KUANTAN: Perwakilan Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-60 sebulat suara menerima usul menggesa Kerajaan Malaysia mengkaji semula pendirian yang menolak Akta Anti Berita Tidak Benar 2018.
 
Usul berkenaan yang telah dibentangkan oleh Perwakilan Pemuda PAS Kawasan Kuala Krau, Ustaz Anuar Daud di Dewan Konvensyen, Bukit Gambang Resort City, di sini sebentar tadi.
 
Menurut beliau, Akta Anti Berita Tidak Benar adalah selari dengan keperluan dan tuntutan pada masa kini dalam menangani zaman fitnah. 
 
Katanya, budaya fitnah semakin berleluasa mutakhir ini, bukan sahaja menjejaskan kredibiliti organisasi dan individu, bahkan menjejaskan keharmonian masyarakat.
 
"Kenapa PH tidak bersetuju, adakah kerana mereka sedar bahawa mereka menang PRU14 atas fitnah kepada PAS dan kerajaan ketika itu?
 
"Kenapa PH tidak mahu bersetuju dengan akta berkenaan, adakah kerana mereka akan teruskan memfitnag terhadap PAS dan sebab itu mereka tidak mahu luluskan akta ini?" soalnya.
 
Selain itu bidasnya, tidak cukup isu fitnah yang berlegar, malah turut menyentuh isu berkaitan dengan Yang di-Pertua Agong serta menyebar fakta yang tidak benar mengenai baginda.
 
Namun tambah beliau, lebih menyedihkan, apabila mereka sanggup fitnah batang tubuh Rasulullah S.A.W yang menyebabkan terguris umat Islam dengan fitnah dilemparkan melalui karikatur.
 
"Apakah mereka yang Muslim dalam PH tidak sensitif dengan fitnah kepada Rasulullah S.A.W?" soalnya tegas.
 
Justeru itu, PH gesaknua  mesti menyatakan pendirian terhadap RUU Pemansuhan Akta yang dikemukanya di mana kini rakan mereka dari PKR sedang terpalit dengan video hanyir yang merupakan video fitnah. - 

KUANTAN: Dewan Pemuda PAS Malaysia yang bersidang sejak semalam telah memilih kepimpinan baharunya bagi sesi 2019-2021.
 
Tiga kepimpinan teratas dimenangi tanpa bertanding selepas penyandangnya sebelum ini, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi memilih mengundurkan diri.
 
Jawatan Ketua Pemuda kini disandang Ir Khairil Nizam Khiruddin sementara Timbalan, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari serta Naib, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden.
 
Berikut senarai penuh keputusan pemilihan Dewan Pemuda PAS Malaysia kali ini.
 
PENGERUSI TETAP:
Ustaz Kamal Ashaari
 
TIMB. PENGERUSI TETAP:
Ustaz Nor Azariza  Mohd Alawi
 
KETUA PEMUDA:
Ir.  Khairil Nizam  Khirudin
 
TIMBALAN KETUA:
Ustaz Ahmad Fadhli Shaari
 
NAIB KETUA:
Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden
 
 
AHLI-AHLI JAWATANKUASA:
1. Akram Ikrami Taib Azamudden
2. Hafez Sabri
3. Muhtar Suhaili
4. Izwan Abdul Halim
5. Khairul Nadzir Helmi Azhar 
6. Roslan Md Esa
7. Mohammad Arifiriazul Paijo
8. Mohammad Nadzim Ahmad
9. Abdul Malik Abd Razak
10. Muhammad Fadzli Abu Bakar
11. Mohd Al Ghazali Abu Bakar
12. Juwahir Amin
 
PEMERIKSA KIRA-KIRA:
1. Mohd Shahir Abu Hassan
2. Muhammad Ali Rajaie Jamaludin

KUANTAN: Masalah infrastruktur menjadi isu yang sangat besar di negeri Sabah melibatkan banyak perkara seperti perbekalan elektrik, air dan jalan raya serta lainnya.
 
Perwakilan Pemuda PAS Negeri Sabah, Jumaidin Lakalla menegaskan dari aspek fiqh waqi' menjadikan isu tersebut terlalu besar menyebabkan isu nasional tidak relevan di negeri itu.
 
Beliau menyatakan hal tersebut dalam perbahasan Ucaptama Ketua Pemuda pada Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-60 di Bukit Gambang Resort City, di sini hari ini.
 
Beliau turut menegur mengenai kepentingan Pemuda PAS selaku individu terlibat dalam politik terhadap pengetahuan mengenai geografi, termasuk juga di Sabah dan Sarawak.
 
Malah, merasa dipinggir dari sebahagian Malaysia, beliau meluahkan keluhan terhadap isu penghantaran barang ke Sabah dan Sarawak yang tidak percuma sebagaimana negeri lain.
 
Malah akuinya, pihak PAS di negeri itu meraikan gagasan dibawa Mufti Sabah berkenaan Fiqh Sabahi antaranya berkenaan Solat Jumaat kerana tidak cukup 40 ahli jamaah untuk mendirikannya.
 
Beliau turut menyentuh sambutan perayaan-perayaan melibatkan kaum dan budaya, selain situasi gereja bersebelahan masjid di mana banyak hal yang melibatkan toleransi kaum.
 
Kesalinya, kemunduran yang berlaku di Sabah hinggakan ada anak pribumi enggan mengaku berasal dari negeri itu kerana malu, oleh itu menuntut perhatian Pemuda PAS memahaminya. - HARAKAHDAILY 20/6/2019

KUANTAN: PAS menolak pemimpin parti politik yang 'aktiviti' partinya tidak bermoral, bahkan menganggap ia isu kecil dan enteng, demikian bidas Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
 
Perkara itu dinyatakannya ketika dijemput berucap sempena kunjungannya ke Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-60 di Dewan Konvensyen Bukit Gambang Resort City, di sini sebentar tadi.
 
Tegas beliau, politik Islam adalah politik bermoral dan berakhlak, malah PAS tidak teragak-agak memecat sesiapa sahaja dalam pimpinannya yang tidak bermoral.
 
"Bukan macam parti yang menganggap moral perkara kecil, enteng, ringan. Apalagi keruntuhan moral menjadi 'aktiviti' partinya. Ada parti yang 'aktiviti' dia video, 'aktiviti' parti dia mengaku.
 
"Kita mahu ke pemimpin negara, pemimpin parti yang macam ini? Media, laporkan; PAS menolak pemimpin parti politik yang 'aktivitinya' tidak bermoral. Kita tak mahu sebut nama, siapa makan cili api dia rasa pedas.
 
"Kalau sayalah, kalau anak buah macam ini, saya letak jawatan. Bubar sahaja parti. Kepada kita, moral adalah teras yang penting dalam parti, dalam jamaah," ujarnya dalam kunjungan istimewa bagi perwakilan dan pemerhati itu.
 
Terangnya, hal tersebut kerana memelihara jati diri dan teras kekuatan yang bergerak dalam kehidupan di mana PAS rela rebah bangun dalam pilihan raya, tetapi tidak rebah dalam perjuangan.
 
Beliau menyeru pemuda memelihara teras penting dan utama tersebut yang menunjukkan pancaram iman, akidah di mana meletakkan politik sebagai ajaran agama yakni politik bersih dan mulia. - HARAKAHDAILY 20/6/2019

Pelancaran buku pada Muktamar Dewan Ulamak.

KUANTAN: Anugerah kemenangan yang Allah kurniakan kepada PAS pada PRU14 lalu untuk mentadbir Kelantan dan Terengganu mesti dimanfaatkan sebanyak-banyaknya, kata Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Dr Mahfodz Mohamad.

Katanya, kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh kedua-dua negeri itu tidak hanya sebagai tatapan untuk rakyat sahaja malah ia merupakan bukti kejayaan PAS dalam mencorakkan pentadbiran berlandaskan Islam.

“Kejayaan di Kelantan dan Terengganu mesti diangkat sebagai ikon pentadbiran PAS untuk Malaysia sebagai suatu model pentadbiran nubuwwah sekiranya Allah SWT mengizinkan PAS dan pakatannya memerintah Malaysia kelak,” ujarnya ketika menyampaikan ucaptama pada Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Pusat ke-58 di Wisma Belia Indera Mahkota, di sini hari ini.

Tambahnya, peranan media dan lajnah penerangan amat penting dalam memperluaskan capaian kejayaan di Kelantan dan Terengganu ini.

Malah, ujar beliau perlu dipromosikan secara lebih meluas kepada rakyat Malaysia untuk mereka berkunjung ke Kelantan dan Terengganu bagi melihat suasana dan perkembangan terkini di negeri yang ditadbir oleh PAS.

“Tahun melawat Kelantan dan Terengganu mestilah dijadikan peluang bagi menyebarluaskan penerangan serta informasi berkaitan kejayaan, pembaharuan serta pencapaian yang dikecapi oleh kedua-dua negeri itu,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 20/6/2019

KUANTAN: Peralihan kuasa politik PRU14 lalu telah membuka ruang kepada musuh Islam untuk menganiaya agama Persekutuan yang sudahpun tertindas di Malaysia, kata Perwakilan Pemuda PAS Negeri Sembilan, Ustaz Mahfuz Roslan.
 
Katanya, pihak bermusuh dengan Islam seolah-olah mendapat suntikan vitamin kebencian setelah berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan Malaysia yang diumpamakan mereka 'bagai kaduk naik junjung'.
 
Malah, lebih 'melemakkan' katanya, golongan tersebut mendapat bantuan serta sokongan dari sesetengah umat Isam yang berselindung di bawah slogan 'Rahmatan Lil A'lamin'.
 
"Mereka ini menjadi pengkhianat kepada Islam yang kononnya nampak seperti membela Islam, tetapi hakikatnya mereka menyambung mata rantai iblis dan juga syaitan dalam menghancurkan umat Islam di dunia, khususnya di Malaysia," ujarnya.
 
Mengimbau sejarah Islam di dunia, beliau mengajak penggerak-penggerak PAS untuk menjadikan sejarah lampau sebagai panduan perjuangan yang di bawa hari ini, iaitu Islam.
 
"Pengkhianatan terhadap Islam berlaku di setiap zaman, termsuk zaman Rasulullah S.A.W dan para Sahabat R.A, adanya Abdullah bin Ubai iaitu kepala orang munafik yang menjadi fitnah besar kepada umat Islam.
 
"Lihat juga kisah silam di bumi Libya, Umar Mukhtar yang memimpin tentera Islam menentang Itali, 20 tahun tentera Itali tewas di tangan Umar Mukhtar, tetapi dengan sebab dikhianati oleh kawan baik sendiri, akhirnya beliau ditangkap dan digantung," jelasnya.
 
Beliau mengutarakan hal tersebut ketika membahas Ucaptama Ketua Pemuda bersempena Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-60 di Bukit Gambang Resort City, di sini pagi tadi.
 
Mengimbau sejarah yang lebih hampir dengan rakyat Malaysia, beliau memetik sejarah Empayar Islam Melaka yang cukup hebat dan gah di persada dunia tetapi akhirnya jatuh rebah ke bumi disebabkan oleh pengkhianatan orang Islam sendiri iaitu Si Kitul.
 
Mahfuz turut menyeru pengikut-pengikut PAS bersama-sama memperkukuhkan akidah sedia ada menjadi akidah yang sahih, memperbaiki akhlak dengan amal-amal soleh, serta memperkukuhkan dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.
 
Beliau merujuk Artikel 121(A) Perlembagaan Persekutuan yang mana merupakan peruntukan perlembagaan untuk menghalang Mahkamah Sivil mencampuri bidang kuasa Mahkamah Syariah. - HARAKAHDAILY 20/6/2019

KUANTAN: Sebelum ini penyokong PAS di kampung-kampung tidak boleh terima apabila disebut perkataan Umno.

Bagaimanapun sekarang, kata Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin berkata, situasi itu berubah pada muktamar di Terengganu tahun lepas.

Katanya juga, PAS mempunyai pengalaman tahaluf siyasi sejak 1953 apabila mengadakan kerjasama dengan Nasional Front dan Kongres Kebangsaan Melayu.

Malah kerjasama juga diadakan dengan Parti Negara pimpinan Dato’ Onn Jaafar ketika menghadapi pilihan raya uMum 1959.

Ustaz Hashim juga berkata PAS meneruskan kerjasama bersama Angkatan Perpaduan Ummah pada 1988 hingga 1996.

Menurutnya juga, penyatuan ummah terbaru pula tercetus selepas Umno dan BN kecundang pada pilihan raya umum lepas.

"Apa yang berlaku pada PRU lepas seolah-olah ramai tidak percaya, sehingga ada pimpinan yang sebut hanya apabila kalah baru pimpinan Umno akan insaf," katanya.

Turut kelihatan hadir pada Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Pusat ke-58 ialah Exco Pergerakan Wanita Umno Malaysia yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Dr Mashitah Ibrahim. – HARAKAHDAILY 20/6/2019

ulamak6

KUANTAN: Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-60 didedahkan situasi membimbangkan berkenaan perkara-perkara yang bercanggah dengan budaya hidup Islam.
 
Perwakilan Pemuda PAS Negeri Johor, Muhammad Firdaus Jaffar mendedahkan, LGBT telah diperjuangkan secara terang-terangan oleh kumpulan minoriti sejak PH berkuasa.
 
Perkara tersebut dinyatakannya ketika membahas Ucaptama Ketua Pemuda PAS Malaysia di Dewan Konvensyen Bukit Gambang Resort City, di sini sebentar tadi.
 
Beliau turut mempersoalkan Kementerian Pendidikan yang bertindak pelik mewujudkan pasukan petugas khas Pendidikan Islam untuk membuat kajian terbuka dalam talian.
 
"Timbul persoalan di sini, siapa yang dilantik untuk membarisi pasukan ini? Mengapa tinjauan dilakukan terbuka di mana boleh berhadapan risiko maklumat tidak tepat atau palsu?
 
"Mengapa tidak diadakan sahaja sesi dialog dua hala bersama para ulamak dan fuqaha atau ilmuan yang pakar berkaitan Pendidikan Islam termasuk guru berpengalaman?" persoalnya.
 
Hal tersebut tegasnya, menunjukkan Islam sedang diserang dari pelbagai sudut sejak PH berkuasa yang perlu dibimbangi oleh sekalian Pemuda PAS untuk berdepan menghadapi keadaan itu.
 
Firdaus turut menyentuh mengenai Revolusi Industri 4.0 yang disifatkan sebagai cabaran baharu di mana menuntut Pemuda juga mengemaskini sistem sokongan semasa.
 
Beliau menyeru keterlibatan semua Pemuda dalam mengurus produk parti, selain memahami hala tuju menerusi Wawasan Induk Negara Sejahtera, Dokumen Hijau dan beberapa dokumen lain. - HARAKAHDAILY 20/6/2019
 

KUANTAN: Perbezaan pandangan sesama Pemuda PAS tidak harus mengheret hingga ke media sosial untuk dijadikan tempat meluahkan masalah jamaah.
 
Perwakilan Pemuda PAS Negeri Perlis, Mohamad Azreen Jumri mengingatkan bahawa parti ini mempunyai saluran untuk berkongsi pandangan seperti usrah, mesyuarat dan muktamar.
 
Serunya, Pemuda perlu memanfaatkan wasilah tarbiyah dalam menyelesaikan segala permasalahan untuk membaiki jamaah agar tidak dilihat menjadi punca merosakkan jamaah.
 
"Malah, kita jadi orang yang menebuk kapal sedang dilayari. Kalau tebuk kapal saja tak ada masalah, hang  katok (awak pukul) nakhoda kapal pula," bidasnya pada Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Kali Ke-60, sebentar tadi.
 
Beliau menegaskan kepentingan ukhuwah dan thiqah sebagai tonggak kekuatan jamaah terutama kepada pimpinan tanpa rasa ragu-ragu dengan mereka yang telah dipilih.
 
"Yakinlah, pemimpin di hadapan kita menggalas tanggungjawab menegakkan Islam bersama kita. Mereka sanggup bersusah payah turun ke negeri, medan membaiki masalah dan melancarkan gerakan," serunya. - HARAKAHDAILY 20/6/2019

KUANTAN: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Dr Mahfodz Mohamad berkata terlalu banyak isu yang timbul di bawah kerajaan PH pada hari ini jika hendak disenaraikan satu persatu.

Katanya, bayangkan apa yang beliau senaraikan dalam ucaptama yang melibatkan institusi Islam, raja dan Melayu, ICERD, UEC, LGBT, kematian Adib adalah sebahagian dan polemik yang timbul dalam masa setahun lebih kerajaan PH memerintah.

“Bagaimana pula jika berlarutan sehingga beberapa tahun ke hadapan?” ujarnya ketika menyampaikan ucaptama pada Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Pusat ke-58 di Wisma Belia Indera Mahkota, di sini hari ini.

Sebab itu, katanya menjadi satu kemudaratan besar apabila membiarkan kerajaan PH memegang tampuk pemerintahan selepas PRU akan datang.

Justeru, para ulama mesti memimpin kesedaran rakyat dengan isu-isu yang melanda.

Malah sewajarnya dijawab isu khususnya berkaitan isu Islam serta dirangka jalan penyelesaian terhadap isu berkenaan.

“Para ulama perlu membentuk kelompok penyelidik di pelbagai peringkat agar persoalan-persoalan yang timbul mampu dijawab dengan tersusun berdasarkan hujah-hujah yang dikemukakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/6/2019

KUANTAN: Tuntutan al-wehdah dan i'tisom sangat berhajat kepada komitmen jamaie dan disiplin organisasi, sekali gus kefahaman dan persiapan sebaiknya diadakan sebelum melakukan ta'awun  siyasi.
 
Perwakilan Pemuda PAS Negeri Selangor, Ustaz Muhammad Ubaidillah Abdullah menegaskan perkara tersebut pada Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-60, sebentar tadi.
 
Tegasnya, prinsip kesepakatan ini haru dihadam agar dapat melaksanakan tuntutan amal kerana terdapat banyak perkara ijtihadi yang bakal menjadi komitmen sekalian abnaul  harakah.
 
"Syeikh Abdul Nasir Hamdan dalam kitab Maqasidul Wehdah al-Islamiyah mengingatkan antara mu'awwiqat dan 'aqabat yang menjadi penghalang wehdah adalah penyakit hubbuz  zat  wa'adamul  qudratul  taqiyyuf.
 
"Mereka mempunyai penyakit hubbuz  zat dan ketidakmampuan untuk mengadaptasi sebarang perubahan dan arahan," jelasnya pada sidang di Bukit Gambang Resort City, di sini.
 
Seru beliau, pemahaman terhadap fekah perubahan dengan mengambil kira soal kesan dan akibat tindakan perlu agar melakukan sesuatu mengikut peranan berdasarkan situasi dan tempat.
 
Beliau mengingatkan agar tidak melangkaui batas posisi, hatta untuk mengubah atau membuang kemudaratan tidak boleh dihilangkan dengan mendatangkan kemudaratan yang lain.
 
Peristiwa Rasulullah S.A.W membiarkan Ka'abah dari kembali ke binaan asalnya selepas Fathu Makkah biarpun memiliki kekuasaan sebagai contoh antara prinsip yang diterjemahkan.
 
Difahamkan lagi sekalian ahli muktamar dengan penjelasan bahawa melakukan sesuatu yang betul juga mesti pada masa dan cara betul, selain melihat kesan bakal ditanggung jamaah.
 
Tambahnya lagi, prinsip-prinsip kesepakatan mesti memberi keadilan Islam yang komprehensif terutama juga sebagai jaminan kepada bukan Islam di mana mesej ini masih gagal disampaikan.
 
Sehubungan itu, Pemuda PAS Selangor wakilinya mencadangkan diwujudkan satu deklarasi yang jelas kepada bukan Islam berhubung tawaran dan komitmen PAS dalam menjamin hak dan keadilan. - HARAKAHDAILY 20/6/2019

KUANTAN: Taawun PAS dan Umno serta NGO yang berlaku sekarang dianggap begitu mengerikan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Dr Mahfodz Mohamad berkata, ulama menyokong penuh taawun siyasi itu demi untuk maslahah Islam.

Katanya, kerjasama tersebut cukup penting sehingga PH melakukan pelbagai cara bagi memecahbelahkan perpaduan tersebut.

"Pertembungan sesama pembangkang merugikan umat Islam.

"Sebab itulah taawun PAS , Umno dan parti lain serta NGO boleh mewujudkan kembali kekuatan suara Melayu dan Islam di negara ini," katanya pada ucapan dasar sempena Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Pusat ke-58 di Wisma Belia Indera Mahkota, di sini hari ini.

Oleh itu kata beliau penyatuan orang Melayu yang membentuk 65 peratus kekuatan boleh mengembalikan suara Islam di negara ini.

Malah, katanya kerjasama itu terbukti berjaya dalam beberapa pilihan raya kecil pasca PRU14. – HARAKAHDAILY 20/6/2019