ILMU taksir penting dalam berjemaah. Kita bermula dari bawah tanpa sebarang jawatan. Sedikit demi sedikit ditaklifkan memikul tanggungjawab dalam parti. Dari Cawangan, Dun, Kawasan, Negeri dan Pusat.
 
Kita pernah berada di posisi sebagai seorang ahli merangkap petugas kecil tanpa jawatan dan tak dikenali berurusan dengan pimpinan. Ada mu'alamalah pimpinan terhadap kita yang mengembirakan dan ada yang tak mengembirakan. Semua itu adalah pelajaran dan pengalaman. Kita belajar secara senyap.
 
Sekarang kita berada di posisi di mana sahabat-sahabat dari seluruh negara pula berurusan dengan kita. Maka kita cuba untuk tak ulangi apa yang kita rasakan perlakuan terhadap kita yang tak mengembirakan suatu ketika dulu. Ini dinamakan ilmu taksir. Kalau kita rasa tak suka orang lain buat begitu kepada kita, jangan lakukan perkara yang sama kepada orang lain.
 
Telefon kena jawab. Tak dapat jawab sebab sedang meeting atau dalam majlis, sekurang-kurangnya reply dengan sebaris mesej. Sebelum tidur ambil masa 5 minit untuk scroll mesej dan whatsapp peribadi kalau-kalau ada yang kita belum reply. Jawablah walau sepatah ucapan wa'alaikum mussalam dan terima kasih.
 
Bila berjanji nak hadir ke sesuatu program, jangan dengan begitu mudah batalkan kehadiran sedangkan tuan rumah dah buat persiapan. Duduk dalam sesuatu majis, jadikan amalan untuk tunggu majlis sampai habis. Jangan lepas kita berucap, terus tinggal majlis yang belum selesai. 
 
Jangan terlalu memilih program. Nak hadir yang besar dan program yang ada nama sahaja. Tak dapat tunaikan jemputan segera, kita cadangkan tarikh lain yang ada keluangan. 
 
Tak munasabah bila dijemput, penganjur kata, terpulang kepada keluangan tarikh pimpinan untuk hadir dan mereka boleh terima pada bila-bila masa saja. Tak kan dalam masa sebulan dua tak ada satu tarikh kosong untuk kita tunaikan hajat sahabat seperjuangan. 
 
Sebolehnya kita cuba untuk tak nak membebankan tuan rumah penganjur program. Sekadar layanan yang paling simple diperlukan. Hanya perlu confirm program dua atau tiga hari sebelum tarikh, hantar sekeping poster program, ada location untuk dituju atau ada sahabat tolong tunggu untuk tunjuk arah jalan. Itu sahaja. Kerap kita mandi dan rehat di hentian lebuh raya saja. 
 
Kalau perlu naik flight, kita tak pernah minta penganjur belikan tiket. Semua kita boleh urus sendiri.  Kita tak perlukan hotel atau penginapan selesa. Ada rezeki penganjur sedia makanan, kita terima dengan syukur. 
 
Sebagai pimpinan, penganjur tak perlu tanya sama sekali berapa perlu bagi dalam sampul. Tak ada dalam kamus pimpinan soalan ini. Tanya pun kita tak akan jawab. Diberi kita terima. Tak diberi pun kita balik dengan lapang dada. Ada ketika kita pulangkan semula sampul kepada penganjur kerana sebab tertentu. Pimpinan parti bukan penceramah selebriti dengan rate tersendiri. 
 
DR AZMAN IBRAHIM
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat - HARAKAHDAILY 25/1/2018

APABILA meneliti bencana yang berlaku ke atas umat Islam hari ini yang dikepalai oleh Amerika, pasti kita sedari bahawa tahun 1983 merupakan titik mula penjajahan baharu ke atas dunia Islam.
 
Amerika yang diterajui oleh Ronald Reagan dari Republican ketika itu telah merencana 3 agenda besar demi menangani ancaman dari Islam yang dijangkakan muncul setelah lemahnya Soviet Union.
 
Dasar anti terrorisme
 
Sememangnya istilah terrorisme merupakan kod bahasa prejudis yang merujuk kepada Islam. Ia sebagai instrumen menjayakan kempen Islamphobia untuk jangka masa panjang. Dasar pencerobohan ke atas kepentingan umat Islam beralasankan anti terrorisme telah dimulakan oleh Amerika sejak 1983.
 
Amerika menyenaraikan tujuh negara yang kononnya sebagai paksi terrorisme. Iaitu Cuba, Korea Utara, Iran, Iraq, Libya, Sudan dan Syria. Lima dari senarai tersebut adalah negara umat Islam yang kini telah berjaya dihancurkan, berbaki lagi Iran. Begitu juga kumpulan-kumpulan Islam menjadi sasaran tuduhan terrorisme.
 
Kini tanpa sedar, Islamphobia telah berjaya meresap menjadi anutan penduduk dunia yang berterusan prejudis terhadap mana-mana usaha mengembalikan Islam sebagai agama yang berkuasa.
 
Plan pemetaan semula Asia Barat
 
Plan jahat ini dilakar oleh seorang arkitek politik Amerika yang bernama Bernard Lewis. Ia telah diluluskan oleh Kongres Amerika pada tahun 1983. Selepas era Ronald Reagan, Amerika diterajui oleh George H. W. Bush. Bush 'senior' dan kemudiannya Bush 'junior' telah melantik Bernard Lewis sebagai penasihat Pentagon. Ini semua menggambarkan plan pemetaan semula Asia Barat dilangsungkan secara konsisten.
 
Rancangan ini dibuktikan lagi dengan pendedahan Peta Berdarah yang diwartakan oleh Ralph Peters pada tahun 2006.
 
Semua yang dirancang sejak 1983 dilihat beroperasi secara menggila ketika tragedi Arab Spring yang bermula akhir tahun 2010 hingga kini. Perang saudara sesama umat Islam yang kemudiannya mengadu-dombakan permusuhan sesama negara umat Islam diledakkan dengan mengeksploit sentimen bangsa dan mazhab.
 
Hasil dari kecelakaan tersebut, telah menjerumuskan dunia Islam kini ke dalam kancah konflik yang tidak berkesudahan. Sementara itu Israel semakin selesa dan dilihat amat berpotensi meluaskan jajahannya seperti yang diidamkan 100 tahun yang lalu. Cita-cita penubuhan Israel Raya semakin hampir untuk direalisasikan.
 
Badan NED
 
NED ialah singkatan dari National Endowment For Democracy, merupakan badan pelaksana perancangan Amerika secara 'atas tanah' untuk menceroboh percaturan politik negara-negara lain. Pengasas NED, Allen Weinstein berterus terang bahawa tugas yang dijalankan oleh badan tersebut hanyalah kesinambungan dari usaha yang telah dijalankan oleh CIA secara 'bawah tanah' sejak 25 tahun sebelum penubuhan NED.
 
NED berfungsi melebarkan dasar demokrasi tajaan Amerika. Secara taktikalnya, mereka menyusun dan membiayai proksi-proksi Amerika ke dalam negara-negara sasaran. Dana yang banyak menjadi daya tarikan utama mereka. Proksi-proksi NED banyak menjelma sebagai NGO, namun cukup berperanan mencorak politik negara.
 
Kita boleh menjenguk laman web NED yang berterus terang menyenaraikan proksi-proksi mereka berserta angka geran pembiayaan yang telah disalurkan. Dalam sebaran internet semakan 2015 untuk negara Malaysia, NED mengaku telah membiayai IRF (Islamic Reinassance Front) seharga $60,000, KiniTV seharga $35,000 serta Merdeka Centre seharga $60,000. Itu semua hanyalah yang diperakui oleh mereka. Sementara rangkaian dan angka dana yang masih mereka rahsiakan dari tatapan umum sudah tentu lebih banyak.
 
Dari projek demokrasi ala Amerika ini, mereka membenihkan kumpulan dan kempen Islamphobia yang memasarkan anutan liberalisme, sekaligus menjadikan gerakan Islam sebagai sasaran prima.
 
Celik dan waspada
 
Dari racun tiga serangkai ini, melahirkan iklim politik dunia yang sentiasa mendiskriminasikan Islam. Melahirkan umat Islam yang inferior dengan agamanya sendiri dan mendewakan Amerika sebagai Sang Penyelamat dunia.
 
Kita sebagai umat Islam harus sedar bahawa musuh Islam teramat serius menentang Islam. Menjadi kewajiban ke atas kita untuk mengambil tahu perancangan mereka untuk dijadikan pembayang ancaman ke atas Islam di masa hadapan. Racun tiga serangkai ini bukanlah perkara teori konspirasi, sebaliknya ia adalah fakta konspirasi ke atas Islam yang telah didokumenkan. Cuma kita sahaja yang tidak mengkaji lantas sewenang-wenangnya menganggap pendedahan seperti ini sebagai paranoid.
 
ABDUL MU'IZZ MUHAMMAD
Ketua Urusan Ulamak
PAS Kawasan Klang
20 Januari 2018. - HARAKAHDAILY 20/1/2018

ISLAM merupakan agama ilmu. Ilmu sebagai penyuluh bagi manusia untuk mengenali hakikat dirinya dan Tuhannya. Ilmu juga sebagai pengukur untuk membezakan antara benar dan salah. Semua Nabi dan Rasul menerapkan pembudayaan ilmu dan menentang sebarang projek pembodohan.

 

Ingatan Surah al-Kahfi

Allah telah memperingatkan bahawa akibat tiada ilmu, menyebabkan seseorang itu berisiko untuk menjadi sesat.

مَّا لَهُم بِهِ مِنْ عِلْمٍ وَلَا لِآبَائِهِمْ ۚ كَبُرَتْ كَلِمَةً تَخْرُجُ مِنْ أَفْوَاهِهِمْ ۚ إِن يَقُولُونَ إِلَّا كَذِبًا
"Mereka sama sekali tidak mempunyai ilmu berkenaan hal tersebut, begitu juga nenek moyang mereka. Alangkah jeleknya kata-kata yang keluar dari mulut mereka. Sedangkan tiada yang mereka perkatakan melainkan pembohongan"

(al-Kahfi:5)

 

Golongan yang tiada ilmu selalunya mempertahankan kesesatannya dengan dakwaan kosong. Persoalan senioriti dan pegangan yang semata-mata diwarisi dari golongan terdahulu kerap dijadikan sandaran untuk menolak hujah ilmu. Sikap jumud mereka teramat tegar.

 

Bahana kejahilan

Syeikh Mutawalli Sya'rawi menjelaskan di dalam tafsirnya bahawa terdapat dua akibat kejahilan:

• Menafikan perkara hakikat yang benar-benar wujud.
• Mempercayai perkara palsu yang tidak wujud.

Maka gelagat mereka yang jahil serba tidak kena. Mempertahankan kebatilan yang palsu, menolak kebenaran yang hakiki.

 

Si Jahil suka 'menganjing'

Al-Quran turut mendedahkan tabiat golongan yang jahil. Akibat gagal mengemukakan hujah, maka apa lagi yang mampu dibalas melainkan ejekan-ejekan yang menjatuhkan maruah diri mereka sendiri.

Nabi Musa berdoa agar dijauhkan dari tergolong dalam kelompok jahil apabila kaumnya bertanya adakah baginda sedang mengejek. Sekali gus mendefinisikan karektor golongan yang jahil adalah suka mengejek.


قَالُوا أَتَتَّخِذُنَا هُزُوًا ۖ قَالَ أَعُوذُ بِاللَّهِ أَنْ أَكُونَ مِنَ الْجَاهِلِينَ 

"Mereka bertanya "Apakah kamu (Musa) mahu mengejek kami?" (Nabi Musa) menjawab "Aku mohon kepada Allah agar dijauhkan dari tergolong di kalangan golongan yang jahil"

(al-Baqarah: 67)

Di dalam surah Luqman pula, ada disebutkan golongan yang jahil pasti mengalami ketagihan mengejek orang yang tekun berhujah serta bermain-main dengan peringatan agama yang serius.

وَمِنَ النَّاسِ مَن يَشْتَرِي لَهْوَ الْحَدِيثِ لِيُضِلَّ عَن سَبِيلِ اللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَيَتَّخِذَهَا هُزُوًا ۚ 
"Dan di antara manusia ada yang mempergunakan perkataan yang sia-sia untuk menyesatkan manusia dari jalan Allah tanpa ilmu yang menjadikannya sebagai ejek-ejekan"

(Luqman: 6)

Hari ini kita dapati budaya 'troll' dijadikan bahan jenaka harian. Hingga terkadang golongan terpelajar pun sanggup menjatuhkan maruah diri sendiri dengan mengejek orang yang mengemukakan hujah Islam. Tidak sedar perilakunya merupakan petanda kejahilan diri sendiri.

 

Lambakan orang jahil

Di ambang berlakunya kiamat, Nabi telah mengingatkan akan wujudnya golongan Ruwaibidhah:

وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ
"Dan golongan Ruwaibidhah bebas berkata-kata ketika itu"

(HR Ahmad & Ibnu Majah)

Ruwaibidhah adalah golongan jahil namun mahu mengeluarkan pandangan sendiri sungguhpun menyeleweng. Nabi menggambarkan fenomena tersebut sebagai era pembohongan yang cukup berleluasa hingga manusia gagal menilai mana yang benar dan mana yang salah.

 

Kembali kepada sumber ilmu Islam

Di zaman yang cukup mengelirukan, tiada jalan selamat melainkan kembali kepada asas Islam. Islam tidak didirikan atas rasa-rasa atau agak-agak. Sebaliknya Islam dibentuk kefahamannya dari sumber yang konkrit, iaitu al-Quran dan Hadith.

Maka padanlah ayat pertama surah al-Kahfi, Allah menggagaskan jalan istiqamah mestilah berpandukan al-Quran dan tunjuk ajar hamba-Nya yang mulia, Muhammad S.A.W.

ABDUL MU'IZZ MUHAMMAD
Ketua Urusan Ulamak
PAS Kawasan Klang
19 Januari 2018 - HARAKAHDAILY 19/1/2018

BAGINDA S.A.W sejak awal dakwahnya menjadikan pertemuan bersama para sahabatnya satu kemestian yang pasti. Dr. Muhammad Munir Ghadban menyingkap beberapa faktor penting mengapa pendokong Islam, perlu sentiasa bertemu dan bersua muka, walaupun zaman ini sering kita bersembang di medium whatsapp dan lain-lain medium, namun ia tidak memadai. 

1. Menghubungkan jentera/ahli bersama pemimpinnya secara kerap, sekali gus menambah kepercayaan antara satu sama lain. 

2. Ia juga boleh meningkatkan/ meneruskan keazaman untuk melalui jalan juang tanpa rasa lemah. Sebagaimana para Sahabat R.A yang bertemu dirumah Al Arqam bin Abi Al Arqam, lalu mereka bercerita, berbincang, memberi pandangan dan berhujah lalu baginda saw memberi taujihat yang menenangkan mereka. 

3. Pertemuan yang kerap (konsisten) antara pemimpin dan ahli selayaknya menyelesaikan masalah yang mendatang. Para sahabat datang bertemu Baginda S.A.W dan berbincang untuk merungkai isu-isu yang dihadapi. Sama ada ia datang dari pemimpin yang memberi jawapan, ataupun keberkatan daripada kerap berbincang sesama penggerak akhirnya mendapat kata sepakat.

4. Pertemuan ini juga menjauhkan kita daripada ruang fitnah, sangkaan buruk dan cakap-cakap yang dosa. 

5. Pertemuan yang kerap menghasilkan saff yang ampuh, gerak kerja sentiasa dapat dikemaskini. Seakan-akan tiada ruang untuk pihak luar menyelinap dan menggangu-gugat apatah lagi memecah belahkan saff yang ampuh ini.

Ahli sesama ahli mesti sentiasa bertemu,
Pemimpin dan ahli mesti sentiasa bertemu,
Pemimpin sesama pemimpin mesti sentiasa bertemu.

Namun, apa kandungan pertemuan kita?

Kenyangkan diri dengan Al Quran


(وَاذْكُرِ اسْمَ رَبِّكَ وَتَبَتَّلْ إِلَيْهِ تَبْتِيلًا)

"Dan sebutlah (dengan lidah dan hati) akan nama Tuhanmu (terus menerus siang dan malam), serta tumpukanlah (amal ibadatmu) kepadaNya dengan sebulat-bulat tumpuan."

(al-Muzzammil: 8)

Baginda S.A.W sentiasa menyuap para Sahabat dengan peringatan Al Quran. Ia menenangkan hati, menghilangkan kekeliruan bahkan Al Quran mendatangkan penyelesaian! 

"Hendaklah metodologi para Pendakwah kesemuanya bersumberkan Al Quran sejak dari awal. Para anak muda yang diisi dengan Al Quran pada fasa ini akan mendorong semua pemikiran dan maklumatnya bertitik tolak daripada Al Quran."

Inillah 'makanan ruji' para pembantu Agama. Kita berada di zaman bukan tidak ada orang yang membaca Al Quran, tetapi tidak memahami isi Al Quran. 

Sebab itu pertemuan yang kerap sekalipun namun sukar untuk mendengar walaupun satu ayat al Quran dibincangkan, itulah yang menjadi punca mengapa pertemuan kita adalah gagal. 

Rujukan : Manhaj Haraki Sirah Nabawiyah karangan Dr Muhammad Munir Ghadban

MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN - HARAKAHDAILY 19/1/2018

BUDAYA dan nilai hidup yang dipegang masyarakat Melayu di negara ini menyebabkan kaum Melayu ketinggalan, kata Dr Mahathir.
 
Orang Melayu hidup selama 22 tahun di bawah Mahathir. Hasil dari didikan Mahathir selama tempoh itu, biasa kita jumpa dalam masyarakat senario sebegini: 
 
Bila kita bangkitkan hal keperitan hidup rakyat, pengundi tegar Umno tanya, berapa peratus rakyat Malaysia makan rumput dan pasir? 
 
Inilah antara punca Umno masih kekal. Ramai lagi yang tunggu susah sampai makan rumput maka baru nak berhenti sokong Umno. Nasib baik sungguh kamu Umno! Siapa yang didik semua ini kalau bukan Mahathir.
 
Bila kita cerita hal harga barang naik, mereka jawab, walaupun mahal nasib baik barang ada. Apa akan jadi kalau barang-barang tak ada? Yang jawab ini adalah pengundi tegar parti yang pernah dipimpin Mahathir.
 
Seorang tukang kebun sekolah rendah tempat saya belajar dulu berlagak macam guru besar kerana dia adalah seorang ketua cawangan parti Mahathir dulu. Siapa yang ajar dia bersikap begitu?
 
Ayah saya yang nak tandatangan borang sekolah anak dengan JKKK, siap kena tadah telinga dulu padahal ayah saya Melayu. Bukan nak minta duit pun. JKKK juga adalah seorang Melayu ketua cawangan parti Mahathir dulu.
 
Orang kampung pesawah padi zaman Mahathir yang tak menyokong parti Mahathir, jangan mimpi nak tengok baja subsidi padahal baja diperlukan untuk padi. Pesawah ini pun orang Melayu.
 
Zaman Mahathir, negeri-negeri majoriti Melayu Islam tak dapat pertambahan kerusi kerana bimbangkan perkembangan pengaruh PAS. Contohnya, Terengganu hanya ada 8 kerusi parlimen sahaja. Siapa punya angkara kalau bukan Mahathir sehingga suara orang Melayu semakin berkurangan di parlimen.
 
Mahathir juga yang tarik balik royalti minyak dari sebuah negeri Melayu bernama Terengganu.
 
Mahathir adalah orangnya yang telah menyekat pelbagai bantuan kepada Kelantan. Apa Mahathir ingat Arwah Tok Guru Nik Aziz yang jadi MB Kelantan itu Bangla?
 
Melayu yang sanggup tinggal budaya dan nilai hidup untuk berubah, bagi Mahathir, contohilah anak saya Marina, Mokhzani dan Mirzan. 
 
Melayu lain akan terus ditekan dan diperbodohkan agar mereka terus setia menjadi pengundi tegar Umno. Baru sekarang Mahathir bersuara tentang nasib Melayu?
 
DR AZMAN IBRAHIM
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat - HARAKAHDAILY 16/1/2018

Ekonomi: Solusi masalah kos sara hidup

1. Teras ketiga negara yang dikenalpasti adalah sektor ekonomi. Bagi kebanyakan negara moden, ekonomi dianggap sebagai urusan terpenting bagi sesebuah negara. Agenda-agenda politik yang diambil biasanya ditentukan oleh kepentingan ekonomi. Hatta kolonialisasi yang pernah melanda negara dipercayai atas pengaruh perluasan ekonomi barat. Teori Marxisme menyatakan bahawa konflik sosial antara manusia didorong oleh kepentingan ekonomi.

2. Walaupun ekonomi bukan segala-galanya di dalam Islam, tetapi ia tetap dikira sebagai aspek penting yang perlu diuruskan. Ekonomi yang tidak diurus dengan betul boleh merebak kepada masalah sosial, agama, keselamatan malah mengancam boleh kedaulatan negara. Justeru Islam banyak menekankan aspek ekonomi dalam kehidupan bernegara. Ayat terpanjang di dalam al-Quran (al-Baqarah:282) berkait dengan kegiatan ekonomi.

3. Secara umumnya, PAS melihat masalah ekonomi negara tidak boleh diselesaikan melainkan dengan cara Islam. Ianya adalah sistem yang adil, mengutamakan rakyat, seimbang dan bersifat lestari. Sistem beteraskan kapitalisme hanya menambah jurang antara kaya dan miskin yang akhirnya membawa kepada polarisasi dan perkastaan. Sosialisme pula boleh melembapkan aktiviti ekonomi dan akan menyebabkan negara terus ketinggalan dalam arus modenisasi global.

Islam membenarkan individu mengejar kekayaan seberapa banyak yang mereka mahukan, tetapi mereka tetap perlu bertanggungjawab terhadap masyarakat sekeliling. Islam mengambil berat tentang keseimbangan sosio-ekonomi, tetapi tidak sampai terlalu mengongkong sehingga membantutkan perkembangan sektor swasta.

4. Aspirasi WINS 2051 pada fasa pertama dari sudut ekonomi adalah bagi mengurangkan kos sara hidup, menghapuskan monopoli agar agihan hasil dibahagikan secara adil, dan tidak mewujudkan persaingan antara rakyat dan kerajaan dalam perniagaan. Asasnya adalah Firman Allah SWT:

كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنْكُمْ ۚ

supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu.
[Al-Hashr: 7]

Juga hadis Nabi SAW:

أَنَّ اللَّهَ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ صَدَقَةً فِي أَمْوَالِهِمْ تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ وَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ

[HR Bukhari]

5. Dari sudut kos sara hidup, perkara ini menjadi masalah utama yang melanda ekonomi negara hari ini. Dasar-dasar yang diambil kerajaan bagi menampung kekurangan hasil negara akibat kejatuhan harga petroleum, seperti dasar percukai GST telah memberi kesan kepada pendapatan bolehguna rakyat.

PAS menentang pelaksanaan cukai GST kerana ia bertentangan dengan konsep percukaian Islam walaupun GST memberi sumbangan besar kepada pendapatan negara. Justeru, bagi menghapuskan GST, WINS 2051 melalui Dokumen Hijau telah mencadangkan alternatif kepada GST iaitu mengenakan cukai simpanan korporat dan cukai dagangan saham untuk mengganti hasil yang hilang kerana penghapusan GST.

Cukai yang dicadangkan ini bersifat lebih adil kerana hanya dikenakan kepada golongan berada. Dianggarkan hasil kutipan cukai ini lebih besar daripada hasil kutipan GST iaitu sekitar 50 billion setahun fiskal.

6. Solusi kos sara hidup yang lain diperkenalkan melalui Dokumen Hijau adalah skim Mampu Memiliki Rumah. Ini kerana perbelanjaan rumah menjadi kos paling besar yang ditanggung oleh setiap isi rumah di Malaysia. Ia memberi kesan secara langsung kepada baki pendapatan boleh guna dan kuasa beli rakyat.

Skim ini berbeza dengan skim Rumah Mampu Milik yang ditawarkan kerajaan. Ia tidak memfokuskan kepada pembinaan rumah berkos rendah, tetapi lebih kepada menstruktur semula kaedah pembiayaan rumah berdasarkan konsep Islam. Kaedah yang dicadangkan adalah Musyarakah dan Sukuk al-Ijarah.

Solusi ini bukan sahaja mampu menyelesaikan bebanan kos pembiayaan rumah yang tinggi, bahkan mampu menyelesaikan masalah kelembapan urusniaga hartanah negara yang dihadapi oleh pemaju dan bank. Beban kerajaan juga akan lebih rendah dengan cadangan ini.

7. Ini hanya beberapa contoh yang boleh dibentangkan secara ringkas. Bagi mereka yang mahu memahami solusi yang dinyatakan secara lebih mendalam, dicadangkan agar membaca Dokumen Hijau siri 1 yang telah dikeluarkan. Dokumen ini menerangkan tentang konsep ekonomi Islam dan turut menyenaraikan beberapa lagi solusi lain seperti cadangan menyelesaikan masalah kejatuhan matawang.

8. Kesimpulannya, masalah ekonomi negara tidak boleh diselesaikan hanya dengan menukar individu. Masalah utama adalah berkait dengan sistem yang tidak diperkenankan oleh Tuhan Sekalian Alam. Inilah punca mengapa negara terus dihimpit musibah dan segala jalan yang diambil seolah-olah tidak mendapat keberkatan. Semuanya berkait dengan Firman Allah SWT:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan. [Al-A'raf: 96]

TURKI melancarkan serangan ke atas tentera Kurdi Syria, YPG. Tentera tersebut dibiayai oleh US. Mereka antara kumpulan yang mengeruhkan keadaan di Syria. Turki juga telah menggunakan unit altileri bagi menggempur kumpulan militia Kurdi Turki, PKK/PYD. Semua ini adalah kesinambungan daripada misi khas yang dinamakan sebagai Operation Euphrates Shield.
 
Tentera Kurdi Syria YPG bekerjasama dengan Kurdi Turki PKK. Dengan YPG menguasai utara Syria, dan PKK menguasai selatan Turki, gabungan kedua kumpulan ini sangat mengancam kerajaan Syria dan Turki. Di tambah dengan sokongan US, Israel serta kumpulan Kurdi Iraq di sempadan kedua negara ini, membuatkan Kurdi bertambah kuat. Di Iran juga, bantahan terhadap kerajaan oleh Kurdi turut didokong oleh US.
 
Keadaan bertambah kompleks kerana US dan sekutu (Israel, Saudi, UAE, NATO) menaja hampir semua gerakan revolusi di Syria. Dalam waktu yang sama, gerakan-gerakan ini berbantaian sesama mereka. Nampak jelas agenda mereka bukan untuk mengamankan, sebaliknya untuk menambah porak-peranda Asia Barat.
 
Kurdi sekarang sedang dalam rangka menubuhkan negara baru di wilayah Iraq. Keputusan referendum telah menyebelahi mereka. Mengikut perancangan, negara Kurdistan akan melebar ke selatan Turki, Utara Syria dan utara Iran, Armenia dan Azerbaijan. Agenda Kurdistan disokong penuh oleh US dan Israel. Mudah cerita, Kurdi dah jadi ayam sabung Zionis di Asia Barat.
 
Walaupun Turki sebelum ini mendokong pejuang revolusi Syria tetapi negara tersebut telah bekerjasama dengan Rusia dan Iran bagi menamatkan krisis di Syria. Mereka nampaknya telah sedar permainan kuasa besar di Syria akan memakan Turki juga akhirnya. Pengaruh Kurdi di Turki semakin kuat sekarang.
 
Namun, Turki bekerjasama dengan beberapa kumpulan revolusi di sempadan Syria seperti FSA bagi menghapuskan ISIL. Menyukarkan kerajaan Syria bagi menerima pelan perdamaian. Apatah lagi peperangan kembali berlaku di Idlib walaupun sebelum ini hampir semua pihak telah bersetuju untuk berdamai.
 
Ahli politik senior Kurdi, Aldar Khalil menjangkakan bahawa krisis di Syria akan terus berlanjutan ke dekad yang akan datang. Allahu mustaan.
 
27 Rabiul Akhir 1439
15 Januari 2017
 
ALANG IBN SHUKRIMUN - HARAKAHDAILY 15/1/2018

IKHLAS (niat yang betul dan tulus kerana Allah swt) adalah rahsia antara seorang pejuang dengan tuhannya. Ia juga adalah sumber utama untuk mendapatkan nusrah (pertolongan dan kemenangan) daripada Allah swt.

Niat perjuangan yang betul merupakan akhlak pejuang. Malah ia berfungsi sebagai anti virus. Membunuh virus yang terhasil dari sifat mazmuumah (negatif) seperti:

Riya’ (berjuang untuk diperlihatkan kepada awam bahawa ia rajin, berani dll)

Ujub (bangga diri dan rasa hebat kerana banyak menyumbang dan berkorban untuk jamaah)

Hubbu Riyaasah (kemaruk jawatan atau kedudukan sehingga mendorong lobi-melobi, politik cantas, fitnah dll)

Tanpa ikhlas atau niat yang betul dalam perjuangan ini, biarpun hebat pengaruh, publisiti yang berjaya dicapai, ia akan memulangkan mudharat besar kepada diri dan jamaah. Paling minima, hilang keberkatan dan kelazatan berjuang, selanjutnya ia mengheret jamaah dalam konflik dalaman dan kemuncaknya ialah Allah swt membatalkan jadual kemenangan.

Ikhlas (niat perjuangan yang betul):

• Nawaitu yang jelas.

إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى الله و رسوله فهجرته إلى الله و رسوله و من كانت هجرته لدُنْيَا يُصِيبُهَا أَوْ إِلَى امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ

Dari Umar Al Khattab Rha : Aku telah mendengar Rasulullah saw berkata:

Sesungguhnya amalan itu bergantung kepada niat. Sesungguhnya ganjaran bagi setiap orang, bergantung kepada apa niatnya. Maka barangsiapa yang berhijrah kepada Allah dan RasulNya saw, maka hijrahnya kerana Allah dan RasulNya. Maka barangsiapa yang berhijrah kerana dunia yang ingin diperolehinya atau perempuan yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya adalah kepada apa yang ia hijrahkan. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

• Tidak bermain alasan.

Firman Allah swt:

لَا يَسْتَأْذِنُكَ الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ أَن يُجَاهِدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِالْمُتَّقِينَ

Orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tidak akan meminta izin kepadamu untuk (tidak turut) berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa.

إِنَّمَا يَسْتَأْذِنُكَ الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَارْتَابَتْ قُلُوبُهُمْ فَهُمْ فِي رَيْبِهِمْ يَتَرَدَّدُونَ

Sesungguhnya mereka yang akan meminta izin kepadamu hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan orang yang hati mereka (sangat) ragu. Oleh itu mereka sentiasa bingung teragak-agak dalam keraguannya. (Surah At Taubah: Ayat 44 – 45)

• Bersedia menerima arahan

عَلَى الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ الطَّاعَةُ فِيمَا أَحَبَّ أَوْ كَرِهَ إِلَّا أَنْ يُؤْمَرَ بِمَعْصِيَةٍ فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلَا سَمْعَ وَلَا طَاعَةَ

Dari Abdullah ibnu Umar Rhma bahawa Rasulullah saw telah bersabda:

Satu kewajipan atas seorang muslim mentaati (pemimpin) dalam perkara yang ia suka atau benci kecuali apabila ia diperintah melakukan maksiat. Maka apabila diperintah melakukan maksiat, maka tiada lagi dengar dan taat. (Riwayat Ibnu Majah)

Niat perjuangan yang betul ialah apabila kita berjuang hanya kerana Allah swt. Demi mencari keredhaan Allah swt dan menegakkan Syariat Allah swt di bumi bertuah ini. Bukan kerana nama, pengaruh, jawatan dan projek.

Hadis Rasulullah saw dari Abi Musa Al Asya’ri Rha:

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ الرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِلْمَغْنَمِ وَالرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِلذِّكْرِ وَالرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِيُرَى مَكَانُهُ فَمَنْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ قَالَ مَنْ قَاتَلَ لِتَكُونَ كَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا فَهُوَ فِي سَبِيلِ اللَّه

Telah datang seorang lelaki kepada Nabi saw maka ia berkata : Seseorang berjuang untuk mendapatkan ghanimah, seseorang yang lain agar menjadi terkenal dan seseorang yang lain lagi untuk dilihat kedudukannya, maka siapakah yang benar-benar berjuang dijalan Allah swt ? Maka Nabi saw bersabda: "Siapa yang berjuang untuk meninggikan kalimah Allah, maka dialah yang disebut fii sabilillah". (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Mencetak Pejuang Sufi & Haraki

Nasrudin Hassan
26 Rabiul Akhir 1439 | 14 Januari 2018 – HARAKAHDAILY 14/1/2018

 

 
 
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا لَقِيتُمْ فِئَةً فَاثْبُتُوا وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ ۖ وَاصْبِرُوا ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ
"Wahai orang-orang yang beriman, jika sekiranya kamu bertembung dengan satu kumpulan musuh, maka hendaklah kamu tetapkan pendirian, dan hendaklah kamu ingat akan Allah dengan ingatan yang banyak, mudah-mudahan kamu beroleh kejayaan. Dan taatlah kamu akan Allah dan Rasul-Nya, dan jangan sekali-kali kamu bertelingkah, maka kamu akan gagal, dan akan hilang kehebatan kamu. Dan bersabarlah, sesungguhnya Allah bersama-sama dengan orang-orang yang sabar."
 (al-Anfal: 45-46)
 
Orang yang duduk dalam perjuangan ini, tak kira muda, tak kira tua, yang pentingnya ialah sejauh manakah sumbangan kita untuk terus berada di dalam perjuangan bagi menegakkan ugama Allah S.W.T. ini.
 
Walaupun program kita pada malam ini ialah di peringkat UPU yang menghimpunkan empat buah Cawangan, kita nampak kecik sahaja, kita nampak...., apa sangat program UPU? Apa sangat Cawangan-Cawangan kalau diukur dengan Parti Islam Se-Malaysia PAS yang ada di peringkat Du , yang ada di peringkat Kawasan, yang ada di peringkat Negeri, yang ada di peringkat Pusat, Pusat pula ada Dewan-dewan dia? 
 
Tetapi kita perlu menyedari bahawa kerja-kerja Islam ini di mana sahaja kita berada, ia adalah merupakan kerja yang besar. Walaupun kita di peringkat Cawangan-cawangan, kita kena ingat, bangunan yang besar, kita tengok bangunan yang besar, bangunan yang besar ini tidak jadi bangunan yang besar, yang kuat, yang kukuh melainkan dengan pasir-pasir yang halus, dengan paku-paku yang kecil. 
 
Begitulah juga Parti Islam Se-Malaysia PAS yang hari ini mempunyai hampir 1 juta ahli, mempunyai beribu Cawangan, beratus Kawasan, dalam Dewan Pemuda PAS sahaja kita mempunyai institusi-institusi. PASTI sebagai contoh, kita mempunyai lebih daripada 100 ribu pelajar-pelajar PASTI di seluruh negara. Walaupun kita duduk di peringkat Cawangan, kita nampak kecil, tetapi ianya adalah besar dari segi tanggungjawab dan kewajipan kita. 
 
Tidak berapa lama sebelum daripada ini saya pernah pergi ke satu program, dalam program dialog, lalu satu soalan diajukan kepada saya, dia kata, ustaz, saya nak tanya, bagaimana apa yang berlaku dalam PAS ini? Pimpinan di peringkat Pusat boleh lari daripada perjuangan. Bukan calang-calang orang, bekas Timbalan Presiden keluar lari, bekas Naib-Naib Presiden keluar lari, bekas Setiausaha Agong, bekas AJK-AJK PAS Pusat, dia kata, sedangkan dalam PAS kita tengok, yang duduk di peringkat Cawangan, kemas molek, hat peringkat Pusat, macam mana boleh jadi begini? Adakah tarbiyyah dalam PAS ini gagal? 
 
Saya kata, tarbiyyah dalam PAS ini ada tarbiyyah daripada kita, dan ada tarbiyyah daripada Allah. Tarbiyyah daripada kita, itu yang kita kena buat, sebab apa kita buat usrahnya, kita buat tamrinnya, kita buat rehlahnya, kita buat mukhayyamnya di semua peringkat, itu tarbiyyah daripada kita untuk mengukuhkan akidah perjuangan supaya tidak goyah, supaya tetap pendirian. Tetapi di sana ada tarbiyyah daripada Allah yang di luar kemampuan kita. Inilah apa yang berlaku di sepanjang sejarah perjuangan Islam.
 
Zaman Nabi S.A.W dulu berlakunya tarbiyyah daripada Allah, terdapat di kalangan orang-orang yang pernah bersama-sama dengan Nabi, lari daripada perjuangan Islam. Apakah sangat kita ini? PAS sebagai sebuah jamaah Islam yang meneruskan perjuangan Nabi S.A.W, kita juga melalui proses tarbiyyah daripada Allah. Allah Taala uji PAS.
 
Sebab itulah jangan pelik, bila dalam PAS ini, di kalangan pimpinan, ada yang lari daripada perjuangan. Kita juga minta daripada Allah supaya Allah Taala jadikan kita orang-orang yang istiqamah. Dan dalam PAS ini mempunyai ahli-ahli yang ikhlas berjuang kerana Allah S.W.T, sumbangan mereka, pengorbanan mereka.
 
Maka dengan itulah Allah Taala jaga jamaah Islam PAS ini sehingga boleh bertahan melalui pelbagai-bagai ujian. Ahli-ahli PAS di bawah yang beri sumbangan, buat tabung, macam-macam pengorbanan, orang tuanya, Muslimatnya, Pemudanya, kerana apa? Kerana aqidah perjuangan yang mereka miliki, keberadaan mereka dalam PAS ini bukan kerana mereka nak apa-apa jawatan, harta benda, tapi kerana yakin keberadaan mereka dalam PAS ini adalah satu tanggungjawab untuk memperjuangkan ugama Allah S.W.T di negeri Terengganu ini dan di Malaysia secara umum.
 
PAS adalah sebuah jamaah Islam. PAS bukan sahaja sebuah parti politik. Kalau PAS ini semata-mata parti politik, PAS hanya bergiat pada musim-musim pilihan raya sahaja. Pilihan Raya Umum, Pilihan Raya Kecil, buka markas, tutup markas. Habis pilihan raya, tutup markas, balik rumah masing-masing. 
 
Tapi PAS adalah sebuah jamaah Islam, yang buat kerja-kerja Islam sepanjang masa, tak kira sama ada kita menang ataupun kita kalah. Kalau ukur dari segi logik sebuah parti yang masuk bertanding dalam Pilihan Raya yang lebih banyak kalah daripada menang, PAS ini sudah berkubur, tetapi perkembangan PAS semakin hari semakin pesat. Ahli-ahli PAS semakin hari semakin bertambah. Cawangan-cawangan PAS semakin hari semakin bertambah, walaupun kita menghadapi pelbagai-bagai ujian dan cabaran.
 
Bila PAS putus dengan DAP dan PKR, mereka yang benci kepada PAS, mereka kata PAS akan berkubur. Orang tak akan sokong PAS. Rakyat akan tolak PAS. Tetapi alhamdulillah, kita lihat makin ramai orang bersama-sama dengan PAS. Tahun lepas sahaja, kita meluluskan lebih daripada 40 ribu orang ahli baru dalam tempoh satu tahun. Yang keluar daripada PAS 10 orang, yang masuk seribu orang, kerana apa? Kerana keberkatan yang ada dalam PAS. 
 
Keikhlasan ahli-ahli PAS yang yakin akan perjuangan yang dibawa oleh PAS, perjuangan untuk menegakkan ugama Allah di atas muka bumi Malaysia ini. Dalam PAS tak lari daripada empat perkara. Yang pertama dasar. Yang kedua kepimpinan. Yang ketiga strategi. Yang keempat pendekatan. 
 
Tiga daripada empat perkara ini boleh berubah, kepimpinan boleh berubah, dulu orang lain yang memimpin PAS, hari ini orang lain. Strategi boleh berubah, dulu PAS mengambil strategi bertahaluf siyasi dengan bermacam-macam parti-parti politik. PAS pernah bertahaluf siyasi dengan Umno yang membentuk Kerajaan Perikatan. PAS pernah bertahaluf siyasi dengan Semangat 46, dengan Parti Berjasa, dengan Parti Hamim dalam Angkatan Perpaduan Ummah. PAS pernah bertahaluf siyasi dengan PKR dalam Barisan Alternatif, PAS pernah bertahaluf siyasi dengan PKR dan juga DAP dalam Pakatan Rakyat. Strategi ini boleh berubah.
 
Begitulah juga pendekatan boleh berubah. Hari ini pendekatan PAS ialah Muwajahah Silmiyah masuk Pilihan Raya. Mungkin satu hari nanti pendekatan ini akan berubah. Kita minta berlindung kalaulah negara kita jadi macam Palestin, musuh mari serang, masa itu, haram masuk pilihan raya. Kena pendekatan lain. 
 
Satu sahaja dalam PAS ini yang tak berubah daripada dulu sampai hari ini, sampai bila-bila iaitu dasar Islam yang kita perjuang. Dengan siapa sahaja PAS bertahaluf siyasi, kita tak ubah dasar Islam kerana bila PAS menegakkan Islam, itulah kemenangan kita di sisi Allah S.W.T. 
 
Ada orang kata PAS ini masuk Pilihan Raya tak mahu menang, kerana nak dapat redha Allah. Orang hat bercakap ini orang yang tak reti. Hari ini kalau kita lihat dalam kehidupan kita, orang berniaga sebagai contoh, kita sebagai orang Islam yang berniaga yang pertama sekali kita letak apa? Kita nak redha Allah, dalam masa yang sama kita berniaga kita nak untung, ada tak orang berniaga tak mahu untung? Tak ada. 
 
Kalau orang berniaga tak mahu untung ini orang bodoh. Kena hantar hospital orang gila. Anak-anak kita belajar di sekolah, kita ajar, mu belajar ini...., mu belajar ..... ialah untuk mendapat redha Allah. Tapi dalam masa yang sama kita nak anak-anak kita berjaya dalam peperiksaan, dalam UPSR, dalam SPM, periksa sanawi, peringkat ijazah dan lain-lain lagi.
 
Ada tak orang belajar tak mahu berjaya? Tidak ada. Maka begitulah juga bila kita PAS, kita masuk pilihan raya, kita kata kita nak redha Allah, kerana itu matlamat akhir. Bukan bermakna kita tak mahu menang, kita tak mahu memerintah Terengganu, kita tak mahu merintah Malaysia, kita tak mahu menang dalam kerusi-kerusi Dun, kerusi-kerusi Parlimen, tidak, kita nak menang. Orang yang duduk hina PAS dia kata PAS ini nak redha Allah, tak mahu menang dalam pilihan raya, kita tanya dia balik, mu buat kerja apa benda dalam pilihan raya? 
 
Kita PAS hat kata nak redha Allah, selepas daripada Pilihan Raya Umum yang 13, kita buat kerja itu. Daftar pemilih ini, Pemuda program Pemudanya, Muslimat program Muslimatnya, orang tua cara program orang tuanya. Naik rumah ke rumah, sembang kedai kopi, menerang isu-isu yang berlaku dalam negeri dalam negara, kita buat kerja kerana kita nak menang. 
 
Tapi kemenangan yang kita nak capai ini biarlah kemenangan yang diredhai oleh Allah S.W.T, yang meletakkan Islam di hadapan, bukannya kemenangan semata-mata meletakkan Islam di belakang. Ini yang menyebabkan kita bercanggah apabila PAS bertahaluf siyasi dengan DAP dan juga dengan PKR. 
 
Tahaluf Siyasi ini satu strategi yang boleh berubah. Mereka yang kecewa dalam PAS. Masa itu mereka kata PAS ini kena terus dengan PKR, kena terus dengan DAP kalau nak menang dapat Putrajaya. Masa itu berlakunya krisis dalaman PAS. Kita yang faham tentang perjuangan Islam yang diperjuangkan oleh PAS ini kita kata strategi ini benda boleh berubah, PAS ini sebuah parti Islam, kita nak tahaluf siyasi, kerjasama dengan mana-mana parti politik, biarlah ianya menguntungkan Islam. Kalau ianya merugikan Islam, maka kita lebih sayang Islam.
 
Dah dulu, mereka kata PAS boleh bekerjasama dengan DAP sekarang ini pasal apa putus dengan DAP? Kita kata dulu cerita lain. dulu DAP boleh terima dasar perjuangan PAS. Tetapi setelah DAP dapat kerusi besar dalam PRU yang ke-13 yang lepas, DAP letak syarat kepada PAS. DAP kata, kalau nak terus bersama dengan Pakatan Rakyat, PAS kena lupa agenda negara Islam, PAS kena lupa agenda perjuangan untuk menegakkan syariat. Kita kata kita lebih sayang Islam daripada rakan politik kita.
 
Kita putus dengan DAP, kita putus dengan PKR. Orang kata macam-macam, PAS ini akan ditolak, PAS ini tidak akan mendapat sambutan, kita yakin akan janji Allah:
 
 وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا
وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ
"Sesiapa yang bertakwa kepada Allah, Allah Taala akan beri jalan keluar, dan Allah Taala akan kurniakan rezeki daripada jalan yang dia tak sangka."
 (at-Talaq: 2-3)
 
Alhamdulillah, sokongan itu kepada PAS semakin hari semakin meningkat. PAS akan menyertai Pilihan Raya yang ke-14 yang akan berlaku pada bila-bila masa. Dan kita telah meletakkan objektif yang jelas.
 
Objektif yang pertama ialah untuk memenangkan PAS. Maka untuk memenangkan PAS, kita kena lawan Umno. Tak ada isu bila musuh-musuh PAS kata PAS bila putus dengan DAP, putus dengan PKR, maknanya PAS nak bersama-sama dengan Umno, PAS nak UG dengan Barisan Nasional. Kita kata kita letak objektif yang jelas dalam PRU yang ke-14 ini iaitu untuk memenangkan PAS, maka untuk memenangkan PAS, kita kena lawan Umno. 
 
Dah macam mana nak lawan Umno tengok boleh duduk sepentas sekali? Tok Guru boleh pakai-pakaian sedondon dengan Najib? Saya kebetulan ada dengan Tok Guru masa itu, saya teman. Lepas program, bila tengok orang duduk hantar whatsapp, mesej macam-macam, saya kata, orang kata Presiden PAS pakai baju sedondon dengan Presiden Umno. Dia kata tak apa, baju sama, kepala lain-lain. 
 
Apa salahnya kita duduk dalam satu majlis, apa yang kita sampaikan ialah mesej kita, pendirian kita, kerana inilah tugas PAS bukan semata-mata parti politik. Kerja kita ialah untuk nasihat, menegur.
 
Kalau dulu dengan cara lain, sesuailah zaman itu, tahun 80-an dulu. Pemimpin-pemimpin Umno di semua peringkat yang memperjuangkan agenda politik lain ugama lain, yang hina hukum-hakam syarak, maka tindak balasnya sesuai dengan suasana masa itu.
 
Tetapi sudah berlaku satu kesedaran. Hari ini bila kita ada ruang untuk kita sampaikan mesej Islam, hatta dalam majlis yang dihadiri oleh pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli Umno sekalipun, kita akan pergi. 
 
Kerana inilah Manhaj Al-Quran. Allah Taala cerita dalam Quran. Nabi Ibrahim pergi berjumpa dengan Namrud, kalau berjumpa itu tak boleh, tak akanlah Nabi Ibrahim pergi jumpa dengan Namrud? Nabi Ibrahim berjumpa dengan Namrud bukan ikut Namrud, Nabi Ibrahim pergi jumpa dengan Namrud, Nabi Ibrahim beritahu apakah dia Islam? Nasihat, mu buat ini tak betul, tegur, mu buat ini salah. 
 
Soal dia nak dengar tak mahu dengar itu hal dia. Tanggungjawab kita hanya menyampaikan mesej Islam. Allah Taala cerita dalam Quran, bagaimana Nabi Musa A.S pergi berjumpa dengan Firaun? Kalau tak boleh berjumpa dengan Firaun, takkanlah Nabi Musa pergi berjumpa? Nabi Musa pergi jumpa dengan Firaun bukan ikut Firaun. Nabi Musa pergi jumpa dengan Firaun nasihat Firaun, tegur Firaun benda yang mu buat ini salah, benda yang mu buat ini tak betul. Soal Firaun nak ikut tak mahu ikut, itu hal dia. Tanggungjawab Nabi Musa ialah menyampaikan mesej Islam. Dan inilah kerja yang dilakukan oleh kita. 
 
Hari ini kita lihat bermacam-macam masalah-masalah yang berlaku dalam negara kita. Masalah rasuahnya, salah guna kuasanya, kemudian kita lihat bermacam-macam penyelewengan-penyelewengan yang saban tahun didedahkan dalam laporan audit negara, pembaziran, ketirisan, dan juga kita lihat bagaimana polisi-polisi yang dilakukan oleh Kerajaan Umno Barisan Nasional yang menekan rakyat, kenaikan harga barang, kos sara hidup yang makin tinggi, semua yang berlaku ini rakyat yang merasai. 
 
Lalu kita lihat bermacam-macam cara dan kaedah yang digunakan. Parti-parti pembangkang selain daripada PAS iaitu Pakatan Harapan, Parti Bersatu, DAP, PKR, PAN, mereka kata, kita nak menjatuhkan Najib. Hat ini wirid yang dibuat sejak daripada dulu, nak perjatuh Najib, nak perjatuh Najib.
 
Lalu mereka marah ke PAS, habis pimpinan dalam PH marah ke PAS, termasuk Tun Mahathir yang begitu lantang marah kepada Presiden PAS dan juga pimpinan PAS. Mahathir kata, PAS ini nak bersama dengan Najib. Lim Guan Eng pun sebut dalam kenyataannya menyatakan bahawa Presiden PAS seolah-olah mengambil sikap menyokong Dato’ Seri Najib Tun Razak yang buat bermacam-macam penyelewengan. 
 
Saya pernah pergi ke satu program, program dialog juga orang tanya saya, dia tanya ustaz saya nak tanya, Mahathir ini dengan Najib ini hat mana se jahat? Saya kata, kita PAS ini bukan sebuah parti nak hukum orang, hat ini jahat, hat ini lagi jahat, hat ini zalim, hat ini lagi zalim. Kita PAS ini bukan sebuah parti untuk mengubah individu, kita PAS adalah sebuah parti untuk mengubah dasar, polisi.
 
Kalaulah jatuh Najib, naik orang lain, dasar sama, apa gunanya? Dulu duduk marah ke Mahathir, tentang Mahathir juga daripada pagi sampai ke malam. Dia ini kalau time pilihan raya, jap lagi umum bubar Parlimen, kita nak ceramah nak katok DAP, nak katok PKR, nak katok ke PAN tak payah ceramah, ambil tape, record hat pimpinan-pimpinan parti ini ceramah hat yang dia kata ke Mahathir, ambil hat itu. 
 
Dulu duduk marah ke Mahathir. Bila Mahathir jatuh, turun, naik Pak Lah, dasar sama, tetap berlaku penyelewengan, salah guna kuasa, rasuah, kemudian marah ke Pak Lah pula, naik Najib, sama sahaja. 
 
Sebab itulah mengubah individu tidak boleh menyelesaikan masalah. Apa yang perlu kita buat ialah mengubah dasar, mengubah polisi. Dan inilah yang PAS lakukan. Dasar kerajaan Umno Barisan Nasional, yang baik, yang molek kita sokong, kita sokong. Yang memberikan kebajikan kepada rakyat, yang buat pembangunan benda-benda asas infrastruktur dan lain-lain lagi, buat sekolah, jalan raya, ya ini kita sokong.
 
Yang tak betul, yang salah, ini kita bangkang, benda yang kita tegur kita tegur, nasihat, nasihat. Dasar GST sebagai contoh, ini satu dasar yang salah. Sepatutnya kalau ikut kaedah Islam, cukai ini hanya diambil daripada orang kaya, mengambil konsep zakat, 
 
تؤخذ من أغنيائهم وترَدُّ إلى فقرائهم
"Diambil daripada orang kaya, dan dikembalikan kepada orang miskin."
 
Tapi GST, semua orang kena. Orang kaya kena, orang miskin kena. Orang bandar kena, orang luar bandar pun kena, semuanya kena. Ini dasar yang salah. Kita tentang. Begitulah juga banyak lagi dasar-dasar lain yang tak betul, yang kita PAS menegaskan bahawa perlu kepada perubahan polisi dan dasar ini. 
 
Kita di Negeri Terengganu, masih lagi dianggap negeri kaya, rakyat miskin, sejak daripada dulu. Kita rasa malu orang kata Negeri Terengganu ini negeri kaya rakyat miskin, dengan royalti, hasil minyak yang begitu banyak, dengan sumber hasil yang begitu banyak melimpah ruah, airnya, mana ada negeri di Malaysia ini macam negeri Terengganu, ada air sebesar Tasik Kenyir. Apa manfaat? Sekadar buat ... 
 
Sedangkan di sana banyak lagi manfaat-manfaat lain yang boleh digunakan. Hasil hutan yang begitu banyak, hasil pelancongan, tetapi malangnya dipegang oleh tangan yang tidak amanah.
 
Betullah hat Nabi sebut dalam satu Hadis, bila mana Malaikat Jibrail mari tanya Nabi, wahai Rasulullah, bil kah berlakunya kiamat? Kiamat ini maksudnya kemusnahan. Alam semesta ini habis punah-ranah habis, hancur lebur habis. Nabi kata aku tak tahu, mu pun tak tahu. Sepatutnya mu hat tanya aku ini mu lagi tahu, tapi Nabi kata aku akan beritahu tanda-tandanya. 
 
Nabi pun sebut:
إذا وُسِّدَ الأمر إلى غير أهله فانتظر الساعة
"Apabila urusan diberikan kepada orang yang bukan ahlinya, tunggulah berlakunya kiamat, kemusnahan."
 
Ini hat berlaku di Negeri Terengganu. Semenjak daripada Umno memerintah, sebelum PAS memerintah tahun 1999 dulu, kemudian Umno memerintah balik, tangan yang tidak bertanggungjawab, tangan yang tidak amanah, yang buat urusan untuk mereka ..... Terengganu. Terengganu yang kaya-raya masih lagi dianggap sebagai negeri kaya rakyat miskin. Sepatutnya tak menjadi begini.
 
Oleh kerana itulah kita ajak rakyat untuk buat perubahan, khususnya anak-anak muda, kerana pilihan raya yang akan berlaku pada bila-bila masa ini, kuasa penentu kepada mana-mana parti ialah di tangan pengundi-pengundi. Dan sejumlah besar pengundi-pengundi adalah daripada kalangan anak-anak muda.
 
Akhirnya saya nak sebut, walaupun kita lali melihat kelemahan-kelemahan musuh, sama ada Umno Barisan Nasional ataupun Pakatan Harapan. Kalau dulu tengok dalam surat khabar sahaja hari ini, whatsappnya, facebooknya pening, rasuahnya, salah guna kuasanya, balah sama sendirinya, tetapi yang penting kita sebagai ahli-ahli PAS, kita tidak boleh bergantung kepada kelemahan-kelemahan musuh, kita mestilah membina kekuatan kita sendiri. 
 
Hari ini kita berkumpul untuk kita melancarkan bilik gerakan, maka jadilah ianya sebagai suatu asas untuk kita terus membina kekuatan di dalam UPU Merbau Patah Ini, dan juga di dalam Dun Wakaf Mempelam dan juga di dalam Parlimen Kuala Terengganu, bina kekuatan kita, dalaman kita, ukhuwwah, usrahnya, tamrinnya, ziarahnya dan lain-lain lagi. 
 
Bina kekuatan kita, gerakan untuk memenangkan PAS bukan sahaja mempertahankan kemenangan di Dun Wakaf Mempelam ini, di Parlimen Kuala Terengganu, bahkan juga untuk kita dapat merampas kembali Negeri Terengganu supaya ianya kembali ke tangan PAS dalam PRU yang akan datang insya-Allah.
 
Akhirnya, kita mestilah membina kekuatan kita, hubungan kita dengan Allah S.W.T, kerana kemenangan ini jangan kita anggap daripada kita, kemenangan ini ialah daripada Allah. Jangan kita anggap kemenangan ini daripada kita sebab aku buat kerja, pitih aku keluar, aku yang berkorban macam-macam, tidak, kemenangan ini ialah kurniaan daripada Allah. 
 
Allah Taala nak kurnia, Allah Taala beri kemenangan. Kalau Allah Taala nak tarik, Allah Taala boleh tarik bila-bila masa. Maka jaga lah hubungan kita dengan Allah, munajat kita, doa kita, permohonan kita kepada Allah untuk menjadikan kita orang yang istiqamah, tsabat dalam perjuangan, seterusnya mencapai kemenangan dalam PRU yang akan datang insya-Allah. 
 
 
(Transkrip oleh Pelatih Harakah, ZAID MD ADHAR dan suntingan oleh Penolong Pengarang Berita Harakah, IZWAN ABDUL HALIM dari Ucapan Majlis Perasmian Markas Besar PRU 14, UPU Merbau Patah, Dun Wakaf Mempelam, Parlimen Kuala Terengganu pada 10 Januari 2018) - HARAKAHDAILY 11/1/2018
 

FIRMAN Allah swt surah al Anfal ayat 60:

وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِنْ دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ ۚ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنْتُمْ لَا تُظْلَمُوَن

"Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya."

PAS, aset dan jentera parti

najhanPAS yang mempunyai kemampuan 190 kawasan aktif, 7,000 buah cawangan dan keahlian mencecah 1 juta orang adalah merupakan parti kedua terbesar dalam negara ini.

Keupayaan dan ketumbukan ini usah dipandang enteng kerana dalam kancah politik dan pilihan raya, tenaga manusia adalah faktor terpenting dalam penentuan pergerakan dan operasi parti tanpa menolak aspek lain seperti strategi dan media.

Beberapa siri pilihan raya umum dan kecil sebelum ini, PAS pada ketika itu berada dalam tahaluf politik dan kerjasama, jentera dan kekuatan ahli PAS seluruh dikerahkan untuk menyumbang tenaga dan kepakaran mereka kepada parti kawan. Malah wang ringgit dan sumbangan derma ahli PAS turut dilimpahkan untuk mempastikan kemenangan rakan politik PAS.

Kesetiakawan yang ditunjukkan PAS sewaktu bertahaluf dan bertaawun diakui oleh semua pihak, bagaimana PAS adalah kawan yang mampu dipercayai sekalipun berbeza parti dan dasar perjuangan tetapi memiliki sasaran yang sama iaitu ingin menang dalam pilihan raya.

Boleh dikatakan semua kerja-kerja berat pilihan raya seperti memasang dan gantung bendera, panjat pokok, tampal poster, atur ceramah, unit keselamatan, mengawal lalulintas dan orang ramai, peranan Jabatan Amal, persiapan lokasi ceramah, sebaran risalah, rayu undi, polling and counting agent, petugas barung, kesetiausahawanan dan pejabat, markaz pilihan raya dan berbagai-bagai lagi yang hampir dimonopoli oleh petugas dan jentera PAS.

Pihak parti kawan bolehlah dikatakan hanya basuh kaki sahaja ke dalam rumah yang semuanya telah disiapkan oleh PAS. Pemimpin parti kawan hanya datang berceramah, berjabat tangan dan bertemu pengundi dan rakyat, tetapi kerja-kerja di sebalik semua itu telah disediakan oleh PAS.

Adapun aset PAS, sangatlah banyak. Penulis sendiri menganggarkan bahawa aset PAS daripada markaznya, pusat tarbiyyahnya, bangunannya dan tanahnya, kenderaan rasmi parti, peralatan pejabat, wang simpanan di bank, serta wang ringgit di poket ahlinya yang pada bila-bila masa boleh disalurkan kepada parti, semua ini mampu mencecah ratusan juta ringgit dan mungkin mencecah RM 1 bilion. Inilah kehebatan PAS. Kalau tuduhan PAS tagih duit RM90 juta itu adalah terlalu sedikit berbanding dengan kemampuan PAS.

Keputusan PAS dalam tahaluf adalah satu realiti pahit yang terpaksa ditelan oleh rakan lama PAS bahawa PAS memiliki sesuatu yang mereka tidak miliki iaitu jentera dan aset yang mencukupi. Tambahan pula, PAS walaupun tidak bersama lagi dengan mereka, PAS mempunyai kelebihan tersendiri dan kepakaran yang mampu mengisi kelompongan yang dirobek keluar daripada PAS.

Kini, dalam suasana PRU-14 yang amat hampir, PAS dalam memimpin Gagasan Sejahtera dengan Ikatan, Berjasa, Cinta Malaysia akan menumpukan sepenuh tenaga dan upaya serta kelebihan yang PAS miliki untuk memastikan PAS beroleh cita-citanya untuk menegakkan Islam.

Ahli PAS dan petugas pilihan raya PAS kini lebih bersemangat dan bermotivasi tinggi untuk berjuang memenangkan parti mereka sendiri dan parti kawan yang menghormati dasar dan cita-cita PAS.

Mereka seolah-olah sudah serik dan jemu dengan karenah bermuka-muka bekas rakan politik PAS yang sewaktu pilihan raya datang bertemu PAS dengan wajah tanpa bersalah dan merayu bantuan daripada PAS. Akan tetapi selepas mencapai kemenangan dan pilihan raya, melayani PAS seumpama peminta sedekah.

Buktinya rata-rata program yang dianjurkan PAS mutakhir ini samada berbentuk himpunan jentera petugas pilihan raya, program liqa fikri, tarbiyyah dalaman dan juga mesyuarat ahli jawatankuas PAS di semua peringkat, kita pasti menyaksikan bagaimana sambutan luar biasa yang ditunjukkan oleh kepimpinan, ahli dan juga petugas parti.

Ini adalah signal jelas bahawa ahli pendukung dan penggerak parti PAS berada dalam mode yang sangat bermotivasi dan kuat. Mereka sudah bersedia dan tunggu masa diarah oleh pucuk pimpinan PAS apabila gendang jihad pilihan raya dipalu.

Insya Allah pada kali ini aset terpenting PAS ini bakal diaplikasikan pada tahap yang semaksimum mungkin bagi memenangkan Islam dalam pilihan raya akan datang dan juga apa juga situasi. – HARAKAHDAILY 11/1/2018

Penulis adalah Setiausaha Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor.

HUTANG Harakah bertimbun ketika Kumpulan 18 yang tewas dalam pemilihan 2015 menguasai Harakah. Sekarang mereka berlagak suci dengan mencanangkan Harakah sedang tenat padahal bukan mereka tak tahu bahawa ini semua adalah hasil peninggalan tangan-tangan mereka.
 
Pengurusan baru sedang berusaha sehabis daya untuk menyusun semula Harakah dan menjelaskan hutang lapuk. Dengan izin Allah, Harakah akan terus terbit dua kali seminggu. Tugas kita sebagai ahli ialah melaksanakan arahan 3B. Beli, Baca dan Beri.
 
Bekas-bekas staf yang dulu makan di Harakah, kini menebuk lubang bahtera Harakah dari luar dibantu seorang dua yang masih berbaki di dalam.
 
Jangan tebuk lubang kerana nakhoda kapal kadang kadang boleh pakai dayung atau sauh untuk libas tukang tebuk sampai keluar dari kapal supaya kapal boleh selamat dan terus belayar. 
 
DR AZMAN IBRAHIM - HARAKAHDAILY 11/1/2018

ALLAH telah merakamkan perlakuan golongan munafiqin yang gopoh berpaling tadah. Firman-Nya:
 
فَتَرَى الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٌ يُسَارِعُونَ فِيهِمْ يَقُولُونَ نَخْشَىٰ أَن تُصِيبَنَا دَائِرَةٌ ۚ فَعَسَى اللَّهُ أَن يَأْتِيَ بِالْفَتْحِ أَوْ أَمْرٍ مِّنْ عِندِهِ فَيُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا أَسَرُّوا فِي أَنفُسِهِمْ نَادِمِينَ
"Maka kamu akan melihat orang-orang yang ada penyakit di dalam hatinya, mereka gopoh menyertai musuh. Mereka beralasan "Kami bimbang kalah dikepung". Mudah-mudahan Allah akan mengurniakan kemenangan kepada Rasul-Nya atau suatu keputusan dari sisinya. Maka akibat terlalu ikutkan apa yang bersarang di dalam diri mereka, menyebabkan mereka menjadi orang-orang yang menyesal"
(al-Maidah: 52)
 
Golongan yang digambarkan oleh ayat ini adalah:
 
• Tidak tahan apabila Islam diasak teruk. Beranggapan kononnya jika terus dengan prinsip Islam, tiada harapan untuk meraih kemenangan.
 
• Lantas mereka tidak berfikir panjang, secara gopoh terus berpaling tadah dari kumpulan Islam.
 
• Lalu mereka menyertai gerombolan yang sudah sedia menentang Islam yang disangkakan lebih ramai dan dominan. Hakikatnya mereka tidak ubah seperti kawanan kambing yang menyerah diri kepada serigala-serigala politik.
 
• Mereka beralasan, takut kalah jika terus bersama dengan kumpulan Islam. Disebabkan itulah mereka sanggup berpaling tadah.
 
• Sedangkan mereka tidak tahu, ketika tekanan memuncak itulah Allah bakal hadiahkan kemenangan kepada kumpulan Islam.
 
• Bahkan mereka tidak tahu nasib yang bakal menimpa mereka yang menyebabkan mereka menyesal berpanjangan.
 
• Inilah akibat bagi golongan yang obses dengan kemenangan yang membabi buta. Ditipu oleh keghairahan diri sendiri.
 
Allah merahsiakan masa depan. Namun Allah membekalkan kita al-Quran, sebagai pembayang apakah akibat di setiap tindakan kita.
 
ABDUL MU'IZZ MUHAMMAD
Ketua Urusan Ulamak
PAS Kawasan Klang
9 Januari 2018 - HARAKAHDAILY 9/1/2018