REALITI kita sedang hidup di zaman bencana lagi keliru. Kita cukup terhutang budi dengan Huzaifah al-Yaman, sahabat yang banyak menyoal Nabi SAW bagi pihak kita tentang simptom-simptom bencana zaman kekeliruan.

Berikut adalah latar pemikiran Huzaifah al-Yaman yang banyak mempengaruhi tindakannya:

Worst Case Scenario

Melalui pengakuan Huzaifah, beliau tidak memilih untuk berfikir di zon selesa. Karektornya sangat berwaspada dengan bahaya yang tidak disedari oleh orang ramai.

"Ramai yang bertanya Rasulullah tentang perkara-perkara baik, sedangkan aku bertanya Rasullah tentang perkara-perkara buruk. Khuatir keburukan tersebut menimpaku." - HR Bukhari & Muslim.

Realistik & Bersedia Dengan Cabaran Masa Hadapan

Huzaifah bukan seorang yang berteori. Bahkan beliau terjun ke medan. Hasilnya menyebabkan beliau mampu berfikir melangkaui zaman. Maka tidak peliklah jika kita membelek hadith-hadith tentang fitnah akhir zaman, nama Huzaifah sebagai perawi tersangat popular.

Bahkan kita dapati Huzaifah tidak segan mengemukakan soalan demi soalan kepada Nabi SAW. Manfaat inisiatif beliau dinikmati oleh kita semua hari ini. Menemukan kita solusi apabila terjebak ke zaman fitnah.

Umar pernah bertanya: "Siapakah di kalangan kalian yang tahu hadith Nabi tentang zaman fitnah?"

Huzaifah menjawab: "Saya"

Umar mengiktiraf: "Sungguh, engkau dalam topik ini di kalangan orang yang berani" - HR Bukhari.

Penyimpan Rahsia Yang Tiada Kompromi

Satu-satunya sahabat yang diberi kepercayaan oleh Nabi SAW untuk menyimpan rekod nama-nama munafiqin yang merupakan musuh dalaman gerakan Nabi SAW.

Huzaifah amat sensitif menghidu ancaman musuh dalaman umat Islam. Barangkali itulah faktor mengapa Nabi SAW memberi kepercayaan kepadanya.

Walaupun Umar pernah bertanya tentang nama-nama munafiqin, Huzaifah tetap kemas menyimpan rahsianya.

Perisik Nabi Yang Berani Mati

Dalam perang Ahzab, Nabi SAW membuka peluang kepada para sahabat yang sanggup menjadi perisik untuk menyusup masuk ke kem tentera Ahzab bagi mendapatkan maklumat intel musuh.

Tiada sahabat yang sanggup. Lantas Nabi SAW melantik Huzaifah menjalankan tugas bahaya tersebut. Beliau selamat dalam operasi itu walaupun berdepan dengan cubaan soal siasat dari pasukan Ahzab.

Berani beliau bukan acah-acah. Bahkan kelicikan Huzaifah bukan sembarangan.

Kesimpulan

Banyak lagi kisah Huzaifah yang menggambarkan kewaspadaannya cukup tinggi. Malangnya cara berfikir Huzaifah banyak ditinggalkan oleh umat Islam pada hari ini. Takut dikatakan kononnya paranoid. Hakikatnya lurus bendul.

ABDUL MU'IZZ MUHAMMAD
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor
5 Mac 2017 - HARAKAHDAILY 5/3/2017

SEBAHAGIAN ahli-ahli bertanya apakah persiapan dan bekalan yang utama untuk menghadapi PRU14. Maka dalam situasi politik hari ini persiapan yang paling utama kepada ahli disemua peringkat ialah persiapan hati. Dan sifat hati yang paling utama ialah Hati Yang Thiqah.

قال الشهيد الامام حسن البنا في الثقة (وأريد بالثقة اطمئنان الجندي إلى القائد في كفاءته وإخلاصه، اطمئنانا عميقا ينتج الحب والتقدير والاحترام والطاعة)

Berkata As-Syahid Imam Hasan Al-Banna: "Yang aku maksudkan dengan 'Thiqah' ialah berlapang dada/tenang/percaya dan yakin serta rasa puas seorang tentera (amilin/pejuang) kepada pemimpin dalam hal berkaitan kemampuan dan keikhlasannya (pemimpin) dengan lapang dada/tenang dan yakin yang mendalam yang dapat menatijahkan rasa cinta, penghargaan, penghormatan dan ketaatan”.

Bermula sekarang hati kita semua mesti ditarbiyah agar bersifat dengan sifat berlapang dada, tenang, percaya dan yakin kepada Mursyidul Am dan Majlis Syura, Tuan Guru Presiden serta seluruh saf kepimpinan PAS Pusat.

Thiqah pada kepimpinan merupakan hal dalaman dari sudut rasa ketenangan dan keyakinan para ahli terhadap kemampuan, keikhlasan, sifat amanah para pemimpin serta rasa tersebut adalah cukup mendalam.

Di antara petanda gerak kerja yang menzahirkan bahawa hati para ahli mempunyai thiqah kepada pemimpin ialah hormatnya seorang ahli/amilin kepada pimpinan dan dia mentaati semua arahan yang diberi tanpa sedikit pun rasa berbelah bahagi atau rasa kekurangan apatah lagi terselit rasa ingin mengingkari dan menyelewengkan arahan.

Natijah yang terhasil daripada tiqah dalam hati para ahli ialah rasa kasih, rasa penghargaan, rasa hormat dan hati yang taat sepenuhnya kepada pimpinan.

Renungkan sebuah ibarat bagaimana seharusnya seorang ahli/amilin/murabitun/pejuang berinteraksi kepada pemimpin.

في دعوة الإخوان حق الوالد بالرابطة القلبية، والأستاذ بالإفادة العلمية، والشيخ بالتربية الروحية، والقائد بحكم السياسة العامة للدعوة، ودعوتنا تجمع هذه المعاني جميعا.

Maksudnya: "Dalam dakwah ikhwan (hubungan amilin dan pemimpin) sebagaimana hak seorang ayah dalam hubungan hati, hak seorang guru dalam pengambil manfaat ilmu, hak seorang syeikh dalam pendidikan rohani/proses tarbiyah keruhanian dan hak pemimpin dalam menentukan percaturan politik secara umum bagi dakwah. Dakwah kita menghimpunkan nilai-nilai tersebut secara keseluruhan".

Kesimpulan

Maka diibarat TG Mursyidul Am & TG Presiden serta seluruh kepimpinan tertinggi merupakan seorang ayah yang mesti disayangi sehingga jauh dilubuk hati, seorang guru yang mesti dihormati, seorang Syiekh yang mesti dipercayai, diyakini dan dijaga adab juga seorang pimpinan politik yang mesti ditaati segala arahan serta dipercayai setiap strategi yang disusun demi kemenangan Islam.

Inilah bekalan terbaik kepada para ahli dan pimpinan di semua peringkat selain daripada yang telah kita semua maklum bekalan iman dan taqwa serta yakin bahawa kemenangan dari Allah, keberkatan dari mengikut Rasulullah SAW dan kejayaan dari sifat yakin dengan Islam dan taat pada kepimpinan ulamak. Jikalau ulamak pewaris Nabi SAW tidak lagi kita thiqah kepada siapa lagi?

Semoga Allah Ta'ala menganugerahkan kepada kita seketul hati yang thiqah kepada pemimpin dan kepimpinan ulamak pewaris Nabi SAW.

Al Faqir Nik Bakri Nik Mat
Pengerusi Lajnah Tarbiyah DUPNS

NAMPAKNYA isu-isu melibatkan agama Islam di negara kita semakin hebat menerima serangan. Tidak seperti dekad-dekad yang lalu, Islam sebagai agama rasmi persekutuan sudah tidak lagi dihormati. Perjuangan menjadikan Malaysia sebuah negara liberal yang menganjurkan persamaan semua agama sebagaimana barat semakin menjadi-jadi.

Teladani polemik RUU355. Pindaan akta mahkamah syariah bidang kuasa jenayah ini hanya melibatkan orang Islam sahaja. Tetapi ia diserang begitu hebat pemimpin politik bukan Islam. Turut terlibat menentang adalah golongan pejuang hak kebebasan beragama Islam. Malah ada agamawan turut mempertikai. Kita hairan, kenapa usul RUU355 yang bersifat begitu teknikal, bermatlamat menaiktaraf martabat Islam dan eksklusif hanya kepada penjenayah beragama Islam ini mendapat tentangan sebegini dahsyat?

Isu Dr Zakir juga sama. Dia dituduh ancaman kepada negara. Dia dikaitkan dengan kumpulan pengganas. Dia diwatakkan seperti penjenayah berbahaya. Sedangkan kepada yang pernah mendengar ceramah beliau, pasti tahu bagaimana pembawaan beliau. Tidak pernah sekali-kali beliau memperomosikan keganasan. Ceramahnya sarat dengan hujah ilmiah dan logikal yang menepati manhaj akademik. Beliau tidak pernah menghina sesiapapun dan sangat hormat kepada undang-undang dan pemerintah setiap negara yang dilawati.

Lalu apakah punca sebenar semua penentangan ini berlaku?

Tidak lain dan bukan, kerana kedua isu ini membawa keuntungan buat masa depan Islam di negara ini.

Mereka tahu sekiranya undang-undang syariah berjaya diaplikasikan setelah RUU355 diluluskan, orang akan melihat keindahan ajaran Islam yang sebenar, jauh dari apa yang digambarkan barat. Lalu akan membawa kepada kecenderungan untuk memeluk Islam.

Mereka juga tahu setiap hujahan Dr Zakir Naik mampu membuatkan orang meyakini kebenaran ajaran, lalu memeluk Islam. Hampir setiap kali program ceramah yang dilakukan, ada sahaja saudara baru yang memeluk agama suci ini.

Jika kedua usaha ini dibiarkan, Islam akan terus berkembang pesat. Islam akan menjadi pegangan semua kaum yang ada di Malaysia. Maka ia akan menggagalkan usaha mengliberal negara ini. Justeru bagi mereka, ia tidak boleh dibiarkan.

Semua ini adalah sebab utama semua penentangan berlaku. Hakikat yang sebenar, mereka anti kepada usaha kesedaran Islam dalam kalangan masyarakat. Dengan kata lain, mereka anti-Islam!

Malang sekali, mereka kini semakin lantang bersuara. Walaupun umat Islam adalah majoriti dan mereka hanya mewakili pandangan sebilangan kecil rakyat Malaysia, mereka tetap mengganas dan terus diberikan muka.

Puncanya adalah kerana umat Islam sendiri yang bertelagah. Masing-masing bermusuh antara satu sama lain. Ada orang Islam sanggup berpihak kepada penentang Islam ini termasuk agamawan, dengan memberi modal hujah kepada golongan ini, hanya kerana yang memperjuangkan syariat ini adalah seteru politik mereka atau berlainan fikrah dengan mereka.

Atas nama hak untuk berbeza, kita umat Islam sendiri membina tembok antara kita, sehingga tidak boleh duduk bersama walaupun demi kepentingan Islam.

Hanya satu-satunya cara mendiamkan golongan anti-Islam ini adalah bersatu atas nama Islam. Buang perbezaan politik, buang percanggahan ideologi, mazhab, aliran, dan semuanya. Sama-sama pertahankan Islam. Jangan lagi bercakap tentang perbezaan, tentang perkara khilaf. Semua itu tidak membantu agama buat masa ini. Melayu, aswaja, wahabi, kaum muda, kaum tua, PAS, Umno, keadilan, buang ke tepi dahulu semua nama ini. Kita guna satu nama sahaja. MUSLIM!

Atas nama muslim, sama-sama pertahan pemerkasaan syariat Islam. Sama-sama pertahankan Dr Zakir Naik! – HARAKAHDAILY 2/3/2017

SEAKAN menjadi sunnah dalam perjuangan para Nabi dan Rasul alaihimussalam berdepan tuduhan sebagai pendusta, ahli sihir, gila dan pemecah belah masyarakat lantaran seruan mereka kepada mentauhidkan/mengesakan Allah.

Mereka dihalau dari kampung halaman, dihalang memasuki negara orang, malah dengan cara yang kejam seperti Nabi Muhammad SAW yang dilontarkan batu sehingga berdarah ketika mahu masuk ke Taif.

Sebahagian Nabi dibunuh seperti perlakuan Bani Israel yang membunuh Nabi-nabi dari kalangan mereka.

Usaha yang sabar berjaya mengislamkan sebahagian, manakala sebahagian besar yang lain tetap tidak mahu beriman sekalipun mereka tewas apabila berdepan hujah yang benar, malah ditunjukkan mukjizat kenabian yang tertentu.

Pahala membawa manusia kepada Islam sangat besar. Jika satu orang menjadi Islam kerana usaha kita, Allah janjikan ganjaran begitu besar. Ini pula ribuan yang menjadi Islam oleh usaha para nabi.

Zakir Naik mengajak manusia kepada Islam dengan jalan menghujahkan secara terbuka dan ilmiah. Beliau membenarkan orang menyoalnya dan dia memberikan jawapan. Dia tidak memaksa bukan Islam hadir ke majlisnya, tetapi memberi layanan baik kepada yang sudi hadir. Beliau tidak memaksa orang menerima jawapannya. Beribu orang menjadi Islam oleh usaha beliau.

Ada yang menuduh Zakir Naik tidak patut membandingkan agama. Tetapi tugas semua pendakwah mengeluarkan manusia daripada kesesatan. Untuk berbuat demikian sudah tentu seorang itu perlu menjelaskan perkara yang benar dengan perkara yang salah. Yang lurus dengan yang sesat.

Nabi Ibrahim a.s pernah sampai menggantungkan kapak di patung berhala yang paling besar sehingga ditanya oleh kaumnya siapa yang telah pecahkan semua patung berhala yang ada di keliling patung yg terbesar itu?

Maka dijawab oleh Nabi Ibrahim "Tanya lah berhala yang besar yang ada kapak itu?

"Lalu dijawab kaumnya mustahil patung itu berbuat demikian kerana ia tak boleh buat apa apa kerana cuma patung.

Dibidas oleh Nabi Ibrahim, "makanya kenapa kalian menyembah patung yang tidak boleh berbuat apa-apa? "

Zakir Naik dituduh mengganggu keharmonian, memecah belahkan mesyarakat.

Tidakkah sama seperti yang dituduh kepada para Nabi?

Naudzubillah, tetapi kelihatannya jika Siti Kasim, Asiah Jalil dan 'Mujahidin" itu berada pada zaman Rasulullah SAW, mereka bagaikan berada di baris hadapan dalam kelompok menghasut masyarakat membenci Nabi atas alasan menggugat keharmonian, memecahbelahkan rakyat .

Orang Islam yang sejati mempertahankan Zakir Naik.

Malah saya sendiri ingin sekali menjadi Zakir Naik.

Kami semua adalah Zakir Naik! – HARAKAHDAILY 2/3/2017

تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا: كِتَابَ اللهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ

Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara. Tidak akan sesat selama-lamanya jika kamu berpegang dengan keduanya iaitu Kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya. (Riwayat Imam Malik)

 

PADA hari ini umat Islam di seluruh dunia meraikan Sambutan Maulid Nabi SAW sebagai menzahirkan kecintaan kita semua kepada Penghulu Segala Nabi, Nabi Muhammad SAW. Kelahiran Baginda dalam bulan Rabi'ul Awal Tahun Gajah merupakan satu cahaya yang menerangi seluruh kegelapan alam. Kita sangat bertuah kerana dipilih menjadi umat Nabi Muhammad SAW, sehingga kita mendapat nikmat iman dan Islam pada hari ini. 

Dilahirkan dalam sebuah masyarakat yang penuh kesesatan dan dunia yang menjadi perebutan kuasa besar - Rom dan Parsi - telah memberi isyarat betapa kehadiran Baginda adalah untuk membawa rahmat, cahaya hidayah dan agama yang akan mengembalikan semula manusia kepada Sang Pencipta. Dalam tempoh 23 tahun, Baginda telah berjaya mengubah umat Arab Jahilliyah menjadi 'Khair Ummah.' Demikianlah besarnya kesan akibat kelahiran Sang Nabi SAW ini.

Sekarang, setelah 1348 tahun Baginda mendirikan negara di Madinah untuk menyempurnakan ketaatan kepada Allah, segalanya telah berubah. Kewafatan Baginda telah membawa semula manusia kepada kesesatan agama dan ideologi ciptaan manusia. Umat Islam yang bertebaran di seluruh dunia menjadi seperti buih di tengah lautan kerana mereka meninggalkan Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Lihatlah apa yang terjadi kepada umat Islam di Palestin dan Rohingya, ditindas tanpa pembelaan!

Bagi menguatkan semula umat yang telah terbabas dari al-Quran dan Sunnah inilah, para ulamak telah menubuhkan PAS pada 1951 dengan meletakkan al-Quran dan Sunnah sebagai sumber hukum yang memandu perjuangannya. PAS mengajak manusia kembali semula kepada al-Quran dan Sunnah demi untuk mengembalikan kekuatan seluruh orang yang beriman, sebagai mana zahirnya Nabi SAW dengan agenda Rabbani untuk benar-benar meletakkan manusia sebagai hamba Allah.

Bersempena dengan Sambutan Maulid Nabi SAW pada hari ini, saya menyeru seluruh umat Islam atas nama agama yang suci dan kemuliaan Nabi SAW, supaya kita kembali kepada al-Quran dan Sunnah. Bersatu dan membina kekuatan atas nama Islam, melaksanakan syariat Allah demi sebuah ketaatan dan meninggalkan kesesatan seluruh ideologi serta kemungkaran demi menjayakan tujuan penciptaan.

HAJI HASHIM JASIN
Mursyidul Am PAS
12 Rabiul Awal 1438 - HARAKAHDAILY 12/12/2016