Manusia menganut ajaran pemimpinnya

Fikrah
Typography

PEMIMPIN sebagai cermin rakyat

Diriwayatkan oleh beberapa ahli sejarawan.

Rakyat pada zaman al-Hajjaj dalam perbualan harian mereka akan menyoal:  Siapa yang dibunuh semalam? Siapa yang dipukul? Siapa yang diseksa dan soalan yang berkaitan perkara tersebut.

Al-Walid dikenali sebagai pemimpin yang membuat pembangunan, lalu yang menjadi topik perbincangan masyarakat adalah perihal yang berkaitan dengannya.

Adapun Sulaiman bin Abdul Malik dikatakan dengan orang yang suka kepada keramaian dan topik nikah kahwin, itulah yang menjadi bahan bualan mereka saban waktu.

Apabila Umar bin Abdul Aziz diangkat sebagai khalifah, masyarakat mengikut budaya pemimpinnya. Rakyat tidak akan lupa dari bertanya, sudah berapa juzuk menghafaz al-Quran? Sudah berapa kali wirid malam tadi? Bila kamu khatam Quran? Bulan ini sudah berapa kali berpuasa?

Ini merupakan sebahagian pandangan yang menunjukkan pemimpin punya autoriti yang utama dalam menentukan latar pemikiran masyarakat. Andai hari ini pemimpin suka gosip, maka itulah yang menjadi topik rakyat saban waktu. Lebih parah andai pemimpin kaki tipu, apa jaminan bahawa ia tidak membarah kepada rakyat? Kalaulah pemimpin hari ini mengutamakan tugasannya bekerja demi rakyat...

Mengapa perlu keras terhadap pemimpin?

Umar al-Khattab, pernah ditanya oleh Amru bin Al Asr, persoalan tentang mengapa Umar begitu keras tindakannya terhadap kesalahan dibuat oleh pemimpin.

Mengapa dikau begitu keras terhadapku, tidakkah dikau khuatir selepas ini rakyat akan melampau selepas ini?

Umar menjawab:

Andai protes mereka kerana kebenaran, maka itu hak mereka.

Duhai Amru,

Bukanlah kehebatan ketua itu apabila menakutkan orang di bawah, akan tetapi pada mengamankan mereka, menyekat kezaliman, memberi hak pada yang lemah, orang kaya akan sentiasa beringat dan yang miskin akan merasa lega, rakyat akan sentiasa  mendapat keamanan dari negara dan merekalah yang akan menjaganya. Mereka akan bersama mempertahankan kerajaan yang adil kerana menjamin keselamatan mereka. Jika berlaku sebaliknya, maka akan hilanglah pemimpin (kerajaan) dan rakyat kedua-duanya.

Imam Ghazali juga menyebutkan di dalam kitabnya Ihya' Ulumuddin, "Dua golongan apabila rosak, maka akan rosak umat, iaitulah ulamak dan umarak (pemimpin)."

Apabila pemimpin yang rosak tidak dikenakan tindakan, maka ia akan terus melakukan kerosakan.

Budaya maki hamun

Beberapa tempoh kebelakangan ini, kita dapati satu sikap yang dilihat semakin sebati dalam kalangan masyarakat ialah budaya maki hamun. Tidak dapat dipastikan siapa yang menjadi pemulanya atau ada yang mengatakan ia memang sudah sebati dengan rakyat Malaysia?

Mungkin kita boleh lihat sepintas lalu melalui perbahasan di Parlimen atau Dun, apakah menjadi suatu budaya Ahli Parlimen dan Ahli Adun ketika berbahas mengenengahkan aspek ilmiah dan fakta atau secara semberono dan maki hamun? Andai ada yang berbahas dengan baik, apakah ia dilihat dominan?

Satu sudut lagi yang boleh kita lihat melalui media sosial. Apabila timbul satu isu yang kontroversi dalam kalangan rakyat, pastinya maki hamun yang akan melatari media sosial berbanding perbincangan secara baik dan mencari penyelesaian.

Satu sudut lagi yang paling membimbangkan apabila maki hamun ini membawa kepada aspek agama dan pegangan kepercayaan.

Realiti yang memualkan

Gambaran hari ini andai ada rakyat yang semakin muak dengan sepak terajang politik, jawapannya ada pada mereka yang berada di atas tampuk kekuasaan dan yang mahu merebutnya.

Apabila jawatan menjadi satu 'peluang' untuk merebut ghanimah, tetaplah rakyat menjadi mangsa sekalipun ditukar pemimpin berulang kali. Dengan ucapan berbaur hasutan, rakyat berjaya dipengaruhi dan akhirnya mereka mengulangi sikap orang terdahulu.

MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN

Rujukan 

Sirajul Muluk Imam At Turtushi
Ihya Ulumuddin Al Ghazali - HARAKAHDAILY 26/12/2018