FIRMAN Allah swt surah al Anfal ayat 60:

وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِنْ دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ ۚ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنْتُمْ لَا تُظْلَمُوَن

"Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya."

PAS, aset dan jentera parti

najhanPAS yang mempunyai kemampuan 190 kawasan aktif, 7,000 buah cawangan dan keahlian mencecah 1 juta orang adalah merupakan parti kedua terbesar dalam negara ini.

Keupayaan dan ketumbukan ini usah dipandang enteng kerana dalam kancah politik dan pilihan raya, tenaga manusia adalah faktor terpenting dalam penentuan pergerakan dan operasi parti tanpa menolak aspek lain seperti strategi dan media.

Beberapa siri pilihan raya umum dan kecil sebelum ini, PAS pada ketika itu berada dalam tahaluf politik dan kerjasama, jentera dan kekuatan ahli PAS seluruh dikerahkan untuk menyumbang tenaga dan kepakaran mereka kepada parti kawan. Malah wang ringgit dan sumbangan derma ahli PAS turut dilimpahkan untuk mempastikan kemenangan rakan politik PAS.

Kesetiakawan yang ditunjukkan PAS sewaktu bertahaluf dan bertaawun diakui oleh semua pihak, bagaimana PAS adalah kawan yang mampu dipercayai sekalipun berbeza parti dan dasar perjuangan tetapi memiliki sasaran yang sama iaitu ingin menang dalam pilihan raya.

Boleh dikatakan semua kerja-kerja berat pilihan raya seperti memasang dan gantung bendera, panjat pokok, tampal poster, atur ceramah, unit keselamatan, mengawal lalulintas dan orang ramai, peranan Jabatan Amal, persiapan lokasi ceramah, sebaran risalah, rayu undi, polling and counting agent, petugas barung, kesetiausahawanan dan pejabat, markaz pilihan raya dan berbagai-bagai lagi yang hampir dimonopoli oleh petugas dan jentera PAS.

Pihak parti kawan bolehlah dikatakan hanya basuh kaki sahaja ke dalam rumah yang semuanya telah disiapkan oleh PAS. Pemimpin parti kawan hanya datang berceramah, berjabat tangan dan bertemu pengundi dan rakyat, tetapi kerja-kerja di sebalik semua itu telah disediakan oleh PAS.

Adapun aset PAS, sangatlah banyak. Penulis sendiri menganggarkan bahawa aset PAS daripada markaznya, pusat tarbiyyahnya, bangunannya dan tanahnya, kenderaan rasmi parti, peralatan pejabat, wang simpanan di bank, serta wang ringgit di poket ahlinya yang pada bila-bila masa boleh disalurkan kepada parti, semua ini mampu mencecah ratusan juta ringgit dan mungkin mencecah RM 1 bilion. Inilah kehebatan PAS. Kalau tuduhan PAS tagih duit RM90 juta itu adalah terlalu sedikit berbanding dengan kemampuan PAS.

Keputusan PAS dalam tahaluf adalah satu realiti pahit yang terpaksa ditelan oleh rakan lama PAS bahawa PAS memiliki sesuatu yang mereka tidak miliki iaitu jentera dan aset yang mencukupi. Tambahan pula, PAS walaupun tidak bersama lagi dengan mereka, PAS mempunyai kelebihan tersendiri dan kepakaran yang mampu mengisi kelompongan yang dirobek keluar daripada PAS.

Kini, dalam suasana PRU-14 yang amat hampir, PAS dalam memimpin Gagasan Sejahtera dengan Ikatan, Berjasa, Cinta Malaysia akan menumpukan sepenuh tenaga dan upaya serta kelebihan yang PAS miliki untuk memastikan PAS beroleh cita-citanya untuk menegakkan Islam.

Ahli PAS dan petugas pilihan raya PAS kini lebih bersemangat dan bermotivasi tinggi untuk berjuang memenangkan parti mereka sendiri dan parti kawan yang menghormati dasar dan cita-cita PAS.

Mereka seolah-olah sudah serik dan jemu dengan karenah bermuka-muka bekas rakan politik PAS yang sewaktu pilihan raya datang bertemu PAS dengan wajah tanpa bersalah dan merayu bantuan daripada PAS. Akan tetapi selepas mencapai kemenangan dan pilihan raya, melayani PAS seumpama peminta sedekah.

Buktinya rata-rata program yang dianjurkan PAS mutakhir ini samada berbentuk himpunan jentera petugas pilihan raya, program liqa fikri, tarbiyyah dalaman dan juga mesyuarat ahli jawatankuas PAS di semua peringkat, kita pasti menyaksikan bagaimana sambutan luar biasa yang ditunjukkan oleh kepimpinan, ahli dan juga petugas parti.

Ini adalah signal jelas bahawa ahli pendukung dan penggerak parti PAS berada dalam mode yang sangat bermotivasi dan kuat. Mereka sudah bersedia dan tunggu masa diarah oleh pucuk pimpinan PAS apabila gendang jihad pilihan raya dipalu.

Insya Allah pada kali ini aset terpenting PAS ini bakal diaplikasikan pada tahap yang semaksimum mungkin bagi memenangkan Islam dalam pilihan raya akan datang dan juga apa juga situasi. – HARAKAHDAILY 11/1/2018

Penulis adalah Setiausaha Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor.

HUTANG Harakah bertimbun ketika Kumpulan 18 yang tewas dalam pemilihan 2015 menguasai Harakah. Sekarang mereka berlagak suci dengan mencanangkan Harakah sedang tenat padahal bukan mereka tak tahu bahawa ini semua adalah hasil peninggalan tangan-tangan mereka.
 
Pengurusan baru sedang berusaha sehabis daya untuk menyusun semula Harakah dan menjelaskan hutang lapuk. Dengan izin Allah, Harakah akan terus terbit dua kali seminggu. Tugas kita sebagai ahli ialah melaksanakan arahan 3B. Beli, Baca dan Beri.
 
Bekas-bekas staf yang dulu makan di Harakah, kini menebuk lubang bahtera Harakah dari luar dibantu seorang dua yang masih berbaki di dalam.
 
Jangan tebuk lubang kerana nakhoda kapal kadang kadang boleh pakai dayung atau sauh untuk libas tukang tebuk sampai keluar dari kapal supaya kapal boleh selamat dan terus belayar. 
 
DR AZMAN IBRAHIM - HARAKAHDAILY 11/1/2018

ALLAH telah merakamkan perlakuan golongan munafiqin yang gopoh berpaling tadah. Firman-Nya:
 
فَتَرَى الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٌ يُسَارِعُونَ فِيهِمْ يَقُولُونَ نَخْشَىٰ أَن تُصِيبَنَا دَائِرَةٌ ۚ فَعَسَى اللَّهُ أَن يَأْتِيَ بِالْفَتْحِ أَوْ أَمْرٍ مِّنْ عِندِهِ فَيُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا أَسَرُّوا فِي أَنفُسِهِمْ نَادِمِينَ
"Maka kamu akan melihat orang-orang yang ada penyakit di dalam hatinya, mereka gopoh menyertai musuh. Mereka beralasan "Kami bimbang kalah dikepung". Mudah-mudahan Allah akan mengurniakan kemenangan kepada Rasul-Nya atau suatu keputusan dari sisinya. Maka akibat terlalu ikutkan apa yang bersarang di dalam diri mereka, menyebabkan mereka menjadi orang-orang yang menyesal"
(al-Maidah: 52)
 
Golongan yang digambarkan oleh ayat ini adalah:
 
• Tidak tahan apabila Islam diasak teruk. Beranggapan kononnya jika terus dengan prinsip Islam, tiada harapan untuk meraih kemenangan.
 
• Lantas mereka tidak berfikir panjang, secara gopoh terus berpaling tadah dari kumpulan Islam.
 
• Lalu mereka menyertai gerombolan yang sudah sedia menentang Islam yang disangkakan lebih ramai dan dominan. Hakikatnya mereka tidak ubah seperti kawanan kambing yang menyerah diri kepada serigala-serigala politik.
 
• Mereka beralasan, takut kalah jika terus bersama dengan kumpulan Islam. Disebabkan itulah mereka sanggup berpaling tadah.
 
• Sedangkan mereka tidak tahu, ketika tekanan memuncak itulah Allah bakal hadiahkan kemenangan kepada kumpulan Islam.
 
• Bahkan mereka tidak tahu nasib yang bakal menimpa mereka yang menyebabkan mereka menyesal berpanjangan.
 
• Inilah akibat bagi golongan yang obses dengan kemenangan yang membabi buta. Ditipu oleh keghairahan diri sendiri.
 
Allah merahsiakan masa depan. Namun Allah membekalkan kita al-Quran, sebagai pembayang apakah akibat di setiap tindakan kita.
 
ABDUL MU'IZZ MUHAMMAD
Ketua Urusan Ulamak
PAS Kawasan Klang
9 Januari 2018 - HARAKAHDAILY 9/1/2018

SEJAK dari bujang saya bersama PAS, dah berlori saya lihat pimpinan dan orang PAS kena maki hamun, kena fitnah, hinggakan orang kecik macam saya yang tidak punya kelebihan pun kena jugak, malahan sampai kepada peringkat pimpinan PAS dipenjara malahan yang dibunuh pun ada.

Namun saya tetap bersama PAS, kerana saya tahu dan saya yakin Allah swt lebih-lebih lagi mengetahui apa yang saya lakukan. Saya tidak mengutip PAS dari bakul sampah atau dari kalam lidah orang-orang yang siang dan malam mencerca Islam.

Tetapi saya perolehinya dan menjadikan PAS sebagai wadah perjuangan kerana ianya keluar dari kalam lidah para ulama dan orang-orang soleh yang mencintai Islam, yang bersandarkan dari Al Qur'an dan Al Hadis.

Saya mendapatkannya di majlis ilmu yang dimuliakan oleh Allah, RasulNya dan para MalaikatNya. Saya juga memahami perjuangan PAS ketika berada di bawah bumbung madrasah, pondok, masjid, surau, mimbar dan halaqat usrah.

Ikatan saya bersama PAS semakin ketat, diikat dengan hubungan jamaah yang disatukan melalui "Liqaul fikri", akal yg sentiasa berfikir tentang Islam, juga dengan perasaan yang sama iaitu mencintai Islam. Saya kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan saya, sangat bahagia hidup berjamaah.

Carut marut musuh itu hanya seumpama najis, tak perlu simpan, tak perlu dipedulikan, ia hanya akan membawa wabak yang semakin membusukkan hati, ada masa kita perlu berhujah dan ada masanya kita perlu berdiam, kerana bukit takkan runtuh disalak anjing. - HARAKAHDAILY 7/1/2018

 

KISAH-kisah sejarah di dalam al-Quran kekal segar untuk dirujuk, kerana ia menceritakan tabiat manusia dengan pelbagai wajah. Kitaran sikap dan perangai watak-watak di dalam al-Quran akan turut kekal seperti kekalnya kitab suci tersebut.
 
Nabi Musa vs Firaun
 
Allah menceritakan betapa gigih dan tegasnya Nabi Musa  A.S memperingatkan kepada Firaun berkenaan batasan iman dan kufur. Nabi Musa menawarkan khidmat tunjuk ajar kepada Firaun agar dia kembali insaf:
 
فَقُلْ هَل لَّكَ إِلَىٰ أَن تَزَكَّىٰ • وَأَهْدِيَكَ إِلَىٰ رَبِّكَ فَتَخْشَىٰ 
 
"Maka katakanlah kepada Firaun: "Adakah kamu ingin menyucikan dirimu dari kesesatan? • Dan mahukah aku tunjukkan kepadamu jalan Tuhanmu agar engkau takut kepadanya?"
(al-Nazi'at: 18-19)
 
Firaun mula berkasar
 
Setelah nasihat demi nasihat secara lembut telah diberikan oleh Nabi Musa, namun Firaun tetap berdegil. Bahkan Firaun mula menuduh kononnya Nabi sedang tersampuk kesesatan:
 
إِنِّي لَأَظُنُّكَ يَا مُوسَىٰ مَسْحُورًا
"Sesungguhnya aku merasakan kamu wahai Musa telah tersampuk sihir"
(al-Isra': 101)
 
Lalu Nabi Musa membalas:
 
وَإِنِّي لَأَظُنُّكَ يَا فِرْعَوْنُ مَثْبُورًا
"Dan sesungguhnya aku pula merasakan kamulah yang akan hancur binasa"
(al-Isra': 102)
 
Firaun menuduh Nabi Musa kafir
 
Dengan keterangan-keterangan yang telah dikemukakan oleh Nabi Musa, Firaun tetap buat-buat tidak faham. Bahkan Firaun bersikap loyar buruk dengan mengembalikan segala peringatan wahyu untuk mendakwa Nabi Musa. Firaun menyelar Nabi Musa:
 
وَفَعَلْتَ فَعْلَتَكَ الَّتِي فَعَلْتَ وَأَنتَ مِنَ الْكَافِرِينَ
"Dan engkau (Musa) telah melakukan kesalahan dari perbuatan engkau. Dan engkaulah di kalangan orang-orang yang kafir"
(al-Syu'ara': 19)
 
Tidak faham bahasa
 
Jika kita melihat sikap Firaun, dia cukup degil menerima ajaran Islam yang telah dijelaskan berulang kali oleh Nabi Musa.
 
Syeikh Dr. Solah Abdul Fattah al-Khalidi menjelaskan:
 
"Firaun enggan berinteraksi dengan topik yang dikemukakan oleh Nabi Musa dengan sewajarnya. Dia tidak mahu berfikir secara serius. Sebaliknya Firaun mengolah nasihat Nabi Musa sebagai serangan peribadi antara dirinya. Lebih malang lagi, Firaun hanya mahu memahami topik yang diutarakan oleh Nabi Musa berdasarkan kefahaman dangkalnya sahaja. Bukan berdasarkan keterangan Nabi Musa. Ini semua bertitik tolak dari sikap ego yang dijulang oleh Firaun."
 
Dangkal
 
Bayangkanlah betapa dangkalnya Firaun, apabila Nabi Musa menyampaikan peringatan berkenaan batasan iman dan kufur, tiba-tiba Firaun menuduh Nabi Musa pula yang kafir.
 
Yang pasti, Firaun telah mati. Namun Firaunisme masih hidup.
 
ABDUL MU'IZZ MUHAMMAD
Ketua Urusan Ulamak
PAS Kawasan Klang
3 Januari 2018 - HARAKAHDAILY 4/1/2018

PERLU untuk semua pendokong perjuangan PAS dan penyokongnya supaya memahami halatuju yang dibawa oleh kepimpinan yang diterajui oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Tuan Guru dengan suasana semasa, amat gigih untuk membawa semua mendokong Islam supaya membina 'Politik Baru' yang menyerlahkan keistimewaan dan kedinamikan (murunah) Islam.
 
Hakikat Semasa
 
Ketika ini, suasana politik yang ada seakan mengheret kepada masa lampau, seolah-olah tidak mahu bergerak ke hadapan. Antara sebabnya, adalah para pelakon politik dinasour masih lagi memimpin dengan isu-isu lama. Isunya bukan orang lama, tetapi orang lama dengan pemikiran dan kepentingan lama. 
 
Maka, tidak hairan jika timbul semula isu-isu seperti 'Memali', 'Amanat Haji Hadi', 'Kafir-mengkafir', 'Siapa Perdana Menteri selepas ini?' dan beberapa isu lain yang timbul sekitar 20 hingga 30 tahun dahulu.
 
Kesannya, pemikiran politik semasa tidak berkembang dan tidak menuju kepada kemajuan. Pertelingkahan bukan membina negara, tetapi sekadar buruk-memburuk yang lain untuk menghilangkan rasa tidak puas hati atau segala dendam lama.
 
Menganjak Paradigma Baru
 
Walaupun Tuan Guru sezaman dengan pemimpin-pemimpin lama yang ada hari ini, namun pemikiran politik yang diperjuangkannya menunjukkan kemajuan selari dengan zaman. Sewaktu zaman tertindas dengan teruk, pendekatan berbeza. Apabila masa memberi ruang, timbul gagasan baru dan apabila menempuhi cabaran terkini, perlu pendekatan terkini meliputi pemikiran dan pendekatan politik yang menyerlahkan kedinamikan dan keistimewaan bergerak dengan Islam sebagai dasar perjuangan. Islam yang datang membawa rahmat kepada pembawanya dan juga yang menyambut dakwahnya. Bermakna, Tuan Guru telah menganjak kepada paradigma baharu dalam siyasah dakwah ditampilkan PAS.
 
UG: Cadangan Kehadapan
 
Antara contoh paradigma yang cuba difahamkannya kepada umum, serta betapa perlunya kita bersedia di era ini, bahawa tiada parti politik yang benar benar kuat atau solid untuk membentuk kerajaan dengan sendiri. Apatah lagi mewarisi sistem demokrasi British yang lama. Kemenangan sekadar majoriti mudah tidak menjanjikan kestabilan jangka masa panjang. Cabaran sosial rakyat dan ekonomi rakyat akan menjadi faktor yang besar dalam pertembungan mendapat sokongan umum.
 
Presiden PAS mendatangkan cadangan Unity Government (UG) tersebut di awal ketika gabungan Parti Pembangkang iaitu Pakatan Rakyat mula berebut kedudukan dan kepentingan masing masing. Kepentingan rakyat tidak lagi nampaknya didahulukan. Sebaliknya menampakkan perebutan kuasa dan jawatan sepertimana dalam kes Langkah Kajang dan menamakan Perdana Menteri sekiranya berkuasa. Objektif perjuangan dikaburkan dengan remeh temeh bayangan yang belum lagi dapat digenggam.
 
Majoriti Peneraju Keadilan Kuasa
 
Presiden PAS berkali kali menegaskan bahawa Islam agama yang sangat sesuai dengan sistem politik damai semasa. Keharmonian sosial dan politik semasa, sangat bergantung kepada keteguhan kumpulan majoriti atau bangsa majoriti. Ini selari dalam sejarah Islam, apabila untuk menentukan pengganti Nabi Muhammad S.A.W dalam memimpin umat Islam, maka para Sahabat Nabi tunduk kepada Hadis yang dibaca oleh Saidina Abu Bakar bahawa "Kepimpinan/imamah daripada Quraisy".
 
Kalam yang perlu difahami bahawa Quraisy ketika itu adalah kabilah majoriti yang memeluk Islam dan memimpin Islam. Yang indahnya, Islam tidak mengenepikan minoriti, malah menjadi tanggungjawab golongan yang majoriti memastikan keadilan diterapkan dalam mengurus sosial dan politik masyarakat sekeliling.
 
Presiden PAS menerangkannya dengan logik yang mudah dalam satu artikel beliau "Mengapa Kalau Islam Tidak Boleh?" Tidak pernah golongan Kapitalis yang menang akan melantik golongan yang lain menjadi ketua dan memegang amanah. Begitu juga Sosialis atau Komunis. Ataupun seperti Republikan dan Demokrat di Amerika dan juga yang berlaku di mana-mana tempat lain.
 
Tuan Guru Abdul Hadi menjelaskan paradigma semasa yang sangat sesuai iaitu dengan menerima Islam sebagai penyelesaian dan pemimpin politik zaman ini. Bererti, dengan Islam, keadilan dan keharmonian tetap bergantung kepada kuasa di tangan majoriti, bangsa atau kumpulan.
 
Teknokrat: Tangani Pengurusan Negara
 
Presiden PAS sekali lagi membawa kepada idea mendahulukan menyelesaikan masalah negara dan rakyat. Tatkala yang lain sibuk dengan calon Perdana Menteri atau siapa menang dan siapa kalah, beliau mengajak semua yang peka terhadap kebajikan dan masalah negara untuk menyelesaikan dengan isu secara lebih besar dan menyeluruh. Kerajaan BN-Umno sekarang perlu mengajak rakyat yang mampu membantu membaiki masalah negara tanpa memikir sempadan politik atau masalah lain. Beliau telah mengemuka idea Kerajaan Teknokrat sebagai cadangan penyelesaian terhadap isu pengurusan profesional dalam menangani isu-isu negara.
 
Sepertinya, pimpinan negara yang dipimpin Datuk Sri Mohd Najib Abdul Razak seolah-olah mengambil idea ini apabila terdapat pelantikan tertentu kerajaan buat masa ini diberi pada orang yang layak dan menepati kriteria, walaupun mungkin tak sepenuhnya. Orang muda banyak diberi peluang dalam banyak sektor. Mungkin ini pendekatan untuk beliau mengukuhkan kedudukan, namun tidak boleh disalahkan kepada polisi Najib Razak sekiranya itu yang menyebabkan rakyat mendapat keyakinan balik kepada kepimpinan beliau.
 
Kesatuan Dunia Islam: Gagasan 'Evergreen'
 
Presiden PAS adalah antara pemimpin Gerakan Islam dunia dengan punyai hubungan istimewa dengan Allahyarham Necmettin Erbakan yang telah mengorak jalan baru dunia Islam Moden. Erbakan bersama pemimpin negara Islam lain mewujudkan Negara D8 yang dianggotai oleh negara negara Islam membangun untuk membina komuniti sendiri. Gagasan tersebut telah memberi sedikit kesan kepada dunia Islam hari ini.
 
Tuan Guru Abdul Hadi sentiasa mendorong dunia Islam supaya tidak terpengaruh dalam proses pecah perintah musuh dan kuasa-kuasa politik lain. Mengingatkan dunia Islam bahawa sengketa mazhab negara-negara Islam yang berlaku merugikan umat Islam, sebaliknya menguntungkan Israel dan pakatan Zionis.
 
Beliau mengambil risiko nama dikeji dan dihina dalam menyatukan umat Islam seperti menyertai persidangan di Tehran dan sebagainya. Pun begitu, kebenaran pendapat beliau sememangnya terbukti hari ini dalam kes-kes yang berlaku di Syria, Yemen dan di negara negara Islam lain.
 
Ayuh Pendokong PAS!
 
Kita semua kena anjakkan diri kita untuk meninggalkan duri-duri dan kemuncup politik yang membawa kita ke belakang. Usah peduli kepada cerita cerita 20 atau 30 tahun yang menyebabkan kita bernostalgia tanpa maju. Tinggalkan dinasour-dinasour politik dan bergerak ke arah baru. Mereka yang tak mahu bersama, usah dipeduli. Puji tidak, maki pun tidak. 
 
Presiden kita Tuan Guru Abdul Hadi Awang telahpun menunjukkan teladan iaitu untuk membina arus politik semasa dan bukannya tenggelam dalam arus 'kapsul masa' lama. Maka, marilah ikut bersama membina pemikiran politik baru dan seterusnya memimpin dengan kedinamikan dan keistimewaan Islam.
 
AHMAD HAKIMI OTHMAN
Ketua Pemuda 
Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Selangor
3 Januari 2018 - HARAKAHDAILY 3/1/2017

PENGLIBATAN (Intima’) kita dengan Gerakan Islam seperti PAS ini ada dua kategori iaitu kategori rapuh dan kukuh.

Penglibatan (Intima’) yang rapuh, longgar dan salah ini sekurang-kurangnya ada 4 jenis:

Intima’ Syakhsi (إنتماء شخصي)

i) Menyertai PAS kerana ketokohan individu tertentu. Intima’ ini rapuh justeru tokoh tertentu boleh pergi dan datang. Jika tokoh yang menjadi idolanya meninggalkan PAS, maka ia akan turut meninggalkan PAS.

ii) Perjuangannya tidak mantap dan utuh. Pendiriannya tidak kukuh. Mungkin bertahan beberapa tahun mengikut ketahanan tokoh yang menjadi sebab kenapa ia menyertai PAS.

iii) Situasi ini pernah ditegaskan oleh Saidina Abu Bakar al-Siddiq ra;

مَنْ كَانَ يَعْبُدُ مُحَمَّدًا صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِنَّ مُحَمَّدًا قَدْ مَاتَ، وَمَنْ كَانَ يَعْبُدُ اللَّهَ فَإِنَّ اللَّهَ حَيٌّ لاَ يَمُوتُ

“Barangsiapa yang mengabdikan diri kepada Muhammad saw maka sesungguhnya Muhammad saw telah mati dan barangsiapa yang mengabdikan diri kepada Allah swt maka sesungguhnya Allah swt hidup dan tidak mati.”

Saidina Abu Bakar al-Siddiq ra meneruskan membaca ayat Allah swt:

وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِهِ الرُّسُلُ أَفَإِن مَّاتَ أَوْ قُتِلَ انقَلَبْتُمْ عَلَىٰ أَعْقَابِكُمْ وَمَن يَنقَلِبْ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ فَلَن يَضُرَّ اللَّهَ شَيْئًا وَسَيَجْزِي اللَّهُ الشَّاكِرِينَ

“Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul. Apakah sekiranya ia mati atau terbunuh, kamu akan berpaling tadah memusing tumit kamu? Sesiapa yang berpaling memusingkan tumitnya, maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun, sebaliknya Allah akan memberi balasan pahala kepada orang yang bersyukur.” (surah Aali-Imran: 144)

Intima’ Maslahi (إنتماء مصلحي)

i) Menyertai PAS kerana kepentingan peribadi atau kelompok dan mempunyai agenda tertentu yang ingin dicapai.

ii) Apabila gagal mencapai kepentingan yang diingini dan tidak berjaya melunaskan agenda mereka, maka mereka akan mencari tapak yang lain untuk pelan ‘B’ dan meninggalkan PAS.

iii) Ketahanan mereka berdasar sejauh mana atau selama mana mereka perolehi kepentingan dan memiliki peluang menjayakan agenda mereka.

Intima’ Irtijaali (إنتماء ارتجالي)

i) Menyertai PAS secara spontan tanpa asas dan sebab yang kukuh. Ia sendiri tidak mengetahui kenapa ia menyertai PAS. Bakanya adalah baka PAS. Ayah dan ibunya PAS serta persekitaran ia membesar juga PAS.

ii) Justeru itu ia tidak mempunyai jawapan yang konkrit kenapa ia menyertai PAS selain dari menyedari bahawa ia telah PAS sejak awal.

iii) Pendirian mereka akan cepat goyang apabila PAS dilanda krisis dan mereka seperti ini tidak mempunyai jawapan yang mantap kenapa ia mesti terus berada dalam PAS yang sedang bergoncang dilanda gelombang.

iv) Akhirnya ia lari meninggalkan PAS kerana tidak sanggup berdepan dengan apa jua kemungkinan.

Intima’ A’fawi (إنتماء عفوي)

i) Menyertai PAS berasaskan kecenderungan dan simpati terhadap apa yang diperjuangkan oleh PAS yang juga teruk dibelasah oleh musuh.

ii) Intima’ jenis ini longgar serta rapuh kerana kecenderungan dan simpatinya akan berakhir terutama apabila didapati PAS tidak lagi menepati kemahuan dan kehendaknya.

iii) Tiada lagi simpati malah boleh bertukar menjadi benci. Tatkala benci menguasai diri, maka mereka akan mengangkat kaki meninggalkan PAS

Penglibatan (Intima’) yang kukuh, benar, utuh dan mantap hanya satu iaitu Intima’ Aqidi (إنتماء عقيدي).

i) Menyertai PAS berdasarkan tuntutan Aqidah al-Islamiyyah. Berdiri atas Iman kepada Allah swt dan Kitab-Nya yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad saw.

ii) Menunaikan perintah Allah swt dengan penuh yakin dan optimis supaya berjuang menegakkan Syariat Allah swt dengan harta dan jiwa raga. Firman Allah swt;

انفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

“Pergilah kamu segera untuk berjuang pada jalan Allah, sama ada dengan keadaan ringan ataupun berat dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah. Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.” (surah al-Taubah: 44)

iii) Intima’ yang kukuh ialah apabila kita meletakkan diri berjuang hanya untuk meninggikan kalimah Allah swt, menegakkan syariat dan segala syiar-Nya, mencari keredhaan Allah swt di dunia dan di akhirat.

Daripada Abu Musa al-Asy’ari bahawa terdapat A’rabi datang bertanya Nabi Muhammad saw:

الرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِلْمَغْنَمِ وَالرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِيُذْكَرَ وَيُقَاتِلُ لِيُرَى مَكَانُهُ مَنْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَقَالَ مَنْ قَاتَلَ لِتَكُونَ كَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا فَهُوَ فِي سَبِيلِ اللَّه؟

“Seorang pemuda (tokoh) yang berjuang kerana mahu memiliki harta rampasan, ada tokoh yang berjuang supaya namanya disebut-sebut, ada yang berjuang supaya dirinya berketerampilan dan terpandang. Maka siapa yang diiktiraf berjuang di jalan Allah swt?”

Dalam riwayat yang lain:

الرَّجُلِ يُقَاتِلُ شَجَاعَةً وَيُقَاتِلُ حِمْيَةً وَيُقَاتِلُ غَضْبًا، أَيُّ ذَلِكَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ؟

“Ada yang berjuang kerana tunjuk berani, ada yang berjuang kerana mahu mendapatkan pelindungan, ada yang berjuang kerana semata-mata benci kepada musuh, maka siapa yang benar-benar diiktiraf sebagai pejuang dijalan Allah swt?”

Lalu dijawab Rasulullah saw:

مَنْ قَاتَلَ لِتَكُونَ كَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا فَهُوَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

“Sesiapa yang berjuang untuk meninggikan kalimah Allah swt (mengatasi ideologi ciptaan manusia) maka ia berada pada Jalan Allah swt (fi Sabilillah).” (muttafaqun ‘alaihi)

Mereka yang menyertai PAS dengan Intima’ yang rapuh pasti sahaja tidak akan mampu bertahan bersama PAS sebagai sebuah Gerakan Islam yang berjuang untuk menegakkan kalimah (syariat) Allah swt kerana ujiannya terlalu getir khasnya ujian dalaman yang boleh membawa kekecewaan dan patah hati.

Hanya mereka yang menyertai PAS kerana aqidah sanggup berjuang dan mampu bertahan hingga ke denyut nadi yang terakhir. Sama ada menang atau syahid, namun untuk memalingkan tumit meninggalkan perjuangan adalah tidak sama sekali.

Sejahtera Bersama Islam

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
14 Rabiul Akhir 1439 / 2 Januari 2018 – HARAKAHDAILY 2/1/2018

FIRMAN Allah swt dalam surah Ali Imran ayat 159:

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِنَ اللَّهِ لِنْتَ لَهُمْ ۖ وَلَوْ كُنْتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانْفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ ۖ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ ۖ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِي

"...Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya..."

Mungkin ada beberapa pihak sama ada di dalam PAS sendiri mahupun di luar PAS kurang mendapat penjelasan daripada pimpinan atau tidak sampai maklumat tentang pendirian PAS mutakhir terhadap beberapa isu terpenting berkait isu semasa dan politik tanah air.

Walaupun beberapa kali kenyataan terang dan tegas telah dinyatakan oleh pimpinan PAS sama ada dalam kenyataan akhbar, penulisan dan ucapan, namun adakalanya kita terlepas pandang.

Antara lain di sini ingin dinyatakan beberapa isu dan persoalan untuk tatapan bersama.

Tahaluf siyasi dengan PKR

PAS menerusi Majlis Syura Ulamak pada 11 Mei 2017 yang lalu telah membuat keputusan bahawa Tahaluf Siyasi dengan parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah terbatal disebabkan 3 perkara utama yang disyaratkan oleh syarak dalam keharusan bertahaluf.

Pengkhianatan PKR dengan syarat syarie tahaluf adalah sebab utama PAS tidak lagi bertahaluf sekali gus keharusannya itu bertukar menjadi tidak lagi syarie'.

Sehubungan dengan itu, PKR juga tidak lagi menjadi rakan strategik kepada PAS dan mereka telah bersekongkol dengan parti dan kumpulan yang menentang usaha PAS untuk memartabatkan Syariat Islam seperti RUU 355 dan juga bersekongkol dengan pihak yang berusaha menjatuhkan Kerajaaan PAS Kelantan. Mereka yang dimaksudkan adalah DAP dan PAN.

Keputusan pembatalan tahaluf ini juga bermakna tiada lagi kerjasama politik antara PAS dengan PKR mahupun diadakan apa sahaja rundingan politik secara rasmi kerana di peringkat pusat dan juga negeri tanpa pengecualian.

Syarat PAS amat jelas dan terang, PAS memang terbukan berunding dengan sesiapa sahaja selama pihak yang ingin berunding atau mengadakan rundingan hendaklah menghormati prinsip perjuangan PAS dan menerima Islam sebagai dasar PAS serta menguntungkan Islam.

Keputusan pembatalan tahaluf siyasi PAS dengan PKR adalah merupakan muhasabah PAS dalam tahaluf semenjak zaman kepimpinan Almarhum Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat dan bukannya baru. PAS meneliti sikap dan tindak tanduk rakan tahaluf setiap masa dan mengkaji secara mendalam kesan dan impak tahaluf sama ada baik dan buruk kepada Islam dan perjuangan Islam. Maka, apabila keputusan diambil, ia adalah setelah diambil kira semua aspek dan sudut bagi memastikan bahawa keputusan adalah tepat.

Konsep Taawun Siyasi

Konsep ini merupakan ajaran dan pedoman daripada Allah swt kepada kita. Bahawa taawun ataupun kerjasama di dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan adalah anjuran syarak serta digalakkan.

Bersesuaian dengan itu, PAS menggunakan pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) bagi merealisasikan konsep taawun dalam konteks kebaikan bersama (commom interest) khasnya Islam.

PAS bersedia untuk memberikan sumbangan dan kerjasama di mana Islam diletakkan sebagai syarat utama dan asbabnya bukannya sekadar politiking sahaja.

Terdapat di sana kaedah "Mengambil Mudarat Yang Lebih Ringan" apabila terdapat 2 mudarat. Pada waktu itu PAS, memungkinkan PAS memilih untuk berdepan dengan mudarat politik dialami PAS daripada menanggung mudarat kepada Islam dan ajaran Islam.

Maka dalam situasi seumpama ini, PAS bersedia untuk berkerjasama semata-mata untuk mempastikan survival Islam dan kepentingan Islam menjadi keutamaan. Sebagai contoh, kerjasama PAS dalam isu ummat Islam sejagat seperti Rohingya dan Palestin bersama Kerajaan Persekutuan. Di sini, kepentingan Islam diletakkan di hadapan oleh PAS sekalipun PAS terpaksa berdepan dengan pelbagai tuduhan dan fitnah politiking oleh musuh politiknya.

Tuan Guru Presiden pernah menceritakan kisah dilema raja-raja Islam di Sepanyol ketika Empayar Islam Sepanyol diancam serangan daripada tentera Salib. Maka, terdapat cadangan agar diminta bantuan daripada Kerajaan Islam di Maghribi. Namun kekhuatiran raja-raja Islam Sepanyol jikalau minta pertolongan Raja Maghribi nanti, kedudukan raja-raja Sepanyol kemungkinan akan bertukar menjadi pengembala kambing. (rendah kedudukan kerana tunduk kepada Kuasa Raja Maghribi)

Tetapi dijawab, bahawa lebih baik jadi pengembala kambing kepada Islam daripada menjadi pengembala babi kepada Tentera Salib. Akhirnya dengan bantuan Raja Maghribi, Empayar Islam Sepanyol mampu bertahan 400 tahun lagi ditambah 800 tahun sebelumnya.

Inilah pendirian PAS agar difahami semua agar kita faham dan memfokuskan hala tuju kita dengan keputusan yang diambil PAS bersama-sama mendepani PRU14. Dengan tidak lagi berkecamuk fikiran yang mampu mengganggu kerja-kerja kita memenangkan PAS dalam PRU akan datang.

Sesudahnya kita membuat keputusan dan usaha, kita menyerahkan sebulat hati kita kepada Allah swt bagi membantu dan menguruskan yang selebihnya kerana Allah menyayangi hamba yang bertawakkal kepadaNya. – HARAKAHDAILY 2/1/2018

Penulis adalah Setiausaha Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor.

TERDAPAT tiga faktor utama mengapa bumi umat Islam sentiasa menjadi rebutan lalu dijarah oleh penjajah.
 
Agama
 
Kita tidak boleh menolak sama sekali, bahawa faktor utama konflik dan penjajahan adalah kerana pertentangan agama. Bahkan ia mengatasi faktor-faktor lain. Allah berfirman:
 
 وَمَا نَقَمُوا مِنْهُمْ إِلَّا أَن يُؤْمِنُوا بِاللَّهِ الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ 
"Dan tidaklah mereka berdendam terhadap golongan yang beriman, melainkan kerana orang-orang beriman itu beriman kepada Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji"
(al-Buruj: 8)
 
Tidak betul jika kita beranggapan segala konflik bertitik tolak dari kepentingan material semata-mata. Sedangkan faktor agama merupakan tabiat pertentangan antara manusia dari zaman-berzaman.
 
Sumber bumi yang kaya
 
Allah mengurniakan negara-negara umat Islam dengan kekayaan hasil bumi. Sumber mineral seperti minyak, gas, emas dan uranium yang lumayan. Tanah yang subur untuk dibangunkan serta iklim yang baik. Inilah keberkatan yang dijanjikan buat mereka yang beriman. Allah berfirman:
 
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ
"Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri itu beriman dan bertaqwa, pasti kami limpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi"
(al-A'raf: 96)
 
Bahkan perang ke atas dunia Islam dirangsang dengan termuntahnya kekayaan hasil bumi yang menarik minat penjajah. Antaranya Nabi bersabda:
 
تَقِيءُ الْأَرْضُ أَفْلَاذَ كَبِدِهَا أَمْثَالَ الْأُسْطُوَانِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ
"Bumi akan memuntahkan kekayaannya laksana cairan yang keluar dari saluran seperti emas dan perak"
(HR Muslim) 
Lokasi yang strategik
 
Allah mentakdirkan kawasan-kawasan umat Islam berada di tengah-tengah persimpangan utama laluan antarabangsa. Allah berfirman:
 
وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِّتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا ۗ
"Dan demkianlah kami jadikan kamu sebagai umat pertengahan, agar kamu menjadi saksi perbuatan manusia dan Rasul menjadi saksi ke atas perbuatan kamu"
(al-Baqarah: 143)
 
Jika kita melihat peta dunia, Makkah dan Madinah berada di tengah-tengah peta dunia. Menyebabkan Islam yang dibawa oleh Nabi amat mudah tersebar ke serata benua.
 
Sememangnya bumi umat Islam berada di tengah-tengah kesibukan nafsu manusia yang berbebut mahu menguasai dunia. Lokasi-lokasi yang dimiliki oleh umat Islam, amat penting bagi aktiviti ketenteraan dan perdagangan.
 
Sebagai contoh, kebanyakkan 'choke point' dimiliki oleh negara-negara umat Islam. Selat Hormuz di Teluk Parsi yang dimiliki oleh Iran dan Oman. Bab al-Mandab yang memanjang dari Laut Merah ke Laut Arab dikawal oleh Yaman. Terusan Suez yang dimiliki oleh Mesir sebagai pintu gerbang antara Laut Merah dan Laut Mediterranean. Selat Melaka dimiliki oleh Malaysia dan Indonesia sebagai pintu masuk ke Asia Tenggara. 
 
Boleh dikatakan, sesiapa yang berhajat menguasai dunia, mereka terlebih dahulu mesti menguasai negara-negara umat Islam.
 
Kita umat yang berpotensi
 
Sedarlah kita akan nikmat yang telah Allah hadiahkan kepada umat Islam. Kita bukan umat yang miskin keparat tidak mempunyai apa-apa potensi. Bahkan apa yang kita miliki, amat diidamkan oleh manusia-manusia penjajah yang berhati serigala.
 
ABDUL MU'IZZ MUHAMMAD
Ketua Urusan Ulamak
PAS Kawasan Klang
29 Disember 2017 - HARAKAHDAILY 29/12/2017

SEJARAH Islam bukan sahaja menyaksikan anak muda sebagai pemberani dan menggugah rejim dan kezaliman, namun tak kurang tokoh kurang upaya yang sangat hebat menyemangati ummah untuk kembali kepada Islam dan syariahnya. Dalam dunia moden ini dua tokoh buta yang sangat berpengaruh dalam perjuangan Islam ialah Sheikh Dr Umar Abdul Rahman dan Sheikh Abdul Hamid Kisyk. Kedua-duanya pemberani dan pemidato yang hebat sehingga dihumban dalam penjara oleh rejim pemerintah.

Abdul Hamid Kisyk adalah khatib yang menoreh sejarah, kaset-kaset khutbahnya bertebaran di negara Arab saat kaset adalah medium penting dalam penyebaran dakwah dalam dekad 70-an dan 80-an. Mimbar jumaat adalah wahana dakwah yang penting yang boleh membangkitkan semangat juang umat Islam sebagaimana gaya dakwah Nabi SAW berkhutbah. Khutbah sewajarnya membicarakan isu-isu penting umat Islam dan membuka dimensi berfikir umat Islam akan cabaran dan tentangan di sepanjang zaman. Menginsafi kepentingan medium dakwah inilah maka Sheikh Abdul Hamid memanfaatkan mimbar jumaat sebaik mungkin sehingga air mata jemaah mengalir berlinangan. Siapakan sang daie dengan gaya berkacamata hitam dengan suara khas yang memukau ini?

Sheikh Abdul Hamid Kisyk dilahirkan pada 10 Mac 1933M bersamaan 14 Zulkaedah 1315H di daerah Shubra Kheit dalam wilayah al-Buhaira, Mesir dari keluarga yang menitik beratkan pendidikan agama.

Menghafaz al-Quran seluruhnya ketika mencecah usia sepuluh tahun ketika belajar di Maahad Agama di Iskandariah dengan menjadi pelajar paling cemerlang kerana berjaya mendapat 100 peratus markah dalam semua mata pelajaran. Di peringkat menengah, beliau dihantar oleh bapanya untuk belajar di Maahad Al-Azhar di daerahnya dan menjadi pelajar terbaik peringkat seluruh Mesir kerana memperoleh markah tinggi.

Pada peringkat pengajian tinggi pula, menyambung pelajaran dalam Fakulti Usuluddin, Universiti Al-Azhar, dan juga berjaya menjadi pelajar pada kedudukan pertama selama empat tahun berturut-turut, beliau diberi kepercayaan untuk menyampaikan syarahan bagi subjek nahu dan sorof sambil dipantau oleh gurunya ketika di fakulti berkenaan, ini kerana kemampuannya yang dianggap luar biasa oleh sebahagian besar guru-gurunya.

Setelah tamat belajar pada 1957, beliau dilantik oleh pihak universiti menjadi Timbalan Dekan Fakulti Usuluddin walaupun masih belum memiliki ijazah peringkat PhD yang merupakan syarat bagi seseorang untuk dilantik ke jawatan itu. Namun beliau tidak selesa dengan jawatan tersebut apatah lagi untuk mengajar yang terikat dengan mata pelajaran. Hatinya sentiasa terpaut dengan mimbar untuk menyampaikan khutbah tanpa sekatan dan sukatan yang beliau telah biasakan diri sejak berumur 12 tahun. Pada 1961, Al-Azhar telah menganugerahkan tokoh ilmuannya pada Majlis Sambutan Hari Pendidik.

Pengalaman berkhutbah tanpa teks menjadi kegemarannya sejak di bangku sekolah apabila terdapat para khatib kampung yang tidak dapat datang menyampaikan khutbah, maka setiap mata para jemaah dikerlingkan ke arahnya untuk mengganti tempat khatib. Dengan gaya yang khutbahnya yang memukau, tambahan pula ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi sentiasa basah di bibirnya. Justeru tidak hairan jika khutbah yang disampaikan dirakam oleh jemaah hingga mencecah lebih dua ribu tajuk yang berbeza.

Walaupun buta, tetapi hati Sheikh tidak buta seperti sangkaan banyak pihak terutama pihak pemerintah Mesir yang menjalankan sistem pemerintahan sekular, justeru ketidak-Islaman sistem tersebut membiarkan ramai golongan ulama termasuk Sheikh Kisyk mengkritik dengan lancang terutama di atas mimbar.

Pada 1965, buat pertama kali, beliau ditangkap atas alasan mengkritik kerajaan dan dimasukkan dalam penjara Abu Za'bal, Qal'ah dan penjara perang selama dua tahun setengah, ketika itu Almarhum Sheikh menjawat jawatan Imam di Masjid 'Ain Hayah dan dibebaskan kemudian tanpa jaminan dan syarat.

Pada 1972, almarhum memulakan rentak baru dalam menarik pandangan umum mengenai kerajaan yang banyak berbohong kepada rakyat yang kononnya mereka lebih Islamik berbanding ulama yang hanya pandai mengkritik, tetapi bagi Sheikh Kisyk, mengkritik bagi membetulkan kesalahan pemerintah dan kerajaan adalah fardhu ain yang mesti dijalankan tanpa ada rasa takut pada manusia.

Sheikh Kisyk adalah antara para ulama yang tegas menyatakan kekesalan terhadap perjanjian 'Camp David' yang dimeterai antara Presiden Mesir ketika itu, Presiden Anwar Saddat dan Perdana Menteri Israel, Menachem Begin yang mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat Mesir khususnya, kerana ia berpihak kepada Israel yang sememangnya merampas hak rakyat Palestin yang wajib diperjuangkan.

Almarhum sekali lagi ditangkap dan dipenjarakan selama setahun setengah bersama para aktivis Islam yang tidak setuju dengan perjanjian yang dimeterai, selepas keluar daripada penjara pada 1981, secara automatik almarhum ditegah daripada menjadi Imam masjid dan dilarang sama sekali daripada menyampaikan apa sahaja bentuk kuliah agama.

Sosok yang sangat inspiratif ini berhujung nyawa dengan detik yang paling indah, beliau meninggal dalam usia 63 tahun iaitu saat sujud dalam solat sunat. Itulah doa bagi setiap muslim agar mendapat husnul khatimah dan itulah doa yang sentiasa mekar pada mulut daie sejuta ummat ini. 6 Disember tahun 1996, rohnya berkelana ke alam abadi setelah puluhan tahun berjuang sehingga beberapa kali mendekam dipenjara rejim Mesir. Sang daie yang menjadi fenomena negara-negara Arab meliputi tanah Afrika Utara, kaset-kasetnya menjadi halwa telinga dan menggugah semangat peserta-peserta kebangkitan Islam dalam dekad 1970-an dan 80-an. – HARAKAHDAILY 28/12/2017

Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI.

Mukadimah
 
Setelah menerima beberapa permintaan daripada kawan-kawan yang meminta saya menjawab sekali lagi jawapan balas yang diberi oleh Dr Rozaimi Ramli (RORA) terhadap tulisan saya, saya agak keberatan.
 
Ini kerana rasanya tiada keperluan untuk terus menjawab dan menjawab lagi tulisan Dr Rozaimi yang mengkritik tulisan Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi secara tidak mengikut norma-norma perbincangan akademik. Iaitu dengan menukilkan pendapat Tuan Guru Abdul Hadi berdasarkan kesimpulan yang tidak dimaksudkan oleh penulisnya.
 
Akhirnya, saya akur menunaikan permintaan kawan-kawan dengan hati yang berat. Mudah-mudahan ada sedikit manfaat.
 
Tajuk kritikan RORA yang tidak mewakili maksud penulis
 
Dr Rozaimi hanya memusatkan kritikan beliau kepada perenggan ini. 
 
"Maka PAS tidak mendahulukan pembentukan kabinet atau melantik siapa bakal Perdana Menteri yang bakal menjadi bangkai sahaja. Inilah adab yang diajar oleh Rasulullah S.A.W apabila Ketua Kabilah Bani Amir yang ditawarkan kemenangan Islam bertanyakan siapa ketua negaranya. Lantas Baginda S.A.W bersabda:_ _“Itu urusan Allah yang menentukan dengan kehendak-Nya”
 
Berdasarkan kepada perenggan ini, Dr Rozaimi merumuskan bahawa Tuan Guru Abdul Hadi berpendapat tak beradab dan haram menamakan Perdana Menteri (PM) dengan berdalilkan kisah ketua kabilah Bani Amir tersebut.
 
Selanjutnya, Dr Rozaimi mengerahkan seluruh fokus kritikannya kepada tajuk yang direkanya sendiri, iaitu "Apakah hukum menamakan PM sebelum PRU?".
 
Iaitu bukan tajuk yang hendak dibahaskan dengan terperinci oleh penulis asal. 
 
Artikel panjang yang menerangkan tentang bagaimana mengolah sistem politik Islam dalam rangka sistem demokrasi berpilihanraya di Malaysia mengikut pandangan penulis, langsung tidak diambil kira dalam memahami perenggan tersebut.
 
Itulah yang dimaksudkan dengan kritikan yang "entah apa-apa".
 
Menjawab jawapan RORA berdasarkan petikan tulisan beliau
 
1. "Saya telah pun membaca respon terbaru yang disiarkan dalam Harakahdaily berkaitan teguran saya kepada kenyataan tidak tepat TGHH."
 
Ulasan:
RORA menyifatkan kritikan beliau sebelum ini suatu 'teguran kenyataan tidak tepat Tuan Guru Abdul Hadi'. Walhal ia bukanlah bukanlah 'teguran' tetapi menghentam secara hentam keromo.
 
2. "Saya hairan dengan PAS hari ini. Wacana, perbahasan ilmiah dan teguran dianggap sebagai kebencian. Saya nasihatkan supaya penulis elokkan sangkaan beliau. Jangan ketaksuban menguasai diri sehinggakan nasihat dan teguran dianggap sebagai suatu yang dodasari dengan kebencian."
 
Ulasan:
Tidak nampak di mana perbahasan ilmiahnya dalam artikel kritikan Dr Rozaimi. Yang nampaknya ia jelas sekali bukan perbincangan ilmiah. Ia hanyalah seperti artikel jalanan yang memetik bahagian tertentu artikel dan mengkritiknya mengikut selera pengkritik semahu-mahunya.
 
Tak kiralah, sama ada itu maksud sebenar penulis asal atau tidak.
 
Dr Rozaimi juga meminta saya mengelokkan sangkaan saya kepada beliau, sedangkan beliau sendiri begitu berburuk sangka dengan apa beliau sebut sebagai "PAS hari ini".
 
3. "Penulis tidak membawa apa-apa perkara baru. Dan tidak menjawab pun soalan yang saya kemukakan. Artikel beliau bukanlah menjawab saya, tetapi lebih kepada memperlekehkan saya tanpa berikan input ilmiah."
 
Ulasan:
Ya, saya tidak membawa apa-apa perkara baru dan menisbahkannya kepada Dr Rozaimi secara tidak adil seperti yang beliau buat kepada artikel Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi. Saya cuma 'menegur' kritikan beliau yang jauh terpesong daripada norma kritikan ilmiah. Mungkin beliau terlalu taksub hendak mengkritik Tuan Guru Haji Abdul Hadi dan PAS.
 
Selain itu, perenggan ini juga amat menarik kerana Dr Rozaimi menegaskan beliau tidak suka 'diperlekeh'. Tetapi yang ajaibnya beliau sangat suka 'memperlekehkan' orang lain.
 
 
4. "Mengapa saya katakan begitu? Ia kerana beberapa sebab:
 
- kisah Bani Amir itu sanadnya terputus. Adakah ia boleh dijadikan hujah? Jika boleh, ia tidak boleh dijadikan alasan larangan menamakan calon pemimpin. Sebaliknya ia bercerita tentang meminta jawatan. Saya tidak faham mengapa riwayat tentang meminta jawatan dipesongkan sehingga dijadikan hujah mengatakan perbuatan tidak menamakan calon PM selari dengan adab Islam.
 
- Abu Bakar pernah mencalonkan nama Umar sebagai khalifah selepas beliau. Adakah ia bercanggah dengan adab Islam?
 
- jika meminta jawatan tidak dibenarkan secara mutlak maka kenapa PAS masih bertanding pilihanraya?
 
- jika mencalonkan nama PM itu bercanggah dengan adab Islam, bagaimana dengan kenyataan Wakil Dewan Ulama PAS dahulu yang mencalonkan TGHH sebagai PM. Adakah mereka biadap?
 
- jika dikatakan yang menyalahi adab Islam itu ialah menamakan calon PM yang tidak layak, adakah semua calon PAS tidak layak jadi PM sehingga jika PAS calonkan nama PM maka ia menyalahi adab Islam?"
 
Ulasan:
Semua perbahasan dalil-dalil ini dibuat oleh Dr Rozaimi atas sangkaan meleset beliau bahawa Tuan Guru Abdul Hadi berpendapat haram hukumnya menamakan calon PM, tidak beradab dan biadap berbuat begitu.
 
Walhal, bukan itu yang dikatakan oleh Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi dalam artikelnya. Bahkan Tuan Guru Abdul Hadi tidak menulis mengenai 'Hukum meminta jawatan dalam kerajaan termasuk jawatan PM' atau 'Hukum menamakan calon PM sebelum memenangi sesuatu pilihanraya'.
 
Jadi Dr Rozaimi berdebat seorang diri. Beliau membayangkan beliau sedang berdebat dengan Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi. Walhal, beliau sendiri menjadikan kisah ketua Kabilah Bani Amir sebagai dalil 'mengharamkan perbuatan menamakan calon PM'. Dan beliau sendiri yang membantah dalil itu.
 
Kemudian beliau perkuatkan pendapat beliau dalam perdebatan seorang diri itu dengan persoalan-persoalan yang panjang berdasarkan kepada dalil-dalil lain yang mengharuskan perbuatan menamakan calon PM itu.
 
Berdebat seorang diri, memang kitalah yang menang.
 
5. Semua soalan ini tidak dijawab sebaliknya penulis hanya menulis panjang tanpa fokus pada titik perbahasan. Beliau hanya fokus kepada perkara yang tidak menjadi titik perbahasan. Penulis sebaliknya fokus kepada isu yang saya tidak bantah. Iaitu isu PM perlu melaksanakan tanggungjawab.
 
Ulasan:
Pelik sekali Dr Rozaimi memarahi saya kerana tidak fokus kepada titik perbahasan beliau. Walhal beliau sewenang-wenangnya mengkritik artikel Tuan Guru Haji Abdul Hadi tanpa peduli kepada titik perbahasan.
 
6. "Penulis sebaliknya fokus kepada isu yang saya tidak bantah. Iaitu isu PM perlu melaksanakan tanggungjawab."
 
Ulasan:
Saya bukan fokus kepada isu yang Dr Rozaimi tidak bantah. Saya hanya hendak menarik beliau supaya kembali fokus kepada artikel.
 
7. "Namun analisis mendalam diperlukan untuk menilai alasan penulis ini iaitu sejauh mana perlakuan tidak mencalonkan nama PM dapat menjamin bahawa PM akan melaksanakan tugasnya menurut Islam? Apa hubungkait kedua isu ini? Bukankah dengan mencalonkan nama PM lebih menjamin pengetahuan pengundi bahawa calon ysng mereka akan pilih dipercayai akan menunaikan tanggungjawab Islamnya? Sangat ajaib alasan ini. Bahkan dangkal."
 
Ulasan:
Ya, persoalannya sejauh mana seorang PM itu akan melaksanakan tugasnya mengikut Islam. Itulah yang ditegaskan oleh Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi dalam tulisannya. Agenda politik Islam mesti didaulatkan. Bukan setakat tukar PM semata-mata. Tetapi menukar PM dan barisan kabinetnya yang berkemampuan melaksanakan hasrat yang besar itu.
 
Tentang menamakan calon PM oleh PH, PAS tidak bantah. Tidak mengatakan haram dan berdosa. Tetapi PAS melihat ia kurang sesuai. Kerana kerja mengalahkan BN dalam Pilihan Raya bukanlah tugas mudah. Komponen PH mana yang paling mendapat banyak kerusi pun masih belum dapat dipastikan lagi.
 
Apatah lagi, calon PM yang PH namakan itu tidak mempunyai rekod yang baik dalam mendaulatkan syariat di negara kita. Bahkan calon itu tidak mendapat sokongan daripada sebahagian komponen PH sendiri.
 
Inilah persoalannya tentang calon PM. Bukan setakat menentukan hukum harus mencalonkan bakal PM daripada segi hujjah dan dalil semata-mata seperti yang dibuat oleh Dr Rozaimi. Bahkan kita mestilah melangkah setapak lagi ke hadapan dengan menganalisa nama calon PM tersebut mengikut neraca politik Islam berdasarkan realiti sebenar dalam politik negara.
 
8. "Nampaknya penulis tidak membaca dengan betul apa yang saya tulis. Saya nyatakan sedari awal bahawa jika Abdul Hadi kata ijtihad beliau tidak mahu letakkan calon PM kerana ia tidak menguntungkan PAS, saya tidak ada langsung masalah dengan kenyataan ini. Ia jelas menunjukkan ijithad. Apa yang saya bantah ialah apabila dikata tidak mencalonkan nama PM itu selari dengan adab Islam itu yang saya rasakan ia perlu diperbetulkan dan ditegur. Ada beza antara keduanya."
 
Ulasan:
Dr Rozaimi sangat geram kerana merasakan saya tidak membaca artikel beliau mengikut kehendak dan maksud beliau. Tetapi itulah yang Dr Rozaimi lakukan kepada artikel Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi.
 
Jika ia adalah perbezaan ijtihad seperti dakwaan Dr Rozaimi, sepatutnya Dr Rozaimi berlapang dada menerima perbezaan ijtihad. (Sebenarnya hanya ijtihad Dr Rozaimi yang ditulis, sebab Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi tidak mengemukakan pendapat beliau tentang hukum syarak bagi masalah ini.)
 
Biasalah dalam khilaf di kalangan para mujtahidin. Satu pihak berpendapat harus, satu pihak berpendapat haram atau makruh. Tentulah pihak yang mengharamkan atau memakruhkan itu akan memberikan hujjah mereka yang keras dan kurang menyenangkan pihak yang mengharuskan.
 
Apa perlunya Dr Rozaimi menyalahkan 'ijtihad' pihak lain sedangkan beliau sendiri bersetuju bahawa dibolehkan berkhilaf dalam perkara ijtihad.
 
Kata Dr Rozaimi, silap Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi mengatakan tidak ada adab. 
 
Tidak ada adab ini apa hukumnya? Adakala haram, adakala makruh, adakala harus. Ia bukan bermakna haram semata-mata. Renungkanlah.
 
6. "- saya katakan saya bukan wakil PH. Saya juga tidak masuk campur masalah mereka.
 
- jika pencalonan nama PM adalah masalah besar PH, apa kaitannya dengan PAS? Adakah PAS sedang tunduk kepada PH dalam percaturan politiknya? Jika PAS menamakan calon PM nya apa kaitannya dengan PH?
 
- jika pencalonan PM itu masalah PH, adakah semestinya ia bercanggah dengan adab Islam?"
 
Ulasan:
Tulisan Dr Rozaimi di sini jelas sekali menunjukkan beliau tak faham apa-apa tentang politik Malaysia.
 
Kata Dr Rozaimi, beliau tidak campur urusan PH. Bahkan beliau sangat hairan kenapa PAS mengkritik tindakan PH dalam menamakan calon PM. Apa kaitan PAS dengan PH?
 
Bukankah begitu naif persoalan beliau. Setiap parti politik memanglah sentiasa mengambil perhatian terhadap tindakan dan perkembangan parti politik lain. Termasuk memberikan kritikan, cadangan ataupun kadang-kadang sokongan kepada parti politik lain dalam isu-isu yang menyentuh polisi negara dan kebajikan rakyat.
 
Parti politik yang hanya memberi perhatian kepada partinya sahaja dan tidak menghiraukan kewujudan parti-parti lain tidak wujud dalam sistem demokrasi. Dalam negara yang mengamalkan sistem satu parti sahaja yang tidak berfikir tentang parti politik lain.
 
Penutup
 
Dr Rozaimi akhirnya menulis, "Jenuh saya memikirkan apa kaitan PH dan PAS. Maaf, sel-sel otak tidak dapat berhubung untuk fahami huraian ini. Ia seperti perbuatan orang terdesak untuk membela tokoh sendiri walau sebenarnya tidak ada hujah kukuh."
 
Oh... Rupa-rupanya sel-sel otak Dr Rozaimi Ramli masih belum dapat berhubung. Barulah saya faham kenapa beliau begitu naif dalam memahami artikel Presiden PAS itu.
 
ZAKARIA ISMAIL
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Kawasan Marang
27 Disember 2017 - HARAKAHDAILY 28/12/2017
 

SENJATA paling murah dan mudah tapi sangat berkesan untuk membunuh karektor seseorang, terutama pada zaman digital hari ini ialah fitnah.

Fitnah dikarya dengan penuh licik dan teliti sehingga sukar dibezakan antara fitnah dan kebenaran. Fakta separa masak diolah dengan cermat, susunan plot fitnahnya rapi sekira-kira boleh melepasi scanner kebenaran.

Akhirnya masyarakat mati hidup percayakan fitnah tersebut. Meskipun penafian diulang siar, tiada siapa yang mahu peduli dan mempercayai penafian tersebut lantaran fitnah itu lebih meyakinkan malah bertaraf “mutawaatir”.

Mendepani fitnah begini, tiada apa yang boleh kita lakukan kecuali banyak berserah kepada Allah SWT di samping ikhtiar memberi penjelasan kepada khalayak.

Tentu sahaja, mereka yang derita sebagai mangsa fitnah kena banyak bersabar. Mohon pertolongan kepada Allah swt dengan sabar dan solat. Inilah yang diajar oleh Allah SWT:

وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى الْخَاشِعِينَ

Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat sedang sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang yang merendah diri kepada Allah SWT. (Surah Al Baqarah: 45)

Fitnah ini lahir dari kebankrapan hujah dan isu. Juga hasil dari runtuhnya nilai akhlak dan peribadi. Pengamal fitnah ini mewarisi saka iblis yang liar dan buas.

Mereka tidak boleh melihat Islam berkembang dengan pesat, pasti mereka akan meronta lalu merencana fitnah lantas menyebarkan ke seluruh pelosok dan penjuru ufuk melalui kecanggihan digital. Tujuan mereka hanya mahu halang perkembangan Islam.

Mereka yang merencana fitnah ini sebenarnya berdepan dengan ancaman azab dari Allah SWT. Sabda Nabi SAW:

أما الرَّجُلُ الَّذِي أتَيْتَ عَلَيْهِ يُشَرْشَرُ شِدْقُهُ إِلَى قَفَاهُ ، ومِنْخَرُهُ إِلَى قَفَاهُ ، وَعَيْنُهُ إِلَى قَفَاهُ ، فإنَّهُ الرَّجُلُ يَغْدُو مِنْ بَيْتِهِ فَيَكْذِبُ الكِذْبَةَ تَبْلُغُ الآفاقَ .

(رواه البخاري: رقم الحديث 7047 من حديث
سمرة من جندب رضي الله عنه)

“Berkata malaikat yang mengiringi Rasulullah S.A.W.); “Adapun orang yang diseksa dengan penyangkut besi yang menembusi pipi sehingga ke belakang lehernya dan disengkut lubang hidung sehingga menembusi belakang lehernya dan disengkut mata sehingga menembusi batang lehernya ialah kerana kerjanya sejak pagi menyebarkan pembohongan ke sehingga seluruh ufuk penjuru dunia.” (Hadis Riwayat Bukhari: Bil. 7047 dari hadis Samurah bin Jundub R.A)

Sasaran Budaya Politik Matang dan Sejahtera ialah menghapuskan politik fitnah. Meskipun sukar, ia antara tugasan wajib dan jihad Islami yang mesti digalas oleh para pejuang Islam dengan gigih dan tekun. Ranking fitnah yang paling tinggi ialah kesyirikan kepada Allah swt dalam ideologi dan pegangan hidup.

وَقَاتِلُوهُمْ حَتَّىٰ لَا تَكُونَ فِتْنَةٌ وَيَكُونَ الدِّينُ لِلَّهِ فَإِنِ انتَهَوْا فَلَا عُدْوَانَ إِلَّا عَلَى الظَّالِمِينَ

Dan perangilah mereka sehingga tiada lagi fitnah dan jadilah ugama itu semata-mata milik Allah, jika mereka berhenti maka tiadalah permusuhan melainkan terhadap orang yang zalim. (Surah Al Baqarah: 193)

Pengamal dan penyebar tegar fitnah ini tidak akan berjaya di dunia dan akhirat. Justeru itu, anggota jamaah Islam jangan sekali-kali pernah terjebak dalam kancah penyebaran fitnah, apatah lagi mencipta fitnah. Amalkan konsep tabayun sebelum sebar sebarang maklumat.

Sejahtera Bersama Islam

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
06 Rabiul Akhir 1439 / 25 Disember 2017 – HARAKAHDAILY 25/12/2017