IMITATION atau taqlid yang dimaksudkan di sini ialah hanya mengikut jejak langkah orang lain tanpa mengetahui dalil sandarannya. Perlu lahirkan kebimbangan apabila 'style' ini berterusan, akan melahirkan generasi yang sesat.

Antara penyakit yang sealiran dengannya ialah 'pembodohan'. Taqlidbiasanya muncul setelah melalui proses pembodohan ini. Lihat bagaimana Firaun memperbodohkan kaumnya, lantas kaumnya terikut sesat Firaun sepertimana dinyatakan di dalam Surah Zukhruf ayat 51 hingga 54:

فَٱسۡتَخَفَّ قَوۡمَهُۥ فَأَطَاعُوهُۚ إِنَّهُمۡ كَانُوا۟ قَوۡمࣰا فَـٰسِقِینَ

"(Dengan yang demikian), maka Firaun memperbodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya; sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasik - derhaka."

(Zukhruf: 54)

Manakala kesesatan bangsa terdahulu yang ingin diketengahkan ialahpolytheisme, yang bermaksud kepercayaan terhadap berbilang tuhan. Kita boleh lihat penyakit ini wujud pada Zaman Nabi Nuh A.S sepertimana yang diceritakan oleh Allah S.W.T:

وَقَالُوا لَا تَذَرُنَّ آلِهَتَكُمْ وَلَا تَذَرُنَّ وَدًّا وَلَا سُوَاعًا وَلَا يَغُوثَ وَيَعُوقَ وَنَسْرًا

"Dan (ketua-ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: "Jangan kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu, terutama (penyembahan) Wadd, dan Suwaa', dan Yaghuth, dan Ya'uuq, serta Nasr"."

(Nuh: 23)



a)  Imam Ibnu Kathir ketika menafsirkan ayat ini, beliau menukilkan riwayat daripada Imam Ibn Jarir At Tabari:

وقال ابن جرير : حدثنا ابن حميد ، حدثنا مهران ، عن سفيان ، عن موسى عن محمد بن قيس ) [ يغوث ] ويعوق ونسرا ) قال : كانوا قوما صالحين بين آدم ونوح وكان لهم أتباع يقتدون بهم ، فلما ماتوا قال أصحابهم الذين كانوا يقتدون بهم : لو صورناهم كان أشوق لنا إلى العبادة إذا ذكرناهم ، فصوروهم ، فلما ماتوا وجاء آخرون دب إليهم إبليس فقال : إنما كانوا يعبدونهم وبهم يسقون المطر ، فعبدوهم .

Petikan ini menyatakan bahawa Wadd, dan Suwaa', Yaghuth dan Ya'uuq, serta Nasr merupakan orang soleh yang hidup di antara zaman Nabi Adam AS hingga Zaman Nabi Nuh A.S. Setelah mereka mati, para pengikutnya generasi pertama membina patung mereka sebagai tugu peringatan, untuk menambahkan kerinduan ketika beribadah.

Namun apabila generasi pertama ini sudah mati, generasi kedua diperdaya oleh syaitan menyatakan bahawa generasi pertama dulu menyembah patung patung ini, sehinggalah generasi kedua itu pun menyembah patung patung itu kononnya mengikuti cara generasi pertama.

b)  Secara umumnya, penyakit ini bertitik tolak daripada konsep Taqlid (Imitation) yang dipromosikan oleh para pimpinan mereka yang sesat itu. Ia berdasarkan perkataan لا تذرن yang merupakan arahan, dantaukid (pengukuhan) terhadap arahan tersebut.

Mana-mana orang yang memimpin ke arah jalan yang sesat tidak wajar diikuti kerana Nabi Muhammad S.A.W pernah bersabda:

لا طاعة لمخلوق في معصية الخالق

"Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam melakukan maksiat kepada Allah."

Bahkan, konsep taqlid ini juga menjadi senjata syaitan untuk merosakkan golongan terdahulu sepertimana firman Allah S.W.T:

وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ اتَّبِعُوا مَا أَنزَلَ اللَّهُ قَالُوا بَلْ نَتَّبِعُ مَا وَجَدْنَا عَلَيْهِ آبَاءَنَا ۚ أَوَلَوْ كَانَ الشَّيْطَانُ يَدْعُوهُمْ إِلَىٰ عَذَابِ السَّعِيرِ

"Dan apabila dikatakan kepada mereka (yang ingkar): "Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah" mereka menjawab: "(Tidak), bahkan Kami hanya menurut apa yang Kami dapati datuk nenek kami melakukannya". Patutkah mereka (menurut datuk neneknya) sekalipun Syaitan mengajak mereka itu (melakukan perbuatan yang menjerumuskan mereka) ke dalam azab api neraka yang marak menjulang?"

(Luqman: 21)

 

MUHAMMAD MUJAHID IR HAJI MOHAMMAD FADZIL - HARAKAHDAILY 10/8/2019

IMG 20190810 WA0014

DUNIA yang penuh rencam hari ini menimbulkan suasana pertempuran ideologi yang bersifat pertembungan. Apabila tercetusnya pertembungan, maka mata mata manusia akan tertumpu di situ.
 
Inilah lumrah manusia. Pertembungan dianggap sesuatu yang 'hot'. Sebab itulah berita politik sering mendapat ranking pertama akhbar kerana sering berlakunya pertembungan.
 
Tambahan pula generasi hari ini yang lebih suka dialog yang berbeza fahaman, berbanding forum yang bersifat sealiran, yang agak mengantukkan. Ini kerana pertembungan biasanya mencambahkan fikiran.
 
Dalam industri perfileman, konsep pertembungan (collusion) ini banyak digunakan dalam filem bagi merancakkan lagi jalan ceritanya. Seperti konsep superhero yang pastinya ada musuh ketat yang difilemkan akan kalah di hujung cerita.
 
Boleh lihat dalam banyak kisah di dalam al Quran, Allah S.W.T menzahirkan pertembungan antara haq dengan batil, supaya ia diberi perhatian. Bahkan kebanyakan kisah para Nabi dikaitkan dengan penentangan daripada kaumnya menunjukkan bahawa konsep pertembungan menzahirkan lagi kisah tersebut.
 
Bahkan, konsep النقد atau الجدل dan semaksud dengannya pernah mengembangkan lagi dunia perbahasan falsafah. Seperti pertembungan Pemikiran Socrates dan Sophisme, perselisihan Imam al Ghazali dan Ibnu Rushd, dan Reinansance di era kejatuhan Falsafah Barat menyaksikan pertembungan antara ahli-ahli Falsafah.
 
Hari ini kita tidak dapat lari daripada mengatakan "Wujudnya pertembungan, merangsangkan lagi fikiran". Begitulah sepertimana yang saya katakan tadi tentang perkembangan dunia falsafah, bahkan perkembangan mazhab-mazhab feqah dalam Islam.
 
Apa yang dimaksudkan dengan "Created Collusion"?
 
Kadang-kadang pertembungan ini sengaja di'create' sebagai strategi untuk menarik perhatian atau mem'bom' sesuatu isu. Ataupun untuk menaikkan individu-individu tertentu melalui propoganda cara ini.
 
Contoh propoganda 'created collusion' yang membuahkan hasil ialah ketika pihak Barat ingin menaikkan populariti Mustafa Kamal Atartuk dalam beberapa siri peperangan olok-olok. Antaranya perang di Semenanjung Ghalibuli di Balkan Darnadil. 
 
Setelah itu, nama Mustafa Kamal semakin masyhur sehingga disyairkan oleh penyair terkenal, Ahmad Syauqi, yang menggelarnya seperti Khalid al Walid. Projek created collusion ini semakin masak ranum apabila akhirnya Mustafa Kamal berjaya menjatuhkan khalifah dengan berbekalkan kesilauan (الانبهار) ummat Islam ketika itu.
 
Propoganda biasa dicipta dengan pelbagai persembahan drama. Cuma suka untuk saya utarakan di sini berkenaan dengan kemunculan Islamophobia perlu diteliti dengan sebaiknya dari sudut adakah wujud di sana created collusion ataupun ia tidak disengajakan?
 
Islamophobia Disuburkan Untuk Apa?
 
Istilah ini mula digunakan sejak tahun 80an lagi, kemudian pada 1997, Badan Amanah Runnymede memperkenalkan takrif yang lebih jelas. Setelah itu, pada 2001 berlakunya peristiwa 11 September menzahirkan lagi agenda Islamophobia.
 
Walaubagaimanapun saya melihat bahawa selain ia sengaja di'create' untuk memburukkan Islam, ia juga sangat membantu menzahirkan lagi Liberalisme seolah olah menterjemahkan Islam cara pandangan baru yang lebih terbuka sebagai reaksi kepada budaya takut terhadap Islam (Islamophobia).
 
Setelah meneliti beberapa fakta, saya berpendapat bahawa propoganda Islamophobia disuburkan di saat ini bagi menyerlahkan lagi liberalism dengan menggunakan strategi created collusion ini. Boleh lihat bagaimana di saat orang melihat Islam itu di pandangan serong, liberalism datang membawa penyelesaian yang terlebih sudu dari kuahnya. 
 
Atau dengan rumus yang lebih mudah, semakin subur Islamophobia dibajakan, semakin tinggi pandangan manusia terhadap liberalism. Liberalism dilihat sebagai penyelesaian kepada masalah-masalah utama yang ditimbulkan oleh Islamophobia.
 
• Contohnya, di saat masyarakat digambarkan dengan ganasnya Islam, liberalism datang dengan dalil-dalil keharmonian dalam Islam sehingga melangkaui batas syara' dan prinsip Islam itu sendiri. 
 
• Contoh yang lain, apabila Islam itu digambarkan sebagai agama yang keras, syahid, kolot, mengongkong dan sebagainya, para liberalism akan muncul mendatangkan dalil dalil al Quran dan Hadis yang menghuraikan tentang tolak ansur Islam, kelonggaran Islam, kemodenan Islam dan kebebasan Islam sehingga melangkaui batas syara'.
 
Ini membuatkan Islam itu dipandang dengan pandangan liberalism. Islam dilihat meraikan keharmonian kaum sehingga 'tiada masalah' untuk gadaikan satu dua prinsipnya. Seperti dikatakan "prinsip Islam yang ketat ketat tu apa salah dilonggarkan sedikit" walhal hakikatnya mereka longgarkan selonggar-longgarnya.
 
Penafsiran longgar terhadap Islam ini adalah hasil dahsyatnya propoganda Islamophobia. Pertembungan ini seolah olah sengaja dicipta, untuk menzahirkan lagi liberalism. Bahkan men'tune' akal ummat Islam supaya meliberalkan agamanya sendiri yang dirasakannya terlalu tegas.
 
Beberapa contoh hasil daripada 'created collusion' ini ialah;
 
• Mereka gayat menceritakan tentang hukuman pancung dalam Islam. Lalu mengemukakan idea lain, seperti menyatakan hukuman hudud tak sesuai.
 
• Mereka serba salah untuk melabelkan kafir kepada orang kafir. Sebaliknya mereka menukar kepada penggunaan perkataan non-muslim.
 
• Mereka mengatakan tak wajar cegah LGBT, kerana katanya ia mengganggu hak kebebasan manusia. Lalu dikemukakan dalil-dalil untuk diperkudakan.
 
MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL
Bangi, Ahad, 4 Ogos 2019 - HARAKAHDAILY 4/8/2019

PERJUANGAN PAS kekal berlandaskan Al Quran, Sunnah, Ijma dan Qias biarpun berganti pimpinan dan seluruh ahli parti wajib meyakininya. Pelbagai tohmahan dan cacian yang telah dilontar kepada PAS sehingga hari ini adalah kerana PAS tegas berprinsipkan dasar Islam, bukannya kerana parti PAS lemah dan sebagainya. PAS di bawah Pakatan Rakyat mampu memenangi 22 kerusi parlimen, manakala dengan Gagasan Sejahtera mampu memenangi 18 kerusi Parlimen dan ini adalah kemenangan.
 
Hal ini turut menegaskan bahawa perjuangan PAS bukanlah perjuangan ke Putrajaya semata-mata, tetapi perjuangan untuk menegakkan kalimah Allah di Malaysia tercinta ini. Isu penggunaan agama yang sering dimainkan oleh politik lawan menduduh PAS sebagai parti penunggang agama, menggunakan agama demi kepentingan parti adalah jauh tersasar dan tidak cerdik.
 
Pentadbiran politik secara semak dan imbang pasti akan menampilkan pelbagai masalah dari sudut agama, bangsa, rakyat mahupun negara yang perlu diselesaikan mengikut rujukan-rujukan tertentu. Oleh itu, ahli PAS mesti yakin dan tsiqah bahawasanya Islam ialah sebaik-baik jalan penyelesaian.
 
Islam sebaik jalan penyelesaian
 
Permasalahan yang berlaku di Malaysia tidak terkecuali berlaku di Negara-negara yang lain sama ada dari sudut agama mahupun politik. Gejala politik kotor yang semakin membarah dalam masyarakat kita hari ini hanya dapat diselesaikan dengan memahami ajaran Islam yang sebenar.
 
Ajaran Islam yang sebenar ialah ajaran yang bersumberkan Al Quran, Sunnah Rasulullah, Ijmak para ulamak, dan Qias. Dengan pemahaman Islam yang baik, maka secara sendirinya kita akan lebih yakin bahawa setiap permasalahan yang berlaku akan dapat diselesaikan dengan panduan Islam.
 
Sebagai umat Islam, menjadi keperluan kepada kita untuk meyakini suatu masalah itu adalah datangnya dari Allah, dan Allah jualah yang memberikan penyelesaian kepada kita melalui sumber-sumber tersebut bertujuan untuk mengajar dan memperkukuhkan iman kita. (Dr. Rosni Adam, 2017) Segala permasalahan yang timbul, pastinya akan dapat diselesaikan jika terus berbalik kepada agama tidak kira masalah sosial, kewangan, hutang liabiliti, perwarisan harta dan sebagainya.
 
Pemahaman perjuangan politik Islam mampu memacu para mujahidin untuk sentiasa mengutamakan kepentingan beragama dalam menyelesaikan masalah. Mengapa perlu kita mencemuh orang yang menggunakan agama demi menyelesaikan masalah? Hal ini tidak wajar kerana hakikat akal kita hanya terhenti kepada apa yang ada di depan mata, sedangkan agama Islam ini meliputi perkara yang tidak kita lihat, iaitu dosa dan pahala.
 
Jika suatu perjuangan itu tidak berlandaskan agama, maka segala apa yang dibuat adalah halal. Seorang pemimpin boleh menfitnah, menuduh parti lawan dengan pelbagai cara sehingga dijatuhkan, sedangkan menfitnah ini adalah satu dosa besar. Hal ini difirmankan Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 191 dan 217 menjelaskan bahawa fitnah ini teruknya lebih besar dari membunuh.
 
Lalu apabila timbul kes tuduh-menuduh, fitnah-menfitnah, khianat-mengkhianati wajarlah untuk PAS tidak terkehadapan secara terburu-buru dalam memberi pandangan. Adapun jika pimpinan PAS membacakan ayat yang menjelaskan dosa fitnah itu untuk tidak memberi komen awal, maka PAS dituduh ‘parti pengecut’ yang menunggang agama. Ini adalah persepsi kotor dan ianya tidak selari dengan kehendak ajaran Islam iaitu tidak boleh dihukum melainkan terbukti bersalah.
 
Polemik kotor tidak berlandaskan agama ini akhirnya memalitkan PAS menerima dana 1MDB sebanyak RM90 juta. Isu yang dimainkan ini tidak dicanang oleh sembarangan orang, antara mereka yang terlibat ialah pimpinan PAN. Mereka mendakwa memperjuangkan Islam, tetapi hatta perkara tentang fitnah sahaja mereka tidak tahu mengatasi dengan cara mudah yang diajarkan dalam Islam.
 
Tanpa bukti yang kukuh, mereka dengan senang hati berkata-kata buruk tentang peribadi seseorang, menuduh pimpinan PAS menerima duit 1MDB untuk  memenangi undi rakyat dengan cara menjatuhkan PAS khususnya. Akhirnya, rakyat Malaysia sendiri hari ini mampu melihat dan menilai bahawa setiap tuduhan tersebut hanyalah palsu, sesuai dengan pengakuan SPRM yang mengesahkan bahawa tiada seorang pun akaun ahli PAS terlibat dengan skandal 1MDB. (Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, 2019)
 
Di sini, penulis ingin menimbulkan beberapa persoalan, ke mana hilangnya laungan RM90 juta yang enak didendangkan mereka semasa PRU14 yang lalu? Tidakkah mereka berasa malu kerana tuduhan jahat ini akhirnya tewas di tangan SPRM sendiri?
 
Malaysia hari ini juga dikejutkan dengan pelawaan PAS untuk sertai PH dan hal ini tampak lebih bermasalah dan tidak menyelerakan kerana yang mengutarakan ini ialah pimpinan PAN itu sendiri, Inilah antara impak negatif yang akan berlaku jika tiada nilai Islam yang disertakan dalam membuat keputusan. Tiada lagi erti pemahaman halal dan haram, dosa dan pahala.
 
Maka untuk menerajui politik bersih dan sejahtera, penulis menyeru rakyat Malaysia khususnya untuk sentiasa meyakini, hanya Islam sebagai satu-satunya jalan penyelesaian untuk semua permasalahan yang ada. Sesuai dengan firman Allah:
 
“Tidaklah Kami mengutuskan kamu wahai Muhammad (untuk menyampaikan Islam) melainkan sebagai rahmat kepada sekalian alam.”
(Al Anbiya, 107)
 
PAS sebagai parti pilihan rakyat
 
Lewat tahun 2010, Menteri Agama yang ketika itu anggota Parlimen Parit Buntar di atas tiket PAS mengeluarkan satu buku bertajuk “Menuju PAS Baru” yang penulis kira dalam kategori gagal kerana isi kandungannya yang jauh tersasar dari fikrah perjuangan PAS.
 
Mujahid di dalamnya bukunya mengakui bahawa PAS gagal merencanakan kemenangan Islam adalah kerana pimpinannya dikalangan ulamak. Hal ini secara tidak langsung turut membawa maksud bahawa ulamak adalah punca PAS tidak dapat sambutan dalam kalangan masyarakat. Buku tersebut diadakan bertujuan untuk menjadikan PAS lebih Liberal dan bersifat nasional di samping mengenepikan ajaran dan tuntutan Islam.
 
Buku tersebut gagal mendapat perhatian ahli PAS khususnya kerana isi kandungannya terlalu bersifat menolak penglibatan Islam dalam perjuangan politik tanah air. Secara tidak langsung juga turut membuktikan bahawa beliau tidak sedikit pun setara dengan presiden PAS, Tuan Guru Haji Hadi dalam penghasilan buku ilmiah untuk membentuk idealisme perjuangan PAS.
 
Kenyataannya hari ini, rakyat Malaysia terus menyatakan sokongan padu kepada perjuangan PAS di bawah pimpinan presidennya kini. Hal ini terbukti dengan galakan dan penyertaan rakyat dalam penubuhan pelbagai institusi yang dibangunkan oleh PAS iaitu antaranya : Taman Asuhan Tunas Islam (TASTI), Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI), Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI), Kolej Universiti Zulkifli Mohamad (KUIZM) dan banyak lagi.
 
Inilah menifastasi penerimaan rakyat terhadap PAS sebagai satu-satunya parti politik yang tidak hanya berpolitik, tetapi tetap mengutamakan aspek dakwah dan tarbiyah dalam membina generasi masyarakat yang berguna seterusnya mampu melahirkan pelapis pejuang yang akan terus menyambung perjuangan Islam.
 
Meskipun PAS bukan parti kerajaan, PAS mampu menghidupkan siyasah syar’iyyah di kalangan hati para mujahidin dalam perjuangkan Islam. Oleh itu, perkataan "Kita takluk Putrajaya, baru kita laksana Islam" adalah tidak relevan dan bercanggah dengan tuntutan Islam seperti mana ibrah sirah Rasulullah S.A.W.
 
Sirah Rasulullah menceritakan bahawa perjuangan awal Nabi Muhammad ialah memahamkan para sahabat tentang Islam, jauh sekali dengan perjuangan PAN yang hendakkan kuasa dahulu baru laksana Islam. Inilah sifat penting diri yang perlu ahli PAS elakkan kerana dikhuatiri akan merugikan masa dan pengorbanan dalam perjuangan.
 
Sehingga hari ini, perjuangan PAN untuk membawa Islam setelah kemenangan ke Putrajaya hanyalah satu retorik dan ia amat memalukan!
 
Umat Islam mesti bersatu-padu membentuk barisan benteng-benteng pejuang Islam dengan cara mendalami ilmu Islam. Hal ini sedikit sebanyak dapat meningkatkan kefahaman kepada kita untuk memahami tuntutan Islam kepada kita secara ilmiah berbanding dengan persepsi kotor yang dilemparkan oleh parti lawan.
 
Kesimpulannya, walaupun perjuangan PAS seringkali dipandang rendah oleh parti lawan, ia tetap kuat dengan sokongan rakyat di pelbagai lapisan, agama dan bangsa yang sentiasa meyakini bahawa Islam ialah sebaik-baik jalan penyelesaian dan hanya PAS satu-satunya parti yang memperjuangkannya. - HARAKAHDAILY 21/7/2019

PEMUDA atau generasi baru merupakan satu konsep entiti yang tidak kurang besar dan selalu dikaitkan dengan nilai dalam perjuangan. Hal ini terbukti apabila muncul pelbagai slogan ideologis yang membawa erti ilmiah seperti “Pemuda Harapan Bangsa, Pemudi Tiang Negara”. 
 
Perkara ini seterusnya membuktikan bahawa seorang anak muda itu perlu sentiasa kuat dan cekal dalam memberi penilaian masa depan masyarakat. Tetapi beberapa persoalan timbul, apakah akan tiba masanya prinsip anak muda di dunia ini hilang, menjadi hamba kepada manik-manik syaitan seperti dadah, membunuh dan sebagainya?
 
Jati diri anak muda
 
Masa muda adalah satu saat yang perlu di dalam suatu fasa kematangan insan dalam membentuk suatu kehidupan. Fasa ini membawa kepada perkembangan dan perubahan-perubahan jati diri secara berkadar terus. Proses dalam fasa ini memerlukan seorang anak muda itu melalui beberapa rintangan dan halangan sama ada dari luaran atau dalaman. 
 
Tidak dinafikan, bukan kecil julat dan bilangan anak muda hari ini yang tidak terselamat. Ada di antara mereka menjadi pembunuh, penagih dadah, terlibat dengan kongsi gelap dan sebagainya. Jadi, apakah pangkal jalan terbaik dalam proses membentuk diri anak muda ini? Jawapannya ialah lingkungan.
 
Telah bersabda Nabi Muhammad S.A.W di dalam hadisnya yang sahih diriwayatkan oleh Abu Burdah bin Abu Musa dari ayahnya berkata: Rasulullah S.A.W bersabda:
 
“Perumpamaan orang yang bersahabat dengan orang soleh dan orang yang bersahabat dengan orang buruk perangai seperti penjual minyak wangi dan tukang kimpal besi. Pasti kau akan dapat bauan wangi dari penjual minyak wangi sama ada membeli atau tidak. Sedangkan dari tukang besi kamu akan merasa bahang atau kainmu atau kamu akan mendapatkan bau yang hanyir.”
(HR Bukhari No: 1959)
 
Maka dengan hadis ini, jelas seorang anak muda perlu hidup dan duduk bersama lingkungan yang baik agar dapat membentuk jati diri murni seterusnya bersedia tanpa ragu untuk memulakan perjalanan dakwah. 
 
Lingkungan tersebut perlulah sentiasa dihidupkan dengan keperibadian yang baik dan membentuk satu usrah kekeluargaan agar kekal kukuh membentengi pengaruh luar yang kurang sihat. Jika seorang anak muda itu berjaya mengusai masa mudanya, maka belia ini juga akan mampu mencorak masa depannya dengan baik.
 
Perubahan budaya sosial masa kini bergerak amat pantas dan mengakibatkan teknologi-teknologi canggih ini disalah guna seterusnya mampu memberi impak negatif kepada persekitaran anak muda. Cabaran baru ini merupakan satu tahap sukar yang perlu dihadapi remaja dengan teliti dan berhati-hati. 
 
Pada 10 bulan pertama tahun 2017, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sahaja sudah menerima 6,275 aduan berkaitan penyalahgunaan perkhidmatan komunikasi media baharu di seluruh Malaysia. (Balqis Jazimah Zahari, 2017)
 
Aduan yang diterima mereka termasuklah kandungan media yang mengandugi bahan hasutan yang merosakkan, lucah, sumbang mahram, ancaman dan sebagainya. Hal ini sangat sukar ditepis jika seorang anak muda itu tidak memenuhkan jiwanya dengan nilai-nilai Islam yang sebenar. 
 
Seorang anak muda itu tidak diwajar dicemari dengan gejala negatif yang berpotensi merosakkan masa depan mereka! Mungkin ayat ini kedengaran kasar, tetapi hakikatnya meskipun telefon bimbit ini kecil dan nipis, ia mampu membunuh jutaan nyawa tanpa kita sedari dari mana ia bermula.
 
Oleh hal yang demikian, kaum muda ini perlulah dibentuk dan dicorakkan sebaiknya agar mampu menjadi pejuang sejati yang akan tidak akan segan silu membawa panji Islam di persada dunia melalui media digital, dunia di hujung jari.
 
Pejuang tidak lahir, mereka dibina
 
Dalam era Malaysia Baharu, umat Islam dijanggalkan dengan pelbagai masalah dan isu penting seperti pelaksanaan demokrasi, politik pluralisme dan tidak ketinggalan juga hak asasi manusia. Sistem demokrasi merupakan satu sistem yang menuntunkan rakyat mendalami erti prinsip adil dan saksama. 
 
Para ahli pemikir Barat seperti Hutington adalah salah seorang dari para Orientalis yang beranggapan bahawa Islam tidak akan mampu membawa demokrasi kerana hukum-hakamnya yang komprehensif dan tidak signifikan pada zaman kini. (Samuel P. Hutington, 1995)
 
Hal ini sama sekali tidak benar kerana mereka melihat dunia tanpa erti halal dan haram. Hutington bersama rakan orientalisnya, Lewis menghukumkan Islam sepatutnya perlu bersifat Liberal dalam mendominasi keadilan. Agama manakah yang mengajarkan kita untuk menjual agama demi keadilan dunia? Malah adanya agama dan pegangan itu ialah untuk menjadi ikutan yang benar.
 
Setiap Muslim itu perlulah mengikuti perkara yang benar sesuai dengan firman Allah S.W.T di dalam Al Quran:
 
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang yang benar.”
(at-Taubah: 118)
 
Maka dari itu, seorang anak muda itu perlu sentiasa berusaha membina jati diri yang benar di samping orang benar agar kebenaran itu sentiasa dilestarikan mengikut apa yang dibenarkan Allah dan tidak sewenang-wenangnya menjual agama demi kepentingan politik dunia.
 
Islam bukan seperti Matematik
 
Agama Islam datangnya dalam satu kesempurnaan dan jika menolaknya sebahagiannya, maka tidak sempurna hukumnya. Sebagai anak muda yang bakal mewarisi perjuangan, perlulah sentiasa menjaga kelestarian agama Islam agar hukumnya tidak dipecah-belahkan. Agama Islam tidak boleh setengah diambil dan setengah ditolak kerana Islam bukan agama coretan!
 
Para Orientalis menganggap Islam tidak menghormati hak asasi manusia seperti hukuman potong tangan, rejam bagi pelaku zina yang sudah berkahwin dan sebatan bagi peminum arak. Ini adalah di antara doktrin yang mengikat mereka untuk sentiasa memimpin negara yang rosak agar mereka dapat memenuhi agenda ‘New World Order’ seterusnya membinasakan Islam. 
 
Oleh itu, anak muda perlulah sentiasa berwaspada dan perkukuhkan ilmu bagi menangkis doktrin-doktrin kotor yang akan membinasakan minda anak muda ini. Hukuman-hukuman Islam tidak kejam kerana ia merupakan ‘Last Trumpt Card’ dalam menyelesaikan pelbagai masalah. 
 
Seorang perogol itu mungkin tidak terkesan dengan hukuman penjara jika disabitkan bersalah kerana pada pengamatannya mungkin penjara reman cuma dua minggu. Kemudian rakan sepolitiknya yang berkuasa akan membebaskannya dengan pengaruh kuasa judisiari seterusnya memberi impak besar kepada kehidupan mangsa rogol. 
 
Ini merupakan satu ketidakadilan dan anak muda perlu memahami perkara ini! Inilah kelemahan sistem manusia kerana hukumannya tidak absolute dan kelihatan fragile. Jika hudud, qisas dan takzir ini dijalankan dengan baik, maka pasti graf kes rogol, cabul, rasuah dan seumpanya pasti menurun dalam jumlah yang besar. 
 
Pemuda mesti yakin, Islam ialah jalan penyelesaian kepada semua masalah yang ada dan mampu membentuk perpaduan yang harmoni melalui perlaksanaan hukum-hakam Islam. 
 
Memetik kata-kata Mr Kong Tuck Wah di dalam ucapannya mewakili Dewan Himpunan Penyokong PAS pada Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali ke-65, “Tak perlu takut pada hudud, hudud untuk orang yang jahat sahaja, hanya orang jahat anti hudud, orang baik sokong hudud”.
 
Kekuatan anak muda perlulah diselarikan dengan konsep Islam sebenar berlandaskan Quran, Sunnah, Ijma dan Qias agar kekuatan pejuang yang terbina itu tidak terkeluar dari landasan kebenaran. Selain itu, anak muda wajib perkukuhkan pegangan agama dengan kemas dan rapi agar mampu menepis segala pandangan-pandangan Orientalis yang sentiasa ingin memburukkan Islam di pentas dunia. 
 
Dalam pada itu, anak muda juga perlulah membentuk ikhlas amal Islami dan menghadiri usrah dan takzirah bagi membentuk jiwa Islam yang berkualiti. Seterusnya menjadi acuan khas pembentuk pelapis pejuang yang akan menyambung perjuangan PAS dalam memartabatkan Islam. - HARAKAHDAILY 11/7/2019

SECARA asasnya, Islam melarang anak-anak yang belum akil baligh terlibat dalam peperangan. Namun, terdapat dalam kalangan Sahabat R.A yang umurnya masih kecil, dibenarkan menyertainya disebabkan beberapa perkara. Antaranya, mereka melepasi ujian fizikal yang diberikan. Sparing, mengangkat pedang dan lain-lain. Bahkan ada dalam kalangan mereka yang merayu-rayu dan bersungguh-sungguh meminta lalu diizinkan oleh Nabi S.A.W.
 
Perang Badar
 
1. Mu'az bin Amru (14 tahun) dan Mu'awwiz bin Afro (13 tahun). Kedua beradik ini berganding bahu menjatuhkan Abu Jahal dari kudanya yang disaksikan oleh Abdul Rahman bin Auf, kemudian  datang Abdullah bin Mas'ud menamatkan riwayatnya.
 
2. Umair, adik kepada Sa'ad bin Abi Waqqas (16 tahun) menyertai dan syahid dalam peperangan Badar. Beliau menyorok khuatir dilihat oleh Rasulullah kerana tahu tidak akan diizinkan untuk ikut sama berperang. Tetapi beliau merayu-rayu tanda kesungguhannya, lalu diizinkan. Bahkan, pedangnya dibawa oleh Sa'ad kerana beliau tidak kuat membawanya sendiri! Takdir Allah, Umair bin Abi Waqqas tersenarai dalam 14 Syuhada' Badar.
 
3. Harithah bin Suraqah (tidak dipastikan umurnya), terbunuh kerana terkena anak panah sesat. Ibunya Ummu Ar Rubayyi' binti Al Barra' khuatir adakah anaknya mendapat ganjaran syahid atau tidak, lalu bertanya:
 
"Wahai Nabi Allah, tidakkah engkau memberitahuku tentang nasib Harithah, dia terbunuh kerana terkena anak panah sesat dan tidak diketahui pelakunya. Jika dia disyurga, maka aku bersabar, dan jika tidak di syurga aku amat menyesalinya". Lalu Baginda S.A.W bersabda
 
"Duhai Ummu Harithah, ada beberapa syurga dengan darjat kemuliaan yang berbeza. Sesungguhnya anakmu beroleh syurga Firdaus, syurga yang tertinggi darjatnya". 
 
4. Sa'ad bin Khaithamah, ketika mahu berjihad membuat undian bersama ayahnya kerana tidak mahu ketinggalan merebut pahala jihad, akhirnya Sa'ad terpilih dan beliau gugur syahid. 
 
Perang Uhud
 
Rafi' bin Khadij dan Samurah bin Jundab. Keduanya berusia 15 tahun. Keduanya diizinkan selepas dimaklumkan mereka hebat ketika latihan bermain pedang. Dikatakan kepada Nabi S.A.W "Wahai Rasulullah, sesungguhnya Samurah pernah megalahkan Rafi'." Lalu diizinkan kedua berperang.
 
Perang Khandaq
 
Usamah bin Zaid, Abdullah bin Umar, Zaid bin Tsabit, Al Barra' bin Azib, Amr bin Hazm, Usaid bin Dhuhair. Kesemua anak muda ini meminta untuk berperang ketika perang Uhud, tetapi tidak diizinkan oleh Nabi saw, kemudian kesemuanya dibenarkan bersama Nabi saw dalam perang Khandaq selepas genap 15 tahun.
 
Nabi S.A.W pernah bersabda "Setiap para Nabi memiliki Hawariy (pendokong setia) dan Hawariyku adalah Az Zubair" (HR Muslim). Az Zubair merujuk kepada Zubair bin Al Awwam.
 
Perang Yarmuk
 
Abdullah bin Zubair, anak kepada pasangan Zubair bin Awwam dan Asma' binti Abu Bakar. Mula menyertai peperangan ketika usianya 12 tahun. 
 
Abdullah bin Zubair termasuk dalam kalangan Empat Abdullah yang menghafaz Al Quran. 
 
Realiti hari ini
 
Apabila menyentuh aspek jihad dan syahid pada hari ini, terus sahaja kita dibayangi dengan persoalan teroris, ganas, dan keras. Apatah lagi persoalan anak kecil yang terlibat dengannya. Tidak dinafikan, naratif menolak keganasan suatu yang penting, namun yang menjadi malang ialah apabila ia dibariskan dengan jihad dan syahid secara sembrono. 
 
Salahfaham terhadap jihad mesti dibetulkan, dan meninggalkan ajaran jihad kepada anak-anak juga menjadikan jiwa mereka rapuh dengan Islam. 
 
Intipati didikan anak muda
 
Yang menjadi keutamaan adalah kandungan ajaran terhadap anak-anak. Ia bukan semata-mata persoalan usianya. Mengubah had umur belia tetap tidak mengubah apa-apa kecuali merubah isinya. Yang penting, usia yang ada digunakan untuk kebaikan atau sebaliknya.
 
Sebab itulah, Allah amat suka kepada anak muda yang usianya dimanfaatkan untuk agama hingga mendapat naungan Arasy Allah. "Seseorang anak muda, yang membesar dalam keadaan beribadah kepada Allah (iaitu usia mudanya hanya melakukan ketaatan). 
 
Benarlah kata Saidina Umar Al Faruq: 
"Islam akan menjadi mulia, tatkala anak-anak muda sahaja sudah berani membela kehormatan Islam".
 
MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN

ISLAM merupakan agama yang cukup menjaga soal nasab, keturunan serta maruah. Malah penjagaan tersebut dikategori sebagai salah satu dari 5 perkara asas darurah yang dikenali sebagai ad-daruriyatul khams (الضروريات الخمس). Tanpa 5 perkara penjagaan ia iaitu agama, nyawa, akal, nasab keturunan termasuk maruah serta harta akan membawa kebinasaan dan kehancuran dalam kehidupan.
 
Mengejutkan apabila laporan akhbar Astro Awani pada 2 Julai 2019, mengenai kes rogol budak darjah 6 iaitu berusia 12 tahun ke atas budak berusia 4 tahun akibat bahana menonton video di telefon bimbit. 
 
Dalam Islam, jenayah rogol adalah satu jenayah yang amat berat sekalipun ia tidak termasuk dalam ketegori jenayah hudud yang ditetapkan kadar hukumannya. Para ulama berselisih pandangan akan hukuman yang wajar dikenakan ke atas perogol. Ia kerana jenayah rogol merupakan jenayah yang melibatkan persetubuhan namun berlaku secara paksaan ke atas satu pihak lagi. Berbeza dengan zina yang melakukan jenayah atas kerelaan kedua-dua pihak. 
 
Majoriti ulama berpandangan ia diqiyaskan kepada jenayah zina dari sudut hukumnya ke atas perogol, namun tidak dikenakan ke atas mangsa rogol. Jika perogol belum bernikah maka dikenakan sebatan sebanyak 100 kali namun jika sudah bernikah maka hukumannya ialah rejam. 
 
Ada juga ulama seperti pandangan dari Mazhab Hanafi dan Maliki yang berpandangan harus hukuman takzir lebih berat iaitu hukuman bunuh berdasarkan pembuktian dan kondisi jenayah yang berlaku atas pertimbangan oleh pihak mahkamah untuk memutuskannya. Ini kerana mangsa menanggung malu dan beban hasil paksaan yang terkena ke atas dirinya. Malah hakim boleh menimbangkan hukuman pampasan menerusi takzir yang patut diterima oleh mangsa rogol bagi menampung bebanan yang dipikul.
 
Namun di pengamalan Mahkamah di Malaysia adalah berbeza kerana bidang kuasa Mahkamah Syariah yang terhad diikat pada Akta 355 atau dikenali Akta 356. Jenayah rogol menerusi Mahkamah Sivil pada Seksyen 376 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman bagi pesalah rogol ialah penjara minima lima tahun dan maksima 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan. Dalam hal ini, hukuman ke atas perogol sahaja dan mangsa tiada peruntukan apa-apa pampasan melainkan menanggung malu. 
 
Di sinilah, perlunya pihak kerajaan mengambil tindakan yang agresif untuk memastikan bidangkuasa Mahkamah Syariah terus dipertingkatkan bagi mengikuti seluruhnya hukum di dalam Islam. Tidak lagi hanya terhad pada bidangkuasa tertentu yang amat sempit. 
 
Dalam kes yang berlaku seperti yang dilaporkan melibatkan kanak-kanak bawah 12 tahun, ia tidak boleh diambil ringan walaupun atas alasan bawah 18 tahun. Ini kerana mangsa rogol yang akan menghadapi tekanan minda dan kesan fizikal. Malah sudah pasti keluarga mangsa lebih terkesan berbanding keluarga pesalah. Maka keadilan perlu diberikan kepada kedua-dua pihak sewajarnya menurut perspektif Islam. 
 
Selain itu, isu rogol di negara ini sudah kritikal. Sudah acapkali pimpinan PAS menggesa pihak kerajaan dalam menangani kes rogol dengan lebih efisien dan terbaik. 
 
Di samping itu, Pemuda PAS Selangor juga melihat beberapa tindakan yang boleh diambil sebagai solusi kes jenayah rogol ini dengan dua aspek: 
 
Pertama: Aspek pendidikan
1.    Pihak kerajaan mesti memperkasakan silibus pengajian Islam di seluruh sekolah dan pelbagai tahap pendidikan sebagai subjek wajib, bukan selektif. 
2.    Para ibu bapa dan guru mesti berganding bahu memantau kelakuan anak-anak dan memastikan sukatan pelajaran agama diberikan perhatian yang lebih dan serius. 
3.    Mempergiatkan kempen yang sihat dalam membangunkan nilai moral dan jati diri syaksiah seperti kempen jaga pandangan dan memelihara kehormatan di seluruh peringkat sama ada agensi kerajaan, sekolah, masyarakat dan keluarga. 
4.    Penekanan pemakaian patuh syariah yang menutupi aurat oleh semua umat Islam serta pemakaian sopan bagi yang bukan beragama Islam. Termasuk juga pengiklanan sama ada secara maya, digital serta di papan tanda. 
 
Kedua: Aspek Pencegahan
1.    Memperkasakan bidangkuasa Mahkamah Syariah agar diberikan kuasa penuh sebagaimana peruntukan dalam syariat Islam. 
2.    Kementerian yang berkaitan seperti Penerangan, Komunikasi dan Multimedia untuk lebih agresif menyekat laman sesawang yang mempunyai unsur lucah dan seksi. 
3.    Penetapan cara pemakaian yang bersesuaian dengan etika agar tidak seksi dan menjolok mata. Bagi umat Islam dengan menutupi aurat, bagi bukan beragama Islam ialah batasan sopan. 
4.    Pihak berkuasa mesti menutup semua pusat maksiat sama ada yang berlesen atau tidak. Serta memantau pusat siber umum agar tidak menjadi tempat lepak remaja-remaja dengan aktiviti yang kurang sihat. 
 
Pemuda PAS Selangor berharap agar pihak berkuasa dapat mengambil langkah segera bagi memastikan kes jenayah rogol ini dapat di atasi dengan terbaik menerusi aspek pendidikan dan aspek pencegahan. 
 
"Demi Islam"
"Bangkit: Pemuda Perintis Kebangkitan Ummah"
 
USTAZ HANAFI ZULKAPLI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Selangor
Tarikh : 29 Syawal 1440H / 3 Julai 2019 - HARAKAHDAILY 3/7/2019

PERJALANAN sebuah kehidupan di dunia ini sudah pastinya akan berakhir di akhirat. Soalnya adakah kita sebagai anak muda hari ini sentiasa berada dalam landasan menuju ke syurga Allah S.W.T lebih-lebih lagi muhasabah kepada ahli gerakan haraki?
 
Jika hendak dialihkan gunung dan bukit, panggilah pemuda kerana tenaga dan keupayaan idea penyelesaiannya, tetapi jika hendak dialihkan rumah, serahlah kepada orang tua yang lebih banyak pengalaman dan mahir selok beloknya. 
 
"Apabila bicaranya seorang pemuda adalah melibatkan masa depan yang ingin dilihat lebih baik dan tahniah kepada Pemuda PAS yang bukan hanya memberikan idea yang bernas, tetapi juga gerak kerja yang mantap dan berjaya direalisasikan," kata Timbalan Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man.
 
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan Perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-60 yang berlangsung hari ini di Bukit Gambang Resort City, Kuantan, Pahang.
 
Pengiktirafan tersebut dibuktikan melalui sesi perbahasan Buku Laporan Muktamar pada kali ini sangat rancak di kalangan para muktamirin. Pelbagai idea dan pandangan dilontarkan khususnya melibatkan Sektor Pendidikan yang sangat penting kepada peranan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Negeri dan Kawasan.
 
Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin melahirkan kebanggaan di atas kemampuan para perwakilan berbahas dengan berkualiti dan bersedia menegur pimpinan atas tujuan penambahbaikan demi Islam, InsyaAllah. 
 
Beliau turut menggariskan sembilan perkara merangkumi semua perkara ketika menjawab pertanyaan dan mengulas pandangan yang dibangkitkan oleh para perwakilan. Antara lainnya adalah berkaitan pengukuhan institusi di bawah DPPM yang mesti dan akan diberi perhatian termasuklah Yayasan Pendidikan PAS, Institut Perguruan PAS dan pemerkasaan PASTI, SRITI dan SMITI. 
 
Oleh yang demikian, ayuh seluruh para perwakilan sambutlah segala penjelasan dan cadangan untuk sama-sama kita menggembleng tenaga menjayakan keseluruhan agenda bersama "Demi Islam" bertepatan dengan tema muktamar pada kali ini. - HARAKAHDAILY 19/6/2019

PERSIAPAN menyambut sememangnya dituntut bagi menyatakan rasa syukur kita kepada Allah S.W.T setelah berjaya beramal ibadat semaksimun mungkin sepanjang bulan Ramadan Al-Mubarak. Kini tiba untuk meraikan Syawal atas keberkatan Ramadan dengan kembali kepada fitrah.
 
Namun begitu, dalam keghairahan melakukan persiapan menjelang hari raya, bersederhanalah dalam sesuatu perkara sebagaimana para alim ulamak yang telah banyak mengajarkan kita amalan Rasulullah S.A.W agar keimanan dan ketakwaan dijelmakan dalam hidup sejahtera. 
 
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan) baik hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”
(Al-Ahzab: 21)
 
Apa yang menjadi kerisauan kita hari ini, masih terdapat segelintir masyarakat yang memandang enteng soal silaturrahim sesama manusia. Sedangkan dalam Riwayat al-Bukhari dan Muslim, daripada Abu Ayyub Khalid bin Zaid al-Ansari RA bahawasanya seorang lelaki berkata “Wahai Rasulullah, beritahu daku tentang amalan yang membolehkan aku masuk syurga.” Jawab Rasulullah, “Beribadatlah kepada Allah, janganlah menyekutukan dengan sesuatu, dirikan sembahyang, keluarkan zakat dan eratkan hubungan silaturahim.”
 
Firman Allah SWT dalam surah An Nisa', ayat 1:
"Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu."
 
Pesanan penting buat mereka yang sudah lama tidak balik kampung, pulanglah bertemu dan berziarah khususnya ibu bapa dan sanak saudara. Nescaya besar pahala memuliakan mereka. Fitrah kehidupan kita yang diciptakan Allah adalah saling lengkap melengkapi antara satu sama lain dan itulah hikmah kejadian manusia sebagai khalifah di muka bumi.
 
Lebih dahsyat lagi ada yang membenci ibu bapa sendiri dek kerana peristiwa yang nampak di mata kita seolah-olah ibu bapa pilih kasih terhadap kita yang akhirnya tidak bertegur sapa adik beradik. Ambil lah peluang Ramadan yang masih berbaki dan Syawal ini untuk saling bermaafan agar hidup kita lebih bermanfaat dan rezeki bertambah berkat. 
 
"Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)."
(Al-Isra': 23)
 
Islam itu indah apabila dijaga hablun minallah (hubungan dengan Allah) dan hablun minannas (hubungan sesama manusia) dengan sempurna. Kebahagiaan hidup sebenar adalah apabila hadirnya ketenangan saat kita melakukan amal ibadat dan ketika berurusan dengan manusia. 
 
Dalam pada itu, di samping menziarahi ibu bapa, adik beradik, sanak saudara mahupun sahabat handai, perlulah kita bijak mengatur masanya yang bersesuaian yang tidak menyulitkan tuan rumah. Ada waktu tertentu yang dilarang dalam Islam sebagaimana dinyatakan bahawa, sesungguhnya kebiasaan Rasulullah S.A.W mengunjungi para sahabat pada waktu pagi dan petang. Kita dilarang berkunjung pada tiga waktu iaitu pertama sebelum masuknya waktu Subuh, keduanya sebelum masuknya waktu Zohor (waktu tidur siang di tengah hari) dan selepas solat Isyak.
 
Seperkara lagi apabila memasuki Syawal, diingatkan agar kita menghormati waktu solat khususnya dalam penganjuran majlis sambutan hari raya di pejabat atau peringkat komuniti serta majlis rumah terbuka. Seringkali  pihak penganjur seolah-olah tidak cakna apabila membuat jemputan atur cara pukul 7.30 malam atau pukul 1.00 petang sedangkan sudah hampir masuk waktu solat. 
 
Berilah ruang masa secukupnya untuk menyempurnakan tanggungjawab kita sebagai hamba-Nya. Sesungguhnya setiap pada kita mempunyai masa yang sama iaitu 24 jam yang mana satu pertiga daripadanya mestilah disediakan masa berkialiti untuk Allah S.W.T, Tuhan pencipta sekalian alam. Sama-samalah kita bina kehidupan sejahtera dengan mengamalkan Islam secara menyeluruh, Insya-Allah. - HARAKAHDAILY 4/6/2019

SEBELUM kemunculan Monggol pada awal kurun ke-7, dunia hanya bersaing antara dua kuasa besar iaitu Kerajaan Islam dan Kerajaan Salib. Sehingga akhir kurun ke-6, Islam menguasai hampir satu perdua dunia. Bermula dari Barat China (Asia) hingga ke Barat Eropah di wilayah Andalus. Siri peperangan Salib yang bermula sejak era Salahuddin Al Ayyubi juga merupakan pertembungan yang memenatkan Kerajaan Eropah, kerana mereka lebih banyak tewas berbanding menang. 
 
Allah berfirman dalam surah Ali Imran ayat 140 maksudnya: “dan itulah hari-hari yang kami gilirkan antara manusia…” Sebagai gambaran bahawa fasa kegemilangan itu bakal berakhir dan akan berlaku pula fasa kelemahan dan kejatuhan.
 
Ketika mana Abu Sufyan bin Al Harb, berkunjung ke Istana Raja Hiraklius ditanya mengenai ajaran Muhammad S.A.W, "Siapakah yang memenangi peperangan yang berlaku antara kamu?" Jawab Abu Sufyan, "Kadang-kadang Muhammad menang, kadang-kadang kami menang." Dijawab pula oleh Hiraklius, "Itulah ciri-ciri ajaran Muhammad S.A.W yang benar."
 
Kerajaan Islam di awal kurun ke tujuh berpecah kepada tujuh kerajaan.
 
Kerajaan  Bani  Abbasiah - yang merupakan kerajaan dan Pusat Pemerintahan, namun pada awal kurun ke-7 ia semakin hilang cengkamannya terhadap seluruh wilayah kekuasaan, dan hanya tertumpu di Iraq, dan berpusat di Kota Baghdad sahaja. 
 
Khilafah Abbasiah hanya menjadi perlambangan sahaja dan sudah tidak berfungsi sebagaimana sepatutnya. Khalifah pada waktu itu sekadar menduduki takhta kekhalifan, tetapi hanya berfoya-foya dan mengumpul kekayaan. Yang menjadi keutamaan adalah kekal di atas takhta dalam apa jua keadaan. 
 
Kerajaan  Ayyubiah - Meliputi Mesir, Syam (Jordan, Syria, Lubnan, Palestin), Yaman dan Hijjaz
 
Semua mengetahui betapa besarnya jasa Sultan Salahuddin Al Ayyubi terhadap Islam. Namun malangnya, kegemilangan itu tidak diteruskan dalam kalangan keturunannya. Mereka saling berbalah dan merebut takhta terutama di Mesir dan Syam, seakan-akan Hijaz dan Yaman terpisah daripada Ayyubiah. Bahkan di Syam sahaja, Homs, Halab dan Damsyik ketiga-tiganya terasing, begitu juga Jordan dan Palestin. Seluruh wilayah yang telah disatukan oleh Salahuddin, kini terpecah-pecah dan saling berbalah sesama sendiri.
 
Kerajaan  Al  Muwahhidin -  Meliputi Andalus dan Morocco
 
Kesultanan Al Muwahhidin mula merosot selepas kekalahan teruk dalam peristiwa peperangan dengan Tentera Salib pada tahun 609H.
 
Kerajaan  Al  Khawarizmi - Meliputi wilayah Asia daripada Barat China hingga Barat Iran di bawah kekuasaan Sultan Muhammad Al Khawarizmi Shah yang paling kuat pertentangannya dengan kerajaan Abbasiah. Bahkan Al Khawarizmi sentiasa melakukan perluasan kuasa dan bertembung dengan kekuasaan yang berhampiran termasuklah dengan Kerajaan Bani Saljuk dan Kerajaan Al Ghori. 
 
Kerajaan  Al  Ghori - Wilayah India di bawah kekuasaan Sultan Muhammad Al Ghuri. Juga sentiasa berlaku peperangan dan perbalahan dengan Kerajaan Al Khawarizmi kerana bersebelahan dengannya.
 
Kerajaan  Bani  Saljuk - Meliputi wilayah Turki (Anatolia) di bawah kekuasaan Sultan Alp Arsalan. Malangnya, sebagaimana Salahuddin Al Ayyubi, kegemilangan Alp Arsalan juga  tidak direnteti oleh generasi berikutnya.
 
Kerajaan  Parsi - Merupakan Iran sekarang, diperintah sebahagiannya di sebelah Barat di bawah Kerajaan Al Khawarizmi Shah, manakala yang bersebelahan dengan Kerajaan Abbasiah dikuasai oleh kumpulan Syiah Ismailiah yang disepakati oleh ulamak bahawa Ismailiah adalah sesat, berasal daripada Majusi dan menyelewengkan al Quran.
 
Pengajaran:
 
Apabila Allah mengkehendaki sesuatu kaum itu keburukan, Allah akan melazimkan mereka dengan pergaduhan dan ditegah dari mereka akan beramal. Ini tidak bermakna berdebat dan berbeza pandangan itu suatu yang buruk, tetapi ia akan menjadi buruk apabila digunakan bukan pada masanya yang sesuai. 
 
Umat Islam pada waktu ini seakan-akan hilang perasaan hazar (berjaga-jaga) dengan musuh sebenarnya, sebaliknya lebih gemar bertelagah dan menunjuk kekuatan sesama umat Islam itu sendiri. Walhal musuh sedang mengintai-ngintai ibarat
 
Serigala yang menanti masa untuk menerkam habuannya.
 
MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN - HARAKAHDAILY 3/6/2019
IMG 20190526 WA0032
 
IMG 20190526 WA0030
 
IMG 20190526 WA0029

MENYUSURI Ramadan yang kini telah berada di akhir perjalanan semakin mencabar sebenarnya. Malah pelbagai catatan pengalaman yang telah dilalui, kita seharusnya menilai prestasi kita sehingga saat ini. 
 
Adakah setakat ini sudah berjaya memenuhi apa yang sepatutnya kita laksanakan untuk mengisi Ramadan, menambahkan pahala kerana sepanjang bulan Ramadan pintu-pintu Syurga dan ditutup pintu-pintu Neraka. Peluang sudah terhidang sementara Ramadan masih ada berbaki beberapa hari lagi. Usah menunggu atau bertangguh dalam melakukan kebaikan.
 
Firman Allah S.W.T dalam surah al-Baqarah ayat 148:
“Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblatnya sendiri) yang mereka menghadap ke arahnya (ketika solat).  Oleh itu, berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan, kerana di mana sahaja kamu berada pasti Allah akan menghimpunkan kamu semua (pada hari kiamat untuk menerima balasan). Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu”. 
 
Sememangnya kita akan bertemu sekurang-kurangnya tiga golongan manusia di dalam bulan Ramadan ini. Pertamanya, golongan yang suka kedatangan Ramadan dan benar-benar memanfaatkan dengan amal ibadat yang akhirnya akan membentuk akhlak terpuji. Namun jumlahnya tidak ramai dan boleh dilihat ketika ini di penghujung Ramadan ini ternyata Masjid atau Surau sudah kekurangan para jemaahnya, entah apa puncanya.  
 
Jika disusun dari pukul 4.30 pagi, dimulakan dengan solat sunat tahajud beberapa rakaat, bersahur, membaca al-Quran dan solat Subuh serta solat-solat wajib lainnya, dan diakhiri dengan solat Isyak dan tarawih berjemaah di masjid dan membaca al-Quran lagi sebelum masuk tidur. 
 
Golongan kedua pula adalah kelompok terbesar dalam masyarakat sebenarnya. Tahapnya yang biasa-biasa sahaja kerana bagi mereka Ramadan tiada beza dengan bulan-bulan yang lain. Bagi yang berkeluarga inilah masa sebenarnya untuk kita melatih anak-anak beribadat dengan ilmu yang sebenar. Perbuatan seharian kita dalam bulan Ramadan yang disusun rapi amal ibadatnya akan mendisiplinkan diri dan membentuk akhlak terpuji.
 
Rasullullah S.A.W pernah menegaskan, seandainya manusia mengetahui keistimewaan Ramadan, nescaya mereka ingin supaya sepanjang tahun itu adalah Ramadan. Jangan sampai kita tergolong dalam kelompok orang yang rugi berpanjangan.
 
Firman Allah dalam Surah Al-Asr:
“Demi masa, Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan saling menasihati supaya mentaati kebenaran dan saling menasihati supaya menetapi kesabaran.”
 
Golongan yang ketiga paling ditakuti tetapi bilangan pun bukan sedikit. Mereka ini bencikan Ramadan malah terasa beban sepanjang bulan serta berterusan melakukan maksiat. Ada diantaranya turut mengambil kesempatan Ramadan dengan menipu dalam perniagaan. Mengambil keuntungan yang tidak masuk akal dan turut mengurangkan kuantiti serta timbangan. 
 
Begitu juga bagi yang terus kekal bekerja dalam bidang tertentu yang tidak patuh syariah antaranya penyanyi dan peniaga barangan terlarang antaranya mercun, rokok dan seumpamanya. Maka apabila diminta untuk mendoakan mereka dalam bisnes tidak patuh syariah atau mendoakan kemenangan mereka dalam menyertai pertandingan nyanyian dan tarian. Ianya sesuatu yang pelik sebenarnya kerana larangan Allah S.W.T masih dibuat tetapi dalam masa yang sama berhajat kepada-Nya. Di mana dan ke manakah akhlaknya?
 
Marilah sama-sama berusaha menjadi yang terbaik di mana jua kita berada, dalam apa sahaja keadaan kerana kita sedar dan faham akan tanggungjawab kita sebagai khalifah di muka bumi Allah ini. Sucikanlah hati daripada perasaan hasad dengki yang tidak berkesudahan.
 
Daripada Abdullah bin Amru bin al-As R.A katanya, tidaklah Rasulullah S.A.W seorang yang bersifat keji, dan tidak pernah melakukan perkara-perkara yang keji, Baginda bersabda:
“Sesungguhnya di antara orang-orang yang terpilih di antara kamu ialah orang yang paling mulia akhlaknya.” - HARAKAHDAILY 1/6/2019

SULTAN Muzaffar Saifuddin Qutuz menurut catatan yang masyhur, nama beliau adalah Mahmud bin Mamdud, berasal dari keturunan beraja melalui bapa saudaranya iaitu Jalaluddin Al Khawarizmi. Tatar mula menjarah bumi umat Islam bermula dengan Kerajaan Al Khawarizmi. Tidak didapati periwayatan yang menceritakan perihal awal kelahiran, keluarga mahupun adik beradiknya.
 
Ada juga pendapat yang mengejutkan Qutuz berasal dari keturunan Khasdasyiah di Mesir. Namun tidak banyak info yang boleh menyokong fakta ini.
 
Pada awalnya, umat Islam berjaya memenangi pertempuran, namun fasa berikutnya umat Islam mula tewas kerana jumlah Tatar yang terlalu besar. Ini menyebabkan Sultan Khawarizmi melarikan diri ke India. Manakala keluarganya ada yang dibunuh dan ada yang ditawan termasuklah Qutuz.
 
Qutuz tidak dibunuh, dan gelaran Qutuz itu diberikan oleh pihak Monggol kerana melihat karakter Mahmud pada waktu itu yang bengis dan penuh kebencian. Qutuz bermaksud anjing liar. Bermula dari sinilah Qutuz dibawa ke pasar-pasar untuk dijual sebagai hamba, yang akhirnya beliau dijual di pasar Damsyik dan dibeli oleh Kesultanan Ayyubiah di Mesir. 
 
Qutuz dibeli oleh Sultan Najmuddin Ayyub di Mesir, dibesarkan di istana bersama ramai lagi kanak-kanak yang lain. Suatu hikmah Allah yang tidak terduga, aturan Ilahi yang amat cantik, bahawa di Mesir inilah Qutuz mendapat tarbiyah yang mantap dan menjadi insan yang dimuliakan Allah!
 
Berbeza dengan mana-mana Sultan, kebiasaannya hamba yang dibeli akan dikerahkan tulang empat keratnya untuk melakukan kerja-kerja berat. Namun Sultan Najmuddin mengasingkan mereka di istana dan diberikan penginapan yang baik untuk mendidik mereka dengan ilmu agama yang mencukupi sebelum diajarkan mereka ilmu peperangan.
 
Kejayaan Sultan Najmuddin Ayyub mendidik golongan hamba dengan jumlah yang besar, akhirnya sampai ke tahap mereka dijadikan sebagai tentera kerajaan. Bermula dari sinilah Sultan Najmuddin Ayyub mengasaskan kerajaannya yang baru dengan nama Kerajaan Mamalik Bahriah yang diambil sempena golongan hamba (Mamluk) dan Bahriah sempena Istana pemerintahannya yang berada di tepi laut (Citadel Ayyubiah).
 
Walaupun peranan Kerajaan Mamalik ini sangat besar tehadap sejarah Islam, namun ia agak tenggelam disebabkan krisis umat yang terlalu dahsyat pada waktu itu. Bahkan krisis dalaman Kerajaan Ayyubiah dan Mamalik itu sendiri juga menjadikan sejarah ini terlalu rumit untuk disampaikan. (Kerajaan Ayyubiah bermula tahun 569H hingga 648H).
 
Krisis dalaman Kerajaan Ayyubiah selepas kematian Sultan Najmuddin Soleh semakin memuncak. Singgahsana yang diberikan kepada anaknya Tauran Shah juga tidak bertahan lama. Syajaratu Dur yang mengambil alih takhta berdepan dengan pelbagai ancaman yang kuat untuk menurunkannya termasuk juga dari kalangan para ulamak yang mengingatkan sabdaan Nabi S.A.W akan pengharaman wanita menjadi pemimpin utama. Akhirnya Syajaratu Dur mengahwini salah seorang panglimanya iaitu Al Muiz Izzuddin Aibak yang kemudiannya ditabalkan menjadi Sultan. 
 
Apabila Muizzuddin Aibak naik takhta sebagai Sultan, yang sebenarnya perancangan awal Syajaratu Dur mahu menjadikan Aibak sebagai Sultan boneka semata-mata, rupa-rupanya Aibak juga mempunyai perancangannya sendiri. Untuk mengukuhkan kedudukannya Aibak mengisytiharkan pembentukan kerajaan dibawah kekuasaannya dengan nama Kerajaan Mamalik Al-Mu'izziah (sempena namanya) dan menjadikan Saifuddin Qutuz sebagai panglima kanannya. 
 
Malangnya Aibak dan Syajaratu Dur kedua-duanya dibunuh, lalu beralih kerusi raja kepada anaknya yang masih muda iaitu Sultan Mansur Nuruddin Ali bin Izzuddin Aibak yang umurnya baru 15 tahun. Dr Raghib As Sarjani menyebutkan, antara perkara yang sukar untuk diterima akal ialah pada waktu itu perebutan kuasa dengan menumpahkan darah ini seakan-akan terlalu biasa! Hanya dengan sedikit sangkaan buruk, sudah cukup untuk menjadi sebab Sultan dibunuh! Namun sejarah tetap sejarah yang perlu diceritakan.
 
Ketika krisis dalaman ini semakin parah, Qutuz yang pada waktu itu memihak kepada Aibak, seteru snya menjadi orang kanan kepada Sultan Nurudin Ali. Melihat kepada keadaan yang semakin memburuk, ditambah pula dengan ancaman rampasan kuasa oleh keluarga Ayyubiah lain yang mahukan tampuk pemerintahan, Qutuz membuat keputusan untuk mengambil alih kerusi Sultan daripada anaknya. 
 
Secara rasminya pada tanggal 655H, Saifuddin Qutuz diangkat menjadi Sultan Kerajaan Mamalik Al-Mu'izziah, selaku Raja bagi Negara Mesir dengan gelaran Sultan Muzaffar Saifuddin Qutuz.
 
Pengajaran:
 
Melalui kisah ini kita dapati naiknya Qutuz bukan dengan jalan yang mudah. Ia bukan sejarah yang indah sebagaimana kisah Sultan Muhammad Al Fateh. Terkadang kita perlu akui, seorang yang diuji dengan pelbagai ujian dan mengalami pelbagai kepayahan, nyata dia mampu menjadi seorang pemimpin yang baik.
 
Sejarah hitam itu tetap suatu sejarah yang tidak boleh kita ubah. Hanya kita jadikan ia sebagai sandaran untuk kehidupan pada hari ini supaya kita juga menyedari, tidak semua yang indah itu baik, dan tidak semua ujian buruk itu akan menjadikan hidup kita buruk!
 
Adalah menjadi kuasa Allah, untuk menaikkan dan menurunkan sesiapa sahaja yang dikehendaki! Āli `Imrān: 26:
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."
 
 
MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN - HARAKAHDAILY 31/5/2019
 
Rujukan:
- Kisah Tatar dari awal hingga Peperangan Ain Jalut Dr Raghib As Sarjani
- Sultan Muzaffar Saifuddin Qutuz, panglima peperangan Ain Jalut Dr Qasim Abduh Qasim
- Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Monggol Dr Ali As Solabi

PADA 4 September 1993, Parliament of the World's Religion telah mengadakan satu kongres di Chicago, Amerika Syarikat bagi menandatangani satu deklarasi yang dinamakan 'Declaration Toward a Global Ethic'.
 
Antara persetujuan etika mereka, "We affirm that a common set of core values is found in the teachings of the religions." ("Kita bersetuju terdapat nilai teras yang sama dalam ajaran-ajaran agama")
 
Maka lahirlah satu prinsip yang ditetapkan oleh mereka sebagai "we must treat others as we wish others to treat us."
 
Prinsip ini dinamakan sebagai 'The Golden Rule' dan kononnya menjadi asas kerjasama pelbagai penganut agama.
 
Kelihatan sama dengan akhlak Islam tetapi ada perbezaan
 
عَنْ أَبِيْ حَمْزَةَ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ خَادِمِ رَسُوْل الله عَنْ النَّبِي قَالَ : لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لأَخِيْهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ
 
Rasulullah S.A.W bersabda:
 
“Tidak sempurna iman seseorang dalam kalangan kamu sehingga dia mencintai untuk saudaranya sebagaimana dia mencintai untuk dirinya sendiri”.
[HR Imam Bukhari]
 
Imam Nawawi menjelaskan umum persaudaraan antara Muslim dan orang kafir adalah kita menyukai orang kafir untuk masuk ke dalam Islam sebagaimana kita kekal berada di dalam Islam.
 
يُحِبُّ
juga membawa maksud keinginan kepada kebaikan dan manfaat yang bersifat Islam.
 
Apapun segala norma baik adalah wujud di dalam Islam dan bersifat menyeluruh dan sempurna.
 
Kelemahan The Golden Rule yang dibuat Barat
 
Tidak mampu diaplikasikan dalam semua keadaan, objektif yang tidak jelas, situasi setiap sesuatu berbeza, dan panduan piawaian pelaksanaan adalah tidak menyeluruh.
 
Barat tidak mampu meletakkan perbezaan antara hak dan batil, baik dan buruk kerana norma baik diukur mengikut akal dan hawa nafsu masing-masing.
 
Malah konsep 'The Golden Rule' terbukti tidak mampu membanteras kebejatan sosial dan kezaliman pemerintah keatas rakyat.
 
Jika konsep 'The Golden Rule' dipakai oleh umat Islam, sekiranya orang kafir membudayakan minum arak dan dianggap satu norma yang baik, maka orang Islam turut perlu meraikan dan minum bersama.
 
Bahaya menyamaratakan Islam dengan agama lain
 
i)    Menganggap Islam sebagai satu kebudayaan mengikut kaum. Islam untuk Arab semata.
 
ii)    Taraf Nabi Muhammad Saw diletak sama seperti tokoh agama lain.
 
iii)    Syariah Islam dijadikan sama dengan adat resam manusia.
 
iv)    Kebenaran dan kebatilan tidak dapat diketahui perbezaan.
 
Dakwah Islam adalah kita mengajak orang-orang kafir semakin mendekati Islam bukan kita yang semakin longgar dan akhirnya tertanggal dengan prinsip-prinsip Islam. Hal ini memerlukan kita untuk kembali yakin dan menyakinkan orang lain akan keutamaan Islam berbanding agama-agama lain.
 
Moga Allah S.W.T perteguhkan iman kita.
 
MUHAMMAD HANIF AHMAD ZABIDI
29 Mei 2019 - HARAKAHDAILY 29/5/2019