boleh memejamkan mata dari segi kemanusiaan untuk bertindak terhadap rejim yang terkurung dalam negerinya dan melakukan apa sahaja tanpa peduli terhadap kutukan dunia luar terhadapnya.

Masyarakat antarabangsa yang telah mengetahui betapa aspek agama memainkan peranan terhadap kekejaman yang berlaku sehingga melibatkan sokongan para sami yang dikatakan juga menyalahi ajaran agamanya sendiri yang menentang keganasan.

Masyarakat antarabangsa perlu menyedari juga bahawa Islam mengajar erti kemanusiaan dan persaudaraan secara khusus di kalangan umat Islam sesama penganutnya laksana satu jasad. Perlu diketahui bahawa di sekeliling negara zalim dan kejam itu sangat dekat dengan jumlah umat Islam yang besar sehingga mencecah setengah bilion.
 
Tindakan lebih awal hendaklah diambil secara berkesan oleh PBB, bukan sahaja resolusi dan lawatan yang tidak dihormati pun. Mereka hendaklah sedar bahawa kesabaran umat Islam ada batasnya. Walaupun negaranya tidak mampu bertindak, jangan sampai adanya tindakan bersendirian yang tidak boleh dikawal lagi dan jangan Islam pula yang disalahkan.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 17 Zulhijjah 1438 / 8 September 2017 - HARAKAHDAILY 8/9/2017

SELURUH umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha bukan sahaja bersempena ibadat haji yang menjadi salah satu daripada rukun Islam yang diwajibkan kepada mereka yang berkuasa dan mampu, bahkan juga bersempena memperingati sunnah Nabi Ibrahim A.S. yang disambung perjuangannya oleh Nabi Muhammad S.A.W.

adha1Kehebatan Nabi Ibrahim A.S ialah beraqidah, bersyariat, dan berakhlak dengan Islam. Islam dengan makna menyerah diri kepada Allah S.W.T. Kita menyaksikan bagaimana kehebatan Islam baginda A.S apabila diperintah oleh Allah S.W.T. membuka bumi Makkah yang kering kontang tidak ada air dan kemudahan asas, meletakkan puteranya Ismail A.S di situ dan mendirikan Kaabah yang menjadi kiblat untuk seluruh manusia sehingga akhir zaman. Baginda A.S menunaikan kewajiban itu bagi menyatakan Islam adalah menyerah diri yang sebenar kepada Allah S.W.T.

Kita menyaksikan bagaimana bumi yang kering kontang itu dikunjungi oleh manusia dari seluruh pelosok dunia dengan menghidupkan ibadat haji dan umrah sehingga ke hari ini. Mereka melakukan ibadah Qurban yang ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim sejak ribuan tahun lamanya dan selepasnya Nabi Muhammad S.A.W. dilantik menjadi rasul terakhir kepada seluruh manusia.

Tidak tergambar dalam hati manusia bagaimana di situ bermulanya dakwah bagi seluruh manusia dengan keyakinan kepada Islam yang menyerah diri kepada Allah. Nabi Muhammad S.A.W telah berjaya membangun manusia generasi awal umat Islam dengan aqidah Islam, keimanan dan menyerah diri kepada Islam yang kosong ekonominya untuk menghadapi dua kuasa besar dunia Parsi dan Rom yang kaya raya dan kuat ketenteraannya.

Sehingga berakhir dengan kewafatan Nabi Muhammad S.A.W dengan meninggalkan ajaran hidup baginda dan disambung oleh Khulafa’ ar-Rasyidin yang menyaksikan kejatuhan kuasa besar dunia Parsi dan Rom. Orang Islam generasi awal yang datang dengan kosong berjaya menguasai Parsi dan Rom, membina tamadun baru Islam, memanfaatkan segala kemajuan kebendaan yang positif, menghapuskan segala yang negatif dengan Islam sehingga berjaya memimpin dunia selama 13 abad dan memerintah negara yang besar bermasyarakat majmuk.

Walaupun orang Islam lemah setelah meninggalkan ajaran Islam dan hari ini kita menghadapi serangan musuh yang bertubi-tubi, bukan sahaja negara umat Islam dimamah dan diratah serta diserang melalui ketenteraan termasuklah melalui media yang menguar-uarkan Islamofobia dengan menyebarkan berita seolah-olah semua keganasan daripada ajaran Islam, padahal dilakukan oleh orang Islam yang jahil dan bebal.

Marilah kita yakin dan percaya bahawa ajaran Islam adalah murni dan bersih dengan konsep menyerah diri kepada ajaran Islam dengan ikhlas. Kita percaya Islam akan kembali mentadbir dunia sekali lagi. Kalau dahulu boleh menjatuhkan kuasa besar dunia dan membetulkan kehidupan dunia, kali ini kebangkitan Islam akan dapat mengambil alih memimpin dunia sekali lagi, insyaAllah.

Marilah kita menyambut Hari Raya Aidiladha dengan semangat Islam yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim A.S dan disambung oleh nabi akhir zaman, Muhammad S.A.W ke seluruh pelosok dunia. Akhirnya, pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam walau di mana jua berada. Mudah-mudahan Allah S.W.T. memberkati kita semua.  

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

BERSEMPENA dengan kita memperingati Hari Kemerdekaan tanah air, marilah kita mengenang jasa para pahlawan kemerdekaan kita khususnya daripada kumpuan Islam daripada PAS bersama dengan pendukung Islam yang lain termasuk yang ada dalam kerajaan pada masa itu.

deka1Pertama, mereka telah berjaya meletakkan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan sehingga Suruhanjaya Reid terpaksa meletakkan Islam adalah Agama Persekutuan. Ini satu kejayaan yang sangat penting yang perlu kita dipertahankan.

Kita perlu juga memelihara konsep Raja Berperlembagaan yang menjadi ketua kepada agama Islam, kedudukan Melayu Islam yang diberi hak istimewa dan menerima masyarakat majmuk pelbagai kaum. Hal-hal ini mesti dipelihara dan menjadi tanggungjawab kita untuk memelihara kemerdekaan ini, apabila penjajah meninggalkan belenggu-belenggu di dalam Perlembagaaan.

Antaranya adalah Jadual ke-9 yang disebut Akta 355 untuk membelenggukan kuasa Islam, merendahkan Mahkamah Syariah supaya Mahkamah Syariah dijajah dan tidak ada kuasa. Percubaan kita melalui Parlimen mendapat respons yang sangat positif daripada ahli-ahli Parlimen Islam, hanya segelintir sahaja yang menganggap enteng dalam perkara ini dan mendapat tentangan daripada orang bukan Islam. Ini adalah usaha untuk memerdekakan Perlembagaan Malaysia sebagai langkah awal yang perlu kita laksanakan dan menguji sejauh mana kesetiaan rakyat negara ini terhadap Perlembagaan yang mesti kita pertahankan.

Yang kedua, Raja yang berkonsepkan kepada Perlembagaan. Apa yang berlaku adalah pemimpin Umno pada hari ini merampas dan membatalkan kuasa raja-raja. Tanggungjawab kita bukan membatalkan kuasa, tetapi memperhebatkan dan memperbetulkan kuasa itu mengikut landasan Islam dan dilakukan islah. Kalau sekadar mengambil kuasa raja-raja untuk mengambil alih kuasa, itu bukan cara untuk memerdekakan negara.

Kemerdekaan negara adalah dengan memperkasakan institusi raja-raja dengan Islam. Ini merupakan satu aspek yang sangat penting. Raja-raja dengan kedudukan dan kehebatannya mesti bersama dengan Islam. Ini yang perlu kita wujudkan, bukan meminda Perlembagaan untuk mengambil alih kuasa.

Yang ketiga, orang Melayu sebagai teras kepada politik negara kerana disebut oleh ulama dalam feqah politik Islam dan saya tulis dalam Harakah bahawa Islam mesti memimpin. Kaum yang dominan beragama islam adalah diutamakan untuk memimpin negara. Ini mesti dipertahankan supaya kemerdekaan itu dapat dilaksanakan dengan cara yang betul.

Yang keempat, kaum yang lain yang bukan Islam jangan merasa bimbang dengan meletakkan Melayu Islam sebagai teras politik negara kerana Islam dapat mengawal perasaan kebangsaan. Islam dapat membetulkan keadaan ini dan Islam yang berkonsepkan adil untuk semua boleh memelihara keharmonian kaum dan masyarakat majmuk dengan cara yang sebaik-baiknya. Kita bimbang sekiranya asas-asas Perlembagaan ini dibubarkan, akan berlaku perkara-perkara yang negatif yang mengundang kembali zaman penjajahan.

Kita telah menghadapi penjajahan bentuk baru pada zaman ini melalui campur tangan asing di banyak negara. Penjajah asing datang kembali, bukan sahaja untuk menguasai ekonomi termasuk menguasai politik.

Dengan sebab itu, kita mesti teguhkan kemerdekaan ini dengan asas yang sudah ada dalam Perlembagaan itu berasaskan kepada Islam sebagai penyelamat kepada semua.

Akhir sekali, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan kali ke-60 kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan bangsa. Mudah-mudahan Allah SWT memberkati kita semua.  

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

MISI penghapusan etnik Rohingya masih berterusan tanpa penyelesaian, bahkan kerakusan tentera rejim Myanmar dan pelampau Buddha Rakhine semakin mengganas tanpa perikemanusiaan.

Terbarunya serangan di perkampungan Maungdaw Buthidaung dan Rathidung di Myanmar telah membunuh lebih kurang 500 orang tanpa mengira lelaki, perempuan, orang tua mahupun kanak-kanak, rumah-rumah dibakar dan jumlah ini semakin meningkat. Kini mereka menderita tanpa tempat tinggal dan mereka tidak mempunyai tempat untuk pergi. Mereka terpaksa menjadi pelarian dalam negara sendiri. Nyawa mereka diancam setiap masa dengan tujuan mereka dihapuskan dari peta Myanmar.

Masyarakat dunia perlu sedar dan bangkit bahawa isu penindasan rakyat Rohingya adalah isu kemanusiaan, di belakangnya tersingkap beberapa isu yang melatari jalan cerita; isu hak asasi manusia, diskriminasi kelompok majoriti terhadap kelompok minoriti, penghapusan etnik masyarakat Islam, kisah kegagalan organisasi-organisasi antarabangsa dan serantau dalam menyelesaikannya, kisah keganasan pihak tentera dan sifat tidak bertamadun masyarakat moden dalam melakukan penindasan sesama manusia. Perhatian bangsa dunia amat diperlukan.

Negara-negara yang menandatangi Piagam Hak Asasi Manusia, Piagam Geneva, negara-negara ASEAN, PBB, negara-negara Islam OIC, negara Islam Serantau dan semua pejuang hak asasi manusia perlu berganding bahu memberi amaran kepada kerajaan Myanmar yang melanggar hak asasi manusia dan menafikan hak kerakyatan masyarakat Rohingya.

Kerajaan Malaysia wajib bekerjasama dan bertindak lebih proaktif dengan negara-negara lain, parti-parti politik, NGO-NGO dan agensi antarabangsa bukan sahaja menghantar misi kemanusiaan, bahkan semestinya memberi tekanan politik kepada kerajaan Myanmar agar menghormati hak kemanusiaan. Kuasa politik amat penting untuk menghentikan penindasan ini.

Islam lebih mendahului dalam menjaga hak orang Islam dan bukan Islam serta pelarian negara asing yang hidup bermasyarakat majmuk dalam negara Islam. Pembinaan Masyarakat Madani yang saling memerlukan di antara satu bangsa dengan bangsa lain, satu kaum dengan kaum lain menjadi asas keharmoniaan di bawah pemerintahan Islam dengan mendahulukan perdamaian dan mengambil langkah diplomatik dan diplomasi, sehingga kedatangan Islam ke negara lain dikira penyelamat bukannya penjajah.

PAS akan menghantar misi kemanusiaan melalui PASRelief dan NGO-NGO dan berunding dengan pihak kerajaan dan agensi antarabangsa untuk menghentikan kezaliman yang tidak bertamadun ini dengan kembali ke meja rundingan.

Saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa, marilah kita bersatu dan berganding bahu atas dasar kemanusiaan. Marilah kita mendesak kerajaan Myanmar agar menerima kerakyatan masyarakat Rohingya dan menyelesaikan konflik ini secara aman dan damai.

Sabda Rasulullah SAW:

مَن لَمْ يهتَمَّ بأمرِ المُسلِمينَ فليس منهم   

“Barangsiapa yang tidak peduli dengan urusan kaum muslimin maka dia bukan sebahagian dari mereka.”

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 8 Zulhijjah 1438 / 30 Ogos 2017 - HARAKAHDAILY 30/8/2017

APABILA politik menjadi sebahagian daripada ajaran Islam, maka kewajipan memilih pemimpin adalah sebahagian daripadanya. Dalam sistem demokrasi diadakan pilihanraya dengan mensyaratkan seseorang itu mendaftarkan diri menjadi pemilih yang membolehkannya mengundi.

Walaupun demokrasi berasal daripada barat, namun tidak boleh dipisahkan daripada kewajipan politik yang ditegaskan oleh hukum Islam selagi tidak bercanggah dengan dasar dan konsep Islam yang sempurna, teguh dan anjal. Pemerintahan Islam di sepanjang zaman keemasannya menerima segala yang baik daripada semua bangsa yang bertamadun dan mengislahkan kelemahan serta menolak kemungkarannya.

Perlu disedari mengikut kajian sejarah, demokrasi moden di negara barat adalah terpengaruh daripada Politik Islam yang dikaji oleh ilmuan barat daripada Tamadun Islam dalam segala aspek, bukan sahaja dalam bidang sains teknologi, bahkan sebenarnya termasuk juga dalam ilmu sains politik. Di mana mereka mengenali amalan memilih pemimpin dalam syariat Islam sehingga diadakan sistem pilihan raya, tetapi mereka memisahkannya daripada agama.

Demokrasi purba di Greek yang dicipta oleh tamadun barat tidak boleh menandingi Feqah Politik Islam. Apabila caranya tidak berpijak di lapangan rakyat semua peringkat, maka dilakukan perubahan pemerintah secara revolusi seperti di Perancis, England dan lain-lain. Di beberapa negara lain pula mengorbankan rakyat silih berganti, sehinggalah para orientalis bertemu dengan pengajian Islam.  

Islam menempa sejarah politik ketika wafatnya Rasulullah S.A.W. Para sahabat R.A. di kalangan Muhajirin dan Ansar yang mewakili semua kumpulan dan kelompok melaksanakan konsep syura yang disebut di dalam Al-Quran. Mereka berhimpun di tempat bernama Thaqifah Bani Sa’idah (Dataran Bani Sa’idah), sekarang dibina Kompleks Percetakan Al-Quran.

Tujuan perhimpunan itu adalah bagi memilih Khalifah (Ketua Negara) menggantikan Rasulullah S.A.W. selepas kewafatannya. Himpunan itu dilakukan selepas selesai menyembahyangkan jenazah Rasulullah S.A.W. sebelum dikebumikan jasadnya yang mulia itu. Ini menunjukkan betapa besarnya kewajipan memilih pemimpin dalam ajaran Islam, sehingga lebih diutamakan daripada mengebumikan jasad Rasulullah S.A.W.

Ada tiga calon yang dicadangkan. Kalangan Ansar (penduduk asal Madinah) mencalonkan pemimpin mereka, Saad bin Ubadah R.A, adapun keluarga Rasulullah S.A.W dan beberapa orang yang lain mencalonkan Ali bin Abi Talib K.W.H (menantu dan sepupu Rasulullah S.A.W.), kalangan Muhajirin pula mencalonkan Abu Bakar R.A. daripada Muhajirin Qabilah Quraisy. Apabila mereka mendengar Hadis Rasulullah S.A.W. yang pernah bersabda:

الأئمة من قريش

“Para pemimpin utama hendaklah daripada Quraisy.”

Akhirnya Abu Bakar R.A dipilih menjadi Khalifah. Para ulama yang menulis berkenaan Politik Islam menegaskan dalil mafhum daripadanya adalah memilih pemimpin yang muslim dan mempunyai kelayakan daripada kaum yang paling kuat pengaruhnya dalam masyarakat. Syarat muslim kerana Islam menjadi aqidah negara, manakala syarat Quraisy kerana dominasi dalam masyarakat.

Kuasa Khalifah Abu Bakar R.A tidak mutlak dan pentadbirannya secara syura yang melibatkan anggota kabinet di kalangan pemimpin para sahabat dan masyarakat umum yang bebas menasihat dan mengkritik, berprinsipkan patuh kepada hukum tertinggi Al-Quran dan Sunnah serta menghayati amalan syura.   

Cara pemilihannya sentiasa berubah mengikut perkembangan masyarakat dan zamannya seperti juga hukum Islam yang lain. Contohnya haji yang diwajibkan menjadi rukun Islam, tidak lagi musafirnya melalui unta atau berjalan kaki sahaja. Zaman kini perjalanannya melalui pesawat udara dan keselamatannya melalui amalan visa. Maka semuanya menjadi wajib kerana termasuk di dalam kaedah hukum Syara’:

ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب

“Apa-apa yang tidak sempurna perkara wajib melainkan dengannya, maka ia menjadi wajib juga.”

Contoh lain juga adalah wajibnya pakaian menutup aurat bagi menunaikan sembahyang, tanpa dipersoalkan siapa yang membuat kainnya dan siapa peniaganya, tanpa ditanya agama tukang jahit dan bentuknya dari negara mana, tetapi syarat sah orang sembahyang itu adalah Islam.

Begitulah juga perubahan masyarakat dan zaman dalam amalan politik yang mengadakan pilihan raya umum pada hari ini, tidak boleh dipisahkan daripada kewajipan politik yang menjadi sebahagian daripada syariat Islam.
 
Rasulullah S.A.W. telah memberi amaran kepada umatnya yang cuai melaksanakan kewajipan ini di akhir zaman menyebabkan kemusnahan mereka.

Sabda baginda SAW:

لَيُنْقَضَنَّ عُرَى الإِسْلاَمِ عُرْوَةً عُرْوَةً فَكُلَّمَا انْتَقَضَتْ عُرْوَةٌ تَشَبَّثَ النَّاسُ بِالَّتِى تَلِيهَا وَأَوَّلُهُنَّ نَقْضاً الْحُكْمُ وَآخِرُهُنَّ الصَّلاَةُ (مسند أحمد)

“Demi sesungguhnya (akan berlaku) dirungkainya tali simpulan teguh yang mengikat ajaran Islam, satu demi satu. Apabila satunya dirungkai menyebabkan orang ramai menjadi berselerak terpaksa berpegang dengan simpulan ikatan yang ada selepasnya. Perkara pertama yang dirungkai ialah hukum (yang berkait dengan pemerintahan negara) atau politik dan yang terakhirnya ialah sembahyang.”

Imam Al-Ghazali yang banyak menulis berkenaan tasawuf juga memberi perhatian khusus dalam aspek pemerintahan negara dalam kitabnya yang berkait dengan aqidah menegaskan:

“Agama menjadi asas, kuasa pemerintahan (politik) menjadi pengawasnya. Kalau tidak ada asas menyebabkan runtuh dan kalau tidak ada pengawas menjadikan hukum agama itu sia-sia sahaja”

Kita menyaksikan sekarang betapa ramai di kalangan umat Islam tidak mengambil kisah atau menganggap tidak penting dalam aspek ini. Ada juga yang merasa bosan kerana banyaknya karenah yang tidak menyenangkan dalam aspek politik, lalu mereka menyerah kalah atau mencari pendekatan yang salah apabila lebih mudarat bencananya. Mereka lupa betapa politik banyak mempengaruhi aspek yang lain, khususnya aspek kedaulatan negara dan keselamatan umat, bukan sahaja aspek ekonomi dan lain-lain.

Rasulullah S.A.W. menyuruh umatnya bersabar menghadapi penyelewengan politik kerana wajib memelihara urusan politik supaya tidak terjerumus ke dalam bencana yang lebih besar akibatnya.

Banyak ayat-ayat Al-Quran dan Hadis-hadis yang menunjukkan betapa Allah dan Rasul-Nya sangat murka terhadap orang yang tidak mengambil perhatian terhadap kepentingan umatnya sehingga menerima bencana yang memusnahkan semuanya.

Maka hendaklah difahami betapa mendaftarkan diri untuk menjadi pengundi di zaman kini adalah satu kewajipan agama yang besar terhadap setiap orang lelaki dan wanita apabila mempunyai kelayakan.

Allah berfirman:

وَإِن تَتَوَلَّوۡاْ يَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ ثُمَّ لَا يَكُونُوٓاْ أَمۡثَٰلَكُم ٣٨ محمد

“Dan jika kamu berpaling (daripada beriman dan menegakkan Islam) Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu.” (Surah Muhammad: 38)

Urusan menegakkan Islam dengan menjadi pemerintah berkuasa politik adalah kewajipan besar bagi umat Islam. Adapun yang datang menguar-uarkan supaya umat Islam melupakan politik adalah warisan peninggalan penjajah supaya umat ini lemah dan hilang kuasanya. Akhirnya menjadi hamba kepada sesiapa yang mengambil kuasa.

Mengundi bukan sahaja memilih pemimpin bagi pihak rakyat, bahkan tanggungjawab mengundi adalah melantik wakil rakyat untuk melaksanakan Amar Maaruf dan Nahi Mungkar yang menjadi tonggak penting dalam menjaga jati diri umat melalui kekuasaan atau bersuara dan menentukan sikap. Mengundi juga adalah menjadi hakim terhadap kerajaan dengan melakukan hisbah di sepanjang penggal pemerintahannya.

Konsep ini bersandarkan kepada firman Allah:

وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ ١٠٤ آل عمران

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” (Surah Ali-Imran: 104)

Sabda Rasulullah S.A.W.

وَالَّذِي نَفْسي بِيَدِهِ، لَتَأْمُرُنَّ بِالمَعْرُوفِ، وَلَتَنْهَوُنَّ عَنْ المُنْكَرِ أَوْ لَيُوشِكَنَّ اللهُ أنْ يَبْعَثَ عَلَيْكُمْ عِقَاباً مِنْهُ ثُمَّ تَدْعُوْنَهُ فَلا يُسْتَجَابُ لَكُمْ. (رواه الترمذي)

“Demi Tuhan yang diriku berada dalam genggaman kekuasaannya. Kamu hendaklah menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran atau kalau kamu tidak melaksanakannya, hampirlah Allah menghukum kamu dengan balasan daripadanya. Kemudian kamu berdoa kepadanya, tiba-tiba doa kamu tidak diperkenankan” (Riwayat Tarmizi)

Hanya Muslim tanpa pedulikan maruah umatnya sahaja tidak mahu mengundi.

Padi bukan sebarang padi,
Padi ditanam di dalam sawah,
Mengundi bukan sebarang mengundi,
Mengundi kerana pertahan maruah.
 
“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 6 Zulhijjah 1438H / 28 Ogos 2017 - HARAKAHDAILY 28/8/2017  

خطبة عيد الأضحى 1438
(يڠ فرتام)

<< عقيبة منيڠݢلکن اجارن اسلام >>

ٱللَّهُ أَكۡبَرُ، ٱللَّهُ أَكۡبَرُ، ٱللَّهُ أَكۡبَرُ، ٱللَّهُ أَكۡبَرُ، ٱللَّهُ أَكۡبَرُ، ٱللَّهُ أَكۡبَرُ، ٱللَّهُ أَكۡبَرُ، ٱللَّهُ أَكۡبَرُ، ٱللَّهُ أَكۡبَرُ كَبِيرًا، وَٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ كَثِيرًا، وَسُبۡحَانَ اللَّهِ بُكۡرَةً وَأَصِيلًا.
ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ ٱلَّذِي لَمۡ يَتَّخِذۡ وَلَدٗا وَلَمۡ يَكُن لَّهُۥ شَرِيكٞ فِي ٱلۡمُلۡكِ وَلَمۡ يَكُن لَّهُۥ وَلِيّٞ مِّنَ ٱلذُّلِّۖ وَكَبِّرۡهُ تَكۡبِيرًا.
أَشۡهَدُ أَن لَّا إِلَـٰهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحۡدَهُۥ لَا شَرِيكَ لَهُۥ، وَلَهُ الۡأَسۡمَاءُ الۡحُسۡنى، وَالصِّفَاتُ الۡعُلًا. وَأَشۡهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبۡدُهُۥ وَرَسُولُهُۥ. الرَّحۡمَةُ الۡمُهۡدَاةُ، وَالۡبَدۡرُ الدُّجَى.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمۡ وَبَارِكۡ عَلَى سَيِّدِنَا وَحَبِيبِنَا وَنَبِيِّنَا وَقُدۡوَتِنَا مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِهِ وَأَصۡحَابِهِ وَمَنِ اهۡتَدَى.
أَمَّا بَعۡدُ.
فَيَا عِبَادَ ٱللَّهِ، ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ. وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيۡرَ ٱلزَّادِ ٱلتَّقۡوَى، فَقَدۡ فَازَ ٱلۡمُتَّقُونَ.
واهي همب2 الله، برتقواله كامو كفد الله دان چاريله بكالن. مك سسوڠݢوهڽ سبأيك2 بكالن ايت اداله برتقوى كفد الله. مك سسوڠݢوهڽ برجياله اورڠ2 يڠ برتقوى كفد الله.

أَعُوذُ بِٱللَّهِ مِنَ ٱلشَّيۡطَانِ ٱلرَّجِيمِ.
وَمَن يَرۡغَبُ عَن مِّلَّةِ إِبۡرَٰهِ‍ۧمَ إِلَّا مَن سَفِهَ نَفۡسَهُۥۚ وَلَقَدِ ٱصۡطَفَيۡنَٰهُ فِي ٱلدُّنۡيَاۖ وَإِنَّهُۥ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ لَمِنَ ٱلصَّٰلِحِينَ ١٣٠  إِذۡ قَالَ لَهُۥ رَبُّهُۥٓ أَسۡلِمۡۖ قَالَ أَسۡلَمۡتُ لِرَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ ١٣١ [سورة البقرة : ١٣٠-١٣١]
(مقصودڽ): دان سسياف يڠ تيدق سوك كفد اݢام (إسلام) يڠ دانوت اوله نبي إبراهيم عليه السلام مك سسوڠݢوهڽ اورڠ ايت تله ممبودهكن ديريڽ سنديري. دان سسوڠݢوهڽ كامي تله مميليه إبراهيم عليه السلام ددنيا اين (منجادي رسول) دان سسوڠݢوهڽ دي دأخيرة ننتي ترماسوق دالم كالڠن اورڠ2 يڠ صالح. ايڠتله افبيلا توهن برفرمان كفداڽ: "سرهله ديريمو." دي منجواب: "ساي مڽره ديري (دڠن إخلاص) كفد توهن سمستا عالم.

مسلمين دان مسلمات يڠ درحمتي الله،

هاري اين كيت مڽمبوت هاري راي أضحى اتو هاري راي قربان دڠن ممفرايڠاتي سيرة (فرجالنن هيدوف) نبي إبراهيم عليه السلام يڠ منجادي چونتوه يڠ دفيليه اوله الله كفد سلوروه مأنسي. چونتوه سئورڠ إسلام يڠ سبنر. إسلام دڠن معنى مڽره ديري كفد الله دڠن هاتي يڠ إخلاص يڠ دايكوتي دڠن توبه (جسدڽ) برعمل دڠن فرينته الله، والو فون مڠربانكن ديري دان كلوارݢاڽ، ستله برإيمان كفد اوچافن لَا إِلَٰـهَ إِلَّا اللَّه (تياد توهن يڠ سبنر ملأينكن الله سهاج) دان منولق سݢالا روف يڠ دنامكن شيريك (مڽڠوتوكن الله) دڠن سسوات يڠ لأين سهيڠݢ ترفقسا مڠهادافي اوجين كران إيمانڽ.

اينيله يڠ دسبوت اوله فرمان الله:
أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن يُتۡرَكُوٓاْ أَن يَقُولُوٓاْ ءَامَنَّا وَهُمۡ لَا يُفۡتَنُونَ ٢ وَلَقَدۡ فَتَنَّا ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡۖ فَلَيَعۡلَمَنَّ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ صَدَقُواْ وَلَيَعۡلَمَنَّ ٱلۡكَٰذِبِينَ ٣ [سورة العنكبوت : ٢-٣]
(مقصودڽ): اداكه مأنسي ايت مڽڠك بهوا مريك دبياركن بݢينو سهاج ستله مريك بركات: "كامي تله برإيمان، دالم كادأن مريك تيدق داوجي (اوله الله)؟ دان سسوڠݢوهڽ كامي (الله) تله مڠوجي اورڠ2 يڠ لبيه دهولو درفد مريك. مك (بنرله) اف يڠ دكتهوي الله، اورڠ2 يڠ بنر (برإيمان) دان اورڠ2 يڠ بربوهوڠ).
نبي إبراهيم عليه السلام بوكن سهاج منجادي چونتوه سئورڠ إسلام يڠ بنر2 مڽره ديري كفد الله دڠن مڠيكوت سݢالا فرينتهڽ، دي جوݢ تله داوجي دان برجاي مڠهادفي اوجين ايت، سهيڠݢ مڠهادفي حكومن يڠ مڠݢرونكن افبيلا دجاتوهكن حكومن دباكر كدالم افي يڠ بسر دڽالاكن دڠن دهشتڽ. افبيلا إبراهيم عليه السلام منريما حكومن يڠ ظاليم ايت دڠن تيدق برݢنجق إيمانڽ دان برسديا ماتي منجادي ابو، تيبا2 الله مڽلامتكنڽ سچارا معجزة يڠ دڽتاكن اوله فرمان الله ددالم القرءان:
قَالُواْ حَرِّقُوهُ وَٱنصُرُوٓاْ ءَالِهَتَكُمۡ إِن كُنتُمۡ فَٰعِلِينَ ٦٨ قُلۡنَا يَٰنَارُ كُونِي بَرۡدٗا وَسَلَٰمًا عَلَىٰٓ إِبۡرَٰهِيمَ ٦٩  وَأَرَادُواْ بِهِۦ كَيۡدٗا فَجَعَلۡنَٰهُمُ ٱلۡأَخۡسَرِينَ ٧٠ [سورة الأنبياء : ٦٨-٧٠]
(مقصودڽ): مريك بركات باكركن دي (كدالم افي) دان تولوڠله توهن كامو جك كامو ماهو برتيندق كأتسڽ. لالو كامي برفرمان (كفد افي): "واهي افي! جاديله سجوق دان سلامت سجهترا كفد إبراهيم." مريك (يڠ كافير) ايت ملاكوكن فرنچاڠنڽ، مك كامي جاديكن مريك اورڠ2 يڠ فاليڠ روݢي (ددنيا دان دأخيرة).
أخيرڽ إبراهيم عليه السلام دهالو كلوار اوليه بفاڽ سنديري دان راج يڠ ظاليم سيهڠݢ ترفقسا برهجرة كبومي فلسطين برسام كلوارݢ دان فڠيكوتڽ يڠ برإيمان. مك الله مميليه إبراهيم عليه السلام داوجي دڠن فرينته ملتقكن انقڽ إسماعيل عليه السلام برسام ايبوڽ هاجر عليها السلام دبومي مكة يڠ تيدق اد مأنسي، كريڠ تيدق اد اير دان مكانن . الله ممبري كفد مريك رزقي يڠ داتڠ سچارا لوار بياس، ستروسڽ داوجي لاݢي سفاي ميمبليه انقڽ إسماعيل عليه السلام، منديريكن كعبة دان ممڠݢيل مأنسي درفد سلوروه دنيا سفاي داتڠ مڠرجاكن حج. فرمان الله:
وَإِذِ ٱبۡتَلَىٰٓ إِبۡرَٰهِ‍ۧمَ رَبُّهُۥ بِكَلِمَٰتٖ فَأَتَمَّهُنَّۖ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامٗاۖ قَالَ وَمِن ذُرِّيَّتِيۖ قَالَ لَا يَنَالُ عَهۡدِي ٱلظَّٰلِمِينَ ١٢٤ [سورة البقرة : ١٢٤]
(مقصودڽ): دان ايڠتله، افبيلا الله تله مڠوجي إبراهيم عليه السلام دڠن ببراف فرينته، لالو دي تله ملقسناكنڽ دڠن سمفورنا. لالو كامي (الله) برفرمان: "سسوڠݢوهڽ اكو جاديكن كامو فميمفين." إبراهيم عليه السلام منجواب: "واهي توهنكو، جاديكنله جوݢ دكالڠن ذورية كتوروننكو." الله برفرمان: "تيدق ترماسوق ددالم جنجيكو اين اورڠ2 يڠ ظاليم."

مسلمين دان مسلمات يڠ درحمتي الله،
هاري اين كيت سدڠ مڽقسيكن جنجي الله مميليه نبي كيت محمد صلى الله عليه وسلم يڠ منجادي نبي دان رسول دأخير زمان كفد سلوروه مأنسي دأتس موك بومي اين. دلاهيركن دمكة يڠ منجادي تمفت نبي إبراهيم عليه السلام ملتقكن كلوارݢاڽ يڠ دفيليه اوليه الله.
ايڠتله، افبيلا رسول الله صلى الله عليه وسلم مڠاجق فندودوق مكة سفاي برإيمان برسامڽ باݢي منريما إسلام دان ممرينته دنيا دڠن حكوم شريعتڽ مريك منولق كران تاكوتكن كفد مخلوق مأنسي، لوفاكن ككواسأن الله سبحانه وتعالى. الله منچريتاكن ددالم القرءان:
وَقَالُوٓاْ إِن نَّتَّبِعِ ٱلۡهُدَىٰ مَعَكَ نُتَخَطَّفۡ مِنۡ أَرۡضِنَآۚ أَوَ لَمۡ نُمَكِّن لَّهُمۡ حَرَمًا ءَامِنٗا يُجۡبَىٰٓ إِلَيۡهِ ثَمَرَٰتُ كُلِّ شَيۡءٖ رِّزۡقٗا مِّن لَّدُنَّا وَلَٰكِنَّ أَكۡثَرَهُمۡ لَا يَعۡلَمُونَ ٥٧ [سورة القصص : ٥٧]
(مقصودڽ): دان مريك بركات: جك سكيراڽ كامي مڠيكوت فتونجوق برسمامو، نسچاي كامي اكن دبناساكن (اوليه موسه) درفد براد دالم نݢري كامي اين. (الله بركات): تيدقكه مريك سدر بهوا كاميله يڠ منمفتكن مريك دتانه حرام (مكة) يڠ أمان يڠ دبري كفد مريك كداتڠن برباݢي جنيس بواهن2، يڠ مروفاكن رزقي درفد سيسي كامي، تتافي كباڽقكن مريك تيدق مڠرتي (سفرتي تيدق مڠتهوي).

مسلمين دان مسلمات يڠ درحمتي الله،
اداله دلوار درفد عقل فيكيران مأنسي، بهوا رسول الله صلى الله عليه وسلم يڠ تله ممولاكن دعوهڽ كفد سلوروه عالم اين درفد بومي مكة يڠ كريڠ دان جأوه درفد مأنسي تله برجاي مڽيبركن إسلام كسلوروه دنيا فد هاري اين والوفون رسول الله صلى الله عليه وسلم سوده وفاة منيڠݢل دنيا. فارا صحابتڽ رضي الله عنهم تله برجاي منجاتوهكن نݢارا فرسي دان روم، دوا كواس بسر دنيا يڠ قوات دڠن بالا تنتراڽ دان فاليڠ باڽق هرتاڽ، سرت رامي رعيت جلاتاڽ، أخيرڽ إسلام منجادي كواس بسر يڠ ممرينته سبهاݢين بسر موك بومي اين.

سكارڠ كيت مڽقسيكن فولا اومة إسلام دالم كادأن يڠ ساڠت لمه، بوكن سهاج نݢري2 اومة إسلام دجاجه دان دكواسأي اوليه موسه2 إسلام، مريك جوݢ تله ممبهاݢيكن بومي إسلام سسام مريك. ممفرهمباكن رعيتڽ دان مرمفس حاصيل بوميڽ يڠ باڽق. دݢوناكن فولا انتوق ممبونه أومة إسلام، سمأد سچارا لڠسوڠ مڽرڠڽ، اتو ملاݢا2كن اومة إسلام ممبونه سسام سنديري. والو فون دكتاكن سوده مرديكا، تتافي هيدوڠڽ ماسيه دچوچوق سفرتي لمبو يڠ دچوچوق هيدوڠڽ، بوله دهيريت مڠيكوت كهندق فنجاجه ايت.

سببڽ اداله ستله تيدق برعمل لاݢي دڠن سموا اجاران إسلام . والو فون عبادة سمبهيڠ، فواس، زكاة، حج، ذيكير دان دعاءڽ سچارا إسلام، تتافي چارا هيدوفڽ دالم اوروسن فوليتيك، ايكونومي دان فرݢأولنڽ تيدق مڠيكوت حكوم شريعة إسلام دڠن سفنوهڽ. اينيله دي أماران الله كفد اومة دزمان دهولو افبيلا مريك تيدق برعمل دان مڠيكوت إسلام سمواڽ ددالم كتاب توراة:
أَفَتُؤۡمِنُونَ بِبَعۡضِ ٱلۡكِتَٰبِ وَتَكۡفُرُونَ بِبَعۡضٖۚ فَمَا جَزَآءُ مَن يَفۡعَلُ ذَٰلِكَ مِنكُمۡ إِلَّا خِزۡيٞ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۖ وَيَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ يُرَدُّونَ إِلَىٰٓ أَشَدِّ ٱلۡعَذَابِۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَٰفِلٍ عَمَّا تَعۡمَلُونَ ٨٥ أُوْلَٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ ٱشۡتَرَوُاْ ٱلۡحَيَوٰةَ ٱلدُّنۡيَا بِٱلۡأٓخِرَةِۖ فَلَا يُخَفَّفُ عَنۡهُمُ ٱلۡعَذَابُ وَلَا هُمۡ يُنصَرُونَ ٨٦ [سورة البقرة : ٨٥-٨٦]
(مقصودڽ): اداكه كامو برإيمان دڠن ستڠه درفد كتاب (توراة) دان كامو كفور درفد ستڠه يڠ لأين. مك تياد بالسن باݢي مريك يڠ بربوات بݢيتو ملأينكن كنيستأن (منجادي هينا) دالم كهيدوفن دنيا دان دهاري أخيرة ننتي دچمفقكن كدالم عذاب (نراك) يڠ فاليڠ سيقسا. دان الله تيدق لالي درفد اف يڠ تله كامو عملكن. مريك ايتوله اورڠ2 يڠ تله ممبلي كهيدوفن دنيا دڠن ممبايرڽ دڠن أخيرة. مك تيدق دريڠنكن عذاب (نراك) كأتس مريك دان مريك تيدق دبري فرتولوڠن اوليه الله.
بݢينيله جوݢ بالسنڽ افبيل منيڠݢلكن القرءان. سكارڠ كيت سدڠ مليهت عاقبة يڠ منيمفا اومة إسلام افبيلا منيڠݢلكن حكوم2 يڠ دسبوت دالم القرءان دان برعمل دالم فركارا عبادت، فركهوينن، هرت فساك دان برذيكير سهاج. ماريله سكارڠ كيت برتوبة، باليق سمولا كفڠكل جالن ستله لام دالم كسساتن دان لالي، كران الله ممبوك فينتو توبة يڠ ساڠت لواس.

 مسلمين دان مسلمات يڠ دحرماتي،

هاري اين كيت مڽمبوت هاري راي أضحى برسام اومة إسلام يڠ مڠرجاكن حج، مريك مڽاهوت سروان الله يڠ داوچفكن اوليه نبي إبراهيم عليه السلام ستله منديريكن كعبة، سمنجق ببراف ريبو تاهون يڠ لالو، دلأوڠكن دتمفت تيدق اد مأنسي دان تيدق دڠن فمبسر سوارا دان الت فڽياران سفرتي هاري اين. فرمان الله:
وَأَذِّن فِي ٱلنَّاسِ بِٱلۡحَجِّ يَأۡتُوكَ رِجَالٗا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٖ يَأۡتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٖ ٢٧ [سورة الحج : ٢٧]
(مقصودڽ): سروله مأنسي سفاي داتڠ مڠرجاكن (حج)، نسچاي مريك داتڠ والو فون برجالن كاكي دان منوڠݢڠ اونتا يڠ كوروس (كران جأوهڽ فرجالنن)، مريك داتڠ ملالؤي ستيف جالن يڠ ترلالو جأوه فرجالننڽ.

هاري اين جوݢ كالڠن اومة إسلام يڠ ممفو مڽمبليه بناتڠ قربان، مڠهيدوفكن اجاران الله يڠ دمولاكن اوليه نبي إبراهيم عليه السلام يڠ برسديا مڠربانكن انق كسايڠنڽ إسماعيل عليه السلام كران فرينته الله. دان الله منريما عمالن اورڠ يڠ إخلاص نيتڽ بوكنڽ مڽمبليه انقڽ، تتافي الله منوكركڽ دڠن بناتڠ فليهارأن يڠ دماكن داݢيڠڽ. فرمان الله:
لَن يَنَالَ ٱللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَآؤُهَا وَلَٰكِن يَنَالُهُ ٱلتَّقۡوَىٰ مِنكُمۡۚ كَذَٰلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمۡ لِتُكَبِّرُواْ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمۡۗ وَبَشِّرِ ٱلۡمُحۡسِنِينَ ٣٧ [سورة الحج : ٣٧]
(مقصودڽ): الله تيدقله منچافي داݢيڠ2 دان داره2 (بناتڠ قربان ايت، تتافي الله منريما تقوى يڠ اد فد كامو. بݢيتوله الله منجاديكن كامو دافت ممليهارا بناتڠ ايت انتوق كامو سفاي كامو ممبسركن الله (برتكبير مملياكنڽ) مننداكن كشكوران كران هديهڽ كفد كامو منجادي إسلام. دان بريله بريتا ݢمبيرا كفد اورڠ2 يڠ مڠرجاكن عمالن يڠ بأيك.

هاري اين  جوݢ كيت مليهت اݢام إسلام سوده بركمبڠ دسلوروه فلوسوق دنيا، والو فون اجارانڽ باڽق يڠ دتيڠݢلكن. كواجيفن سكارڠ اياله برعمل دڠن سموا اجاران إسلام دان برجواڠ باݢي منجياكنڽ.

أَعُوذُ بِٱللَّهِ مِنَ ٱلشَّيۡطَانِ ٱلرَّجِيمِ.
وَمَن يَبۡتَغِ غَيۡرَ ٱلۡإِسۡلَٰمِ دِينٗا فَلَن يُقۡبَلَ مِنۡهُ وَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ ٨٥ كَيۡفَ يَهۡدِي ٱللَّهُ قَوۡمٗا كَفَرُواْ بَعۡدَ إِيمَٰنِهِمۡ وَشَهِدُوٓاْ أَنَّ ٱلرَّسُولَ حَقّٞ وَجَآءَهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُۚ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّٰلِمِينَ ٨٦ أُوْلَٰٓئِكَ جَزَآؤُهُمۡ أَنَّ عَلَيۡهِمۡ لَعۡنَةَ ٱللَّهِ وَٱلۡمَلَٰٓئِكَةِ وَٱلنَّاسِ أَجۡمَعِينَ ٨٧ خَٰلِدِينَ فِيهَا لَا يُخَفَّفُ عَنۡهُمُ ٱلۡعَذَابُ وَلَا هُمۡ يُنظَرُونَ ٨٨ إِلَّا ٱلَّذِينَ تَابُواْ مِنۢ بَعۡدِ ذَٰلِكَ وَأَصۡلَحُواْ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٞ رَّحِيمٌ ٨٩ [سورة آل عمران : ٨٥-٨٩]
(مقصودڽ): دان سسياف يڠ منچاري (اتو برفݢڠ) كفد اجاران يڠ لأين درفد إسلام نسچاي دي تيدق دتريما (اوليه الله) دان دآخيرة ننتي ترماسوق دالم كالڠن اورڠ2 يڠ روݢي. بݢيمانكه الله بوله ممبري هداية كفد اورڠ يڠ كفور ستله مريك برإيمان؟ دان مريك مڽقسيكن بهوا رسول يڠ دلنتيق ايت اداله بنر دان ممباوا كتراڠن2 يڠ ڽات، دان الله تيدق ممبري هداية كفد اورڠ2 يڠ ظاليم. مريك ايتوله اورڠ2 يڠ دلعنة اوله الله، فارا ملائكة دان مأنسي سمواڽ. مريك ككل ددالم لعنة (دان سيقسا) ايت دان تيدق دريڠنكن عذابڽ دان تيدق دبري فرهاتين. ملأينكن اورڠ2 يڠ برتوبة سلفسڽ دان بربوات بأيك. مك سسوڠݢوهڽ الله ايت مها فڠامفون لاݢي مها فڽايڠ.
بَارَكَ ٱللَّهُ لِي وَلَكُمۡ فِى الۡكِتَابِ وَٱلسُّنَةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمۡ بِٱلۡآيَاتِ وَٱلۡحِكۡمَةِ. أَقُولُ قَوۡلِى هَٰذَا وَاَسۡتَغۡفِرُ ٱللَّهَ ٱلۡعَظِيمَ لِي وَلَكُمۡ وَلِسَائِرِ ٱلۡمُسۡلِمِينَ وَٱلۡمُسۡلِمَاتِ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلۡغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ.

خطبة يڠ كدوا

ٱللَّهُ أَكۡبَرُ، ٱللَّهُ أَكۡبَرُ، ٱللَّهُ أَكۡبَرُ، ٱللَّهُ أَكۡبَرُ، ٱللَّهُ أَكۡبَرُ، ٱللَّهُ أَكۡبَرُ، ٱللَّهُ أَكۡبَرُ، وَلِلَّهِ الۡحَمۡدُ. أَشۡهَدُ أَنۡ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحۡدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ. وَأَشۡهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبۡدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمۡ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحۡبِهِ وَمَنۡ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ.
أَمَّا بَعۡدُ:
فَيَا عِبَادَ اللَّهِ، أُوصِيكُمۡ وَإِيَّاىَ بِتَقۡوَى اللَّهِ فَقَدۡ فَازَ الۡمُتَّقُونَ. وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيۡرَ الزَّادِ التَّقۡوَى.

مسلمين دان مسلمات سكلين!

ماريله فد هاري راي اين، كيت مراساكن  بتاف بسرڽ نعمة إيمان دان إسلام يڠ دكرنياكن كفد كيت اوله الله تعـالي، بهكن كيت فاتوت بربڠݢ كرانڽ. هاڽ كماتين ددالم إيمان دان اسـلام سهاج  يڠ دريضـأي اوله الله سبݢيمان فرمانڽ:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسۡلِمُونَ ١٠٢ [سورة آل عمران : ١٠٢]
(مقصودڽ): واهي اورڠ2 يڠ برإيمان، برتقواله كامو كفد الله دڠن سبنر2 تقوى، دان جاڠنله كامو ماتي ملأينكن كامو ددالم كادأن براݢام اسلام.
فد هـاري اين جوݢ هندقله كيت ايڠت بتاف بسرڽ نعمة فرسودارأن اسـلام يڠ دانجوركن ددالم اسلام. تندا إيمان سسؤرڠ اياله دي كاسيه كفد سودارا سأݢام دڠنڽ سبݢيمان دي كاسيه كفد ديريڽ سنديري. سبدا رسول الله صلى الله عليه وسلم:
لَا يُؤۡمِنُ أَحَدُكُمۡ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحَبُّ لِنَفۡسِهِ. [ رواه البخاري ]
(مقصودڽ): تيدق برإيمان سسؤرڠ درفد كامو سهيڠݢ دي كـاسيه كفد سـوداراڽ سبݢيمان كاسيهڽ كفد ديريڽ سنديري.
سهوبڠن ايت هندقله لاهـير ددالم هاتي ستيف اورڠ اسلام فراسأن سديه ترهادف بلاء بنچان دان كسوساهن يڠ منيمفا اومة اسلام دسرات فلوسوق دنيا، سمأد مريك يڠ دتيمفا كمـسكينن دان كبولورن دنݢارا2 افريقا، دان اومة اسلام يڠ سدڠ دجاجه، دظالمي دان دبونه سرت دتيندس سفرتي دفلسطين، مصر، سوريا، عـراق، سلاتن تايلند دان سباݢيڽ. اداله منجادي تڠݢونجواب اومة اسلام انتوق ممبنتو مريك درفد تروس دتيمفا كسوسهن. جك تيدق ممفو ممبنتو مريك دڠن  واڠ ريڠݢيت دان تناݢ، سكورڠڽ2 ملالؤي دعاء دان مناجات كفد الله سفاي الله ممبري فرتولوڠن كفد مريك دان ممبيبسكن مريك درفد فندريتأن دان كظاليمن مأنسي.

مسلمين دان مسلمات سكلين!

فد هاري يڠ مليا دان فنوه بركة اين ماريله كيت ممباڽقكن اوچافن صلوات دان سلام كأتس نبي محمد صلى الله عليه وسلم  يڠ تله مڽمفيكن اسلام كفد كيـت ستله ملالؤي برباݢي بنتوق جهاد دان فڠربانن. تندا كاسيه كيت كفد بݢيندا دراقمكن ملالؤي اوچافن صلوات دان سلام سباݢي مماتوهي فرينته الله ددالم القرءان:
إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلَٰٓئِكَتَهُۥ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِيِّۚ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ صَلُّواْ عَلَيۡهِ وَسَلِّمُواْ تَسۡلِيمًا ٥٦ [سورة الأحزاب : ٥٦]
(مقصودڽ): سسوڠݢوهڽ الله دان فارا ملائكتڽ سنتياس برصلوات كاتس نبى، مك واهي اورڠ2 برإيمان، اوچفكن صلوات دان سلام كأتسڽ دڠن سسوڠݢوهڽ2.
اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيۡتَ عَلَى إِبۡرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبۡرَاهِيمَ. وَبَارِكۡ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكۡتَ عَلَى إِبرَاهيمَ وَعَلَى آلِ إِبرَاهِيمَ فِى الۡعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.

اَللَّهُمَّ اغۡفِرۡ لِلۡمُؤۡمِنِينَ وَالۡمُؤۡمِنَاتِ وَالۡمُسۡلِمِينَ وَالۡمُسۡلِمَاتِ الۡأَحۡيَآءِ مِنۡهُمۡ وَالۡأَمۡوَاتِ. رَبَّنَا اغۡفِرۡ لَنَا ذُنُوبَنَا وَذُنُوبَ وَالِدِينَا وَارۡحَمۡهُمۡ كَمَا رَبَّوۡنَا صِغَارًا. رَبَّنَا اغۡفِرۡلَنَا وَلِإِخۡوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالۡإِيمَانِ وَلَا تَجۡعَلۡ فِى قُلُوبِنَا غِلًّا لِلَّذِينَ ءَامَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَؤُوفٌ رَّحِيمٌ.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الۡإِسۡلَامَ وَالۡمُسۡلِمِينَ، وَأَذِلَّ الشِّرۡكَ وَالۡمُشۡرِكِين، وَالنِّفَاقَ وَالۡمُنَافِقِينَ، وَالظُّلۡمَ وَالظَّالِمِينَ. اَللَّهُمَّ إِنَّا نَجۡعَلُكَ فِى نُحُورِ أَعۡدَآئِنَا وَنَعُوذُ بِكَ مِنۡ شُرُورِهِمۡ. اَللَّهُمَّ رُدَّ كَيۡدَهُمۡ عَلَى نُحُورِهِمۡ. اَللَّهُمَّ بَدِّدۡ شَمۡلَهُمۡ وَفَرِّقۡ جَمۡعَهُمۡ وَشَتِّتۡ كَلِمَتَهُمۡ وَزَلۡزِلۡ أَقۡدَامَهُمۡ، وَسَلِّطۡ عَلَيۡهِمۡ كَلۡبًا مِنۡ كِلَابِكَ.
اَللَّهُمَّ انۡصُرۡ إِخۡوَانَنَا الۡمُجَاهِدِينَ وَالۡمُسۡتَضۡعَفِينَ فِى فَلَسۡطِينَ، وَفِى غَزَّةِ، وَفِى الۡعِرَاقِ، وَفِى سُورِيَا، وَفِى كَشۡمِير، وَفِى جَنُوۡبِ تَايۡلَنۡد، وَفِى كُلِّ مَكَانٍ. اَللَّهُمَّ قَوِّ عَزَائِمَهُمۡ، وَاجۡمَعۡ كَلِمَتَهُمۡ، وَثَبِّتۡ أَقۡدَامَهُمۡ، وَانۡصُرۡهُمۡ عَلَى أَعۡدَآئِهِمۡ.  
اَللَّهُمَّ آتِ أَنۡفُسَنَا تَقۡوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنۡتَ خَيۡرُ مَنۡ زَكَّاهَا، أَنۡتَ وَلِيُّهَا وَمَوۡلَاهَا. اَللَّهُمَّ أَرِنَا الۡحَقَّ حَقًّا وَارۡزُقۡنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الۡبَاطِلَ بَاطِلًا وَارۡزُقۡنَا اجۡتِنَابَهُ. اَللَّهُمَّ أَصۡلِحۡ سُلۡطَانَنَا، وَأَئِمَّتَنَا وَوُلَاةَ أُمُورِنَا، وَاجۡعَلۡ وِلَايَتَنَا فِى مَنۡ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الۡعَالَمِينَ.
رَبَّنَا ظَلَمۡنَآ أَنفُسَنَا وَإِن لَّمۡ تَغۡفِرۡ لَنَا وَتَرۡحَمۡنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ. رَبَّنَا لَا تُزِغۡ قُلُوبَنَا بَعۡدَ إِذۡ هَدَيۡتَنَا وَهَبۡ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحۡمَةًۚ  إِنَّكَ أَنتَ ٱلۡوَهَّابُ. رَبَّنَا هَبۡ لَنَا مِنۡ أَزۡوَٰجِنَا وَذُرِّيَّٰتِنَا قُرَّةَ أَعۡيُنٖ وَٱجۡعَلۡنَا لِلۡمُتَّقِينَ إِمَامًا. رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِي ٱلدُّنۡيَا حَسَنَةٗ وَفِي ٱلۡأٓخِرَةِ حَسَنَةٗ وَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ.
وَصَلَّى اللَّهُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحۡبِهِ وَسَلَّمۡ. وَالۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ الۡعَالَمِينَ.

ٱللَّهُ أَكۡبَرُ، ٱللَّهُ أَكۡبَرُ، ٱللَّهُ أَكۡبَرُ، وَلِلَّهِ الۡحَمۡدُ.

http://www.pas.org.my/images/PDF/Khutbah-Aidil-Adha-1438.pdf

FIRMAN Allah:

وَلَئِن سَأَلۡتَهُمۡ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلۡعَبُۚ قُلۡ أَبِٱللَّهِ وَءَايَٰتِهِۦ وَرَسُولِهِۦ كُنتُمۡ تَسۡتَهۡزِءُونَ ٦٥ التوبة

“Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main. Katakanlah: Patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?” (Surah At-Taubah: 65)

Al-Quran mendedahkan adanya kalangan manusia yang menjadikan Allah S.W.T, ayat-ayat dan para Rasul-Nya sebagai bahan gurauan sama ada bertujuan menghina atau bergurau untuk berjenaka. Islam mengharamkan perbuatan ini kerana boleh merosakkan iman seseorang sekiranya berdegil dan angkuh, melainkan kerana kejahilannya.

Ramai kalangan rakyat masih tidak lupa apabila hukum Islam dan Sunnah Rasulullah S.A.W menjadi bahan gelak ketawa pada satu masa dahulu, seperti kata-kata kalau hukum jenayah Islam dilaksanakan menyebabkan ramai orang yang cacat anggota, Rasulullah S.A.W tidak mencukur janggut kerana di zamannya tidak ada pisau pencukur yang berjenama seperti hari ini dan menutup aurat hanyalah adat orang arab yang kuat nafsu di padang pasir.  

Ada yang lebih ekstrem sehingga menolak hadis secara total, walaupun ianya merupakan kebijaksanaan Rasulullah S.A.W dalam beramal dengan Al-Quran yang dinaskan di dalam kitab suci itu. Bahagian Agama Islam Jabatan Perdana Menteri telah mengeluarkan buku bertajuk “Mustika Hadis” dan terkandung satu bab daripadanya menghuraikan perkara tersebut.

Hanya kalangan agamawan yang membaca dan mengkaji, serta mempertahankannya memahami perkara tersebut walaupun dikeluarkan oleh JPM dan Kata Pengantar daripada Almarhum Tun Abdul Razak. Adapun yang tidak berminat tanpa peduli, tetapi bercakap juga berkenaan Islam, maka berlakulah salah laku terhadap agama Islam yang mulia.

Ustaz Ibrahim Mahmod adalah lulusan pengajian tinggi jurusan agama dan pernah bertugas di Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri, bukan seorang yang jahil. Beliau tokoh agama yang tidak bersedia menjadi syaitan bisu apabila mendengar dan membaca kenyataan menghina dan bersenda gurau terhadap Islam yang tidak harus bagi ulama mendiamkan diri.

Mengikut ilmu Maqasid Syariah, salah laku terhadap agama lebih besar daripada salah laku kewangan, kerana Islam meletakkan senarai kewajipan menjaga agama adalah yang pertama, seterusnya adalah menjaga nyawa, akal, keturunan, maruah dan yang terakhir menjaga harta. Semuanya disebut Dharuriyyat, yakni keperluan hidup bagi manusia.

Apabila berlaku pertelingkahan dalam urusan agama, tugasnya bukan anggota polis. Sepatutnya pasukan agamawan yang dihantar berhujah mencari kebenaran, bukannya polis. Ini berpandukan firman Allah;

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا ٥٩ النساء.

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (para pemimpin dan ulama) daripada kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya, jika kamu benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya” (Surah An-Nisa’: 59)
 
Sebenarnya, penjelasan kitab Mustika Hadis secara ekstrem, tanpa membezakan di antara yang jahil dan keadaan masyarakat yang jauh daripada pendidikan Islam, maka pimpinan PAS pada masa itu menugaskan saya menyediakan kajian bertajuk “Batas-batas Iman dan Kufur” bagi menangani ahli PAS supaya tidak terperangkap dalam isu kafir mengkafir dengan mudah, disebabkan banyaknya kenyataan menghina hukum Islam oleh penganut Islam sendiri.

Peristiwa Memali adalah mangsa daripada salah laku terhadap Islam oleh pemimpin negara pada masa itu. Polis dipaksa bertindak terhadap golongan agama yang terpaksa mempertahankan kesucian Islam yang dihina.

Peristiwa yang menyebabkan berlakunya kematian dan tuduhan jenayah atau ajaran sesat, perlu disiasat secara adil dan bebas demi mencari kebenaran bukannya menegakkan kebatilan dan melibatkan semua pihak yang masih hidup.

Perkara agama Islam pula berada di bawah konsep Raja Berperlembagaan, maka sangat wajar ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) supaya siasatan yang bebas dan adil dapat dilaksanakan tanpa prejudis.

PAS bersedia memberi kerjasama bila-bila masa bagi menghapuskan fitnah yang boleh merosakkan hubungan kalangan umat Islam dan berlaku adil terhadap semua mangsa peristiwa itu.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 3 Zulhijjah 1438 / 25 Ogos 2017 - HARAKAHDAILY 25/8/2017

 

APABILA adanya tindakan undang-undang terhadap sesuatu kesalahan dan salah laku, maka itulah sahaja yang dihebohkan dan menjadi berita hangat terkini. Kemudian hilang pergi seperti gas Pepsi Cola apabila dicabut penutup tanpa melakukan muhasabah terhadap kesan undang-undang itu secara menyeluruh dan melihat kejayaan atau kegagalan dalam mengatasi salah laku tersebut serta sejauh mana memberi kesan dalam mendidik masyarakat.

Masyarakat dilupakan bahawa perkembangan jenayah dan salah laku semakin meningkat, caranya makin licik dan lapangannya lebih meluas, sehingga gagal dibendung dan kesannya menjadi lebih parah walaupun ditangkap ikan jerung yang besar.

Hari ini, isu rasuah yang dihadapkan dengan tegas secara undang-undang menjadi berita utama dan berita perdana, sedangkan perkara jenayah dan maksiat juga semakin parah seperti diperkecilkan atau dilupakan.

Dahulunya rasuah sekadar duit angka ribu dan puluhan ribu, kini sudah mencecah angka juta dan kehilangan berbilion-bilion melibatkan semua peringkat, sama ada yang bergaji kecil kerana pendapatan yang tidak mencukupi dan memaksakan, sehingga yang bergaji sangat besar untuk menjadi kaya raya dan menambahkan kekayaan dengan kejahatannya.

Jenayah pula bukan lagi di tahap mencuri kecil-kecilan, menyelup saku dan merompak di rumah, tetapi sudah sampai merompak bank dan kedai mewah yang dikawal rapi dengan senjata dan berbilik kebal, merompak di waktu siang hari di tengah bandar sehingga melanun kapal besar di laut dan ada yang menyambar duit negara. Jenayah lebih parah lagi dengan kes membunuh ahli keluarga tersayang seperti ibu dan bapa.

Maksiat pula sehingga ke tahap membuang anak ke dalam tong sampah, mengedar dan menagih dadah di setiap lorong.

Ini menunjukkan bahawa tindakan undang-undang hari ini laksana hanya memukul nyamuk di badan sahaja bagi menjauhi penyakit yang berpunca daripadanya tanpa membersihkan longkang yang membiakkan nyamuk merbahaya itu, atau mencari ubat yang dapat membunuhnya dengan lebih berkesan.
 
Hanya dilihat tindakan undang-undang yang diwar-warkan sebagai salah satu daripada pendekatan bagi mengatasi masalah penyakit manusia dan masyarakatnya. Namun tidak dilihat pendekatan yang lain, di mana mencegah kemungkaran sebelum berlaku sepatutnya didahulukan dengan mendidik masyarakat berjati diri manusia dan berakhlak melalui pengajian yang berkesan dan media yang membantu.   

Tidak dilihat juga bahawa undang-undang itu sendiri hendaklah munasabah dengan kejadian manusia mengikut fitrahnya, dan rantaiannya dengan aspek yang lain, seperti politik, ekonomi, pendidikan dan kemasyarakatan. Sehingga perkara ini bukan sahaja menjadi kewajipan kerajaan, bahkan melibatkan rakyat di semua peringkat.
 
Di sinilah perlu kembali kepada kebijaksanaan Allah Pencipta Alam termasuk manusia, namun dilupakan Ilmu Allah dan Kebijaksanaan-Nya. Betapa banyak Rahmat-Nya tidak terhingga sehingga dalam perkara di luar kotak kemampuan manusia. Mereka lupakan Allah kerana keangkuhan tanpa sedar dirinya masih banyak kelemahan, lalu mencipta undang-undang sendiri dalam perkara yang tidak diizinkan oleh Alllah walaupun banyak ruang yang diizinkannya, tetapi diputuskan pula hubungan mata rantainya dengan petunjuk Allah yang menyeluruh dan sempurna.

Dalam aspek undang-undang perlu dibuat perbandingan di antara syariat Allah dan undang-undang ciptaan manusia dalam perkara yang sama. Demi menyelesaikan masalah secara jujur, bukan sekadar menunjukkan kuasa tanpa kehaibatannya, bagi tujuan mengubati masalah untuk kebaikan semua.
 
Contohnya dalam mengatasi masalah yang nyata kemanusiaannya, iaitu perjuangan menentang amalan perhambaan sesama manusia, adanya persamaan konsep barat dan Islam, tetapi Islam berdasarkan aqidah atau iman yang tidak ada dalam undang-undang barat. Walaupun undang-undang barat ciptaan manusia mengharamkannya dengan keras dan tegas, namun gagal pada dasarnya sehingga bertukar cara perhambaan yang lebih parah dan kejam terhadap yang lemah khususnya kaum wanita.

Abraham Lincoln, salah seorang Presiden Amerika yang menjadi kebanggaan dunia barat dan pengikutnya kerana memperkenalkan undang-undang baru bagi menghapus perhambaan di negaranya dengan tegas mengharamkan perhambaan, sehingga beliau mati dibunuh. Walaupun undang-undang baru itu diteruskan, tetapi amalan menghina warga bukan kulit putih masih berterusan sehingga kini, dan berleluasanya perhambaan secara moden yang lebih kejam dan ganas, daripada memperhambakan manusia kepada memperhambakan negara yang lemah.

Jenayah di negara itu juga makin meningkat sehingga membunuh kanak-kanak di sekolah, menunjukkan betapa sudah melampau sehingga di luar perikemanusiaan, berlakunya di negara besar yang paling maju, kaya dan lantang memperjuangkan hak asasi manusia dan kebebasannya. Mereka juga mempunyai undang-undang yang keras dan tegas terhadap pelakunya.

Sejarah Islam yang dilupakan telah berjaya mengatasi masalah perhambaan tidak secara mengharamkannya, tetapi melalui pendekatan mendidik dan menghukum, walaupun menghadapi masyarakat yang suka berperang dan merompak serta menculik.

Islam mengambil pendekatan mendidik dan mengenakan undang-undang takzir terhadap salah laku, bukan sahaja Hudud dan Qisas yang dikhususkan ke atas kesalahan jenayah yang berat dengan hukuman menggerunkan dengan syarat-syarat yang ketat dan banyak halangan untuk menjatuhkan hukuman sewenang-wenangnya.

Dalam usaha menghapuskan perhambaan, Islam mewajibkan layanan terhadap hamba yang diletakkan dalam kewajipan keluarga, memperkenalkan hukuman memerdekakan hamba terhadap kesalahan ibadat dan jenayah dan galakan pahala besar memerdekakan hamba serta berdosa besar kalau menzaliminya. Akhirnya amalan perhambaan tidak ada lagi dalam masyarakat Islam sehingga kedatangan Islam ke negara lain dikira penyelamat bukannya penjajah.

Perbezaan di antara syariat Islam dan undang-undang ciptaan manusia adalah syariat Islam mengandungi aspek rohani yang ada hubungannya dengan Allah dan Hari Akhirat serta kepercayaan kepada perkara yang ghaib seperti adanya dosa dan pahala dan para malaikat yang memantau, bukan sahaja Allah yang Maha Mengetahui, Mendengar dan Melihat. Adapun undang-undang ciptaan manusia dalam hubungan dengan manusia dan alam dunia sahaja, di samping tidak ada perhitungan dosa dan pahala.

Dalam syariat Islam ada hubungannya dengan Allah dalam aspek ibadah dan perhambaan kepada Allah. Berbeza dengan undang manusia yang sekadar hubungan kerakyatan dengan kerajaan di dunia sahaja tanpa kepercayaan kepada yang ghaib, tiada perhitungan dosa dan pahala, hanya pemantauan manusia secara zahir sahaja, menjadikan seseorang itu boleh rasa terlepas daripada undang-undang apabila di luar pandangan manusia. Adapun syariat Islam berwawasan dunia sehingga akhirat selepas meninggal dunia, menjadikan hukuman di dunia dibebaskan di Hari Akhirat dan tidak bebas daripada hukuman neraka sekiranya terlepas daripada hukuman dunia atau tidak bertaubat dan mendapat kemaafan daripada mangsa. Firman Allah:

إِلَّا ٱلَّذِينَ تَابُواْ مِن قَبۡلِ أَن تَقۡدِرُواْ عَلَيۡهِمۡۖ فَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ غَفُورٞ رَّحِيمٞ ٣٤ المائدة

“Kecuali orang-orang yang bertaubat sebelum kamu dapat menangkapnya, (mereka terlepas dari hukuman itu). Maka ketahuilah, bahawasanya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Al-Maidah: 34)

Kalau akhirnya dibawa ke mahkamah, hukum syariat menetapkan syarat dan rukun yang ketat dalam Sistem Kehakiman Islam, sama ada dengan pengakuan secara insaf dan rela hati tanpa paksaan dan seksaan, atau penghakiman yang bersifat aqidah dan akhlak, bukan sahaja aspek undang-undangnya.  

Islam meletakkan orang yang dituduh tidak bersalah selagi tidak dibuktikan. Maka amalan memalukan orang yang dituduh melalui media, seolah-olah dia sudah bersalah adalah bertentangan dengan konsep Islam. Cara begini hanya boleh mencari dosa percuma walaupun dia ternyata bersalah pada akhirnya, kerana masih dalam urusan Badan Kehakiman. Kalau dia tidak bersalah, maka dosanya lebih besar.   

Akhirnya, Islam berjaya menghapuskan perhambaan dalam masyarakatnya dan mengatasi masalah jenayah besar dan kecil, walaupun tidak mungkin dihapuskan di alam dunia selagi adanya syaitan yang terus menggoda manusia sehingga akhir zaman.

Rahsia kejayaan syariat Islam adalah roh aqidah dalam perundangan dan keberkatan serta kehaibatannya menusuk ke dalam hati manusia. Kekuatannya terletak kepada kesempurnaan Islam yang tidak memisahkan urusan dunia dan akhirat dengan ajaran agama Islam yang menyeluruh. Kesempurnaannya pula merangkumi aspek fitrah manusia yang berjasad, roh, akal, berindividu dan bermasyarakat.

Konsep halal dan haram dalam Islam yang menjadi roh kepada syariat Islam itu juga membezakannya dengan undang-undang ciptaan manusia. Walaupun yang haram itu ternyata benar berdasarkan kajian sains terkini dengan menepati perhitungan manfaat dan mudaratnya kepada sakit dan sihatnya jasad, tetapi hanya dipandang dalam sempadan kehidupan di dunia sahaja, tanpa mempedulikan aspek roh selepas kematian dan alam akhirat. Namun syariat Islam itu kesannya lebih mendalam sehingga ke dalam aspek rohani dan hikmatnya melebihi jangkauan jasad dan pandangan lahiriah sahaja.  

Islam menggabungkannya dengan pendidikan akhlak yang mendidik hati nurani yang mencetuskan pemerintahan kepada jasad diri masing-masing yang dipantau oleh Allah dan para malaikatnya, bukan sahaja undang-undang negara yang dipantau oleh kerajaan dan jenteranya.
 
Firman Allah:

لِّلَّهِ مَا فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَمَا فِي ٱلۡأَرۡضِۗ وَإِن تُبۡدُواْ مَا فِيٓ أَنفُسِكُمۡ أَوۡ تُخۡفُوهُ يُحَاسِبۡكُم بِهِ ٱللَّهُۖ فَيَغۡفِرُ لِمَن يَشَآءُ وَيُعَذِّبُ مَن يَشَآءُۗ وَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ ٢٨٤ البقرة

“Kepunyaan Allah sahaja segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hatimu atau kamu menyembunyikannya, nescaya Allah akan membuat perhitungan dengan kamu tentang perbuatan kamu itu. Maka Allah mengampuni sesiapa yang dikehendaki-Nya dan menyeksa sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Surah Al-Baqarah: 284)

Sabda Rasulullah S.A.W.

إن الحلال بين، وإن الحرام بين وبينهما مشتبهات لا يعلمهن كثير من الناس. فمن اتقى الشبهات استبرأ لدينه وعرضه، ومن وقع في الشبهات وقع في الحرام، كالراعي يرعى حول الحمى يوشك أن يرتع فيه، ألا وإن لكل ملك حمى، ألا وإن حمى الله محارمه، ألا وإن في الجسد مضغة إذا صلحت صلح الجسد كله، وإذا فسدت فسد الجسد كله، ألا وهي القلب " متفق عليه

“Sesungguhnnya yang halal itu terang dan nyata, yang haram juga terang dan nyata. Di antara keduanya perkara yang mengelirukan (tidak nyata halal dan haramnya). Sesiapa yang memelihara dirinya daripada yang mengelirukan itu nescaya dia dapat memelihara agama dan maruah dirinya. Sesiapa yang jatuh ke dalam perkara yang mengelirukan itu seperti juga jatuh ke dalam yang haram. Ingatlah bahawa bagi semua yang berkuasa memerintah (kerajaan) menetapkan sempadannnya, ingatlah bahawa sempadan Allah itu ialah perkara-perkara yang diharamkan-Nya. Ingatlah di dalam diri manusia itu ada segumpal daging, apabila baik maka baiklah dia dan apabila jahat jahatlah dia, segumpal daging itu ialah jantung (yang menggerakkan seluruh anggota jasadnya, termasuklah otak dan hati nurani yang mencetuskan akal fikirannya). Apabila baik hati nuraninya, maka baiklah dirinya dan apabila rosak maka jahatlah dia.” (Muttafaqun ‘Alaih)

Aspek rohani yang ada dalam syariat Islam menyedarkan seseorang itu bahawa dia tidak terlepas daripada Mahkamah Allah secara langsung sekiranya dia bijak melepaskan diri daripada hukuman di dunia. Undang-undang ciptaan manusia yang dihayati tidak mampu menggerakkan hati kepada keinsafan ini sekiranya pandai melepaskan diri dengan pembohongan atau menggunakan kuasanya oleh pihak yang berkuasa. Di sini menjadikan undang-undang Islam (syariat) mempunyai kehaibatan yang tidak ada pada undang-undang ciptaan manusia.

Dalam aspek perundangan pula hanya sebahagian daripada jentera kerajaan yang berada di bawah kuasa politik yang mengurus seluruh kehidupan manusia. Siapa sahaja yang dipilih dari segi politiknya yang dipisahkan daripada Islam yang sempurna, akan tetap mengulangi kesilapan dan kesalahan yang sama dan gagal mengatasi masalah yang makin membarah, kerana politik hanya dianggap peluang diri dan kroni tanpa perhitungan selepas kematian, bukannya kewajipan seorang hamba terhadap Allah yang akan dihisab di Hari Akhirat.

Penekanan undang-undang sahaja mustahil dapat mengubati penyakit rasuah, jenayah, salah laku dan kesalahan-kesalahan lain yang boleh membarah itu, sekiranya semua mata rantai sistem masyarakat dan pemerintah tidak kembali kepada Islam yang menjalinkan semuanya.

PAS mengajak umat Islam khususnya supaya bersatu kembali kepada Islam yang sempurna dan mengajak seluruh rakyat masyarakat majmuk termasuk bukan Islam supaya memberi kepercayaan kepada syariat Islam untuk memerintah, setelah menyaksikan dan merasakan akibat kegagalan undang-undang tanpa roh.

Firman Allah:

ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ ٤١ الروم.

“Telah timbul berbagai-bagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia, kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah Ar-Rum: 41)
 
RUU 355 adalah satu percubaan menilai sikap masyarakat umum, parti-parti politik dan semua pihak terhadap Islam keseluruhannya, bukan sekadar 355 sahaja. PAS melihat lebih jauh dan luas daripadanya untuk melihat siapa kawan, siapa lawan dan yang berpura-pura terhadap Islam.

Kalau mereka boleh berjuang bermati-matian bersama ideologi yang dianut oleh parti masing-masing yang bersumberkan daripada barat sehingga ada yang memberontak masuk ke dalam hutan rimba, sedangkan ianya bukan datang daripada timur dan bukannya asal usul mereka. Sila cuba berikan peluang kepada Islam yang pernah berjaya untuk kembali dilaksanakan melalui perubahan secara demokrasi:

Buah salak buah kedondong,
Sila diletak ke dalam baldi,
Bukan salah ibu mengandung,
Tetapi silap memangkah undi.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 1 Zulhijjah 1438H / 23 Ogos 2017 - HARAKAHDAILY 23/8/2017