Bekas calon PKR ditahan SPRM

Berita
Typography

ALOR SETAR: Bekas calon PKR dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 14 lalu ditahan reman atas dakwaan politik wang pada pemilihan cabang PKR baru-baru ini.

Berdasar pertuduhan suspek bersama dua orang lagi dipercayai meminta wang suapan berjumlah RM20,000 daripada seorang lelaki.

Ia dikatakan sebagai dorongan supaya namanya didaftarkan ke dalam sistem pemilihan parti bagi melayakkan bertanding pada pemilihan parti itu.

Menurut sumber, lelaki terbabit pada awalnya digugurkan daripada sistem, namun boleh dikekalkan sekiranya membayar wang berkenaan.

Perintah tahanan reman selama tujuh hari sehingga akhir bulan ini terhadap pemimpin PKR terbabit dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Alor Setar, Jamaludin Elias.

Kes itu dikendalikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). - HARAKAHDAILY 25/10/2018