SEBAGAIMANA yang kita ketahui, tentera Sultan Soleh (Sultan Najmuddin Ayyub) merupakan golongan hamba yang dijual di pasar Nuhas (Turki). Mereka yang melarikan diri dan terselamat daripada serangan Monggol dijual di situ kepada pihak Istana termasuklah Istana di Mesir. 
 
Sultan Soleh tidak memperlakukan hamba-hamba yang dibeli sebagaimana Raja lain memperlakukan seumpama Tuan dengan budaknya. Bahkan baginda amat mencintai mereka dan melayan mereka seumpama guru dengan murid, bahkan seakan si ayah dengan anak-anaknya. 
 
Bagaimana Sultan Soleh mendidik mereka?
 
Fasa pertama
Sultan akan membeli hamba dalam kalangan usia mereka masih kanak-kanak. Sejak dari mereka kecil hingga baligh ini akan ditempatkan di tempat yang dibina khas seakan asrama untuk mereka. 
Didikan awal kepada mereka adalah Al Quran dan pengetahuan agama. Para Ulamak silih berganti dijemput ke istana untuk mengajar mereka Al Quran, solat, bahasa Arab, menulis dan segala asas yang berkaitan.
Begitu juga Sultan menititk beratkan soal permainan yang diminati untuk mengesan bakat terpendam.
Solat fardhu amat dijaga supaya solat pada awal waktu, diajarkan doa-doa yang ma`thur dan akhlak yang mulia.
Para Ulamak amat disarankan untuk menekankan persoalan keimanan, pergantungan dengan Allah, hakikat penciptaan, keperibadian sebagai hamba Allah dan balasan syurga atau neraka.
 
Fasa kedua
Selepas baligh, mereka akan mula belajar seni berperang dan persenjataan, menunggang kuda dan memanah.
Pada fasa ini, disiplin menjadi semakin ketat. Kesalahan dan sikap yang menyimpang akan dikenakan tindakan yang tegas.
Untuk memastikan latihan menepati piawaian, mereka dibahagikan kepada kelompok-kelompok mengikut kepakaran guru masing-masing.
Walaupun fasa ini diketatkan, namun mereka juga diberi kebebasan untuk mengisi masa dengan aktiviti yang disukai samada dalam aspek permainan, keagamaan, sastera dan lain-lain.
Dalam fasa inilah yang menjadi elemen utama dan terpenting yang menjadikan mereka tentera dan panglima yang handal dan bertaqwa.
 
Fasa ketiga
Disebut sebagai fasa praktikal. Segala apa yang mereka pelajari akan diuji dalam tempoh ini.  Bahkan mereka mula dihantar untuk bertempur di medan peperangan.
Sultan melihat mereka yang berpotensi tinggi, akan dimerdekakan dan diposisikan pada kedudukan yang sesuai. Manakala yang belum kompeten akan terus berada dalam pantauan dan diberi posisi secara dalaman.
 
Sistem Graduasi
Apabila mereka telah tamat latihan, mereka akan dimerdekakan secara beramai-ramai yang turut dihadiri oleh Sultan.
Mereka akan diberi ijazah bersama beberapa keperluan asas seperti senjata, kuda, pakaian dan turut diberikan sebidang tanah.
Mereka yang telah bergraduasi, akan diletakkan dalam satu kumpulan bersama seorang ketua untuk dipantau. Bahkan mereka perlu menyambung pelajaran lagi untuk membolehkan mereka berada pada posisi penting kerajaan dan istana.
 
Bahasa pertuturan
Bahasa yang digunakan dalam perbualan seharian adalah bahasa Turki, bercampur dengan bahasa Parsi dan bahasa Arab.
Namun begitu, boleh dikatakan hampir tidak ada dalam kalangan mereka yang tidak mahir berbahasa Arab.
 
Inilah elemen yang semakin hilang bahkan ditiadakan dalam latihan ketenteraan. Perajurit selayaknya diluruskan pegangan akidahnya terlebih dahulu dan ajaran ilmu Islam yang mencukupi sebelum diajarkan seni peperangan dan ketenteraan.
 
Carl Brockelman, seorang sarjana Barat dri German menyebutkan:
“Muncullah generasi berikutnya pada era Baybrus (merujuk kepada salah seorang panglima tentera Mamalik didikan Sultan Soleh) yang mirip dengan generasi Khulafak Ar Rashidin dan Sultan Salahuddin Al Ayyubi yang merupakan generasi emas dalam Islam.”
 
MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN - HARAKAHDAILY 1/5/2019

GHAZWAH Badar al-Kubra berlaku pada 17 Ramadhan tahun kedua hijrah. la bermula apabila Nabi Muhammad meminta para Sahabat Baginda untuk menyekat kafilah Quraisy yang pulang dari Syam ke Makkah. Sekatan itu bukanlah dengan niat mencetus peperangan. Walau bagaimanapun rombongan yang diketuai oleh Abu Sufyan tersebut telah terselamat daripada sekatan orang Islam. Abu Sufyan sebelum itu telah mengutuskan utusan kepada Quraisy untuk melindungi kafilahnya.

Dengan permintaan tersebut, Quraisy telah keluar dengan bilangan kira-kira 1000 orang tentera dengan senjata yang lengkap. Mereka dengan angkuh turut mengadakan pesta nyanyian dan tarian pada malam sebelum perang berlaku.

Sementara itu, bilangan Muhajirin dan Ansar pula hanya seramai lebih kurang 313 orang. Kebanyakan mereka daripada golongan Ansar. Mereka hanya membawa 70 ekor unta dan dua atau tiga ekor kuda sahaja. Unta-unta itu ditunggang secara bergilir-gilir sepanjang perjalanan para tentera Islam menuju ke medan perang.

Banyak peristiwa yang berlaku sebelum peperangan ini meletus dan akhirnya perang ini berakhir dengan kemenangan orang Islam. Ramai Musyrikin telah terbunuh termasuk ketua mereka iaitu Abu Jahal. Turut terbunuh sebahagian besar pemimpin mereka. Mereka yang ditawan pula kira-kira 70 orang. Baginda telah memerintahkan agar semua yang terbunuh dikebumikan.

Baginda pulang ke Madinah dan melakukan syura dengan para Sahabat Baginda tentang urusan tentera Musyrikin yang berjaya ditawan. Umar mencadangkan supaya mereka dibunuh. Abu Bakar pula berpendapat mereka boleh menebus diri mereka. Rasulullah S.A.W menerima cadangan Abu Bakar. Oleh itu, orang Musyrikin telah menyerahkan harta mereka sebagai tebusan.

Peperangan Badar ini amat besar ertinya bagi kita. Andai kata tentera Islam kalah dalam peperangan ini maka tamatlah riwayat assabiqunal-awwalun malah agama Islam itu sendiri.  

Kemenangan ini juga mengukuhkan kedudukan Islam di Madinah dan menambahkan keyakinan bahawa mereka adalah pihak yang benar.  Semakin hari, sokongan dan penghormatan kepada Quraisy semakin merosot. Akhirnya, semakin ramai orang Musyrikin yang memeluk Islam secara senyap mahupun secara jelas. Mereka sanggup berkorban jiwa untuk kepentingan Baginda dan agama Islam.

"Islam Memimpin"

Disediakan oleh :
Lajnah Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Kawasan Parit - HARAKAHDAILY 26/4/2019

KUFUR yang rendah sedikit kedudukannya daripada atheisme adalah kufur syirik. Contohnya, perbuatan syirik orang Arab Jahiliah. Mereka mempercayai kewujudan Allah, mereka mempercayai bahawa Allah mencipta manusia, dan mentadbir urusan rezeki, serta kehidupan dan kematian. Namun di samping mereka mempercayai perkara yang dinamakan tauhid rububiyah ini, mereka juga mensyirikkan Allah dalam perkara yang dinamakan tauhid uluhiyyah Mereka menyembah perkara yang lain bersama Allah, dan ada juga yang terus menyembah selain daripada Allah. 
 
Mafhum Firman Allah S.W.T:
"Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu:" Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Yang menciptakannya ialah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui"." 
(az-Zukhruf: 9)
 
"Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhluk-Nya)?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintah-Nya)?"
(al-Ankabut: 61)
 
Berikut adalah syirik dalam pelbagai gambaran yang berbeza. Antaranya syirik menyembah berhala oleh orang Arab. Selain itu, syirik majusi oleh orang Parsi yang mengatakan kewujudan dua tuhan, iaitu tuhan kebaikan dan cahaya, serta tuhan kejahatan dan kegelapan. Begitu juga syirik menyembah makhluk oleh orang Hindu dan Buddha.
 
Syirik adalah tempat khurafat dan kebatilan bersarang. Syirik juga merendahkan martabat manusia. Ini berlaku apabila manusia menyembah sesuatu yang diciptakan untuk kegunaan mereka. Mereka menyembah sesuatu yang sepatutnya berkhidmat untuk manusia. Malangnya mereka sendiri yang mahu berkhidmat untuk benda-benda yang mereka ciptakan. 
 
Mafhum Firman Allah S.W.T:
"Bertanyalah kepada mereka (yang musyrik itu): "Siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Atau siapakah yang menguasai pendengaran dan penglihatan? Dan siapakah yang mengeluarkan makhluk yang hidup dari benda yang mati, dan mengeluarkan benda yang mati dari makhluk yang hidup? Dan siapakah pula yang mentadbirkan urusan sekalian alam? "(Dengan pertanyaan-pertanyaan itu) maka mereka (yang musyrik) tetap akan menjawab (mengakui) dengan berkata: "Allah jualah yang menguasai segala-galanya! "Oleh itu, katakanlah: "(Jika kamu mengakui yang demikian), maka mengapa kamu tidak mahu bertaqwa?"
(Yunus: 31)
 
"Islam Memimpin"
 
Disediakan oleh:
 
Lajnah Penerangan, 
Dewan Pemuda PAS Kawasan Parit - HARAKAHDAILY 20/4/2019

SERUAN membedah isi kandungan Al Quran dengan tujuan mengelirukan umat sudah bermula sejak 1927, oleh Alfonso Mingana, pendeta Kristian yang berasal dari bumi Iraq.
 
Beliau menyebutkan: "The time has surely come to subject the text of the Quran to the same critiscm as that to which we subject the Hebrew and Aramaic of the Jewish Bible, and the Greek of the Christian scriptures." 
 
Kecewa terhadap Bible
 
Lontaran ini disebabkan kekecewaan sarjana Kristian dan Yahudi terhadap usaha menyaring kitab suci mereka yang menemui jalan buntu. Pelbagai teknik dibuat termasuklah kaedah Hermeunatik demi mengabsah dan menyatukan isi kandungan Bible yang pelbagai versi dan bercelaru. Namun, semakin mereka saring, semakin banyak kesilapan yang ditemui!
 
Mengakui kecelaruan Bible yang bercampur aduk kalam tuhan dan manusia, tetapi sikap ego dan sombong membutakan mereka untuk mengikut kebenaran Al Quran.
 
Kata R. Bentley "... the textus receptus' is to be abandoned altogether!" merujuk pada perasaan kecewa untuk mencari kebenaran dalam bible versi Paus Clement.
 
Cemburu terhadap Al Quran
 
Sifat hasad dan dendam mendorong mereka untuk mengkaji Al Quran, lalu berusaha menerbitkan 'mushaf' hasil penelitian mereka terhadap Al Quran.
 
Seorang Orientalis Jerman, Gustav Flugel menerbitkan mushafnya yang diberi tajuk Qorani Textus Arabicus, kemudian muncul pula Theodor Noldeke yang cuba merungkai semula sejarah Al Quran dengan karyanya Geschichte des Qorans yang menjadi rujukan segelintir penganut Liberal di Indonesia. 
 
Datang pula Arthur Jeffery, orientalis Australia pada tahun 1937, mengkritik Al Quran Mushaf Usmani dan membuat mushafnya sendiri. Dan juga direkodkan puluhan usaha golongan ini terhadap kesucian Al Quran. 
 
Allah Ta'ala memberi hidayah dan panduan buat pendokong agamanya diseluruh dunia untuk menjawab dan membetulkan semula salah faham yang dibuat-buat, dan kedangkalan kefahaman golongan Orientalis. Semoga Allah merahmati para ulamak Islam atas usaha ini. 
 
Malangnya, jati diri umat Islam yang lemah dan semakin hilang, menyebabkan tidak sedikit yang terkeliru dan terkesan dengan tulisan dan pemikiran ini, termasuklah kumpulan yang menamakan diri mereka Liberal. 
 
Mereka mengajak umat Islam untuk kritik Al Quran sebagaimana mereka berjaya mengajak umat Islam mengkritik Nabi S.A.W dengan alasan Baginda juga manusia biasa. 
 
Bacalah dengan keimanan 
 
Nabi S.A.W menjanjikan buat umat akhir zaman, sesiapa yang berpegang sungguh dengan Al Quran dan Hadith, nescaya tidak akan sesat, lalu mengapa membaca Al Quran menjadi sesat? 
 
Ia berbalik di atas niat dan tujuan sebenar kita dalam meneliti kandungannya. Mencari kebenaran atau mencari jawapan yang mengikut hawa nafsu? Selayaknya, kita membaca Al Quran supaya kita mendapat petunjuk, lalu bertambah iman, juga bertambah ilmu. Rata-rata, kita seronok kononnya bertambah pengetahuan akhirnya menjauhi kebenaran kerana sejak dari awal kita sudah berkiblatkan Barat. Sesat kerana niatnya yang salah, juga membaca kupasan orang yang salah. 
 
Semoga kita semua diberikan hidayah, dan diberi kekuatan memelihara hidayah ini.
 
"Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa."
(al-Baqarah: 2)
 
MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
17 April 2019 - HARAKAHDAILY 17/4/2019

PENGUNDURAN Tan Sri Razali Ismail sebagai Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) hari ini telah mencuri perhatian rakyat Malaysia. Ramai berharap adanya sinar baharu di badan advokasi itu yang selama ini dilihat beriringan dengan bayangan perjuangan golongan songsang di dalam negara. Mereka mahu semua yang terselindung itu segera dititik noktahkan dari SUHAKAM. Namun realitinya, adakah perletakan jawatan ini menandakan usaha gerak kerja mereka juga lumpuh seperti sebelumnya?
 
Kerana golongan itu telah secara tiba-tiba bangkit dengan gah menimbulkan kekeliruan berskala besar kepada keharmonian dan kefahaman rakyat Malaysia. Mereka berselindung di bawah nama perjuangan Hak Asasi Manusia selama ini, khususnya di era pemerintahan PH. Usaha terkutuk ini dilakukan halus dengan cara memanipulasi fikiran rakyat khususnya untuk sentiasa mengutamakan keterbukaan dan kesamarataan. Selain itu, mereka turut menampilkan beberapa individu songsang yang mempunyai latar belakang Islam Liberal sebagai imej provokasi untuk merosakkan kesatuan rakyat negara ini.
 
Dewasa ini, kebangkitan umat Islam di Malaysia menjadi isyarat penting bahawa perjuangan songsang dan keghairahan serta keberanian mereka dalam membudayakan LGBT dan seumpamanya adalah gagal dan akan sentiasa digagalkan! Hal ini demikian kerana rakyat Malaysia sudah mula memahami kepentingan hidup bersyariat dan akan terus berkeras serta menolak fahaman dan gerakan songsang ini daripada terus terjebak. Antara kegagalan mereka ialah mempromosikan seks bebas, menghalalkan pelacuran dengan temanya “Sex work is still work”, hiburan melampau kelab malam, arak dan sebagainya.
 
Dengan kebangkitan umat Islam kini jelas memberi isyarat dan amaran secara tidak langsung kepada Kerajaan PH untuk jangan pernah sesekali mencuba mengiktiraf puak-puak songsang ini walaupun mereka adalah penyokong Malaysia Baharu. Malah kelonggaran sikap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Mujahid Yusof Rawa kepada golongan ini, kelihatan telah mula bertukar tidak berpihak kepada mereka setelah kelihatan mereka terbukti mencabar keharmonian syariat Islam dalam kewajipan menutup aurat bagi kaum wanita.
 
Melalui kenyataan beliau, Pejabat Menteri Agama itu kini memandang isu program 'Malay Women & Dehijabbing' yang menyokong keterbukaan sebagai hal sangat serius dan perlu kepada siasatan yang menyeluruh. Menurutnya juga, kini Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah mengambil maklum berkenaan hal ini dan akan segera bertindak. Selain itu, warganet di media sosial juga turut mengecam penganjuran program tersebut yang bersifat songsang, sesat dan mencabar syariat Allah S.W.T. 
 
Hal ini membuka 'harapan' supaya Kerajaan PH di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kekal tegas mematahkan perjuangan songsang mereka yang sarat memperjuangkan kesesatan dalam beragama dan usaha untuk mencantas keluhuran agama Islam sebagai Agama Persekutuan.
 
Mungkinkah perkara ini telah pun disedari hingga membawa kepada peletakan jawatan Tan Sri Razali? Beliau yang memegang jawatan pengerusi sejak 2016 dan sepatutnya mengakhiri tempoh tugasnya sehingga 27 April 2019. Malah, beliau membuat keputusan meletakkan jawatan dua minggu awal. Adakah hal ini berlaku kerana pihak berkenaan merasa tersepit dan perjuangannya juga tersekat di bawah Kerajaan PH?
 
Pun begitu, rakyat negara ini khususnya umat Islam tidak harus merasa selesa. Perlu ditanya, adakah pejuang sosialis songsang ini telah kecewa atau sebenarnya mereka akan bangkit lebih agresif selepas ini setelah wadah 'harapan' mereka gagal bersinar? Siapakah dalang yang membiayai mereka? Adakah mereka akan berkolaborasi dengan angkatan ‘asing’ songsang di luar negara? Kewaspadaan ini harus tegar disanubari ummah. - HARAKAHDAILY 16/4/2019
IMG 20190416 WA0069

POLITIK Islam yang dibawa kemas oleh PAS bukanlah perkara politik semata-mata ingin memerintah negara tetapi termasuklah pengukuhan jati diri berbentuk dakwah dan tarbiyah. Dakwah dan tarbiyah sebagai akar tunjang perjuangan ke arah melahirkan sebuah negara yang mengamalkan nilai dan ciri Islam yang baik. Maka tidak akan tercapai hasrat murni itu jika tiada usaha yang jitu untuk mendidik warganegara Malaysia ke arah Islam dan tawaran Islam tawarkan. 
 
Dewasa ini, berlaku polemik keagamaan yang serius melibatkan penghinaan kewajipan untuk mengenakan hijab di kalangan wanita. Hal ini menjadi perhatian dan buah mulut netizen sejak mula tularnya iklan forum ‘Malay Women & Dehijabbing’ dan turut menampilkan Dian Sofia sebagai panel utama program tersebut. Beliau merupakan seorang 'free thinker' yang memperjuangkan LGBT dan tidak segan silu mengaku bahawa hijab itu adalah berupa beban kepada orang Islam khususnya, padahal ia cuma anggapan biadab dan beban itu sebenarnya kepada dirinya sahaja.
 
Pihak dan individu tertentu yang songsang semakin jelas terang-terangan berani berdiri di atas nama perjuangan Hak Asasi Manusia (HAM) perlu segera sedar bahawa perkara diperjuangkan mereka bukanlah hak asasi tetapi hanyalah nafsu semata-mata. Mereka hanyalah memperjuangkan keterbukaan nafsu yang dipenuhi paparan sisi gelap dunia dan jauh dari syariat Allah. Seterusnya akan merugikan masa depan kesihatan, harta dan keturunan kita.
 
Hakikatnya, usaha mereka yang menyokong dan mempromosikan keterbukaan ini lumpuh dan akan sentiasa dilumpuhkan kerana orang ramai telahpun sedar kepentingan menjaga syariat untuk kehidupan sejagat. Hal demikian kerana hari berlalu hari dan kita dapati bukan sahaja orang islam, malah orang bukan Islam juga makin menarik minat terhadap kewajipan Islam anjurkan. Inilah hak manusia secara fitrahnya iaitu untuk hidup bertuhan dan disertakan pantang larangnya juga demi jaminan hidup di dunia akhirat.
 
Naratif dunia Barat hari ini telah pun menonjolkan beberapa kawasan tertentu yang kini sedang berlaku asimilasi antara Islam bersama penduduk bukan Islam dengan baik dan aman. Antaranya selepas peristiwa pembunuhan umat Islam di Christchurch, New Zealand secara kejam dan tidak berhati insan. Sebaliknya, mereka hari ini tidak kira Islam atau bukan, boleh duduk bersama memperingati para mangsa yang terkorban akibat muntahan nafsu durjana seorang anti-Islam.
 
Maka adakah keterbukaan ini yang hendak diperjuangkan? Adakah ini yang dimaksudkan sebagai hak asasi manusia? Adakah ini perjuangan yang layak diperjuangkan? Tidak. Perjuangan keterbukaan nafsu ini amat bertentangan dengan nilai kehidupan seorang manusia kerana hari ini, mereka telah sedar dan yakin serta faham bahawa syariat Allah itu melebihi segala hak yang manusia canangkan.  
 
Di sini penulis mengajak untuk kita sama-sama bermuhasabah, banyak negara dan rakyat di kawasan Barat dunia seperti New Zealand, Australia, Amerika Syarikat, England dan sebagainya telah mula berminat untuk mengenal Islam. Dalam pada itu, program berbentuk street dakwah kerap diadakan dan turut melibatkan warga non-Muslim sebagai tujuan utama melalui aktiviti dakwah santai, bergambar sambil mencuba pakai hijab, mendengar MP3 ayat suci al-Quran dan sebagainya.
 
Usaha ini terbukti melalui beberapa rakaman di media sosial yang berjaya memperlihatkan beberapa wanita bukan Islam minat mencuba hijab dan bergambar mesra wefie bersama kumpulan penganjur. Penulis tidak menafikan ada beberapa antara mereka yang kelihatan menangis dan terharu kerana melihat gambar tersebut dan turut memberi komen bahawa mereka merasa lebih selamat, selesa, cantik dan rapi apabila mengenakan hijab.
 
Maka dengan ini jelas bahawa hukum yang dilaksanakan Islam ini bukanlah suatu bebanan malah kenyataan dangkal yang dikeluarkan tanpa asas ilmu dan pegangan akidah yang kukuh sebenarnya boleh meracuni pemikiran generasi baru yang sentiasa melihat dan mengikut trend semasa. Hal ini sangat membimbangkan kerana ia bukan sahaja merumitkan keselamatan diri generasi kita tetapi juga mencalarkan pegangan Islam kita. Dalam tidak kita sedar, ramai manusia yang telah terjebak dengan virus ini dan dilihat memperlakukan kewajipan menutup aurat ini sebagai satu benda mainan. Nauzubillahi Min Zalik.
 
Allah S.W.T tidak akan pernah dan tidak akan sesekali membebankan kita dengan sesuatu syariat sekiranya ia mengundang mudarat. Sebaliknya sebagai hamba Allah yang beriman, hendaklah kita yakin bahawa kewajipan ini juga membawa kebaikan kepada kita iaitu seorang perempuan itu apabila menutup aurat dengan baik maka maruahnya terjaga, kehormatannya terpelihara serta sedikit sebanyak dapat menghindarkan diri dari dieksploitasi oleh pihak atau individu tertentu yang hanya ingin memenuhi nafsu durjana dengan sewenang-wenangnya. Wallahualam. - HARAKAHDAILY 15/4/2019

SARANAN kesatuan ummah, bersatu umat seakidah sesungguhnya adalah saranan Allah S.W.T. Di Malaysia mengikut tafsiran Perlembagaan Persekutuan, 'Melayu' itu adalah Islam.
 
Menurut Perkara 160 (2) Perlembagaan Malaysia, orang Melayu itu mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu, bertutur menggunakan bahasa Melayu.
 
Bermakna jika kita menyeru kepada kesatuan umat Melayu kita sebenarnya menyeru ke arah penyatuan Islam itu sendiri.
 
Allah S.W.T berfirman dalam al Quran surah Ali Imran ayat 103 yang bermaksud:
 
"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara......"
 
Menurut Almarhum Prof Dr Hamka di dalam tafsir Al Azharnya "berpegang teguh" di dalam ayat ini bermaksud berpegang sungguh-sungguh sehingga sampai mati.
 
Bermakna kesatuan ummah yang mahu dijalin dan diperkasakan itu mesti dengan iltizam memegang agama Allah bermati-matian.
 
Allah takdirkan dua buah parti Melayu Islam terbesar dalam negara iaitu Umno dan PAS dapat berta'awun menjalin kerjasama yang sebelum ini sukar diusahakan atas pelbagai sebab.
 
Setelah berbalah sekian lama Allah kurniakan nikmat persaudaraan pada ahli-ahli kedua parti.
 
Menurut Pak Hamka lagi apabila kita bersatu atas keikhlasan berpegang teguh pada tali Allah sebagaimana dikehendaki ketika itu jiwa kita menjadi kebal dan besar.
 
Dengan kesatuan ini kata beliau lagi tidak ada sesiapa dapat mempermain-mainkan kita lagi. Walau satu dunia bersatu sekalipun tambah beliau untuk menentang kita mereka tidak akan berupaya mengalahkan kita.
 
Demikianlah kekuatan kesatuan ummah ini. Percayalah jika kita ikhlas, bukan hanya Cameron Highlands, Semenyih atau terbaru Rantau menjadi ganjarannya, malah insya-Allah lebih besar dari itu.
 
Kerana itu ahli-ahli dan.pimpinan PAS dan Umno perlu yakin pada lorongan Allah S.W.T. Jangan sombong dengan siri-siri kemenangan ini tetapi jadilah resmi padi semakin berisi tunduk ke bumi.
 
Perteguhkan ikatan ini. Musuh akan cuba meleka dan memperdayakan kita.
 
Sentiasa pertegaskan bahawa kita bersatu demi mahu memartabat agama, bangsa dan negara. 
 
Tugas kita tidak berhenti di Rantau malah menjadi semakin besar dan mencabar. Jalannya perlu diteroka dengan sabar, cermat dan bijaksana oleh pimpinan kedua parti.
 
Ingatlah firman Allah S.W.T bahawa penyatuan seumpama ini bukan kerja dan rancangan manusia tetapi kerja-Nya. Bukan boleh dicipta dan dibeli tetapi atas kehendak-Nya.
 
Allah S.W.T berfirman dalam al Quran surah al Anfal ayat 63 yang bermaksud:
 
"Dan (Dia-lah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."
 
Kerana itu berasa gerunlah pimpinan kami dari Umno dan PAS yang kami sayangi.
 
Berunding dan bermuafakatlah cara terbaik tanpa ada agenda peribadi selain sepakat mendaulatkan kebesaranNya. Ahli-ahli laksanakanlah keputusan parti dengan bijak dan berani.
 
Insyallah umat Melayu dan rakyat Malaysia bersama anda.
 
*Tahniah Tok Mat dan BN. Perjuangan kita belum berakhir malah baru bermula. - 
HARAKAHDAILY 14/4/2019
 

POLITIK sering kali menjadi bahan cacian dan kutukan apabila mengaitkan isu sentimen kaum, agama dan kepentingan suatu pihak dalam mentadbir negara. Apakah benar bahawa politik itu tidak sepatutnya dipandang dengan pandangan berbaur sentimen langsung? Kerana hakikatnya Malaysia juga berjaya mencapai kemerdekaan apabila sentimen kewarganegaraan diketengahkan oleh orang-orang dulu demi membebaskan tanah air dari jajahan British.
 
Sentimen sering dikaitkan dengan persepsi dan buah mulut tetapi jangan pernah kita lupa, jatuhnya Kerajaan Turki Uthmaniah adalah melalui kebangkitan Kamal Attartuk yang ligat melawan Islam. Bahkan tidak lupa juga kezaliman Nazi Hitler melalui parti NSDAP yang telah berjaya membunuh lebih 6 juta orang berbangsa Yahudi juga adalah kerana sentimen berbentuk anti-semitisme.
 
Perasaan yang berlebihan dan emosi yang diketengahkan oleh PAS-Umno dalam pelbagai isu ialah hanya demi memastikan keselamatan rakyat dan kedaulatan Islam di negara Malaysia ini. Hal ini menjadi keutamaan setelah beberapa keputusan Kerajaan PH dilihat tidak menyebelahi umat Islam secara amnya.
 
Antaranya ialah pengurusan aset kurang bagus bernilai RM19.9 billion dengan aset buku sekitar RM10 billion oleh syarikat SPV Prokhas Sdn Bhd di bawah kelolaan Kementerian Kewangan, Lim Guan Eng dan bukannya dibawah kelolaan penuh oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Bahagian Hal Ehwal Agama Islam, Dato' Seri Dr Mujahid Yusof.
 
Dalam pada itu, isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) oleh Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia sesuai setaraf dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan A-Levels juga mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk dari pihak Kerajaan PH dan Pembangkang. Isu ini diketengahkan kerana format dan silibus UEC tidak sama dengan sistem pendidikan yang dilaksanakan di sekolah-sekolah dan pusat-pusat pengajian di Malaysia. Lalu bagaimana rasionalnya mengambil orang yang tidak berminat dengan sistem pendidikan negara untuk diiktiraf dan seterusnya menerajui kakitangan kerajaan? Maka sentimen ini perlu untuk memastikan Bahasa Melayu sentiasa revelan untuk dikekalkan sebagai Bahasa Kebangsaan.
 
Pelbagai alasan dan tohmahan sering diketengahkan pihak tertentu untuk tidak mahu bersama perjuangan PAS ialah kerana PAS telah menjalinkan hubungan Ta’awun  Siyasi dengan Umno-BN. Hal ini demikian kerana mereka tidak mahu dan sering berdalih untuk cuba mengambil tahu keadaan polemik kerajaan mana yang mudaratnya lebih, bahkan mungkin tidak dipedulikan oleh mereka pun.
 
Selain itu, mereka juga berpendapat bahawa Umno telah menzalimi mereka dengan pelbagai cara antaranya menukarkan mereka di kawasan-kawasan tertentu, tidak memberi kenaikan pangkat dan lain-lain. Hal ini sepatutnya tidak berbangkit jika kita mengamati kisah sirah Rasulullah S.A.W yang sering dilawan serta dicaci oleh para Sahabat sendiri sebelum ke-Islaman mereka. Antaranya ialah Saidina Umar Al Khattab yang dahulunya bermatian membenci Baginda dan selepas ke-Islamannya, beliau ialah antara Sahabat yang dijanjikan syurga kerana turut berjuang disamping Rasulullah S.A.W.
 
Hal ini menjadi perhatian warga pendidik, pegawai kerajaan dan sebagainya yang mempunyai ideologi politik berbeza dengan kerajaan tempatan. Dengan asakan ini, minda para kakitangan kerajaan menjadi gusar berpolitik dan berkemungkinan turut diberi amaran jika masih juga melibatkan diri dengan politik. Penulis tidak menafikan hal ini malah terdapat beberapa kenalan yang terjebak dengan masalah ini. Maka dengan berbangkitnya masalah ini, perlulah kita untuk sentiasa bersikap adil dalam memberi hak kebebasan politik.
 
Bentuk penindasan politik seperti ini sepatutnya tidak mengekangkan seseorang individu dari terus berjuang kerana kesedaran dan kefahaman berjuang itu mesti disertakan dengan pengorbanan. Manakan mungkin berjuang tetapi tiada ada pengorbanan. Ada antara pejuang ini berkorbankan harta, masa, tenaga dan mungkin sampai suatu masa kuasa dan pangkat pula. Maka dengan penerapan sirah Rasulullah S.A.W, kita akan faham bahawa perjuangan akhirat ini melebihi dari segalanya yang ada pada isi dunia sesuai dengan firman Allah:
“Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”
(Ali Imran: 185)
 
Sebagai penutup, mari kita sama-sama mula bertanyakan pada diri kita, apakah kezaliman yang berlaku pada diri kita hari ini seperti ditukarkan kawasan kerja, tidak dapat naik pangkat sudah cukup berat dan boleh menjadi alasan kukuh untuk kita menghilangkan thiqah kepercayaan pada kepimpinan ulamak? Jika ya, maka terbukti lemah lagi iman kita. Jika tidak, maka kembalilah semula dan terus berjuang supaya perjuangan dan pengorbanan ini dapat diceritakan dan diwarisi oleh generasi mendatang. - HARAKAHDAILY 5/4/2019

SAYA tidak sebut sama sekali PAS - Umno akan tubuhkan kerajaan di Kedah bersama tujuh Adun PKR. Ini andaian YAB Menteri Besar, Dato' Seri Mukhriz Mahathir yang kita sendiri dapat meneka puncanya. Rileks Bro... Jangan melatah.

Kerajaan Perpaduan Umno - PAS belum dibincang oleh PAS Pusat, apatah lagi PAS Kedah. Ia baru di peringkat cadangan yang dilontarkan oleh Pemangku Presiden Umno sahaja. Rileks Bro... Jangan nampak gelabah.

PAS dan Umno tak cukup kerusi pun di Kedah untuk menubuhkan kerajaan. Dengan demikian sindiran Mukhriz Mahathir kepada sikap pemurah Umno menyerahkan Kedah kepada PAS melalui Unity  Goverment (UG) tidak berbangkit pun. PAS tak sebut, Umno tak sebut, tapi tup... tup Mukhriz Mahathir yang sebut 'UG'. Rileks Bro... Jangan cuak tak tentu arah.

Sogokan RM90 juta Umno kepada PAS dari duit 1MDB diakui oleh PAS? Aik! Bila tu? Bawa bukti nak tengok. Bukti sogokan dan bukti pengakuan. Kalau tak ada bukti tapi tetap nak tuduh juga, boleh tambah koleksi fitnah PH kepada PAS untuk tutup kelemahan 'manifesto kencing' PH. Boleh 'join' Kelab DSAI dan Rafizi.

Dengan dua kerusi saja, DAP berupaya melantik Ahli Majlis dan MPKK di seluruh Kedah, termasuk di kawasan Melayu 'totok' seperti Sik, Baling Padang Terap dan Pendang. Makin meluas dan malata agenda DAP masuk ke jantung hati orang kampung.

Dengan dua kerusi itu saja, Exco DAP mampu menubuhkan task force bagi menyelesaikan isu-isu orang Cina di bandar dan kampung baru. Semua fail task force tak ada 'bin dan binti' . Dengan dua kerusi itu saja, pintu pejabat Pegawai Tadbir Negeri boleh dihempas keras oleh Exco gara-gara pegawai tidak dapat melaksanakan kemahuan politiknya. Kalau tak tahu, bolehlah mulakan siasatan. Bayangkan dua kerusi itu ada 42 'Taiko' di Putrajaya berbanding 13 kuntum Bunya Raya ditambah beberapa katak politik.

Dato' Seri jangan lupa DAP masih ada empat kerusi daripada Kelab Penyokong DAP yang bersembunyi dalam parti cangkul yang dineutralisasikan sebagai Parti Amanah Negara (PAN). Inilah sebab PAN dapat semua yang dimahukan.

Sejak lahir, belum ada satupun kepentingan politik DAP yang tidak didokong oleh PAN. Di Kedah, pada jika ditelanjangkan semua parti dalam PH pada petang hari Jumaat Dato' Seri mengangkat sumpah jawatan MB, Bersatulah parti paling kurus (5), berbanding PKR (7) dan DAP (6).

Saya kesiankan PKR, walaupun punya nama-nama besar, tapi menjadi melukut di tepi gantang dalam Kerajaan Kedah. Tak bolehkah YAB MB pertimbangkan cadangan saya supaya wujudkan jawatan Timbalan Menteri Besar untuk mereka? Bila ada Timbalan MB, jika YAB MB berlama-lama di KL, di London atau Kanada bersama keluarga, Timbalan MB boleh menjalankan tugas MB di Wisma Darul Aman. Beri TMB kuasa mempengerusikan Mesyuarat Exco. Tak perlulah lagi mesyuarat Exco Kedah terpaksa dibuat di Tapah, Perak.

Kedah perlu melonjak ke depan dengan gagasan besar, meyakinkan rakyat dan pegawai-pegawai tadbir untuk bergerak bersama kerajaan. Kalau setakat melaksanakan rutin pentadbiran negeri, tidak ada MB dan Exco pun Kerajaan Kedah takkan runtuh, apatah lagi dijajah oleh Siam.

Saya tahu calar dalam PH sudah menjadi luka libasan parang. Tunggu langkah terakhir saja siapa yang akan putus kepala. Rileks Bro... PAS dan Umno nak tunggu tengok saja. Kita bersiap untuk kepentingan Islam dan Melayu dijulang semula. - HARAKAHDAILY 13/3/2019

MENJADI seorang pendakwah adalah satu bidang tugas yang sangat berat. Ia tidak hanya memerlukan kemahiran mengajar, tetapi juga kemahiran untuk memahamkan pelajar atau pendengar berkenaan ilmu yang diajarkan. Dan yang paling utama, dia mesti berusaha dengan bersungguh-sungguh mengamalkan dengan ikhlas, apa yang dia ajarkan. Itulah kemuncak kepada gelaran ustaz, guru atau ulamak mursyid yang dipercayai.

Rasulullah ialah guru terbaik. Tiada yang seumpama Baginda dalam menyampaikan ilmu. Contoh al-Quran dalam bentuk bacaan itu jelas diterjemahkan kepada perbuatan oleh Baginda dari semua segi. Semua orang yang beriman ingin menjadi seperti Baginda. Menyampaikan ilmu yang benar kepada umat demi menjadikan manusia sebagai hamba Allah yang beribadat hanya kepada Allah.

Banyak dinukilkan keistimewaan guru atau orang yang berilmu yang mengajarkan agama ini dengan benar, akan mendapat tempat istimewa di sisi Allah ketika di dunia lagi, apatah lagi di akhirat. Tidak tertumpu kepada Islam sahaja, malahan dalam agama lain pun, mereka memberikan tempat yang sangat istimewa kepada guru yang menerangkan perihal agama mereka. Guru tidak dinafikan, adalah berfungsi sebagai cahaya yang menerangi jalan untuk manusia sampai ke destinasi tuhannya.

Ibnu Abbas pernah diriwayatkan, diberikan tempat oleh Saidina Umar dalam Kabinetnya atas dasar keilmuan beliau. Keadaan itu tidak disukai oleh beberapa orang besar dalam kerajaan Umar kerana Ibnu Abbas sangat muda. Sangat enteng bagi Umar dalam menangani isu itu, kerana kepercayaan Umar kepada ilmu yang dimiliki Ibnu Abbas sangat tinggi. Ibnu Abbas didoakan terus oleh Rasulullah untuk memahami takwil al-Quran.

Maka diberikanlah satu soalan kepada ahli majlis pemikir kerajaan Umar itu, agar menafsirkan surah an-Nasr atas kefahaman masing-masing. Tiadalah salah penafsiran semua mereka itu, tetapi yang lebih disukai dan tepat ialah kata-kata penafsiran Ibnu Abbas, iaitu turunnya surah itu, menandakan hampirnya waktu untuk Allah mewafatkan Rasulullah. Lantas mematikan bangkangan mereka atas pemilihan Ibnu Abbas oleh Umar. Itulah tanda berilmunya Ibnu Abbas. Maka satu ilmu baharu diperolehi oleh pembesar-pembesar itu. Ilmu membezakan mereka, bukan umur.

Juga kita sudah maklum akan kisah menyayat hati perihal seorang guru yang dibunuh oleh raja musyrik kerana mengajar seorang budak tentang tauhid. Ia diperjelaskan dalam kisah Ashabul Ukhdud dalam tafsir surah al-Buruj. Ia berkisar tentang seorang budak yang setelah mendapat ilmu tauhid dari seorang guru, telah berjaya meng-Islamkan seluruh rakyat negeri itu. Dia tidak mati bila cuba dibunuh, melainkan dengan kalimah Allah. Maka menjadi asbab kepada peristiwa ini adalah kesungguhan almarhum gurunya mengajar tauhid kepada budak itu.

Di sebalik semua kisah kejayaan itu, tidak kurang juga kisah berkenaan kegagalan guru yang pada mulanya berniat untuk menjadikan Allah sebagai matlamat hidup, namun haluannya berubah setelah mendapat sesuatu di pertengahan jalan dakwahnya. Mereka mungkin dipengaruhi oleh anak isteri, kawan-kawan ataupun orang tertentu yang mempunyai kepentingan peribadi. Tetapi paling besar pengaruh dalam perubahan diri ini ialah nafsu sendiri yang gagal dikawal.

Kisah Iblis, pastinya menduduki tempat paling utama bagi menjelaskan duduk perkara ini. Iblis berlaku sombong, enggan tunduk kepada arahan Allah untuk sujud kepada Adam ciptaan baharu Allah ketika itu. Maka dikatakan dia bercekak pinggang ketika melawan arahan Allah itu. Walhal, dia adalah ketua kepada malaikat.

Untuk menjadi seorang ketua pilihan dari Allah, pastinya yang paling baik akhlaknya, rajin, faqih dan kuat. Ia tidak sama dengan pemilihan ketua oleh manusia melalui 'appraisal' atau KPI yang kadang-kadang mengarut. Banyak yang terjadi, yang terhebat bodekannya akan mendapat kenaikan pangkat. Begitulah ghalibnya.

Maka Iblis rupanya sudah mempunyai niat terpesong dalam hati. Tidakkah Allah menyedarinya? Ya, Allah pemilik kepada segala makhluk, Dia Maha Mengetahui. Tetapi Dia juga berfirman yang dua jalan dibentangkan kepada hamba-hambaNya. Jalan kebaikan untuk dijalani dan jalan kejahatan untuk dijauhi.

Maka tiada boleh salah itu diletakkan kepada Allah kerana fikiran manusia dikuasai oleh hati manusia itu sendiri. Rasulullah berpesan, hati itu jika baik, baiklah segala anggota badan. Jika jahat, akan jahatlah anggotanya. Maka jahat dan baik adalah pilihan kita. Iblis memilih jahat.

Ada kalangan ustaz yang dikenali tahu agama sangat cergas bergiat menyebarkan fitnah berkenaan PAS. Ustaz-ustaz PH ini sangat gemar menjalankan aktiviti ini. Termasuklah cerita bahawa orang PAS sudah ditangkap dan harta sudah disita disebabkan isu terimaan wang RM90 juta daripada Umno.

Apabila didapati laporan itu adalah berkaitan dengan kes siasatan rasuah terhadap DAP Pulau Pinang, dan bukan orang PAS yang ditangkap, ustaz-ustaz ini diam. Mereka tidak menceritakan semula hal sebenar yang berlaku kepada orang yang dia sebar sebelum ini. Fitnah sudah disebar, pemadaman, tidak dilakukan. Betapa celakanya mereka bermain api fitnah.

Saya menyebutkan ini kerana ia benar-benar berlaku. Begitu tekun mereka menyebarkan fitnah. Dahulu ketika PAS berseteru dengan Umno, mereka menimbulkan pertanyaan keraguan kenapa tidak boleh bersatu sesama Islam. Dakwanya lagi, PAS adalah golongan yang menyebarkan kebencian.

Tetapi apabila golongan mereka PH, menyerang Umno, dia tiba-tiba bersetuju sambil berkata, Umno golongan yang rosak. Bila PAS kini berkerjasama dengan Umno, dia tuduh pula bersekongkol dengan perosak negara. Hilang sudah penyatuan PAS -Umno atas nama Melayu - Islam. Apa sahaja yang PAS buat, tidak kena.

Mereka tidak pernah mengaku bahawa mereka adalah PH. Mereka dengan memek muka untuk meyakinkan orang, mereka adalah PAS tegar. Ini adalah modus operandi mereka. Maklumlah, kalau diakui mereka PH, manakan laku jualan fitnah mereka. Tetapi dalam masa kononnya mengaku sebagai ahli PAS, Presiden PAS sentiasa menjadi bahan kutukan mereka. Hari-hari, tanpa jemu. Apa sahaja yang PAS buat, tidak kena. Sekali-sekala mereka akan kongsikan juga siaran dalam media sosial mereka berkaitan PAS, untuk tunjukkan mereka adalah PAS. Tetapi itu hanyalah drama. Golongan ini sangat merbahaya.

Ustaz-ustaz sebegini, saya ibaratkan seperti seorang suami yang mempunyai isteri yang solehah, tetapi membiarkan isterinya dan mencari pelacur bagi kepuasan diri mereka. Mereka sangat puas berzina dengan pelacur yang akhirnya mereka membawa penyakit kepada isterinya hasil zinanya dengan pelacur tadi. Dan apabila susah, dia kembali kepada isterinya kerana pelacur itu tidak akan susah bersamanya. Pelacur itu mencari pelanggan lain.

Apa maksud analogi saya? Begini. Ustaz-ustaz itu memiliki ilmu al-Quran dan hadis. Kedua-dua sumber utama Islam ini ibarat isteri yang solehah yang sanggup memberikan sepenuh jiwa raga kasih sayang dan segalanya untuk suami tercinta. Malangnya di sebalik mencari kebenaran dari kalam Allah dan hadis Rasulullah yang dijamin tidak akan sesat selamanya, mereka memilih mendapatkan cerita daripada sumber fitnah yang kita anggap sebagai pelacur tadi.

Apabila mereka mengajar atau menyampaikan sesuatu, mereka gunakan sumber fitnah. Oleh kerana mereka adalah ustaz, maka mereka membawa penyakit kepada al-Quran itu tadi. Lalu dipercayai oleh orang awam bahawa fitnah itu benar. Paling malang mereka tidak mencari ubat untuk mengubati penyakit itu apabila tidak menerangkan kembali fitnah yang telah tersebar itu. Maka berpenyakitlah al-Quran dan hadis tadi kerana campur aduk dengan sumber fitnah tadi. Dan apabila fitnah diketahui bohong, mereka akan kembali menyebut-nyebut al-Quran dan hadis, konon baik.

Percayakah anda, ada juga ustaz yang menyebarkan kebencian kepada Presiden PAS semata-mata Presiden tidak angkat tangan ketika memandu melalui dekat orang ramai? Isu itu dijaja bagaikan Presiden PAS seperti telah tiada aqidah. Lebih menghairankan mereka kenal dekat dengan Presiden. Tak ubah seperti pendeta Yahudi yang mengenali Rasulullah seperti mengenali anak sendiri, tetapi tetap tidak mahu beriman kepada Baginda. Mereka menyokong Musyrikin yang mereka tahu sesat, malah membenarkan pula yang Musyrikin betul dan Muhammad salah.

Apabila sudah mengenali Presiden PAS yang tidak meninggalkan solat, mengamalkan solat-solat sunat yang lain. Mengamalkan al-Quran dan sunnah semampunya, mengajarkan kitab sejak puluhan tahun, tidak pula pernah disabitkan salah atas sebarang pertuduhan, diketahui keamanahan beliau, tetapi, ustaz-ustaz ini lebih mempercayai fitnah Clare Brown si kafir, ia adalah episod malang bagi ustaz-ustaz ini.

Kecelakaan apakah lagi yang lebih besar jika sang ustaz tidak mahu menurut al-Quran dan sunnah? Tidakkah sama mereka diibaratkan sedang menyetubuhi pelacur, sambil meninggalkan isteri yang halal? Bukankah sombong itu menolak kebenaran? Dan bukankah tidak akan masuk syurga orang-orang yang mempunyai sifat sombong walau sebesar biji sawi dalam hatinya? Lupakah mereka kepada Iblis?

Kita memahami jika fitnah ini dibuat kerana mahukan projek, kekayaan atau apa-apa habuan dunia. Tetapi sangat malang kerana ada kalangan ustaz-ustaz itu miskin, tidak berharta. Kebencian ini tidak didasari kerana habuan apa-apa, kecuali hanya geram dan dendam. Hinanya mereka, miskin di dunia, muflis di akhirat. Apa lagi yang mereka ada? Bertaubatlah wahai ustaz.

MOHD NASIR ABDULLAH
Istanbul, Turki - HARAKAHDAILY 12/3/2019

TANYALAH di mana-mana cawangan, kawasan mahupun negeri, risiklah dengan mana-mana peringkat sekalipun dalam PAS, pasti menperakui bahawa tarbiyah mesti menjadi agenda terpenting di dalam merangka misi masing-masing. Rasanya tidak ada anggota PAS yang menolak tagline "Tarbiah Tunjang Perjuangan". Tanpa tunjang, lumpuh perjuangan.

Tarbiyah pula mesti tidak dapat dipisahkan daripada usrah. Sebagaimana yang difahami, usrah adalah adalah nadi tarbiyah. Tanpa nadi, mati.

Namun satu persoalan yang ingin dikongsikan bersama, apakah benar pendekatan usrah yang kita amalkan menepati konsep usrah sebenar yang ditunjukkan dalam sirah Nabi S.A.W, dan juga yang diperkenalkan oleh bapa haraki kita, As-Syahid Imam Hasan al-Banna?

Usrah pemangkin ukhuwwah

●     Perspektif taarif usrah

Jika dinilai dari sudut rukun usrah iaitu Taaruf, Tafaahum dan Takaful, ia sebenarnya lebih kepada konsep ukhuwwah. Tetapi apa yang diamalkan oleh kita pada hari ini lebih kepada pemantapan fikrah.

Tidak dinafikan, fikrah merupakan agenda tarbiyah paling penting yang perlu diutamakan. Namun menjadikan usrah sebagai platform pembentukan fikrah sedikit sebanyak telah merencatkan konsep asal ukhuwwah yang terdiri di atas rukun-rukun yang telah digariskan. Penekanan terhadap ukhuwwah menjadi terabai dan lama-kelamaan, masalah ukhuwwah menebal lalu menjadi duri dalam daging.

●      Usrah bermaksud keluarga

Mengikut ilmu usrah yang saya pelajari, usrah adalah unit kecil kepada organisasi jemaah Islam yang besar. Sesuai dengan namanya, ia mesti berorientasikan kekeluargaan.

Tetapi yang berlaku hari ini, usrah sekadar menjadi platform pengisian fikrah dan penjelasan kekeliruan isu-isu semasa sahaja. Ia tidak berperanan menjadi penghubung hati-hati ahli usrah dan penyelesai masalah yang berlaku di kalangan ahli usrah. Tiada perasaan adik beradik sesama ahli usrah yang bersifat bantu membantu, jauh sekali perasaan ibubapa terhadap nuqaba' sebagai tempat berpayung kasih dan mengadu lara.

●      Usrah tidak tertakluk kepada posisi

Usrah yang berkesan sepatutnya dikekalkan keanggotaannya tanpa mengambil kira posisi dan jawatan mereka di dalam jemaah. Pemimpin jemaah tidak kisah bernaqibkan pengikut sendiri. Agamawan tidak kisah berada di bawah naqib profesion berbeza.

Tetapi hari ini usrah adalah mengikut posisi. Usrah cawangan melibatkan ahli peringkat cawangan sahaja. Sekiranya ada ahli tersebut meninggalkan cawangan kerana terpaksa memberi komitmen di peringkat yang lebih tinggi, mereka terus meninggalkan usrah tersebut dan menyertai usrah baru pula atas alasan sudah naik martabat.

Apabila ada bergelar ustaz di kalangan anggota, pasti akan diutamakan untuk menjadi naqib walaupun terdapat mereka yang lebih baik dan prihatin dalam menguruskan anak buah.

●      Bilangan anggota usrah

Usrah yang efektif juga sebaiknya terdiri daripada bilangan anggota 10 orang sahaja maksimum. Idealnya 7. Tetapi yang berlaku, usrah peringkat cawangan sahaja sehingga 20-30 orang. Belum lagi dikira di peringkat zon, Dun, kawasan. Sampai penuh dewan hanya untuk 1 usrah!

Puncanya kerana menjadikan usrah umpama medan kuliah, hingga partisipasi anggota dalam bilangan tersebut menjadi terhad. Ia juga akan memakan masa yang lama, dengan persiapan yang begitu teliti, mengakibatkan usrah menjadi rumit.

●      Pengisian usrah

Usrah sepatutnya tidak hanya dalam bentuk bulatan perbincangan semata-mata. Ia boleh dipelbagaikan asalkan rukun usrah tercapai. Ini termasuklah pendekatan riadhah seperti bermain bola, jogging bersama, hiking, ataupun aktiviti rekreasi seperti berkelah, jamuan kecil, bermusafir. Dan sebagainya. Lepak di kedai mamak juga boleh dikira sebagai usrah, jika kena caranya!

Tetapi apabila difahami usrah sebagai medan pembinaan fikrah, maka akan bercanggahlah dengan aktiviti seperti riadhah dan rekreasi.

Dengan meringankan konsep usrah, tentunya ia akan memberi kesan kepada kekerapan usrah itu dijalankan. Mungkin seminggu boleh diadakan sampai tiga kali! Contohnya dalam seminggu diadakan futsal, mengeteh dan iftar jamaie secara potluck. Aktiviti usrah tidak ada beza dengan rutin harian, menyebabkan anggota mudah untuk memberi komitmen.

●      Teks usrah?

Usrah sepatutnya berobjektif membuatkan anggota saling mengenali antara satu sama lain (taaruf), kemudian memahami antara satu sama lain (tafaahum), dan akhirnya membawa kepada bertolong menolong antara satu sama lain (taawun). Seperti yang dijelaskan di atas, orientasi utamanya adalah ukhuwwah.

Tetapi apabila usrah mewajibkan penghadaman teks-teks dengan tajuk tertentu, menyebabkan berlaku hari ini anggota usrah tidak kenal pun antara satu sama lain. Bertaaruf sekadar memenuhi syarat sahaja. Itupun sekali sahaja sepanjang siri-siri usrah.

Akibatnya, walaupun usrah setiap minggu tapi salah faham, tuduh menuduh, dengki dan prasangka sesama ahli masih tidak dapat diselesaikan.

Antara naqib dan murabbi

Antara punca usrah tidak hidup adalah kerana ketiadaan naqib yang berwibawa untuk mengendalikan usrah. Bagi saya, ia sebenarnya berpunca dari kekeliruan memahami peranan naqib yang sebenar.

●      Naqib adalah kapten

Naqib maksudnya nakhoda atau kapten. Tugasnya menjaga usrah dan ahlinya agar menjadi keluarga yang harmoni. Sama seperti konsep ibubapa bagi sebuah keluarga. Bukan tugas utama naqib untuk menyelesaikan masalah fikrah. Mereka cuma perlu memikirkan bagaimanakah pengisian usrah yang ingin dijalankan agar ikatan kekeluargaan usrah itu sentiasa kukuh.

Jika memerlukan pengisian berbentuk fikrah, naqib akan mencari tenaga pengisi bagi usrah mereka. Tidak semestinya naqib yang perlu berhempas pulas menghadamnya dahulu sebelum disampaikan kepada anggota.

●      Naqib bukan murabbi

Perlu dibezakan peranan sebagai naqib dan sebagai murabbi. Tugas pembentukan syakhsiah ahli yang melibatkan fikrah, roh dan jasad adalah peranan murabbi. Tetapi ramai yang menganggap tugas murabbi itulah tugas naqib.

Hal inilah yang membawa kegagalan fungsi usrah di banyak peringkat. Dengan requirement yang begitu tinggi diletakkan sebagai naqib, ramai yang tidak sanggup menjadi naqib.

Murabbi adalah isim fa'il bagi rabba, yang menjadi kata pokok kepada tarbiyah. Bermaksud orang yang mentarbiyah. Sesuai dengan namanya, murabbilah yang bertanggungjawab membentuk fikrah ahli.

Tidak semestinya setiap usrah perlu seorang murabbi. Boleh sahaja seorang murabbi memegang sehingga 5-6 unit usrah sekali gus. Murabbi juga tidak diwajibkan menyertai setiap program usrah. Sekali sebulan sudah cukup asalkan nuqaba' sentiasa berkomunikasi dengan murabbi.

      Nuqaba zaman Rasulullah S.A.W

Lihat bagaimana Nabi S.A.W melantik 12 nuqaba di kalangan orang Ansar sejurus Baiah Aqabah dimeterai. Kalangan mereka adalah yang baru memeluk Islam (muallaf), sebagaimana anak buah mereka yang lain. Sudah tentu kefahaman Islam mereka masih belum mampu untuk berperanan sebagai nuqaba' yang boleh menyampaikan fikrah sebagaimana yang kita fahami hari ini. Menunjukkan bahawa konsep sebenar nuqaba' adalah sebagai bapa sahaja, bukan guru.

Walau bagaimanapun, Rasulullah turut menyedari kepentingan orang yang faham Islam bersama dengan kumpulan mereka di Madinah. Kerana itulah Rasulullah S.A.W menugaskan Mus'ab bin Umair, pergi ke Madinah sebelum wahyu penghijrahan turun. Peranan Mus'ab adalah sebagai murabbi kepada kumpulan-kumpulan usrah yang dibentuk pasca Baiah Aqabah.

   Naqib tidak boleh bertukar-tukar

Mengikut kaedah yang Nabi S.A.W anjurkan di atas, Naqib tidak sepatutnya bertukar-tukar. Namun disebabkan kekurangan tenaga pengisi, naqib yang ada terpaksa bergilir-gilir mengisi usrah-usrah yang semakin banyak. Kekerapan usrah juga menjadi terencat kerana bergantung kepada kelapangan naqib.

Naqib sepatutnya mengenali dengan baik hati budi anggota usrah. Namun kerana mengendalikan usrah secara jemputan atau giliran yang jarang sahaja, perkara tersebut tidak berlaku.

      Naqib kampus

Di peringkat kampus pula lebih-lebih lagi di fakulti yang bukan pengajian Islam, seringkali berlaku senior-senior yang dilantik menjadi naqib menyampaikan pengisian fikrah melalui usrah dalam keadaan mereka tidak mampu melakukannya. Contohnya menghuraikan ayat-ayat al-Quran mengikut kefahaman akal sendiri yang tidak didasari dengan ilmu-ilmu asas agama.

Perkara ini sudah tentu boleh membawa penyelewengan. Terjemahan al-Quran teks pengisian yang disediakan tidak mampu menjelaskan secara terperinci berkait hal ehwal agama tanpa bimbingan guru atau murabbi. Tetapi oleh kerana menganggap naqib mesti menerapkan fikrah kepada anggota usrah, itulah yang terjadi.

Pengisian usrah di luar sesi usrah

Pasti timbul pula persoalan, jika usrah dikembalikan kepada konsep sebenar iaitu ukhuwwah, maka bagaimanakah pula dengan agenda pembinaan fikrah?

     Kuliah Haraki atau Liqa Fikr

Jawapannya, perlu diperkasakan platform lain bagi menggantikan pengisian usrah yang selama ini kita amalkan. Contohnya wujudkan kuliah haraki atau Liqa Fikr berkala menggunakan syllabus atau muqarrar yang telah digariskan.

Kuliah dan Liqa Fikr tidak terikat dengan kekerapan yang tinggi seperti usrah. Ia juga tidak terhad kepada bilangan peserta tertentu, boleh diadakan mengikut tingkatan posisi, dan boleh bertukar penyampai.

      Optimumkan pengisian fikrah

Jika program-program usrah boleh diadakan secara kerap, program-program penghadaman syllabus melalui teks pula boleh dikurangkan kepada sebulan sekali atau dua kali. Kerana di saat pertemuan-pertemuan usrah berlaku, sedikit sebanyak masalah fikrah boleh ditangani walaupun pada kadar minima.

Di sinilah peranan murabbi diperlukan. Bukan lagi naqib. Murabbi akan mengendalikan sesi kuliah dan liqa' ini kepada beberapa unit usrah sekali gus. Naqib akan menjadi sebahagian daripada peserta. Tidak perlu malu untuk bertanya di hadapan anggota usrah yang lain, kerana memang mereka sama-sama bukan ahli tarbiyah.

    Hakikat sambutan program tarbiyah

Mungkin ramai berpendapat lontaran ini terlalu idealistik kerana kita telah mengamalkan konsep usrah yang berbeza sudah sekian lama. Tapi sedarkah kita jika kembali kepada teori usrah sebenar, kita sudah tersimpang? Sedarkah juga, daripada hampir sejuta ahli PAS, yang memberi komitmen kepada usrah hanyalah 30 peratus sahaja? Di bawah paras lulus!

Di peringkat cawangan sebagai contoh. Ahli berdaftar adalah 50 orang. Tetapi yang menghadiri usrah selalunya kurang 10 orang.

Tidakkah ini berpunca kepada pengisian usrah yang dianggap terlalu berat dalam keadaan mereka belum pun menganggap jemaah ini sebagai sebuah usrah (keluarga)? Hati mereka perlu disentuh melalui konsep ukhuwwah yang sebenar, kerana hati adalah kunci untuk membuka akal.

      Mat rempit lebih menghayati usrah

Sebaliknya, kita melihat kadang-kadang orang yang tak pernah kenal usrah pula lebih hebat penghayatan 'usrah' dari sudut tautan hati antara mereka. Geng-geng mat rempit, rakan sepermainan, kumpulan-kumpulan tertentu lebih mengenali antara satu sama lain, memahami, saling membantu malahan ada yang sanggup berkorban demi rakan yang lain.

Ini kerana mereka melakukan segala aktiviti usrah bersama seperti lepak, musafir, riadhah, rekreasi, makan-makan dan bermacam lagi. Semua itu telah mempertautkan hati tanpa sedar.

●      Di mana ukhuwwah terbentuk?

Percaya atau tidak, ukhuwwah yang terbina di kalangan ahli jemaah hari ini tidak terbentuk melalui bulatan usrah. Tetapi mungkin kerana aktiviti selepas usrah. Biasanya usai usrah, ada makan-makan. Itulah masa mereka bersembang dan profesional sedikit demi sedikit. Tetapi ia berlaku spontan dan tidak sistematik.

Boleh jadi juga ketika menunaikan tugasan bersama. Terlibat menjayakan program yang sama, menyebabkan terpaksa bermusafir dan bermalam di tempat sama. Ia adalah perkara yang positif. Walau bagaimanapun, ia tidak berlaku dalam proses usrah dijalankan.

Realignment usrah

Berikut merupakan kesimpulan, cadangan dan harapan daripada perbincangan di atas.

      Peta minda

Sebagai rumusan, tarbiyah boleh dipecahkan kepada tiga elemen syakhsiyyah iaitu fikriyyah, ruhiyah dan jasadiyyah. Usrah berada di bawah elemen ruhiyyah iaitu elemen pengurusan hati dan perasaan.

     Usrah bukan program

Usrah adalah kata nama bagi kumpulan kecil dalam jemaah yang terkeluar dari hierarki jawatan. Ia bukan nama bagi program. Tetapi di dalam kumpulan usrah, boleh diadakan berbagai program. Tidak menjadi masalah untuk mengadakan program fikrah tetapi ia bukan orientasi utama usrah.

      Fikrah tetap no.1

Walau bagaimanapun, perlu dipertegaskan bahawa elemen paling penting dalam pembentukan syakhsiyyah Islamiah masih lagi elemen fikriyyah, kerana ia melibatkan iman yang menjadi paksi aqidah perjuangan. Mungkin di lain tulisan isu fikrah ini akan diperhalusi lagi.

     Solusi masalah jentera

Saya optimis sekiranya konsep dan pendekatan usrah kembali diperbaiki, agenda pemantapan tarbiyah akan berjalan dengan lebih sukses melalui: 

i-     Ikatan wala' yang menjadi intipati utama tarbiyah akan menjadi lebih jitu kerana konsep kekeluargaan akan membentuk kesetiaan,

ii-     Komitmen anggota kepada gerak kerja jemaah akan dapat dioptimumkan kerana usrah yang sebenar akan membuah rasa

a)    Kepunyaan (sense of belonging), sama sebagaimana sebuah keluarga dan

b)     Melahirkan kebersamaan ibarat sebuah bangunan yang kukuh.

3 Rejab 1440
9 Mac 2019

(ALANG IBN SHUKRIMUN) - HARAKAHDAILY 10/3/2019

 

POLITIK merupakan salah satu segmen sebuah kehidupan yang saling berkait di antara kita. Benarkah ramai yang beranggapan bahawa politik itu kotor dan sewajarnya kita tidak terlibat langsung? Sedangkan politik itu penting mencakupi pelbagai sudut perjalanan seharian kita. Kelihatan kotor itu bukan politik tetapi ahli politik yang meletakkan kepentingan tertentu yang utama.

Pelbagai episod pendedahan terbuka atau konspirasi terancang atau kini dikenali sebagai fitnah rantaian semakin merebak dalam masyarakat kita. Budaya Yahudi ini mula menular di kalangan kita sejak akhir-akhir ini. Namun dari sudut pandang tertentu, hikmahnya untuk kita bermuhasabah dan kembali menilai keterlibatan kita sama ada secara langsung atau tidak langsung (termasuk mereka yang langsung tidak mempedulikannya selama ini) melalui konteks politik Islam.

Media massa kini menjadi komponen dan platform penting komunikasi di kalangan masyarakat. Sama ada fakta atau auta, ianya berlegar-legar dengan pantas dan pelbagai penerimaan itulah seni politik dalam penyampaian. Namun hari ini, ada pihak yang tidak bertanggungjawab mewujudkan sandiwara politik dengan menjaja fitnah yang sebenarnya tidak menguntungkan rakyat malah lebih teruk lagi mereka hanya mementingkan diri sendiri sahaja. Itulah sebenarnya yang perlu dirungkaikan segera.

"Politik bukan bekalan untuk hidup tetapi politik bekalan untuk mati," petikan kata-kata Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad. Ia menunjukkan betapa pentingnya kepada kita semua. Justeru asas politik mesti bermula daripada individu dengan kesedaran dan kefahaman diberi penekanan penting. Kita mesti memilih untuk menjadi baik dan mengajak ke arah kebaikan bertepatan dengan fitrah kejadian manusia.

Bagi ahli gerakan Islam atau pastinya terdidik dengab adab berjemaah dengan memberi wala' dan tsiqah kepada pimpinan yang sudah pasti setiap keputusan dibuat secara syura. Strategi itulah akan merangkumkan individu kepada organisasi yang adanya pemimpin dan pengikut. Ilmu dan pengalaman perlu seiringan serta bersama-sama mendukung dengan penglibatan langsung akan menghampirkan kita kepada Allah S.W.T.

Sebagai ahli jemaah yang telah memahami tanggungjawab pastinya memilih untuk istiqamah dalam setiap tindakan dan aktiviti. Namun di sana pentingnya untuk terus memperkasa tarbiyah individu dan organisasi dengan berterusan. Tarbiyah akan mengikat diri kita untuk sentiasa dekat dengan Allah S.W.T serta membentengi kita daripada terlanggar prinsip berjemaah. Oleh itu, ahli jemaah mesti menghadiri usrah, ijtima', tamrin dan seumpamanya. Begitu juga buat ahli baru atau yang bersedia bersama dengan jemaah mestilah sekurang-kurangnya memulakan tarbiyah individu dengan solat fardhu berjemaah, qiamullai, bacaan al-Matsurat dan amalan sunat. InsyaAllah dengan sempurna tarbiyah, mudah untuk minda kita aktif dan bertindak secara proaktif seiringan dengan strategi dan fokus organisasi jemaah.

Menyerang untuk menerang, menyokong untuk kestabilan negara, bekerjasama untuk penyatuan ummah merupakan langkah politik damai yang mesti dicontohi daripada kepimpinan ulamak yang dibawa oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Tuan Guru sedang mengajar, mendidik kita Siasah Syar'iah berdasarkan banyak peristiwa Sirah Rasulullah S.A.W.

Pelbagai tuduhan dilemparkan kini oleh pihak lawan yang sudah tidak senang duduk dengan strategi politik Islam yang sudah pasti menguntungkan rakyat dan negara. Atas sebab itu, PAS sebagai parti yang menjunjung al-Qur'an, as-Sunnah, Qias dan Ijma' sebagai dasar perjuangan sering dilihat bertahan tetapi bukan bererti menyerah kalah atau mempertahan mereka yang didakwa bersalah. Namun terdapat pertimbangan wajar yang lebih ringan mudaratnya malah InsyaAllah akan memberi manfaat lebih baik untuk lebih ramai.

Justeru, Tuan Guru Presiden menyeru untuk kita semua khususnya ahli jemaah untuk bermunajat kepada Allah sebagai pengikat kesabaran kerana kita adalah hamba-Nya yang sememangnya dituntut akhirnya bertawakkal kepada Allah S.W.T. Yakinlah kita bahawa Allah S.W.T pasti membantu mereka yang berjuang untuk Islam.

"Kemungkinan Islam bukan menang di zaman saya, tapi di zaman tuan atau puan, atau tuan atau puan tidak sempat ketika Islam itu menang, tapi biarlah kita hidup dalam memperjuangkan Islam," pesanan Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Oleh yang demikian, saat ini yakinlah kita bahawa setiap tindakan kita hendaklah dilaksanakan kerana Allah S.W.T. Maka kembalilah kepada Allah S.W.T Maha Berkuasa atas segalanya, Tuhan Pencipta sekalian alam. Semoga kita semua mendapat keredhaan-Nya dan bertemu di syurga-Nya nanti sebagai orang-orang yang bertaqwa.

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan Muslim.”

(ali-'Imran : 102)

ZULFAHMI RAMLI
Pemuda PAS - HARAKAHDAILY 9/3/2019