Rasulullah mungkir janji wirid munafiq

Fikrah
Typography

MUNAFIQ menurut maksud yang umum adalah golongan yang memusuhi Islam tetapi pura-pura beriman. Mengaku Islam tetapi banyak mengeluarkan kata-kata yang meragukan orang-orang beriman.

Perang Ahzab; Janji kekalahan Parsi dan Rom

Sikap orang munafiq banyak disebutkan oleh al-Quran. Antaranya adalah menuduh Rasulullah mungkir janji. Firman Allah S.W.T:

وَإِذْ يَقُولُ الْمُنَافِقُونَ وَالَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ مَا وَعَدَنَا اللَّهُ وَرَسُولُهُ إِلَّا غُرُورًا

"Dan lagi masa itu ialah masa orang-orang munafik dan orang-orang yang tidak sihat dan tidak kuat iman dalam hatinya berkata: "Allah dan RasulNya tidak menjanjikan kepada kita melainkan perkara yang memperdayakan sahaja"."

[al-Ahzab:12]

Menurut tafsir Qurtubi dan Tabari, ayat ini turun bersempena dengan ejekan orang munafiq semasa perang Ahzab yang mengatakan baginda hanya pandai berjanji. Ketika menggali parit, Rasulullah telah berjanji bahawa Rom dan Parsi akan jatuh ke tangan Islam. Namun ketika perang Ahzab berlangsung, Madinah telah dikepung lebih sebulan menyebabkan kesukaran penduduknya menjalani kehidupan seharian.

Ketika itu orang munafiq mula menjalankan kerja mereka menabur keraguan (hamlat tasykik):

"Muhammad berjanji konon Rom dan Parsi akan jatuh ke tangan Islam, tapi hari ini mereka nak buang air pun takut!"

Lalu turunlah ayat di atas. Sebagai makluman, Rom dan Parsi jatuh ke tangan Islam jua akhirnya di zaman khalifah kedua Islam, Umar bin Al-Khattab.

Sulh Hudaibiah; Janji umrah

Pada tahun keenam hijrah, Baginda S.A.W bermimpi bahawa umat Islam memasuki Makkah dalam keadaan aman mengerjakan umrah. Atas asas tersebut, Baginda telah memberitahu para Sahabat dan terus mempersiapkan umat Islam bagi menuju ke Makkah membenarkan wahyu Allah itu.

Sampai di Hudaibiah, berlakulah rundingan antara Islam dan Musyrikin Quraisy yang dikenali sebagai Sulh Hudaibiah. Antara terma perjanjian damai itu adalah umat Islam tidak dibenarkan masuk ke Makkah tahun tersebut. Baginda akur lalu memerintahkan umat Islam pulang ke Madinah.

Menurut tafsir Qurtubi dan Tabari juga, orang-orang munafiq yang ikut serta dalam misi tersebut terus menjalankan kerja-lerja tasykiknya. Mengatakan Baginda hanya pandai berjanji tapi hakikatnya tidak mampu melaksanakan. Lalu turunlah ayat Allah:

لَقَدْ صَدَقَ اللَّهُ رَسُولَهُ الرُّؤْيَا بِالْحَقِّ ۖ لَتَدْخُلُنَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ إِنْ شَاءَ اللَّهُ آمِنِينَ مُحَلِّقِينَ رُءُوسَكُمْ وَمُقَصِّرِينَ لَا تَخَافُونَ ۖ فَعَلِمَ مَا لَمْ تَعْلَمُوا فَجَعَلَ مِنْ دُونِ ذَٰلِكَ فَتْحًا قَرِيبًا

"Demi sesungguhnya! Allah tetap menyatakan benar RasulNya dalam perkara mimpi itu dengan kenyataan yang sebenar; iaitu sesungguhnya kamu tetap akan memasuki Masjid Al-Haraam - insya Allah (pada masa yang ditentukanNya) - dalam keadaan aman (menyempurnakan ibadat umrah kamu) dengan mencukur kepala kamu, dan kalau (tidak pun) menggunting sedikit rambutnya, serta kamu tidak merasa takut (akan pengkhianatan musuh sehingga kamu keluar balik dari situ). (Allah menangguhkan berlakunya kenyataan itu) kerana Ia mengetahui (adanya feadah dalam penangguhan itu) yang kamu tidak mengetahuinya; maka Ia menyediakan sebelum (terlaksananya mimpi) itu, satu kemenangan yang dekat (masa berlakunya)."

[al-Fath:27]

Sebagai makluman, walaupun tidak dibenarkan masuk tahun tersebut, tetapi tahun hadapan umat Islam bebas ke Makkah mengerjakan umrah. Bahkan pada tahun kelapan hijrah, umat Islam telah berjaya membuka kota Makkah hasil pelanggaran Perjanjian Hudaibiyah oleh Musyrikin Makkah.

Mungkir janji; Sifat munafiq

Hakikatnya, golongan yang sering melanggar janji adalah orang munafiq. Menggunakan janji sebagai cara meraih kepercayaan umat Islam. Namun ketika tiba waktu menunaikan 'manifesto', mereka mungkiri dengan beribu alasan.

Sesiapa yang menelusuri sirah, pasti bertemu kisah-kisah bagaimana orang-orang munafiq dengan janji-janji manis mereka, dan alasan-alasan dusta mereka sebaik janji tersebut dituntut.

Benarlah sabda Rasulullah S.A.W:

آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلاثٌ : إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ ، وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ ، وَإِذَا ائْتُمِنَ خَانَ

"Tanda orang munafik ada tiga. Jika dia bercakap dia berbohong. Jika dia berjanji dia mungkir. Jika dia diberi amanah dia khianat."

9 Rabiul Akhir 1440
17 Disember 2018

(ALANG IBN SHUKRIMUN) - HARAKAHDAILY 17/12/2018