ISU penjagaan kesihatan dan perubatan menjadi tumpuan setiap individu. Tular sahaja isu berkaitan manfaat sesuatu, ramai yang teruja untuk share tanpa usul periksa kesahihan berita. Sebagaimana sebaran mesej tular yang kononnya sekumpulan doktor Jepun telah menemui kuasa penyembuh 100% dengan hanya meminum air suam. Pesanan tersebut dikeluarkan oleh seorang doktor bernama Dr Mensah Asare.

drsuhazeli2Dr Mensah Asare tidak pernah wujud, hanya ciptaan palsu yang berlegar di dunia internet sejak 2006 lagi. Entah bangsa apa pun tidak diketahui, sama ada Jepun atau Afrika. Mungkin beliau seorang penjual daging di tengah kota Bombay!

Jika diteliti manfaat yang disebutkan itu pun tak munasabah langsung. Malah tidak pernah dibuktikan. Saya ambil contoh, batuk kokol, rawatannya adalah antibiotik di hospital bukannya air suam. Vaksin DPT boleh digunakan untuk mencegah penyakit batuk kokol ini. KKM telah mewajibkan pemberian vaksin tersebut di kalangan anak-anak kita sejak dari 1940 lagi.

Akhir mesej tular tersebut pun mempunyai fakta yang silap. Kononnya meminum air sejuk menutup 4 urat jantung. Sebenarnya urat (salur) darah yang mengalir ke jantung 3 yang utama bukannya 4.

Ramai yang berteori, apabila minum air sejuk atau ais, makanan berlemak akan tergumpal dalam perut serta boleh membahayakan. Perut kita unik, dijadikan Allah mempunyai asid dan enzim yang boleh menghadamkan makanan termasuk lemak, protein, karbohidrat dan serat ke unit yang paling kecil. Suasana perut yang panas sudah mencukupi untuk penghadaman walaupun makanan itu sejuk berais atau seumpamanya.

Suhazeli Abdullah
Fb.com/drsuhazeli
24.10.2017
Al Hussein Street, Cairo

NAK berubat mestilah pada ahlinya. Kami pun dalam bidang perubatan, merujuk kepada ahlinya. Mana mungkin doktor gigi ingin merawat mata? Doktor gigi hanya boleh merawat gigi walau dari segi teorinya beliau boleh boleh baca. Tetapi keahlian dan kemahiran dalam bidang tersebut wajib diambil.

An-Nahl [16] ayat 43:

وَمَآ أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ إِلَّا رِجَالًا نُّوحِىٓ إِلَيْهِمْ ۚ فَسْـَٔلُوٓا۟ أَهْلَ ٱلذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

"Dan Kami tidak mengutus sebelum kamu, kecuali orang-orang lelaki yang Kami beri wahyu kepada mereka; maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui."

Begitu juga dalam surah Al-'Anbya' [21] ayat 7:

وَمَآ أَرْسَلْنَا قَبْلَكَ إِلَّا رِجَالًا نُّوحِىٓ إِلَيْهِمْ ۖ فَسْـَٔلُوٓا۟ أَهْلَ ٱلذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُون

"Kami tiada mengutus rasul-rasul sebelum kamu (Muhammad), melainkan beberapa orang-laki-laki yang Kami beri wahyu kepada mereka, maka tanyakanlah olehmu kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tiada mengetahui."

Saya bukan memburukkan kaedah perubatan tradisi seperti kes batu geliga Mak Lang, cuma mengambil langkah yang lebih berhati-hati dalam bab penjagaan kesihatan. Adakah Mak Lang tahu kesan negatif jika batu geliga itu mencederakan mata? Adakah Mak Lang provide rawatan selepas itu? Andai mata pesakit rosak?

Konsep health seeking behavior ini penting dalam menentukan kelangsungan kehidupan manusia yang lebih baik.

Bukannya menyerah bulat pada Tuhan yang sudah tentu Allah sendiri menyuruh kita merujuk kepada orang yang pakar!

Fikir-fikirkanlah.

Fb.com/drsuhazeli
24.10.2017
Kaherah - HARAKAHDAILY 24/10/2017

SEORANG ibu mengemukakan pendapat kepada saya bahawa pengambilan vaksin itu menolak konsep tawakkal kepada Allah.

Sekali imbas ada benarnya. Ditambah lagi bahawa proses tahnik bayi, susu ibu dan pemakanan sunnah seperti habbatussauda dan sebagainya, sudah cukup sebagai 'vaksin' mencegah penyakit.

drsuhazeliSaya hormati pegangan sedemikian. Saya pun muslim dan mengamalkan sunnah tanpa ingkar. Malah dalam setiap konsultasi pesakit, perkara awal yang disebut adalah Therapeutic Life Changes (TLC). Bersenam, menjaga pemakanan, kurangkan berat badan dan jauhi stres sudah menjadi isi dan kulit dalam nasihat kami secara kolektif. Disusuli dengan ubat atau prosedur, kemudian bertawakallah. Tawakal tidak berdiri sendirian tanpa ikhtiar. Sebagai orang awam, kita tidak dikurniakan mukjizat, karamah atau irhasy. Sesuatu yang di luar dari lingkungan keistimewaan tersebut bagi orang awam adalah menyalahi adat.

Rasulullah SAW menegur secara bijaksana terhadap seorang badwi yang memahami konsep tawakal dengan hanya berserah sahaja kepada Allah SWT tanpa sebarang ikhtiar. Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Anas bin Malik: Suatu ketika seorang lelaki datang berjumpa Rasulullah SAW sambil meninggalkan unta tunggangannya, seraya berkata, "Aku lepaskan untaku dan aku bertawakal." Maka Nabi menjawab,
"Ikatlah untamu dan bertawakallah kau."

Ikat unta itu mestilah dengan tali sengkang unta yang kukuh, bukannya tali pelepah pisang! Tidak kuat dan senang rapuh. Sedangkan sebelum bertawakal perlulah dijalankan ikhtiar sekukuhnya. Kaedah fekah menyebut, yang lemah/tidak kuat hujah/keraguan fakta itu terhapus setelah datangnya sesuatu yang lebih yakin/sahih.

Adakah kita masih kurang keyakinan akan manfaat yang diperolehi melalui ikhtiar vaksin ini? Kesihatan seseorang bukan bergantung kepada pemberian vaksin semata-mata, ianya dipengaruhi oleh persekitaran, pemakanan dan kesihatan spiritual. Hidup mati pun Allah yang tentukan. Cuma Islam memberi ruang berikhtiar bagi menjamin kehidupan yang lebih sempurna dan sihat. Semasa negara merdeka, jangka hayat penduduk negara kita adalah 55.8 tahun. Setelah kita menjalani kehidupan yang lebih sihat dan mengamalkan penjagan kesihatan yang optimum sesuai dengan kecanggihan sains dan teknologi, jangka hayat rakyat malaysia sekarang (data 2014) sudah meningkat kepada 74.2 tahun.

Jika kaji secara khusus, jumlah kematian akibat dari penyakit berjangkit turun secara mendadak setelah pemberian vaksin-vaksin yang spesifik seperti Pertusis, Difteria dan sebagainya (10 jenis vaksin spesik yang diwajibkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia).

Berikut adalah beberapa fakta kejayaan penjagaan kesihatan optimum melalui vaksin:

1. Pada tahun 1990, seramai 45 juta kanak-kanak menghidap campak dan penyakit ini menyebabkan sejuta kematian. Sebelum adanya vaksin MMR, beguk merupakan sebab utama jangkitan virus di selaput otak (meningitis) dan cacat pendengaran pada kanak-kanak.

2. Sebelum vaksin rubela diperkenalkan di Amerika Syarikat (AS), setiap tahun seramai 20,000 kanak-kanak telah dilahirkan dengan Sindrom Kongenital Rubela yang menyebabkan kecacatan jantung, cacat pendengaran dan kecacatan mental pada bayi yang baru dilahirkan.

3. Negara Jepun telah berhenti menggunakannya vaksin Pertusis pada tahun 1975. Akibatnya, terdapat 13,000 kes batuk kokol serta 113 kematian. Sebelum tahun 1975, hanya terdapat 400 kes dan tiada seorang pun kanak-kanak yang mati akibat vaksin pertusis!

Saya kesian kepada segelintir dari pembaca ruang maya kerana mereka termakan dengan pemikiran beberapa golongan yang tidak bertanggungjawab dengan membesarkan isu keselamatan vaksin ini. Sesungguhnya pemikiran ini boleh membuahkan pegangan yang mungkin akan memunahkan zuriat kita sendiri. Mereka terlalu mementingkan diri sendiri tanpa melihat kemashlahatan orang ramai. Pemikiran yang sedemikian boleh membuka ruang merebaknya penyakit jika liputan imunisasi tidak optimum.

Dr Suhazeli Abdullah
Pakar Perubatan Keluarga - HARAKAHDAILY 24/10/2017

ANATOMI sistem perut tidak bersambung terus dengan sistem pundi kencing. Walaupun perut wujud dua sphincter iaitu Esophagial dan Pyloric sphincter, tetapi sphincter berkenaan bertujuan untuk mengawal kemasukan makanan dan minuman yang masuk perut agar tidak terus meluru ke usus. Makanan dan minuman kita akan dihadam terlebih dahulu di perut. Kemudian makanan dan minuman akan bergerak ke usus untuk penyerapan selanjutnya. Proses pertama ini sama sekali tidak melibatkan buah pinggang

dr suhazeliSetelah diserap, zat makanan dan minuman akan masuk sistem darah. Kemudian, barulah kumuhan darah seperti urea akan dikeluarkan melalui buah pinggang.

Justeru, tidak benar mengaitkan wujudnya penapis (sphincter) tersebut dengan sakit buah pinggang seperti kegagalan fungsinya, batu karang atau kanser akibat minum secara berdiri. Air yang diminum akan tetap masuk ke sistem penghadaman seperti perut dan usus, kemudian diserap ke dalam sistem darah. Bukannya apabila manusia berdiri sphincter itu tertutup dan air akan disalurkan ke buah pinggang. Kenyataan sedemikian adalah salah, hatta jika mesej tular tersebut dihantar oleh seorang doktor. Doktor berkenaan sanggup menipu orang awam demi laba harta dunia yang dijanjikan melalui penjualan produk yang laku keras. Nasihat saya berhentilah melakukan kefasadan ilmu ini.

minumTerlebih sadis lagi apabila mesej tersebut berhujah atas nama Rasulullah s.a.w. Memang ada hadis melarang minum berdiri. Hadis menegur minum berdiri itu bukannya larangan haram buat, tetapi ianya makruh dilakukan. Malah dari sudut akhlak pun tidak comel. Namun demikian, terdapat hadis yang menunjukkan Rasulullah s.a.w minum ketika berdiri. Sebagaimana satu hadis: "Kata 'Ali r.a: Orang ramai tidak suka jika seorang minum berdiri, sedangkan aku telah lihat Rasulullah s.a.w lakukannya seperti kamu melihat aku lakukan." (Maksud Hadis dari al-Bukhari)

Dalam hadis sahih al-Bukhari dan sahih Muslim dari Ibnu ‘Abbas Radhiyallahu anhuma, ia berkata, “Aku telah memberi minum kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam dari zamzam lalu beliau meminumnya sedang beliau dalam keadaan berdiri.”

Ertinya boleh minum berdiri tidak haram dan tidak mendatangkan mudarat kesihatan. Jika ada keperluan minum berdiri, boleh dilakukan. Jika tiada keperluan, hendaklah duduk. Ianya terlebih afdhal.

Dalam perubatan, meminum air kosong tidak terikat dengan waktu. Malah tidak pernah dibuktikan dikaitkan dengan khasiat tertentu seperti mencegah serangan stroke dan jantung, elak sakit buah pinggang, kencing manis, kanser dan seumpamanya. Cuma ia mungkin elok diamalkan berdasarkan individu tertentu, seperti penyakit gastritis (refluks easophagitis) dinasihatkan tidak menyulami minum air semasa makan dan melengahkan pengambilan air sekurang-kurangnya 30 minit selepas makan.

Yang penting jumlah air diminum seharian mencukupi. Paling minima 7-8 gelas air sehari. Jika musim panas, isipadu air kena tambah lagi sehingga 2-3 liter sehari.

Dr Suhazeli Abdullah
Pakar Perubatan Keluarga
Fb.com/drsuhazeli
21.10.2017
Mansoura University - HARAKAHDAILY 21/10/2017

ORANG Melayu memberikan nama kayu manis kerana ianya sejenis rempah ratus yang manis baunya. Kayu manis juga salah satu barang dagangan yang cukup bernilai zaman dahulu kala. Ianya juga menjadi salah satu bahan pengubatan herba sebelum masihi lagi. Popular di kalangan Mesir purba bahawa kayu manis digunakan untuk merawat batuk, sakit sendi dan sakit kerongkong. Bahkan rawatan turun temurun ini dikatakan boleh merawat kekejangan otot, muntah, cirit-birit, demam selsema, kurang selera makan dan mati pucuk.

drsuhazeli1Terdapat kajian bahawa cinnamon (nama saintifik bagi kayu manis) boleh membantu perawatan kencing manis, kurangkan kolesterol, elakkan nyanyuk dan sebagainya lagi. Kajian-kajian tersebut termuat dalam perpustakaan perubatan Amerika Syarikat dan UK. Namun kajian-kajian ini adalah kajian yang agak lama, sekitar tahun 2000 hingga 2006.[1]

Tiada halangan menjadikan kayu manis sebagai rempah ratus masakan. Aromanya pun semerbak wangi. Tetapi menjanjikan kayu manis ini sebagai ubat berkesan bagi menyembuhkan penyakit, adalah tidak tepat buat masa ini. Penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, sakit buah pinggang dan beberapa penyakit kronik lain sehingga saat ini belum ditemui lagi ubat penyembuh. Ubat-ubatan moden diberikan bagi mengawal atau mencegah agar penyakit tersebut tidak terus merebak. Walaupun terdapat dakwaan dari pelbagai produk dalam pasaran, sama Ada ianya "saintifik", tradisional, alami dan seumpamanya, tiada pun satu bukti boleh menyembuhkan. Mungkin kelemahan di pihak pengeluar produk kerana tidak mengambil catatan yang kononnya mereka mendakwa pesakit sembuh dengan produk mereka. Tetapi apabila kita mahukan bukti berapa ramai atau peratusan yang berjaya, mereka tiada jawapan. Asas statistik ini mudah sahaja.

Cochrane.org, sebuah perpustakaan yang berstatus tinggi dalam dunia perubatan membuat penyelidikan berkaitan kayu manis (cinnamon). Mereka mendapati cinnamon memberikan kesan positif ke atas haiwan kajian. Akan tetapi kajian ke atas manusia masih lagi belum sahih pembuktiannya. Dalam 10 kajian Kawalan Rawak (Randomised Controlled Trial) seramai 577 pesakit, 2 gram cinnamon diberikan selama 16 minggu ke atas pesakit kencing manis jenis 1 dan 2; secara statistik kajian-kajian tersebut juga masih tidak mencukupi bukti keberkesanannya. Para pengkaji menyimpulkan kajian yang lebih besar perlu dibuat.[2]

Dalam satu dimensi lain, cinnamon ini mempunyai kesan negatif yang tersendiri. Sesetengah individu yang sensitif, cinnamon boleh meningkatkan risiko kerosakan hati. Bahan aktif yang terdapat dalam cinnamon adalah Coumarin. Menurut Jurnal Food & Chemical Toxicology, jumlah yang dibenarkan pengambilan seharian (Tolerable daily intake - TDI) coumarin ini sebanyak 0.07 mg/kg setiap individu sehari.[3] Campuran cinnamon ini ke dalam gulai, bubur atau teh dengan mudah boleh melepasi jumlah yang dibenarkan ini.

Contohnya; jika berat individu 72.1 kg, jumlah maksimum TDI adalah 5 mg coumarin sehari. Sekilogram serbuk cinnamon mengandungi antara 2.1 hingga 4.4 g coumarin. Dengan anggaran sekilogram cinnamon boleh diceduk sebanyak 362.29 sudu teh, bermakna setiap sudu teh terkandung di dalamnya antara 5.8 hingga 12.1 mg coumarin. Jumlah ini telah melebihi TDI setiap individu.

Kajian dari German mendapati perbezaan besar antara jenis-jenis kayu manis ini. Serbuk Cassia cinnamon lebih 63 kali ganda coumarin berbanding dengan jenis serbuk Ceylon cinnamon. Manakala kayu Cassia cinnamon mengandungi 18 kali ganda coumarin berbanding kayu Ceylon cinnamon.[4]

Justeru, berpada-padalah mengambilnya. Sam aada semasa kita memasak di dapur rumah kita, ataupun membeli dari para penjual dalam apa bentuk sekalipun.

Sekali lagi... makanlah... tiada halangan. Jangan salah faham penulisan ini.

Suhazeli Abdullah
Fb.com/drsuhazeli
19.10.2017
Abu Dhabi

Pautan:
[1] Benefit of Cinnamon.
https://www.medicalnewstoday.com/articles/266069.php
[2] Cochrane review. http://www.cochrane.org/…/ENDOC_cinnamon-for-diabetes-melli…
[3] Food and Chemical Toxicology.
http://www.sciencedirect.com/…/article/pii/S0278691511006703
[4] Kesan Kesihatan makan Kayu Manis.
http://www.bfr.bund.de/…/high_daily_intakes_of_cinnamon_hea… - HARAKAHDAILY 19/10/2017

TERSEBAR tulisan yang popular dan menjanjikan harapan tinggi kepada penggemar telur.
"Sebiji telur sehari boleh mengurangkan kematian akibat stroke sebanyak 12% - Bukti kajian ke atas 300,000 orang." ~Epidstat Institute, Washington (2015)

Laporan kajian berkenaan adalah hasil dari analisa Meta yang mengumpulkan beberapa kajian yang tertentu berkaitan telur dan risiko strok / sakit jantung. Ianya salah satu teknik penulisan yang baik kerana membuat kesimpulan secara kolektif atas beberapa kajian yang telah dijalankan. Cuma kaedah pengambilan kajian kohort dalam analisa meta ini, agak terkongkong dengan penemuan satu jalur, tanpa melihat sisi jalur yang lain. Bagi pengkaji yang mahir statistik faham apa yang saya maksudkan ini.

drsuhazeli1Mari kita lihat kajian tersebut secara ulasan statistik. Pengumpulan data responden kajian yang mencecah kepada 300,000 ini, mencari hubung kait antara pesakit yang mengalami sama ada strok atau serangan jantung. Dari sejumlah kedua-dua lorong penyakit tersebut, mereka melihat berapa ramai yang memakan telur sebiji sehari dan dua biji seminggu. Hanya dua lorong cerapan sahaja. Mereka dapati pengambilan telur 1 biji/sehari berbanding 2 biji/seminggu boleh mengurangkan kematian strok (fatal stroke) sebanyak 12%. Manakala kajian yang dipetik itu tidak menunjukkan hubungkait antara pengambilan telur dengan kejadian sakit jantung, sama ada 1 biji/sehari atau 2 biji/seminggu.[1]

Kesimpulan pengkaji yang dibuat dalam kajian meta analisa tersebut adalah:

1) Pengkaji bersetuju dan menyokong bahawa telur adalah satu makanan yang berzat dan sihat. Walau bagaimanapun para pengkaji tidak melihat kepada keseluruhan menu makanan lain yang diambil oleh subjek kajian. Begitu juga kaedah sajian telur tidak disebutkan, goreng ke, rebus ke, masak lemak ke atau sebagainya. Mereka hanya mengkaji sama ada sebiji telur sehari atau 2 biji seminggu sahaja. Justeru tidak diketahui status responden yang memakan 2 biji sehari, atau lapan biji sehari, masak separuh atau masak penuh atau jumlah-jumlah yang lain. Sama ada mengurangkan risiko strok juga atau tidak.

2) Para pengkaji juga tidak dapat menemui bukti berapa jumlah yang sepatutnya telur dimakan oleh setiap individu bagi mengurangkan risiko kematian atau penyakit. Ini kerana kajian yang dijalankan itu tidak boleh membuktikan hubungkait sebenar berdasarkan faktor-faktor lain yang boleh menjadi risiko sampingan (confounding factors), seperti merokok, gemuk, jantina, umur dan aktiviti sukan setiap responden.

3) Telur adalah sumber yang bagus untuk protein, vitamin, garam galian. Mengambilnya dalam menu seharian anda boleh memberi kesan positif dalam kehidupan.

Jika diteliti lanjut, kajian yang dijalankan itu telah mendapat tajaan besar dari Pusat Nutrisi Telur Amerika. Berlaku konflik kepentingan antara kaedah kajian dan keputusan kajian yang ditulis. Sudah tentu ianya akan menyokong pusat berkenaan bagi melariskan jualan.

Akhirnya kajian tersebut seolah-olah tidak signifikan.

Untuk pengetahuan bersama, kaitan telur dengan kandungan kolesterol menjadi perdebatan hangat sejak sekian lama. Ini kerana tekstur kuningnya memberi persepsi bahawa ianya adalah kolesterol atau lemak. Pemikiran kita selama ini telur adalah makanan yang banyak kolesterol, sebenarnya tidak. Sedangkan kajian terkini mendapati kandungan kolesterol di dalam makanan tidak memberikan kesan negatif kepada tubuh kerana kebanyakan kolesterol terbentuk di hati (liver). Boleh baca tulisan lanjut oleh laman Root of Science.[2]

Boleh simpulkan di sini, jumlah telur semata-mata tidak menjamin anda berisko dihinggapi penyakit. Faktor-faktor lain boleh mempengaruhi. Makanlah dengan sederhana, jangan berlebihan. Kekalkan gaya hidup sihat senantiasa. Katakan tidak kepada rokok. Nyatakan kebencian anda kepada perangai peminum arak atau golongan yang menganjurkan arak berleluasa. Kerana ianya merosakkan diri anda sebagai aset berguna negara.

Sekian Semoga Bermanfaat

Suhazeli Abdullah
Fb.com/drsuhazeli
15.10.2017
Kuala Berang

Pautan
[1] Alexander DD, Miller PE, Vargas AJ, et al. Meta-analysis of Egg Consumption and Risk of Coronary Heart Disease and Stroke. Journal of the American College of Nutrition. Published online October 6 2016.
[2] Root of Science. Kolesterol dalam makanan tidak akan meningkatkan kolesterol dalam badan http://rootofscience.com/…/kolesterol-dalam-makanan-tidak-…/
[2] Review from NHS UK. https://www.nhs.uk/…/eating-one-egg-a-day-may-lower-risk-o…/

KISAH semalam masih lekat sampai hari ni. Satu keluarga yang dijemput datang klinik bagi laksanakan saringan hubung-kait (contact tracing) penyakit. Saringan ini wajib dilakukan jika salah seorang dari waris terdekat menghidapi penyakit berjangkit seperti tuberkulosis, difteria, denggi dan lain-lain penyakit berbahaya. Bertujuan mengenal pasti tanda-tanda ahli keluarga lain sama ada dijangkiti sama atau tidak. Jika positif, rawatan segera akan dijalankan.

Kefahaman, gaya hidup, sikap (health seeking behaviour) dan bagaimana mendapatkan akses kesihatan memainkan peranan penting dalam penjagaan kesihatan individu serta masyarakat. Jika health seeking behavior itu rendah, terlalu sukar para petugas kesihatan untuk memberi penerangan, kaunseling serta rawatan yang sepatutnya.

Keluarga Ahmad (bukan nama sebenar) ini bukannya dari golongan tidak berkemampuan atau tidak berpelajaran. Malah Ahmad dan isterinya sendiri bekerja sebagai jurutera syarikat besar negara. Tetapi dek kerana sikap mereka yang menolak seratus peratus perubatan moden dan segalanya mengharap penyembuhan alami, mereka agak keberatan untuk dijalankan contact tracing ini.

Anak bongsu mereka (10 tahun) disahkan pengidap TB kahak positif. Besar kemungkinan berjangkit dari atuk yang pernah dirawat penyakit TB setahun lepas. Rekod perubatan mendapati kesemua lima anak Ahmad tidak divaksinkan lengkap. Hatta BCG (vaksin cegah TB) pun tidak diberikan.

Bermula dari pendaftaran contact tracing, buka kad, jumpa doktor hingga ujian mantoux, kesemuanya merumitkan kami. Bahasa mudah agak fussy.

Setiap langkah ujian ‘disoal' walaupun penerangan panjang lebar telah diberikan. Bahagian paling tragis adalah ujian mantoux. Kami dituduh agen Yahudi kerana ingin cucuk tuberkulin (mantoux test). Katanya tuberkulin itu sejenis vaksin yang diagendakan oleh barat. Semuanya arahan zionis Yahudi.

Kami kaget dan terkedu.

Suhazeli Abdullah
Fb.com/drsuhazeli
13.10.2017
Foto Dr Suhazeli Abdullah

TERSEBAR video Mak Lang Batu Geliga yang merawat penyakit rabun mata. Sekali tengok terkesima saya kehebatan Mak Lang. Boleh kalahkan pakar mata dengan alatan canggih masa kini, hanya dengan sebiji batu geliga. [Gambar Kanan]

BG01Nasihat saya, jangan mudah teruja dengan sesuatu keajaiban kaedah berubat seperti ini. Pernah suatu ketika pesakit batu karang ginjal pergi merawat kaedah bedah batin. Batu karang keluar nyata satu persatu dengan penbedahan batin, tanpa pisau. Beliau bawa batu karang itu jumpa saya untuk pengesahan scan. Saya lihat batu itu bukan komponen batu karang pun sebab sama macam batu sungai.

Scan dibuat, ternyata batu karang beliau masih terlekat dalam ginjal. Seminggu lepas itu saya terima berita pesakit berkenaan meninggal dunia akibat kegagalan buah pinggang. Orang kita selalu teruja dengan perkara sembuh segera, murah, ajaib dan mistik. Tanpa melihat logika sains di sebaliknya. Saya tidak akan menuduh Mak Lang amalkan sihir atau mistik.

BG02Menurut ahli Optometris #MedTweetMY, Amira Nadia, rawatan batu geliga yang digunakan itu sama konsep dengan kaedah LASIK atau Orthokeratology [Gambar Kiri]. Ia satu kaedah perubatan untuk membentuk semula lapisan luar kornea mata supaya imbasan imej yang masuk ke dalam mata terbentuk dengan sempurna. Kaedah ini hanya dilakukan ke atas pesakit yang rabun dekat atau jauh sahaja. Bagi penyakit lain seperti katarak, rosak saraf retina dan seumpamanya, kaedah Lasik atau Ortho-K ini tidak digunakan.

Mekanisma yang boleh dijelaskan dengan menggunakan BATU GELIGA ini adalah; batu tersebut akan memberi tekanan kepada kornea mata dalam sela masa tertentu. Dengan itu kornea akan dibentuk semula (reshaping) mengikut lengkung acuan permukaan batu geliga [Gambar Kanan]. BG04Konsep yang hampir sama dengan lasik atau Ortho-K tadi. Cumanya kaedah batu geliga Mak Lang hanya bersifat sementara. Lama kelamaan kornea akan kembali ke bentuk cengkung asal, kerana batu itu tidak selama-lamanya di situ sebagaimana Ortho-K.

Nasihat saya selanjutnya adalah, jauhkan diri dari mengambil kaedah bahaya batu geliga ini. Kornea adalah lembut, nipis dan sensitif. Gosokan secara kasar atau memasukkan bendasing akan merosakkan permukaannya dengan mudah. Sudah berapa banyak kes kecemasan yang kami temui kerosakan ke atas permukaan kornea ini [lihat gambar bawah - kerosakan kepada kornea mata]. Jika ia tidak dirawat sebaiknya, boleh membawa buta mata anda.

Batu geliga itupun bukannya bersih. Digunakan terhadap beratus-ratus orang yang hadir mendapatkan rawatan. Tiada jaminan jangkitan kuman tidak berlaku. Peratusannya agak tinggi. Pelanggan yang hadir pun tidak disaring, perebakan bakteria, virus hepatitis malah HIV senang berlaku jika tidak menjaga kebersihan ini.

BG05Jika Mak Lang boleh mendakwa batu geliganya boleh mengubati katarak, rosak saraf mata atau lain-lain, baharulah saya boleh menuduh Mak Lang menggunakan unsur mistik dalam merawat.

Beringatlah sebelum parah. Doktor mata yang bertauliah masih ramai dan sudi membantu anda. Jangan ambil jalan mudah, segera, ajaib dan mistik! – HARAKAHDAILY 10/10/2017

SUATU ketika Pakatan Rakyat masih wujud, saya mendengar ucapan DSAI di sebuah dewan di Selangor dalam satu majlis. Antara ucapan yang melekat dijiwa saya ketika itu adalah DSAI mengibaratkan sikap BN dan kepimpinan negara ketika itu terhadap rintihan rakyat, kos sara hidup dan ketidakadilan akta tertentu sebagai gejala ‘disconnect’

Ya ‘disconnect’itulah yang ditampilkan apabila rintihan dan pendedahan kesusahan rakyat dimaklumbalas kerajaan dengan sikap ‘dono’ atau tiada apa-apa yang besar yang perlu diambil tindakan. Saya mulai faham ketidakterlibatan pemimpin dan aristokrat dengan sosial marhaen akan menyebabkan mereka pekak badak dan mendiam diri melihat kesengsaraan rakyat.

Namun kini zaman berubah dan yang bercakap sudah sedia memiliki kuasa. Yang berkuasa juga dari kelompok rakyat dan mereka juga pernah susah seumpama rakyat. Sindrom atau gejala disconnect kelihatan kekal dalam saf kepimpinan negara malah lebih dahsyat lagi kerana satu satu pembohongan janji berlaku kepada rakyat tanpa ada rasa segan dan malu.

Membebas Wanji tanpa sebab musabab kukuh selepas dijatuh hukum menghina Sultan malah diarak ke serata negeri berceramah adalah gejala‘disconnect’ dengan kehakinan negara yang cukup buruk. Malah ia‘disconnect’ dengan perasaan rakyat yang rata-rata marah dengan tindakan Wanji yang biadab itu.

Mendiam diri terhadap kapitalis Pasir Gudang dan Sungai Petani yang menjarah udara negara sehingga mengancam nyawa adalah keangkuhan dan 'disconnect’ yang cukup berkesan di jiwa rakyat.

Memilih individu yang berlaras nafsu dan minda LGBT sebagai perlambangan kementerian tertentu juga kelihatan cukup ‘disconnect’dengan nurani rakyat. Jelas rakyat Malaysia cukup janggal dan menolak sub-budaya LGBT dan hidup beragama di Malaysia menanam jiwa rakyat yang menganggap LGBT bukan satu paradigma maju yang boleh dijulang kerana ia dianggap nafsu serakah, keinginan atas nama seks dan ia adalah suatu minda kuno sejauh zaman Nabi Lut lagi.

Liberalis menganggap ia moden dan terbuka, maju dan mainstreemtetapi hakikatnya ia lapuk dan amat dibenci majoriti rakyat Malaysia. Ia bukan mainstreem.

Memberi jawapan jawapan pelik dalam maklumbalas rintihan rakyat juga satu gejala disconnect yang teruk. Menganggap rakyat boros sebagai punca ekonomi jatuh, memberi solusi pelik tentang penorehan getah, menghapus banyak bantuan untuk rakyat dalam keadaan sosio ekonomi yang kian menurun adalah satu tindakan ‘disconnect’ dengan harapan rakyat kepada PH pada awal kemunculannya.

Lihat kini ‘disconnect’ yang paling jelas adalah di mana parti kerajaan membantah dasar kerajaan sendiri secara terangan dan biadab serta seolah olah ia isu yang baru muncul iaitulah isu implimentasi kaligrafi khat jawi dalam silibus bahasa melayu rendah.

DAP memang suatu parti yang ‘disconnect’ dengan budaya dan peribadi negara. Ia bukan dasar yang disebut secara rasmi oleh DAP tetapi ia boleh dinilai dari segi praktikal dan kenyataan mereka hari demi hari.

Sekian lama mereka mendendam Umno bukan sekadar ideologi dan kebejatan pemimpin Umno malah mereka menolak sebarang simbol dan nilai budaya amalan kerajaan terdahulu yang dianggap budaya Umno. Bahasa Melayu, Jawi, Raja Melayu, hak istimewa bumiputera dan bangsa Melayu, Tabung Haji dan apa sahaja yang berkaitan domain Islam Melayu akan dipalit sebagai peninggalan Umno dan mereka akan alah kepadanya.

Sebaliknya mereka akan memperguna simbol dan budaya Melayu apabila mlaksana strategi tawan hati poilitik dan ia berlaku secara berkala sahaja umpama makan dalam talam, menghormati azan, pakai tudung, masuk masjid bagi zakat dan lain-lain kegiatan pelik seolah olah mereka muslim akan dilaksana atas nama strategi dan mekanisme politik.

Halikatnya mereka disconnect dengan budaya umat Islam dan negara.

Sudah lama mereka inginkan negara Malaysian Malaysia yang setara Malayan Union dan ia diubahsuai saban masa mengikut rentak politik, misalnya dalam pakatan rakyat mereka mengendurkan kalimah Malaysian Malaysia walaupun ia masih merupakan penacapan paradigma ahli DAP sehingga kini.

Menolak sebarang nilai yang ada kaitan dengan feudalisme umpama menolak sebarang gelaran datuk walaupun ia bukan isu penting tetapi ia simbol disconnect yang saya nyatakan.

Meminjam istilah Marx (walaupun tidak setepat kehendak sosiologis) iaitu istilah Alienasi sosial adalah amalan DAP sehingga menganggap apa sahaja dasar budaya, dasar pendidikan, kepentingan umat Islam, Raja Melayu dan kaitan feudal ianya akan memualkan mereka seolah-olah mereka baru berhijrah ke Tanah Melayu.

Hidup memang lama di Malaysia tetapi bila amalan alienasi sosial berlaku maka ‘value disenggangement’ yang merupakan nilai sepunya dalam masyarakat kita akan terus berlaku dan DAP akan kekal membantah hal-hal biasa, hal remeh berkaitan Islam, syariat, Raja, Bumiputera dan sebagainya walaupun mereka berubah sikap 100 peratus apabila melaksanakan mekanisme strategi tawan pengundi seperti yang saya ulas di atas.

Dalam hal tulis Jawi misalnya mereka bukan baru memeluk tulisan itu sedangkan tulisan itu ada dalam not not duit di poket mereka. Hal ini tidak akan berlaku pada kaum bukan Melayu atau Melayu yang mengikuti dan menghayati nilai budaya realiti majmuk di Malaysia yang jelas berteras Melayu Islam.

Ini bukan hegemoni atau penjajahan budaya seperti yang golongan liberalis dan DAP anggap dalam wacana-wacana mereka. Ia satu realiti, budaya kulit putih anglo saxson mendominasi kehidupan New Zealand, Australia, Amerika dan Britain sebagai budaya penyatu rakyat dan sosial. Demikian China budaya Bangsa Han mengatasi budaya minoriti. Jadi apa salahnya Malaysia?

Pada saya DAP tidak mengimpikan China. Mereka mengimpikan Singapore untuk merealisasikan ‘social re-engineering’ idaman mereka yang lebih realistik dan kelihatan mampu dijangkiti ke Malaysia. Lantaran itu silibus pendidikan akan menjadi sasaran utama DAP untuk dipugar agar semangat alinenasi terhadap budaya sedia ada dipupuk secara sedikit demi sedikit hingga masayarat idaman mereka wujud.

Selagi PH berkuasa harapnya Bersatu mainlah peranan yang terbaik untuk mempertahan peribadi dan identiti negara yang sekian lama dipeluk rakyat tanpa rasa terjajah sesama kita pun. - HARAKAHDAILY 9/8/2019

SAYA membaca dengan teliti kecaman tuan terhadap Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkenaan kenyataan TGHH tentang Tabung Haji. Sebelum saya jawab berkenaan 3 point tuan berkenaan TH yang kebanyakannya diambil dari firma audit PWC, izinkan saya memahamkan tuan tentang maksud sebenar TGHH.

Daripada awal TGHH dan PAS sentiasa konsisten agar apa apa tuduhan terhadap institusi kewangan Islam ini diselesaikan melalui suruhanjaya bebas/diraja atau melalui medium mahkamah. Tidak ada sebarang usaha daripada mana mana pihak hatta dari Umno sekalipun agar skandal tersebut ditutup (jika ada). Malahan Umno sendiri mahukan Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat sebarang salah laku pengurusan lama.

Pendirian TGHH hanyalah mahu agar segala skandal ini (jika ada) dibicara dan diselesaikan di mahkamah dan bukannya di media bagi menjaga imej TH. Jadi di mana salahnya?

Dan saudara sebagai Naib Presiden PKR (lantikan) sebuah parti dalam kerajaan seharusnya mencerminkan langkah wajar dengan memulihkan keyakinan pendeposit terhadap institusi ini melalui sokongan terhadap apa-apa proses undang-undang dan siasatan. Sebarang usaha 'pendakwaan secara media' adalah perkara yang tidak wajar dibuat oleh saudara yang telahpun memiliki kuasa. Itu kerja pembangkang.

Pendakwaan secara media (media trial) hanya akan meruntuhkan keyakinan pendeposit dan pelabur.

Sekarang kita fokus kepada 3 point yang saudara sebut dalam tulisan saudara:

1. Saudara menyebut bahawa TH mengalami kerugian pelaburan RM549 juta yang mana sebahagian besarnya adalah daripada penyelewengan.

Jawapan: Saudara, penyelewengan apa? Pelaburan mana? Anak syarikat mana yang terlibat? See, inilah contoh "media trial" yang kami meluat dari dahulu hingga sekarang. Kalau ada penyelewengan, mana dakwaan dan keputusan mahkamahnya? Sejak bila saudara jadi hakim?

2. Saudara menyebut bahawa keuntungan penjualan Bank Islam (BIMB) oleh TH sebanyak RM533 juta adalah helah perakaunan sebab TH kemudiannya beli balik pegangan saham Bank Islam tersebut.

Jawapan: Saudara, faham ke tidak walaupun beli semula, pegangan saham TH ke atas BIMB meningkat kepada 53.4% (sebelum ini 51%). Benda ni semua recorded dan kita patut puji TH sebab berjaya naikkan pegangan mereka selepas buat pelaburan kali ke-2 dalam BIMB.

3. Dividen RM436 juta anak syarikat kepada TH belum dibayar setakat 30 Sept 2018. Bila dividen belum dibayar, maknanya pendapatan TH tiada.

Jawapan: Saya tak berapa faham dengan pendirian saudara dalam isu ini. Dividen itu, apa jadi pun perlu dibayar sebab TH ada pegangan. Soal belum dibayar itu bukannya penyelewengan dari TH. Yang pengurusan baru perlu lakukan adalah meminta anak-anak syarikat tersebut untuk bayar segera kepada TH.

Kenapa pendirian saudara ni pelik? Sebab apabila SPV mengambil alih aset dan ekuiti TH bernilai RM19.9 bilion baru-baru ini, TH pun tidak mendapat apa-apa secara zahir memandangkan sukuk RM10b itu hanya boleh ditunaikan selepas 7 tahun. Dengan kata lain, duit jual tu tak masuk akaun pun lagi. Dah tu macammana kita boleh kata akaun TH dah comel selepas jual pegangan dan aset mereka kepada SPV?

Saudara,

Saudara dan saya orang Kemaman. Kita sekampung saja. Tetapi saudara diberikan nikmat kuasa yang orang Kemaman lain tidak ada. Sepatutnya saudara perjuangkan hak pendeposit dan bukannya bermain kata di media.

Contohnya, pejuangkanlah agar saham-saham yang sudah dilepaskan kepada SPV tetapi berpotensi tinggi dan konsisten bagi dividen seperti Malakoff, Hap Seng dan Pintaras dapat dikembalikan semula kepada TH apabila nilaian saham mereka meningkat semula.

Perjuangkanlah agar asset-aset berharga macam tanah TRX tidak dilepaskan secara harga modal (sukuk) tetapi cadangkan agar tanah tersebut dibangunkan secara PFI (Private Fund Initiatives) dengan TH diberikan pegangan dalam hartanah tersebut agar pendapatan itu dapat dinikmati pendeposit secara berterusan. Apa nak hairan dengan pelabur. Khalid Samad kata Syeikh Qatari ada modal 400 bilion dolar kan?

Perjuangkanlah agar RCPS-i yang diberikan oleh SPV itu ada dividen. Bukannya kosong. Pintaras, Hap Seng dan Malakoff konsisten bagi dividen melebihi 4.5% setahun. Takkan munasabah diganti dengan RCPS-i yang zero dividen?

Perjuangkanlah agar sukuk RM10 bilion yang diberi oleh SPV kepada TH sebagai timbal balas pindah milik aset itu dijamin oleh kerajaan. On paper, sekiranya SPV tersebut bangkap dan jahanam dalam masa 7 tahun, TH takkan dapat apa-apa sebab tiada government guarantee.

Saudara ada banyak kerja. Pujuk Izzah, pastikan DSAI jadi PM sebagai contohnya. Banyak. Tapi berpolitik dalam media sosial bukan salah satu daripadanya.

Sekian

Abdul Rahim Hilmi Zakariya
Pendeposit TH sejak 1990 – HARAKAHDAILY 5/1/2019

PERKEMBANGAN yang melibatkan ahli-ahli parlimen Umno-BN dalam sehari dua ini agak menarik. Ada yang menganggap apa yang berlaku itu mengejutkan tetapi tidak kurang juga ia sudah diduga.

Tindakan keluar daripada Umno terutama membabitkan ahli-ahli parlimen sama ada dari Sabah mahupun Semenanjung semacam memberi satu isyarat bahawa parti itu bakal menemui jalan sukar untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.

Namun, apa yang menarik perhatian saya ialah tulisan veteran PAS, Haji Subky Latif dalam akhbar Harakah edisi Jumaat lalu yang bertajuk ‘Duit dan masa depan Umno’.

Pada saya, analisis tokoh wartawan PAS itu bertepatan dengan perkembangan mutakhir ini yang menyaksikan ramai ahli parlimen Umno keluar parti.

Saya cuma memetik beberapa para daripada tulisan beliau itu secara tidak tersusun untuk dikaitkan dengan tindakan ahli parlimen Umno terbabit.

“Ahli akar umbinya memberitahu saya, keadaan umumnya Umno akan habis. Mulai ada dalam kalangan ahli di kebanyakan tempat berminat menubuhkan Bersatu dan yang sedia menyambutnya pun ramai.

Saya tanya apa yang menyebabkan sikap itu?

Jawabnya, ‘duit!’

Orang Umno itu mengaku, kebanyakan orang Umno yang bersama-sama dengannya tidak nampak Umno boleh kembali pulih dan berkuasa. Maka mereka hendak tunggu apa?

Pada amatan penyokong sederhana Umno itu Umno sudah habis.

Tetapi sementara Umno itu belum pupus, Bersatu hilang tonggak utama, dan 50 orang MP Umnonya kekal hingga PRU15 nanti, harapannya tidak pada Pakatan Harapan saja, maka belum tentu ia habis.

Bagi menjamin ia tidak habis, ia mesti beranjak kepada Islam memimpin. Setia kepada Islam memimpin itu mesti jangan kurang daripada kesetiaan PAS kepada Islam memimpin.”

Kesimpulan yang dibuat oleh Haji Subky juga menarik supaya mereka yang berkenaan beranjak kepada Islam memimpin.

Para pembaca boleh mengikuti analisis penuh Haji Subky dalam akhbar Harakah itu. - HARAKAHDAILY 14/12/2018

ALHAMDULILLAH, segala pujian buat Tuhan yang telah menyatukan hati para pejuang bangsa itu atas satu platform yang paling kukuh dan kuat iaitu Islam.

Saya pergi semalam bukan atas tiket mana-mana parti tetapi sekadar bersama dalam perkara-perkara kebaikan dan menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Muslim serta menawarkan diri secara peribadi bagi kerja-kerja kebersihan dan mengutip sampah semalam.

Ya, bukankah menjaga kebersihan itu sebahagian daripada Iman?

Saya telah berada di sana seawal jam 11 pagi. Banyak benda yang saya lihat membuatkan hati saya kagum dan bangga dengan majoriti bangsa saya yang hadir di sana semalam.

OKU dan kanak-kanak

Saya sendiri tidak berapa setuju dengan tindakan membawa kanak-kanak ke tempat yang penuh sesak seperti itu. Ya, sebagai kakitangan kesihatan, kita begitu faham risiko-risikonya.

Namun, apa yang saya ingin bawakan di sini ialah sikap orang sekeliling apabila mereka melihat adanya kanak-kanak dan Orang Kelainan Upaya yang berkerusi roda.

Ketika ada ayah atau ibu yang bersesak membawa anak-anak, saya terdengar sang ayah berkata,

"Maaf, ada anak kecil di sini"

Laluan sesak terbuka seperti lorong air sungai yang dihalang oleh empangan sehingga mudah untuk ibu dan ayah lalu bersama anak-anak mereka. Sungguh menakjubkan!

Setelah hampir ke hadapan lori (tempat para penceramah dan wakil jemputan duduk), saya terlihat seorang OKU berkerusi roda sedang bergerak. Tiba-tiba ada orang menjerit,

"Saudara, ada OKU kat sini. Beri laluan, tolong"

Sekali lagi lorong yang luas dibukakan untuk OKU tersebut bergerak. Tidak pernah saya berbangga dilahirkan sebagai bangsa Melayu seperti hari ini. Bangsa yang sangat memuliakan dan membantu mereka yang memerlukan. Inilah hasil asuhan dan didikan Islam.

Solat berjemaah dan azan

Ini juga berjaya menarik perhatian saya. Apabila masuk waktu Zohor, saya lihat sekeliling saya ramai yang mula berwudhuk dan membentuk saf. Saya juga melihat beberapa para wanita menyediakan tempat untuk suami bersolat dan menuangkan air untuk berwudhuk di tepi jalan.

Orang terlalu ramai sehingga solat terpaksa dilakukan secara giliran dan berjemaah. Para wanita juga sangat faham sehingga mereka memberi laluan kepada para suami dan lelaki di sekeliling mereka untuk solat dahulu sambil menjaga barang-barang kepunyaan mereka.

Saya juga terpegun melihat corak dan alunan ombak para jemaah takbir, rukuk dan sujud bersama. Ritma gerakan solat yang beralun ini mampu memecahkan hati-hati yang berkarat dengan dosa ini. Hampir-hampir membuatkan air mata saya menitis.

Saya juga hampir menitiskan air mata ketika azan Asar dikumandangkan oleh Dr Wajdi di atas pentas. Semua orang diam sambil menjawab azan. Kesepian di kawasan Dataran Merdeka yang dihadiri puluhan ribu manusia itu membuatkan saya kagum betapa hati manusia mudah lembut apabila kalimah Tuhan dilaungkan.

Meremang bulu roma saya!

Bersedekah

Ramai yang berniaga. Baguslah, bukankah Islam juga mengajar kita berjuang melalui ekonomi. Namun, di sebalik itu ramai juga yang saya lihat mengambil peluang untuk bersedekah.

Di bawah jejantas menuju ke dataran umpamanya, saya dihulurkan sedekah walaupun kecil tetapi bermakna buat saya seperti ada yang memberi gula-gula, madu, minyak wangi malah ketika habis perhimpunan ada juga yang bersedekah memberi air mineral. Alhamdulillah, dapat juga menghilangkan dahaga sebelum pulang.

Inilah rahmat Allah A.Z.W.J yang telah menyerap masuk ke dalam hati setiap orang Islam.

Reunion berkasih sayang

Sebelum hadir ke sana, ramai rakan-rakan yang berkata,

"Tak payahlah Zam. Nanti ada rusuhan mana kau nak lari. Teruk kau nanti"

Ada juga rakan-rakan dari NGO menasihatkan,

"Zam, kami pun berjuang untuk Islam. Tapi kami tidak setuju dan tidak pergi ke sana pun."

Wallahu'alam. Yang pasti, niat saya jelas. Saya pergi bukan atas tiket mana-mana parti tetapi atas kapasiti peribadi saya sebagai orang Islam dan Sukarelawan Menjaga Kebersihan (mengutip sampah). Walaupun saya tahu ada Unit Amal yang bertugas, tapi saya tidak mahulah nanti ketika ada sampah yang tertinggal di sana dan mereka yang busuk hati berkata,

"Inikah Islam. Pengotor!"

Maka, atas niat membantu sesama Muslim dan menjaga maruah Islam. Saya datang dengan 60 helai plastik sampah dan habis sahaja perhimpunan saya mulakan tugas bersama ratusan orang Islam lain yang berlegar-legar mencari sampah.

Ketika memungut sampah, saya tidak nampak satu rusuhan pun. Abang-abang dan akak-akak polis dengan gembiranya berdiri di tepian jalan sambil membalas senyuman dengan kami. Polis trafik juga tidak terlalu susah mengawal lalu lintas sebab semua orang faham dan mematuhi arahan.

Saya tidak nampak kereta terbalik, kedai terbakar atau pergaduhan. Saya juga lihat ramai sahaja non-Muslim lalu lintas di sana tanpa diganggu, kerana apa?

Kerana Islam itu mendamaikan dan mengajar menghormati hak orang lain.

Satu perkara lagi yang berjaya menyentuh hati ini ialah perhimpunan semalam seperti menyatukan adik-beradik yang lama terpisah atau 'reunion' rakan-rakan yang lama tidak bersua muka. Anda boleh lihat merata orang bersalaman dan berpelukan mengucapkan Assalamualaikum membuatkan anda rasa bahagia seketika.

Inilah Ukhuwah Islamiyyah yang kita inginkan.

Marah dan maki hamun

Saya faham, apabila kita telah ramai dan bersemangat memang ada yang 'terkucil'. Saya sendiri mendengar ada yang menyebut "Bodoh, pergi mampos ICERD" semasa perarakan berlangsung.

Tiba-tiba ada seorang brother di hadapan saya kata,

"Woi sedara, Islam tak ajar macam itulah. Jaga perkataan tu"

Terus individu yang menggunakan perkataan kurang elok itu diam. Dia tidak membalas kembali, sebab apa? Sebab perkataan 'Islam' itu berjaya membuat dia berfikir kembali kesalahannya. Inilah Islam. Mengajar umatnya memprotes, berhimpun dan membantah dengan cara yang berhemah, aman dan mengamalkan akhlak mulia.

Gambar: Saya bersama rakan semasa di kolej dahulu, sudah hampir 11 tahun tidak berjumpa. Di Dataran Merdeka ini kami disatukan kembali atas nama Ukhuwwah Islamiyyah.

Allahuakbar! - HARAKAHDAILY 9/12/2018  

FB IMG 1544337195159 

FB IMG 1544337203249

FB IMG 1544337207419