Iqrar si munafiq tidak boleh dipercayai

Fikrah
Typography

 وَمِنْهُمْ مَنْ عَاهَدَ اللَّهَ لَئِنْ آتَانَا مِنْ فَضْلِهِ لَنَصَّدَّقَنَّ وَلَنَكُونَنَّ مِنَ الصَّالِحِينَ (٧٥) فَلَمَّا آتَاهُمْ مِنْ فَضْلِهِ بَخِلُوا بِهِ وَتَوَلَّوْا وَهُمْ مُعْرِضُونَ (٧٦) فَأَعْقَبَهُمْ نِفَاقًا فِي قُلُوبِهِمْ إِلَىٰ يَوْمِ يَلْقَوْنَهُ بِمَا أَخْلَفُوا اللَّهَ مَا وَعَدُوهُ  وَبِمَا كَانُوا يَكْذِبُونَ (٧٧)

[at-Tawbah: 75 - 77]

At-Tawbah: 75 - Dan di antara mereka ada yang membuat janji dengan Allah dengan berkata: "Sesungguhnya jika Allah memberi kepada kami dari limpah kurniaNya, tentulah kami akan bersedekah, dan tentulah kami akan menjadi dari orang-orang yang soleh"

At-Tawbah: 76 - Kemudian setelah Allah memberi kepada mereka dari limpah kurniaNya, mereka bakhil dengan pemberian Allah itu, serta mereka membelakangkan janjinya; dan sememangnya mereka orang-orang yang sentiasa membelakangkan (kebajikan).

At-Tawbah: 77 - Akibatnya Allah menimbulkan perasaan munafik dalam hati mereka (berkekalan) hingga ke masa mereka menemui Allah, kerana mereka telah memungkiri apa yang mereka janjikan kepada Allah dan juga kerana mereka sentiasa berdusta.

Sebab nuzul ayat 

Ada yang menyebutkan, ayat ini diturunkan pada Tha'labah. Beliau bertemu Nabi S.A.W meminta supaya diberikan kekayaan dan berjanji untuk bersedekah dengan hartanya. Akhirnya beliau dikurniakan rezeki yang melimpah ruah, apabila diutus orang untuk memungut zakat, beliau enggan membayarnya apatah lagi mahu bersedekah. Ada juga riwayat yang hanya menyebut lelaki Ansar sahaja.

Terlalu mudah menabur janji

Ini merupakan satu daripada sifat sang Munafiq iaitu amat mudah menabur janji walaupun tidak diminta berbuat demikian. Mereka berjanji untuk menderma atau bersedekah dengan harta yang Allah beri kepada mereka. Bahkan, mereka berikrar akan menjadikan diri mereka termasuk dalam kalangan orang yang soleh.

Ketika mereka amat mengharapkan sesuatu, pelbagai janji diberikan. Janji itu adalah taktik untuk memancing perhatian. Mereka berjanji bukan untuk menunaikannya, lebih-lebih lagi janji dari orang yang jahat untuk menempatkan dirinya sebagai orang yang baik. Ketahuilah, mengotakan janji merupakan suatu kesulitan bagi golongan ini.

Tha'labah yang mencurigakan 

Sejak dari awal lagi apabila beliau memohon doanya daripada Nabi S.A.W, sudah diperingatkan akan petaka yang bakal menimpa dari harta yang banyak, biarlah berpada dengan sedikit harta dan bersyukur. Bahkan keadaan beliau kini sekalipun tidak memiliki kekayaan namun ibadahnya sangat dijaga.

Setelah sekian kalinya merayu kepada Nabi S.A.W, akhirnya Baginda berdoa untuk Tha'labah:

"Ya Allah ya Tuhanku, kurniakanlah Tha'labah dengan harta kekayaan".

Dengan izin Allah, Tha'labah menjadi kaya raya melalui ternakannya yang tidak terhitung banyaknya. Dan bermulalah kelekaan mengumpul harta, lalai solat berjemaah seterusnya tidak mahu bersedekah dan berzakat.

Bahaya memungkiri janji

Bahaya dari sikap suka berjanji ketika miskin tetapi tidak menunaikannya setelah menjadi kaya, maka balasan Allah kepada golongan ini ialah ditimpakan kemunafiqan pada hati mereka hingga sampai waktu ajalnya. Ia bermaksud kekal munafiq hingga ke akhir hayatnya.

Lalu, bagaimana dengan mereka yang berjanji sebelum mendapat kuasa, setelah mendapat kuasa langsung tidak menunaikan janjinya?

Bala yang diturunkan Allah dalam bentuk yang nampak, ia boleh menimbulkan keinsafan dan mendorong manusia untuk bertaubat kepada Allah. Akan tetapi, jika bala Allah turun dalam keadaan tidak disedari atau tidak nampak seumpama bala munafiq, lalu bagaimana mahu bertaubat?

Jika dengan Allah yang Maha Berkuasa pun mereka berani ingkari, apatah lagi terhadap sesama manusia yang lemah. Adalah suatu kepelikan, apabila mereka yang berjaya dalam hidup hingga dinobatkan sebagai jutawan, hartawan, tokoh ahli ekonomi dan bermacam-macam lagi gelaran atas kehebatannya membina kekayaan, tiba-tiba bakhil, tidak mahu membayar zakat dan bersedekah.

Penawar yang mujarab 

Firman Allah:

Al-`Alaq:6 - Ingatlah! Sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas (yang sepatutnya atau yang sewajibnya),

Al-`Alaq:7 - Dengan sebab ia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya.

Al-`Alaq:8 - (Ingatlah) sesungguhnya kepada Tuhanmulah tempat kembali (untuk menerima balasan).

Orang yang berperangai sebegini berpunca dari dua sebab, iaitu melampaui batas dan merasa diri hebat. Ia hanya mampu diubati apabila kita meletakkan ada yang jauh lebih hebat dari kita iaitulah Allah Ta'ala. Hanya jiwa bertuhan sahajalah yang akan menyelamatkan kita dunia dan akhirat.

MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
12 Disember 2018

Rujukan
-     Munafiq, sahabat tetapi musuh karangan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nikmat
-     Tafsir Imam At Thobari - HARAKAHDAILY 12/12/2018 

IMG 20181212 WA0033